Ibrahim Ali: Anwar sudah tidak relevan
29 Januari 2012
Ibrahim mendakwa rakyat negara ini juga sudah letih dengan segala permainan politik Anwar dan yang terbaru mengenai komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika ditemuramah oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
"Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya lupakan Anwar, sudah sampai masanya untuk kita lupakan Anwar dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan demi masa depan kita. Golongan media juga tak payahlah nak excited dengan dia ni.
"Saya sebagai kawan Anwar sudah menganggap yang 'politically' Anwar sudah mati, Anwar sudah tidak relevan kerana banyak sebab," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.
Ibrahim berkata, kenyataan Anwar mengenai Israel itu jelas menunjukkan bahawa pendirian Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah sama dengan dasar Amerika Syarikat.
"Kita terperanjatlah (dengan kenyataan Anwar itu), walaupun dia buat penjelasan tapi kenyataan dia samalah dengan dasar Amerika Syarikat iaitu mereka mahukan sebuah negara Palestin, pada masa yang sama mereka mahu melindungi keselamatan Israel," katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata tuduhan sesetengah pihak bahawa Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang rasis telah terbukti tidak benar dengan kehadiran ratusan warga Tionghoa dari sekitar Kuala Lumpur pada majlis itu.
"Ini adalah kali pertama Perkasa menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina sejak ditubuhkan tiga tahun lepas khusus untuk meraikan warga emas, wartawan dan jemputan kaum Tionghoa.
"Saya amat terperanjat dengan kehadiran yang di luar dugaan sama sekali, kita tak menjangka seramai ini yang hadir sehingga makanan pun tidak mencukupi dan terpaksa kita tambah, ang pau pun masih ada yang belum dapat dan ini satu sambutan yang cukup luar biasa," katanya. - Bernama
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
JATI SANGGUP MENEBAS KEMUNGKARAN UMNO?
08 Rabi'u al-Awwal 1433 bersamaan 01 Februari 2012
Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Dr Hassan Ali benar-benar
berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dengan memperjuangkan Islam, Melayu
dan Raja-Raja dengan menubuhkan sebuah NGO –JATI dan tidak mewakili
sentimen mana-mana pihak yang berkepentingan.
DPPM mengalu-alukan sekiranya Dr Hassan benar-benar mahu menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’
tanpa mengira latar belakang sasarannya. Dalam hal ini, DPPM
berpendapat JATI harus berdiri tegak atas platform nya sendiri dengan
menjadi sebuah NGO yang bebas dari kongkongan mana-mana parti politik
tertentu. Dr Hassan Ali sebagai pengemudinya harus bertindak rasional
dalam memperjuangkan Islam di negara ini. Beliau tidak boleh
memperpanjang sentimen isu pemecatannya kerana ia boleh dilihat sebagai
agenda peribadi, bukan agenda umat Islam di negara ini. Beliau juga
tidak boleh cenderung atau ‘bias’ kepada mana-mana pihak supaya dilihat
benar-benar ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam dan bangsa
Melayu. Jika tidak beliau hanya dilihat sebagai ‘budak suruhan’ kepada
pihak tertentu terutama kepada parti pemerintah jika beliau hanya
menjadikan Pakatan Rakyat dan pemimpinnya sebagai sasaran kecaman
beliau.
Apa yang menghairankan, beliau hanya
menyerang pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, sedangkan kemungkaran lebih
besar ada pada kuasa pemimpin utama di negara ini. DPPM kecewa kerana Dr
Hassan Ali hanya melihat kesalahan yang ada dalam PAS dan menuduh
segelintir pemimpin PAS sebagai ‘parasit’. Beliau juga agresif dalam
menyerang PKR dan DAP. Namun kemungkaran besar dan ‘bapa parasit’ yang
dilakukan oleh pemimpin UMNO-BN sedikitpun beliau tidak kisah.
Jika betul beliau mahu memperjuangkan
aqidah umat Islam, seharusnya UMNO terlebih dahulu dan patut diserang
kerana ditangan pemimpin merekalah aqidah umat tergoncang. UMNO pemilik
kuasa di negara ini telah memerintah berpuluh tahun dan mereka mempunyai
kuasa dalam meluluskan Akta, Undang-Undang, dan penguatkuasaan di
negara ini. Dr Hassan Ali elok bertanya kepada pemimpin UMNO apakah yang
telah diperbuat setelah negara merdeka sekian lama, masalah aqidah umat
Islam masih merupakan masalah utama kepada umat Islam. Cuba tanya
pemimpin UMNO, mahukah mereka melaksanakan Hukum Islam secara menyeluruh
dan bila lagi ianya hendak dilaksanakan?
Jika pemimpin Pakatan Rakyat dituduh
sebagai ejen Israel, Dr Hassan juga perlu menyemak latar belakang UMNO
dan pemimpinnya. Mungkin JATI boleh menyemak penglibatan APCO di negara
ini dan kaitannya dengan Israel serta syarikat AsiaSoft sebagai mengawal
sistem komunikasi PDRM. Cuba semak siapa dibelakang syarikat ini dan
kaitannya dengan Israel.
Selain itu, isu penyelewengan wang zakat
oleh pemimpin umat Islam wajar diberikan perhatian dan mesti dijadikan
agenda bertindak oleh JATI. Wang zakat adalah milik asnaf umat Islam dan
tidak wajar pemimpin umat Islam menyalahgunakan wang tersebut. DPPM
mengajak JATI untuk turut lantang membantah isu-isu rasuah dan
penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah kerana ia juga adalah suatu ‘amar
ma’aruf nahi mungkar’ yang perlu ditegakkan di negara ini.
DPPM menasihatkan JATI dan Dr Hassan Ali
supaya jangan mengambil sikap ‘semut seberang lautan nampak, tetapi
gajah didepan mata tidak kelihatan’. Jika tidak, gelagat beliau dalam
perjuangan JATI hanya menjadi bahan gelak ketawa rakyat sahaja.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan