Selasa, 3 September 2013

KELANTAN DAN TERENGGANU MEMANG ISTIMEWA....SAYA ADA ABANG ANGKAT DISANA...EMAK ANGKAT DAH MENINGGAL DUNIA...WANITA BERPURDAH PUN ISTIMEWA BAGI SAYA....DAN TAK LUPA TRANUNGKITE ONLINE

Tingkatkan pendapatan rakyat, tolak GST

Muhammad Faizal, 02 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS Dr. Dzulkefly Ahmad menggesa agar kerajaan meningkatkan terlebih dahulu pendapatan rakyat dan bukannya cuba mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya lagi, selain isu meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan juga perlu mengatasi ketirisan perbelanjaan terutama dalam soal pemberian tender secara terus dan juga amalan kronisme.

"Saya nak ingatkan kerajaan perlu melaksanakan banyak perkara sebelum GST dilaksanakan terutamanya melibatkan pendapatan rakyat dan juga soal ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan khususnya pemberian tender terbuka.

"Kalau ini tidak dilaksanakan terlebih dahulu, kita akan melihat satu kesan yang amat teruk terutamanya melibatkan rakyat," katanya ketika ditemui pada program rumah terbuka Harakah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi bahawa GST 4 peratus akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2014 yang akan diumumkan kerajaan Oktober ini.

Menurutnya lagi, dalam keadaan kedudukan ekonomi yang agak suram serta pendapatan rakyat yang tidak meningkat adalah tidak wajar GST dilaksanakan.

"Keadaan ekonomi yang agak suram serta kadar inflasi adalah tidak bertanggungjawab jika kerajaan ingin meningkatkan pendapatan mereka dengan mengambilnya dari rakyat.

"Kerajaan perlu sedar apa yang perlu mereka lakukan terlebih dahulu, corak perbelanjaan kerajaan perlu diperbaiki bukannya mengenakan cukai GST keatas rakyat," katanya.

Dialog kebangsaan bukan baru bagi PAS - TG Hadi

Nazri Abdullah, 02 Sep 2013

Tuan Guru Abdul Hadi beserta kepimpinan PAS Pusat menikmati hidangan pada Majlis Jamuan Hari Raya Harakah.

KUALA LUMPUR: Menyertai dialog isu-isu kebangsaan dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan, bukan perkara baru bagi PAS, tegas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya menurut Tuan Guru, PAS telah terlibat dengan rundingan kebangsaan ini sejak zaman bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak lagi.

"PAS sudah buat lama. Bukan sahaja dengan parti-parti politik malah juga dengan pertubuhan NGO dalam pelbagai isu.

"Kita berdialog dengan kerajaan dalam isu ekonomi, kita juga menyertai dalam Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapem)," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Harakah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diadakan dialog terbuka dengan kerajaan bagi membincangkan 'isu-isu kebangsaan' yang perlu ditangani atas semangat merdeka.

Cadangan tersebut dilontar Anwar melalui perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-56 Sabtu lalu.

Antara isu nasional yang dicadang untuk dibincangkan dalam dialog itu termasuk isu agama yang sering dimanipulasi, isu rasuah, isu-isu ekonomi dan juga jenayah yang dilihat memerlukan penyelesaian konkrit dan kerjasama semua pihak.

Mengakui belum sempat membaca kenyataan Anwar itu kerana jadualnya yang padat sejak kebelakangan ini, Tuan Guru berkata beliau akan menelitinya dahulu sebelum membuat sebarang ulasan lanjut.

"Saya sibuk dengan jadual yang padat beberapa hari ini, masih belum sempat baca kenyataan itu. Nanti InsyaAllah saya akan baca," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Untuk rekod, pada tahun 1989, PAS menghantar tiga wakilnya menyertai Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapem).

Ketika itu, PAS diwakili AJK PAS Pusat iaitu Datuk Mustafa Ali, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman dan Ustaz Azizan Abdul Razak (sekarang Tan Sri).

Jakim bantah Lamb of God, konsert lain bagaimana?

Harakahdaily, 02 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membantah kehadiran kumpulan heavy metal ‘Lamb Of God’ yang dijadualkan membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 September ini.

DPPM menganggap bantahan Jakim selari dengan keresahan umat Islam terhadap penganjuran kumpulan artis tersebut.

“Umum mengetahui bahawa kumpulan tersebut menimbulkan kontroversi kerana imej dan penampilan mereka yang menghina Islam.

“Dikhuatiri persembahan kumpulan tersebut akan menimbulkan krisis akidah, permasalahan moral serta keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak muda yang lebih parah,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Namun demikian, katanya DPPM merasa musykil kerana Jakim jarang bersuara menyatakan bantahan sama seperti yang dibuat terhadap Kumpulan Lamb Of God.

Sebelum ini, kata beliau banyak pihak telah membantah penganjuran kosert heavy metal Metallica, kumpulan rock Linkin’ Park dan lain-lain lagi.

Malah, ujarnya DPPM serta NGO-NGO juga pernah membantah persembahan artis kontroversi dan berimej seksi seperti Beyonce Knowles, Avril Lavigne, Adam Lambert, Inul Daratista, Rihanna, Erykah Badu dan lain-lain.

“DPPM berpandangan Jakim seharusnya bersifat tegas dengan membantah mana-mana persembahan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia serta boleh merosakkan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sebagai organisasi kerajaan yang menjaga urusan umat Islam, Jakim menjadi panduan dan rujukan umat Islam serta menjadi benteng mempertahankan akidah dan syakhsiyah umat Islam.

Tegasnya, perbuatan amar ma’aruf nahi mungkar (mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari perbuatan mungkar) perlu dimulakan oleh kerajaan  dan Jakim menjadi tunjangnya sebelum diikuti oleh NGO dan parti-parti politik.

Oleh itu, kata beliau DPPM mengharapkan agar JAKIM konsisten serta aktif dalam memastikan apa juga aktiviti yang dianjurkan mengikut syariat Islam termasuk penganjuran konsert.

“Jakim menjadi contoh teladan kepada umat Islam agar bangkit mempertahankan agamanya daripada dirosakkan oleh aktiviti mungkar yang berleluasa di negara ini,” katanya.

Majlis jamuan hari raya Harakah meriah

Harakahdaily | Foto: Shukri, 02 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Jamuan Sempena Idulfitri 1434H anjuran Harakah yang diadakan di kawasan parkir Jalan Pahang di sini, hari ini berlangsung dalam suasana meriah.

Majlis yang bermula jam 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Selain daripada pemimpin PAS, kelihatan juga Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan wakil DAP yang juga Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.

Kolumnis dan penulis Harakah dan Harakahdaily termasuk Haji Subky Latif, wartawan media baru beserta blogger juga tidak ketinggalan menikmati jamuan yang disediakan pada majlis berkenaan.



Tuan Guru Abdul Hadi, Salahuddin, Dr Dzulkefly dan Ustaz Idris menikmati jamuan hari raya Harakah.


Aksi menarik Dr Haron Din, Dr Nasir dan Haji Subky.


Mustafa dan Iskandar bersama Ahmad Lutfi.


Ustaz Abu Bakar, Tian Chua, Dr Seng Giaw dan Dr Anuar turut hadir.


Petugas membakar kambing untuk peserta.

Rayuan petisyen Dun Selising 26 Sept

Aslani M, 02 Sep 2013
KOTA BHARU: Rayuan PAS terhadap petisyen pilihan raya Dun Selising akan didengari di Mahkamah Persekutuan pada 26 September ini.

Manakala sehari sebelum itu rayuan bagi Parlimen Machang juga didengari di mahkamah sama.

Peguam Hisham Fauzi (gambar) berkata, rayuan terhadap petisyen pilihan raya Dun Selising dan Parlimen Machang akan dikendalikan panel lima hakim. Pasukan peguam PAS akan diketuai Hanipa Maidin.

Katanya, rayuan dibuat berikutan Hakim Pilihan Raya di sini sebelum ini menolak petisyen tersebut dengan alasan teknikal.

Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Julai lalu menolak petisyen difailkan PAS di Dun Selising dengan alasan pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memberitahu petisyen itu tidak disampaikan dengan sempurna dan ia ditolak dengan kos.

“Sedangkan kami berhujah Kaedah 15, Kaedah-Kaedah Pilihan Raya telah dipenuhi selaku pempetisyen kes berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mahkamah yang sama juga menolak petisyen difailkan PKR bagi Parlimen Machang.

Pada pilihan raya umum lalu calon BN di Dun Selising, Zulkifle Ali mengalah calon PAS, Drs Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Petisyen PAS Dun berkenaan difailkan Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Selising, Semsudin Muhammad.

Manakala di parlimen Machang, calon PKR Dr Wan Zawawi Wan Ismail kalah kepada calon BN, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dengan majoriti 805 undi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan Khamis ini bagi keputusan bantahan awal kedua responden pertama terhadap petisyen pilihan raya Dun Gaal.

Hakim Datuk Zamani menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan responden pertama memfail hujahan bertulis hari ini.

Manakala pempetisyen dan responden kedua serta ketiga memfail hujahan bertulis mulai esok.

Pada prosiding hari ini pempetisyen diwakili peguam Mohd Ilyas Mohd Noor. Peguam kanan persekutuan, Azizan Md Arshad mewakili responden kedua dan ketiga.

Manakala peguam Aminuddin Zulkifli, Nik Baharom Nik Abdullah, Mohd Abdul Rashid Yah, Nasar Khan Mirbas Khan, Hisham Fauzi dan beberapa lagi peguam mewakili responden pertama.

Pada pilihan raya umum lalu calon BN, Redzuan Stapha kalah kepada calon PAS Tuan Mazlan Tuan Mat dengan majoriti 302 undi di Dun Gaal.

Sebelum ini mahkamah pilihan raya di sini turut menolak petisyen parlimen Ketereh, Bachok, Dun Air Lanas, Dun Kok Lanas, Manek Urai, Mengkebang dan Jelawat.

Rumah terbuka PAS Terengganu 5 Sept

Khairul Azlam Mohamad, 02 Sep 2013


KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu akan mengadakan rumah terbuka pada 5 September ini bagi meraikan sambutan hari raya Idulfitri 2013.

Setiausahanya, Yahaya Ali berkata sambutan rumah terbuka PAS Terengganu merupakan program tradisi.

Katanya, dengan program tersebut hubungan antara PAS dengan ahli, penyokong, pendukung dan masyarakat umum semakin dekat.

“Biasanya, ribuan pengunjung datang dari pelbagai lapisan kaum dan agama. Ini bukti PAS diterima oleh rakyat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, di samping menjamu selera sempena hari raya pimpinan parti pula akan berucap bagi menyampaikan pesanan dan nasihat.

Sambutan rumah terbuka tersebut akan diadakan dari jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang di pekarangan Pejabat PAS negeri, Jalan Sultan Omar di sini.


Kedah cadang sekar air, mana Umno P Pinang

Mohd Sabri Said, 02 Sep 2013
GEORGETOWN: "Di manakah Umno Pulau Pinang apabila kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah berhasrat menyekat sumber air mentah ke negeri ini?
“Bagaimana pendirian parti itu apabila dicabar sedemikian rupa," kata Koordinator Badan Bertindak Kempen Umno Jangan Politikan Air Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim pada sidang media, kelmarin.

Isu itu timbul apabila Adun Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mencadangkan agar kerajaan Kedah menyekat laluan air ke Pulau Pinang pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, baru-baru ini kerana rakyat negeri ini menolak BN pada PRU13 lalu.

Zolkifly berkata, cadangan menyekat sumber air mentah itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan maksud kemanusiaan dan semangat Malaysia.

"Mungkin beliau sendiri keliru bahawa di Pulau Pinang juga ada rakyat Malaysia termasuk rakyat Negeri Kedah," katanya kesal.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Abdul Halim Saleh berkata, Ahmad Bashah tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana ia akan memakan diri sekaligus merosakkan nama partinya sendiri.

Itulah. sambungnya muka sebenar Umno yang dikatakan memperjuangkan rakyat menerusi slogan ‘rakyat didahulukan’.

"Sebagai orang veteran dalam politik beliau seharusnya bijak memilik isu bukan ikut sentimen kenegerian," katanya.

Iskandar nekad bina 5 pondok polis

Salmiyah Harun, 02 Sep 2013
AMPANG: Walaupun pihak polis belum ada jawapan terhadap permohonan meletakkan anggota di kawasan Taman Cempaka,  Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka Iskandar Abdul Samad  nekad akan membina lima pondok polis di kawasan terbabit.

Ini kerana katanya, suasana di kawasannya sudah menjadi tidak terkawal dengan beberapa kes samun yang berlaku sehingga mengorbankan nyawa penduduk di situ.

Katanya, pembinaan pondok polis akan dibuat secara berperingkat bermula Oktober ini bagi mempertingkat kawalan keselamatan sekali gus menangani kes jenayah yangkian berleluasa.

"Sekiranya pihak Polis tidak dapat menempatkan anggota mereka, terdapat penduduk yang sanggup melakukan rondaan secara sukarela. Pejabat saya juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk yang mahu memastikan keselamatan kawasan dan harta benda mereka terjamin," katanya kepada Harakahdaily.

Apa yang mengecewakan jelas Iskandar , tahun 2008 beliau pernah bertanya kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar di mana ketika itu merupakan Ketua Polis Negeri Selangor tentang hasratnya untuk membina pondok-pondok polis.

"Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada jaminan pihak polis boleh menempatkan anggota di setiap pondok yang dibina. Saya tidak akan tunggu polis. Saya akan bina sendiri pondok polis," kata Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor.

Menurutnya, pejabat beliau banyak menerima aduan tentang kejadian jenayah seperti ragut, samun dan pecah rumah di kawasan-kawasan di sekitar Taman Chempaka.

Baru-baru ini, seorang eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar meninggal dunia setelah disamun.

Pada 22 Julai lepas, lebih kurang 500 meter dari tempat allahyarhamuha disamun, pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang cuba menampal notis pada sebuah gerai haram di Kampung Pandan telah diserang dengan parang oleh 7 orang lelaki.

Hingga ke hari ini, jelasnya tidak ada siapa yang didakwa di mahkamah berhubung kes tersebut tetapi gerai haram yang hendak disampaikan notis itu masih bebas beroperasi.

Iskandar berkata, tindakan drastik itu perlu bagi memastikan jenayah sedemikian tidak berulang, apatah lagi pejabatnya kerap menerima aduan berkaitan jenayah ragut, samun dan pecah rumah.

“Sebagai langkah awal, pejabat saya akan mula membina 5 pondok polis sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013,” katanya lagi.

Mengapa TPPA perlu dibantah (2)

Anas Alam Faizli, 02 Sep 2013

Masalah Cukai Ekport


Cukai ekport dikenakan kepada pengekport barangan utama. Cukai ini berfungsi melalui dua cara; menaikkan pendapatan kerajaan dan membangunkan industri perantara tempatan. Cukai ekport menaikkan harga bahan mentah dalam pasaran ekport menyebabkan produk akhir yang dihasilkan oleh pasaran tempatan lebih murah dan kompetitif berbanding produk yang dihasilkan oleh pasaran luar. TPPA mahu mengubah perkara ini.

Dengan mengurangkan atau menghapuskan cukai ekport, negara seperti Malaysia yang sebahagian besar eksportnya masih barangan mentah, akan menyaksikan negara-negara rakan TPPA menikmati sumber-sumber kita dengan harga yang jauh lebih murah, seterusnya membunuh pengeluar industri perantara tempatan seperti pembekal kelengkapan teknologi dan perabot, industri penapisan kelapa sawit dan pengeluar produk tani dan makanan. Tidak keterlaluan jika saya katakan potensi kesan ini hampir sama dengan tindakan penjajah mengambil segala sumber kekayaan asli kita satu ketika dahulu!

Mitos Perdagangan dan FDI

Kembali kepada isu perdagangan, jangkaan manfaat yang diperoleh daripada menandatangani FTA dengan Amerika akan terlihat melalui pendapatan yang tinggi dalam faedah perdagangan. Bagaimana sebuah negara yang secara relatifnya mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih kuat seperti Singapura, menyaksikan peningkatan pula dalam defisit perdagangan bermula dengan USD 1.4 bilion pada 2003 apabila mereka menandatangani perjanjian, kepada USD 4.3 bilion pada 2004, USD 6.9 bilion pada 2006 kepada USD 10.5 bilion pada 2012.

Menurut laporan United Nations, tiada bukti atau korelasi yang menunjukkan peningkatan pelaburan asing (FDI) yang berkualiti daripada perjanjian-perjanjian perdagangan dua-hala selama ini. Benar, jika kita tidak menyertai TPPA, kemungkinan trade diversion atau perdagangan yang ‘lari’ daripada Malaysia kepada negara-negara TPPA tidak dapat dinafikan. Namun kerugian daripada trade diversion ini haruslah jelas dan dipastikan mempunyai manfaat yang lebih besar berbanding pelbagai musibah dan kerugian yang dibawa oleh TPPA kepada aspek-aspek lain ekonomi negara.

Protes Dunia kepada FTA Amerika

Bukan asing negara seluruh dunia memprotes perjanjian FTA dengan Amerika. Di Guatemala, dua orang mati berdemonstrasi, dan rakyat Guatemala mengheret kerajaan ke mahkamah kerana dakwaan FTA terbabit mencabuli hampir 130 akta dalam perlembagaan Guatemala. Di Ecuador pula, darurat diisytiharkan kerana demonstrasi besar-besaran. Ketua rundingan Thailand dan Colombia pernah meletakkan jawatan kerana protes hasil rundingan dengan Amerika. Di Korea Selatan, seorang membakar dirinya sendiri sehingga mati bagi memprotes FTA dengan Amerika, yang hanya diluluskan oleh Parlimen selepas kerajaan pemerintah mengurung pihak pembangkang.

Negara seperti Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay, Uruguay, Venezuela, Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Namibia dan Swaziland juga sebelum ini terlibat dalam rundingan dengan Amerika untuk FTA tetapi kesemua rundingan itu gagal tanpa ditandatangani.

Di Malaysia, Third World Network (TWN) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bergerak di hadapan menentang isu FTA Amerika-Malaysia sejak 2008, dan melanjutkan penentangan terhadap TPPA. Usaha lebih menonjol juga muncul kebelakangan ini untuk menyentuh isi rundingan TPPA melalui sebahagian bab yang tertiris kepada pengetahuan orang awam. Pada 6 Jun 2013, YB Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan akhbar mempersoalkan kerahsiaan rundingan TPPA dan bertanyakan soalan penting; adakah Malaysia merancang untuk menggadaikan kedaulatan negara hanya untuk tujuan perdagangan bebas? Mewakili Pakatan Rakyat, beliau secara konsisten dan gigih telah memberikan tekanan yang membawa kepada penubuhan parliamentary caucus dan peningkatan penglibatan daripada MITI.

Pada masa yang sama, momentum penentangan terus dibina oleh badan bukan kerajaan seperti BLINDSPOT, MTEM, MAC, MTUC, GBM, IKRAM yang terus-menerus mengadakan forum awam untuk meningkatkan kesedaran awam. Usaha ini menggalakan orang awam untuk menuntut hak bersama daripada kerajaan dalam rundingan. Profil ternama seperti Tun Mahathir dan Liow Tiong Lai juga secara terbuka memberikan penentangan kepada TPPA yang menuntut perhatian rakyat dalam isu ini.

Badan Bertindak Bantah TPPA (BANTAH TPPA)

Badan Bertindak Bantah TPPA, atau dikenali dengan nama ringkas BANTAH TPPA, ialah gabungan 52 badan bukan kerajaan dan tujuh Jawatankuasa Bersama yang dibentuk untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap TPPA bagi memastikan Malaysia memperoleh manfaat terbaik daripada TPPA. Kami berpendapat TPPA ini wujud di tengah-tengah harapan sebilangan kecil syarikat multinasional yang mencari keuntungan komersial hasil daripada bab-bab dalam rundingan, dan juga kebimbangan besar organisasi-organisasi masyarakat sivil yang mewakili rakyat 12 buah negara dalam TPPA. Hakikatnya, TPPA bukanlah suatu FTA yang mempromosikan perdagangan bebas semata-mata, kerana ia memelihara kepentingan syarikat gergasi dalam industri terpilih. TPPA bertujuan memastikan perlindungan dan kepentingan korporat yang mengatasi kebajikan awam, keselamatan dan kepentingan sosio-ekonomi negara-negara yang ekonominya jelas lemah berbanding gergasi ekonomi dalam rundingan ini, yakni Amerika.

Perlu diingatkan bahawa Amerika dibantu oleh jawatankuasa penasihat khas terdiri daripada 1,000 orang pakar. Kami menuntut yang sama untuk Malaysia. Satu kajian oleh UNDP tidak mencukupi untuk meyakinkan orang awam bahawa kehidupan kami dan anak cucu kami tidak terancam. Melihat kepada rekod, Malaysia bukanlah pakar yang mahir dalam rundingan, kehilangan Blok L dan M, perjanjian berat sebelah air dengan Singapura, dan Pulau Batu Putih, sekadar menjadi contoh. Pasukan perunding daripada MITI semata-mata tidak boleh dibiarkan menentukan nasih seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya, BANTAH TPPA menuntut supaya Kerajaan Malaysia menggantungkan rundingan atau keluar daripada TPPA sehinggalah sebuah kajian menyeluruh analisis kos dan faedah serta kajian perbandingan dilakukan, dihebahkan kepada umum dan dibincangkan oleh semua pihak di Malaysia, teks rundingan dibentangkan, dianalisis dan dinilai oleh parlimen untuk memastikan bahawa rundingan TPPA yang dijalankan memihak kepada kedudukan dan kepentingan Malaysia, dan kebimbangan mengenai pelbagai isu dimasukkan dalam  pendirian dan dibincangkan  dalam rundingan TPPA; serta akhirnya satu referendum popular dilakukan untuk menentukan sejauh mana rakyat Malaysia menyokong kerajaan mereka untuk menandatangani dan meratifikasikan TPPA.

Kami menuntut supaya kerajaan mengamalkan pendirian telus dalam hal ini dan semua kebimbangan pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan rakyat Malaysia dipertimbangkan dalam pusingan rundingan. Jika tidak, tarik diri daripada rundingan TPPA secara berhemah. Garis panduan tentang faedah-faedah perjanjian FTA yang hanya teori-teori buku teks tidak mencukupi; TPPA mungkin kelihatan seperti perjanjian FTA di atas kertas, tetapi hakikat pelaksanaannya menunjukkan impak lebih besar kepada kedaulatan negara.

Perhatian dan empati diperlukan daripada masyarakat sivil, ahli akademik, pakar dan pengamal industri malah orang awam yang prihatin terhadap masa depan Malaysia mesti mencari maklumat, cuba memahami, bersuara dan menulis bagi menyumbang kepada usaha kita untuk menuntut yang terbaik daripada rundingan. Jika tidak, lebih baik ucapkan selamat tinggal kepada Amerika dan cabut lari sebelum terlambat.

*Anas Alam Faizli ialah profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli

Tiada ulasan: