KUALA LUMPUR, 30 Dis: Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan rakyat Selangor menyesal kerana menolak BN di dalam pilihanraya yang lalu merupakan kenyataan yang tidak berasas sama sekali.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ia bertentangan dengan kegembiraan oleh rakyat Selangor menikmati berbagai kemudahan.
“Kenapa pula rakyat Selangor hendak menyesal kerana menolak BN?” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rakyat Selangor tidak pernah bermimpi memperolehi air percuma, skim kifalah RM2,500, guru Kafa mendapat elaun RM1,500, Tabung Wawasan Anak Selangor (Tawas) RM100, skim mikro kredit miskin bandar sebanyak RM5,000 bagi mereka yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan berjaya melunaskan hutang negeri RM173 juta daripada RM800 juta.
Beliau berkata, sebenarnya yang paling menyesal apabila rakyat Selangor menolak BN di Selangor ialah pemimpin Umno.
Ini, katanya kerana impian mereka hendak membolot khazanah di Selangor tidak kesampaian.
“Hajat untuk membina rumah mewah yang berhaga berpuluh juta terpendam, hajat mereka untuk menutup kelas pengajian di masjid dan surau tidak berjaya,” ujarnya lagi
Tambahnya, perkara yang paling menyakitkan hati pemimpin BN ialah ‘khurafat’ yang mengatakan selain daripada Umno memerintah maka sebuah negeri tidak maju telah tertolak dengan kejayaan PR menunjukkan prestasi cemerlang walaupun dalam masa yang singkat.
“Rakyat Selangor tidaklah sebodoh itu untuk menukar kerajaan Pakatan Rakyat yang sudah memberi keselesaan, kepada BN yang kembali menindas rakyat demi kepentingan perut kroni dan anak pinak jika mereka berkuasa,” ujarnya.
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sewajarnya tampil menamatkan sebarang keraguan berhubung isu wang zakat untuk membiayai kos guaman.
“Saya tegaskan semalam bahawa janganlah beliau berselindung di sebalik pegawai kerajaan.
“Saya difahamkan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah menasihatkan Jamil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, mungkin ada yang menganggap RM63,650 itu kecil berbanding skandal-skandal seperti PKFZ (RM12 bilion) dan NFC (RM250 juta).
Namun, katanya isu itu membabitkan wang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam yang penting.
Katanya, ketika pihak berkuasa setiap tahun berbangga dengan kadar kutipan zakat dan menggesa umat Islam membuat bayaran zakat menerusi agensi zakat yang rasmi, Jamil ada tanggungjawab untuk menjernihkan keadaan.
Justeru, katanya lagi PKR akan membuat laporan polis pada minggu depan sekiranya tiada penjelasan yang munasabah tentang percanggahan ini.
Begitupun, beliau mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali di atas penjelasan beliau tentang penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, Che Mat sendiri dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain.
Che Mat menganggap isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat itu berbaur politik.
Semalam Muhammad Yamin Ismail menyatakan pembiayaan kos guaman itu bagi menghadapi permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan geran kerajaan.
Namun, kata Nazmi jawapan Che Mat dan Muhammad Yamin bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution di dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.
Pada 23 Jun 2011 peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.
Pada 21 November 2011, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.
Ini, kata Nazmi lagi memandangkan geran kerajaan tidak dapat menampung pembayaran yuran guaman tersebut.
Namun, ujarnya sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.
“Saya juga berharap Che Mat menjawab persoalan yang dibangkitkan YB Saifuddin Jun lalu bagaimana tentang kesahihan prosedur yang digunakan memandangkan beliau yang memohon peruntukan kos guaman tersebut dan beliau juga, selaku Setiausaha MAIWP yang meluluskannya,” katanya lagi.
KOTA BHARU, 30 Dis: AJK PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, wujud kecenderungan di kalangan kepimpinan sekarang terhadap kes berprofil tinggi yang akhirnya mencari ‘kambing hitam’.
“Inilah masalah dan sikap tidak baik yang ada di kalangan kita di Malaysia apabila berlaku pendedahan dan berlaku kes, biasanya ada mangsa yang dicari untuk meletakkan kesalahan itu, tetapi hukuman atau tindakan ke atas orang yang melakukan kesalahan terbabit tidak dibuat.
“Ini yang menjadi masalah kepada kita di Malaysia, walau pun transaksi sudah cukup, tetapi dicuba mencari ‘kambing hitam’, cuba nak mengelakkan isu, mengalihkan isu tertentu daripada masalah sebenarnya,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan kepada pemberita pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik) kali kedua 2011 di Balai Islam, Lundang dekat sini petang semalam.
Mohd Amar turut mengulas laporan media mengenai kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung tidak ada pemimpin Umno yang tidak bermasalah.
“Kalau kita ambil perkara ini sebagai suatu kenyataan yang benar daripada menteri berkenaan, bermakna seluruh kepimpinan kerajaan ini adalah tidak bersih.
“Justeru seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini, kini adalah saat paling sesuai untuk rakyat negara ini membuat perubahan.
“Ini kerana menteri itu pun secara tidak langsung mengaku bahawa kepimpinan kerajaan ini terbabit dengan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.
Mengulas isu NFC, beliau berkata kes itu merupakan tanggungjawab bersama kerajaan walau pun mungkin berlaku dalam salah satu kementerian, tetapi adalah tanggungjawab bersama terutamanya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini kerana sebelum ini dia adalah Menteri Pertanian. Jadi kes NFC ini berlaku di bawah kementerian yang dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri sekarang. Jadi dia kena ambil tanggungjawab,” ujarnya.
Sehubungan itu, ujarnya berdasarkan perkembangan semasa dari pendedahan dan juga peristiwa berlaku di negara kini menunjukkan bahawa sudah sampai masanya untuk rakyat membuat perubahan di peringkat kepimpinan negara.
“Maknanya, Kerajaan BN yang selama ini diberikan kepercayaan ini sudah gagal untuk melaksanakan amanah yang diberikan pengundi di Malaysia,” tegasnya.
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Dewan Pemuda PAS menyokong penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang diketuai oleh Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bersama 11 lagi Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata masalah yang berkait dengan Felda bukanlah satu permasalah yang baru didengari.
Terbaru, katanya adalah apabila Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di dalam satu kenyataannya bertarikh 19 Oktober 2011 menyatakan niatnya untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).
“Tindakan ini nyata mendapat bantahan daripada sebahagian anak-anak Felda yang prihatin,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Anak, Mazlan Aliman pada 16 Disember lalu yang menasihatkan agar penyenaraian FGVH itu jangan disokong secara membuta tuli tetapi perlu didasari dengan pengetahuan dan bukan sentimen.
Seruan daripada Anak disahut oleh beberapa NGO yang lain antaranya Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Media Independent (Kami), Badan Bertindak Peneroka Felda (Bangkit), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).
Semua NGO-NGO ini bersepakat dan akhirnya menubuhkan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) semalam.
Pemuda PAS, kata Khairul Faizi diberitahu matlamat utama GSF itu adalah untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga dimaklumkan usaha untuk menyenaraikan FGVH ke BSKL itu bakal menjejaskan aset 112,635 peneroka.
Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut menyokong penubuhan GSF itu dan akan bersama GSF memperjuangkan hak peneroka.
Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga membantah penyenaraian FGVH ke BSKL sekiranya ianya akan memberikan kerugian kepada peneroka.
DPPM, ujarnya berpendapat penyenaraian dalam suasana ketidaktentuan pasaran pada suku pertama 2012 adalah amat berisiko dan penyerahan aset peneroka itu tidak akan menguntungkan peneroka buat jangka masa panjang.
“Keadaan turun-naik pasaran saham yang tidak menentu memungkinkan penyenaraian ini tidak memberi pulangan laba seperti yang diharapkan,” ujarnya.
Tambahnya, DPPM percaya Felda mampu diperkukuh melalui pengurusan yang lebih efisien tanpa perlu campur tangan politik demi kebajikan peneroka Felda.
“DPPM bersedia menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membantu perjuangan GSF ini demi menghormati amanat asal penubuhan Felda oleh Tun Razak yang nampaknya telah dikhianati oleh anak beliau sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
KOTA BHARU, 30 Dis: Setelah 21 tahun negeri ini ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam, agama Islam tidak lagi menjadi ‘fobia’ khususnya di kalangan non-muslim.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap generasi muda mempelopori usaha memberi kefahaman sebenar Islam sebagai cara hidup dan agama yang benar diturunkan Allah SWT kepada golongan tersebut.
Kerajaan negeri juga, katanya melakukan sedaya upaya mungkin ke arah menjadikan Al-Quran sebagai dasar pentadbiran negeri dan negara.
“Bahkan kerajaan negeri menjalankan kempen kepada seluruh masyarakat betapa Islam itu agama yang adil.
Meneri Besar berucap pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik) Kali Kedua 2011 di Balai Islam, Lundang dekat sini, petang semalam.
Turut hadir Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar, para pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan pegawai Yik.
Menteri Besar menaruh harapan tinggi agar pelajar tahfiz muncul sebagai ulama proaktif dalam menyebar luaskan kefahaman Al-Quran kepada masyarakat.
“Lebih jauh dari itu, adalah diharapkan agar hafiz dan hafizah hari ini mewarisi perjuangan dalam menegakkan kandungan Al-Quran di negara ini,” ujarnya.
Sambil menyifatkan bahawa pada masa lalu, bidang tahfiz dipandang sebagai bidang tidak menjanjikan peluang pekerjaan di mana para huffaz hanya sekadar mengajar Al-Quran di madrasah atau masjid, namun Menteri Besar menegaskan kini permintaan cukup tinggi untuk memasuki bidang tahfiz Al-Quran di sekolah tahfiz Yik, termasuk mereka yang datang dari keluarga profesional.
Justeru, Tuan Guru berkata tanggapan bahawa bidang tahfiz Al-Quran tidak menjanjikan masa hadapan yang cemerlang, kini terhakis dari masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan