KUALA LUMPUR, 9 Dis: Umno Pulau Pinang mengenepikan adab dan tatasusila orang Melayu Islam apabila bertindak menghadiahkan empat replika najis manusia sempena ulang tahun ke-51 kelahiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Tindakan jijik dan tak senonoh itu dilakukan sekumpulan lelaki yang dipercayai dari Pertubuhan Suara Anak-Anak Malaysia, sebuah NGO Umno yang diketuai oleh Mohamed Ghani Abd Jiman.
Mereka hadir ke bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town tengah hari semalam dengan membawa empat bungkusan yang dihias seperti kek.
Bungkusan tersebut adalah replika najis manusia yang ditempah khas untuk dihadiahkan kepada Lim Guan Eng.
Ianya bagaimanapun diserahkan kepada kakitangan kerajaan yang bertugas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri itu.
Mengulas tindakan itu, AJK PAS Pusat Idris Ahmad menyifatkan ianya sebagai menghina dan memalukan Islam.
"Ajaran mana yang mengajar sikap begini?
"Adakah ini yang dikatakan Islam wasatiah," soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya lagi, tindakan Umno sejak akhir-akhir ini bukan sahaja menjatuhkan maruah Islam malah telah menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam yang harmoni dan mulia.
Tindakan itu juga katanya telah memperlihatkan sikap sebenar Umno yang selama ini hanya berbohong dengan laungan transformasi parti itu.
Tindakan serupa pernah dilakukan kumpulan sama yang juga diketuai Mohamed Ghani pada Julali lalu apabila membawa dua pasang pakaian dalam untuk diberikan kepada ketua menteri Pulau Pinang itu.
Harakahdaily | SHAH ALAM, 9 Dis: Enam aktivis mahasiswa ditahan polis bantuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam malam tadi ketika mereka sedang mengadakan sesi penerangan di Speakers Corner di kampus itu.
Program yang pada mulanya aman tiba-tiba bertukar kecoh apabila berlaku provokasi melampau oleh mahasiswa pro-aspirasi sehingga memaksa polis bantuan kampus itu campur tangan dan menahan keenam-enam aktivis mahasiswa itu.
Kesemua yang ditahan adalah dua dari UiTM, dua dari Universiti Malaya (UM) dan dua orang lagi masing-masing dari Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Razab yang juga salah seorang yang ditahan berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira jam 9.30 malam dan dibawa ke pejabat polis bantuan di UiTM Shah Alam.
Katanya, alasan penahanan mereka adalah kerana masuk ke kampus itu tanpa kebenaran, manakala dua pelajar UiTM itu pula ditahan kerana menyertai Speaker Corner yang tidak mendapat kelulusan pihak universiti.
"Bagi saya tindakan UiTM keterlaluan dan sangat terkebelakang berbanding kampus-kampus lain.
"UiTM juga tidak seiring dengan keterbukaan kerajaan yang mahu memberi kebebasan kepada mahasiswa," katanya.
Menurutnya lagi, kesemua yang ditahan kemudian dibebaskan kira-kira sejam kemudian selepas melalui soal siasat biasa.
Mereka juga diberi amaran agar tidak meneruskan program itu dan diiring keluar dari kampus tersebut sejurus selesai soal siasat tersebut.
Guru jadi tikus puteh kerajaan BN Mohd Nasir Zakaria | Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) ingin menyatakan rasa simpati yang amat mendalam terhadap situasi terkini yang dihadapi oleh para guru dan bakal guru di negara ini.
Pelbagai masalah dan kerenah melanda Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menular menjangkiti sektor pendidikan negara kita.
DPPNK menuntut Kerajaan menyelesaikan dengan segera beberapa kemelut yang berlaku.
Pertama. Isu penghinaan kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan dan di fakulti-fakulti pendidikan.
Menteri Pelajaran dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan. Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa.
Kedua. Kementerian perlu menyatakan kesahihan dakwaan yang mengatakan berlaku kelewatan penempatan sehingga 7 bulan. Graduan ISMP seolah-olah dipermainkan dan diperbodohkan oleh KPM.
Persoalan yang timbul ialah apakah ia berpunca daripada tiada perjawatan ataupun kerajaan tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pegawai pendidikan.
Apa tidaknya, dari bulan ke bulan menanti hingga sekarang borang online masih belum ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa.
Ketiga. Menteri Kewangan membuat pengumuman umur persaraan dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun lewat bajet 2012. Apakah kesan pertama dirasai oleh sektor pendidikan? Berlakunya pembekuan kenaikan pangkat dan pengambilan kakitangan baru seperti yang dibahaskan oleh saya yang dinafikan oleh menteri rupanya terjawab. Ia tetap melibatkan guru.
Keempat. Pengumuman dan kenyataan bersimpang siur KPM juga mengecewakan graduan. Termasuklah maklumat yang mengatakan graduan tidak perlu lagi mengisi borang. Tunggu sahaja dan mereka akan terus dipanggil temuduga. Termasuk juga persoalan pihak manakah yang sebenarnya menguruskan penempatan guru. KPM atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan penempatan guru.
Kelima. Polisi KPM membingungkan. Bagi pengambilan 2007, berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia pengambilan dua kali mahasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Tanpa perlu mengikut proses biasa; tidak perlu mengisi borang UPU, tanpa ujian kelayakan guru dan ujian sakhsiah. Hanya dengan borang yang disediakan KPM mereka terus bergelar mahasiswa dengan alasan unjuran KPM kekurangan guru untuk 2011. 80 000 dilaporkan memohon, 5000 dipilih. Akhirnya mereka diminta mencari kerja lain!
Keenam. Kenyataan terbaru berkenaan 5000 graduan sudah ditemuduga juga dilihat amat mengelirukan. Bangunnya ramai graduan ISMP yang mempertikaikan kenyataan beliau. Apa sudah jadi wahai KPM dan Timbalan Menteri. Janganlah buat kenyataan yang bertentangan dengan realiti.
Ketujuh. Kenyataan kerajaan yang ingin membawa 13 000 guru asing juga menambahserabutkan lagi polisi KPM. Kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina.
Kelapan. KPM wajar menstrukturkan semula kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau tutup sahaja fakulti dan Universiti Pendidikan sekirannya ia tidak perlu. Janganlah struktur itu akan menambahkan lagi kadar pengangguran warga Malaysia yang sudah dianggarkan 400 000. Pemegang ISMP adalah amat sukar diterima oleh mana-mana majikan apabila tertera pendidikan. Majikan menolak kerana biasanya pemegang ijazah ini biasanya akan berhenti apabila dipanggil untuk bertugas di sekolah.
Cukuplah dengan pelbagai isu yang boleh menimbulkan kegelisahan warga pendidik yang menjadi tonggak pembangunan ilmu warga Malaysia. Isu kuarters guru, isu 9 jam bekerja dan isu elaun pengangkutan dan perpindahan yang belum kesudahan.
Justeru itu DPPNK berpandangan, Kementerian wajib menyelesaikan segera isu ini. Kepada warga guru yang menghabiskan empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan. Seterusnya dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah. Fikir-fikirkan dan buat pilihan tepat dalam PRU 13. ------------------------- Penulis adalah anggota Parlimen Padang Terap yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 9 Dis: DAP mencadangkan kerajaan melaksanakan enam perkara untuk membersihkan nama negara dari kancah rasuah yang berpanjangan termasuk mengharamkan semua parti politik terlibat dengan perniagaan.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mencadangkan enam pendekatan itu sempena dengan sambutan hari Anti-Rasuah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut 9 Disember hari ini.
Enam langkah ini perlu dibuat bagi menghentikan kebimbangan Transparency International yang sangat bimbang dengan integriti pihak polis serta dapat membersihkan malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.
Prestasi Malaysia telah merosot dalam laporan terkini Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2011, di mana negara telah jatuh 4 anak lagi ke tangga 60 berbanding dengan tangga ke-56 daripada 178 negara tahun lepas.
CPI 2011 Malaysia telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 tahun ini dan tangga ke-60, berbanding tangga ke-37 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2033.
Malah Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali telah menyatakan bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana “elemen-elemen kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar” masih lagi berleluasa.
Bagi Lim Guan Eng (gambar kanan) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu, dakwaan yang berat daripada TI ini menjelaskan sedikit sebanyak serangan Umno yang penuh fitnah, kebencian dan maki hamun terhadap DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam semasa Perhimpunan Agung UMNO.
Tidak pula ada kritikan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah mendedahkan jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion.
Tidak pula disebut tentang skandal lembu dan kondo, di mana RM250 juta yang sepatutnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk pembelian kondo mewah, dan bagaimana duit itu boleh diberi dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak, katanya.
Yang lebih teruknya, kata beliau, kaji selidik TI ke atas 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara.
Juga dilaporkan bahawa kebanyakan warga Malaysia percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa tiga tahun akan datang.
"Oleh itu, DAP mencadangkan 6 langkah-langkah integriti untuk menambahbaikkan kedudukan anti-rasuah kita dengan menghentikan politik wang dan membanteras rasuah dalam polis," katanya. 6 cadangan Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan.
Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi?
"Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun," kata beliau.
Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni.
Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.
Kerugian RM5 bilion dalam skandal Perwaja, skandal Port Klang Free Trade Zone dan skandal saham bumiputra RM52 bilion kesemuanya berjumlah lebih daripada USD 100 bilion, iaitu jangkaan kerugian rakyat Malaysia akibat daripada penyelewengan dan rasuah.
Ketiga, hak untuk maklumat tidak sulit hendaklah dilindungi di bawah Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan.
Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah membuat pengisytiharan aset mereka.
Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis, tambah beliau.
Terakhir, kata beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri.
Pelanggaran peraturan ini berlaku secara terang-terangan sampai SPR sendiri telah mengaku bahawa RM110 juta telah dibelanjakan untuk poster pilihan raya sahaja dalam Pilihan Raya Umum 2004, kata beliau.
Dengan 219 kawasan parlimen dan 445 kawasan DUN yang ditandingi dalam PRU 2004, had perbelanjaan pilihan raya sepatutnya RM88.3 juta, katanya.
Adalah amat jelas bahawa hanya BN sahaja yang dapat membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk poster pilihan raya dalam PRU tersebut. Meskipun demikian, tiada sebarang tindakan yang telah diambil oleh SPR, tambah Lim Guan Eng lagi.
"6 langkah-langkah integriti ini boleh memulakan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa. "Langkah-langkah asas seperti menghukum mereka yang mengamalkan rasuah, mengurangkan peluang rasuah, melaksanakan sistem integriti kebangsaan melalui undang-undang dan institusi-institusi yang sesuai adalah antara langkah-langkah yang dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat," tegasnya.
Aslani M | KOTA BHARU, 9 Dis: Seorang pensyarah Sains Politik UKM mengakui tanpa media seperti Utusan Malaysia dan saluran televisyen milik kerajaan, Umno sudah lama kehilangan kuasa. Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berasal dari Tanah Merah yang dilihat lebih cenderong berhujah menyokong Umno dan kerajaan pusat mengakui kuasa dimiliki Umno sekarang kerana ada bantuan media arus perdana. Katanya, hujah yang dilontar seorang penonton tadi sememangnya benar dan tidak dapat dinafikan lagi. ”Tanpa Utusan, RTM dan media lain lagi Umno sudah lama tiada,” katanya ketika menjawab soalan seorang penonton pada Wacana Perdana siri ke-8 anjuran kerajaan negeri di Balai Islam malam tadi. Panelis lain Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari UM. Manakala Datuk Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator. Kehangatan dirasakan sepanjang wacana tersebut berlangsung. Dr Samsul juga meluahkan rasa bimbang dengan ledakan maklumat melalui media internet sekarang yang menjadi kegilaan golongan muda. Hematnya internet menjadi kuasa yang mendorong anak muda berpihak kepada Pakatan Rakyat. ”Namun berdasar kepada satu kajian yang dijalankan di Kubang Pasu mendapati 60 hingga 70 peratus penduduk masih lagi bergantung kepada media konvensional. ”Ini memberi insentif kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Bagaimanapun apabila akses internet berubah secara menyeluruh suasana politik negara juga dijangka berubah,” katanya. Beliau yang pertama kali muncul di pentas wacana di negeri tumpah darahnya pada awal lagi berdepan dengan amarah penonton apabila memulakan persembahan dengan Salam 1Malaysia. Malah pujiannya terhadap konsep 1Malaysia yang dianggapnya sudah diterima rakyat menjadi punca penonton tidak mampu berdiam diri. Laungan ”profesor kangkong” bergema di bahagian belakang ruangan penonton. Kadang-kadang suara ahli panel tenggelam dengan keriuhan penonton begitu sendat memenuhi dewan besar Balai Islam. Bahagian belakang dan aras satu penuh sehingga ramai terpaksa berdiri. Wacana malam tadi sepatutnya membariskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhamad Nazri Aziz berdepan dengan anggota Exco, Datuk Husam Musa. Difahamkan Nazri meminta dipinda tarikh kepada 22 Disember. Namun sehari dua lalu mahu dipercepatkan pula kepada 16 Disember. Kemudian mahu dipindah pula ke Januari depan. Ramai melihat Nazri seperti tidak sanggup berdepan dengan audien fanatik di Kelantan apabila asyik mengubah tarikh bagi menampilkan diri di pentas politik terbuka Kelantan. (Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 9 Dis: Gerakan yang dinamakan sebagai Asalkan Bukan Umno BN (ABU) akan mengadakan sidang media serentak di seluruh negara petang ini bagi memaklumkan kewujudannya untuk menumbangkan Umno BN kepada umum.
Gerakan yang terdiri daripada organisasi massa termasuk individu dan aktivis masyarakat ini akan bergabung tenaga untuk menggerakkan kempen kesedaran kepada rakyat mengenai kezaliman Umno BN selama ini.
Manakala tarikh pelancarannya secara rasmi akan dimaklumkan petang ini.
Salah seorang penggerak ABU iaitu Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan berkata, ABU akan memberi fokus seratus peratus untuk menjatuhkan Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang termasuk mendedahkan segala bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan Umno BN.
"Walaupun individu yang terlibat terdiri daripada NGO dan orang perseorangan, tapi gerakan ini memang bertujuan politik iaitu menjatuhkan parti lawan, Umno BN," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Arutchelvan yang sepatutnya ada pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) jam 3.30 petang ini bagaimanapun tidak dapat hadir kerana terpaksa mempengerusikan satu program lain dan menghantar wakil.
Di negeri-negeri lain, senarai tempat sempat sidang media adalah seperti berikut:
1. Johor – 2.30pm Kelab Persatuan Wartwan, 11, Jalan Cermat 1, Taman Maju Jaya
Johor Bahru Anuar (SAMM) 017-6849693, Salleh Ahmad (PRM) 013-7313825
2. Melaka – 3.30pm Pejabat Parti Keadilan Rakyat, No9A Jalan Asean 1, Taman Asean, Melaka Zuraidi (SAMM) 012-2478016
3. Negeri Sembilan – 3.30pm Jalan Tuanku Antah, Tingkat 1, Restoran Bidara Corner, Seremban Saufi (SAMM) 013-6777507, Sani (SAMM) 0129781707
4. Perak – 3.30pm Pejabat Biro Masyarakat Keadilan, Ipoh MatSamanKati(SAMM) 012-4381418, Mat Noh(MCLM) 019-5671477
5. Pulau Pinang – 11.00am George Town Coffee House, KOMTAR Walk, P.Pinang Aidil(SAMM) 017-4760274, ZainulFaqar (SAMM) 019-4241583
6. Kedah – 3.30pm 345A Air Mendideh, Sg Petani. (Berhampiran Hospital LamaS.Petani) Tok Gondang (PRM) 0132946741, Viveg (MCLM) 0125426133
7. Perlis – 3.30pm Kelab Media Perlis, Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis Asrul (SAMM) 019-4342244
8. Pahang – 3.30pm Pusat Khidmat PKR ADUN Semambu. A73, 1st Floor, Jalan Hj Ahmad, Kuantan Pahang Clement (SMSL)0129883210, Suresh (PSM) 0195696964
9. Terengganu – 5.00pm Muara Tomyam, Jalan Sultan Sulaiman, K.Terengganu (Sebelah Wisma Tenang) Rafzi Ramli (SAMM) 0199809974
10. Kelantan – 3.30pm Hotel Raudhah, Jalan Maju, Kota Bharu Fauzi (SAMM) 0175959755, Zaidi(PSM) 0123840415 | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan