KUALA LUMPUR, Dis 3: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyelewengan melibatkan RM250 juta bagi projek lembu adalah jumlah kecil bagi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana katanya, mereka sudah biasa dengan penyalahgunaan kuasa duit rakyat melibatkan jumlah lebih besar seperti skandal Scorpene, lapor KeadilanDaily.
“Dana 250 juta, itu hanya kecil saja. Skandal Scorpene RM500 juta. Itu baru komisen,” kata Ketua Umum PKR ketika menyampaikan Ceramah Perdana, ‘Malaysia Tanpa Umno’ di Hulu Selangor semalam.
Akhbar Suara Keadilan sebelum ini pernah mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.
Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara-negara dunia ketiga termasuk Malaysia.
Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia dibayar kerajaan Malaysia sendiri.
Dalam ceramah sama, Anwar turut menemplak amalan nepotisme Umno BN yang memberikan pelbagai peruntukan kepada kaum keluarga Menteri dan pimpinan Umno.
“Apa istimewanya anak menteri untuk dapat jawatan tinggi (dalam NFC), ingat dia nak pegang lembu?” kata Anwar merujuk kepada skandal lembu NFC membabitkan peruntukan lebih RM250 juta daripada kerajaan kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.
NFC adalah syarikat menternak lembu kebangsaan yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dan menerima RM250 juta daripada kerajaan.
Setakat ini operasinya mengalami kerugian tetapi pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.
Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mendakwa desakan perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff agar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berundur membayangkan ketakutan Umno kepada Menteri Besar Kelantan itu.
Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata ianya juga menunjukkan betapa Umno gerun untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz sehingga terpaksa membuat desakan tersebut.
"Kita ingin bertanya kepada perwakilan Umno Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur?
"Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang kononnya lebih muda,"soalnya.
Menurut beliau lagi, tindakan Afandi membandingkan Tuan Guru dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah Umni sendiri.
Menurutnya, kedua-dua bekas perdana menteri itu berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman Umno sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya.
"Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada Umno merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.
"Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang," katanya.
Justeru, beliau berkata desakan Umno Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri.
Apa yang perlu ujarnya ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat.
"Adapun desakan Umno Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol," ujarnya.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya pemimpin-pemimpin PAS tidak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan, jelas bertujuan untuk menyembunyikan kejahilannya sendiri yang sebenarnya tidak tahu perkara itu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan lagi oleh Muhyiddin kerana dakwaan beliau itu ternyata tidak berasas.
Menurut beliau, para pemimpin PAS telah pun menunjukkan contoh konsep Negara Berkebajikan sejak PAS berjaya memerintah Kelantan 21 tahun lalu yang kini turut diikuti di negeri-negeri lain yang berada di bawah Pakatan Rakyat.
Katanya, sekiranya pemimpin-pemimpin PAS tidak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan, tidak mungkin mereka bercakap mengenainya dan berkemampuan melaksanakannya seperti yang telah ditunjukkan di Kelantan.
"Dia yang tak reti. Bukan pemimpin-pemimpin PAS yang tak tahu. Kalau pemimpin pemimpin-pemimpin PAS tak tahu macam mana boleh dilaksanakan di Kelantan," katanya ketika ditemui di sini.
Muhyiddin ketika berucap merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Malaysia pada perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, 29 November lalu berkata, pemimpin-pemimpin PAS hanya sekadar tahu menyebut tentang Negara Berkebajikan tetapi sebenarnya tidak tahu tentang konsep sebenar Negara Berkebajikan.
Realiti itu didakwa berbeza dengan pemimpin-pemimpin Umno yang bukan sekadar tahu perkara itu, tetapi telah melaksanakannya sejak memerintah negara berpuluh tahun lalu.
Menurut Mohamad Sabu, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat oleh Muhyiddin kerana ia tidak mungkin berkemampuan mempengaruhi orang ramai, melainkan hanya akan memalukan dirinya sendiri sahaja yang terbukti jahil tentang konsep Negara Berkebajikan yang sebenar.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, katanya, pernah membuat kenyataan seperti itu dan membandingkannya dengan langkah-langkah yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN tentang sekelumit bantuan kebajikan yang diberikan kepada rakyat menerusi agensi-agensi kerajaan.
"Tetapi langkah-langkah yang dibuat oleh Kerajaan BN itu masih jauh dengan konsep Negara Berkebajikan sebenar. Untuk mengetahuinya, Muhyiddin perlu menelitinya dengan mendalam dengan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PAS di Kelantan," katanya.
Antaranya contoh yang telah ditunjukkan di Kelantan, tambahnya, dengan memberikan cuti 2 hari kepada kakitangan kerajaan yang kemudiannya turut diikuti di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
"Langkah Kerajaan PAS Kelantan memberikan cuti 2 hari kepada kakitangan kerajaan itu pada mulanya dikritik dan ditentang hebat oleh Umno BN, tetapi kemudian Kerajaan BN sendiri juga turut mengikutinya.
"Selain itu, di Kelantan juga turut dilaksanakan skim takaful, bantuan kepada ibu tunggal dan lain-lain bantuan kepada rakyat, manakala segala urusan kerajaan dengan rakyat pula dipermudahkan," katanya.
Itu, katanya, hanyalah sebahagian sahaja dari langkah yang telah dilaksanakan di Kelantan, manakala sebahagian contoh di Selangor pula dengan sebahagian pemberian bekalan air percuma.
"Di Pulau Pinang pula, diberikan RM100 kepada setiap anak negeri itu yang baru lahir sebagai sebahagian bantuan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada rakyat di negeri itu," jelasnya.
Kerajaan PAS Kelantan, tegasnya, walaupun miskin, tetapi tetap berkemampuan melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan baik, ekoran kefahaman para pemimpin PAS sendiri tentang konsep Negara Berkebajikan.
"Kini, banyak langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan PAS Kelantan itu yang pada mulanya dikritik dan ditentang hebat oleh Umno BN, tetapi telah ditiru satu demi satu oleh Kerajaan BN.
"Jadi siapa sebenarnya yang tak tahu tentang konsep Negara Berkebajikan? Ternyata bukan para pemimpin PAS yang tak tahu, tetapi Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri yang jahil mengenainya," ujar beliau.
Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 3 Dis: Himpunan aman bacaan puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman di KLCC hari ini dihalang oleh pihak polis.
A Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad yang berucap sebelum memulakan bacaan puisi memberitahu negara ini sudah diselubungi kegelapan demokrasi.
"Perlaksanaan RUU ini jelas mengelapkan demokrasi negara dan kita tidak mahu ia berlaku, kerajaan perlu sedar hak rakyat bukannya menghalang kebebasan rakyat.
"Kita sebagai rakyat mahu berhimpun secara bebas bukannya dihalang mahupun dinafikan hak, kenapa ini perlu berlaku tidakkah kerajaan faham apa itu demokrasi dalam perlembagaan.
"Kembalikan hak rakyat jangan dicuri atau dicabuli kerana kita juga rakyat Malaysia, kerajaan perlu celik mata bukan buta mata dan buta hati," jelasnya.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir perhimpunan itu juga berharap agar rakyat bangkit menuntut hak mereka.
"Hak berhimpun ini bukan sahaja tertumpu kepada parti-parti politik sahaja dan semua rakyat perlu mendapatkan hak mereka.
"RUU merampas sepenuhnya apa yang telah kita miliki selama ini, kenapa ia perlu kita lepaskan dan secara jelas kerajaan perlu sedar dan bangkit menentang jangan tidur.
"Saya desak agar pendengaran awam dilakukan terlebih dahulu, dengar apa yang rakyat hendak serta apa jua cadangan barulah kerajaan boleh menilaikannya apa sebenarnya diperlukan bukannya terus menikam hak rakyat.
"Jelas kerajaan mencabul kebebasan demokrasi negara serta merompak hak asasi perlembagaan negara ini," ucap Lim Kit Siang.
Sebelum itu, A.Samad Said sempat membaca beberapa buah puisi dan juga beberapa orang awam turut mengikut serta membaca puisi sebagai tanda sokongan sebelum pihak polis menghalang perhimpunan tersebut.
Lebih kurang 200 orang hadir sebagai tanda sokongan terhadap bantahan RUU Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh kerajaan dan ia berlaku secara aman tanpa ada sebarang kekacauan. Najib cabar PAS tinggalkan DAP
| Abdul Rahim Sabri 7:31PM Dis 3, 2011 |
|
Melangkah ke pusingan akhir persediaan untuk menghadapi "pilihan raya yang paling sukar dalam sejarah negara ini", Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan serangan terhadap Pakatan Rakyat di hadapan ribuan perwakilan parti itu.
Sambil mendakwa PAS telah diperkudakan oleh DAP, Najib mencabar parti Islam itu meninggalkan DAP.
"Kalau perjuangan berdasarkan Islam, tinggal daripada jadi rakan DAP," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno di PWTC petang ini.
Menurut lagi, sekiranya ada pertentangan fahaman antara parti dalam Pakatan Rakyat, maka rakyat tidak boleh memberi negara ini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Dalam ucapannya, Najib turut menempelak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan "dia tak kuat sangat, tapi pandai berkokok macam ayam".
"Berkokok sana sini, bohong sana sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, main sini dan main sana," kata Najib sambil disambut gelak ketawa perwakilan.
"(Dia) bohong tak berhenti-henti, dia kat eh kami juara...parti sendiri (pun) kucar-kacir," katanya sambil menyifatkan pembohongan terbesarnya adalah mengenai 16 September.
Najib turut membidas Anwar yang mendakwa akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang menyebabkan perwakilan bersorak 'boo'.
"Saya dengan Pak Lah masa tu, daripada mana dia dapat dia cakap, saya tanya Yang di-Pertuan Agong, baginda gelengkan kepala.
"Geleng kepala kita...cer cerita, cer cerita," katanya sambil tersenyum dan menyebabkan dewan Merdeka gamat dengan gelak ketawa.
Katanya lagi, ia berhubung dakwaan 30 ahli parlimen BN melompat kepada Pakatan.
"Nak main selamat, kepung dia, bedooh (melampau), tak ada seorang pun yang seberang," katanya.
Menurutnya lagi, tidak cukup beliau diserang dan difitnah selama tiga tahun, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga diserang.
"Isteri saya duduk diam-diam, kena serang... Saya dah bersumpah di masjid, empat kali saya bersumpah.
"Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah?. Di dalam masjid? di luar masjid?... Di mahkamah, tak berani (bersumpah), masuk dalam kandang tak berani bersumpah... Ini kes Saiful lawan dia, tidak ada kena mengena dengan Umno.
"Siapa yang pilih Saiful... Orang macam inikah yang nak jadi PM," kata Najib. Beliau juga menyindir PKR sebagai parti anak beranak yang didakwanya mencatatkan rekod sejarah dunia bahawa "paling ramai pemimpin keluar parti".
Katanya, beliau telah membuat semakan dan mendapati enam ahli parlimen dan lima ADUN termasuk peguam peribadinya bertindak keluar parti.
"Segala rahsia (dia) pada DAP. DAP ada segalanya, sebab itu, jalan berkepak, jalan lain macam sebab (rahsia) ada di tangan dia," katanya.
KJ: Buat sesuatu atau hilang nikmat pemerintahan
| Jimadie Shah Othman 4:12PM Dis 3, 2011 |
|
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan parti itu supaya berbuat sesuatu jika tidak mahu "nikmat" pemerintahan terus berada di pihaknya.
"Jika kita tidak buat sesuatu, nikmat pemerintahan yang diberikan kepada Umno, nikmat kemajuan dan kesejahteraan tidak akan kekal jika kita tidak berbuat sesuatu," katanya.
Dalam sesi penggulungan di perhimpunan agung Umno hari ini, bagaimanan berkata, setakat ini respons yang diterima terhadap usaha tranformasi perdana menteri disambut baik.
Menyentuh soal calon boleh menang, Khairy berharap selepas ini perbincangan itu hendaklah ditamatkan dan menerima siapa sahaja calon yang dinamakan Datuk Seri Najib Razak.
"Selepas ini tak payah lagi cakap. Cukup dengan ikrar kita akan menyokong siapa saja yang presiden pilih sebagai calon boleh menang," katanya.
Beliau juga berkata, selain calon boleh menang, jentera juga mesti berjalan supaya Umno menjadi parti boleh menang bagi menyokong calon terpilih.
"Sekarang ini PM boleh menang kita sudah ada," katanya sambil menegaskan keperluan gandingan orang lama dan baru dalam menghadapi pilihan raya. Sementara itu, Bernama melaporkan Khairy berkata faktor calon boleh menang semata-mata belum tentu menjamin kemenangan BN sekiranya mereka tidak mendapat sokongan dan bantuan daripada jentera pilihan raya parti di kawasan masing-masing.
"Peringatan kepada kita semua, calon boleh menang itu seorang sahaja bagi setiap kawasan, setiap kerusi... kalau nak harapkan calon boleh menang bawa diri sendiri, bawa badan dia sahaja, dia tidak boleh menang.
"Kalau sekiranya calon boleh menang itu hanya atas kertas, seorang diri hebat, (dia) tidak akan menang kalau tidak mendapat sokongan jentera-jentera Umno, orang Umno yang tidak bernama, yang tidak ada jawatan, yang bertungkus lumus kempen siang malam membantu beliau, dia akan jadi calon kalah," katanya.
Beliau berkata Umno kini telah mempunyai formula 'winning Prime Minister' (Perdana Menteri yang menang) dan 'winning candidate' (calon yang menang) serta perlu diperkasakan dengan tekad dan perpaduan ampuh anggota Umno di setiap peringkat untuk mewujudkan 'winning party' parti yang menang.
"Kalau kita hanya agungkan calon boleh menang tidak cukup, kita kena agungkan jentera, winnable party (parti boleh menang) untuk menang pilihan raya," katanya.
Katanya Pemuda yang diiktiraf sebagai 'hulubalang' parti berikrar akan menyokong pucuk pimpinan tertinggi dan bersedia berjuang menghadapi pilihan raya, apabila semboyan dibunyikan.
Khairy berkata program transformasi yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menarik minat generasi muda terhadap kerajaan BN terutama dalam menyelesaikan kebimbangan golongan itu.
Beliau berkata program transformasi telah mengurangkan kerisauan generasi muda berhubung masa depan mereka terutama dalam isu peluang pekerjaan, keusahawanan serta pemerolehan kediaman.
"Kalau kita cakap soal perumahan, anak muda nak cari rumah pertama, kita tengok bagaimana Presiden (Najib) memperkenalkan Perumahan Rakyat 1Malaysia, skim rumah pertamaku, anak muda kini senang beli rumah dapat nikmat daripada Umno dan BN," katanya.
Beliau berkata daripada segi keterbukaan dan kebebasan kerajaan juga, golongan berkepentingan mula memberi maklum balas positif terhadap usaha kerajaan memansuhkan beberapa akta yang membawa sinar harapan baru terhadap demokrasi negara.
| |
| |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan