KUALA LUMPUR, 12 Dis: Rakyat dinasihatkan agar sedar bahawa Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanyalah sogokan dan umpan Umno BN menjelang pilihan raya umum ke-13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) berkata, bantuan sebanyak RM500 secara one off itu hanya bersifat sementara, sebaliknya rakyat akan terus menanggung beban kenaikan harga barang dan kos sara hidup selagi menyokong Umno BN. "Jangan rakyat untung sehari, tapi rugi lima tahun kerana berada di bawah pemerintahan Umno BN. "Fenomena pemberian one off ini sedang rancak berlaku sekarang. Ini budaya sogok yang sudah lama berlaku dalam pemerintahan Umno BN," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Siti Zailah juga berkata, rakyat terutamanya yang mempunyai tanggungan ramai tidak seharusnya terlalu teruja dengan jumlah RM500 itu kerana ianya tidak berbaloi dengan harga barang yang tinggi. "Rakyat kena celik sikit, pemberian cuma RM500. Kalau ada anak ramai, tak cukup pun hendak membeli keperluan sekolah dan sebagainya sedangkan dalam tempoh lima tahun lagi, terpaksa melalui masa-masa sukar," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. Sabtu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melancarkan BR1M di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor. Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak itu diperoleh daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM). Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak memohon itu diperolehi daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM). "Kumpulan sasaran terdiri mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 bagi satu isi rumah dengan ramai tanggungan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan anggota keluarga berdaftar di bawah program eKasih. Sementara itu, menyentuh mengenai Umno BN yang mempersoalkan hanya sebuah masjid berjaya didirikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Siti Zailah berkata, apa yang harus diberi perhatian bukan kuantiti, tetapi cara masjid itu diimarahkan. "Kenyataan BN itu menggambarkan betapa jauhnya pemimpinnya dengan ajaran Islam. "Dalam sejarah dulu, kaum munafik mendirikan Masjid Dirar bagi menyaingi masjid yang didirikan para sahabat dan Rasulullah mengarahkan masjid itu dibakar," katanya. Siti Zailah berkata, Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih gemar mendidik rakyat negeri itu agar menginfakkan wang untuk membina masjid. "Tok Guru Nik Aziz mahu masjid yang didirikan itu hasil kutipan derma daripada rakyatnya sendiri kerana pahala menderma untuk pembinaan masjid itu sampai ke akhirat," katanya.
Subky Latif | TAHUN akhirnya memimpin UMNO dan Perdana Menteri, Dr. Mahathir menyekat semua bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), kerana pada persepsinya SAR rata-rata menentang kerajaan Barisan Nasional dan ia menyediakan orang-orang yang akan menjadi PAS. Demi melumpuhkan PAS, kalau boleh dihapuskan PAS, maka Sekolah Agama Rakyat itu perlu dihapuskan dulu. Sikap anti SARnya itu dinyatakannya dalam satu perhimpunan UMNO di PWTC. Sesudah bersara dari Perdana Menteri beliau keluar UMNO kerana kecewa dengan pimpinan Tun Abdullah Badawi. Selepas Pak Lah berundur Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha membawanya semula masuk UMNO. Tidak diketahui dia sudah UMNO semula atau belum. Tetapi Timbalan Perdana Menteri yang menjadi Menteri Pelajaran itu seperti telah menampar muka mantan Perdana Menteri. Apabila secara rasmi mengadakan peruntukan membantu semua Sekolah Agama Rakyat. Hatta semua sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan yang mendapat biaya dari kerajaan Kelantan itu pun turut diberinya bantuan. Dalam kunjungan Muhyiddin ke Kelantan yang terakhir telah menyampaikan sendiri bantuan kepada SAR. Apa yang dibuat oleh TPM itu adalah mencerminkan dasar UMNO terhadap SAR. Kalau pun tidak semua masa UMNO jadi pro SAR seperti yang berlaku di hujung pentadbiran Dr. Mahathir, tetapi Menteri Pelajaran seolah-olah mempersetankan sikap anti SAR Mahathir itu. Dr. Mahathair belum mati, sedikit demi sedikit dasarnya dirongkai oleh pemimpin-pemimpin UMNO selepasnya. Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah mendoakan supaya Dr. Mahatahir dipanjangkan umur, supaya dia dapat menyaksikan kerosakan di muka bumi Malaysia gara-gara dasar dan tindakannya sebagai pemimin kerajaan dan UMNO. Doa Al-Marhum itu seolah-olah terkabul. Dr. Mahathir sudah melihat, tindakannya menghapuskan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu, telah memberi kesan besar kepada negara. Pencapaian Bumiputera dalam bidang sains merosot. Wujud pertembungan antara pro dan anti pengajaran sains dan matametik dalam Bahas Melayu. Bercelaru antara ucapan Muhyidin tentang dasar bahasa penghantar dalam subjek itu dengan pelaksanaannya. Mungkin Muhyidin mati dulu sebelum isu itu dipullihkan sepenuhnya. Ketika yang sama anti SAR Mahatahir itu telah tidak dipedulikan oleh Muhyiddin. Anti SAR itu justeru Mahathir terlalu takutkan PAS. Tiada rasa sayangnya kepada pembelajaran Islam disebabkan ketakutannya yang tinggi terhadap PAS. Dia sanggup kuburkan sekolah agama kerana tidak mahu melihat PAS dan menggantikan UMNO sekali pun sekolah pengajian Islam itulah yang menyelamatkan Malaysia menjadi bekas umat Islam. Islam hancur di Filipina selepas kedatangan Sepanyol. Tiada institusi pengajian Islam yang berkesan menyebabkan negara itu menjadi negara Katholik. Islam kuat di Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu dan utara Perak berbanding dengan lain-lain negeri di Malaysia ialah disebabkan wujud sistem SAR lama sebelum merdeka. Muhyiddin menyambung semangat Pak Lah membantu semula SAR. Mungkin Pak Lah adalah cucu dan anak pengendali SAR. Muhyiddin pula anak guru yang mendidik Mat Indera. Ayahnya pengendali SAR juga. Sekali pun mereka dijangkiti unsur sekular tetapi jiwa Islam mereka lebih jelas dari Dr. Mahathir. Maka mereka mengambil sikap politik membantu SAR sesuai dengan apa yang datuk nenek mereka buat dulu. Mereka tidak memikirkan apakah PAS dapat manfaat atas sikap mereka membantu SAR, tetapi SAR boleh diselamatkan. Insya Allah, PAS dapat faedah dari SAR yang kuat. Yang Muhyiddin buat itu betul-betul menempelak sikap dan dasar Mahathir. Mahathir tentu sedar dasarnya dibakut sampahkan. Sikap Muhyidin itu adalah sikap UMNO sekarang. Mahahir sedang menyaksikannya betapa dasarnya dibakul sampahkan. UMNO sudah menolak dasar Mahathir pada masa dia masih hidup. Kalau Mahathir rasa dasarnya betul, maka dia tidak boleh berada dalam UMNO lagi. Kalau masih mahu bersama UMNO, ini bererti dia mengaku anti SARnya dulu adalah tidak betul.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian yang menganugerahkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Seri Shahrizat Jalil adalah lebih bersalah daripada segi pentadbiran kerajaan dan etika kebertanggungjawaban seorang menteri. “Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat, akan tetapi siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini. Oleh itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata adalah tidak adil untuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersifat pilih kasih dalam menyerang Shahrizat, dengan menyuruhnya ‘untuk berundur sebelum beliau diundurkan’ tapi tidak pada Muhyiddin. “Dr Mahathir tidak sepatutnya pilih kasih dalam menegur Shahrizat dan tidak kepada Muhyiddin yang meluluskan projek ini. Sekiranya sikap Muhyiddin ini dibiarkan berterusan semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya perdana menteri, berapakah lagi wang rakyat yang bakal terkorban?” soal Tuan Ibrahim. Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak lagi insaf dengan kesilapannya apabila menyatakan bahawa ‘NFC hanyalah isu politik yang dicetuskan Pakatan Rakyat’ dan terus mempertahankan projek tersebut walaupun kewujudan penyalahgunaan dana awam yang susah dipertikaikan. “Bayangkan sekarang, Muhyiddin ialah bakal perdana menteri sekiranya apa-apa terjadi pada Datuk Seri Najib Razak, berapakah banyak projek di bawah kelolaan kementerian dan kuasa beliau yang akan berakhir seperti tragedi NFC. Bolehkah rakyat Malaysia menerima seorang bakal PM yang sedemikian?” soal beliau. Selaku mentor Umno, Tuan Ibrahim berkata Dr Mahathir sepatutnya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani menegur timbalannya, untuk menegur Muhyiddin atas dasar membantu Najib membetulkan pentadbirannya. Apa yang pelik, kata beliau ialah bila mana hanya Shahrizat sahaja yang diminta berundur, sedangkan Muhyiddin tidak diarahkan berbuat demikian. “Begitu juga dengan beberapa orang yang lantang mempertahankan penyelewengan ini, juga sepatutnya merasa malu kerana ia nyata bertentangan dengan norma biasa. “Sekiranya Shahrizat disuruh berundur, Muhyiddin pun harus menerima nasib yang sama. Jika Shahrizat saja berundur, tapi tidak Muhyiddin dan lain-lain, percayalah rakyat akan terus mencengkam isu NFC sehingga semua yang terlibat berundur,” tambah beliau.
Mohd Rashidi Hassan | "Keputusan ini lebih buruk dari apa yang kita ramalkan," kata Pegawai Kanan Keselamatan Israel seperti yang dipetik dari akhbar harian Yahudi Yedioth Ahronoth.
Beliau merujuk kepada kemenangan besar puak Islam yang didominasi Ikhwan Muslimin dan Salafi dalam Pilihan Raya Umum Mesir pada pusingan pertama.
Kemenangan ini juga amat mengejutkan Amerika Syarikat yang terpaksa menghantar delegasi peninjau untuk bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir. Tindakan ini dibantah sebahagian besar rakyat Mesir, yang dianggap sebagai satu usaha negara polis dunia itu untuk campur tangan dalam PRU Mesir.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi amaran beliau bahawa akan berlaku 'Arab Spring' di Mesir yang ia bakal merebak ke seluruh negara Arab. Lebih buruk lagi bagi Israel kata Netanyahu, ianya akan menjadi 'Iranian Winter' iaitu seperti revolusi Iran tahun 1979, yang memburukkan hubungan Arab-Israel.
Dalam ucapannya kepada Knesset (Parlimen Israel) bulan lepas, Netanyahu berkata, "Pada bulan Februari, apabila berjuta rakyat Mesir berdemontrasi di Kaherah, ada kalangan pemimpin Israel yang berkata, kita akan menghadapi era liberalisasi dan progres."
Kebimbangan Netanyahu itu ditegaskannya kerana beliau tahu bahawa kebanyakan rakyat Mesir tidak menerima kewujudan Israel, dengan perasaan anti-Zionis dan anti-Semitic yang begitu subur di negara Arab itu.
Selama ini pun, Israel dapat hidup dengan selesa, kerana mereka mempunyai hubungan yang akrab dengan bekas diktator Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan rakyat Mesir.
Kebimbangan Israel bukan hanya setakat perkembangan di Mesir sahaja. Mereka terpaksa menganalisis dengan terperinci kebangkitan Islam di Tunisia, Libya dan Maghribi, di mana, satu persata ketua-ketua negara Arab yang lunak dengan mereka tumbang.
Keputusan rasmi PRU peringkat pertama
Ikhwan Muslimin dengan partinya Parti al-huriyyah wal Adalah (PJF) dan pakatan tahalufnya bersama 10 komponen parti-parti lain yang dikenali sebagai tahaful demokrasi, menang bergaya dengan menguasai 80 daripada 166 kerusi yang dipertandingkan.
Sebanyak 36 kerusi diperolehi dari kerusi individu dan 44 kerusi secara berkumpulan. Parti an-Nur Assalafi mendapat kerusi kedua terbanyak selepas PJF dangan memperoleh sebanyak 33 kerusi (6 individu, 27 berkumpulan).
PJF akan membuat kerajaan campuran sekiranya mendapat mejoriti mudah dalam pilihan raya kali ini yang akan dijangka tamat pada awal Januari 2012.
Parti-parti Islam mendapat undi percaya rakyat Mesir pada pilihan raya kali ini berbanding parti yang beraliran liberal dan sekular. Media massa menguatkan propaganda dengan memburuk-burukkan parti-parti pro Islamis kepada golongan Kristian dan masyarakat pertengahan setelah melihat banyak kerusi yang dimenangi pro Islam.
Isu undang-undang Islam, hudud,pelancongan, kebebasan berpakaian, isu kebebasan agama, hubungan luar dan ekonomi cuba diapi-apikan didalam sekmen bincang politik saluran-saluran media. Akan tetapi, semuanya dapat dijelaskan dengan baik oleh wakil-wakil parti seterusnya menyakinkan pengundi untuk terus menyokong mereka membentuk kerajaan.
Yang paling menarik, calon beragama Kristian yang pertama mendapat kerusi di parlimen Mesir adalah dari Parti al-Karamah yang bertahaluf bersama PJF. Calon tersebut menang di kerusi berkumpulan atas tiket Parti al-Huriyyah wal Adalah. PJF juga telah berjaya menempatkan wanita pertama di kerusi parlimen Mesir dan seterusnya menafikan Ikhwan Muslimin mendikriminasikan Kristian dan kaum wanita dalam menguruskan negara. Dewan Rakyat Mesir dijangka akan bersidang pada bulan Mac 2012 nanti.
Pecahan 112 kerusi yang dimenangi secara berkumpulan seperti berikut:
- Parti al-Huriyyah wal Adalah, 44 kerusi - Parti an-Nur Assalafi, 27 kerusi - Kerusi berbaki dikongsi oleh 8 parti lain seperti; o Parti Alwafd o Parti Almisriyyin Alahrar o Parti Aladl o Parti Attajammuk o Parti Misr alQaumy o Parti Alhuriyyah o Parti Almuwaten Almisry o Parti Misry Alhurrah
56 kerusi Individu seperti berikut:
- Parti al-Huriyyah wal Adalah 36 kerusi - Parti an-Nur Assalafi 6 kerusi - Parti Alwafd satu kerusi - Parti Almisriyyin Alahrar satu kerusi - Parti Aladl satu kerusi - Parti Attajammuk satu kerusi - Parti Misr alQaumy satu kerusi - Parti Alhuriyyah satu kerusi - Parti Almuwaten Almisry satu kerusi - Calon bebas 5 kerusi - (2 kerusi masih menuggu untuk dipertandingkan semula )
Fakta PRU Mesir peringkat pertama
- Melibatkan 9 buah Negeri dari 27 buah negeri ( Kaherah, Port Said, Dumyat, Bahr Alahmar, Assuit, Kafr Syiekh, Alfoyyoum, Luxor dan Iskandariah ) - Mewakili 13.5 juta pengundi - Mempetaruhkan sebanyak 166 kerusi parlimen ( 2/3 atau 112 kerusi berkumpulan & 1/3 atau 56 kerusi individu ). - 2 kerusi daerah pertama di Kaherah dibatalkan dan akan diadakan pilihan raya semula.
Harakahdaily | “Ah Boo dan Ah Tian saja yang menjadi rakan saya bermain bola. Ramai lagi rakan-rakan Cina yang lain. Hubungan saya dengan Ah Boo lebih kurang sama saja dengan yang lain-lain. Ah Boo dan Ah Tian itu mudah saya ingat kerana mereka anak dan adik Chin Peng. Saya berkawan dan berkenalan dengan mereka semasa sama-sama di padang bola semasa menunggu kelas sesi sebelah pagi selesai.” MEMOIR, Politik Kewartawanan, yang diberikan judul ANAK APAK, membentangkan pengalaman hidup dan pahit getir penulis sebagai anak keturunan Jawa di tengah-tengah masyarakat Melayu kampung ketika mula mengenal dunia dalam kesengsaraan musim Jepun melanda Tanah Melayu. ANAK APAK merakamkan perjalanan hidup saya sejak kanak-kanak hingga memasuki alam pekerjaan. Bahagian ini meliputi latar belakang keturunan Apak, anak seorang pendatang Jawa yang tidak diketahui asal usulnya di Tanah Jawa tetapi menjadi pelindung pendatang Jawa di desa kediamannya di Sungai Parit, Sitiawan. Ayahnya tidak merancang persekolahannya tetapi Apak memilih dan menghabiskan masa kanak-kanak dan remajanya mendalami pengajian Islam di sekolah pondok, iaitu di Madrasah Masriyah Bukit Mertajam dan menyambung pengajiannya di luar negeri, iaitu di India dan di Mekah hingga keluar sebagai seorang alim bergelar Tok Guru dalam masyarakatnya di Dinding yang sekarang dikenali sebagai Manjung. Apak mahu mendidik dan menyekolahkan saya sepertinya dan kemudian keluar sebagai ahli ilmu agama mengikut jejaknya menjadi Tok Guru kepada masyarakat dan ummah. Tetapi saya tidak menjadi Tok Guru seperti Apak. Ada sebabnya; kejatuhan ekonomi, sawah tidak menjadi, getah yang menjadi sumber kemakmuran rakyat tiba-tiba tidak berharga lantaran Perang Korea yang berlaku pada awal tahun 50-an. Tidak pernah saya terfikir untuk menjadi seorang wartawan. Keadaan menyebabkan saya tidak menjalani persekolahan seperti Apak. Selepas tamat sekolah, saya diterima menjadi wartawan di Utusan Melayu dan sepanjang hidup saya, sekalipun tidak lagi menjadi orang surat khabar yang aktif sejak tahun 1990-an namun saya tetap dikenali sebagai wartawan dan penulis yang menyumbangkan tulisan di akhbar dari minggu ke minggu untuk tatapan ummah. Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanakkanak dan boleh memahami politik sejak remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik. Pada saya ketika itu, adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di Malaysia. Demokrasi mesti diteruskan. “Tidak wajar dalam dunia ini ada insan yang berkecuali. Manusia itu mesti memihak kepada kebenaran. Manusia hanya dibenarkan berkecuali ketika tidak mengetahui asal-usul sesuatu isu. Orang berotak tidak wajar kekal dalam keadaan tidak tahu. Dia mesti keluar dari alam tidak tahu. Sesudah mengetahui, dia tidak lagi boleh berkecuali. Dia mesti di pihak yang benar.” Jilid satu MEMOIR tentang ANAK APAK ini berakhir setakat saya mula melangkah ke alam pekerjaan. Anak Apak meliputi hikayat kehidupan dan ingatan alam kehidupan saya pada zaman kanak-kanak, persekolahan dan remaja. Moga-moga saya diberi kekuatan untuk menyiapkan jilid-jilid berikut mengenai alam kewartawanan dan alam politik. Insya-Allah. Semoga Memoir ANAK APAK ini dapat memenuhi maksud sebuah penulisan buku berbentuk memoir dan dapat memberikan perkhidmatan dalam bidang penulisan memoir dalam persuratan Melayu untuk tatapan masyarakat. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan Memoir ini. ANAK APAK adalah terbitan Kemilau Publika Sd Bhd yang terbaru. Sila lawati www.kemilau.net.my atau menelefon 03-6038 8314 untuk pertanyaan. | Dan tercabarnya kuasa politik Melayu Khalid Samad | Kebelakangan ini, gendang perang perkauman hangat dipalu tanpa henti oleh para pemimpin UMNO. Kedengaran di perhimpunana Agung UMNO dan juga Himpunan Perdana Pekida Malaysia, suara yang ingin ‘menggegarkan’ bangsa Melayu dengan pelbagai amaran, kononnya masa depan kekuasaan politik Melayu sedang dicabar dan ingin dihapuskan. Gambaran yang segelap mungkin dilakarkan oleh para ‘pemimpin Melayu’ ini dengan bertujuan menghasilkan persepsi bahawa sekiranya UMNO/BN dijatuhkan dan PR berkuasa; lebih-lebih lagi sekiranya di peringkat Pusat, maka alamatnya Melayu akan turut terpupus di bumi sendiri.
MELAYU ATAU UMNO YANG TERCABAR? Pada hakikatnya, yang dicabar adalah kepimpinan UMNO dan juga BN, BUKAN kepimpinan Melayu! Kepimpinan UMNO dan BN dicabar atas sebab kedurjanaan, pengkhianatan dan tidak amanahnya mereka. Walaupun mereka telah diberi amanah untuk memimpin dan memerintah selama 54 tahun, apa yang telah dihasilkan adalah budaya kepimpinan rasuah, pegampuan dan kronisma. Pemimpin bergelumang dengan maksiat dan kekayaan sedangkan rakyat, terutamanya orang Melayu, hidup terhimpit di kota dan di desa.
Sekiranya seseorang membuat tinjauan pada hujung minggu lepas di persekitaran PWTC, maka dia akan melihat segala jenis kenderaan mewah yang terdapat di muka bumi diguna pakai oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pejuang’ bangsa. Tersusun rapi barisan Vellfire, Hummer, Mercedes, BMW, Porsche Cayenne dan berbagai lagi kenderaan mewah milik para ‘pejuang’ ini. Kemewahan ini diketengahkan sebagai bukti ‘pengorbanan’ mereka dalam ‘perjuangan’ yang begitu lama dan ‘sukar’. Yang anehnya, si ‘pejuang’ semakin mewah sambil yang kononnya diperjuangkan terus miskin dan semakin tertekan.
Sekiranya yang dimaksudkan dengan ‘politik Melayu’ adalah politik rasuah, fitnah dan rasis yang bercanggah dengan ajaran dan nilai agama Islam, maka politik jenis itu sememangnya ingin kita tumpaskan. Akan tetapi, adakah politik Melayu bersifat begitu? Bagi UMNO, itulah politik Melayu yang mereka ingin orang Melayu pertahan dan banggakan. Sekiranya ada yang menentang politik yang sedemikian rupa, maka mereka ini dikatakan penentang ‘politik Melayu’! Pada hakikatnya ianya bukan politik Melayu tetapi sebaliknya politik UMNO!
Mereka yang mentakrifkan politik Melayu sebagai politik rasuah, fitnah dan rasis serta ingin terus mempertahankannya pada hakikatnya ingin membunuh masa depan politik Melayu. Lihat sahaja pada wanita UMNO yang mengerumun Shahrizat, menyatakan sokongan mereka terhadap dirinya walaupun beliau terbabit dengan skandal Feedlot Negara. Adakah kepimpinan Melayu sebegitu rupa yang ingin dipertahankan? Di manan maruah dan wawasan kepimpinan yang adil dan bertaqwa di sisi UMNO?
KUASA MUTLAK ADA PADA ORANG MELAYU? Berkata pemimpin UMNO bahawa di dalam BN, UMNO berkuasa sepenuhnya. UMNO yang dominan dan boleh melakukan apa jua yang UMNO inginkan. Tiada yang boleh menghalang dan itulah bukti politik Melayu berkuasa! Sedangkan dalam PR, parti politik Melayu adalah minoriti dan tiada kuasa, terpaksa akur kepada kehendak DAP menurut mereka lagi.
Hakikatnya sebenarnya keadaan berkuasa secara dominan dan tanpa halangan adalah punca masalah politik Negara. Telah dikatakan berulang kali bahawa “power corrupts and absolute power corrupts absolutely” atau “kuasa merosakkan dan kuasa penuh tanpa batasan merosakkan secara menyeluruh tanpa batasan”. Inilah sebabnya mengapa budaya rasuah, kronisma dan rasis dapat diamalkan oleh UMNO tanpa bantahan. Lihat sahaja pada skandal Feedlot. Tidakkah penyelewengan sebanyak RM 250 Juta itu berlaku tanpa apa-apa tindakan atau hukuman? Malahan ada juga yang berusaha keras mempertahankannya. Melalui pembelaan ini, mereka ingin merosakkan ummat dan bangsa.
Adakah kuasa mutlak diperlukan sekiranya apa yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil? Biasanya, yang terpaksa bersandar kepada kekuasaan yang mutlak adalah pemimpin ‘dictator’ dan mereka yang ingin melebar-luaskan kerosakan di atas muka bumi. Maka apabila mereka ingin melaksanakan kezaliman dan ianya dibantah, maka kuasa mutlak digunakan untuk mengalahkan golongan yang membantah.
Sebaliknya, apabila yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil, maka sokongan rakan dan rakyat umum akan menentukan ianya terlaksana. Seperti pada zaman Rasulullah (SAW) di mana ummat Islam minoriti pada awalnya di Madinah, namun kepimpinan Baginda (SAW) telah diterima semua atas sebab keadilan Baginda.
ADAKAH KUASA POLITIK MELAYU AKAN HANCUR? Maka ditanya pula, “adakah dengan hilangnya kuasa mutlak maka akan hilang juga kuasa politik Melayu?” Jawapannya “Tidak”! Yang akan hilang adalah hanya kemampuan melakukan rasuah dan kezaliman! Dan dengan itu akan dibebaskan politik Melayu dari budaya perosak yang telah diasaskan sekian lama oleh UMNO dan BN di kalangan bangsa Melayu. Akan subur seterusnya politik Melayu dengan budaya keislaman yang sebenar, bebas dari rasuah, penyelewengan, kronisma dan rasisma.
Pada hakikatnya dalam PR tiada pihak yang akan mempunyai kuasa mutlak dan oleh itu dasar semak dan timbang (check and balance) akan lebih bermakna. PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya. Begitu juga DAP dan begitulah juga PKR. Semua berkuasa dan apa sahaja yang ingin dilakukan mesti mendapat persetujuan dari semua pihak. Tidak perlu PAS akur pada kehendak DAP atau DAP kepada kehendak PAS. Apa yang diperlukan ialah menentukan sesuatu dasar yang benar dan adil yang akan dipersetujui bersama.
Maka sebagai contoh, sekiranya ada yang ingin mengurangkan jumlah penjawat awam, sepertimana yang didakwa Najib, ianya tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan ketiga-tiga parti. Dan sepertimana yang diulangi, PAS dan PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu. Begitu juga dengan sebahagian pemimpin DAP.
Sebaliknya, apa yang ingin diusahakan adalah keberkesanan perkhidamatan awam dengan ditingkatkan mutu perkhidmatan. Bukti nyata ialah apa yang dilakukan di bawah kerajaan Negeri PR. Berapa ramaikah kakitangan kerajaan Negeri yang dibuang kalau ada? Jawapannya tidak walau seorang.
Jelas UMNO hanya ingin membohongi bangsa Melayu seperti biasa supaya UMNO kekal berkuasa.
PAS TUNDUK PADA DAP? Dikatakan juga bahawa PAS terpaksa akur kepada kehendak DAP kerana kalau tidak orang bukan Islam tidak akan mengundi PAS di dalam Pilihan Raya. Maka mereka akan undi siapa? Kalau di Parlimen Shah Alam, sebagai contoh, calonnya dari PAS dan UMNO. Kalau mereka tidak undi PAS, adakah mereka akan undi UMNO? Atau mereka akan mengundi DAP yang tidak bertanding?
Kalau undi DAP maka dikira undi rosak dan sekiranya undi UMNO, maka lagi teruklah akibatnya. Selagi PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam dan menghormati hak bukan Islam seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri, masyarakat bukan Islam akan terus mengundi PAS. Ini adalah kerana UMNO adalah jauh lagi teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Dengan merosakkan Melayu, UMNO merosakkan Negara dan masyarakat bukan Islam memahami perkara ini.
Jelas bahawa sekali lagi UMNO ingin membohongi bangsa Melayu dan bukan Melayu.
KEDUDUKAN KUASA POLITIK MELAYU Sekiranya PR memerintah di Pusat, kerusi perwakilan Melayu di Parlimen akan tetap seperti sekarang iaitu lebih ramai dari yang bukan Melayu, apabila dijumlahkan keseluruhannya iaitu pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, tiada undang-undang atau dasar yang merugikan orang Melayu akan dapat diluluskan sekiranya ada yang berniat melakukannya sekalipun. Maka orang Melayu tidak perlu khuatir atau takut akan masa depan mereka.
Dengan itu mereka boleh turut sama dalam usaha membasmi negara dari budaya politik rasuah, kronisma dan rasis yang dijuarai UMNO dan BN. Ini akan membebaskan masyarakat Melayu dari penjajahan minda Melayu yang dilakukan UMNO selama ini sehingga Melayu terpaksa redha dengan rasuah dan penyelewengan ‘pemerintah Melayu’ atas alasan ‘ingin menjaga kuasa politik Melayu’. Dengan itu bangsa Melayu akan sebenarnya bebas.
Dan akan turut berkembang segar politik Melayu selepas itu setelah dibebaskan dari belenggu yang menghimpitnya selama ini; bebas untuk dicorakkan politik Melayu tanpa rasuah dan kronisma; bebas untuk menuju keredhaan illahi.
WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
| | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan