Isnin, 12 Disember 2011

CAKAP BIJAK..BERDALIH PANDAI..MENGUTUK PANDAI...ADAKAH IA BOLEH MENUTUP KESALAHAN...UNDURLAH...

Sudah 3 pemimpin BN desak Shahrizat letak jawatan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Sejak pendedahan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang mengaitkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sekurang-kurangnya tiga pemimpin besar BN secara terbuka mendesak beliau meletakkan jawatan parti dan kerajaan.

Terbaru, desakan dari Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan yang mahu Shahrizat meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

Ghapur berkata isu yang membabitkan Shahrizat itu cukup memalukan dan telah menjejaskan BN dan Umno secara keseluruhan.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir juga turut memberi isyarat agar Shahrizat melepaskan jawatan demi survival perti politik itu.

Tun Mahathir walaupun tidak secara formal meminta Shahrizat meletak jawatan namun isyarat ‘untuk kebaikan parti’ telah cukup memberi satu jawapan mudah buat Shahrizat untuk meletak jawatannya agar beliau tidak menjadi liabiliti kepada parti.

Seorang lagi Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin antara yang begitu lantang meminta Shahrizat meletak jawatan bahkan beliau berulang kali mendesak Ketua Wanita Umno itu berbuat demikian.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional itu mengaku isu NFC yang membabitkan Shahrizat itu sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

Skandal NFC membaitkan sejumlah RM250 juta dana awam yang telah diberikan kepada syarikat milik suami Shahrizat bagi tujuan menjalankan projek penternakan lembu pada tahun 2008.

Bagaimanapun Laporan Ketua Audit Negara 2010 merumuskan projek tersebut berdada dalam keadaan kucar kacir.

Ekoran itu, PKR membuat pendedahan demi pendedahan yang mendakwa telah berlaku penyelewengan terhadap dana tersebut.

Dalam pendedahan mereka, dana RM250 juta itu antara lain telah digunakan untuk tujuan berikut:

- Membeli dua buah Kondominium mewah 'One Menerong' (RM13.8 juta)
- Membiayai Umrah atas nama suami dan anak lelaki (RM31,580)
- Perbelanjaan peribadi (RM26,400)
- Membeli Mercedes Benz CLS350 (RM534,622)
- Membeli dua lot tanah di Putrajaya (RM3.36 juta)
- Percutian mewah (RM455,423)


Subky wajar jadi idola anak muda | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Dis: "Bukan setakat buku ini mencerita kehidupan Subky tetapi cara hidup beliau sekarang yang perlu menjadi idola anak muda," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas buku terbaru Subky Latif, Anak Apak yang dilancar Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said hari ini.

Buku memoir Subky sejak kecilnya itu dilancarkan di Karnival MPH 2011 di Mid Valley Mega Mall.

Mohamad Sabu sepatutnya melancarkan buku itu namun di saat akhir ia telah tidak dibenarkan oleh pihak penganjur.

Tidak diketahui sama ada ia adalah arahan pihak tertentu atau daripada penganjur sendiri.

Namun atas dasar setia kawan, Mohamad hadir dalam majlis hari ini bersama Pak Samad.

"Dalam buku ini saya dapati, Subky rapat dengan semua orang yang hebat-hebat namun dia tidak senang dan kaya juga tetapi kekal sebagai wartawan dan negarawan.

"Dia kenal rapat dengan Datuk Harun, Jaffar Albar, Tun Razak, Tun Musa dan lain-lain.

"Inilah yang patut dijadikan turutan anak muda kita," kata Mohamad.

Subky ketika ditanya selepas penyataan Mohamad Sabu kenapa beliau tidak senang sebagaimana orang lain yang senang selepas kena pembesar negara, menjawab penuh tersirat: "Sebab saya tidak tahu kira duit".


NFC: Muhyidin kena undur bersama Sharizat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berpendapat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin lebih bertanggungjawab atas skandal yang berlaku dalam Perbadananan Feedlot Kebangsaan (NFC).

Ini kerana, ketika pinjaman mudah RM250 juta itu diberikan, Muhyidin sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah pihak yang bertanggungjawab memantau projek itu.

"Shahrizat sebagai menteri dan suami kepada Pengerusi Eksekutif NFC dan ibu kepada anak-anaknya yang menjadi pengarah NFC juga bertanggungjawab, namun bagi saya Muhyidin sebagai menteri lebih bertanggungjawab.

"Oleh itu, bukan Shahrizat sahaja yang kena letak jawatan, Muhyidin juga tidak terlepas," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui di majlis pelancaran buku Haji Subky Latif, Anak Apak, yang dilancarkan oleh Datuk A Samad Said di Mid Valley Mega Mall hari ini. (gambar)

Mohamad mengulas desakan demi desakan agar Shahrizat meletakkan jawatan ekoran skandal NFC yang melibatkan pinjaman mudah RM250 juta kerajaan tetapi digunakan untuk tujuan lain itu.

Terbaru Tun Dr Mahathir juga campur tangan yang meminta Shahrizat meletakkan jawatan sebelum dia dihalau dari Kabinet.

Sebelum itu, tiga pemimpin Umno Ghafur Salleh, Bung Mokhtar Radin dan Syed Ali Al Habshi juga mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik juga mengulasnya dengan berkata, pimpinan Umno seharusnya mengambil tindakan.

NFC ditubuhkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) untuk meningkatkan hasil daging negara dari bergantung kepada negara asing.

Namun, ia semacam telah diselewengkan termasuk membelanjakan wang pinjaman itu untuk pembelian kondo dan kereta mewah serta memberikan gaji yang mahal kepada pemimpin projek itu iaitu keluarga Shahrizat.

Muhyidin selaku menteri berkaitan ketika itu diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi untuk melaksanakannya.

Menteri Pertanian Industri Asas Tani sekarang, Datuk Seri Noih Omar berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai pinjaman itu kerana ia tidak pernah diluluskan dalam Kabinet.

Ketika itu, Noh turut berada dalam Kabinet tetapi menjaga portfolio lain.

Beliau menafikan keputusan mahu menganugerahkan projek NFC pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Kabinet.

“Saya boleh sahkan bahawa NFC (sebenarnya) terletak di bawah Jawatankuasa Projek Impak Tinggi dan ketika pinjaman diluluskan kepada NFC, ia bukan di bawah Kabinet, tidak (disebutkan) dalam mesyuarat (Kabinet),” kata beliau kepada pemberita di sini.

Noh, bagaimanapun enggan menyebut nama pegawai yang bertanggungjawab ke atas jawatankuasa yang menghalusi perkara berkenaan.

Jumaat lepas, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangkan agar kerajaan merampas harta termasuk kondo dan kereta mewah NFC untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung kerajaan.

Mahfuz sokong

Pandangan Mohamad disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) yang berkata, adalah tidak wajar jika tekanan hanya diberikan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sahaja, sedangkan projek yang dianugerahkan kepada syarikat suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat itu diluluskan sendiri oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertanian.

"Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sendiri sahkan wang dikeluarkan kepada akaun khas dengan kelulusan pihak kementerian pertanian.

"Siasatan menyeluruh wajib diadakan bukan sahaja kepada dakwaan penyalahguanaan wang RM250 juta itu oleh keluarga Shahrizat, tetapi juga kena siasat pihak kementerian dan kabinet," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

PAC sebelum ini juga mendedahkan duit RM250 juta tersebut habis dikeluarkan dari tahun 2008 hingga 2009, namun perjanjian hanya dibuat pada 2010.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini juga menjelaskan bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

"Apakah jawatankuasa itu sahaja yang buat keputusan? Tanpa kelulusan kabinet?

"Muhyiddin selaku bekas menteri juga perlu dipertanggungjawab. Kita nak tahu apa bentuk perbincangan yang menyebabkan kabinet luluskan projek ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, rakyat tidak mahu kes Fidlot ini sama mengulangi apa yang berlaku pada skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) di mana kabinet hanya sedar ditipu hanya selepas menteri berkenaan bersara.

"Lepas menteri pencen baru kabinet sedar kena tipu.

"Kita tidak mahu Fidlot ini jadi macam PKFZ, sebab itu kita minta siasatan menyeluruh ketika semua menteri terlibat masih belum pencen lagi ni," katanya.

Salleh kena jelaskan

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Pengerusi Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail menjawab sendiri tuduhan terbaru mengenai projek itu bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Katanya, sikap berdiam diri Mohamed Salleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban dituduh bersubahat sedangkan semua dakwaan melibatkan urusan syarikat.

"Saya gesa Mohamad Salleh tampil ke depan dengan segera untuk menjawab segala tuduhan baru yang tersebar di dalam blog, yang dibuat oleh pembangkang supaya rakyat tidak terkeliru dan kerajaan tidak menjadi mangsa tuduhan.

"Bila berdiam diri, tak jawab segala dakwaan, seolah-olah dia tidak bertanggungjawab, seolah-olah dia sengaja nak susahkan Umno dan kerajaan," katanya kepada Bernama Ahad.

Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, tuduhan berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.


Papan tanda hospital sudah naik lalang | Print |
Mohd Firdaus

PENSIANGAN, 12 Dis: Janji manis sebuah kerajaan Barisan Nasional Sabah di daerah ini sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.

Pembangunan sebuah hospital yang dijanjikan sejak beberapa tahun lalu kini umpama ‘hospital lalang’ yang tidak ubah mencekik duit dan nyawa rakyat.

Yang Dipertua PAS Pensiangan, Hisammuddin Sulaiman berkata, janji yang diberikan Barisan Nasional kepada penduduk kawasan Pensiangan dan Keningau ibarat ‘janji pilihanraya’ yang mencekik darah dan nyawa rakyat.

“Janji hospital 5 tahun dulu, hari ini janji lagi… nak buat klinik. Tanah yang rata dah tumbuh lalang. Bukan pendek-pendek… tapi datanglah tengok sendiri.

“Papan tanda pun dah nampak nak terbalik, macam beri signal BN akan terbalik macam itu,” katanya dalam nada yang marah.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Daerah Nabawan, OKK Sayau dalam sebuah akhbar tempatan Utusan Borneo mengesahkan lagi mengenai ketidakupayaan sebuah kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Musa Aman yang hanya berjanji tapi tidak melaksanakan.

“Bukan saya yang dedahkan maklumat ini. Rakyat Sabah sudah baca kenyataan ini yang dikeluarkan sendiri oleh rakyat Sabah,” jelasnya.

Kata Hisammuddin, keresahan rakyat terutama golongan ibu yang mengandung yang menghadapi kesukaran mendapat bantuan di saat kelahiran bayi.

“Bayangkan ibu-ibu yang ingin melahirkan bayi terpaksa mengharungi jalan berbatu sejauh di pedalaman Sook menuju ke hospital terdekat di Keningau.

“Ada kemungkinan tidak sempat tiba di hospital, anak sudah dilahirkan dalam perjalanan,” dakwanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Sabah mendesak kerajaan negeri menyediakan prasarana yang mencukupi di Klinik Nabawan.

“Klinik ini bukan kekurangan kakitangan, malah ubat-ubatan yang diperuntukkan tidak mampu menampung keperluan penduduk,” katanya.

Tiada ulasan: