DR. MAHATHIR Mohamad ketika diraikan oleh pengikut-pengikutnya termasuk Perdana Menteri Najib dan isteri menyebutkan kemungkinan Malaysia juga akan berperdana-menterikan seorang wanita. Suatu yang tidak mustahil. Kalau Yaman di zaman Nabi Sulaiman a.s. pernah diperintah oleh Ratu Balqis, dunia akhir zaman ini pula sudah ramai wanita jadi Presiden dan Perdana Menteri, maka juga tidak mustahil. Siapakah Perdana Menteri pertama wanita Malaysia itu? Jika ia berlaku sebagai ganti Perdana Menteri Najib, siapakah wanita yang bertuah itu? Tuntulah dia seorang yang kanan dalam parti yang mendapat majoriti. Jika BN berkuasa semula selepas PRU 13, Perdana Menteri Najib ditakdirkan kalah, tiada laki-laki UMNO yang diterima oleh pimpinan UMNO, maka wanita yang paling kanan ialah Datuk Seri Shahrizat Jalil. Dia adalah ketua Wanita UMNO dan bertaraf sebagai Naib Presiden parti itu. Tetapi dengan skandal lembu dan kondominium termahal dari duit lembu yang melibatkan suami anak beranak, dia tidak menjadi calon yang terbaik. Siapa lagi wanita yang kanan di samping UMNO yang masih dipimpin Najib? Dalam parti tiada yang tertonjol. Tetapi di luar hiraki parti ada, bahkan lebih berkuasa dan lebih berpengaruh dari Perdana Menteri Najib iaitu Wanita Pertama merangkap isteri Najib. Malah dia sudah pun dilihat Perdana Menteri sebenarnya sejak pengunduran Tun Abdullah Badawi. Sekalian ahli Majlis Tertinggi UMNO adalah di bawah pengaruhnya. Bahkan pemimpin dunia mengenalinya dan suka mendekatinya bagi memenangi hati kerajaan Malaysia. Lee Kuan Yew yang terkenal serius dengan protokol mencari peluang bersua dengannya semasa mengadakan kunjungan ke Malaysia. Soal dia tidak ada pimpinan parti boleh diurus. Betullah Muhyiddin Yassin orang kedua dalam UMNO tetapi Muhyiddin telah mengepalai perwakilan Perhimpunan Agung UMNO berikrar setia kepada Najib dan UMNO. Jika Najib merasakan orang yang paling layak menggantikannya sebagai Presiden UMNO, maka tiada pilihan bagi UMNO. Setakat ini Rosmah Mansor bukan saja wanita paling berpengaruh di Putrajaya bahkan orang yang paling berkuasa. Jika masanya telah tiba bagi wanita menjadi Perdana Menteri sebagai ganti Najib, wanita yang paling menonjol ialah Rosmah Mansor. Tetapi kalau BN kalah kepada Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim berada di penjara, maka siapa pula calon Perdana Menteri? Pakatan Rakyat tentu ada calon yang diterima oleh semua tetapi pengundi yang mahukan perubahan juga mungkin ada calonnya bagi mengambil tempat yang sepatutnya disandang oleh Anwar. Sebelum Anwar jadi ketua pembangkang, ia disandang oleh Dr. Wan Azizah. Dia masih Presiden PKR tetapi dia tidak layak bertanding kerana MP yang meletak jawatan tidak boleh bertanding dalam masa lima tahun. Jika semua diberi sama peluang, maka yang paling kanan mewakili parti masing-masing ialah Tuan Guru Haji Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Azmin Ali. Tetapi mungkin masyarakat, seperti yang diwawaskan oleh Dr. Mahathir berkehendakkan seorang Perdana Menteri wanita, maka siapakah wanita yang paling terserlah di kalangan Pakatan Rakyat selepas Wan Azizah? Yang paling menonjol dalam parti dan dalam Parlimen ialah Nurul Izzah, Naib Presiden PKR yang paling kanan. Dr. Mahatahir adalah orang yang paling tidak suka kepada suku sakat Anwar tetapi kalau rintihan hati Dr. Mahathir hendak dikabulkan, antara Shahrizat Jalil, Rosmah Mansor, Nurul Izzahlah yang paling bersih dan paling tidak bermasalah. Masalahnya ialah dia budak. Sebagai budak dia adalah anak Anwar Ibrahim. Kalau tiada pengalaman dan kepintarannya belum menonjol, tetapi kepintaran Anwar boleh dipinjamkan kepadanya. Saya bukan hendak menidakkan kebijaksanaan, kepintaran dan wibawa Ustaz Hadi, Kit Siang dan Azmin tetapi bagi meraikan pandangan Dr. Mahathir yang merasakan wanita juga berpeluang menjadi Perdana Menteri di Malaysia. Yang Mahathir tidak suka ialah ia boleh mengambilkan harapan Anwar jadi Perdana Menteri. Mahathir boleh terima siapa saja asal jangan Anwar. Kalau Izzah naik, dia adalah sementara menguruskan perbicaraan semula Anwar oleh mahkamah yang berwibawa. Jika Anwar jadi Perdana Menteri, maka Mahathir rela mati?
kemilau publika | Setiap manusia pasti berharap dan ingin beroleh kebahagiaan hakiki, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Allah menjanjikan syurga bagi para hamba-Nya yang istiqamah menjalankan ketaatan beribadah dan beramal soleh yang diniatkan semata-mata demi meraih reda-Nya. Maksud firman Allah: “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan, akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya.”(At-Taubah: 72) Allah berfirman, maksudnya, “Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam benak manusia. Oleh itu, bacalah kalau kamu suka ayat al-Quran: seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu; bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (As-Sajadah: 17) Sesungguhnya jalan meraih syurga Allah adalah ditentukan oleh atas keimanan dan niat amalan sepanjang hidup di dunia ini. Manusia yang utuh beriman kepada Allah, banyak beramal soleh semasa hidupnya dan tiada yang dituju ibadah dan amalnya hanya mencari reda Allah, nescaya dadanya dipenuhi dengan rasa tenteram dan bahagia. Sebaliknya, manusia yang kufur dan banyak berbuat jahat (zalim), nescaya dadanya sempit dan dihinggapi kegelisahan tidak berhujung. Jalan menuju syurga Allah sangat banyak. Salah satunya ialah dengan membaca serta menghayati kisah para soleh dan solehah yang dijamin masuk syurga. Kita juga boleh meneladani amal-amal kebaikan yang mereka lakukan agar beroleh barakah agung daripada Allah berupa syurga-Nya. Semoga pertolongan dan rahmat Allah sentiasa memayungi kehidupan kita yang dengan itu kita dapat memahami bentuk amal soleh yang menuntun kita kepada syurga Allah serta mengenali muslimin dan muslimah agung yang beroleh jaminan syurga. Buku ini sudah di pasaran. Terbitan Kemilau Publika yang terkini. Lawati www.kemilau.net.my. Selamat membaca!
Penjelasan isu Madrasah Salihiah, Kanchut Harakahdaily | Latarbelakang:
PKNK dengan kerjasama sebuah syarikat swasta ingin memulih dan memajukan Kompeks Tunku Yaakob yang terbengkalai lebih 30 tahun. Projek yang dinamakan Aman Central bukan sahaja memulihkan bangunan terbengkalai tetapi keseluruhan kawasan di sekitar itu. Pelaburan besar itu bakal memberi peluang ekonomi serta peluang pekerjaan kepada beribu rakyat negeri ini. Isu yang timbul ialah dalam kawasan yang mahu dibangunkan itu terdapat tanah wakaf berkeluasan 0.08 hektar dan di atas tanah itu ada bangunan yang dinamakan Madrasah Salihiah. Pemegang amanah harta wakaf itu adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Kerana harta wakaf itu terbabit dalam pelan pembangunan maka ia dicadang untuk dirobohkan sementara dan dibangunkan sebuah surau baru di tempat yang sama. Dakwaan yang timbul dan penjelasannya: 1. Perobohan surau adalah tindakan zalim Kerajaan negeri tidak lakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap tanah wakaf yang libatkan kepentingan Islam. Ia dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah yang diketuai oleh Dato' Sheikh Badaruddin Hj Ahmad. Majlis Fatwa bermuzakarah dan memutuskan bahawa surau tersebut boleh diroboh berdasarkan kaedah Istibdal iaitu berlaku pindah wakaf kepada manfaat yang lebih besar. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada MAIK selaku pemegang amanah surau untuk mendapatkan wakaf yang baharu. Di lokasi yang dirobohkan akan dibina surau baru yang lebih luas boleh mengisi 400 jemaah dalam satu masa berbanding 200 jemaah dalam surau lama. Surau baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baharu diberi lagi. Roboh satu dapat dua dan lebih manfaat! 2. Mufti Kedah dipaksa turut kehendak kerajaan negeri Yang Berbahagia Dato' Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah berada di bawah KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang kini adalah Yang DiPertuan Agong, bukannya lantikan oleh Menteri Besar. Justeru tuduhan tersebut adalah fitnah dan tidak berasas. Mufti juga tidak membuat keputusan berseorangan, mereka bermuzakarah secara mendalam dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah yang terdiri dari Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah), Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar (Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan (M.Ed)), Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi (Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim (Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah). Kehebatan ilmu mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak boleh dipertikaikan. 3. Surau baru berada dalam kompleks membeli belah, sukar dimasuki Surau baru yang akan dibina berada di aras bawah kompleks dan boleh dimasuki dari luar pada bila-bila masa walaupun kompleks beli belah ditutup. Ia menampakkan syiar sebuah surau dari luar, ada kubah dan boleh melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Sedangkan Madrasah Salihiah yang ada sekarang hanya di buka waktu Zohor dan Asar. Pada waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak dimakmurkan sepanjang lima waktu. 4. Surau bernilai 100 tahun, ada nilai sejarah mesti dipertahankan Sebenarnya bangunan surau yang kononnya bernilai 100 tahun di atas tapak itu sudah diroboh tahun 2007 dan dibina sebuah bangunan yang baharu (yang ada kini). Sebahagian besar bangunan itu adalah ruang pejabat yang disewakan kepada sebuah syarikat insuran, hanya satu ruang digunakan untuk bersolat. Bangunan itu baru berusia 4 tahun dan pampasan yang diberikan dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan tersebut.
5. Seluruh bangunan Madrasah Salihiah yang berusia 4 tahun itu adalah surau atau Rumah Allah Rumah Allah adalah gelaran untuk bangunan surau atau masjid yang menepati syarat. Antara syaratnya ialah tandas mesti terpisah dari bangunan utama musolla seperti mana hampir kesemua masjid yang terdapat di dunia ini. Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil Rumah Allah kerana tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang diguna untuk surau macam surau yang terdapat di mana-mana bangunan lain juga. 6. Surau itu dimakmurkan oleh kira-kira 200 jamaah pada setiap waktu solat Tidak benar. Hanya ada beberapa buah rumah orang Islam berhampiran surau itu kerana ramai yang sudah berpindah. Orang Islam yang masih tinggal, lebih selesa berjemaah di Masjid Zahir. Solat berjemaah di surau itu biasanya hanya waktu Zohor dan Asar, dihadiri beberapa orang yang bekerja di situ. Waktu Maghrib, Isya dan Subuh, pagar pun berkunci. Jika benar surau itu mempunyai 200 anak khariah, mengapa tiada seorang pun yang datang bersolat Subuh? Ramai yang berdemonstrasi membantah bangunan itu dirobohkan tempohari mengaku ahli khariah tetapi sebenarnya mereka adalah penduduk Taman Wira Mergong, bukannya ahli khariah di situ. Bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insuran dari sebuah madrasah atau surau.
7. Sepatutnya ganti wakaf (RM1.48 juta) dibuat di sekitar lokasi tersebut juga Cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya bagaimana hendak memenuhkan surau ganti wakaf yang dicadangkan itu sedangkan kawasan tersebut bukan perkampungan yang ramai orang Islam. Bukankah lebih baik memikirkan untuk memenuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang dibina itu. Dan lebih baik juga RM1.48 juga diguna untuk membina surau di mana-mana kawasan ramai penduduk. Bukan setakat untuk solat tetapi juga untuk pelbagai kegiatan umat Islam yang lain. Pahala yang mengalir kepada pihak yang mewakaf tentulah lebih besar. 8. Di sekitar itu juga terdapat gereja, mengapa gereja tidak dirobohkan sekali Gereja tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan. Andainya gereja sengaja mahu dimasukkan, maka ganti gereja juga terpaksa dibuat di kompleks membeli belah itu. Adakah umat Islam negeri ini bersedia melihat sebuah gereja di kompleks membeli belah? 9. Pemaju Aman Central adalah orang kafir, mengapa beri peluang orang kafir majukan ekonomi mereka? Aman Central adalah usahasama antara PKNK dan pemaju tersebut. PKNK adalah milik kerajaan negeri justeru tidak semuanya kafir. Ia akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah (peluang pekerjaan) yang majoritinya terdiri dari orang Islam. Realiti dunia hari ini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat membangunkan iktisad sendiri tanpa orang bukan Islam. Kita tidak boleh bersikap ‘biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya.’ Jika begitu, orang Islam tidak boleh pergi menunaikan haji untuk elak orang kafir yang buat kapal terbang dapat untung. 10. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, Rumah Allah (masjid atau surau) diroboh untuk sebuah shopping complex Tidak benar. Masjid Alor Malai pernah diroboh untuk pembangunan menyeluruh Kompleks Al-Bukhari yang juga dibangunkan kompleks perniagaan di situ (antaranya Pasaraya Giant). Sebuah masjid baru dibina, bukan di atas tapak masjid lama tetapi dilokasi lain menggunakan kaedah Istibdal, sama seperti kaedah yang digunakan terhadap tanah wakaf Madrasah Salihiah. Ia tidak menjadi isu kerana pihak pembangkang pada masa itu (PAS) tahu hukum hakam, menghormati institusi ulamak dan tidak membantah membuta tuli. Sekarang isu Salihiah menjadi ‘panas’ kerana pihak pembangkang kini merasa ‘terlebih pandai’ dari para ulamak yang ada dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat | Salam Mahabah dan Negara Berkebajikan Firman Allah SWT, “Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan jangan berpecah-belah…” (Pangkal surah Aali-Imran ayat 103) “Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).“ (An-Nisaa’ ayat 174). Bersempena dengan Salam Mahabbah dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Awang (1 Safar/ 26 Disember lalu), saya rasa gembira kerana sempat bersembang dan menyatakan sesuatu demi memperkukuhkan semangat muhibah antara pimpinan parti. Justeru saya merenung kembali perspektif Membangun Negara Berkebajikan yang menjadi ribut kecil sehari-dua ini. Seperti mana saya terangkan kepada pihak tertentu termasuk apa yang saya sebutkan sewaktu bersama program Anak Muda Kelantan di PUTIK, Pengkalan Chepa pada 28 Muharam (24 Disember) lalu. Perspektif Membangun Negara Berkebajikan saya ulas kembali. Bagi saya, realiti Membangun Negara Berkebajikan tetap selari dengan prinsip Islam dan sesungguhnya ia tidak bercanggah dengan pendirian PAS untuk menegak Negara Islam. Cuma kalimahnya berbeza, sedangkan isi dan acuannya tetap sama, iaitu untuk mencapai keredaan Allah SWT. Di antara fakta yang harus difahami, Islam harus dilihat dari perspektif kepelbagaian sebagaimana dinyatakan Allah di dalam Al-Quran. Antaranya dalam surah Al-Fatihah ada kalimah yang menjadi isi Negara Islam, iaitu ‘ihdinassiraatal mustaqim’ – tunjukilah kami jalan yang lurus – iaitu jalan agama yang diredai Allah dan Rasul-Nya. Demikian natijahnya, Allah SWT menyebutkan Islam itu dengan pelbagai nama. Antaranya, Islam sebagai jalan yang betul (lurus), disebutkan juga (Surah Aali-Imraan : 103): ‘wa’tasimun bihablil Lah ijami’a’ – dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah – yang bermakna tali Allah itu ialah Islam. Demikian di dalam Al-Quran (An-Nisa : 174): ‘wa’anzalna ilaikum, nurann mubiina’ – dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak). Justeru Membangun Negara Berkebajikan adalah kalimah yang diolah, sepertimana kalimah Islam itu diterangkan dalam pelbagai senario : bil-Islam (tali Allah) sebagai pengikat yang kukuh, penghubung di dalam menolong sesama insan dan Islam itu ibarat tali yang panjang dan insan beriman perlu berpegang kuat untuk sampai ke penghujungnya, iaitu syafa’at Nabi SAW dan keredaan Allah SWT. Begitu pula, Islam sebagai cahaya iman yang membebaskan kehidupan manusia dari kegelapan (tidak beriman) kepada terang-benderang (mencapai keimanan). Oleh sebab itu, sesiapa sahaja akan menerima cahaya iman dengan izin Allah, tidak kira ia seorang Melayu atau Cina atau India. Semuanya menumpang atas cahaya iman itu, kerana akhirat kelak akan dibangkitkan bersama cahaya iman, jika sebenar-benar ia beriman. Hakikat ini hanya ditemui dalam sebuah negara yang berkebajikan kerana kebajikan itu hendaklah difahami sebagai cahaya keimanan. Mana-mana negara yang melaksanakan program berkebajikan menurut acuan Islam, maka membolehkan rakyatnya mencapai tingkat berkebajikan berserta keimanan, iaitu mencapai tingkat keimanan disebabkan amal khairat kerajaan dan rakyat. Demikian saya merenung sejenak perpsektif Membangun Negara Berkebajikan yang ada baiknya dapat difahami oleh semua pihak. ------------------------------------------- http://www.blogtokguru.com/salam-mahabah-dan-realiti-membangun-negara-berkebajikan/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogTokGuru+%28Blog+Tok+Guru%29 Nasrudin Hassan Tantawi | 1. Alhamdulillah, Syukur saya kepada Allah swt. apabila sambutan tahun baru kali ini tidak lagi didominasi oleh aktiviti maksiat dan mungkar seperti pesta mandi buih, larian tanpa pakaian, malam tanpa seluar dalam, pesta sepanas api neraka dan macam-macam lagi nama program karut yang menggerunkan insan beriman mendengarnya.
2. Wallahualam, jika saya terlepas pandang atau tidak mengetahui bahawa masih berleluasa pesta-pesta maksiat melampau sedemikian, namun sekurang - kurangnya tahun ini sambutan tahun baru telah dimeriahkan program alternatif yang tetap menawarkan keseronokan dan hiburan yang terbatas dan terkawal tanpa sebarang maksiat dan mungkar.
3. Kini masyarakat mempunyai pilihan. Khasnya anak-anak muda yang tidak lagi dikepong oleh aktiviti hedonisme sebaliknya dihadapan mereka terbentang pilihan alternatif yang mampu membebaskan mereka dari pengaruh maksiat dan mungkar.
4. Antara contoh program alternatif yang saya maksudkan, untuk sekitar Lembah Kelang sahaja ada 6 program yang cukup menarik dan meriah.
a] Konsert Hibur Didik (di Dataran Greenwood, depan Shell, Gombak) Majlis ini bermula malam ini [31 Disember] Menariknya program ini turut disertai EXCO DPP Malaysia membuat persembahan bersama bekas kumpulan - kumpulan rock yang mula mendekati dakwah Islam.
(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150434675321123&set=a.139739791122.124204.670736122&type=1&ref=nf)
b] XPDC Dakwah oleh GAMIS, (di Masjid Jamek Bandaraya KL) - Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012. - best sebab ada bedah buku dan boleh belajar tentang dakwah secara praktikal di Dataran Merdeka.
(https://www.facebook.com/events/236589383076588/)
b] Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati (Masjid Negara / Dewan Jawi) - Mula tengahari 31 Disember hingga tengahari 1 Jan 2012. - Best sebab ada Shoutul Harakah dan larian 1000 pemuda.
(https://www.facebook.com/events/208410885904653/)
c] Soal Jawab Agama USTAZ AZHAR IDRUS (Dataran Kemerdekaan Shah Alam) - Mula malam ini [31 Disember] - Best sebab ada Ust Azhar Idrus berganding dengan Zizan Raja Lawak.
(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150423649556612&set=a.466868491611.253845.247020686611&type=1&ref=nf)
d] Malam Apresiasi Ikim.Fm, (di Masjid Wilayah Persekutuan KL) - Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012. - Best sebab ada Prof Muhaya dan ramai artis nasyid yg hadir.
(http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=171%3Amalam-apresiasi-ikimfm-2011&catid=61%3Aberita-terkini)
e] Program Indahnya Islam, (di Masjid As-Syakirin KLCC) - Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012. - Best sebab ada byk bedah buku menarik terutama buku Abdul Latip dan forum oleh Fatimah Syarha.
(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2683729527154&set=a.1223249936077.2034960.1073841570&type=1&theater)
5. Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri bahkan DPP Kawasan juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk sambutan tahun baru. Sebagai contoh DPP Kawasan Indera Mahkota akan menganjurkan XPDC ke Cherating atau ke kawasan yang dikenali "Kampung Yahudi". Begitu juga DPP Kawasan Pandan turut menganjurkan mini konsert. Pastinya Motto kita ialah " HIBURAN TANPA MAKSIAT"
6. Akhirnya saya ucapkan tahniah kepada ngo-ngo Islam yang kian aktif dan berani menganjurkan program alternatif kepada masyarakat kita khasnya muda-mudi agar mereka tidak hanyut dan terjebak dalam kancah maksiat dan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt. khasnya sempena sambutan tahun baru. Mudah-mudahan perkara ini akan terus berkembang dan menjadi fenomena di saban tahun.
Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan