PARIT BUNTAR, 2 Dis: Semangat rasis yang disemarakkan oleh Umno pada perhimpunan agungnya perlulah dibuang jauh-jauh kerana unsur itu tidak lebih dari mengundang kemusnahan terhadap negara. “Saya melihat kegelabahan pemimpin Umno yang dipamirkan serta mendapat liputan meluas dari media pengampu adalah tidak lebih dari retorik dan lakonan pemimpin Umno di pentas politik negara yang diulang bekali-kali untuk selamatkan kuasa menjelang pilihanraya. “Malah saya sangat terkejut dengan pemimpin wanitanya yang menyingsingkan lengannya semasa berucap,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. Dalam Perhimpunan Agung Umno, kata beliau hakikatnya mereka sedang menanam kebencian terhadap orang Cina dan DAP selepas sokongan kaum itu jelas tidak memihak kepada BN dan MCA. Tambahnya, dalam masa yang sama sokongan orang India juga diharapkan kembali kepada BN dengan pelbagai cerita dan mengapi-apikan kononnya berlaku penghinaan kepada bangsa tersebut. Sedangkan, soalnya siapakah yang sebenarnya yang menghina dan mengkhianati orang India apabila sekolah Tamil sudah hilang separuh jumlahnya selepas 54 tahun negara menyambut kemerdekaan. Pada waktu sekarang, kata belia kegusaran Umno jelas menyerlah dan memuncak kerana mereka sudah hilang sokongan dari kaum Cina dan India, lalu gendang perkauman dipalu bagi mendapat sokongan orang Melayu. “Itupun saya beranggapan bahawa orang Melayu tidak semudahnya akan menyokong Umno kerana jasa dan pejalanan serta realiti apa yang berlaku di negara kita telah melakarkan bahawa Umnolah pengkhianat sebenar kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. Melihat perkembangan tersebut, tambah beliau diharapkan semoga Umno cepat berkubur kerana mereka sudah tidak relevan lagi di persada politik tanah air. “Jika kita boleh gambarkan di TV, sebenarnya rancangan kartun Upin Ipin lebih relevan berbanding Umno yang sudah ketandusan modal untuk berceloteh dengan kata-kata semangat mereka tidak lebih dari bahan yang berunsur mengarut,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong. Katanya, Najib sudah palu gendang PRU13 dan menyatakan ia sudah semakin hampir, justeru ayuh pimpinan dan pendokong pakatan siap"tempur" untuk menyelamatkan negara dari pemimpin Umno yang sedang belakon bagi meraih sokongan rakyat demi kuasa yang sudah berada di hujung usianya. Tegasnya, Putrajaya sudah pasti dalam genggaman Pakatan Rakyat jika usaha gigih secara berterusan dilakukan bagi menjatukan BN dan disulami dan disertakan bersama doa dan tawakkal kepada Allah SWT.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu undang-undang baru bagi menangani permasalahan wakil rakyat lompat parti. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya sangat perlu bagi menghalang ataupun menghukum wakil rakyat yang bertindak mengkhianati undi rakyat di kawasannya. "Kita tidak mahu wakil rakyat mencabul hak rakyat sebagai pemilih. "Jika seseorang wakil rakyat lompat, maka dia perlu dikenakan tindakan gugur jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada ahli parlimen atau Adun," katanya kepada Harakahdaily hari ini. Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagai mengulangi pendiriannya di Dewan Rakyat semalam, yang mahu Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya turut mengesyorkan perkara tersebut kepada kerajaan. Mengulas lanjut Mahfuz berkata, kerajaan telahpun mewujudkan undang-undang di mana jika seseorang wakil rakyat itu meletak jawatan, maka akan hilang kelayakan untuk bertanding kerana telah mengkhianati undi rakyat. Maka katanya, atas semangat sama, undang-undang serupa perlu diwujudkan ke atas wakil rakyat lompat malah ianya harus lebih tegas dan drastik. "Ini bukan soal PAS ke BN. Ini soal mengkhianati amanah rakyat. "Tak kira dari Pakatan Rakyat ke dari BN ke, kalau lompat mesti digugurkan jawatan sebagai wakil rakyat," tegasnya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 2 Dis: Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir didakwa tidak lagi akan dipilih sebagai menteri besar Perak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika BN kekal memerintah negeri itu selepas PRU-13. Sebaliknya beberapa nama dikatakan bakal menggantikan Zambry termasuklah Bekas Menteri Besar, Tan Sri Tajol Rosli, Timbalan Pengerusi Umno Perak Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Umno Bahagian Bruas Datuk Manaf Hashim yang didakwa kini sangat rapat dengan perdana menteri. Menurut sumber, desas-desus itu sangat kuat diperkatakan kakitangan kerajaan negeri malah usaha lobi-melobi juga jelas dapat dilihat blog-blog politik ahli Umno negeri itu. Pada masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Perak turut mendapat malumat berhubung pergolakan sedang berlaku itu. Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan hari ini mencabar Umno negeri itu menamakan calon menteri besar yang baru. "Adakah Tan Sri Tajol Rosli akan kembali menerajui Umno BN Perak? Ataupun Timbalan Pengerusi Umno BN Perak kini, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang akan dinamakan bagi menggantikan Datuk Seri Zambry? "Atau juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini? " soalnya Beliau juga mendakwa, Najib sehingga kini belum memuktamadkan siapakan calon yang paling layak untuk kerusi ‘orang nombor satu’ di negeri itu. "Marilah kita tunggu apa jawapan BN Perak dan kami telah pun mengisytiharkan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar untuk Pakatan Rakyat (PR) Perak kelak," katanya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 2 Dis: Prestasi terburuk Malaysia selama 10 tahun dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2011 oleh Transparency International (TI) menggariskan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai matlamat anti-rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). “Kegagalan untuk menangani gejala rasuah ini lantas akan membawa kepada kegagalan Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mentransformasikan ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Menurutnya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia telah menurun untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu 4.3 bagi tahun ini berbanding 4.4 pada tahun lepas. Lebih teruknya, katanya kedudukan Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-56 daripada 178 negara pada tahun lepas. Pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelima, Malaysia berada di tangga ke-37 dalam kaji selidik tersebut yang merangkumi 146 negara. Kaji selidik TI ke atas 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara. Juga dilaporkan bahawa kebanyakan warga Malaysia percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa 3 tahun akan datang. Timbalan Presiden TI, Malaysia Mohammad Ali juga berkata bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana “unsur-unsur kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar” masih lagi tersebar luas. “Dakwaan yang begitu berat oleh TI jelas menerangkan serangan ganas Umno terhadap DAP dalam Perhimpunan Agung Umno yang berkisar pada perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor. “Serangan Umno terhadap sasaran mudah seperti Kristian, Cina, Pengerusi Bersih S. Ambiga, dan DAP sebagai penindas orang Melayu yang kononnya hendak menguasai negara, sampai penyokong DAP dilabel sebagai bangsat, merupakan tindakan terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan Umno untuk menangani masalah-masalah seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa,” kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Tambahnya, tidak pula ada kritikan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah mendedahkan terlebihan belanja sebanyak RM3.7 bilion oleh jabatan-jabatan kerajaan dan tidak pula disebut tentang skandal lembu dan kondo yang melibatkan keluarga seorang Menteri Persekutuan. Katanya, soalan patut ditanya kenapa pakcik biasa di kampung tidak pernah diberi peluang yang serupa. “Tidak pula disoal kenapa duit daripada pinjaman RM250 juta boleh diberi dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. Menurutnya, setiap pemimpin Umno hanya ingin menutup skandal di mana duit yang sepatutnya digunakan untuk penternakan lembu telah digunakan untuk membeli bukan sebuah tetapi dua buah kondominium mewah. Rakyat Malaysia, ujarnya menginginkan integriti dan bukan rasuah, tender terbuka dan bukan rundingan terus, tiada kenaikan tol dan bukan kenaikan tol yang membawa manfaat kepada syarikat-syarikat pengendali tol, kebebasan dan bukan penindasan, serta keluhuran undang-undang dan bukan ketidakadilan. “Harapan untuk membasmi rasuah tidak akan tercapai selagi kita tidak mengambil langkah untuk menanganinya. “Rasuah akan menjadi isu utama dalam pilihan raya umum yang akan datang, di mana rakyat boleh memilih sama ada untuk menyokong BN yang telah mencuri masa depan kita selama 54 tahun atau untuk menolak BN untuk mencegah masa depan anak-anak kita daripada dilenyapkan,” katanya.
Mohd Sabri Said | SEBERANG JAYA, 2 Dis: Seramai 1,394 orang guru kelas agama dan fardu ain (Kafa) seluruh Pulau Pinang senyum lebar apabila mendapat lagi imbuhan RM300 seorang daripada Kerajaan Negeri. Pemberian itu sekaligus melengkapkan janji bonus RM600 kepada guru-guru Kafa seperti yang dijanji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Rakyat. Ianya juga sebagai tanda penghargaan kepada tenaga dan pengorbanan warga pendidik yang yang telah mendidik anak-anak bangsa untuk menjadi insan yang berguna pada negara. Bayaran awal RM300 sebelum ini dibayar sebelum menjelang Aidil Fitri lalu. Untuk tujuan memberikan bonus itu, kerajaan negeri telah membelanjakan keseluruhan melebihi RM500 ribu. Ramai guru mengucapkan terima kasih serta meluahkan rasa gembira kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Kata mereka, walaupun beliau bukan Islam namun tidak jemu-jemu memastikan para guru Kafa diberikan perhatian yang sewajarnya. Semasa ditemuiada yang menggangap pemberian itu satu petanda bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tetap mengutamakan pendidikan Islam berbanding di era Barisan Nasional (BN) yang menganak tirikan persekolahan yang berteraskan Islam. Seorang guru Kafa dari Sungai Dua, Tasek Gelugor, Puan Fatimah Ismail memberitahu langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang amat sesuai tambahan lagi di waktu penghujung tahun. "Apa yang Kerajaan Negeri berikan kami ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Banyak kami boleh gunakan terutamanya di penghujung tahun," ujarnya. http://ismamesir.com | Satu fakta yang perlu ditekankan ialah, Revolusi 25 Januari di Mesir tidak menjatuhkan rejim atau sistem pemerintahan Mubarak seperti mana yang dilaungkan, “as-sya’ab yurid isqot il-nizom” (rakyat menuntut sistem dijatuhkan). Walaupun revolusi ini berjaya menggulingkan Mubarak, namun rejim — corak dan bentuk pemerintahan — Mubarak masih kekal. Pemerintahan bercorak tentera. Satu bentuk kejatuhan rejim seperti yang berlaku di timur Eropah pada 1989 degan jatuhnya Komunisme di Eropah atau seperti yang berlaku selepas Revolusi Iran tidak berlaku di Mesir. Jika suatu revolusi itu berjaya, rejim yang memerintah kehilangan kuasa dan corak pemerintahan atau ideologi yang dibawa negara tersebut akan bertukar. Kerajaan komunis Poland berjaya dijatuhkan rakyat walaupun mereka berpecah kepada pelbagai fraksi dan ideologi. Rejim yang jatuh juga tiada kuasa untuk menentukan masa depan mereka apatah lagi masa depan negara. Seperti jatuhnya kerajaan sekular ketika Revolusi Iran, tentera-tentera Shah Iran tidak menguruskan proses transisi kuasa, bahkan mereka dibicarakan di mahkamah. Rakyat Mesir akhirnya terpaksa menelan hakikat yang pahit ini apabila menyedari perjuangan mereka belum selesai. Lalu mereka mendesak Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) untuk lekas turun dari terlibat dalam pemerintahan, seperti yang berlaku di Medan Tahrir pada 19 November lalu. Jika kita imbau kembali, sejurus Mubarak meletakkan jawatan, pihak tentera (terutamanya Tantawi) diangkat sebagai wira. Gambarnya ditampal di dinding-dinding dan kereta. Rakyat pula tidak habis memuji tentera. Berbalik kepada situasi hari ini, pandangan rakyat terhadap tentera berputar 180 darjah. Keadaan ini berpunca dari cubaan pihak tentera untuk mengekalkan kuasa mereka. Inilah yang masalah yang dihadapi SCAF – pandangan buruk masyarakat. Pada bulan Ogos yang lalu, Ketua Pegawai Tentera Udara melaporkan bahawa pihak tentera sedang melakukan rondaan sekitar sempadan timur Israel tanpa mendapatkan keizinan dari Israel. “Sinai adalah tanah kita dan kita tidak perlu meminta keizinan sesiapa untuk menempatkan askar di sana.” Ucapan ini sekaligus menggambarkan kekuatan tentera Mesir di rantau ini dalam usaha mendapatkan sokonagan rakyat. Sebenarnya, pihak tentera bekerja rapat dengan Israel. Israel juga mengalami rusuhan dan protes rakyat berikutan masalah ekonomi. Israel juga menerima tekanan dari krisis yang berlaku di timur tengah. Oleh itu, Israel perlu mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kestabilan negara. Untuk yang demikian (dan beberapa faktor lain), Israel menebus rakyatnya Gilad Shalit dengan harga yang mahal. Satu berbalas seribu. Tindakan ini seolah-olah menunjukkan keprihatinan Israel terhadap rakyat mereka. Selain itu, Israel juga membenarkan tentera Mesir untuk terlibat dalam rundingan pertukaran bersama Hamas yang secara tidak langsung menggambarkan kuasa tentera Mesir. Win-win situation. Pada bulan September pula, berlaku serangan ke atas Keduataan Israel di Giza rentetan peristiwa di Eliat Road. Pihak tentera tidak bertindak keras terhadap penunjuk perasaan dan akhirnya menyebabkan pejabat Kedutaan Israel berjaya dimasuki penunjuk perasaan. Ini menunjukkan kebersamaan tentera dan rakyat. (Akhirnya 6 warga Israel yang terperangkap diselamatkan oleh komando Mesir setelah menerima panggilan dari duta Israel, Yitzhak Levanon) Barangkali, pihak tentera menyedari tiada satu pun organisasi yang mampu menyatukan semua rakyat Mesir yang membawa pelbagai ideologi. Namun, hampir semua rakyat Mesir mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap isu Palestin. Keprihatinan tentera terhadap isu Palestin dan ‘polisi anti-Israel’ dijangka dapat menyatukan rakyat di bawah payung tentera atau sekurang-kurangnya membersihkan mereka dari tanggapan buruk. Pilihanraya Tindakan-tindakan seterusnya adalah sangat kritikal bagi pihak tentera untuk memandu negara melalui transisi politik dalam masa yang sama mengekalkan kuasa mereka. Proses pilihanraya kali pula ini agak kompleks berbanding tahun-tahun sebelum, dalam masa yang sama masih ada beberapa perkara yang masih kabur. Ini secara tidak langsung membuka peluang bagi tentera untuk melakukan modifikasi yang dirasakan sesuai. Sistem pilihanraya kali ini menggabungkan dua sistem. Untuk satu-satu undi itu diterima, pengundi perlu memilih satu parti dari kertas undi parti dan dua calon dari kertas undi calon bebas. Masih tidak jelas bagaimanakah pihak tentera memastikan maklumat ini sampai kepada setiap pengundi, lebih-lebih lagi apabila peratusan buta huruf agak tinggi di Mesir. Dilaporkan terdapat aduan pengundi tidak dapat mengetahui parti milik calon-calon yang bertanding. Apa pun, untuk tentera mengekalkan kuasa mereka secara langsung ataupun tidak langsung, tentera memerlukan parlimen yang mana boleh bekerjasama dengan tentera. Bagaimanakah bentuk parlimen yang baru ini masih menjadi tanda tanya bagi semua orang. Saya berpendapat keadaan Mesir tidak akan berubah dengan drastik selepas pilihanraya. Rejim pemerintahan tidak akan bertukar (sekurang-kurangnya dalam masa terdekat) sekalipun selepas Pilihanraya Presiden. Namun, pilihanraya ini tetap membawa sinar harapan bagi Mesir. Saya agak positif Ikhwan Muslimin juga berpandangan sedemikian berdasarkan keputusan mereka untuk menjadi majoriti tetapi bukan dominan. Mereka juga tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon Presiden. Tindakan ini menunjukkan mereka meletakkan pertukaran rejim negara (atau ideologi) sebagai sasaran jangka masa panjang. Secara berperingkat, mereka membina kekuatan untuk membanteras kebatilan. Saya melihat perkara ini meletakkan Ikhwan sebagai satu-satunya gerakan yang mana tentera boleh bekerjasama. Pihak tentera tiada pilihan memandangkan gerakan dan parti-parti lain agak radikal kerana menuntut pertukaran rejim secara total dalam masa terdekat. Terutamanya mereka yang merusuh di Medan Tahrir dua minggu lepas. Namun, jika tentera meletakkan Ikhwan sebagai peneraju untuk mengekalkan kuasa tentera secara langsung ataupun tidak langsung, tindakan ini seolah-olah bermain dengan api yang akan membakarnya satu hari nanti. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan