RANTAU PANJANG, 5 Dis: “Kami tidak ada masalah untuk mendapatkan air bersih. Tidak pula berlaku ada kekuningan seperti disebut dalam sebuah akhbar. ”Bekalan air yang disalur Air Kelantan Sdn Bhd tidak bermasalah, kalau setahun mungkin ada sekali dua terputus bekalan sekejap,” kata pekerja sebuah restoran di kawasan bebas cukai di sini. Seorang peniaga, Wan Hanafi Wan Jaafar, 48 melahirkan rasa kesal terhadap laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau. ”Saya hendak tanya sumber air yang didakwa itu diambil dari punca mana. Kalau air AKSB tidak berlaku apa yang didakwa tersebut. ”Lainlah kalau mendapat sumber air dari telaga tiub yang dikorek sendiri. Memang air boring berbau dan berwarna kuning. Kalau air AKSB tidak,” katanya ketika ditemui semalam. Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada laporannya 24 November lalu menggambarkan air dibekalkan kerajaan negeri berkarat dan berbau. Gambar disiarkan akhbar terbabit menunjukkan seorang surirumah mendakwa terdapat kesan-kesan air berkarat pada jarinya. Sedangkan sumber air yang diguna itu tidak diceritakan dari punca mana. Berdasar tinjauan air berkarat dan berbau diperolehi sumber air telaga tiub yang dikoret sendiri dan bukan air AKSB. Laporan Utusan cuba menyembunyikan fakta sebenar. Air boring masih digunakan sebahagian kecil peniaga di Rantau Panjang. Telaga tiub yang diboring mendapat sumber air dari bawah tanah. Bagaimanapun keadaan rupa bumi pekan Rantau Panjang bekas sawah dan mudah air bertakung menyebabkan sumber air bawah tanah berkarat dan berbau. Namun berlainan air dibekalkan AKSB kerana disalur dari Loji Rawatan Air Kelar, Pasir Mas. Pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azahari Ab Rahman berkata, pengguna di Rantau Panjang mendapatkan sumber air dari loji Kelar. ”Air yang dibekalkan AKSB jernih dan tidak berbau. Maklumat seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini tidak betul. ”Tindakan tersebut hanya untuk memburukkan AKSB dan kerajaan negeri semata-mata, sedangkan air berkarat dan berbau diambil penduduk dari punca lain,” katanya. Penghulu Mukim Bandar Rantau Panjang, Wan Idris Deraman berkata, tidak timbul sama sekali air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau seperti dilaporkan sebuah akhbar. Katanya, air yang didakwa berkarat itu diambil dari telaga tiub yang diboring penduduk dan bukan air milik AKSB. ”Tidak dinafikan masih ada peniaga di pekan Rantau Panjang yang menggunakan air boring biar pun berkarat dan berbau,” katanya. Kata beliau sekarang sudah ramai penduduk menggunakan air dibekalkan AKSB kerana jauh lebih berkualiti. Seorang peniaga gerai makanan, Hasnah Ismail, 58 mengakui beliau menggunakan sumber air boring untuk membasuh pinggan mangkuk di gerainya. Bagaimanapun katanya, air minuman diambil daripada rumahnya. ”Saya bercadang mahu menggunakan sumber air AKSB memandangkan tidak berkarat dan berbau seperti air diboring,” ujarnya. (ikuti siri pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 5 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa terdapat campur tangan serius kerajaan bagi memastikan Tan Sri Isa Samad sah menjadi Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan mempengerusikan mesyuarat agung luar biasanya, 5 Januari tahun hadapan.
Presiden Anak, Mazlan Aliman mendakwa usaha itu termasuk menggunakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) agar Isa Samad dapat mempengaruhi seluruh wakil KPF di seluruh negara supaya bersetuju dengan cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Saham Malaysia.
"Nampaknya kerajaan bersungguh-sungguh benar dan memperalatkan semua yang terbabit termasuk SKM untuk memastikan Isa Samad bukan sahaja menjadi ahli KPF, tetapi juga menjadi Pengerusi KPF bagi membolehkan usaha membawa FGVH ke Bursa Malaysia menjadi kenyataan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Mazlan juga berkata, pihaknya mendapat maklumat, SKM sedang giat berusaha agar mesyuarat tersebut dapat dijalankan.
Justeru, Anak sedang berbincang dengan pihak peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah agar menghalang mesyuarat itu diadakan.
"Kita menunggu notis memanggil mesyuarat agung ini, kalau notis kita dapat, kita akan bincang dengan peguam agar mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang mesyuarat ini diadakan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Jelasnya, tindakan itu ingin diambil kerana Anak tidak berpuas hati dengan tindakan SKM menerima semula Isa sebagai ahli KPF sedangkan sebelum ini SKM pernah mengarahkan KPF menarik keahlian Isa kerana didapati tidak layak menjadi ahli KPF.
"Anak dapat maklumat, SKM sebelum ini mengarahkan KPF melucutkan keahlian Isa sebagai ahli KPF bersama tiga lagi yang lain yang ada kaitan dengan Felda iaitu Datuk Sabri Ahmad, Datuk Yusof Nor dan Datuk Bakke Salleh," katanya.
18 Oktober lalu, Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) membuat aduan kepada SKM mengenai pelantikan Isa Samad sebagai Pengerusi KPF.
Selepas sesi pendengaran yang dilakukan terhadap Isa, difahamkan selepas Isa dan peguamnya bertemu SKM, SKM mengarahkan KPF menerima semula Isa ke dalam KPF.
"Kita lihat dalam isu ini bagaimana permainan licik yang dibuat oleh Isa Samad dan timbul kehairanan bagaimana SKM telah campur tangan dalam apa yang sebelum ini SKM sendiri perintahkan KPF gugurkan Isa Samad dari KPF, tapi keputusannya berpusing 360 darjah," katanya.
Selain itu, menurut Mazlan lagi, status Isa sebagai Pengerusi Felda semakin diragui apabila SKM melalui suratnya tiga hari lepas kepada Pengerusi Bangkit, Abdul Rahman Ramli memberitahu Isa belum disahkan menjadi Pengerusi Felda seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Menetri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Sebaliknya dalam surat yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, menggambarkan Isa telah sah menjadi Pengerusi Felda.
"Kita minta penjelasan mengenai status Isa ini kerana terdapat jawapan yang berbeza, tak tahu yang mana satu betul," katanya.
Penduduk Matau berharap diberikan hak penempatan Khairil Abdul Rahim | BANDAR JENGKA, 6 Dis: Kira-kira 400 penduduk Matau di sini, semalam mengadakan perhimpunan aman kelmarin bagi membantah tindakan pihak berkuasa tempatan yang mengusir mereka keluar daripada kediaman yang telah mereka duduki sejak lebih 40 tahun lalu.
Arahan tersebut terkandung dalam notis yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Maran (MDM) bertarikh 18 November lalu dan penduduk Matau dikehendaki mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh 14 hari sebelum proses perobohan dibuat.
Alasan yang diberikan oleh MDM ialah penduduk yang menetap di situ sejak belum lagi Bandar Jengka dibuka ialah mereka merupakan setinggan kerana tinggal di tanah haram.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Matau, Zakri Yusof, 44, ketika berucap memberitahu, Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja syarikat pembalakan dari Kanada di samping penghijrah-penghijrah dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.
Katanya, ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.
“Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh MDM dan penduduk telah dikenakan bayaran TOL. Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan. Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.
“Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama dari Umno sehingga sering kali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.
“Kini terdapat hampir 600 penduduk Matau dengan seratus peratus Melayu daripada 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 22 ekar ini,” jelasnya.
Zakri berkata, notis arahan kepada penduduk supaya mengosongkan premis dan tapak di kawasan tersebut dengan alasan MDM telah menandatangani perjanjian dengan pemaju Mentiga Corporation Bhd. untuk membina lot kedai tiga tingkat dengan harga menghampiri setengah juta ringgit setiap unit.
Tambahnya, apa yang dikesalkan ialah dalam notis yang ‘menghantui’ penduduk itu tidak menyebutkan ke mana tempat cadangan berpindah dan sebarang pampasan sehingga membuatkan penduduk kebingungan dan berada dalam dilema. Jelasnya, penduduk Matau bukannya degil justeru boleh membuat pembangunan tersusun kerana menyedari kerajaan mahu membesarkan jalan dan mencantikkan kawasan dan penduduk boleh lakukan itu cuma pada masa ini kawasan Matau nampak tidak tersusun kerana masalah status tanah.
“Sebenarnya tempat lain luas lagi untuk dimajukan kenapa pilih tempat penduduk yang sudah duduk di sini sejak puluhan tahun. Di sini ada 33 buah kedai semuanya dan kami sanggup buat lot kedai sebelah depan jika sekarang ini cacatkan pemandangan.
“Kami pun dah jenuh menderita. Bayangkan pihak berkuasa bagi premis niaga, ambil cukai pintu tapi kemudahan bekalan air paip tak salurkan. Sebenarnya dah lama hak kami dinafikan.
“Ada juga sesetengah pemimpin yang mainkan isu negeri-negeri, kononnya kebanyakan penduduk Matau dari negeri lain. Sebenarnya generasi pertama dah tak ramai yang meninggal dan sekarang ini kebanyakan yang ada merupakan generasi kedua dan ketiga. Semuanya lahir di sini.
“Lagi pun cuba tengok di Sungai Jerik, dalam daerah Maran ini juga... kenapa boleh buat kedai untuk penduduk yang meneroka tanah di sana yang berbangsa Cina. Lagikan bukan bangsa Melayu pun boleh bangunkan dengan tidak ketepikan peneroka asal. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya... kenapa boleh? Sebab itu saya rasa ini hanya untuk kepentingan pihak tertentu saja!”
Zakri berharap, penduduk akan diberikan hak ke atas tanah kediaman masing-masing itu dan diberikan bekalan air bersih.
Turut memberi sokongan dalam perhimpunan aman itu ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim, peguam penduduk Ahmad Nizam Hamid, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asli PKR Pusat, Suhaimi Said dan lain-lain pemimpin tempatan.
Ahmad Lutfi Othman | Kekuatan PAS di Terengganu memang sudah teruji. Dalam pilihan raya pertama selepas merdeka, pada 1959, PAS dapat menguasai negeri itu, bersama Kelantan. Selepas 1969, Kedah turut dirangkaikan sebagai wilayah tradisi atau kubu kuat PAS.
Ketiga-tiga negeri majoriti Melayu ini sering dirujuk sebagai penanda aras kekuatan PAS. Sebelum pengaruh PAS melewati kawasan Malay belt itu -- dan timbulnya nama Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim sebagai seteru ketat -- perhimpunan agung Umno sentiasa panas dengan serangan terhadap PAS di negeri-negeri berkenaan, khususnya Terengganu.
Ketika pengundi Melayu bangun lantang menzahirkan protes terbuka kepada Umno dan Dr Mahathir Mohamad pada 1999, Terengganu mencatat sejarah gemilang. Semua lapan kerusi Parlimennya dimenangi Barisan Alternatif, manakala Umno hanya bertahan empat daripada 32 kerusi Dun.
Selepas 40 tahun, PAS kembali menerajui kerajaan negeri. Pelbagai perubahan bagi membela kebajikan dan kepentingan rakyat segera dilaksanakan. Suara mereka juga dirujuk sebelum polisi penting negeri digubal. Namun, tiada siapa dapat menghidu perancangan jahat Umno, yang dibantu rapat agensi kerajaan pusat, untuk merampas negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu.
Usia kemenangan pada 1959 tidak sampai dua setengah tahun, apabila pelbagai taktik jelik-kotor digunakan Perikatan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Allahyarham Daud Samad, dengan membeli wakil rakyat. Rupanya, menjelang pilihan raya 2004, rakyat Terengganu pula yang "dibeli" Umno, melalui taburan wang ehsan, selain manipulasi senarai daftar pemilih yang menjolok mata.
Maknanya, rampasan kuasa di Perak pada 2009, yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar Jamaluddin, bukanlah perkara baru. Begitu juga dengan strategi Umno memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khususnya untuk menawan kembali Selangor dalam PRU13 nanti, juga telah didahului di Terengganu.
Difahamkan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh diberi peranan penting menterjemahkan pengalaman merampas Terengganu untuk aplikasi Umno di negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang.
PAS Terengganu dilihat tercicir daripada bersama-sama membentuk tsunami politik, Mac 2008. Memang ia dilihat berupaya bangkit daripada kekalahan teruk 2004, namun penguasaan lapan kerusi Dun dan satu Parlimen (ditambah satu lagi di Kuala Terengganu dalam pilihan kecil), ternyata belum memadai di kala PAS menerajui kerajaan campuran di Kedah (juga Perak selama setahun), selain mengekalkan kemenangan sejak 1990 di Kelantan dan menjadi sekutu penting dalam kerajaan negeri Selangor.
"PAS perlu kembali berkuasa di Terengganu, sekurang-kurangnya dengan itu, dapat menyanggah dakwaan yang timbul selepas tahun 2008 bahawa PAS telah kehilangan sokongan pengundi Melayu. Dengan menerajui ketiga-tiga negeri Melayu, termasuk Kelantan dan Kedah, maka secara automatik PAS merupakan parti yang mewakili aspirasi majoriti orang Melayu," kata seorang pemerhati politik.
Jika dihitung isu semasa, pelbagai masalah besar melanda Terengganu. Daripada kos sara hidup meningkat, terutama dengan kenaikan harga barangan asas, juga rekod buruk pengurusan kerajaan negeri membelanjakan dana awam (cerita runtuhnya bangunan-bangunan baru yang dibina sudah dianggap perkembangan biasa), sehingga konflik dalaman Umno negeri yang parah dan tidak dapat disembunyikan.
Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad banyak menulis mengenai kepincangan pentadbiran Ahmad Said, terutama keghairahannya untuk "terus berbelanja besar di tengah-tengah kesempitan dan keperitan hidup golongan marhaen di Terengganu, yang hanya mengharapkan sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga yang miskin".
Beliau kerap membangkitkan perbelanjaan mengurus Kerajaaan Terengganu yang cukup tinggi, malah "jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang". Bagaimanapun rakyat negeri yang kaya dengan hasil buminya ini masih terperangkap dengan putaran kemiskinan.
Dalam pertemuan sidang editorial Harakah dengan Abdul Wahid Endut pada 1 Disember lalu, ternyata beliau yang berpengalaman luas sebagai Adun selama lima penggal, berhati-hati apabila membicarakan peluang PAS Terengganu yang baru diterajuinya.
Beliau tidak mahu menyandarkan perpecahan dalaman Umno sebagai faktor utama kemenangan, sebaliknya mahu membina kekuatan tersendiri, sambil menyedari misinya dipagari pelbagai halangan sukar. Segala sekatan psikologi yang terbina di antara PAS dengan rakyat selama ini mesti diruntuhkan.
Lagi pun, bukan mudah mengepalai badan perhubungan di negeri-negeri tradisi PAS seperti Kelantan, Kedah dan juga Terengganu. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat masih diperlukan mengemudi PAS Kelantan, begitu juga Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah. Malah di Terengganu, ramai pemimpinnya bertaraf nasional, misalnya Presiden sendiri, Tuan Guru Abd Hadi Awang; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib; dan Setiausaha Agung, Mustafa Ali.
Rakan saya, Sayuti Omar dalam blognya, mempersoalkan keberkesanan pimpinan Wahid untuk mencetuskan perubahan di Terengganu ketika masih ramai pemimpin veteran dilihat menaungi PAS Terengganu. "Wahid yang kini menjadi pesuruhjaya menggantikan Harun Taib tidak berjaya membawa perubahan atau melakukan proses penyalinan kepimpinan seperti diharapkan. PAS Terengganu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari dan memenuhi selera semasa," tulis Sayuti.
Apa pun saya yakin, Wahid mempunyai perkiraan tersendiri dalam mengatur rentak dan strategi, termasuk mengambil kira semua sumber kekuatan yang ada. Sekurang-kurangnya pendekatannya lebih membumi dan mesra rakyat, serta berupaya memecahkan tembok psikologi yang mungkin terbina sejak sekian lama.
Semasa melayari enjin pencari Google tentang Wahid, saya terjumpa tajuk berita yang menarik dalam Harakahdaily, "Wahid sedang 'lembutkan' imej PAS Terengganu". Berita bertarikh 2 Sept, yang memetik kenyataannya semasa meraikan perantau Terengganu yang beraya di kampung itu merumuskan: "Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing."
Saya sendiri agak keliru dengan ungkapan "PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar ..." Mengapa boleh terjadi sedemikian rupa, namun lebih penting apakah persepsi itu dapat diperbetulkan sekarang? Saya sendiri menekankan kepada Wahid, kes Terengganu mungkin berbeza daripada negeri lain disebabkan negeri itu pernah menang sepenggal (1999-2004) dan kemudiannya kalah, lalu apakah kemungkinan kekalahan itu boleh diertikan dengan penolakan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan negeri? Justeru, ia boleh memberi implikasi terhadap pemilihan calon PRU13.
Berbicara hampir sejam dengannya, saya kira Wahid mempunyai iltizam tinggi untuk mendampingi rakyat, dengan memenangi hearts and minds pengundi. Beliau tentu tidak mahu Terengganu terpisah dengan arus perubahan, malah menjadi penyumbang utama menghadiahkan lagi enam kerusi Parlimen buat memudahkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
Subky Abdul Latif | SEBAGAIMANA Prof Dr Aziz Bari boleh menegur semua orang, maka dia juga boleh ditegur. Itulah manusia, tiada yang sempurna. Khalifah Umar al-Khatab, sebagai Amirul Mukminin juga pernah ditegur apabila beliau cuba menghadkan mahar bagi pengantin perempuan. Seorang perempuan telah menegurnya, sejak bila khalifah mengambil alih hak yang menjadi hak kepada bakal pengantin perempuan. Khalifah lalu mengaku teguran perempuan itu adalah betul. Maka Dr. Aziz dikatakan telah membuat komen konon akaun Lembaga Zakat Selangor dan Muis tidak diaudit. Adakah benar ia tidak diaudit? Sebagaimana orang ingin tahu segala yang ditegur oleh Ketua Audit Negera, maka orang pun ingin tahu apa yang Dr. Aziz tegur. Kalau teguran Ketua Audit Negara pun dijawab oleh setengah pihak yang kena tegur, maka pihak yang ditegur oleh pakar perlembagaan itu juga boleh dijawab kiranya dia tidak betul. Prof. Aziz membuat teguran yang mudah, iaitu akaun Muis dan LZS tidak diaudit. Jika teguran itu tidak betul, maka LZS dan Muis berhak untuk menjelaskannya. LZS dan Muis boleh membuat kenyataan media atau memanggil sidang media, memberikan bukti bahawa ia diaudit. Tunjukkan apa yang telah diaudit dan apa komen juru audit. Begitulah amalan di seluruh dunia, apabila ada pegawai atau mana-mana individu atau badan-badan berkanun, maka pihak yang ditegur itu akan membuat penjelasan. Dalam pentadbiran moden, diadakan pegawai khas untuk menjelaskan setiap apa yang dibangkitkan. Apa jua disungut dan ditegur, maka pegawai itu akan menyiasat betulkah teguran itu atau tidak. Dia akan mendapatkan butir dan keterangan tentang yang ditanya itu. Kalau PKNS ditegur, maka mana-mana perkara yang boleh dijelaskan oleh PKNS, ialah yang menjawabnya. Kalau yang dibangkit itu tentang gaji CEO terlalu besar, berpuluh ribu sebulan seperti yang dibangkit menjelang sidang bajet DUN Selangor baru-baru ini, tidaklah sesuai bagi pegawai itu sendiri menjelaskannya. Hal seperti itu lebih pantas dijawab oleh Menteri Besar kerana dia yang menentukan gaji itu. Kalau benda-benda yang PKNS sendiri boleh jawab, tidak perlulah ia dibeban kepada MB menjawabnya. Apa yang Dr. Aziz Bari itu perkara mudah yang LZS dan Muis boleh jawab sendiri, tidak perlu ia terpaksa dijelaskan oleh orang bergelar. Biarlah orang bergelar bercakap tentang perkara besar yang pihak lain tidak wajar menyampaikannya. Yang di-Pertuan Agong misalnya bertitah tentang dasar-dasar penting yang Perdana Menteri pun tidak layak menyampaikannya. Pertikaian antara kerajaan dan PKR misalnya tentang tuduhan amalan rasuah oleh kerajaan, orang tidak minta Yang di-Pertuan Agong menjelaskannya. Biarlah Perdana Menteri menyelesaikannya. LZS dan MUIS atau Jais telah minta orang bergelar menjawab teguran Aziz Bari sedang ia boleh mereka jelaskan sendiri. Mengapa perkara yang ia boleh buat, ia minta pihak yang lebih tinggi menjelaskannya. Jika hal yang rendah dicakapkan olah pihak yang tinggi, nanti yang tinggi dicakap oleh pihak yang tinggi akan disangka rendah. Adakan Jais atau Muis tidak yakin penjelasannya kepada Aziz Bari akan diterima umum? Itulah andaian yang boleh dibuat, betapa Jais dan LZS seperti hilang keyakinan untuk membuat penjelasan sendiri. Memang Jais banyak mendapat publisiti. Macam UMNO dan PAS yang fitrahnya berkehendakkan publisiti. Justeru itu Jais terdedah kepada perbualan umum dalam banyak perkara. Lalu ia terdedah kepada berbagai-bagai kritik. Mungkin sukar bagi Mais atau Jais bagi meyakinkan orang tentang dirinya, maka ia terpaksa mendapatkan payung dari pihak yang menaunginya. Aziz Bari tidak kebal. Dia boleh dihujah. Mengapa ia tidak ditangani sendiri sedang dalam isu yang Aziz bangkitkan itu boleh diselesaikannya sendiri? Benda yang budak pejabat boleh buat, tak usahlah tunggu ketua pejabat mengerjakannya. |
| | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan