KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) mengucapkan syabas kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa kerana terus menyatakan tekad memperjuangkan risalah Islam melalui wadah PAS walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan senang dan susah.
Beliau menyampaikan ucapan syabas itu setelah kenyataan rasmi oleh Nasharuddin disiarkan semalam oleh media yang menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama-sama PAS menjunjung risalah Islam walaupun apa jua keadaan.
“Syabas kepada beliau kerana bertekad untuk bersama-sama menjunjung risalah Islam melalui wadah PAS dulu, kini dan selama-lamanya.
"Inilah satu sikap yang ditunggu oleh seluruh ahli PAS, penyokong-penyokong PAS dan orang-orang yang belum memasuki PAS, syabas kepada Ustaz Nasharuddin.
“Kita percaya dengan penegasan beliau yang terbaru ini, akan menyebabkan parti PAS akan terus diyakini oleh seluruh anggota masyarakat di seluruh Malaysia sama ada mereka yang beragama Islam atau yang masih belum beragama Islam atau mereka yang masih belum menyokong perjuangan PAS,” tegas beliau yang juga Adun Manir, Terengganu ketika ditemui semalam.
Sebelum ini, Nasharudin dipetik dalam Harakahdaily semalam berkata beliau akur sepenuhnya dengan tariqud dakwah (jalan dakwah) yang dilalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbia’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada mereka yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia.
Jelas bekas Timbalan Presiden PAS itu lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.
JAKARTA, 22 Dis: Ketika Malaysia masih lagi terkial-kial mencari arah bagi menentukan tempoh kempen seperti dituntut Bersih 2.0 iaitu selama 21 hari, Indonesia sebenarnya sudah mengamalkan polisi itu sejak pilihan raya 2009.
Malah, pada pilihan raya sebelum itu, tempoh kempen bagi setiap parti politik dibenarkan sehingga sebulan.
Pimpinan Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia, Sri Suranti bagaimanapun berkata, kempen melalui media massa boleh dilakukan sehingga dalam tempoh sembilan bulan tujuh hari.
Katanya, kelebihan yang ada di Indonesia sesiapa sahaja boleh berkempen di media massa sama ada cetak atau elektronik asalkan mereka berkemampuan untuk membayarnya.
“Kita tidak bataskan had kempen mereka di media massa. Ini boleh memberi kelebihan kepada mereka yang berwang. Saya difahamkan ini agak berbeza dengan apa yang berlaku di negara jiran.
“Komisi Pemilihan Umum Indonesia tidak menghalang mana-mana parti politik berkempen melalui media massa asalkan mereka mampu membayar,” katanya pada pertemuan dengan rombongan kerajaan dan PAS Kelantan di pejabatnya semalam.
Rombongan dari Kelantan diketuai Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof. Hadir sama Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan pasukan IT PAS Pusat serta PAS Kelantan dalam misi lawatan sambil belajar di Indonesia.
Pada kunjungan semalam mereka turut melawat pimpinan Parti Keadilan Sejahtera, Parti Bulan Bintang dan berkunjung ke markas WAMY Indonesia.
Ketika menjawab soalan Sri Suranti berkata, biar pun tempoh kempen begitu lama, namun tidak berlaku perkara-perkara yang melanggar peraturan termasuk amalan rasuah bagi menarik sokongan dan provokasi.
Katanya, Komisi Pemilihan Umum Indonesia sentiasa memantau gerak kerja kempen calon bagi memastikan peraturan yang ditetapkan tidak dilanggar.
Beliau juga memberitahu kuasa penuh bagi menentukan kebenaran berkempen setiap parti politik berada di bawah bidang kuasa badan itu dan bukan ditentukan pihak polis.
“Cuma pihak kami mengemukakan jadual permohonan untuk berkempen secara terbuka setiap parti-parti politik kepada pihak polis terlebih dahulu. Misalnya setiap calon parti yang bertanding dibenarkan berkempen tiga kali sehingga berlangsung pilihan raya.
“Kempen selama 21 hari dibenarkan selepas calon-calon sudah ditentukan. Bagaimanapun kempen melalui media massa dibolehkan lebih awal iaitu lebih sembilan bulan,” katanya.
Menurutnya juga penggunaan dakwat kekal sudah lama diamalkan dalam pemilu di Indonesia, di mana dipastikan bahan digunakan halal.
Kata beliau dakwat tersebut boleh bertahan lama dan tidak mudah hilang.
Wan Nik yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata, pengendalian pilihan raya di Indonesia kelihatan lebih telus selepas berlaku reformasi pada 1998, setelah rakyat bangkit secara menyeluruh.
Katanya, kejayaan reformasi sehingga berjaya menambahbaik badan pengendali pilihan raya membolehkan pilihan raya diadakan lebih telus dan adil.
Zainuddin berkata, Malaysia sepatutnya mengambil contoh beberapa perkara yang lebih terbuka diamalkan dalam pengendalian pilihan raya di negara ini.
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Pro Mahasiswa Nasional bersedia untuk membuka lapangan debat bersama pimpinan mahasiswa Pro Aspirasi bagi mencari solusi terbaik mengenai konsep kebebasan akademik yang diinginkan oleh mahasiswa.
Pengerusinya, Mohd Taufiq Abdul berkata, hal itu diusulkan sebagai respons pihaknya terhadap tindakan mahasiswa Pro Aspirasi pimpinan Mohd Shahar Abdullah yang melancarkan demonstrasi di Kementerian Pengajian Tinggi semalam bagi membalas himpunan kebebasan akademik yang digerakkan oleh Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik pada 17 disember lalu.
“Biarpun telah beberapa kali gagal untuk mempertemukan pimpinan mahasiswa Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi di meja debat, namun Pro Mahasiswa Nasional merasakan inilah masanya Pro Aspirasi perlu berani menyahut cabaran untuk berdebat,” ujarnya.
Katanya, yang terkini ialah pada 9 Disember yang lalu apabila tidak ada seorang pun pimpinan Pro Aspirasi ingin tampil untuk menyahut jemputan Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) untuk berdepan dengan pimpinan Pro Mahasiswa.
Namun begitu, ujarnya Pro Mahasiswa mengucapkan tahniah kepada Pro Aspirasi kerana setelah sekian lama akhirnya mahasiswa Pro Aspirasi menerima demonstrasi sebagai saluran yang sah dalam sistem demokrasi Malaysia.
Menurutnya, jika sebelum ini Pro Aspirasi sering melabelkan demonstrasi sebagai tindakan tidak bertamadun, namun perkembangan hari ini menunjukkan kumpulan mahasiswa Pro Umno itu sudah semakin matang.
Oleh itu, katanya keberanian untuk turun berhimpun di hadapan KPT perlu diterjemahkan secara ilmiah di meja debat.
Tambah beliau, Pro Mahasiswa merasakan selaku mahasiswa yang matang, Pro Aspirasi perlu berani tampil ke medan hujah dengan memberi tumpuan kepada isu kebebasan akademik sebagai fokus yang perlu dicanai secara ilmiah.
Katanya, Pro Aspirasi tidak seharusnya berdiri atas sentimen simpati kepada Perdana Menteri semata-mata tanpa ada hujah yang mendokong sentimen tersebut.
Beliau berkata, bantahan Pro Aspirasi kepada Datuk Saifuddin Abdullah juga rasanya mereka lakukan tanpa pertimbangan yang jelas kerana individu yang dibantah tersebut selama ini banyak memikul beban kegagalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam menangani isu autonomi universiti.
Jika ingin disenaraikan, ujarnya Tun Mahathir Mohamed, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Khaled Nodin merupakan pihak yang perlu bertanggungjawab dalam krisis autonomi universiti.
Namun, katanya individu-individu tersebut selesa berlindung di sebalik keterbukaan Saifuddin Abdullah.
Menurutnya lagi, Pro Aspirasi juga perlu faham sekiranya isu autonomi universiti dan kebebasan akademik diselesaikan segera, segala pertikaian yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak akan terjadi.
Oleh itu, ujarnya Pro Aspirasi seharusnya turut memberi fokus kepada isu autonomi universiti bagi mencari penyelesaian yang komprehensif.
“Oleh itu, Pro Mahasiswa mengulangi pelawaan untuk menjemput pimpinan Pro Aspirasi khususnya saudara Mohd Shahar Abdullah ke meja debat bagi mencari solusi yang terbaik terhadap konflik autonomi universiti yang sedang berlaku,” katanya.
KUALA KEDAH, 22 Dis: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa tampil membuat laporan polis terhadap RTM yang didakwa memfitnahnya.
Nasir membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dengan ditemani beberapa pegawai dan penyokongnya, semalam.
Beliau mendakwa RTM menerusi rancangan Titik Sentuhan pada 18 Disember lalu secara terancang telah melemparkan tuduhan tidak berasas terhadapnya dan kerajaan negeri berhubung isu jalan rosak di Kampung Hilir, Telok Talipon yang berada dalam Dun Kubang Rotan.
"Rancangan televisyen itu menyiarkan temubual penduduk yang menuduh saya tidak berperanan sebagai wakil rakyat serta meminggirkan mereka daripada arus pembangunan negeri.
"Bagi saya tuduhan itu adalah tidak berasas dan ianya merupakan fitnah yang terancang terhadap diri saya kerana jalan yang dimaksudkan itu telah dibaiki dengan inisiatif saya melalui kerajaan negeri," tegas beliau.
Menurut Nasir, pihaknya telah membuat permohonan secara bertulis kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menaik taraf dan penurapan jalan-jalan di kawasan Kubang Rotan termasuk jalan di Telok Talipon itu.
"Pada Januari yang lalu, saya telah mengajukan permohonan kepada UPEN apabila aduan dan permohonan kepada pihak Koridor Utara langsung tidak mendapat maklum balas positif.
"Berdasarkan permohonan tersebut, Pejabat Daerah Kota Setar pada Julai telah mengeluarkan tender bagi membaik pulih dan menurap jalan terbabit sepanjang 1.1 kilometer dan kerja tersebut siap sepenuhnya pada 27 Julai lalu.
"Dakwaan jalan tersebut dibaiki oleh agensi kerajaan pusat seperti dalam rancangan itu adalah tidak benar dan lebih kepada fitnah terhadap saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini dan juga fitnah terhadap kerajaan negeri," jelasnya.
Nasir yang kesal dengan fitnah itu turut menimbangkan tindakan tegas jika pihak yang terbabit dengan rancangan tersebut.
Selain itu, beliau turut mengesyaki berlakunya tuntutan bertindih terhadap kerja pembaikan jalan tersebut berdasarkan kandungan rancangan tersebut.
Sejurus laporan polis itu, Nasir turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) Negeri Kedah berkaitan tuntutan bertindih.
"Kerajaan negeri yang menurap jalan itu, tetapi mereka mendakwa pihak MADA pula yang telah melakukan kerja-kerja penurapan jalan tersebut.
"Memang jalan tersebut berada di bawah pengendalian MADA, tapi kerajaan negeri mengambil inisiatif melakukan penurapan sepenuhnya setelah tiada tindakan dari pihak yang berwajib.
"Berdasarkan apa yang terkandung dalam rancangan Titik Sentuhan di TV1 tempohari, seolah-olah merekalah yang melakukan kerja-kerja tersebut dan saya syak mungkin berlaku tuntutan bertindih ke atas kerja-kerja tersebut," ujarnya.
KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan tidak dapat menyembunyikan perasaan seronok kerana berpeluang berlakon dalam filem.
Keseronokan yang dirasainya itu bukan berpunca dari kejayaannya menggapai dunia glamour seperti yang diimpikan sesetengah pihak, tetapi kerana berpeluang mengumpulkan pengalaman berguna untuk melaksanakan satu kaedah dakwah cara baru.
Menurut Nasrudin, bidang perfileman sememangnya amat asing baginya, malah beliau sebenarnya gementar apabila diarahkan berlakon apatah lagi sambil memegang gitar.
"Tetapi untuk kepentingan dakwah, saya terpaksa gagahkan diri. Apabila itu semua dapat saya lakukan seperti yang diarahkan oleh pengarah dan ternyata memberikan hasil yang baik bagi dakwah, terasa seronok pula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Ekoran keasingannya dalam dunia lakonan, terutama membabitkan petikan gitar, beliau mengakui terasa amat kekok untuk melaksanakan aksi itu dalam filem Oley terbitan Solidariti Muslim Prihatin pada 15 Disember lalu.
"Ketika saya remaja dan menuntut di peringkat menengah dulu, ada juga sekali sekali saya menyentuh gitar, tetapi tidaklah faham sangat dengan note muzik. Selepas itu, itu semua dah jadi begitu asing bagi saya.
"Jadi setelah filem pendek Oley itu diterbitkan dan ditontoni ramai, tidak hairanlah jika ada di antara rakan-rakan saya yang memberitahu kepada saya yang saya kelihatan agak kekoh dengan aksi memegang gitar dalam filem itu," jelasnya.
Namun, 'Oley' kini ternyata telah menjadi tontotan ramai dan lakonan beliau turut disenangi para penonton kerana beliau bukan sekadar dapat beraksi dengan baik, malah lakonannya memberikan impak cukup besar bagi bidang dakwah sehingga mampu memberikan keinsafan kepada orang ramai, terutama kepada mereka yang menentang hukum Allah, khususnya hukum hudud.
Tambah mengesankan lagi apabila filem tersebut turut dilakoni pengacara, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman; vlogger Youtube terkenal, Mat Lutfi dan Man John dengan lakonan watak menarik yang mewakili segmen anak-anak muda pelbagai latar belakang yang mendambakan pengetahuan sebenar mengenai Islam.
Lebih menarik apabila 'Oley' turut dilakonkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga dari ILHAM, Nik Mohd Abduh; Ketua Penerangan Dewan itu yang juga Ahli Jawatankuasa Muslim Care, Riduan Mohd Nor; penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.
Harakahdaily semalam melaporkan klip video atau filem pendek berjudul 'Oley' hanya memakan belanja RM3,000 sahaja dan mengambil masa penggambaran 2 jam, tetapi memberikan kesan cukup besar bagi aktiviti dakwah.
Ini kerana, klip video terbitan sebuah NGO, Solidariti Muslim Prihatin itu sehingga semalam telah ditonton lebih 180,000 orang dalam jangka masa 5 hari setelah disiarkan.
Dengan 'view' yang sedemikian tinggi, sambutan orang ramai terhadap filem tersebut ternyata menyamai filem triler hebat keluaran Hollywood.
Oley merupakan sebuah filem pendek yang terhasil khusus buat menjawab segala tohmahan mengenai hukum Islam yang dipersendakan oleh filem pendek “Bicara Rakyat“ yang dihasilkan dengan penuh kebencian dan kenistaan terhadap hukum hudud oleh pihak tertentu.
Dengan penghasilan ‘Oley’ bererti Solidariti Muslim Prihatin melangkah setapak lagi ke hadapan dalam menyampaikan mesej bermaklumat kepada masyarakat dengan cara baru.
Filem tersebut turut disiarkan menerusi slot video Harakahdaily dengan jumlah penonton sebanyak lebih 21,000 orang sehingga jam 4.30 petang semalam sejak dimuatnaik 15 Disember lalu.
Hingga jam 9.00 pagi ini pula, bilangan penontonnya meningkat lebih tinggi sehingga mencatat jumlah keseluruhan melebihi 210,000 orang.
Ekoran perkembangan yang baik itu dan ditambah lagi dengan kejayaannya beraksi dengan baik menerusi filem pertama lakonannya itu, Nasrudin secara jujur mengakui akan berlakon lagi pada masa akan datang untuk klip video seperti itu jika diberi peluang dan berkesempatan.
Seperti pelakon-pelakon utama lain, filem tersebut hanya dilakoni secara percuma oleh beliau kerana pembabitan beliau dan rakan-rakannya itu di dalam dunia perfileman bukankah untuk mengejar glamour, tetapi untuk menyampaikan mesej dakwah dengan turut memanfaatkan perkembangan media baru dengan dunia tanpa sempadan.
KUALA LUMPUR, 21 Dis: PKR mendedahkan, pinjaman kepada Bank Dunia dibuat oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia dibuat melalui satu badan di bawah MTEN iaitu Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (National Economic Recovery Plan, NERP).
Demikian didedahkan oleh Rafizi Ramli (gambar), Pengarah Strategik PKR dalam satu kenyataannya hari ini bagi menjawab penafian Dr Mahathir beliau ada memohon pinjaman dari Bank Dunia.
Menurut Rafizi, perjalanan seharian MTEN diputuskan oleh Pengarah Eksekutif NEAC iaitu Tun Daim Zainuddin, Menteri Tugas-tugas Khas yang dilantik oleh Tun Mahathir Mohamad.
Setiausaha NEAC adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab penuh kepada Tun Mahathir Mohamad ketika itu, katanya.
Berikut kenyataan penuh Rafizi:
Saya mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir Mohamad yang akhirnya mengaku[1] bahawa pentadbiran beliau memang ada mengambil pinjaman dari Bank Dunia yang ditandatangani pada 31 Mac 1999 semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Ini bertentangan dengan penafian beliau sehari sebelum itu kononnya beliau tidak mengambil sebarang pinjaman Bank Dunia.
Malangnya, adalah mendukacitakan apabila beliau masih meneruskan pembohongan untuk mengabui mata rakyat.
Beliau menulis kononnya “rundingan terakhir dibuat dalam tahun 1997 untuk mendapatkan pinjaman Bank Dunia” dengan niat menyabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan permohonan pinjaman tersebut.
Hakikatnya adalah berbeza dan ini disahkan oleh dokumen-dokumen Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia.
Saya rujuk rentetan peristiwa dan dokumen-dokumen berikut untuk membuktikan bahawa permohonan untuk pinjaman sebanyak USD404 juta dari Bank Dunia dibuat atas arahan Tun Mahathir Mohamad sendiri:
1. Dokumen Bank Dunia (Laporan Awal Permohonan Pinjaman PID6999 yang disertakan bersama) pada halaman 2 perenggan terakhir menyebut:
“In view of these circumstances in July 1998, the Government announced a National Economic Recovery Plan to bring the economy back on a positive growth path. One of the six strategic objectives of the National Economic Recovery Plan is to continue the country's equity and socio-economic agenda which had been instrumental during the past two decades, in maintaining social stability in the country. In line with this objective, the Government has proposed a plan of action to mitigate the adverse social impacts of the crisis which threaten to reverse the gains made in the past. The Government has approached the Bank for help in strengthening this plan and implementing it through a Social Protection Project”
Dokumen Bank Dunia itu menjelaskan tujuan permohonan pinjaman yang dibuat iaitu untuk membiayai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (National Economic Recovery Plan, NERP) yang diumumkan di dalam bulan Julai 1998.
Permohonan juga dibuat oleh Kerajaan Malaysia, bukannya ditawarkan oleh Bank Dunia seperti yang didakwa Tun Mahathir.
2. NERP diumumkan dan ditadbir sepenuhnya oleh National Economic Action Council (NEAC) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). NEAC dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.
Perjalanan seharian NEAC diputuskan oleh Pengarah Eksekutif NEAC iaitu Tun Daim Zainuddin, Menteri Tugas-tugas Khas yang dilantik oleh Tun Mahathir Mohamad. Setiausaha NEAC adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab penuh kepada Tun Mahathir Mohamad ketika itu.
3. Maka, jelas terbukti bahawa permohonan mendapatkan bantuan kewangan dari Bank Dunia dibuat oleh NEAC bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk membiayai NERP yang dilancarkan dalam bulan Julai 1998. NEAC dikawal sepenuhnya oleh Tun Mahathir Mohamad.
4. Ini bertepatan dengan jadual kelulusan pinjaman dari Bank Dunia seperti yang termaktub di dalam Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document 18855-MA yang disertakan bersama) mukasurat 29. Ia menyebut tarikh-tarikh penting seperti berikut:
a. Permohonan mula-mula diterima dari Kerajaan Malaysia pada 26 Julai 1998
b. Pasukan penilai dari Bank Dunia berlepas ke Malaysia pada 30 November 1998
c. Rundingan hanya bermula 1 Februari 1999
5. Bukan sahaja permohonan dibuat oleh NEAC mengikut arahan Tun Mahathir Mohamad, malah kesemua proses rundingan berlaku selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah pun dipenjarakan.
Saya percaya Tun Mahathir Mohamad akan mencari alasan baru untuk menerangkan perkara ini walaupun ia sudah jelas terbukti, sebagaimana beliau akhirnya mengaku beliau ada mengambil pinjaman Bank Dunia (walaupun menafikannya sebelum itu).
Saya juga menasihatkan Tun Mahathir Mohamad agar tidak begitu ghairah mencabar orang lain bersumpah di atas al-Quran dalam hal ini, kerana jika polemik cabar-mencabar untuk bersumpah ini melarat kepada isu-isu yang membabitkan keluarga beliau, sukar untuk beliau menafikannya.
Contohnya, adalah lebih berguna sekiranya beliau bersumpah di atas al-Quran bahawa anak beliau, Mirzan Mahathir tidak membeli pegangan besar di dalam konglomerat arak terbesar di rantau ini iaitu San Miguel kerana soal keluarga pembesar negara beragama Islam menguasai perniagaan arak adalah soal yang sensitif bagi masyarakat beragama Islam di Malaysia. Tambahan pula, bila konglomerat yang sama ingin menguasai perniagaan hiliran milik ExxonMobil Malaysia yang melibatkan ribuan rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak sanggup dibayar gaji dari wang yang terlibat dengan arak.
Jika beliau bersungguh-sungguh untuk bersumpah di atas al-Quran, bersumpahlah menafikan perkara ini terlebih dahulu.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan