KUALA LUMPUR, 21 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas kenyataan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mendakwa penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.
“Bagi DPP Malaysia, kenyataan seperti ini seolah-olah tidak mahu negara ini berganjak ke arah sistem pilihanraya di Malaysia yang lebih adil, telus dan penuh dengan amalan demokrasi yang tinggi,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Katanya, DPP Malaysia merasa hairan bagaimana Perkasa boleh mempertahankan agar dakwat kekal tidak digunakan dalam keadaan semua pihak bersetuju supaya ianya digunakan.
Baginya, alasan bahawa Malaysia adalah negara maju dan canggih sehingga tidak memerlukan dakwat kekal adalah alasan yang yang amat dangkal.
Ini, katanya kerana selama ini dalam keadaan negara tidak meggunakan dakwat kekal, selama itulah berlakunya pelbagai penipuan dan penyelewengan hasil dari daftar pemilih.
“Persoalannya, apa yang Perkasa khuatirkan dengan penggunaan dakwat kekal?
“Mengapakah Perkasa gusar sangat terhadap kebenaran yang akan disingkapkan hasil dari penggunaan dakwat kekal dan apakah kerana ada kuasa yang bakal tergugat dalam PRU ke 13 nanti sehingga boleh menjejaskan masa depan Perkasa?” soalnya.
Selain itu, ujarnya DPP Malaysia merasa pelik kerana Perkasa mendakwa ramai pengundi Melayu tidak keluar mengundi jika dakwat kekal digunakan.
Beliau mempersoalkan atas dasar apakah dakwaan Perkasa itu.
Soalnya lagi, mengapa pula orang Melayu tidak mahu turun mengundi hanya kerana ada dakwat kekal digunakan.
Jika alasan syarak digunakan, ujarnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah meluluskan dan tiada apa-apa masalah dalam menggunakan dakwat kekal.
Jelasnya, orang Melayu hanya tidak turun mengundi jika ada ancaman atau ugutan terhadap mereka daripada turun mengundi.
Menurutnya, dalam keadaan negara aman seperti Malaysia, orang Melayu tidak perlu risau untuk turun mengundi kerana tiada siapa berhak mengugut orang Melayu daripada menunaikan hak dan kewajipan mereka.
Beliau menjelaskan mengundi dalam pilihan raya adalah suatu kewajipan kerana ia berkaitan memilih pemimpin yang akan memimpin negara dan masa depan rakyat.
Oleh itu, katanya Perkasa tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas seperti itu.
Perkasa, kata beliau sepatutnya mengalu-alukan usaha SPR yang mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihanraya di Malaysia yang telah lama diperkatakan orang.
“Lebih dari itu, Perkasa perlu memujuk orang Melayu turun mengundi bagi membuat perubahan di dalam negara ini,” ujarnya.
KUALA LUMPUR, 21 Dis: “Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan,” tegas AJK PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa (gambar).
“Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari’ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan.
Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga.
“Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok.
Justeru, jelas Nasharudin lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.
Menurutnya, sepanjang pembabitannya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah beliau ungkapkan bahawa akan menyertai Umno.
Justeru, ujarnya buat kesekian kalinya beliau menegaskan bahawa tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno.
“Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar.
“Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS,” jelasnya lagi.
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Pemuda PAS Selangor berasa lucu dengan tindakan ‘kebudak-budakan’ dan tidak bertamadun puak-puak Umno dan rakan sekutu mereka seperti Perkasa, GPMS, Majlis Belia dan lain-lain yang berterusan mengecam dan mengancam Adam Adli kerana menurunkan bendera bergambar Najib baru-baru ini.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, Umno kini sudah kehilangan arah perjuangan yang sebenar sehingga terlalu memuliakan pemimpin mereka sehingga ke tahap yang tidak sepatutnya.
“Adakah tindakan meminta permohonan maaf Adam Adli lebih diutamakan atau penipuan dan kezaliman Umno terhadap rakyat yang perlu dihentikan?
“Apakah tindakan Adam Adli menurunkan gambar Najib terlalu ekstrem sehingga boleh merosakkan aqidah orang-orang Umno?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, pihaknya merasakan Umno kini semakin pelik dan perjuangan parti itu hanya untuk mempertahankan individu tertentu sahaja dan bukan untuk rakyat jelata.
Jelaslah, ujarnya Umno dan Barisan Nasional kini sudah tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama, bangsa dan negara ini apabila rakyat di semua peringkat semakin menolak pendekatan politik dan dasar perjuangan mereka.
Pemuda PAS negeri, ujar beliau mengucapkan tahniah kepada mahasiswa dan mahasiswi yang telah bangkit menuntut penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta mempertahankan hak mereka.
Pihaknya juga, kata beliau berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap Umno dan rakan sekutu mereka yang terus-terusan memberi tekanan dan ancaman secara terbuka kepada Adam Adli dan para mahasiswa.
“Adakah mereka ini ‘kebal’ daripada undang-undang Malaysia sehingga boleh menumbuk dan memberi ancaman kepada orang lain secara terbuka?” soalnya.
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa meluluskan satu program cepat kaya sehingga lebih 200,000 orang tertipu kerananya.
Kini ketika semua pihak tertanya-tanya ke mana pergi pemimpin skim cepat kaya itu menghilangkan diri, pihak polis pula meminta ianya jangan diganggu dan serahkan kepada proses penyiasatan pihak polis.
(Laporan akhbar Harian Metro)
Namun bangkai gajah ini kini meletup dan tidak boleh ditutup lagi apabila sebahagian mangsa mengesyaki ia ada kaitan dengan pengumpulan dana untuk Umno menjelang pilihan raya umum akan datang ini.
Pada 26 April 2008 lalu, Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu meluluskan satu permohonan untuk melaksanakan satu skim yang dinamakan Sistem Ekonomi Berkonsep Parlimen.
Surat itu mencadangkan agar kawasan Pekan dijadikan pilot projek ini.
Persetujuan Najib jelas berdasarkan tandatangan Najib pada kertas permohonan itu dan ia telah digunakan oleh penganjur skim ini dalam kempen mereka mengumpulkan sokongan.
(Gambar kanan, tandatangan kelulusan dan sokongan Najib terhadap permohonan skim ini)
Dua hari kemudian, 28 April, Pejabat Timbalan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanannya mengeluarkan surat sokongan rasmi kepada projek itu.
Berbekalkan surat dan tandatangan Najib ini kempen dibuat oleh pengajurnya ke seluruh negara untuk mengumpul wang orang ramai.
Ia dikaitkan dengan usaha untuk kepentingan Islam dan menjaga kepentingan ekonomi orang Melayu.
Pemimpinnya pula adalah bergelar seorang ustaz yang kini dikatakan sedang diburu polis dan dikatakan orang yang paling dikehendaki Bank Negara Malaysia.
Melalui projek ini, setiap peserta boleh melabur antara RM1,000 - RM1 juta dan bayaran 10 kali ganda akan diberikan kepada peserta itu dalam masa satu tahun.
"Selepas empat bulan, kami bayar 30%, empat bulan lagi 30% dan selepas cukup setahun, lagi 40% akan dibayar dengan keuntungan 10 kali ganda itu
"Saya sendiri secara pribadi menerima wang dan membayar untuk enam bulan pertama duit itu kepada peserta di bawah saya, namun selepas itu tidak ada lagi bayaran dibuat hingga sekarang," kata satu sumber kepada Harakahdaily.
Semua urusan pembayaran ini dibuat secara tunai.
Baru-baru ini, akhbar Harian Metro meletupkan kes ini melalui laporan muka depan mereka dengan tajuk "Lebai RM200J".
Namun bagi sumber Harakahdaily, Ustaz ini kini menyimpan hampir satu bilion ringgit wang peserta program ini yang lebih 200,000 orang itu.
Ustaz ini dikatakan mempunyai helikopter dan jet peribadi dan tinggal di kawasan perumahan mewah di Shah Alam.
"Yang membingungkan saya adalah ke mana Ustaz ini pergi. Saya bimbang kalau ia ada konspirasi dan saya minta Datuk Seri Najib menjelaskan perkara.
"Ini kerana, melalui surat Datuk Seri Najib lah ramai yang terpengaruh dengan projek ini dan menyertainya dengan melaburkan wang mereka," katanya.
PARIT BUNTAR, 21 Dis: Umno dan NGOnya umpama budak hingusan yang tidak sedar hingusnya meleleh berhubung penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Bagi Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim, isu dakwat kekal itu telah mencetuskan pelbagai kisah yang menarik dan tidak kurang juga yang melucukan, telah membuatkan Umno hilang kewarasannya.
Selain itu, katanya NGO tegar Umno, Perkasa yang mana tindakan mereka telah menjelaskan betapa mereka hilang akal apabila timbul ura-ura Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu menggunakan dakwat kekal pada PRU 13 tidak lama lagi.
Perkasa memberi amaran, tindakan SPR mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang akan menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi dan akan membawa negara ke belakang.
“Sebenarnya langkah itu seiring dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya,” kata Khalil dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, pelbagai alasan yang langsung tidak kukuh dikemukakan oleh mereka kononnya bertujuan untuk menimbulkan keraguan di kalangan rakyat.
“Umno BN dalam hal ini seperti budak hingusan yang tidak sedar hingusnya meleleh,” ujarnya sinis.
Rakyat ternanti-nanti, ujarnya bilakah agaknya kerajaan mahu mengorak langkah untuk ke arah perubahan, walaupun cuma satu harapan iaitu pelaksanaan dakwat kekal.
Menurutnya lagi, negara-negara yang lebih ‘hebat’ suasana sosiologinya seperti di beberapa negara di Timur Tengah dan Asia Tenggara telah pun menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihan raya mereka.
Namun, ujarnya apabila sampai kepada batang hidung kumpulan pro Umno, penggunaannya terus dikatakan ketinggalan zaman, alasannya pula tidak dihuraikan lanjut secara hujah yang bernas.
Baru-baru ini, katanya blogger tegar Umno yang dikatakan ‘kebal’ perundangan, iaitu papagomo telah menerbitkan satu video mengenai tutorial menghilangkan palitan dakwat kekal di jari sebagai satu lagi usaha Umno menimbulkan keraguan rakyat.
“Saya katakan begitu kerana ia dirakam secara potong-potong dan edit semula sebagaimana yang dikatakan lima minit itu, mungkin juga dakwat itu telah dicampur dengan bahan lain yang boleh menghilangkan keasliannya, jika tulisan dalam blognya boleh dicampur dengan unsur fitnah, inikan pula dakwat miliknya, sudah pasti amat mudah dicampur dengan unsur lain,” katanya lagi.
Baginya, Umno sejak tahun 90-an lagi, sememangnya telah menjadi ejen pembunuh harapan rakyat, justeru ‘pembunuh’ sebegini perlu ditukar segera demi menjaga kestabilan negara yang tercinta ini.
Tegasnya, Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa harapan rakyat tidak mati begitu sahaja, buktinya boleh dilihat di empat buah negeri yang ditadbir Pakatan.
“Ini komitmen yang perlu dinilai seadilnya, saya boleh gambarkan betapa Malaysia boleh cemerlang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan