Sabtu, 1 Oktober 2011

BELITLAH.. BERDALIHLAH..TIPULAH..BERMUKA2LAH...PADA MANUSIA TAPI TIDAK BOLEH PADA ALLAH...ALLAH SEMUA TAHU DAN TIADA YANG DAPAT SEMBUNYIKAN

'Umno, I know who you are' - Nik Aziz | Print |
Nazri Abdullah

KEPALA BATAS, 1 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak mahu 'terjerumus dua kali' untuk menjalinkan hubungan politik dengan Umno BN.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS sudah serik dengan pengkhianatan Umno sewaktu PAS menyertai kerajaan campuran bersama parti itu pada tahun 1973 yang menyaksikan PAS ditendang keluar pada tahun 1977.

"Kita pernah bersama Umno dulu, saya sendiri sokong PAS bersama Umno sehingga PAS waktu itu pecah empat, kemudian PAS ditendang keluar.

"Sekarang (Umno) ajak kami balik, saya kata I know, who you are," katanya pada sidang media di sini.

Mengimbau sejarah perjuangan PAS lalu, Tuan Guru Nik Aziz berkata, Umno melakukan jenayah besar kerana mengharamkan lambang bulan dan bintang pada bendera PAS.

Ditanya apa alasan Umno untuk mengharamkan lambang itu, beliau berkata kerana parti nasionalis itu tidak mahu PAS membawa perjuangan agama.

"Ni kena tanya Umno la. Cuma Umno ni tak mahu ugama, bukan stakat hudud, Islam pun dia tak mahu," katanya.

Ditanya lagi adakah pintu hubungan politik dengan Umno ditutup selama-lamanya, beliau berkata PAS bersama Umno jika parti itu menerima Islam dan meninggalkan perjuangan nasionalis.

"(Nak tutup pintu) Selama-lamanya tak boleh lah. Kita berdoa agar Umno berubah dari nasionalis kepada Islam.

"Sekarang, orang bukan Islam pun terima perjuangan Islam PAS sehingga kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS," ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, tidak mustahil PAS akan datang bukan sahaja menjadi Parti Islam Se-Malaysia, malah akan berkembang menjadi Parti Islam Se-Dunia.

"Sikit lagi Parti Islam Se-Dunia sebab Islam bukan untuk orang Islam sahaja tapi untuk semua, rahmatan lil 'alamin," ujarnya.


60 Tahun: PAS semakin diyakini semua rakyat | Print |
Nazri Abdullah

KEPALA BATAS, 1 Okt: PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.

"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.

Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.

"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.

Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.

Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.

Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.

Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.

Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.

Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.

Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.


Utusan bersalah fitnah Khalid Samad | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dr Prasad Sandosham Abraham hari ini memutuskan akhbar Utusan Malaysia telah memfitnah ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) berkaitan berita di muka hadapan akhbar itu bertarikh 11 Oktober 2009 yang bertajuk ' Zulkifli bidas Pak Janggut'.

Berita itu antara lain melaporkan 'Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin membidas individu yang digelarnya Pak Janggut yang sanggup memutar belit ayat-ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam..'

Di dalam samannya yang menamakan Ketua Pengarang Utusan, penerbit dan pencetak akhbar itu, Khalid menyatakan berita fitnah itu merujuk kepada beliau meskipun nama beliau tidak disebut.

Ini kerana sebelum berita itu diterbitkan, beliau ada menulis surat kepada penduduk Seksyen 23 di mana di dalam surat tersebut Khalid ada menukilkan ayat-ayat Al-Quran bagi menegaskan perlunya umat Islam berlaku adil dalam isu pembinaan kuil di Sekyen 23 Shah Alam.

Hakim bersetuju bahawa artikel tersebut merujuk kepada Khalid dan hakim berkata tuduhan memutar belit ayat al-Quran adalah fitnah yang serius, lebih serius dari menuduh orang Islam sebagai Abu Jahal.

Hakim juga menetapkan 11 Oktober ini untuk mendengar hujah peguam kedua-dua pihak berkaitan isu gantirugi.

Khalid Samad yang juga AJK PAS Pusat diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Khairudin manakala Utusan diwakili peguam Mohan dari Tetuan Shafiee & Mohan.


Hudud: Antara ‘tidak menyokong’ dan ‘menghalang’ | Print |
Tuan Ibrahim Tuan Man
Sesungguhnya Allah akan bagi dugaan berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerimanya.

Keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) kali ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana telah berjaya memincang isu utama yang menyentuh secara langsung pendirian PR.

Hasil perbincangan yang memakan masa lebih tiga jam itu telah merumuskan satu keputusan yang akan memperteguhkan lagi hubungan PR walaupun berhadapan dengan isu yang rumit. Ternyata cubaan Umno-BN sekali lagi gagal memecah-belahkan PR dalam isu ini.

Pendirian PR dalam memperakui Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 membuktikan PR telah bertindak dengan penuh cermat dan berhemah dalam mencari penyelesaian terbaik dalam isu pelaksanaan hudud.

Perakuan ini bermakna PR memperakui bahawa undang- undang jenayah syariah yang dilulus oleh kedua- dua dewan negeri telah melalui prosedur yang betul, menepati kehendak dalam sistem demokrasi.

Sehubungan itu, perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, dan Enakman Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.

Persoalan sekarang ialah sejauhmana kesediaan pusat untuk memberi kebenaran untuk pelaksanaan merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan.

Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang dibawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulanglah kepada kerajaan kelantan bagi mengazetkan undang-undang tersebut.

Antara “Tidak menyokong” dengan “Penghalang”

PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal ini dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak. Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka.

DAP berpendapat ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.

Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguat-kuasakannya.

Jadi jelas, yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun, dan bukannya DAP. DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini. Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf.

Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya.

Tambahan pula, Umno, yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini.

Keputusan yang dibuat PR ternyata jauh lebih baik dari pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan perdana menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai damage control ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

54 tahun memerintah tapi dalam keadaan kononya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah.

Pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.

Hipokrit Umno dan BN

Kini, sikap menghalang Umno itu bertambah nyata kini apabila berhadapan tekanan dari MCA dan Gerakan yang terang terangan mengugut akan keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) seandainya Umno menerima hukum hudud.

MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu. Tapi, tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu. Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?

Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia.

Sikap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bilakah Umno akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini? Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno.

Hudud bukan isu politik

PAS ingin tegaskan bahawa isu hudud bukanlah isu politik tetapi ianya tuntutan syarak ke atas kerajaan yang memerintah. Kerana itu, kerajaan Kelantan secara konsisten telah melakukan pelbagai cara bagi menimbulkan kesedaran rakyat terhadap kewajipan menerima dan melaksanakannya selama ini.

Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud telah diadakan setiap tahun. Kerana itu, bilamana isu hudud timbul dan dipolemikkan oleh media Umno, rakyat Kelantan samada Islam atau bukan Islam langsung tidak termakan dengan polemik tersebut, kerana mereka telah biasa dengan isu ini.

Menteri Besar Kelantan telah menjelaskan perkara ini berpuluh kali bahawa beliau ingin melaksanakan sistem perundangan syarak ini kerana amanah yang terpikul di atas bahunya di akhirat.

Bahkan, kalau diamati beberapa langkah kerajaan negeri dalam pelaksanaan pembangunan Kelantan selaras dengan syarak tidaklah menguntungkan politik PAS di Kelantan - sebagai contoh tindakan menutup premis perjudian, kelab malam, disco dan mengehadkan penjualan arak; semua ini dari sudut politik ia bukanlah menguntungkan PAS.

Tindakan ini menyebabkan semua yang terlibat samada taukeh judi, kaki judi, disco dan lainnya tidak akan memberi undi kepada PAS, kerana mereka akan menentang peraturan ini. Namun, kerajaan Kelantan terus melaksanakannya semata-mata kerana tuntutan syarak.

PAS melihat keputusan yang telah dibuat oleh PR memberi ruang pengiktirafan dalam lingkungan demokrasi. Keputusan rakyat Kelantan untuk menerima PAS sebagai parti yang mewakili mereka, serta tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 adalah hak dan dalam bidang kuasa mereka.

Bagi PAS, isu yang dipertikai adalah apakah perundangan syariah itu menepati kehendak perlembagaan atau berlawanan dengan kehendak perlembagaan negara, dan ini mestilah ditentukan oleh mereka yang berautoriti.

Jaminan PAS

PAS akan cuba menegakkan syariat Allah sedaya upaya dalam kerangka demokrasi yang ada. PAS sesekali tidak akan menjadi seperti Umno yang mengalah terus untuk menunaikan syariat Islam tanpa sebarang usaha yang ikhlas. Orang yang sikap mengalah tidak akan mencari jalan penyelesaian. Maka dengan Umno, masyarakat Islam bolehlah lupakan sahaja syariat Allah dapat ditegakkan.

PAS memberi jaminan tidak akan memaksa orang bukan Islam menerima hudud secara paksa. PAS juga ingin menegaskan di sini, hudud hanya melibatkan orang Islam sekiranya ia dapat dilaksanakan dalam kerangka demokrasi yang ada.

Namun, diharap rakyat dapat memahami situasi amat berlainan di negeri Kelantan, kerana rakyat Kelantan ingin hukum hudud dilaksanakan. Hak dan keinginan rakyat Kelantan harus dihormati.


*Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Ketua Penerangan PAS


Fakta penubuhan PAS bukti Umno tolak Islam
Mohd Nasir Awang
Esok, 1 Oktober 2011, ribuan pemimpin, ahli dan pendukung PAS dijadualkan berhimpun di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merayakan Sambutan Ulangtahun ke-60 usia perjuangannya.

‘Sepak mula’ aturcara sambutan itu malah berlangsung lebih awal dengan acara Forum Perdana yang dijadual diadakan malam ini (Jumaat). Dengan tajuk “PAS: Pembangkang, Pemerintah dan Penyelamat Ummah”, forum yang menampilkan Ustaz Idris Ahmad sebagai moderator itu turut membariskan empat nama besar dalam perjuangan Islam tanahair.

Mereka adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu; Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Agenda lebih padat bagaimana pun menanti hadirin esok hari. Seperti biasa, ia bakal dipenuhi sessi ucapan, pembentangan kertas kerja dan perbahasan di sebelah pagi. Serentak itu turut dilangsungkan karnival jualan dan pameran sejarah PAS, selain ikut diselit aturcara persembahan pentas.

Manakala di sebelah malamnya akan diadakan Solat Hajat dan Munajat Perdana, sebelum diakhiri dengan Ucap Perdana membariskan lima pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mewakili DAP, KeADILan dan PAS sendiri.

Pemilihan Pulau Pinang sebagai tapak sambutan bukan dibuat tanpa perhitungan politik. Ia bukan semata-mata memanfaatkan negeri diperintah Pakatan Rakyat bagi memudahkan urusan sambutan. Ia sebenarnya bersandarkan fakta sejarah penubuhan PAS itu sendiri. Parti Islam itu terbentuk secara rasmi 60 tahun lalu menerusi Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterworth.

Sepertimana bunyi namanya, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang kemudiannya didaftarkan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP), tujuan penubuhan PAS adalah demi memenuhi tuntutan agama. Ia digariskan dengan jelas “.. untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi”.

Agak janggal bunyinya apabila pertubuhan baru itu memilih bekas Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertuanya (Presiden) yang pertama. Walau pun ada penulis sejarah mendakwa kesediaan beliau menerajui PAS ekoran permasalahan peribadinya dengan para pemimpin Umno, fakta sejarah lebih popular mengenai faktor berpalingnya Ahmad Fuad daripada parti Melayu itu ialah perbezaan pendirian mengenai hukum Islam.

Beliau dikatakan sangat kecewa apabila Umno memutuskan untuk mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Selaku orang agama dalam Umno, beliau menegaskan betapa perkara itu tidak terlepas daripada unsur perjudian yang mana hukumnya di sisi Islam adalah jelas haram.

Sebagaimana diduga pandangan beliau diketepikan begitu sahaja oleh Umno dan permainan loteri itu dilaksanakan. Umno tidak pernah menganggapnya sebagai judi.

Mungkin setelah 60 tahun berlalu, ada pengkaji sejarah yang masih mempertikaikan percanggahan fakta tersebut. Sudah tentu khalayak yang kuat menyokong Umno atau amat cenderung hati kepada perjuangan nasionalisme-sekularisme dianuti parti itu akan mempertahankan versi pertama, iaitu Ahmad Fuad menyertai dan memimpin PAS kerana kecewa setelah gagal mendapat tempat dalam pemilihan Umno.

Namun rasanya tidak akan ada mana-mana pakar sejarah yang tergamak memperbodohkan dirinya dengan mendakwa kononnya Ahmad Fuad tidak pernah menjadi ahli dan pemimpin Umno, sepertimana ada profesor kini mendakwa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British dulu-dulu!

Penafian fakta sejarah diterima umum sekian lama itu mungkin bermaksud membasuh imej Umno. Logiknya, jika Ahmad Fuad bukan pemimpin Umno, maka tidka timbul soal beliau menentang judi dianjurkan parti itu dari dalam.

Samalah juga usaha seorang profesor membela maruah Umno yang kian tercemar ekoran kesedaran umum mengenai fakta sebenar sejarah negara. Logiknya, jika benar British tidak pernah menjajah Malaya, sebaliknya hanya menaungi dan membantu Raja-Raja Melayu mengurustadbir negara, maka sudah tentu sesiapa yang menentang British dulu boleh dianggap pemberontak dan pengganas.

Namun perbuatan sedemikian pada hakikatnya satu bentuk jenayah akademik yang hanya mencemar dan menjatuhkan martabat cendikiawan itu sendiri.

Kalangan pencatat sejarah yang condong kepada kepentingan Islam pula akan melihat kesediaan Ahmad Fuad menerajui PAS sebagai natijah percanggahan pendirian Umno dengan hukum Islam diperjuangkan ulama, termasuk ulama di kalangan parti itu sendiri.

Sebetulnya itulah antara pengajaran dan pemerhatian yang sepatutnya dikutip generasi kini, terutama dalam menghayati sejarah penubuhan dan perkembangan PAS sejak enam dekad lalu. Bahawa pendirian Umno dan hukum Islam adalah dua perkara yang kerap tidak sehaluan sejak dulu.

Islam dan al-Quran mengatakan judi itu haram, Umno mendakwa sebaliknya. Selagi mana ia melihat ada ruang dan peluang menjana pendapatan dan memacu ekonomi, apa dipedulikannya hukum agama?

Sebab itu Umno bukan sahaja membolehkan pihak lain mengoperasi aktiviti perjudian menerusi pemberian lesen dan berbagai kemudahan, malah parti itu sendiri turut terlibat secara aktif menganjurkannya. Kes Loteri Kebajikan Masyarakat itu adalah pemula sejarah. Ia dianjurkan kerajaan Umno sendiri.

Pendirian Umno yang kerap bercanggah dengan Islam sebegitu berterusan hingga ke era kini. Masakan anda sudah lupa bagaimana para pemimpin Umno menjadi pencetus idea dan pencanang utama untuk melesenkan (baca ‘menghalalkan’) pertaruhan sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun lalu?

Sebaliknya PAS bukan setakat membantah agenda mengharuskan judi oleh Umno sewaktu penubuhannya dulu, pendirian yang selari dengan tuntutan hukum Islam itu kekal dipegang PAS hingga kini. Anda boleh semak fakta sejarah dan akui keseriusan parti Islam itu menentang sebarang bentuk perjudian melibatkan bidang kuasa kerajaan dan ia menjadi agenda perjuangan PAS sepanjang zaman.

Sebagai bukti paling jelas, PAS serta-merta mengarahkan penutupan premis perjudian di Kelantan dan Terengganu yang diperintahnya secara mutlak. Di atas bidang kuasa terbatas dimilikinya ke atas lesen premis, kerajaan negeri ditadbir PAS telah melakukan sedayanya. Sedangkan lesen pengoperasian adalah di bawah Kementerian Kewangan dikuasai Umno.

Pendirian mengenai judi itu adalah pemerhatian pertama dari fakta penubuhan PAS, sekaligus menyerlahkan perbezaan pendirian antara PAS dan Umno. Al-Quran kata judi haram, PAS menegaskan judi haram, Umno sebaliknya menghalalkannya.

Maka jangan terkejut dan pura-pura hairan jika mutakhir ini kita dapati Umno bermati-matian menegaskan bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersedia melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud, di dalam pemerintahannya! Ingat, sudah menjadi tradisi sejak berdekad lalu bahawa pendirian Umno dan hukum Islam memang tidak sehaluan.

Kedua, sepertimana disebutkan sepintas lalu di atas, bahawa pandangan mengenai hukum Islam selalunya sukar mendapat tempat di dalam Umno. Jangan dikatakan pandangan itu datang daripada luar suku-sakat parti itu, ia termasuk juga yang disuarakan kalangan pemimpin Umno sendiri.

Kes Ahmad Fuad membantah loteri itu sekali lagi menjadi contoh terbaik. Nampaknya itulah cara ‘terbaik’ Umno melayan ulama dan agamawan di dalam parti itu.

Meneliti perjalanan Umno dalam era kemudian ini pun, hakikat itu tidak jauh bezanya. Mana ada seorang yang dikenali sebagai ilmuan agama kekal lama dalam hierarki kepimpinan Umno? Kalau ada pun yang mampu bertahan agak lama, sejauh manakah suaranya berhubung hukum dan peraturan Islam diendahkan khalayak terbanyak parti itu? Sebaliknya pemimpin berlatar belakang agama itu sendiri hanyut dan tenggelam bersama sikap dan tabiat ‘haru-biru’ yang bersebati dengan parti itu.

Pengajaran ketiga daripada fakta penubuhan PAS di atas ialah bagaimana cetek dan terpesongnya penafsiran Umno terhadap istilah-istilah berkaitan agama. Lihat saja bagaimana ia tergamak melabelkan permainan judi yang jelas haram itu sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat? Agaknya bagi Umno kebajikan itu tidak perlu mengambilkira halal atau haram, ya?

Sedangkan konsep kebajikan (al-Birr) disebutkan al-Quran dan diperjuangkan PAS semestinya tidak lari daripada paksi ‘beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’. Ertinya kebajikan dimaksudkan PAS senantiasa mengambilkira pahala-dosa, selari digariskan Islam.

Sebab itu jangan terpedaya dengan dakwaan Umno kononnya Negara Berkebajikan diperjuangkan PAS sudah lama dilaksanakannya. Pemahaman Umno terhadap istilah ‘kebajikan’ itu amat dangkal dan terpesong dari landasan Islam.

Buktinya, ia dengan mudah mendakwa PAS telah meninggalkan matlamat menubuhkan Negara Islam apabila menyatakan hasrat ‘Membangun Negara Berkebajikan’. Kejahilan dan kebebalan Umno menyebabkan ia tidak faham bahawa Negara Berkebajikan itu salah satu wajah atau ciri bagi Negara Islam.

Di atas hakikat sama jangan pelik apabila Umno mencipta istilah ‘Islam Hadhari’ yang bukan sahaja janggal dari segi nahu Arabnya, malah mengelirukan fahaman masyarakat mengenai ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya Umno sendiri pun malu menyebutnya dan kini ‘Islam Hadhari’ dianggap berkubur bersama jatuhnya sang pencetus istilah itu.

Ada pula pemimpin Umno tergamak menyandarkan fahamannya yang cetek mengenai ketetapan agama untuk dijadikan dalih daripada melaksanakan hukum Islam. Kononnya dia faham apa itu maqasid syariah. Bahawa maksud-maksud ketetapan syariat Islam itu mementingkan keadilan dalam mempertahankan kesucian aqidah, harta benda, nyawa dan lain-lain.

Lalu di atas penafsiran ceteknya terhadap maqasid syariah itu, dia sewenangnya menidakkan perlunya ditegakkan hudud dan qisas. Sedangkan sebagai orang beriman kepada Allah, sudah tentu kita dituntut mengakui dan meyakini bahawa tiada undang-undang dan hukum yang lebih adil dan lebih menjamin aqidah, nyawa dan lain-lain itu selain hukum diturunkan Allah Ta’ala sendiri.

Itulah sepintas lalu penelitian terhadap fakta-fakta melingkungi sejarah penubuhan PAS 60 tahun lalu. Di samping berbangga dengan kelangsungan perjuangannya hingga kini, penubuhan parti Islam itu juga selayaknya dianggap bukti betapa tidak mahunya Umno kepada hukum dan peraturan Islam!

Tiada ulasan: