Khamis, 2 Februari 2012

SAPE YANG ADA HUBUNGAN DENGAN ISRAEL...YANG AKRAB ALLAH SAJA YANG TAHU...MASING2 TAK MENGAKU SERTA MENAFIKAN...

Israel: Amaran Anwar, 'jangan belit kenyataan saya'
Wartawan Sinar Harian
28 Januari 2012
SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada pihak-pihak yang cuba memutar belit kenyataannya berkenaan Israel dalam satu wawancara bersama Wall Street Journal, kelmarin semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya beliau "mengkhianati aspirasi rakyat Palestin."
Ketua Pembangkang menegaskan, pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi dan kenyataannya juga tidak berbeza daripada pendirian dasar luar Malaysia dalam isu Israel-Palestin.
"Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut, malah pastinya digilap dan diperkukuh," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini - beberapa jam selepas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan Bernama awal petang tadi memetik Muhyiddin berkata beliau meminta Anwar tampil memberi penjelasan tentang komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika ditemu ramah akhbar Wall Street Journal.
Timbalan Perdana Menteri bertanyakan sama ada kenyataan Ketua Umum PKR itu bermakna beliau mementingkan Israel dan menidakkan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu.
"Adakah dia (Anwar) lebih mengutamakan Yahudi dan Israel daripada Palestin? Adakah ini pendirian sebenar Pakatan Rakyat, sedangkan kerajaan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel," katanya kepada pemberita di Muar.
Dalam kenyataannya, Anwar berkata, "saya diwawancara oleh Wall Street Journal pada hari Khamis, antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin."
"Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.
"Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati," katanya lagi.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, pendiriannya ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan PKR yang menjunjung tinggi prinsip keadilan sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.
"Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan dan Inisiatif Keamanan Arab yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara.
"Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27 September 2011 di New York," katanya.
Oleh itu tegas beliau, ternyata dari kenyataan Menteri Luar, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.
"Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi.
"Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin," katanya.
Nurul Izzah: Kenyataan Anwar dimanipula​si
ZULAIKHA ZULKIFLI
1 Februari 2012
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa bahawa kenyataan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, berkaitan Israel yang disiarkan oleh Wall Street Journal minggu lalu, telah dimanipulasi oleh musuh politiknya.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pendirian PKR ialah mengecam sekeras-kerasnya kezaliman dan kejahatan yang dilakukan Israel.

"Ketika soalan itu ditanya, 'adakah kita akan menjaga keselamatan rantau di Timur Tengah, Anwar berkata Ya. Tetapi bersyarat iaitu jika memberi kebebasan pada warga Palestin dan hentikan keganasan di tanah-tanah sempadan seperti di Gaza.

"Islam mengajar kita untuk mempertahankan diri. Tetapi bila sudah diberi kebebasan, kita juga perlu bersedia untuk melindungi masyarakat dan agama lain," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Taman Sentosa hari ini.

Beliau turut menegaskan, apa yang disebut Anwar dalam wawancara itu sehaluan dengan pendirian kerajaan Malaysia. Nurul Izzah turut mempersoalkan mengapa setiap yang dikatakan Anwar akan dipolitikkan.

"Apa sahaja yang Anwar kata akan dipolitikkan. Enam bulan lalu mereka kata Anwar anti-Israel. Sekarang pro-Israel pula," katanya.

Anwar dilaporkan menyatakan sokongan terhadap usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan Israel ketika beliau ditemu bual oleh Wall Street Journal, 23 Januari lalu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan Anwar pada 28 Januari, beliau mendakwa ia semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya beliau "mengkhianati aspirasi rakyat Palestin."
Israel: Kenyataan Anwar memalukan, kata Anifah

29 Januari 2012
Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  merakamkan sepenuh sokongan kepada semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel adalah satu kenyataan yang menyedihkan dan memalukan serta patut dikesali dan dikecam, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara langsung jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan Anwar terhadap segala tindakan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.
Tindakan yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negaranya termasuklah serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak, penangkapan dan pemenjaraan rakyat Palestin sewenang-wenangnya, pembunuhan rakyat Palestin terutama para pemimpin melalui serangan bom dan peluru berpandu, pembinaan tembok haram yang merentas dan merampas kawasan kediaman orang Palestin.
Pengusiran rakyat Palestin dari kawasan kediaman mereka, pembinaan penempatan haram Israel di kawasan rakyat Palestin, sungguhpun dikecam oleh masyarakat antarabangsa serta pelbagai lagi pelaksanaan dasar yang menindas dan menganiayai rakyat Palestin, katanya.
"Saya ingin menegaskan kerajaan Malaysia tidak pernah menyokong tindakan Israel seperti dijelaskan, malah telah bersama-sama masyarakat antarabangsa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas melanggari perundangan antarabangsa," kata Anifah dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketika ditemu ramah akhbar Wall Street Journal baru-baru ini, Anwar secara terbuka menyatakan ia akan mempertahankan keselamatan Israel.
Anifah berkata, kerajaan Malaysia berpendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui perundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.
"Malaysia menggesa supaya semua pihak berusaha mencari satu penyelesaian komprehensif yang adil dan saksama berdasarkan pelan damai dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan di mana kedua-dua buah negara dapat hidup bersebelahan dengan satu sama lain dalam keadaan aman dan selamat," katanya.
Katanya, adalah jelas kenyataan yang dibuat Anwar itu adalah semata-mata untuk meraih kembali sokongan masyarakat Yahudi dan penyokong Israel kepada beliau dalam usaha mendapatkan sokongan antarabangsa bagi menghadapi pilihan raya.
"Seperti yang kita ketahui, kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada Mac 2010 yang menuduh konsep 1Malaysia ditiru daripada konsep regim Zionis Israel telah membawa kecaman daripada pemimpin-pemimpin Yahudi.
"Dengan kenyataan yang dibuat oleh Anwar di Wall Street Journal itu, jelas sekarang di mana letaknya prinsip dan pendirian beliau berhubung isu Palestin dan saya yakin rakyat akan dapat membuat penilaian mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata kenyataan Anwar yang disiarkan dalam Wall Street Journal itu juga jelas, kecuali jika beliau ingin mendakwa akhbar tersebut telah melakukan kesilapan. - Bernama
Ezam dakwa Anwar tebus 'dosa' isu Apco
Mohd Fazli Zainul Abidin
29 Januari 2012
SHAH ALAM - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Ezam Mohd Nor menyelar tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya jelas menyatakan sokongan  mempertahankan hak Israel.

Sambil menggambarkan adalah mustahil Israel akan membela rakyat Palestin, soal Ezam,  sejak bila hak rakyat negara itu dibela Israel.

"Malahan setiap hari hak rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh rejim Israel.

"Apa Anwar tak tahu semua ini? Dia tahu tetapi yang penting bagi Anwar bukan hak Palestin, sebaliknya adalah kepentingan politiknya sendiri dan satu-satunya cara untuk dilihat sebagai kawan zionis yang anti-Islam selepas terlajak menghentam Apco sebelum ini.

"Ini seolah-olah kenyataan untuk menebus dosa pada Zionis dan sanggup khianat kepada hak Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar digantung dari Parlimen selama enam bulan sejak akhir 2010 berhubung isu Apco. Beliau didakwa mengaitkan Apco dengan gagasan 1 Malaysia dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Anwar memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang cuba memutar belit kenyataannya berkenaan Israel dalam satu wawancara bersama Wall Street Journal, semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya beliau “mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.”

Beliau menegaskan, pendirian PKR adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi dan kenyataannya juga tidak berbeza daripada pendirian dasar luar Malaysia dalam isu Israel-Palestin.

“Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut, malah pastinya digilap dan diperkukuh,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat selama, selang beberapa jam selepas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menyelar beliau.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin meminta Anwar tampil memberi penjelasan tentang komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika ditemu ramah akhbar Wall Street Journal.

Timbalan Perdana Menteri bertanyakan sama ada kenyataan Ketua Umum PKR itu bermakna beliau mementingkan Israel dan menidakkan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu.

“Adakah dia (Anwar) lebih mengutamakan Yahudi dan Israel daripada Palestin? Adakah ini pendirian sebenar Pakatan Rakyat, sedangkan kerajaan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.

Dalam kenyataannya, Anwar berkata, “saya diwawancara oleh Wall Street Journal pada hari Khamis, antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.”

“Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

“Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati,” katanya lagi.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, pendiriannya ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan PKR yang menjunjung tinggi prinsip keadilan sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.

“Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan dan Inisiatif Keamanan Arab yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara.

“Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27 September 2011 di New York,” katanya.

Oleh itu tegas beliau, ternyata dari kenyataan Menteri Luar, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.

“Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi," katanya.
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
JATI SANGGUP MENEBAS KEMUNGKARAN UMNO?
08 Rabi'u al-Awwal 1433 bersamaan 01 Februari 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Dr Hassan Ali benar-benar berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dengan memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-Raja dengan menubuhkan sebuah NGO –JATI dan tidak mewakili sentimen mana-mana pihak yang berkepentingan.
DPPM mengalu-alukan sekiranya Dr Hassan benar-benar mahu menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ tanpa mengira latar belakang sasarannya. Dalam hal ini, DPPM berpendapat JATI harus berdiri tegak atas platform nya sendiri dengan menjadi sebuah NGO yang bebas dari kongkongan mana-mana parti politik tertentu. Dr Hassan Ali sebagai pengemudinya harus bertindak rasional dalam memperjuangkan Islam di negara ini. Beliau tidak boleh memperpanjang sentimen isu pemecatannya kerana ia boleh dilihat sebagai agenda peribadi, bukan agenda umat Islam di negara ini. Beliau juga tidak boleh cenderung atau ‘bias’ kepada mana-mana pihak supaya dilihat benar-benar ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu. Jika tidak beliau hanya dilihat sebagai ‘budak suruhan’ kepada pihak tertentu terutama kepada parti pemerintah jika beliau hanya menjadikan Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai sasaran kecaman beliau.
Apa yang menghairankan, beliau hanya menyerang pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, sedangkan kemungkaran lebih besar ada pada kuasa pemimpin utama di negara ini. DPPM kecewa kerana Dr Hassan Ali hanya melihat kesalahan yang ada dalam PAS dan menuduh segelintir pemimpin PAS sebagai ‘parasit’. Beliau juga agresif dalam menyerang PKR dan DAP. Namun kemungkaran besar dan ‘bapa parasit’ yang dilakukan oleh pemimpin UMNO-BN sedikitpun beliau tidak kisah.
Jika betul beliau mahu memperjuangkan aqidah umat Islam, seharusnya UMNO terlebih dahulu dan patut diserang kerana ditangan pemimpin merekalah aqidah umat tergoncang. UMNO pemilik kuasa di negara ini telah memerintah berpuluh tahun dan mereka mempunyai kuasa dalam meluluskan Akta, Undang-Undang, dan penguatkuasaan di negara ini. Dr Hassan Ali elok bertanya kepada pemimpin UMNO apakah yang telah diperbuat setelah negara merdeka sekian lama, masalah aqidah umat Islam masih merupakan masalah utama kepada umat Islam. Cuba tanya pemimpin UMNO, mahukah mereka melaksanakan Hukum Islam secara menyeluruh dan bila lagi ianya hendak dilaksanakan?
Jika pemimpin Pakatan Rakyat dituduh sebagai ejen Israel, Dr Hassan juga perlu menyemak latar belakang UMNO dan pemimpinnya. Mungkin JATI boleh menyemak penglibatan APCO di negara ini dan kaitannya dengan Israel serta syarikat AsiaSoft sebagai mengawal sistem komunikasi PDRM. Cuba semak siapa dibelakang syarikat ini dan kaitannya dengan Israel.
Selain itu, isu penyelewengan wang zakat oleh pemimpin umat Islam wajar diberikan perhatian dan mesti dijadikan agenda bertindak oleh JATI. Wang zakat adalah milik asnaf umat Islam dan tidak wajar pemimpin umat Islam menyalahgunakan wang tersebut. DPPM mengajak JATI untuk turut lantang membantah isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah kerana ia juga adalah suatu ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ yang perlu ditegakkan di negara ini.
DPPM menasihatkan JATI dan Dr Hassan Ali supaya jangan mengambil sikap ‘semut seberang lautan nampak, tetapi gajah didepan mata tidak kelihatan’. Jika tidak, gelagat beliau dalam perjuangan JATI hanya menjadi bahan gelak ketawa rakyat sahaja.


Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: