KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju dengan saranan Cuepacs yang mendesak kakitangan awam agar tidak menandatangani borang opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diedarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, cubaan penguatkuasaan SBPA kepada 1.2 juta kakitangan awam tanpa memberikan maklumat yang mencukupi adalah satu penganiayaan. Menurutnya, DPPWP dimaklumkan, hanya kakitangan yang menandatangani SBPA sahaja yang akan menerima kenaikan gaji sebanyak 7-13 peratus seperti yang di umumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet yang lalu. “Manakala kakitangan yang mahu mengunakan skim perkhidmatan berdasarkan SSM dan SSB akan kekal menerima tangga gaji sedia ada,” ujarnya kepada Harakahdaily. Malah, ujarnya ramai kakitangan awam yang tidak berpuashati kerana dalam SBPA mereka wajib memilih untuk bersara pada usia 60 tahun. Beliau menambah, penilaian anjakan atau kenaikan gaji tahunan pula bakal didasarkan kepada merit laporan prestasi tahunan yang mana kakitangan yang gagal mencapai markah 70 peratus bagi 3 tahun berturut-turut boleh dipecat. Katanya, apa yang tidak dijelaskan oleh JPA adalah, bagaimana bentuk penilaian itu berfungsi. Soalnya, bagaimana mereka boleh menjamin tidak adanya elemen pilih kasih, atau sabotaj oleh kakitangan atasan kepada mereka yang menjadi subordinat mereka. Menurutnya lagi, malah tidak dinyatakan juga jumlah kenaikan itu kerana carta perubahan gaji tidak diberikan. “Adakah kakitangan yang mencapai markah yang lebih tinggi akan menerima kenaikan gaji dua kali ganda atau sama sahaja seperti sebelum ini di mana mereka hanya menerima kadar kenaikan mengikut tahun perkhidmatan?” tanya beliau lagi. Katanya, kakitangan awam adalah aset yang penting kepada pentadbiran negara, tetapi layanan yang diberikan kepada mereka nampaknya semakin teruk. Tambahnya, perkara yang paling penting untuk hidup mereka iaitu dalam menentukan masa depan kerjaya mereka dibuat tergesa-gesa sedangkan JPA hanya memberikan masa dari 16-30 Disember ini untuk mereka membuat keputusan. “Itu arahan dari JPA, tapi bila turun kepada Kementerian dan Jabatan, ramai yang mengadu bahawa mereka perlu buat keputusan kurang dari 48 jam kerana pihak Bahagian Sumber Manusia masing-masing mengambil masa yang banyak untuk mengedar dan merekodkan pilihan yang dibuat sebelum menghantarnya semula kepada JPA,” katanya lagi. Apa yang penting, ujarnya DPPWP berharap agar kakitangan awam bijak membuat pilihan dan tidak tergesa-gesa. Justeru, katanya DPPWP juga mahu Perdana Menteri menunaikan janjinya untuk menaikkan gaji kakitangan awam bermulai 1 Januari tahun hadapan tanpa mengira skim mana yang mereka pilih dan tidak terikat kepada SBPA sahaja. “Rakyat memang sedar bahawa Perdana Menteri cuba menggunakan pakej belanjawan Bajet 2012 untuk menarik undi dan sokongan, tapi biarlah dengan cara yang ikhlas dan jelas bukannya sekadar janji yang cacamarba,” katanya lagi.
Subky Abdul Latif | DR. ABU Hassan Hasbullah, tuan punya badan kaji selidik Zentrum tidak pernah kata sebelumnya pengundi muda cenderung kepada BN. Kini katanya, pengundi muda sudah cenderung kepada BN. Dr. Mahathir tidak pernah menggalakkan Perdana Menteri Najib mengadakan PRU 13 segera. Tunggu dulu. Kini katanya, sudah tiba waktu terbaik bagi BN mengadakan pilihan raya. Ertinya PRU 13 sudah boleh diadakan dan inilah masa terbaiknya untuk menang semula. Ia mengingatkan saya perkembangan semasa saya berada di London pertengahan 1970. Ramalan semua akhbar ialah masa itu waktu terbaik bagi Perdana Menteri Edward Heath dari Parti Konservatif mengadakan pilihan raya. Sebulan kemudian saya singgah lagi di London dalam perjalanan pulang dari Amerika. England sedang sibuk kempen. Bila balik ke Malaysia, berita yang saya baca menyebut, parti Perdana Menteri Edward Heath kalah. Itulah hakikat nujum ada yang tepat, ada yang tidak. Nujum yang tepat ialah yang meramalkan kelahiran laki-laki yang akan membinasa kuasa Raja Namrud dan satu lagi bayi laki-laki akan menghancurkan regim Firaun, raja segala kezaliman. Kata nujum, sekarang adalah waktu terbaik bagi kerajaan Najib untuk menang semula. Dua bulan lagi, Februari dan Mac mungkin berubah. PAS dan sekutu Pakatan Rakyatnya sudah bersedia, seperti gendang perang Badar sudah dipalu atau seperti tentera Islam menghadapi perang Hunain. PAS dengan perjuangan sucinya menghadapi pilihan raya dengan semangat peperangan Nabi SAW dalam jihadnya. Tetapi PRU 13 itu dihadapi PAS bersama yang 98 peratus bukan Islam dan 50 peratus PKR bukan Islam. Macam mana PAS mahu menyamakannya dengan perang Rasulullah SAW? Memang perang Badar disertai sepenuhnya oleh mujahiddin. Perang Uhud pula mulanya diikuti oleh munafiqin pimpinan Abdullah bin Ubai. Rasulullah tidak menghalang penyertaan mereka. Menjelang medan perang mereka cabut lari. Selepas pembebasan kota Makkah baginda memimpin perang Hunain. Ia diikuti sama oleh ribuan penduduk Makkah yang belum Islam. Penyertaan mereka tidak dilarang baginda. Kafir Arab Makkah itu tidak menyertainya kerana jihad dan Islam, tetapi mahu mengelakkan musuh Islam menyerang Nabi SAW di Makkah. Jika musuh itu masuk Makkah, mereka, keluarga dan harta benda mereka akan diserang. Maka mereka menyertai tentera Islam menujui Hunain. Dalam PRU 13 ini, PAS menyetainya dengan perjuangan Islam yang suci. DAP dengan semangat anti rasuah dan membela golongan yang tertindas, manakala PKR pula menegakkan keadilan dan membasmi penyelewengan. Kalau jihad Rasulullah SAW dalam perang Hunain tidak cacat dengan penyertaan kafir Makkah, maka tiada apa kurangnya bagi perjuangan suci PAS itu dijalankan bersama dengan DAP dan bukan Melayu dalam PKR. Dengan semangat itulah PAS menghadapi PRU 13 itu dengan DAP dan PKR untuk mara ke Putrajaya. Pakatan Rakyat telah lama menunggu. Memang Pakatan Rakyat tidak menduga PM Najib menunggu hingga akhir penggal untuk mengadakan pilihan raya. Kalau boleh dia mahu secepat mungkin menampatkan penggal yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Badawi. Dia mahu mandatnya sendiri dan mahu membersihkan kerajaannya dari saki baki orang lama. Setengah dari orang Mahathir dan orang Abdullah seperti Syed Hamid Albar, Azalina Osman, Idris Haron sudah digugurkan, tetapi orang-orang itu masih ada di Parlimen. Tetapi Najib bukanlah orang yang berani sangat. Dia tidak berani mengadakan pilihan raya di Perak yang dirampaskan dari Pakatan Rakyat. Dia cuba dapatkan Selangor dengan cara dia mengambil Perak. Dia cuba dapatkan majoriti dua pertiga Parlimen dengan menaja MP Pakatan menjadi MP Bebas. Tetap dia tidak berani mengadakan segera PRU 13. Sekali pun ramai pembangkang sudah dibeli – dalam dan luar Parlimen – sehingga orang keliru dengan keupayaan Pakatan Rakyat, tetapi Najib tidak berani mengadakan pilihan raya segera. Memang Mahahir pun melarangnya. Lompat beberapa orang MP dan ADUN tidak menjanjikan suasana selesa baginya. Hanya sekarang sudah baik mengikut nujum Mahathir. Tetapi belum tentu Mac dan April nanti keadaan baik lagi. Pengalaman Edward Heath di Britain ahun 1970 itu adalah satu pelajaran. Ramalan hanya satu harapan tetapi bukan satu jaminan.
'Bersih' Felda: PERKASA ketuai 1,000 berdemo
| Salhan K Ahmad 1:28PM Dis 15, 2011 |
|
GALERI FOTO PERKASA hari ini menuntut supaya Felda menjalankan audit dalaman ke atas semua agensi di bawah lembaga berkenaan untuk membersihkan badan berkenaan daripada "gunting dalam lipatan". Antara pihak turut disifatkan sebagai "duri dalam daging" kepada Felda itu merupakan pengarah besar agensi kerajaan itu, Datuk Zulkifli Wahab.
Timbalan presiden PERKASA, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, tindakan sama juga perlu dijalankan ke atas pegawai berkenaan yang didapati "menghalang usaha transformasi Felda" oleh perdana menteri.
"Kami mengutuk golongan yang menjadi gunting dalam lipatan dan duri dalam daging, mempunyai agenda peribadi dan bersekongkol dengan pembangkang, menentang dalam senyap usaha murni ini.
"Kami menyokong penuh Datuk Zulkifli Abdul Wahab dihantar bercuti bagi menambah ilmu pengetahuannya.
"Kami yakin tindakan ini tepat pada masanya, sudah tentu tindakan ini telah difikir semasak-masaknya oleh perdana menteri," katanya yang membacakan satu memorandum.
Ditanya selepas itu, Abdul Rahman menegaskan bahawa Zulkifli (foto kiri) merupakan individu yang dimaksudkannya sebagai gunting dalam lipatan itu.
"Kalau surat rahsia (arahan bercuti kepada Zulkifli) boleh tersebar kepada pembangkang, kalau dia tidak bocorkan siapa lagi yang bocorkan? Takkan surat datang daripada tempat lain?
"Dan bukan dia dipecat pun, cuma dia diberi bercuti belajar. Mungkin anggapan perdana menteri dia belum cukup pengetahuan untuk tadbir Felda," katanya.
Memorandum yang sebelum itu diserahkan kepada seorang kakitangan Felda, turut menyatakan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga pengerusi badan berkenaan, Tan Sri Isa Samad.
"Kita juga harap pengurusan Felda yang dipengerusi Tan Sri Isa buat audit dalaman forensik. Kita juga harapkan supaya semua agensi bawah Felda ini dibuat audit forensik," katanya lagi.
Memorandum itu turut menyatakan sokongan ke atas rancangan kerajaan untuk menyenaraikan salah satu anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings ke Bursa Malaysia – satu langkah yang didakwa telah ditentang oleh Zulkifli sehingga dikenakan tindakan berkenaan.
Selain itu, dokumen berkenaan juga mengutuk campurtangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang didakwa telah "menghasut" golongan peneroka untuk "menolak usaha murni kerajaan."
Abdul Rahman sebelum itu mengetuai lebih 1,000 orang yang berarak sejauh 500 meter dari Anjung Felda di Jalan Perumahan Gurney dan kemudiannya berhimpun selama hampir sejam di hadapan bangunan Balai Felda di Jalan Maktab, Kuala Lumpur.
Selain melaungkan slogan "hidup Felda", "hancur anak" dan "hancur PAS," kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dengan slogan "kami tolak anasir luar" dan juga "PAS penipu warga Felda."
Selain anggota PERKASA, turut menyertai perhimpunan itu ialah peserta Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), anggota Umno dan juga satu NGO pro-Melayu yang berpengkalan di Seremban, Gabungan Memartabat Pemimpin Negara.
Turut berucap di perhimpunan itu ialah pengerusi MBFM, Anuar Abdul Manap, ketua pemuda Umno Selangor, Engku Salleh Engku Jamal.
Perhimpunan balas hari ini dianjurkan PERKASA sebagai reaksi kepada satu lagi perhimpunan yang dianjurkan ANAK pada hari Selasa.
Dr M: Bomoh tak boleh tolong kamu, politikus Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan ahli politik supaya tidak mencari bomoh kerana ia tidak dapat menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum. "Ahli-ahli politik pun tak usahlah cari bomoh kerana ingin menang. Bukan bomoh yang boleh beri kemenangan. "Budi yang baik, tingkah laku yang sopan, keperihatinan akan masalah yang dihadapi rakyat yang boleh memberi kemenangan dan kejayaan," katanya. Menulis dalam blog beliau kelmarin, Dr Mahathir ( kiri) berkata, kita tidak harus menambah kepercayaan karut yang menjadi halangan kepada kejayaan orang Melayu yang sudah sedia banyak. Dalam tulisan panjangnya itu juga, Dr Mahathir mengingatkan supaya orang Melayu tidak menjadi bangsa penakut dan percaya kepada makhluk halus yang tidak disebut dalam Islam seperti hantu, pelesit, toyol. Katanya, kepercayaan yang berasal daripada zaman pra-Islam itu antaranya pernah menyebabkan kegagalan tentera Melayu menghadapi Siam sebelum kemerdekaan negara ini. "Dan mereka pun kalah kerana tidak percaya mereka boleh menang. Mereka tidak pun dapat mempertahankan diri mereka. Mereka kaku disebabkan ketakutan. Dan askar Siam boleh menyembelih mereka. "Yang lain melarikan diri, tidak berani mengadap orang kebal, boleh meresap, boleh tiba-tiba berdiri di atas pokok di belakang pasukan Melayu," katanya menyentuh mitos kebal orang Siam. Menceritakan pengalaman peribadinya ketika bertugas sebagai doktor, Dr Mahathir berkata beliau pernah bertemu lelaki yang dikatakan kebal selepas dicucuk jarum emas ke badannya. "Apabila dia datang saya bertanya bolehkah saya cucuk jarum ke dalam badannya. Dia mendakwa jarum tak mungkin masuk kerana dia tidak mengizinkannya. "Saya cucuk dan jarum masuk seperti biasa. Dia tidak kebal," katanya lagi. | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan