Ahad, 18 Disember 2011

BERSATU ISLAM DEMI ALLAH NI DIWAJIBKAN...JANGAN TERPEDAYA DENGAN SYAITAN...SALAH MENGAKU..BETUL TERIMALAH

Berhemah tangani krisis, elak perang di media | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan mahu segala perbezaan pandangan dalam PAS diurus dengan berhemah bagi mengelakkan tercetusnya pertelagahan.

Perbezaan pandangan yang timbul katanya mempunyai punca dan sebab yang tersendiri dan pemimpin tertinggi parti harus bijak menanganinya dengan mencari mekanisme terbaik selain menggunakan saluran terbuka melalui media.

"Masaalah dalaman organisasi atau jamaah kita janganlah didedah kepada media atau masyarakat umum justeru ia laksana membuka pekong di dada sendiri.

"Berlapang dada dan ikhlas dari kesemua pihak yang ber"krisis" adalah asas penyelesaian masaalah yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tenang dan tidak cepat menghukum serta berlaku adil dan saksama kepada semua pihak pula katanya antara sikap yang perlu diambil sewaktu berdepan dengan situasi sebegini.

Selain itu juga, beliau menasihatkan semua pihak merendahkan keegoan dan ketepikan kepentingan diri demi memudahkan segala krisis yang berlaku mencapai jalan penyelesaian terbaik.

Prinsip 'Amal Islami' juga harus diutamakan dengan tidak mudah tunduk pada emosi dan juga desakan pihak luar yang tidak berhak mencampurinya.

"Jaga jamaah bukan merosakkannya. Bina ukhuwwah bukan meruntuhkannya. Bimbing ahli yang bermasaalah bukan menghalaunya.

"Sebagaimana kita gigih mengajak orang menyertai jamaah, maka kita juga mesti tekun berusaha untuk memastikan mereka tidak pula meninggalkan jamaah kita," katanya.


Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif di Kelantan | Print |
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 18 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan akan menganjurkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif Kelantan yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 20 Disember ini.

Program tersebut sebagai usaha kerajaan membantu rakyat di negeri itu mendapatkan peluang pekerjaan serta pendedahan bagaimana untuk memulakan perniagaan.

Sekurang-kurangnya lebih 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dengan penyertaan beberapa syarikat besar.

Program berkenaan akan diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kelantan yakin ekonomi Kelantan akan terus berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang dengan adanya penganjuran program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif Kelantan seperti itu.

Pengarah Jabatan Kerajaan Dan Swasta (JKS) Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, pihaknya yakin sasaran kerajaan negeri Kelantan untuk menyediakan 100,000 pekerjaan dalam lima tahun akan datang akan tercapai.

“Dengan ini sekaligus dapat menjawab tohmahan pihak pihak tertentu khususnya Barisan Nasional bahawa Kerajaan Negeri tidak bersungguh sungguh dalam berusaha mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini,”ujarnya dalam satu kenyatan media semalam.

Menurutnya lagi, dengan penyertaan banyak pihak seperti Universiti Lim Kok Wing, Zentrum Future Studies, Zuldesign Autotronics, PROFIMA dan pelbagai pihak lagi dapat menyuburkan industri kreatif di Kelantan seterusnya memesatkan perkembangan ekonomi negeri ini.

“Program ini membuka peluang kepada rakyat Kelantan khususnya anak muda yang berbakat dan kreatif untuk menyalurkan daya inovasi dan kreativiti mereka,”ujarnya.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin belia khususnya para graduan yang masin mencari peluang pekerjaan.


Petanda Umno sesat, menyesatkan Melayu | Print |
Mohd Rashidi Hassan

MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sering menjadi bahan kecaman Umno, sehinggakan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas, nama Tok Guru sering disebut-sebut dalam perbahasan. Mengapakah Tok Guru tidak disenangi Umno? Semua persoalan ini dijawab Menteri Besar Kelantan itu kepada wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dan IZWAN ABDUL HALIM di Rumah Kelantan, 10 Disember 2011.


HARAKAH: Boleh Tuan Guru huraikan beza doktrin PAS dengan Umno?


TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: PAS diajar melalui Islam supaya manusia sedar bahawa segala-galanya menumpang nikmat Allah SWT. Bumi kita pijak Allah yang buat, udara kita sedut Allah buat, air kita minum Allah buat, bahkan seluruh anggota tubuh badan kita Allah buat. Maka bila kita menumpang nikmat Allah Taala kita wajib bersyukur. Syukur ertinya buat yang Dia suruh, tinggal yang Dia larang. Perkara ini tiada dalam Umno. Umno tidak mengajar perkara ini, yang diajarnya menumpang jalan raya Kerajaan Pusat buat, itu dulu. Menumpang kemudahan-kemudahan telekom, Umno yang buat. Umno mengira dia telah beragama bila dia buat masjid, bila ada guru agama di sekolah-sekolah, itu sahajalah (agama pada Umno). Sekarang kita berada di Malaysia. Bolehkah kita ambil setengah-setengah sahaja undang-undang Malaysia sebagaimana Umno ambil setengah-setengah hukum Allah. Misalnya motokar, kita tidak mencuri, kita beli kerana undang-undangnya begitu. Tetapi ‘road tax’ (cukai jalan) tak bayar, lampu belakang tidak menyala, sedangkan itu salah juga undang-undang kerajaan. Jika kita duduk bawah kerajaan kita kena patuh semua undang-undang kerajaan, mana boleh kita dengan Allah SWT kita ambil setengah-setengah. Bila kita duduk bawah kerajaan, tak kiralah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika dan mana-manapun, rakyat kena terima semua segala undang-undang, begitulah kita dengan Allah Taala, kena terima semua.

Mungkin ada yang keliru status rakyat dengan status hamba Allah?

Kita dididik oleh Islam hendaklah menjadi bertaraf hamba dengan Allah SWT, bukan menjadi taraf rakyat. Kita bukan rakyat Allah, kita jadi hamba 24 jam. Rakyat kalaulah kita tidak pernah buat salah dengan kerajaan, bila kita mati kita tidak diberi apa-apa oleh kerajaan kerana kita tidak buat salah dengan dia. Polis datang rumah kita bila kita buat salah, kalau kita benar tak pernah datang pun. Tapi kita dengan Allah, kita benar dapat pahala, kita salah dapat dosa. Tiada masa kita ini kosong dengan Allah Taala. Inilah cara kita berfikir kita sebagai hamba Allah dengan berfikir cara rakyat bagi Allah. Umno hanya sebut kita rakyat. Rakyat lain, hamba lain, hamba 24 jam. Hamba ini berasaskan “liya’budun” (untuk beribadah pada-Nya). Kalau kita ini rakyat Allah, maka kita boleh guling Allah macam kita rakyat Malaysia boleh guling kerajaan. Kita dengan Allah SWT nak guling macam mana, nak tukar macam mana?


Maknanya selama ini Umno keliru dan celaru?

Orang Cina tak melawan sangat PAS, yang melawan PAS ini orang Melayu Umno. Adakah dengan kehendak Umno, dia (orang Melayu) melawan PAS ini atau sebagai mata tombak (lembing) sahaja, (sedang) hulunya Umno pegang atau MCA pegang? Jika Umno sendiri nak lawan, tiada sebab langsung. Sebab PAS bawa Islam, maka sepatutnya Umno sokong dan Umno tidak perlu wujud di atas muka dunia. Kerana PAS perjuangkan Islam, Umno tak perlu lawan PAS. Atau Umno telah jadi mata tombak, hulunya orang lain pegang. Ini bahaya, maknanya jadi alat orang lain. Kerana itulah timbul masalah celaru yang jadi melawan PAS ini. Bukan Islam di Malaysia ini jadi celaru, hendak turut PAS atau turut Umno. PAS bertengkar dengan Umno, Umno bertengkar dengan PAS, bukan Islam terpinga-pinga pihak mana yang betul. Kita sebagai umat Islam bukan sahaja kita wajib berpegang kepada Islam, tetapi wajib juga dakwah Islam. Ke mana sahaja kita pergi kita diwajibkan dakwah Islam. Di Malaysia ini sebab hampir sama bilangan Melayu dengan bukan Melayu ini, maka bukan Islam terpinga-pinga hendak menurut siapa. Bukan sahaja bukan Islam, Melayu juga terpinga-pinga juga hendak turut PAS atau Umno. Turut Umno dapat duit, turut PAS tak dapat duit. Semua ini Umno kena fikir kesudahannya.


Isu agama dipolitikkan sering jadi mainan Umno, pendapat Tuan Guru?

Politik ini sebahagian agama. Memperjuangkan Islam ini bukan kerja main-main. Bila kita Islam, maka menyebarkan Islam menjadi kewajipan, bukan sahaja solat wajib, bukan sahaja puasa wajib, bahkan sebarkan Islam, dakwahkan Islam menjadi wajib. Jadi hendak sebarkan macam kalau Melayu sendiri tak faham. Ulasan Umno ialah agama lain, politik lain. Baik, kita hendak tanya Umno; bila politik tidak agama, pentadbiran negara tidak ikut agama, siapa dia yang jadi Ketua Kerajaan semasa Nabi kita di Madinah? Kalau agama lain, politik lain, maka yang jaga politik masa Nabi di Madinah itu siapa? Kalau Nabi juga yang jaga sebagai ketua kementerian kewangan, portfolio sosial, ertinya Nabi Muhammad juga dengan agama, terlibat dengan Allah SWT. Kerana kerja-kerja Nabi Muhammad semua agama. Solat itu agama, berperang itu agama, kirim surat kepada raja-raja itu agama. Baginda letak cop mohor atas surat-surat itu, ini kerja apa? Ini kerja politik, jadi bagaimana Umno boleh kata agama lain, politik lain? Raja-raja mana hendak terima kalau Nabi Muhammad hanya (seorang) imam sahaja. Raja-raja sekitar, Raja Parsi, Raja Mesir, Raja Rom Byzantin, Raja Hebyah, mereka tahu Nabi Muhammad bukan Tok Imam sahaja, dia Ketua Negara. Bila Nabi Muhammad itu Ketua Negara, maka kenapa Umno kata agama lain politik lain?


Maknanya, Umno tiada hujah, hanya putarbelit mereka sahaja?

Apa hikmah Allah lanjut dakwah Nabi Muhammad sehingga 23 tahun? Nak mengajar sembahyang puasa sahaja dua minggu pun cukup. Dua minggu itu pun dak kira lama mengajar orang sembahyang. Tapi Nabi Muhammad diminta urus urusan hidup manusia, ‘the way of life’. Urusan ini mesti diurus oleh Nabi Muhammad sendiri, bagaimana berumah tangga, berjiran. Mengurus kewangan, adakah sebarang harta boleh ambil semua, tidak! Ada had, ada halal, ada haram. Semua ini 23 tahun, bila cukup 23 tahun turun ayat (Quran) bahawa agama telah sempurna. Jadi 23 tahun memakan masa baru sempurna. Perkara apa, sembahyang? Sembahyang ini diwajibkan masa di Makkah. Dalam keadaan ditekan kafir Makkah, sembahyang diwajibkan. Jadi bukan sembahyang sahaja jadi agama, tapi urusan hidup lain yang tidak boleh dibuat di Makkah kena mari ke Madinah membentuk sebuah negara sendiri. Kita baru sambut Maal Hijrah, sambutan ini ertinya ingati balik pengorbanan nabi menjalankan urusan agama termasuklah kewangan, mengurus sosial, budaya, pemikiran hingga 23 tahun. Jadi Umno tiada hujah, bila tiada hujah inilah mereka guna ISA. Macam Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim, bila Nabi Ibrahim kemuka cabaran minta Namrud buktikan kebenaran jika dia Tuhan, bawa naik matahari dari barat ke timur kerana Allah menaikkan matahari dari timur ke barat. Bila Namrud tak boleh jawab, dia bakar (Nabi Ibrahim). Sepatutnya dia berterima kasih kerana Ibrahim mengajar dia, tapi dia bakar. Zaman sekarang tak bakar, tapi ISA. Banyak tok-tok guru pondok kena ISA tak pasal-pasal kerana Umno tak boleh jawab. Sepatutnya hujah lawan hujah, bila orang lawan kita (hujah) kita sebutlah balik. Macam negeri demokrasi, orang hujah kita hujah. Ini orang hujah, tak boleh jawab ditangkapnya mereka, buang kerja, pindah tempat kerja. Ini semua tanda Umno itu sesat. Dalam sembahyang kita berdoa agar kita tidak sesat, tapi jalan Umno hala ke sesat. Tak boleh jawab sepatutnya terima kasihlah. Ini tangkap orang, ISA orang, mengarut Umno.


Pandangan Tuan Guru mengenai perjuangan Melayu Umno?


Gambar: Tuan Guru Nik Aziz ketika ditemuramah Mohd Rashidi Hassan dan Izwan Abdul Halim di Rumah Kelantan.

Umno sibuk jaga Melayu sedangkan Melayu ni bangsa, tak payah jaga. Kerana bangsa ni tak boleh hilang. Kalau orang Melayu duduk di Kutub Utara seorang diri, Melayu juga dia. Pergi ke mana pun, kalau duduk di London sejak dahulu sampai tak boleh cakap Melayu, bila tanya bangsa (dijawab) Melayu juga dia. Jadi Melayu tak payah jaga kerana bangsa ini tak hilang. Yang kena jaga ini perkara boleh hilang dan ada. Macam duit, kena jaga kerana boleh jadi hilang, boleh jadi tak hilang. Islam ini macam tu, Islam ni kena jaga, boleh jadi orang murtad kerana orang tak jaga dia. Jadi benda kena jaga ni bukan bangsa tapi agama kerana boleh hilang dan boleh ada. Macam duit kita dapat masuk dalam beg, kita zip, masuk dalam poket seluar kita zip lagi kerana ia boleh hilang, boleh kena curi, boleh poket kita tembus. Umno dia jaga Melayu, tak jaga pun dia Melayu, sampai dalam kubur mati pun dia Melayu. Ini kesilapan Umno. Kalau Umno ikut kata dia ikut kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia” habis begitu buat apa dia jaga juga? Ini Umno jaga benda yang tak hilang, PAS jaga benda yang boleh hilang; Islam, iman, ihsan. Sebab tu Jibril turun dari langit tanya Nabi tentang Islam, iman, ihsan. Dia tak tanya Arab, tak tanya bangsa.


Umno jangan mimpi perpaduan Umno-PAS

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Tiga kali Muktamar PAS memutuskan dan mengulangi ketegasannya bahawa tidak akan wujud gabungan atau persefahaman atau dalam istilah apapun antara PAS dan Umno.

Bahkan Keputusan Muktamar itu disusuli kenyataan demi kenyataan dari pemimpin PAS bahawa parti itu akan terus setia dengan Pakatan Rakyat, gabungan yang telah mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu.

Oleh itu segala kenyataan dari pemimpin Umno dan mereka yang sehaluan dengannya mengenai perlunya persefahaman atau gabungan PAS-Umno kononnya demin untuk perpadian ummah, hanyalah ‘cakap-cakap tepi jalan’ yang tidak mempunyai makna dan andaran apa-apa.

Cakap-cakap manis dibibir pemimpin Umno ini hanya untuk menimbulkan suatu tanggapan palsu bahawa kononnya Umno memang mahukan pepaduan Melayu/Islam demi untuk kepentingan politik umat Islam.

Apabila jelas PAS menolaknya berulang kali, lalu mereka membuat andaian dan ruduhan jahat bahawa PAS takut dengan kemarahan DAP, atau tunduk kepada pengaruh DAP yang tidak mahu Umno bergabung dengan PAS.

Dakwaan karut ini terus diulangi oleh pemimpin Umno di mana saja ada kesempatan, terutama menjelang PRU Ke-13 ini. Iaitu dengan maksud untuk menanamkan kebencian orang Melayu terhadap PAS dan seterusnya DAP bahawa PAS lebih bersedia menerima DAP dari Umno.

Mereka menjaja premis ini terumata di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu kerana untuk puluhan tahun digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat sementara PAS hanya mengiukut kehendak PAS. Analogi palsu ini bertahun dijaja oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13. Ini semata-mata untuk mengekalkan kuasa Umn/BN yang bergelomang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi.

Oleh itu penegasan berulang kali oleh pemimpin PAS bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno adalah penegasan yang sepatutnya diterima oleh orang Melayu yang sesetengahnya mungkin terpengaruh dengan propaganda Umno ini.

Oleh itu adalah wajar saya perturunkan kembali sebahagian Surat Terbukan Kepada Orang Melayu dari Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:

“Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno.

Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu lebih dulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanah air ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat.

Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar.

Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negerinegeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah.

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis.

Akhirnya orang Melayu bukan saja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan Bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik.

Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad.

Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Demikianlah pandangan Dato Seri Presiden yang sangat wajar menjadi renungan mengapa PAS menolak gabungan dengan PAS dan inilah juga sebahagian hujah yang dikemukakan oleh pemimpin dan perwakilan dalam tiga Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu.

Oleh itu suara-suara yang kedengaran kembali mengenai perpaduan Umno-PAS, terutama menjelang PRU ke-13 akan datang, adalah suara yang tidak memahami hakikat sebenar jalur perjuangan PAS, atau mereka yang keliru, atau untuk kepentingan politik golongan sekular/perkauman. Pandangan ini sudah tentu bertentangan dengan Islam.


Filem macam mana yang kita mahu | Print |
A. Rahman Dashuki

“Tom kau nih layan cerita orang putih je, cite melayu tak ada ke ?”
“Cerita melayu, hahaha, sorry sikit! Cerita NOOB! Tak faham dan melalut”
“Abis tu kau tengok cerita orang putih tu tak melalut ke, bajet ‘power’ english je ko ye”
“At least cerita orang putih membuka minda, dapat lihat masa depan sikit”
“ At least ha….kuar dah orang putih ko ye, hehehe “

Apabila bercakap mengenai pasaran filem-filem tempatan yang dihasilkan, ternyata statistik menunjukkan satu peningkatan yang dahsyat dalam industri perfileman di tanah air kita kini. Tahun 2011 sahaja mencatatkan sebanyak 42 buah filem telah dihasilkan oleh krew-krew produksi tempatan. Angka ini hanya diambil bagi filem yang berdaftar di bawah FINAS , tidak termasuk filem-filem ‘independent’ yang turut mendapat sambutan hangat daripada kalangan penonton.

Daripada bilangan 42 filem ini, rata-ratanya membawa genre berbentuk seram, komedi,sejarah, aksi dan cinta. Filem-filem berunsur seram ternyata menjadi pilihan hati para pengarah filem kita untuk dijadikan bual bicara untuk masyarakat . Ternyata setakat ini filem keluaran SkopProduction ‘KL gangster’ mendapat anggaran kutipan yang paling tertinggi sepanjang tahun 2011 (11.74 Juta), menewaskan filem terbaik Festival Filem Malaysia 24 (2011) iaitu Hikayat Merong Mahawangsa.

Begitulah serda sedikit mengenai statistik yang dikeluarkan oleh pihak FINAS setakat tahun 2011. Maka konklusi dan interpritasi yang mampu kita lakukan ialah berbalik kepada 2 elemen yang paling penting iaitu Filem (mesej, jalan cerita dan watak) dan juga masyarakat (Kesan positif dan negatif)

Untung atau Merangsang Masyarakat

Zaman yang serba moden kini, semua orang mampu mengakses filem-filem yang dikeluarkan dengan pelbagai cara, secara tidak langsung hasil karya-karya ini dapat di nikmati dengan mudah dan senang.

Namun apa yang harus ditekankan, apakah impak dan kesan karya-karya tersebut kepada masyarakat dan manusia. Di sini berlaku pertembungan yang dahsyat! Antara untung sesebuah produksi filem dijadikan ‘first point of view’ atau daya merangsang masyarakat bila melihat filem tersebut.

Rata-rata filem yang dihasilkan setakat ini, memberikan sedikit kekesalan dan kesedihan kerana akhirnya, habuan dan impak kepada penonton dan masyarakat seakan-akan di anak tirikan berbanding aspek keuntungan filem tersebut. Maksud ‘dianak tirikan’ disini ialah, bagaimana pandangan seorang pengarah filem memikirkan cara yang mampu memberi kesan terbaik daripada keseluruhan hasil karya mereka ke arah memberi satu rangsangkan pemikiran yang positif kepada masayarakat berbanding keuntungan yang mereka ingin cari. Lantas memilih ganre yang klise (typical), ingin cepat siap, tiada ada kajian yang mendalam dan tersempit dalam satu aspek pandangan sahaja merupakan jalan singkat untuk mereka merealisikan impian mereka iaitu melihat filem mereka ditayangkan di pawagam.

Sebagai contoh, lihat sahaja pada tahun 2011, kebanjiran filem-filem seram telah mengaburi mata-mata pengarah untuk terus membuat filem bercorak begitu, hasil kutipan keuntungan yang tinggi yang diperolehi dariapda filem “Jangan Pandang Belakang” (2007). Lantas ramailah yang beralih ke arah filem seram kini.

Saya jamin dalam beberapa tahun lagi dalam otak para pengarah ini sudah siap bersedia untuk membuat filem ‘AKSI’ ala-ala lawan-lawan gitu berikutan filem yang bercorak seperti “KL Gangster” yang kini mendapat tempat di hati penonton. Akhirnya keadaan ini menyebabkan filem dihasilkan mengikut arus dalam masyarakat, bukan menukar arus masyarakat tersebut. Hasilnya krew-krew produksi berlawan-lawan membuat filem yang tidak kuat dan mereka hanya memikiran untung semata-mata. Ya memang betul jika dikatakan filem-filem seram turut menyelitkan nilai-nilai murni di dalam cerita tersebut, namun sejauh mana ia memberi impak kepada masyarakat, saya belum boleh jamin.

Soalan mudah, bila kamu menonton filem seram apa yang kamu dapat? Apa yang budak-budak dapat? Apa golongan orang tua dapat? Jika semua golongan ini memberi satu rangsangan yang positif dan baik barulah kita mampu katakana filem seram itu berjaya dan baik.

Salah satu kesalahan juga yang saya fikirkan pada pengarah-pengarah kita masa kini ialah meletakkan jalan cerita dahulu sebelum menilai apa yang sebenarnya keperluan dalam masyarakat. Bila para pengarah menganalisis apakah isu-isu yang bermain di dalam masyarakat yang menjadi satu keperluan untuk diubah dan dirangsanag supaya menjadi satu ‘environment’ yang positif dan mampu membentuk masyarakat.

Mesej dan Roh dan Keraguan

Medan untuk membuat sebuah filem sekarang terbuka luas, pelbagai saluran dan dana mampu diusahakan. Namun sejauh mana seseorang pengarah itu mampu membaca pemikiran masyarakat. Tidak ramai pengarah yang menghasilkan filem setelah menyantuni masyarakat. Kadang-kadang kekeliruan yang mendesak turut melanda para pengarah filem secara tidak sedar.

Bagi pengarah yang baru-baru ingin berkecimpung dalam genre filem pop-islamik,ratanya mendapat satu ‘storyline’ yang akhirnya gagal menyerlah islamiknya filem tersebut. Penangan hasil filem ‘Ayat-ayat cinta’ dan “Ketika Cinta Bertasbih’ membuat segelintir pengarah filem di Malaysia terlalu kehadapan untuk membuat filem-filem pop-islamik tanpa membuat kajian yang mendalam dan mendapat nasihat-nasihat daripada orang berkelayak dalam agama. Filem keluar yang pada asal mesejnya ingin membimbing masyarakatakhirnya mengelirukan masyarakat itu sendiri.

Saya ingin sentuh sedikit mengenai mesej dan roh. Bagi penggiat filem-filem bercorak pop-islamik, mengapa filem-filem sebegini kurang mendapat sambutan dalam masyarakat kita. Tengok sahaja filem ‘2 alam’ yang kurang mendapat sambutan. Untuk karya-karya sebegini ianya mempunyai satu lagi unsur tambahan iaitu unsur ‘roh’.

Roh Islamnya!. Dalam pembikinan filem, set krew, pengarah, pelakon semuanya perlukan satu roh yang kuat untuk membawa cerita-cerita sebegini. Islam datang dengan prinsip dan dalam filem juga begitu, mana mungkin di dalam filem seorang watak mampu menjadi ustaz, ustazah dan di luar set menjadi orang lain…Maka roh tidak sampai ke hati-hati penonton dan filem tersebut menjadi layu. Maka dengan ini saya sarankan kepada pengarah-pengarah filem yang ingin membuat filem pop-islamik maka kaji betul-betul isu yang ingin digarap dan hidupkan suasana islaminya di set pengambaran, dan sebagainya bukan semata-mata atas skrip sahaja.

Filem Luar Vs P.Ramlee

Berbalik kepada perbualan atau dialog di atas. Anda rasa, apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku? Adakah kurangnya kualiti filem-filem tempatan menyebab ada segelintir kita yang gemar melihat filem-filem hollywood yang katanya lebih menguji minda (Filem Inception), hebat grafiknya (Avatar) atau apa?

Kalau sebab itulah anda katakan filem luar lebih bagus, maka saya bawakan kisah seniman terkenal kita iaitu Tan Sri Dr P. Ramlee ini. Filem beliau yang berjodol “Pendekar Bujang Lapok” pernah dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik Festival Filem Asia ke -6, dan pelbagai anugerah antarabangsa yang dikecapi beliau. Filem-Filem beliau tidak akan jemu kalau dilihat berulang kali. Dengan hanya membawa isu kemasyarakatan ianya mampu mengesani penonton. Itu yang saya katakan menyantuni masyarakat sebelum menghasilkan jalan cerita. Filem-filem yang dihasilkan oleh P.Ramlee bukannya satu genre sahaja malahan banyak genre, ada yang komedi, ada yang seram (Sumpahan Orang Minyak) ada yang aksi, namun hasil filem-filem ini terungkai selepas beliau melihat isu apa yang hendak disampaikan setelah beliau betul-betul memahmi masyarakat dan ingin mengubah dan merangsang masyarakat ke arah nilai-nilai positif.

Produksi Filem Dan Agenda

Akhir kata, tidak ada manfaat pun jika filem-filem ini terus berlambak di pawangan namun tidak memberi kesan maksimum kepada penonton yang melihatnya. Indusrti Filem makin berkembang, minda masyarakat masih belum berkembang. Filem mampu menjadi penyembuh dan mampu juga membunuh.

Maka produksi-produksi filem perlu mengetahui apakah agenda dan matlamat yang mereka inginkan dalam membuat filem atau apa-apa hasil karya mereka. Sebaik-baik agenda itu ialah agenda yang mampu menolong masyarakat kita pada hari ini. Bawakan isu-isu yang mempunyai nilai-nilai yang mempunyai arus yang kuat untuk mengubah cara mereka berfikir, dan cara mereka hidup dalam bentuk yang mudah dan jelas untuk difahami. Akhirnya bila jelas apa yang kita ingin bawakan, secara tidak langsung kualiti dan idea yang dihasilkan akan bercambah dan terus bercambah.
------------------------------------------------------------------------------------------

( Filem KL Gangster merupakan filem paling berjaya pada tahun 2011.Merangkul pelbagai anugerah sperti Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.Namun bagaimana pula impak kepada masyarakat yang melihatnya, adakah masalah gangseterism dapat di atasi atau sekadar membuka ruang kepada anak-anak muda mengenali dunia gangster itu sendiri)

( Filem-filem dan drama-drama seram menjadi pilihan para pengarah untuk tahun 2011.Bagimanapula untuk 2012, adakah FINAS akan menghadkan filem-filem bercorak seram dengan memperbanyakkan lagi cerita berunsur sejarah dan sebagainya. Sama-sama kita saksikan )

( Filem 7 Petala Cinta daripada terbitan Metrowealth hasil daripada arahan pengarah Azhari Zain yang merupakan penulis Skrip bagi cerita Duyung. Genre filem Cinta Islamik ini bakal di tayangkan pada Mac 2012. Harap ianya bukan cerita-cerita picisan)

Tiada ulasan: