KUALA LUMPUR, 1 Dis: Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) hari ini membawa tuntutan mereka agar Menteri Pelajaran menyelesaikan masalah penempatan guru ke Parlimen untuk diambil tindakan segera. Gabungan tersebut mengambil tindakan demikian selepas masih belum ada tindakan positif daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahupun Kementerian Pengajiian Tinggi (KPT) berhubung masalah yang dihadapi mereka. Presiden GMPK, Mohd Abdullah Mohd Yusuf berkata, pihaknya menggesa Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula dan menyelaraskan dasar pengambilan Guru Sandaran Tak Terlatih (GGSTT), Kursus Pengajian Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pengajian Lepasan Ijazah (DPLI), j-QAF dan guru pakar luar negara di setiap peringkat. Pengambilan guru-guru selain daripada Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) katanya tidak wajar kerana dalam masa sama masih ramai guru yang belum mendapat penempatan. "Kementerian Pelajaran Malaysia perlu segera mengumumkan tarikh rasmi dibuka permohonan penempatan guru ISMP," kata beliau pada sidang media sebelum menyerahkan memorandum tuntutan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. GMPK yang ditubuhkan selepas konvensyen pra perguruan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bulan lalu turut menuntut KPM menjelaskan segera status kontrak pemegang biasiswa kementerian yang masih belum mendapat penempatan. Selain itu, kerajaan dicadangkan memberi insentif dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan ISMP sehingga mendapat pekerjaan tetap, serta menyelesaiakan masalah dalaman di antara KPM dan KPT. "Unjuran KPM semasa menawarkan program khusus pendidikan di IPT dengan pengumuman terbaru had umur persaraan dinaikkan ke 60 tahun baru-baru ini tidak selari menyebabkan masalah lambakan graduan ISMP," katanya. Sementara itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS selepas mendengar tuntutan tersebut berkata, KPM perlu mencari penyelesaian segera bagi mengelakkan graduan ISMP tiada pekerjaan setelah bertungkus lumus menjalani pengajian. Katanya, kerajaan seharusnya sudah jelas bilangan guru yang diperlukan sebelum melakukan pengambilan pelajar dalam bidang ini. "Masa depan mereka agak suram dan memerlukan kata putus daripada pihak kerajaan agar mereka segera mendapat penempatan. "Ini merupakan satu kecelaruan, ketidakselarasan di antara KPT dan KPM. "Kerajaan seharusnya dapat mengenal pasti masalah-masalah yang bakal timbul, tidak sepatutnya wujud lambakan bakal guru ini," katanya. Awal November lalu, graduan ISMP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan demonstrasi menuntut diberi penempatan dan membantah kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan graduan UPSI supaya "cari kerja lain".
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 1 Dis: DAP hari ini secara tegas menolak tuduhan jahat pihak-pihak tertentu terhadap parti itu yang mengatakan DAP anti Melayu dan anti Islam.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang (gambar) berkata, tuduhan-tuduhan seperti itu ternyata tidak berasas dan berniat jahat terhadap DAP.
Menurut beliau, sebaliknya DAP tidak pernah anti Melayu dan anti Islam dan tuduhan seperti itu ternyata satu fitnah jahat terhadap parti itu yang mesti disekat oleh pelbagai pihak.
Katanya, bagaimanapun untuk menyekat fitnah jahat seperti itu bukanlah sesuatu yang mudah, melainkan dengan meminda peraturan dalam pilihanraya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas pihak terbabit.
"Itulah sebabnya saya mengemukakan usul ini supaya dipersetujui oleh Dewan yang Mulia ini bagi menyekat fitnah-fitnah jahat disebarkan dalam pilihanraya," katanya ketika membentangkan usul untuk meminda peraturan pilihanraya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ketika beliau yang juga Penasihat DAP menjelaskan pendirian rasmi parti itu yang tidak anti Melayu dan Islam, Dewan Rakyat tiba-tiba terus menjadi kecoh dengan suara-suara gangguan keras daripada ahli-ahli Parlimen Umno BN.
Keadaan itu menyebabkan Lim tidak dapat meneruskan ucapannya beberapa ketika sehingga suasana berjaya ditenangkan kembali oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Usul yang dikemukakan oleh beliau itu melibatkan cadangan pindaan beberapa peraturan pilihanraya di bawah bidang kuasa SPR yang menyokong 8 tuntutan Bersih.
Selain itu turut ditambah cadangan pindaan beberapa perkara lain termasuk yang melibatkan hak mengundi bagi pengundi-pengundi luar negara dari kalangan rakyat Malaysia yang bekerja atau tinggal di luar negara.
Usul tersebut dikemukakan oleh beliau di bawah peraturan 30 (1) dan 30 (4C) peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi ditolak oleh Yang Dipertua untuk dibahaskan atas alasan teknikal dan di bawah beberapa peraturan lain.
Sebelum itu, persidangan Dewan Rakyat turut kecoh apabila Ahli Parlimen Padang Serai (Bebas), N Gobalakrishnan mengganggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap membahaskan usul penambahbaikan pilihanraya yang dikemukakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.
Walaupun telah ditegur berkali-kali agar tidak mengganggu persidangan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Gobala tetap tidak mengendahkan teguran itu malah terus bersuara lantang melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadap Anwar.
Akhirnya, beliau diarahkan keluar dewan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga selesai tempoh waktu persidangan pagi ini.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang sinis ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap Umno parti yang ‘mendakap demokrasi’. “DPP Malaysia menganggap ucapan beliau umpama ibarat tin-tin kosong yang hanya kuat berdegar berbunyi apabila diketuk, tetapi kosong di dalamnya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor. Bagi DPP Malaysia, katanya Perdana Menteri mungkin mahu rakyat serta ahli-ahli partinya menganggap Umno adalah parti yang suci bersih dan mengamalkan demokrasi tulen. “Beliau mungkin merasakan rakyat percaya kenyataan beliau tersebut dan menelannya hidup-hidup, walhal hakikatnya, rakyat kini semakin cerdik dan tidak lagi boleh ditipu,” katanya kepada Harakahdaily. Menurutnya, mungkin dalam mentaliti ahli-ahli dan pemimpin Umno ‘mendakap demokrasi’ bererti mendera dan membuli rakyat sesuka hati terutama pembangkang. Demokrasi bagi mereka, kata beliau adalah bertindak berat sebelah dalam pilihanraya, menggunakan seluruh jentera kerajaan sama ada media, jabatan kerajaan dan agensi di bawahnya bagi berkempen untuk mereka. Beliau menambah, bagi Umno, memberi rasuah, mengugut, memberi habuan atau projek segera pilihanraya kepada rakyat dibenarkan untuk mereka. Katanya lagi, menjadikan insitusi penting negara sebagai perkakas yang boleh arah sesuka hati adalah budaya mereka selama ini. Umum, ujarnya mengetahui sejak dahulu hingga sekarang, sistem pilihanraya di Malaysia tidak pernah berlangsung dengan adil dan bebas. Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Khas Parlimen baru ditubuhkan, namun kedengarannya ia tidak sempat menghabiskan tugasnya kerana pilihanraya akan berlaku bila-bila masa dari sekarang. Malah, kata beliau rakyat masih belum melupakan bagaimana RUU Perhimpunan Aman diluluskan baru beberapa hari yang lepas dengan mudah yang bererti menyekat kebebasan dan hak rakyat untuk berhimpun. “Dengan daftar pemilih yang sangat diragui, dengan beberapa siri pengangkapan warga asing yang diberi hak kerakyatan dan mengundi, beberapa bukti daftar pemilih klon dan bertindih, penemuan pemilik kad pengenalan palsu, dengan undi pos yang jelas diselewengkan hasil dari pengakuan beberapa bekas anggota tentera, dakwat kekal yang masih tidak terlaksana, pengundi mati yang masih turun mengundi, dan banyak lagi pendedahan boleh dibuat apakah maksud demokrasi sebenar,” katanya. Justeru, katanya DPP Malaysia mahu bertanya kepada PM, bilakah pemimpin Pakatan Rakyat diberikan akses kepada media khususnya menjelang pilihanraya kecil atau umum dengan adil sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin Umno sekarang. Setahu rakyat, ujarnya bukan setakat tidak berpeluang muncul berkempen di media, malah habis teruk pemimpin Pakatan Rakyat diserang pelbagai penjuru menggunakan media rasmi kerajaan. “Pernahkah PM memikirkan untuk melaksanakan ‘kerajaan sementara’ setelah bubarnya parlimen sebagaimana yang penah dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen,” tanya beliau. Bagi PM, tambahnya mungkin idea ini tidak ‘mendakap demokrasi’ kerana jika dilaksanakan sudah pasti akan mengancam dirinya dan Umno dalam PRU ke 13 nanti. Justeru, katanya DPP Malaysia berpendapat, PM kena tukar istilah dari ‘mendakap demokrasi’ kepada ‘mendekam demokrasi’ kerana istilah inilah yang paling sesuai memandangkan inilah realiti yang berlaku ke atas nilai demokrasi di negara ini sejak merdeka sehingga kini.
Aslani M | KOTA BHARU, 1 Dis: Selepas program Debat Perdana yang disiarkan TV1 berkubur, orang ramai kini tidak lagi dapat menyaksikan wacana yang mengupas pelbagai isu politik. Program yang disiarkan secara langsung itu hanya muncul seketika semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara. Ini sesuai dengan sikapnya lebih terbuka. Begitu juga program Hujjah yang diterbit TV9, berjaya menarik minat orang ramai. Namun Hujjah yang dihidupkan kembali dengan versi baru sekarang kelihatan tidak bermaya. Pentas diskusi, wacana dan debat seperti itu hanya sekali sekala diadakan di dewan tertutup dan tiada lagi siaran langsung kecuali melalui internet. Kumpulan Karangkraf dan beberapa pihak lain termasuk kerajaan Kelantan masih mempertahankan debat terbuka mengupas isu semasa yang berlaku. Ruang untuk rakyat mendapat maklumat secara telus melalui media elektronik kini semakin sempit di bawah kepimpinan negara sekarang. Kalau ada wacana sekali sekala pun di TV1 dan TV9, panelis jemputan hanya dari kelompok yang sama. Tiada lagi diskusi terbuka yang lebih matang dan mendebarkan. Maka mengambil kira kepincangan itu kerajaan Kelantan sejak tiga tahun lalu menganjur wacana perdana dengan mengupas isu kritikal membabit panelis daripada Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan NGO. Dan pada 8 Disember ini sekali lagi wacana ’panas’ akan diadakan bakal mengupas isu bertajuk ”Pilihan Raya Bersih dan Adil : Realiti Atau Ilusi?” Pengarah program Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota Exco, Datuk Husam Musa dijemput sebagai ahli panel wacana berkenaan. Manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Program itu dijangka bermula jam 9 malam akan diadakan di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, merupakan siri kelapan. Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, turut mendapat kerjasama Harakah, Malaysiakini dan KTV sebagai media rasmi. Selain itu Rekabentuk Grafik dan Muslim Life. Ahmad Baihaki berkata, wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui mykelantan.tv. ”Sebanyak tujuh siri wacana yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga melimpah ke luar dewan. ”Ini menggambarkan orang ramai amat mengharap program seumpama itu bagi mendengar kupasan isu semasa yang berlaku secara matang dan sihat,” ujarnya. Antara panelis dari Umno yang pernah diundang termasuk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, Pegawai JASA, Lokman Nor Adam. Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affandi Yusof dan bekas Pengerusi Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad. Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 1 Dis: Pergerakan Ikhwan Muslimin Mesir mendahului pusingan pembukaan pilihan raya Parlimen pasca revolusi pertama negara ini.
Akhbar Al-Ahram melaporkan, parti Islam yang ditubuhkan pergerakan itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) selain parti-parti pergerakan Salafi, mendahului kiraan undi di enam wilayah.
Menurut akhbar harian bebas Al-Shorouk, di Kaherah, FJP memperolehi 47 peratus undi.
Pilihan raya pada Isnin dan Selasa lalu di Kaherah, Iskandariah dan beberapa kawasan lain adalah peringkat pertama dalam pilihan raya untuk memilih anggota Dewan Rendah Parlimen.
Peringkat seterusnya akan dibuat pada bulan Disember ini dan Januari tahun depan.
PAS doakan kejayaan
Sementara itu, PAS turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ikhwanul Muslimin di atas kejayaan awal tersebut.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, PAS juga mendoakan agar kejayaan berterusan mengiringi parti Islam itu sehingga diumum menang pada pilihan raya itu.
"Kita amat bersyukur dengan keputusan awal ini.
"Kejayaan ini menunjukkan bahawa pemimpin Islam dan mesej Islam diterima oleh rakyat negara itu bagi menggantikan sistem diktator," katanya yang juga ahli parlimen Tumpat.
Menurutnya lagi, rakyat khususnya di negara Arab kini sedang bangkit menentang pemerintah regim diktator dan mahukan sistem yang lebih adil kepada mereka.
Sehubungan itu ujarnya, semangat perubahan seperti di negara Arab yang dikenali sebagai 'Arab Spring' itu mampu memberi iktibar kepada rakyat di negara ini untuk melakukan perubahan. | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan