Khamis, 8 Disember 2011

TAK ELOK KITA MENIPU..MEMAKAN YANG BUKAN HAK..ATAU SALAH GUNA KUASA....MUNGKIN DUNIA SELAMAT DENGAN KEKUASAAN...BAGAIMANA DIAKHIRAT KELAK..TAK TAKUTKE

Selamatkan baki wang rakyat dalam NFC | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Kerajaan perlu bertindak segera menyelamatkan wang rakyat dengan mengambil alih semua aset National Feedlod Corporation (NFC) yang masih tertinggal.

Langkah ini perlu dibuat untuk menyelamatkan sebanyak mungkin wang yang telah diberi pinjam kepada NFC tetapi telah dibelanjakan bukan untuk 'core busines'nya.

Demikian cadang Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang juga Exco Ekonomi kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataannya hari ini.

"Dalam keadaan seperti ini, Kerajaan seharusnya bertindak cepat untuk menyelamatkan semaksimum mungkin jumlah wang yang telah diluluskan itu.

"Aset-aset yang telah diletakkan atas nama persendirian atau syarikat persendirian oleh NFC harus segera diarahkan untuk diserahkan kepada Kerajaan.

"Kondominium dan tanah di Putra Jaya, jika diserahkan kepada Kerajaan sekurang-kurangnya membolehkan Kerajaan mendapat semula sebahagain wang yang telah diluluskan tetapi telah digunakan untuk tujuan yang tidak bersangkutan," kata Husam (gambar) dalam kenyataannya.

Beliau juga mencadangkan agar Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Senator Shahrizat Jalil juga melepaskan jawatan sebagai sikap pertanggungjawaban dengan apa yang berlaku dengan melindungi kepentingan kerajaan dalam situasi sebegini.

Bagi Husam, neliau seharusnya menunjukkan beliau berada di sebelah Kerajaan dan rakyat jika dakwaan beliau bahawa beliau tidak terlibat dengan sebarang urusan perniagaan suaminya adalah benar.

"Sehingga kini, tidak nampak peranan beliau sebagai Menteri Kabinet benar-benar berkecuali dari NFC yang diuruskan oleh suami beliau.

"Paling tidak, jika kredibiliti beliau mahu dijaga, beliau sendiri mencadangkan satu dua diligence atau odit bebas dilakukan dan laporannya dibentangkan kepada umum.

"Pendirian seperti itu boleh membuktikan beliau benar-benar tidak melindungi sebarang kemungkinan salahguna wang atau pecah amanah suami atau keluarga beliau.

"Sebaliknya, jika beliau terlibat dengan percutian keluarga atas wang NFC yang juga adalah wang rakyat, langkah terhormat adalah meletakkan jawatan menteri serta merta dan menasihatkan suami beliau serta anggota keluarga yang lain menyerahkan semua aset-aset bukan perniagaan berkaitan serta merta," kata Husam.

Husam juga kesal dengan sikap apathy yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam isu ini.

"Sikap berdiam diri Perdana Menteri seakan menunjukkan skandal sebesar ini tidak menjadi keutamaan kepada beliau dan tidak ujud 'sense of urgency' melindungi negara dari salah guna dan penyelewengan bila mana ia melibatkan kerabat dekat UMNO/BN.

"Program Transformasi yang dilaungkan adalah gimmik semata-mata dan pentadbiran beliau, sama dengan pentadbiran lain sebelumnya, tidak mampu keluar dari amalan penyalahgunaan dan penyelewengan berskala besar seperti ini.

"Laporan Ketua Audit Negara dan pendedahan ekoran dari itu sepatutnya sudah cukup untuk beliau bertindak terhadap semua pihak terlibat.

"Odit lanjutan boleh dilakukan sebagai menghargai apa yang telah dibangkitkan oleh Ketua Odit dan berdiam diri hanya memberi makna sikapnya tidak accountable, bersih dan telus. Beliau sanggup membiarkan rakyat terus kecewa dengan amalan-amalan yang merugikan ini," tambah Husam.


Dakwat kekal: PAS tunggu dan lihat | Print |
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 8 Dis: PAS mengambil sikap tunggu dan lihat dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang mengumumkan akan menggunakan kaedah celup jari dengan dakwat dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Menurut Presidan PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ia merupakan usaha PAS, rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat, melakukan reformasi dalam demokrasi.

Katanya, pemulihan demokrasi tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang memerintah negara tidak bersungguh menyokong usaha tersebut, lapor BuletinOnline.

“Isu pemulihan demokrasi. PAS menyertai bersama rakan-rakan lain untuk membuat reformasi dalam demokrasi, tapi dengan syarat kerajaan mestilah bersungguh, mengelakkan penipuan yang celup jari (dengan) dakwat itu dah diterima, kita tunggu dan lihat,” katanya yang juga Adun Ru Rendang kepada media di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau menegaskan, pilihan raya umum ke-13 tidak sepatutnya diadakan kecuali beberapa perubahan penting telah dilakukan seperti pembersihan daftar pemilih dan kebebasan media.

“Pembersihan daftar pemilih mengelakkan penipuan dan kebebasan media untuk semua parti politik sebagaimana diamalkan di negara-negara lain, negara-negara Asean, contohnya Indonesia sudah berubah, Thailand sudah berubah.

“Media cetak dan elektronik bukan saja hak kepada parti yang memerintah termasuk parti-parti yang bukan memerintah supaya rakyat boleh mendengar kerana media adalah saksi, rakyat adalah hakim,” jelasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, rakyat tidak mungkin boleh membuat penghakiman yang adil sekiranya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja.


Bantu SKMK elak perkhidmatan bas terjejas

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 8 Dis: Persaingan sengit dan kewujudan banyak bas ekspress kebelakangan ini menyebabkan syarikat yang sudah lama beroperasi berdepan dengan kesukaran.

Lebih menyedihkan lagi apabila kerajaan persekutuan hanya memberi tumpuan kepada perkidmatan bas Rapid di bandar-bandar besar sahaja dengan segala kemudahan dan bantuan.

Kesannya banyak syarikat bas tempatan termasuk Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) yang kini bergabung di bawah Konsortium Transnasional Berhad (KTB) menghadapi masalah kewangan.

Ekoran masalah itu syarikat terbabit terpaksa mendapat bantuan kerajaan negeri bagi memastikan perkhidmatan bas antara bandar di Kelantan terus beroperasi.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, baru-baru ini kerajaan negeri meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM400,000 bagi membolehkan perkhidmatan bas antara bandar terus beroperasi.

Katanya, sebelum ini SKMK mahu memberhentikan laluan City Liner di 17 jalan utama sehingga boleh menjejaskan orang ramai yang menggunakan pengangkutan tersebut.

“Perkhidmatan bas City Liner amat penting di Kelantan. Lagi pun perkhidmatannya sudah melebihi 60 tahun di mana jasanya tidak sedikit,” ujar beliau ketika ditemui selepas lawatan ke stesen bas SKMK di pusat bandar dan bengkel di Kubang Kerian.

(laporan penuh dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)


Stop Lynas dan Bersih 2.0 terima award hak asasi | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia memilih Save Malaysia, Stop Lynas dan Jawatamkuasa Kerja Bersih 2.0 sebagai penerima award hak asasi manusia 2011.

Pengumuman pemilihan kedua-dua NGO tersebut dibuat oleh Suaram dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Save Malaysia, Stop Lynas, sebuah NGO yang dibentuk di Kuantan bagi menentang pembinaan kilang rare earth Lynas di Kuantan.

NGO ini telah berjaya memperjuangkan hak-hak rakyat di sekitar Kuantan untuk menentang pembinaan kilang dari Australia yang dipercayai boleh merosak alam sekitar di persekitarannya.

Jawatamkuasa Kerja Bersih 2.0 pula dipilih atas kejayaannya menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu yang memberikan pelbagai implikasi kepada negara ekoran perhimpunan itu.

Antaranya adalah pembentukan jawatankuasa khas Parlimen bagi mengkaji sistem pilihan raya di Malaysia.

Jawatankuasa ini telah dikira berjaya dalam tuntutan lapan perkaranya bagi memastikan pilihan raya di negara ini bersih dan adil.

Penal hakim pemilihan ini adalah Syed Ibrahim Syed Noh, pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) (2009 HRA Winner); Parameswari, Pengurus Komuniti dan Koordinator National JERIT dan Daniel Albert, ahli sekretariat Suaram.


Debat NFC: Rafizi mahu Khairy tetap tarikh | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Kecewa dengan penolakan Khairy Jamaluddin untuk berdebat pada 12 Disember, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mahu ketua pergerakan pemuda Umno itu sendiri memilih tarikh.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Rafizi berkata beliau bersedia berdebat berhubung skandal National Fidlot Corporation (NFC) bila-bila masa termasuk jika Khairy mahu debat itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekalipun.

"Saya sudi meluangkan masa pada mana-mana tarikh dalam tahun 2011 dan 2012 untuk memastikan debat tersebut dapat diadakan. Saudara Khairy hanya perlu memilih satu tarikh yang sesuai untuk beliau.

"Saya mencadangkan supaya debat tersebut diadakan di PWTC untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada Saudara Khairy apabila dilangsungkan di ibu pejabat Umno sendiri," katanya.

Menurutnya, permintaan sama turut dinyatakan kepada Khairy melalui satu surat balas yang dihantar hari ini kepada jawapan Khairy yang menolak untuk berdebat 12 Disember ini.

Sekiranya Khairy masih berdolak dalih walaupun diberi kelonggaran tersebut dan tidak memberikan satu tarikh menjelang 12 tengahari 12 Disember 2011, beliau menyimpulkan Khairy tidak berani untuk berdebat isu NFC itu.

Beliau memberitahu surat penolakan itu diterima dua hari lalu yang memaklumkan Khairy tidak dapat menerima jemputan berdebat mengenai NFC pada tarikh asal 12 Disember 2011 kerana bertembung dengan program yang lain.

"Saya kesal kerana beliau mengambil masa tiga minggu untuk memaklumkan perkara tersebut seolah-olah beliau cuba melengah-lengahkan debat ini yang telah pun dipersetujui beliau," katanya mengulas surat jemputan yang telah dihantarnya pada 18 November lalu.

Beliau turut memaklumkan, PKR akan meneruskan juga sebuah debat membongkar penyelewengan NFC pada 19 Disember 2011 dan turut mengalu-alukan penyertaan Khairy.


Hapus subsidi gas bebankan rakyat | Print |
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 8 Dis: Tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan sepenuhnya subsidi gas asli menjelang tahun 2015 bukan sahaja akan membebankan rakyat, malah akan turut mempertingkatkan lagi penggunaan tenaga asas di negara ini.

Berdasarkan statistik yang dibekalkan oleh Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, Malaysia mengalami peningkatan penggunaan tenaga asas purata sebanyak 6.1 peratus di antara tahun 2000 hingga 2008.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, catatan tersebut menjadikan peningkatan penggunaan tenaga asas itu hampir sama dengan peningkatan purata KDNK (GDP) negara sebanyak 6.0 peratus.

Menurutnya, apabila subsidi kepada gas asli akan dimansuhkan sepenuhnya oleh kerajaan menjelang tahun 2015, peningkatan tersebut pasti akan menjadi lebih ketara.

Katanya, bukan sahaja kos tenaga dijangka meningkat, malah Malaysia juga agak ketinggalan jauh dalam bidang Kecekapan Tenaga disebabkan pelbagai alasan.

"Berdasarkan statistik penjualan tenaga elektrik pada tahun 2009, sebanyak 92,753 GWj (Giga Watt jam) tenaga elektrik telah digunakan. Awer menganggar sejumlah 62.14 juta Ton bersamaan CO2 (karbon dioksida) telah dilepaskan disebabkan penggunaan elektrik ini.

"Nisbah purata agihan pelepasan CO2 adalah 3:5:6 di antara sektor domestik, komersil dan industri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Walaupun Malaysia telah membuat komitmen untuk mempraktikkan teknologi hijau dan Ekonomi Rendah Karbon, menurutnya, langkah seterusnya masih kabur.

Katanya, ia hanya mewujudkan “penghijauan” dari segi warna berbanding dengan cara-cara penyelesaian masalah yang membantu.

"Berdasarkan maklum balas daripada individu-individu, SMI/E (Industri Kecil Sederhana), pembuat peralatan elektrik dan agensi kerajaan, mereka ingin bantuan seperti webtool (alat bantuan berasaskan internet) untuk membantu mereka membuat keputusan dan bergerak ke hadapan," tegasnya.

Sehubungan itu, Awer telah mengambil keputusan untuk melancarkan sebuah portal yang beralamat di CLICK www.click.org.my bagi membantu orang ramai merealisasikan gaya hidup rendah karbon.

Katanya, CLICK hanyalah satu permulaan dan ia adalah satu portal yang berkembang dengan lebih banyak webtool serta laporan-laporan akan dimuatnaik secara berkala.

Pelancaran portal tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Ray Kyles di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British di sini jam 10.00 pagi semalam.

Menurutnya, sebelum portal tersebut berjaya dilancarkan, pihaknya telah menjalani beberapa siri perundingan secara pasif, aktif interaktif mengenai gaya hidup rendah karbon dengan pelbagai pihak.

"Hasil kajian tersebut telah dikaji semula dengan teliti dan dipadankan dengan rancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang, bagi membantu negara dalam mencapai gaya hidup rendah karbon," tambahnya.

Portal tersebut disediakan dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dan dibahagikan kepada 4 bahagian.

Bahagian pertama mengenai pengenalan CLICK, bahagian kedua bagi realisasi kepada gaya hidup rendah karbon, bahagian ketiga panduan untuk menangkap pencuri tenaga dan bahagian keempat akujanji atas talian.

Portal tersebut sememangnya amat berguna kepada semua pihak dan orang ramai yang ingin melayarinya kini bolehlah mengunjungi laman sesawang www.click.org.my pada bila-bila masa.

Tiada ulasan: