Khamis, 2 Februari 2012

BILA NIAT MENUNTUT ILMU BUKAN KERANA ALLAH...MAKA ILMU TIDAK BERKAT...TIADA KEREDAAN APA YANG TERJADI...AKHIR BUAT KACAU..MENGELIRUKAN TUNTUTAN@PERJUANGAN ISLAM..MEPERJUANG BANYAK PERKARA@BAB...PATUTNYA HANYA UNTUK ALLAH...ALLAH TAK BOLEH KONGSI2@SYER2...HUKUMNYA SYIRIK


Kerajaan tidak perlu, hanya bantu rakyat bina masjid

Rizal Tahir, 02 Feb 2012
KOTA BHARU, 2 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menegaskan kerajaan Kelantan tidak perlu membina masjid, sebaliknya membantu rakyat menyiapkannya.

(TGNA menerima gambar model masjid yg akan dibina dari Iman masjid An Naim Ust Sanusi Derani)


Tuan Guru Nik Aziz seterusnya memberitahu, kerajaan negeri tidak perlu membina masjid di negeri itu sepenuhnya menggunakan wang kerajaan, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat turut membangunkannya melalui sumbangan derma peribadi.

“Pihak sebelah sana dok riuh rendah mengatakan kerajaan negeri hanya membina sebuah masjid sahaja, biarlah mereka nak kata apapun, saya selaku ketua kerajaan memberi peluang kepada rakyat saya untuk menderma.

“Kalau kerajaan negeri tanggung semua pembinaan masjid, mana peluang rakyat untuk mencari saham akhirat dengan menderma?”soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran tabung derma dan jualan lot untuk pembesaran Majid An-Naim, di sini tengahari tadi.

Katanya, tindakan kerajaan negeri itu telah menjadi modal politik pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan negeri, sedangkan hasrat sebenar kerajaan negeri adalah sebaliknya.

“Apa yang saya lakukan untuk mencetuskan pemikiran rakyat rezeki yang Allah berikan bukan untuk membeli beras, bayar bil letrik atau air semata-mata, sebaliknya untuk mendapat saham akhirat.

“Sebagai orang Islam kita kena sedar, menderma tuntutan Islam termasuk menderma untuk menyiapkan masjid, tetapi ingat jangan pula kita mencuri untuk menderma,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan yang berada di luar turut menyalurkan sumbangan untuk pembinaan masjid termasuk Masjid An-Naim.

Masjid yang terletak di Seri Cemerlang itu memerlukan RM580,000.00 untuk membeli rumah kedai bagi pembesaran masjid tersebut.

Kepada yang ingin menyalurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat atas nama Masjid An-Naim, akaun CIMB Islamic Bank Berhad, 0301 0000 9621 01 dan Kuwait Finance House (M) Berhad 0081 0500 1448.

Pemuda P Pinang sedia anjur debat negara bankrap

Mohd Sabri Said, 02 Feb 2012
TASEK GELUGOR, 2 Jan: Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang (Pemuda Penang) bersedia menjadi penganjur 'Debat Perdana' di antara Ketua Menteri Pulau Pinang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop berkaitan tajuk 'Malaysia Bankrap Jika Hapus Tol Lebuhraya'.

Ketua Angkatan Muda Parti KeAdiLan (PKR), Amir Ghazali, Pemuda DAP (DAPSY), Ng Wei Aik dan Dewan Pemuda PAS yang diwakili oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua, Fahmi Abdul Wahab senada mempertahankan kutipan tol di saat rakyat menderita dengan kos hidup yang semakin membelit adalah tindakan yang tidak sewajarnya.

Debat Perdana itu amat penting untuk rakyat menilai dan menganalisis sendiri hujjah kedua-dua pihak agar apa yang hendak dilaksanakan tidak menjadi beban kepada rakyat yang telah lama menderita.

"Hari ini kami mengatakan kesediaan untuk menjadi penganjur kepada Debat Perdana antara Lim Guan Eng dan Tan Sri Nor Mohamad Yakcop mengenai pemansuhan tol lebuhraya Malaysia," jelasnya dalam kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan lima perenggan itu projek lebuhraya Utara Selatan (PLUS) telah mengaut keuntungan sebanyak RM308 peratus bersamaan dengan keuntungan RM18 bilion bersih selepas ditolak kos asal projek sebanyak RM5 bilion.

Usaha itu jelas sekali terus memperkayakan PLUS sehingga konsesi tamat pada tahun 2038.

Pemuda Penang mencadangkan Debat Perdana itu diadakan di Dewan Besar Sungai Dua iaitu di Parlimen Tasek Gelugor pada 29 Februari 2012 di mana mengikut format tiga pusingan iaitu 10 minit setiap pusingan serta pengulungan.

Kepentingan Debat Perdana itu juga bertujuan mendedahkan kebenaran Pakatan Rakyat tetap dengan agenda membela nasib rakyat hatta di lubuk Barisan Nasinal (BN).

"Kami memberi tempuh tujuh hari kepada ke dua-dua pihak untuk mereka memberi maklum balas kehadiran serta 14 hari lagi untuk mereka mengumpul hujah yang meyakinkan sebelum kedua-duanya tampil ke gelanggang debat," tegas kenyataan tersebut.

Shafri: Moga pahala mu berkekalan

Ahmad Lutfi Othman, 02 Feb 2012


Rasanya tidaklah terlalu lama saya tidak bertemu rakan sekerja, Mohamad Shafri Shamsudin, tetapi pagi itu, Jumaat, 13 Januari lalu, ketika kami mahu menziarahi jenazah petugas Pejabat Agung PAS, Allahyarham Syed Mohamad Syed Hasan, di Taman Melewar, saya perasan kelainan di wajahnya.

Perbedaan batang tubuhnya, seolah-olah kami tidak pernah berjumpa dalam tempoh yang lama. Meskipun saya kerap uzur dan jarang hadir ke pejabat kecuali untuk mesyuarat mingguan jabatan pengarang dan temujanji penting lain, saya kira kalaupun tidak berselisih dengan Shafri, ia hanya sekitar maksimum dalam masa sepuluh hari.

Nampak uzur sangat, cengkung dan pucat, bagai menanggung penyakit kritikal. Berat badannya kelihatan susut. Saya benar-benar terkejut. Tidak pernah pula dimaklumkan bahawa Shafri keuzuran. Tetapi dia masih seperti biasa, tetap ceria dan sering tersenyum.

"Awat ni, Shafri, nampak teruk sangat?" tanya saya, sambil kami bergegas ke kereta bersama pembantu khas ketua pengarang, Khairul Hartimi Mohd Tajudin dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh.

(Perjalanan terakhir seorang wartawan)

Senyumannya masih tidak lekang -- dan itulah satu keistimewaan Shafri -- tanpa saya sedari dia cuba menutup rahsia. "Takda apalah bang," pintasnya.

"Dah periksa pakar?" saya tetap degil mahu mendapatkan kepastian. Memang selepas menjalani pembedahan pintasan jantung lebih setahun lalu saya mudah tersentuh dengan hal-hal berkaitan kesihatan dan penyakit.

Sebenarnya sensitiviti itu bermula lebih awal ... hampir tujuh tahun lalu, sejurus anak kedua saya, Nurul Shafiqah, 11, meninggal dunia secara mengejut pada pagi 1 Ramadan.

"Ceritalah pada cik Lutfi," Khairul mencelah. "Sakit batu karang, kot," Shafri  menjelaskan, ringkas.

"Saya pernah kena batu karang, 25 tahun lalu, memang sakit, tak tentu rasa, tapi taklah teruk macam ni, sampai berubah muka," kata saya, "jangan lupa, cepat dapatkan rawatan pakar."

"Tak selera makan," jawab Shafri. "Kalaupun tak lalu makan, tapi takkan sampai jadi macam anta ini, nampak uzur dan letih sangat," balas saya.

Dalam perjalanan balik ke pejabat Harakah, di Jalan Pahang, Shafri tidak banyak berbual walaupun saya mengumpannya dengan pelbagai persoalan politik yang agak panas. Selalunya, dia cepat respons dan terbuka memberi pandangan.

Meskipun Shafri lebih lama berkecimpung dalam bidang grafik, dan baru sahaja terjun ke dalam dunia kewartawanan selepas akhbar Siasah tidak lagi diterbitkan di bawah bumbung Harakah, beliau cepat belajar.

Dalam usia 40 tahun, ketika saya cadangkan dia dipindahkan ke Bilik Berita Harakah, mungkin ramai beranggapan ia sudah terlalu lewat untuk menjadi seorang pemberita. Beberapa pimpinan PAS yang mengenalinya agak terkejut apabila dia hadir di sidang-sidang akhbar sebagai wartawan.

"Bukankah dia yang buat lay-out Siasah dulu? Bolehkah jadi wartawan?" tanya seorang pemimpin kanan PAS. Mulanya memang agak "bertarabur", sukar mencari "intro", tetapi dia tidak segan bertanya, prasyarat awal untuk maju dalam penulisan.

Saya mengenalinya ketika sama-sama bertugas di Harakah pada awal 1990-an. Waktu itu dia di bahagian rekabentuk. Lama tidak mendengar khabar beritanya, walaupun sesekali bertembung ketika saya juga berada di luar Harakah, Shafri tetap mesra. Ternyata dia begitu menghormati ketua dan bekas bosnya.

Siasah yang saya pernah terajui menemukan kami kembali. Bila terserempak sewaktu minum di restoran, Shafri bercerita bagai seorang wartawan. Isu-isu sensitif dalam parti kerap disinggungnya secara terbuka. Apa pun saya yakin dia ikhlas, mahu melihat PAS tetap di hati rakyat dan menjadi sekutu penting dalam Pakatan Rakyat.

Sekurang-kurangnya saya pernah bersamanya di dua lokasi luar Kuala Lumpur, semasa pilihan raya kecil di Kerdau, Pahang dan membuat liputan fokus PRU13 Negeri Sembilan di Seremban. Turut sama, Wan Zahari dan wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob; mereka bertiga kelihatan akrab dan serasi.

(Shafri ketika mewawancara Presiden PAS)

Semasa wartawan Harakah dari seluruh negara berkampung di Sungai Tua, Ulu Yam, Sabtu dan Ahad lalu, sebagai persiapan terakhir menghadapi pilihan raya umum ke-13, saya terasa ketiadaannya.

Wan Zahari semasa sesi dialog, menarik perhatian rakan-rakan tentang keadaan Shafri yang ditempatkan di wad 26, Hospital Kuala Lumpur. Walaupun masih belum dipastikan jenis penyakitnya, ada kemungkinan dia ditimpa masalah berkaitan hati, lebih teruk lagi kanser. Wan Zahari menimbulkan isu kebajikan kakitangan Harakah, terutama berkaitan kemudahan mendapatkan rawatan perubatan terbaik.

Di akhir pertemuan, saya turut memberi reaksi, mengharapkan soal kesihatan diberi pertimbangan utama. Sambil menyedari Harakah cukup banyak memberikan bantuan dan sokongan kepada saya sepanjang menjalani rawatan di hospital awam dan juga swasta, saya amat mengharapkan kemudahan itu dapat dikongsi oleh semua kakitangan yang memerlukan.

Tengahari Isnin, 30 Januari, selepas mendapat rawatan rutin, saya cuba singgah di HKL, untuk menziarahi Shafri. Kawasan letak kereta hospital penuh sesak, tambahan pula tiada bayaran parkir dikenakan. Keuzuran anggota kiri saya tidak memungkinkan untuk menapak jauh.

Saya menelefon Khairul, minta turun ke bawah, membantu mencari parkir. Semasa berjalan ke lift hospital, Nazri Abdullah, Pengarang Berita Harakahdaily memaklumkan keadaan Shafri semakin kritikal. Kanser hati. Sukar sekali untuk dipulihkan. Jelas riak kerisauan di wajahnya.

Wad 26, tingkat 5 HKL memang sesak. Kawan-kawan sepejabat mengelilingi Shafri. Saya duduk di sebelahnya. Saya percaya dia menahan keperitan semasa bercerita keadaannya, tetapi masih ceria. Senyuman tetap menguntum. Tidak banyak derma kilat yang dapat kami hulurkan; Shafri keberatan menerima: "Susah-susah aja ...." (Gambar itu disiarkan di halaman F13).

Semasa melintas di depan isterinya, Sharifah Norhayati Syed Omar, saya sekadar mampu memohon diri lebih awal. Pastinya beliau dan keluarga sedang meniti detik-detik paling sukar. Saya terbayang wajah anak-anaknya. Sebak. Terharu.

Pagi Selasa, semasa sarapan, saya menerima SMS daripada wartawan Harakah, Nyza Ayob memaklumkan Safri koma dan nazak. "Masya Allah, cepatnya ...." saya berbisik sendiri. Sekali lagi keuzuran menghalang saya untuk berkejar ke HKL. Rakan-rakan sekerja sudah berkumpul di sana.

Semasa berbual dengan aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim yang berkunjung ke rumah saya, tengahari itu, fikiran saya agak gelisah mengenangkan SMS Nyza. Tidak lama selepas Adam pulang, Nyza menelefon: "Shafri dah tak ada ...." Nada suaranya sarat dengan kepiluan. "Inna lillahi wa ina ilahi rajiun," hanya itu yang mampu saya titipkan.

Sepatutnya tengahari itu, kami menziarahi anak-anak Shafri di Gombak. Isteri saya sudah siap masak nasi beriani ayam kuzi untuk dibawa bersama. Akhirnya, juadah itu saya kirimkan kepada rakan-rakan di Harakah.

Semoga Allah menerima  segala amal soleh dan mengampuni dosa-dosanya. Dan diberikan keteguhan hati buat Sharifah Norhayati dan anak-anaknya.

Teringat saya akan maksud Hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika retreat Harakah, sebagai azimat dan kata-kata perangsang buat kami. Maksudnya lebih kurang, sesiapa yang menunjuk jalan kepada kebaikan dan kebaikan itu diikuti atau diamalkan oleh orang lain, maka ia mendapat pahala sepertimana orang yang mengamalkannya.

Ustaz Abdul Hadi mengaitkan makna sabda Nabi itu dengan kerjaya seorang wartawan, yang menulis ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, mendorong perubahan. Semoga sahabat kami, Allahyarham Shafri dilimpahi pahala yang berterusan itu ... juga buat kita yang bakal menyusuli. Janji Allah pasti datang.

Penubuhan NGO sia-sia jika hanya keruhkan politik

Mohd Azmi Abdul Hamid, 02 Feb 2012
TERAS menyeru siapa sahaja dikalangan mereka yang tidak puas hati dengan masalah politik dalam parti dan menubuhkan NGO untuk memperjuangkan bangsa Melayu perlu memberi fokus lebih utama kepada masalah ketidakupayaan serta kelemahan penghayatan Islam dikalangan bangsa  Melayu , bukan mengujudkan perpecahan politik yang lebih parah.

Mengenengahkan persoalan permusuhan dan konflik dalam medan politik tidak akan menambah jernihkan keadaaan orang Melayu malah akan mengkusutkan lagi persoalan yang sudah sedia rumit.

TERAS berpendapat sejak 54 tahun Negara ini merdeka, kedudukkan sosio-ekonomi dan budaya orang Melayu berada pada tahap yang maseh jauh dari memuaskan malah dalam keadaan kini, suasana nampaknya lebih parah lagi akibat kecuaian dan salahgunakuasa sekian lama oleh pemimpin-pemimpin elit Melayu itu sendiri.

NGO Melayu harus jujur untuk bertanya selama ini siapa yang membunuh pelbagai hak orang Melayu  dan menjadikan sekularisme sebagai asas hidup bangsa , jika tidak pemimpin-pemimpin Melayu itu sendiri.

Peruntukan hak dan keistimewaan orang Melayu hanya menjadi pernyataan atas kertas dalam dokumen Perlembagaan Persekutuan tanpa banyak memberi makna dalam realiti sebenar kehidupan orang Melayu. Sebabnya ialah keghairahan pemimpin elit Melayu secara melampau untuk bertarung sesama sendiri.

Siapa yang telah melenyapkan tulisan jawi, memperkenalkan PPSMI yang menyebabkan terpinggirnya Bahasa Melayu, menghentikan bantuan per kapita SAR, menyalahgunakuasa dalam menganugerahkan projek kepada kroni, membudayakan rasuah dikalangan orang Melayu,   mengurangkan tanah milik Melayu, mengadai aset tanah orang Melayu, membiarkan kerosakan akhlak anak Melayu, menyekat perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar, terhakisnya pegangan aqidah Islam dikalangan orang Melayu, meluluskan lesen arak dan judi, memperkenalkan Budaya hidup Barat sekaligus  menghakiskan budaya Islam pada orang Melayu sendiri, membiarkan bangsa Melayu tidak menghormati pandangan ulama, mematikan rasa cinta kepada agama, membiarkan hiburan menjadi kegilaan bangsa Melayu, menyekat undang-undang Islam dilaksanakan untuk orang Melayu, menghakis aset korporat orang Melayu ……?

Siapakah mereka yang cuai dan mengkhianatI amanah bangsa Melayu selama ini seperti yang disenaraikan semua diatas jika tidak pemimpin elit orang Melayu itu sendiri ?

Semua pihak orang Melayu yang selama ini telah dimandatkan untuk memegang jawatan dan kedudukan kekuasaan, tidak kira dalam jawatan pentadbiran agensi-agensi yang berkait langsung dengan bangsa Melayu, atau dalam  pengurusan ekonomi atau kedudukan politik turut bertanggungjawab kepada krisis dan kelemahan bangsa Melayu  yang sedang dialami.

Tidak ada pemimpin Melayu dalam bidang apapun yang boleh mendakwa diri bersih dari kesalahan akibat cuai ketika berada dikerusi kekuasaan.

Menimbulkan isu kepincangan sesudah tidak lagi memegang jawatan dengan menyerang dan menuding pihak lawan semata-mata, tanpa fakta yang dapat dipertahankan serta menjawab apa yang dilakukan selama berada di kerusi kekuasaan, bukan menunjukkan kematangan.

Ketika memegang jawatan semada dalam kerajaan atau diluar kerajaan, semua pemimpin Melayu tidak boleh hanya menyalahkan pihak lain bila melancarkan perang politik. Kelantangan menyerang  bila tidak lagi berada di tampuk kuasa pasti dinilai rakyat. Harus ada kejujuran politik untuk mengaku kesilapan dan menampilkan penyelesaian konkrit demi masa depan Negara.

Berhujah dengan matang serta mengenengahkan model pratikal dan matang adalah jauh lebih diperlukan daripada bertarung untuk menjatuhkan lawan politik dengan fitnah kotor dan menanam rasa benci dan dendam kesumat terhadap seseorang seteru politik.

Berbeda dengan kebanyakan NGO bukan Melayu. Mereka cukup mampu menggerakkan komuniti mereka jauh lebih komited untuk membangun hidup berdikari dan berdaya memastikan tahap dan kualiti hidup kaum mereka lebih baik. Tumpuan mereka ialah pastikan komuniti mereka kukuh dalam aspek sosio-ekonomi, pendidikan dan budaya berorgansiasi, sementara menyuara  tuntutan politik. Ini harus juga menjadikan NGO orang Melayu kritikal dan celik terhadap sifat bergantung dan sindrom selesa yang selama ini dipupuk oleh pemimpin-pemimpin bangsa Melayu sendiri demi mengekalkan kuasa.

TERAS sedar bahwa sememangnya cabaran dari pihak luar yang dihadapkan kepada bangsa Melayu perlu diwaspadai. Orang Melayu yang umumnya beragama Islam akan sentiasa berhadapan dengan cabaran dinafikan hak untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Namun jika NGO Melayu juga terbelenggu dengan agenda politik merebut kuasa semata-mata dan berencana untuk menampilkan calon bebas untuk mengimbangan persaingan dalam pilihanraya, maka beban masalah yang selama ini dipikul ke atas bangsa Melayu akan terus menjadi semakin parah kerana tidak ada lagi ruang kerja, hatta dalam medan NGO, untuk membina bangsa selain dari hanya berpolitik semata-mata.

TERAS berharap semua NGO Melayu sedar bahawa sudah cukup malah sudah terlalu berlebihan orang Melayu disogokkan dengan politik persaingan yang berpanjangan. Untuk berpolitik dengan menawarkan calon bebas dalam pilihanraya atas nama NGO akan hanya menghilangkan kredibiliti NGO itu sendiri. Walhasil kekeruhan politik di kalangan orang Melayu akan lebih parah.

Cukuplah parti politik bersaing dalam gelanggang politik pilihanraya. Janganlah NGO pula terheret dalam agenda yang sama sehingga hilang fokus kepada kerja membebaskan orang Melayu dari masalah yang lebih asas iaitu terhakisnya orang Melayu dari penghayatan Islam akibat sekularisasi dan terbelenggu dalam budaya feudal yang berpanjangan.

Sedangkan satu-satunya jalan keluar orang Melayu dari krisis yang ada ialah kembali kepada Islam sepenuhnya dan menolakkan budaya hidup sekular Barat. Inilah medan kerja NGO Melayu yang jauh lebih utama.

TERAS mendapati dengan keghairahan untuk saling menyerang dan menimbulkan satu lagi arus politik baru yang disebut sebagai arus ketiga dalam keadaan dan realiti politik Malaysia, akan menegangkan lagi keadaan yang sedia tegang.

Fokus harus ditumpu oleh NGO kepada mengangkat isu-isu asas dalam gerakerja membela nasib bangsa khususnya dan sesiapa sahaja rakyat yang tertindas umumnya .

Isu menuntut agar golongan terpinggir dibela, sekularisasi dibentaras, dasar yang sesuai dengan Islam dilaksanakan, budaya feudal dihapuskan, polisi negara mengenai model pembangunan disemak semula, pengurusan perbendaharaan negara dibersihkan dari penyelewengan, pengagihan kekayaan Negara diperbetulkan, kesenjangan jurang antara golongan kaya dan miskin diatasi, pembaziran dan salah perbelanjaan negara dibasmi.

Disamping itu NGO Melayu yang berasaskan Islam harus bermula dengan membina kekupayaan memprogramkan pembangunan anggotanya serta komunitinya dengan sahsiyah dan amal Islami serta membina momentum  iaitu membebaskan orang Melayu dari budaya feudal dan segala natijah yang berurutan dengan budaya tersebut serta  mengembalikan bangsa sepenuhnya kepada Islam seperti yang dituntut oleh Al Quran dan pedoman As Sunnah.

Kariah dakwa ada penyelewengan di Masjid Ar-Rahman

Aziz Muda , 02 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Kariah Masjid Ar-Rahman (gambar) hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa penyelewengan dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pihak pentadbiran baru masjid itu sejak tahun lalu.

Aduan setebal 46 muka surat itu diserahkan oleh bekas AJK masjid itu bagi sesi 2009-2011 lalu, Hashim Selim bersama Yahaya Salleh dengan ditemani Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Lembah Pantai yang juga Penasihat Undang-Undang PAS Kawasan Lembah Pantai, Mohd Hafiz Habil.

Dalam laporan aduan yang disediakan oleh Hashim dan Yahaya itu dijelaskan bahawa Masjid Ar-Rahman yang terletak di Jalan Pantai Bahru, Kuala Lumpur dan bersebelahan dengan Universiti Malaya (UM) itu kini dipengerusikan oleh Datuk Ibrahim Thamby Chik.

Status pengerusi dan jawatankuasa kariah masjid itu kini masih lagi sementara memandangkan semua AJK termasuk pengerusinya masih belum menerima watikah perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agung.

Sebelum ini, masjid tersebut dipengerusikan oleh Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, manakala pengerusi baru itu pula dilantik oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 11 Ogos tahun lalu.

Menurut Hashim, di bawah pentadbiran pengerusi baru itu beberapa isu telah timbul di masjid itu yang melibatkan integriti, ketelusan dan amanah.

"Oleh yang demikian, di dalam aduan ini pihak kami mengemukakan beberapa isu yang kami percaya bahawa penyelewengan dan salahguna kuasa yang serius telah berlaku.

"Maka siasatan dan campurtangan daripada SPRM adalah sangat perlu bagi memastikan perjalanan pentadbiran Masjid adalah telus, beramanah dan bebas daripada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Penyelewengan kewangan


Menjadi amalan AJK Masjid Ar-Rahman, menurutnya, segala penerimaan dan kutipan Masjid akan dikelaskan kepada empat bahagian iaitu kutipan tabung Jumaat, kutipan uncang (dikutip semasa solat Jumaat), tabung kuliah dan bayaran tapak perniagaan atau tabung gerai.
(Ini buktinya...pengadu menunjukkan bukti kepada SPRM dan media)

Namun pada bulan November dan Disember tahun lalu, jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun adalah tidak sama dengan jumlah keseluruhan kutipan.

"Pada bulan November 2011, jumlah kutipan adalah sebanyak RM12,864.00 walhal jumlah yang dimasukkan ke dalam akuan bank adalah sebanyak RM9,031.57. Jumlah wang yang tidak dimasukkan ke dalam akuan masjid sebanyak RM3,832.43.

"Manakala bagi bulan Disember 2011, jumlah kutipan sebanyak RM16,660.00 walhal jumlah yang dimasukkan ke dalam akuan bank sebanyak RM9,706.47. Jumlah yang tidak dimasukkan ke dalam akuan Masjid sebanyak RM6,953.53.

"Di samping itu, bermula November 2011, kaedah penggunaan baucer bagi setiap pengeluaran wang yang telah menjadi amalan pentadbiran Masjid sejak sekian lama telah dihentikan tanpa sebarang alasan yang munasabah," jelasnya.

Kos pembangunan meragukan

Beliau menjelaskan, pada 29 September 2011, pihak Jawi telah memberikan kontrak bagi kerja-kerja membina kolah untuk keperluan berwuduk di masjid itu kepada sebuah syarikat, Pembinaan Maidah yang beralamat di Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Nilai kontrak bagi kerja-kerja tersebut sebanyak RM19,986.85, katanya, manakala surat bagi penyerahan borang pesanan itu dikeluarkan oleh Musa Ranli di Bahagian Pembangunan bagi pihak Pengarah Jawi.

"Apabila dilihat hasil kerja yang dilakukan serta mendapat pandangan beberapa kontraktor bertauliah, didapati nilai kontrak yang diserahkan sebanyak RM19,986.85 adalah melampau, terlalu tinggi dan tidak munasabah.

"Pada hal, setelah taksiran dibuat, nilai kontrak kerja-kerja tersebut adalah sekitar RM5,000.00 sehingga RM8,000.00 sahaja," jelasnya.

Perlantikan Pengerusi dan AJK menyalahi kaedah


Beliau menjelaskan, merujuk perkara 7, Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah Wilayah Persekutuan 1987, seseorang yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana politik tidak layak menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kariah.

Namun dalam hal ini, Pengerusi Masjid Ar-Rahman, Datuk Ibrahim Thamby Chik adalah pemegang jawatan dalam politik iaitu Setiausaha Umno Bahagian Lembah Pantai merangkap Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Lembah Pantai.

Di samping itu, daripada senarai AJK terbaru, hanya seorang sahaja AJK, Lokman Hakim Madtasi anak kariah. Ini menyalahi perkara 3 dan 4 Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah Wilayah Persekutuan yang memperuntukan tiga AJK hendaklah dipilih oleh anak kariah.

Seorang AJK baru itu pula, Ismail Masri, katanya, telah disaman dan disabitkan dengan tuntutan svil di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai 2011.

"Dalam hal ini, Majlis hendaklah menggunakan bidang kuasa untuk memecat beliau berdasarkan kepada perkara 9(4)," tegas beliau.

Pembinaan gerai


Dalam aduan tersebut, beliau turut membangkitkan tentang sebuah gerai yang didirikan di dalam kawasan masjid itu yang dimiliki Kamaruzzaman Yatiman.

"Tender bagi gerai itu telah ditamatkan pada Disember tahun lalu. Walau bagaimanapun, pemilik gerai itu telah enggan keluar daripada gerai miliknya.

"Akibat keengganan pemilik gerai itu melepaskan gerainya, pemegang tender terpaksa membina sebuah lagi gerai di bahagian belakang Masjid," ujarnya.

Apa yang meragukan, tambah beliau lagi, berhubung dengan bekalan elektrik, apabila pemilik gerai tersebut telah mendapatkan bekalan elektrik (akuan individu) daripada TNB.

"Bagaimana TNB boleh meluluskan permohonan pemilik gerai tersebut tanpa mendapat kebenaran daripada pihak Masjid dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, sedangkan gerai itu didirikan dalam kawasan Masjid?" tegas beliau penuh tanda tanya.

Menerusi aduan itu, mereka turut melampirkan dokumen-dokumen sah mengenai setiap perkara yang dibangkit untuk diteliti dan tindakan pihak SPRM.

Sebelum membuat aduan kepada SPRM, mereka bersama-sama dengan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail telah mengadakan sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja laut, di sini.
DAP persoal ‘keimanan’ Hasan
Wartawan Sinar Harian
2 Februari 2012
Dr Tan Seng Giaw
SHAH ALAM – Seorang pemimpin kanan DAP mempersoalkan ‘keimanan’ bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kerana tindakannya melempar tuduhan yang dianggap melulu terhadap Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, jika Hasan seorang yang baik dan beriman, beliau tidak menuduh PR bercita-cita, mahu menjadikan Malaysia negara republik, sekali gus menggugurkan Perkara 153 Perlembagaan Negara yang menjamin hak dan keistimewaan orang Melayu.

“Tuduh itu tidak logik, jauh panggang dari api. Dia hanya mahu mengapi-apikan sentimen rakyat supaya membenci PR,” tegasnya.

“Sekarang dia cakap ikut sedap mulut saja, tipu orang sana sini, seolah-olah dia tahu semua perkara. Orang macam ini tak boleh pakai sebab suka menipu,” katanya Ahli Parlimen Kepong itu.

Menurutnya, jika Hasan seorang yang beriman, beliau tidak akan melemparkan tuduhan melulu serta tidak berasas terhadap orang lain.

“Saya mewakili DAP menafikan tuduhan beliau. Kita semua tahu kenapa dia dipecat.

“Kalau Pas sendiri pecat Hasan, kita pun tahu Hasan jenis orang macam mana dan sekarang siapa dia untuk bercakap tentang Pas? Beliau tidak ada jawatan lagi dalam Pas dan kenyataannya tidak menggambarkan kenyataan parti itu,” tegasnya.

Seng Giaw berkata, bukan sahaja Pas, malah DAP dan PKR juga berjuang pertahankan Perlembagaan Negara.

“Hasan hendak cari populariti sebab itulah tuduh kami macam-macam. Sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, keutamaan kami adalah mempertahankan kedaulatan undang-undang, bukan meminda.” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, Hasan tidak layak bercakap mengenai hal itu kerana beliau anggota Pas.

“Saya tidak mahu ulas lagi mengenai dakwaan, kononnya PR berhasrat menggugurkan Perkara 153 dan menubuhkan negara republik.

“Kalau hendak tahu lagi mengenai perkara ini, tanya Hasan sahaja. Saya tidak mahu cakap,” katanya.

Menurutnya, sebagai bekas ahli Pas, kenyataan Hasan tidak patut diulas oleh pemimpin parti itu.

Tiada ulasan: