Isnin, 5 Disember 2011

BUKAN UNTUK YANG MUDA SAJA TAPI YANG LAMA@TUA...KENA SEDAR PERJUANGAN MANA YANG HARUS DISOKONG...TAK KAN TAK KENAL YANG MUNGKAR@PENIPU

PRU 13 untuk anak muda
Mohd Afif Rabbani Abdullah

Apa khabar Malaysia? Semoga kita semua terus maju dan berpadu dalam memacu negara ini ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

PRU-13: Overview

PRU-13 semakin hampir.Gendang sudah dipalu.Strategi sudah diatur.Semangat dan motivasi sudah mula dipupuk. Setiap pihak, sama ada BN ataupun PR, semakin rancak dan bersemangat merencana gerak kerja awal bagi menghadapi perlawanan genting itu nanti. Masing-masing sudah memasang target dan matlamat tersendiri, BN pasti ingin mempertahankan kemanangan dan PR pula pasti berusaha mencipta sejarah menerajui kepimpinan negara buat julung kalinya. Itulah matlamat mereka, yang pasti akan dilaksanakan oleh jentera masing-masing.

PRU-13 dikatakan bakal berlangsung dengan penuh sengit dan hangat. Banyak analisa awal yang telah dibuat oleh para penganalisis politik berkenaan gambaran awal dan juga kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada PRU-13 nanti. Apa yang pasti, PRU-13 bakal menjadi satu pilihanraya yang akan menentukan status kedudukan parti-parti yang bertanding, samada ia masih mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat ataupun sebaliknya. Jika keputusan PRU-12 dahulu dikatakan satu sejarah baru dalam arena politik negara, penulis merasakan tidak mustahil akan tercipta satu lagi sejarah baru pada PRU-13 nanti.

Dengan pelbagai peristiwa yang mewarnai pasca PRU-12 yang lepas sehinggalah ke saat ini, pasti satu lagi anjakan baru akan berlaku pada PRU-13 ini. Kedua-dua pihak, BN mahupun PR diselubungi dengan pelbagai isu dan krisis yang sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada graf dan corak undian kelak. Pasti semua itu akan dinilai dan diperhalusi oleh para pengundi dalam menentukan calon mahupun parti yang akan menjadi pilihan mereka nanti.

PRU-13 dan anak muda

Dalam setiap pilihanraya, pengundi adalah elemen yang paling penting dalam menentukan keberjayaan sesuatu pilhanraya itu. Ya, merekalah yang bakal memberikan kepada setiap calon yang bertanding tanda "X" sebagai tanda sokongan dan persetujuan mereka kepada calon tersebut untuk menjadi wakil kepada mereka di dewan negeri mahupun di dewan rakyat nanti. Sudah pasti, para pengundi ini akan dipancing oleh pihak yang bertanding dengan pelbagai 'umpan' untuk memilih mereka.

Pilihanraya kali ini bakal menyaksikan ANAK MUDA menjadi sasaran utama parti-parti yang bertanding. Jika dilihat pada PRU-12 yang lepas, ANAK MUDA sebenarnya sudah memainkan peranan yang besar dalam melakar sejarah pada pilihanraya itu. Ini kerana, antara faktor kemenangan PR pada ketika itu ialah kemampuan mereka menguasai undi daripada anak muda. Namun pada kali ini, semua parti sudah mula sedar akan nilai undi seorang anak muda dalam memastikan kemenangan calon mereka.

Jika dirujuk kepada angka terbaru pengundi muda yang didaftarkan oleh parti-parti politik, ia dengan jelas menunjukkan bahawa semua pihak memandang serius akan undi daripada golongan muda. Ini jelas lagi dibuktikan dengan isu sampingan seperti isu kebenaran mahasiswa berpolitik dan juga isu calon muda yang pasti ada perkaitannya dengan anak muda. PAS telah melancarkan kempen 'Orang Muda Geng Kito', manakala BN pula dengan tema 'BN Pilihan Orang Muda' dalam usaha memikat hati orang muda untuk mengundi mereka. Parti lain juga dilihat tidak ketinggalan dalam mendampingi golongan ini dengan pelbagai program yang disasarkan kepada anak muda telah dijalankan.

YA, anak muda bakal menjadi PERMATA dan EMAS dalam PRU-13 nanti.Seharusnya, peluang ini perlu dipergunakan dengan sebijaknya oleh para pengundi muda dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 4-5 tahun yang mendatang. Untuk itu, anak muda perlulah bersedia dari segenap sudut kerana sudah pasti mereka akan dihidangkan dengan pelbagai janji mahupun tawaran oleh kedua-dua pihak dalam usaha mendapatkan undi muda. Justeru, penulis ingin berkongsikan beberapa TUNJANG yang seharusnya menjadi asas kepada anak muda dalam menentukan aliran undi mereka nanti.

Jauhkan undi sentimen dan warisan

Kenapa penulis meletakkan perkara di atas sebagai salah satu isu yang perlu difahami dan dinilai oleh semua anak muda? Pada pemerhatian penulis, anak muda yang tidak terlibat secara lansung dengan mana-mana parti politik biasanya akan mengikut undi keluarga dalam memilih calon. Contohnya, jika keluarga itu kuat UMNO, maka anak akan turut mengundi UMNO. Inilah yang dikatakan sebagai undi sentimen dan warisan.

Anak muda seharusnya mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan budaya undi sebegini. Mereka perlu sedar bahawa undi itu adalah hak dan milik mereka dan seharusnya mereka mencari dengan sendiri arah undi yang akan mereka berikan nanti. Anak muda juga perlu berani untuk membuat pilihan sendiri, walaupun pilihan itu mungkin bertentangan dengan pilihan keluarga mahupun masyarakat setempat.Inilah nilai satu undi anak muda, penuh dengan kebijaksanaan dan ketelusan.

Pilihlah dengan intelek dan berfakta

Nilaian satu undi itu sangat berharga dan bermakna sekali. Justeru, pemberian undi itu perlulah berdasarkan fakta dan intelek yang jelas dan tepat agar ia diberikan kepada yang selayaknya. Sesuai dengan keadaan anak muda yang semakin bijak dan bermaklumat pada masa kita, fakta dan akal perlulah menjadi satu ukuran kepada para anak muda dalam menentukan siapakah yang bakal mereka undi kelak.Mereka perlulah membuat perbandingan yang adil dan saksama terhadap segala tawaran daripada setiap calon dan parti yang bertanding.

Dengan perkembangan teknologi yang pesat, anak muda bolehlah mengambil peluang ini untuk mencari seberapa banyak maklumat daripada pelbagai sumber dan seterusnya menilai dengan sendiri. Anak muda tidak boleh sekadar mendengar daripada para pekerja parti sahaja, kerana sudah tentu mereka akan hanya menceritakan perkara yang memihak dan memberi pulangan kepada parti mereka sahaja.

Anak muda juga perlulah bersifat terbuka dan berlapang dada untuk membincangkan segala isu mahupun tawaran-tawaran yang diberikan oleh semua parti dengan golongan sebaya. Capahkan minda dan pemikiran anda dengan berkongsi maklumat dan bertukar pandangan dengan golongan sebaya. Ini sudah pasti akan memberikan skop maklumat dan pengetahuan yang lebih besar dan seterusnya membantu para anak muda untuk membuat penilaian dan pilihan yang sewajarnya.

Bukan sekadar mampu tapi telus memimpin

Selain itu, anak muda juga perlu sedar bahawa setiap parti samada BN ataupun PR telah membuktikan kemampuan masing-masing dalam memimpin. BN telah membuktikannya semenjak merdeka, PAS telah membuktikannya di Kelantan, begitu juga dengan PKR dan DAP di Selangor dan Pulau Pinang. Penulis yakin, kesemua parti mampu menyediakan calon yang berkelayakan untuk memimpin dan mengurus tadbir negeri mahupun negara jika diamanahkan dengan kepimpinan ini.

Walaupun begitu, dalam suasana sekarang, anak muda bukan lagi membutuhkan mereka yang tahu memimpin, namun apa yang terlebih penting sekarang ialah kita memerlukan calon yang TELUS dan AMANAH dengan jawatan wakil rakyat ini. KETELUSAN dalam pentadbiran amat penting bagi memastikan rakyat menikmati secara adil dan saksama segala hasil dan pendapatan negara. Pihak yang mampu menyediakan calon yang TAHU MENTADBIR dan juga TELUS sepatutnya menjadi pilihan anak muda.

Pilihan untuk masa depan

Ramai penganalisis politik yang menyatakan bahawa PRU-13 bakal menentukan arah tuju masa depan Negara, samada Malaysia mampu menjadi lebih baik, atau semakin mundur atau berada pada tahap yang sama. Anak muda perlu ingat bahawa masa depan itu adalah mereka, dan undi merekalah yang bakal menentukan masa depan mereka. Dalam membuat penilaian dan pemilihan, anak muda sewajarnya memandang untuk tempoh 10 tahun mendatang dengan membayangkan pelbagai kemajuan dan cabaran.

Dengan pelbagai isu dan masalah yang melanda negara pada ketika ini, satu masa depan yang lebih cerah dan gemilang menjadi impian anak muda kini. Pilihlah mereka yang mampu berkhidmat untuk mencapai impian ini.

Bukan sekadar undi

Ya, undian anak muda itu tersangatlah penting dan ia bakal menjadi pemisah antara yang menang dan kalah. Namun begitu, anak muda perlu ingat bahawa tidak cukup bagi mereka untuk sekadar memberikan undi kepada calon semata-mata, tanpa anda sumbangan lain sebelum dan selepas proses pengundian itu. Apa yang penulis maksudkan ialah anak muda perlulah memperjuangkan undi mereka itu. Jika mereka yakin dengan seseorang calon dan percaya ia adalah pilihan yang tepat berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang jitu, anak muda perlu berusaha untuk memenangkan calon itu.

Maksudnya, anak muda perlulah turut sama-sama berkempen dan mempromosikan calon itu agar mendapat sokongan daripada masyarakat setempat. Tunjuklah cara dan kaedah kempen yang terbaik lagi berhemah. Ketepikan sentimen benci-membenci, saling mengata mahupun memfitnah calon lain. Fokuslah kepada menyampaikan tawaran yang diberikan dan meyakinkan rakyat untuk turut sama-sama memilih calon pilihan anda itu. Berhujjahlah dengan fakta dan maklumat yang benar.

Jika calon pilihan anda itu menang, maka menjadi tanggungjawab anda juga untuk sama-sama bekerja dan membantu calon pilihan anda itu.Janganlah lepas tangan dan sekadar datang meminta semata-mata tanpa menunjukkan sebarang rasa ingin tolong dan bekerjasama dengan calon itu. Ingatlah, mungkin anda kelak yang bakal mengganti tempat YB itu. Siapa tahu!

Akhir kalam: Undilah

Keluarlah mengundi kelak.Ia adalah hak dan tanggungjawab anda. Tidak berguna jika anak muda hanya tahu mengkritik dan menuduh sahaja, tanpa ada usaha yang lebih jitu untuk memperbaiki keadaan yang rosak itu. Jika anda merasakan perlu satu transformasi dan reformasi, maka gunakanlah UNDI itu untuk menyakan agenda tersebut. Berikanlah undi anda kepada yang selayaknya. UNDILAH untuk masa depan anak muda yang lebih bersinar.


Mengapa kekurangan minyak masak berulang? | Print |
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 5 Dis: Bekalan minyak masak di Terengganu dan beberapa negeri dilaporkan habis sejak seminggu lalu dengan ramai pengguna mengeluh.

Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim (gambar) berkata, ini kerana mereka terpaksa mencari di banyak premis semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan itu.

Menurutnya, selain itu beberapa negeri lain yang turut terlibat, antaranya tinjauan Lujnah Pengguna PAS Terengganu mendapati pasaraya-pasaraya di Kelantan juga mengalami kekurangan malah hampir ketiadaan bekalan.

“Seolah-olah menjadi fenomena rutin, tinjauan mendapati, ramai pengguna yang kecewa mendakwa, ada pihak bertindak menyorokkan bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga akan naik sebanyak 40 sen sekilogram,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50).

Katanya, jika spekulasi itu benar, ia sangat menyusahkan pengguna yang kebanyakan menggunakan minyak masak setiap hari.

Lantas, ujarnya Lujnah Pengguna PAS Terengganu mempersoalkan keberkesanan fungsi agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam mengawal selia perkara itu.

“Lantaran keadaan ini telah berulang beberapa kali dan kita meyakini bahawa ini bukanlah untuk kali yang terakhir,” ujarnya.

Menurutnya, memegang status sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya ketiadaan bekalan minyak masak itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Apakah pihak pengeluar, pengilang, pemborong atau pengedar boleh bertindak sewenangnya demi keuntungan mereka tanpa sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan sehingga rakyat terpaksa menanggung kesukaran?” soalnya.

Beliau menambah, seorang penyelia di sebuah pasaraya di Besut yang enggan dikenali menyatakan kekurangan bekalan minyak masak di pasaran adalah disebabkan pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan, disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan yang mana kuota yang digunakan pula telah berusia hampir empat tahun.

Kata beliau, sekiranya itulah antara sebabnya, maka lujnah pengguna menegaskan bahawa kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ia perlu ditambah.

Menurutnya lagi, mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh sama dengan sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai runcit serta bilangan pengguna.

Katanya, kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

“Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat Selatan Thai menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini kerana sebenarnya masyarakat muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak masak keluaran Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya meragui status kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri.

“Apatah lagi bila kekurangan bekalan dilaporkan turut berlaku di Lembah Kelang, Kedah dan Pahang,” ujarnya lagi.

Melayu mana Umno nak bela, Melayu kaya? | Print |
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 5 Dis: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang Melayu agar tidak tertipu dengan janji palsu Umno yang kononnya mahu membela Melayu.

Bercakap pada program Rapat Rakyat di perkarangan Stadium Malawati di sini malam tadi, ketua pembangkang itu juga berkata, sudah lebih lima dekad Umno BN diberi peluang memerintah negara, namun nasib orang Melayu tidak pernah terbela malah harta orang Melayu yang tergadai.

"Datang perhimpunan jerit nak bela Melayu. Melayu mana nak dibela, Melayu mana nak diselamatkan, Melayu kaya, Melayu pemimpin Umno?

"Mereka tak layak diselamatkan, mereka perlu dihumban dalam pilihan raya akan datang," katanya di hadapan kira-kira 10 ribu hadirin.

Menurutnya, laungan membela Melayu oleh pemimpin Umno hanya sekadar slogan demi mempertahaan survival pemimpin parti itu untuk terus mendapat kuasa.

"Nak percaya pertahan Melayu?

"Kalau betul nak pertahan Melayu, mereka tidak akan biar tanah-tanah Melayu dirampas. Kg Baru satu-satunya tanah Melayu di Kuala Lumpur, itu pun nak serah kepada (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri) Raja Nong Chik di bawah Akta Pembangunan Kampung Baru.

"Tanah Felda ratusan ribu hektar, serah kepada (Pengerusi Felda Tan Sri) Isa Samad," jelasnya lagi.

Mengulas perhimpunan agung Umno lalu juga, Anwar mendakwa Umno gagal memahami semangat hijrah Rasulullah s.a.w. yang meninggalkan fahaman perkauman sempit dan mengambil fahaman yang lebih universal.

Dari pemimpin hingga kepada ahli biasa Umno, kesemuanya kata Anwar masih tegar dengan perkauman sempit mereka.

"Pergi haji, pakai ihram, tetapi masih balik dengan perkauman keras, angkuh, zalim dan rompak harta rakyat," katanya sambil berkata tidak menujukan kata-kata itu pada sesiapa.

Pertahan Selangor tawan Putrajaya

Dalam pada itu Anwar turut memberi peringatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja akan mempertahan Selangor malah akan berusaha untuk menguasai Putrajaya menjelang PRU-13 nanti.

"Najib kata nak rampas Selangor. Saya nak jawab, boleh mimpi nak tawan Selangor, tapi kami insyaAllah sampai Putrajaya.

"Dalam pilihan raya kita ada dua, satu PR satu BN, satu madu satu racun.

"Racun di tangan kirimu... BN, madu ditangan kananmu...PR," katanya dalam nada menyanyi lagu Madu dan Racun yang dipopularkan penyanyi Jamal Mirdad.

Taat setia: Ahli Umno rasa berlaku khianat | Print |
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 5 Dis: Ikrar taat setia kepada parti dan surat akujanji membuktikan ada tanda-tanda tidak yakin terhadap ahli-ahli Umno sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ini juga petanda parti tersebut yang baru saja menamatkan perhimpunan agung ke-62 kelmarin, sedang berdepan masalah dalaman begitu ketara sehingga memaksa perwakilannya bersumpah untuk menyokong calon yang bakal dipilih.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tindakan perwakilan Umno melafazkan sumpah taat setia kepada parti yang dipimpin Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari terakhir perhimpunan agungnya kelmarin.

Sementara Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula mencadangkan semua wakil rakyat Umno dan pemimpin parti itu menandatangani surat akujanji menyatakan sokongan dan kesetiaan untuk terus bersama Umno.

Tambah Tuan Ibrahim, ahli Umno sendiri sudah merasai akan berlaku tindakan khianat dan belot sesama sendiri apabila orang-orang tertentu tidak dicalonkan.

"Tindakan ahli Umno melakukan sumpah taat setia ini juga secara tidak langsung mengiktirafan terhadap apa yang PAS lakukan dahulu dan ternyata berkesan walaupun dulu dicemuh dan dikritik oleh pimpinan Umno. Mereka juga akhirnya melakukan perkara sama," katanya.

Ujarnya, bai’ah memang terdapat dalam sejarah Islam bagaimanapun menurut Tuan Ibrahim, sumpah antara Umno dan PAS jauh berbeza.

"Dalam PAS, kita lakukan sumpah bai'ah terhadap calon yang memenangi pilihan raya agar mereka tidak keluar atau lompat parti kerana mereka menang atas tiket PAS yang dipilih oleh rakyat. Sebaliknya, Umno melafazkan sumpah itu untuk tidak mengkhianati dan taat setia pada calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding.

"Jadi jelasnya sumpah Umno ini lebih kepada pemilihan calon dan bukan dibuat kerana amanah yang diberikan oleh rakyat atau parti seperti dilakukan PAS," katanya.

Lebih lanjut, katanya masalah dalaman yang berlaku dalam Umno sekarang tidak berlaku dalam PAS sebab tiada perebutan dalam parti itu.

Malah katanya, terdapat calon yang dipilih pucuk pimpinan PAS datang semula dan mencadangkan nama calon lain yang difikirkan lebih layak.

“Justeru ia berbeza dengan Umno yang terpaksa berhempas pulas cuba membendung persengketaan sesama sendiri, menghindari hasad dengki dan budaya cantas mencatas yang berakar umbi dalam parti itu.”


Turut hadir dan berucap pada program malam tadi adalah Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pimpinan PR Selangor termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saya antara mangsa korupsi | Print |
zulsulung

"Hanya tiang elektrik dan unta sahaja yang tidak batuk di Mekah" adalah kenyataan paling popular di kalangan jamaah haji di Mekah dan juga Madinah.

Ia dibuat untuk memberikan justifikasi apabila ditanya kenapa batuk....mereka menjawab, saya tidak sakit kerana semua orang batuk, tidak ada yang tertinggal.

Namun apabila batuk terlalu berlebihan dan ubat yang diberikan oleh klinik Tabung Haji di Mekah dan Madinah tidak dapat mengurangkannya, sebagai manusia, masing-masing mula berfikir...kenapa ia berlaku.

Takkan tidak ada ubat yang sesuai untuk menghentikan batuk ini atau sekurang-kurangnya meredakan batuk yang dihadapi mereka.

Dan jawapannya diperolehi oleh penulis hanya selepas pulang ke Malaysia.

"Sebenarnya, batuk ada dua jenis...Satu yang berkahak dan satu lagi yang kering atau gatal-gatal di tekak akibat debu. Batuk di Mekah dan Madinah adalah jenis kering yang disebabkan oleh debu halus yang masuk ke dalam sistem badan kita melalui saluran pernafasan dan mulut.

"Debu ini pula halus dan kering kerana cuaca di sana yang panas dan kering," terang seorang doktor yang ditemui selepas pulang ke tanah air.

Untuk batuk jenis berkahak, ubatnya adalah yang berwarna hitam. Brandnya adalah macam ubat batuk cap Kelapa Laut Afrika tu.

Manakala untuk batuk akibat dari debu kering ini adalah yang berwarna kuning jernih itu atau brandnya adalah ubat batuk cap ibu dan anak.

"Jadi apabila kita makan ubat batuk warna hitam itu, batuk kita tidak akan berhentilah, bahkan boleh bertambah lagi," beritahu doktor berkenaan.

Sebenarnya inilah yang berlaku kepada jamaah haji Malaysia. Boleh dikatakan mereka telah diberikan ubat batuk yang salah.

Ketika lawatan kali kedua ke klinik Tabung Haji di Mekah, saya meminta petugas perubatan yang memeriksa saya (bukan doktor) yang bertugas memberikan ubat batuk yang lain kerana selepas sebotol ubat batuk (yang berwarna hitam itu) saya makan, ia tidak memberikan sebarang kesan.

"Tidak ada yang lain encik. Hanya ubat ini yang dibekalkan oleh Tabung Haji," kata petugas perubatan berkenaan.

Inilah nasib jamaah haji Malaysia. Ketika hampir kesemua mereka berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Haji, isu ubat batuk menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Isu ini pula dihadapi oleh hampir semua jamaah kerana 'tiang elektrik dan unta' sahaja yang tidak batuk di sana.

Ketika berbincang dengan doktor yang saya temui di sebuah klinik di Malaysia selepas pulang, beliau bersetuju bahawa saya adalah salah seorang mangsa penyalahgunaan kuasa dan amalah rasuah atau salah guna kuasa di Malaysia.

Beliau yakin, Tabung Haji adalah antara pihak yang terperangkap dan menjadi mangsa amalan ini.

"Sebenarnya, sejak beberapa tahun lepas, hanya ada satu syarikat sahaja yang berhak membekalkan ubat kepada Tabung Haji. Syarikat itu pula amat baru dalam bidang ini dan mendapat kontrak secara fast track bukan kerana kemampuan dan track rekordnya.

"Hasilnya inilah...ubat yang perlu lain, yang dibekal lain," kata doktor berkenaan.

Akibat dari ketidak berkesanan ubat batuk ini, hampir semua bilik penginapan jamaah haji Malaysia, penuh dengan botol-botol ubat batuk ini, namun mereka tetap batuk.

Di dalam masjid, samada Masjidil Haram di Mekah atau Masjid Nabawi di Madinah, batuk menjadi satu irama. Sahut menyahut antara satu sama lain. Dan antara pemain utamanya adalah jamaah haji Malaysia yang bilangannya hanya minoriti itu.

----------------------------------------------------

Penulis baru pulang dari menunaikan ibadat haji. Ini adalah tulisannya yang pertama selepas pulang.


Pau dan Ikrar pulihkan Umno? | Print |
Aspan Alias

PAU dah, ikrar dah, bai'ah dah , Najib kata UMNO pulih sepenuhnya - hebat!

UMNO akhirnya menampakkan (walaupun cuba untuk berselindung) yang pemimpin-pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya sebenarnya memusuhi diri mereka sendiri. Perhimpunan Agung baru berakhir dan segala-galanya yang berlaku dalam perhimpunan itu, saya ulangi; UMNO sebenarnya memusuhi diri mereka sendiri. Samada mereka sedar atau pun tidak itu tidak pula saya ketahui.

Apa kah sebabnya saya berkata demikian? Sebabnya mereka dalam ghairah menghentam semua parti lawan, mereka tidak sedar yang mereka sedang mengaku kelemahan mereka yang sebenarnya. Kecaman yang tidak terkira itu melambangkan kelemahan mereka sendiri. Jika UMNO dan pimpinannya kuat dan mendapat sambutan masakan mereka terpaksa melakukan kecaman yang keterlaluan yang sudah jauh terkeluar dari semangat demokrasi yang kita kononnya anuti sebagai wadah politik kita semua.

Kerana rasa ketakutan UMNO telah bertindak dengan mengadakan ikrar sumpah taat setia kepada UMNO dalam menghadapi pilihanraya ini. Ini di sebabkan ada para perwakilan kalau tidak silap saya perwakilan P Pinang yang mengatakan salah satu dari sebab besar kekalahan calon-calon UMNO di mana-mana ialah kerana ahli-ahli UMNO sendiri telah memberikan undi dan sokongan kepada parti lawan.

Kata-kata Musa Sheikh Fadzir ini benar. Saya telah menulis banyak kali tentang isu ini. Dalam ucapan penangguhan petang semalam, Presiden UMNO telah mengatakan PKR sedang menghadapi ahli-ahli parti yang keluar dari parti itu. Kata beliau 6 ahli parlimennya dan beberapa orang ADUN PKR telah keluar parti kerana tidak berkeyakinan terhadap PKR kononnya.

Tetapi elok kita ingatkan pucuk pimpinan UMNO yang telah berucap bagaikan halalintar semalam yang sebenarnya yang paling ramai meninggalkan parti mereka ialah ahli-ahli atau apa yang di sebut sekarang ini sebagai orang UMNO. Dalam pilihanraya yang lepas lebih dari satu juta ahli UMNO telah mengundi parti-parti pembangkang di dalam peti undi….bukannya enam orang atau 5 orang sahaja. Itu merupakan jumlah yang terbesar meninggalkan UMNO selepas Dr Mahathir meninggalkan UMNO dan membawa ahli-ahli UMNO kedalam parti yang baru yang meminjam nama UMNO itu.

Mengenali sikap dan perangai ahli-ahli UMNO, bai'ah yang dilakukan dalam Perhimpunan Agong itu tidak akan pergi ke mana pun. Bai’ah itu hanyalah melibatkan 5447 orang perwakilan sahaja. Silap-silap ramai di antara mereka juga akan tidak membantu UMNO dalam pilihanraya nanti.

Saya yakin kerana ada 4 atau lima orang perwakilan yang saya kenal telah datang ke TTDI berjumpa dengan saya dan mereka sendiri berkata mereka juga tidak akan memberikan sokongan kepada UMNO kerana kepada mereka UMNO sudah begitu teruk tercalar dan tidak lagi di hormati oleh orang ramai. “UMNO sekarang ibarat dahan yang telah rapuh. Kalau dahan dah reput bang, takkanlah kita nak bernaung di bawahnya lagi! Takut-takut dahan itu patah dan jatuh, mati kita di hempapnya” kata salah seorang yang berjumpa dengan saya yang masih berbaju Melayu yang keluar dari Dewan Perwakilan PWTC itu.

Perwakilan yang datang dari dua bahagian di Johor ini mengakui yang keadaan di Johor pun tidak begitu sedap bagi UMNO ini. “Lantak dia oranglah bang. Dia orang kata UMNO boleh menang selepas perhimpunan agong ni, itu dia punya pasallah. Kalau dengan perhimpunan agong boleh menang, panggil lah perhimpunan agong khas sehari dua sebelum mengundi nanti. Lebih indah khabar dari rupa bang! Walhasil balik asal bang! Biarkanlah dia orang buat kerja. Kita releks” kata seorang lagi.

Sesungguhnya UMNO bermusuh kepada dirinya sendiri. UMNO memusuhi siapa sahaja yang buat kritikan. UMNO masih lagi melakukan mengambil wang rakyat secara haram tetapi dengan penuh sistematik dengan berbagai-bagai cara. Pemimpin-pemimpin rasuah ini akan bermati-matian untuk mempertahankan UMNO kerana UMNO itu merupakan modal perniagaan mereka. Kalau UMNO jatuh ia bermakna mereka akan hilang modal untuk berniaga dan ‘commission’ yang mereka selalu dapati.

UMNO sekarang sudah takut kepada bayang-bayang sendiri. Pemimpin-pemimpin UMNO tahu yang ramai ahli-ahli UMNO akan sabotaj calon mereka sendiri. “Kita tunggu bang, apabila UMNO mengumumkan senarai calon nanti. UMNO akan kalah dalam banyak kerusi yang mereka pegang sekarang nanti. Cakap bolehlah! Pembangkang tidak payah berkempen sangat nanti” bentak seorang dari mereka.

“Kalau UMNO merasa kuat apa payah-payah hentam pembangkang gila-gila? Dah kuat! Tak payah hentamlah! Jemu lah! Tiga hari kami mendengar kata-mengata orang lain. Parti sendiri tidak terjaga nak ambik tahu parti orang lain…menghina orang lain, mencaci..tak habis habis.” Kata seorang perwakilan yang hanya di panggil dengan nama rengkas Man.

Kata seorang lagi, “Dah 50 tahun bercakap tentang agenda Melayu, tetapi Melayu tak kemana juga. Berjanji-berjanji dan berjanji….pendusta besar!” Dalam pilihanraya nanti mereka akan bercakap agenda Melayu lagi tetapi Melayu tidak maju juga. Pendeknya UMNO telah gagal sama sekali untuk memperjuangkan agenda Melayu sejak beberapa ketika dahulu.

UMNO hanya mengutamakan agenda ‘kronism’ mereka sahaja. Itu sebab mereka memaki hamun tanpa batas dan segala-gala kelemahan mereka, UMNO lemparkan kesalahan kepada parti-parti pembangkang. Apabila ramai ahli-ahli UMNO mengundi pembangkang, mereka menyalahkan parti-parti pembangkang. Ketakutan mereka terhadap pengaruh pembangkang memaksa mereka bertindak melakukan ikrar serta bai’ah dalam perhimpunan agong baru-baru ini.

Mana ada parti dalam dunia ini terpaksa melakukan bai’ah untuk mengekalkan kuasa. Semua yang tidak pernah di lakukan oleh manusia yang berfikiran dilakukan oleh UMNO semata-mata untuk kuasa. Tindakan berbai’ah itu sahaja menunjukan yang UMNO tidak berkeyakinan untuik mendapatkan sokongan dalam pilihanraya yang akan datang.

UMNO mengaku hebat tetapi kelemahan-kelamahan mereka di tayang-tayangkan kepada rakyat. Kuat apa namanya itu? Hanya seorang penakut sahaja yang selalunya menjerit-jerit serta terlolong-lolong minta tolong seperti yang ditunjukkan oleh DS Najib itu.

Rupa-rupanya kepada pimpinan UMNO telah kembali pulih setelah berbai’ah dan berikrar di dalam Dewan Merdeka. Semuanya sudah selesai dan “UMNO akan menang besar dalam pilihanraya nanti’.

Mereka (pimpinan UMNO) sebenarnya tidak dapat merasakan apa yang sebenarnya berlaku di bawah-bawah ini. Ramai yang tertunggu-tunggu di kawasan masing-masing, siapakah gerangan-gerangan yang akan di umumkan sebagai calon boleh menang itu.

Jangan pula personaliti Abdul Wahab yang ada di dalam UMNO sekarang ditukar pula dengan Abdul Wahib seperti watak-watak dalam filem Tiga Abdul. Hendak mencari watak Abdul Wahub itu tidak mungkin dapat di cari dalam UMNO sekarang ini. Kalau ada pun Abdul wahub itu ia hanya merupakan kejadian yang kaddang…kaddang sahaja dalam UMNO.

Tetapi kalau nak cari ‘winnable candidates’ dalam UMNO, yang perlu dipastikan ialah UMNO itu sendiri adalah ‘winnable party’.

Source: http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/12/berhimpun-3-hari-sahaja-umno-terus.html

Tiada ulasan: