Jumaat, 3 Februari 2012

BUKAN SENANG MENYAMBUNG KERJA KERAJAAN LAMA..KADANG2 KITA CUAI..KADANG YANG DULU CUAI...KADANG PERBUATAN SABOTAJ...NI ALLAH SAJA YANG TAHU..MANA KERAJAAN YANG LEBIH BAIK..YANG ELOK@BAIKNYA PEMIMPIN ISLAM TAQWA...NON MUSLIM BAIK AKHLAKNYA....

BMW, rumah TPJ Johor terbakar, dipercayai khianat

Harakahdaily,03 Feb 2012
JOHOR BAHRU, 3 Feb:Sebuah kereta BMW milik Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad serta tingkat bawah rumahnya di Taman Universiti, di sini hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat, awal pagi ini.

Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi sewaktu beliau dengan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas.
"Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.
"Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba," katanya.
Menurutnya, pihak bomba yang tiba kira-kira beberapa minit kemudian berjaya memadamkan api daripada terus marak.
Ekoran kebakaran itu kereta BMW miliknya itu keseluruhannya hangus manakala bahagian ruang tamu tingkat bawah juga turut terbakar.
"BMW keseluruhannya hangus, sebuah lagi kereta Camry yang diletak di sebelahnya, separuh terbakar tapi saya rasa masih boleh dibaiki.
"Bagaimanapun saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya sambil memaklumkan telah membuat laporan polis.

Polis dan unit forensik dari Balai Polis Impian Mas yang datang sejurus kemudian telah menemui satu tong di hadapan rumah mangsa yang dipercayai digunakan untuk mengisi minyak petrol.

Sementara itu, Mazlan Aliman dalam respons segeranya memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah cubaan membunuh.
"Badan Perhubungan PAS Johor dukacita dengan insiden ini.
"Saya mengesyaki ini cubaan membunuh, bukan perbuatan khianat biasa lagi ni. Nasib baik Haji Dzul dan keluarga sempat melarikan diri," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu.
Dzulkefly sebelum ini menurut Mazlan, banyak mendedahkan isu-isu panas di negeri Johor dan dikhuatiri ada pihak yang tidak senang dengan tindakan beliau.
Sehubungan itu, beliau yang turut bergegas ke tempat kejadian awal pagi tadi mendesak pihak polis menjalankan siasatan terperinci agar pihak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.
"Kita yakin dengan kepakaran pihak polis, dan kita harap polis menjalankan siasatan terperinci," katanya.

NFC: SPRM perlu bertindak terhadap bukti SMS

Muhammad Faizal,03 Feb 2012

PUTRAJAYA, 3 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan rasa kecewa kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap Pengerusi NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, biarpun terdapat bukti kiriman pesanan ringkas (SMS) menunjukkan Salleh mengarahkan ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail merasuah anggota polis yang menyiasat skandal berkenaan, namun belum ada sebarang tindakan diambil SPRM.

Sebaliknya, kata Sivarasa, pihak berkuasa pula menahan Shamsuhbahrin selepas beliau membuat laporan polis.

"Apa yang dilakukan oleh Dr Mohamad Salleh itu amat serius yang mana melalui laporan polis oleh Samsulbahrin wujud satu arahan agar beliau (Shamsubahrin) merasuahkan pihak polis bagi menutup siasatan kes NFC.

"SPRM perlu bertindak segera apatah lagi arahan itu dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan telefon yang mempunyai SMS tersebut juga berada di dalam simpanan SPRM Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan berhubung kes itu ke SPRM di Putrajaya semalam.

Pada 31 Januari lalu, laporan serupa telah dibuat di SPRM Kuala Lumpur namun pihak mereka mengatakan kes NFC ini dibawah siasatan SPRM Putrajaya dan perlu dirujuk kepada mereka.

“Dia bukan saja sebut malah tambah bukti di dalam bukti berbentuk SMS yang dia terima dari Datuk Salleh dan kita difahamkan oleh Samsubahrin bahawa ia sudah ada dalam tangan SPRM selepas tangkapan beliau pada 22hb Disember .

“Kenapa sudah sebulan lebih tidak ada apa-apa tindakan,” kata Sivarasa lagi sambil mendesak SPRM mempercepatkan siasatan.

Sehubungan itubeliau memberi tempoh dua minggu kepada SPRM untuk bertindak termasuk membuat pendakwaan.

"Tempoh dua minggu ini sudah cukup untuk SPRM bertindak dan kita lihat bagaimana cekapnya mereka bertindak ke atas Samsulbahrin sepatutnya begitulah mereka perlu bertindak ke atas Dr Mohamad Salleh.

"Kita mahukan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja diwujudkan bagi mengambil alih semua siasatan yang gagal dilakukan oleh Pihak Polis dan juga SPRM," kata Sivarasa.

Turut serta membuat laporan itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida pada sidang media sama turut meluahkan kekecewaannya kerana tidak dapat berjumpa dengan Pegawai yang terlibat untuk menguruskan kes tersebut.

“Kita nak berjumpa dengan IO (Pegawai penyiasat) tapi dia tiada. Dan terus dibawa kepada Tuan Rahman Bachok, Ketua IO.

“Pegawai tidak mahu berikan maklumat dan kita minta dengan laporan untuk bertindak secepat mungkin,” tegas beliau.

PAS kutuk bakar rumah, kereta TPJ Johor

Harakahdaily,03 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 3 Feb: PAS mengutuk tindakan yang disyaki sabotaj berhubung kebakaran yang berlaku ke atas rumah dan kereta Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkifli Ahmad di Taman Universiti, Johor Bahru awal pagi ini.

“PAS menggesa pihak polis melakukan siasatan dan tindakan segera,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menggesa ahli-ahli supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pasukan keselamatan.

DAP Perak turut mengutuk keras perbuatan jijik membakar rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor itu.

“Polis tolong bertindak segera!” tulis setiausahanya, Nga Kor Ming melalui twitter.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi tadi, sebuah kereta BMW milik Dzulkifli serta tingkat bawah rumahnya hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat.

"Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.

"Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba," katanya kepada Harakahdaily.


Baucer buku 1Malaysia tidak berkesan

Harakahdaily,03 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyifatkan baucer buku 1Malaysia tidak berkesan melainkan ianya dipanjangkan tempoh sehingga ke satu tarikh yang munasabah.

Ini, katanya kerana baucer buku dikeluarkan saat para pelajar menghadapi pepepriksaan akhir dan selepas peperiksaan mereka akan bercuti panjang sedangkan tempoh sah baucer pula akan tamat pada 31 Mac depan.

Baucer itu juga, katanya tidak boleh dijual beli dan hanya dibenar untuk menukarnya dengan buku pada nilai RM200 sahaja.

Justeru, ujarnya baucer itu seeloknya diberikan di awal pembukaan semester untuk sesi baru pengajian kerana waktu itulah mereka memerlukan buku.

Tambahnya, begitu juga jika diberikan pada permulaan pengajian matrikulasi atau sewaktu Pesta Buku Antarabangsa pada bulan April.

“Baucer tidak menepati masa yang sesuai dan inilah menyebabkan sebahagian pihak menjual baucer tersebut untuk mendapatkan wang tunai,” katanya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana keperluan mereka buat masa ini bukan buku disebabkan peperiksaan akhir telah berlangsung dan mereka akan bercuti.

Justeru itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan agar kerajaan mengkaji juga bebanan lain yang dihadapi oleh mahasiswa seperti kos yuran, sewa rumah yang tinggi, kos hidup, PTPTN dan lain-lain.

“Sedang Islam meletakkan bahawa kerajaan wajib memberi pendidikan percuma pada rakyat bukan sekadar anugerah wang one off seperti baucer buku tersebut,” katanya.

Pembeli rumah kos rendah kena 'top-up' tidak benar

Harakahdaily,03 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 3 Feb: Dakwaan bahawa pembeli projek perumahan kos rendah di Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam perlu menambah pembayaran atau top-up sehingga RM30,000 jika mahu rumah mereka disiapkan adalah tidak benar.

Demikian penegasan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar A. Samad.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang-wenangnya walaupun ia melibatkan projek terbengkalai.

Jelasnya, harga rumah kos rendah dikawal oleh kerajaan negeri iaitu RM42,000 sebuah tetapi RM35,000 pula untuk peneroka bandar (setinggan) di mana subsidi RM7,000 dibayar oleh pemilik tanah tapak rumah peneroka bandar tersebut.


Katanya, pembeli-pembeli projek perumahan itu telah dijanjikan rumah sejak 1993 di zaman Barisan Nasional mentadbir Selangor.

Walau bagaimanapun, jelasnya lagi projek tersebut telah terbengkalai dan hanya dalam tahun 2010 ketika pentadbiran Pakatan Rakyat pemaju baru telah dengan secara rasmi mengambil alih.

“Pengambil alihan projek ini oleh pemaju baru dari pemaju lama adalah hasil rundingan di antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana pemaju projek terbengkalai menerima pemaju baru,” ujarnya yang juga Adun Cempaka kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, di dalam pembentangan kepada Menteri Besar pada bulan Disember 2010, pemaju baru projek itu telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan sama sekali menaikkan harga rumah kos rendah.

Malah, katanya mereka telah diarah untuk menanggung subsidi RM7,000 bagi setiap peneroka bandar.

“Tetapi pemaju dibenarkan menukar 2 dari 6 blok rumah kos rendah yang belum dijual kepada rumah mampu milik supaya mereka dapat membiayai kos membaikpulih dan kos subsidi RM7,000 itu,” katanya.

Sejak itu, ujarnya kerajaan negeri telah memantau kemajuan projek itu dari masa ke semasa.


“Adalah diharapkan mereka yang mempolitikkan pelaksanaan projek ini agar berhenti dari melakukannya.

“Projek ini telah bertahun-tahun terbengkalai di bawah Barisan Nasional,” katanya.

Menurutnya, mereka telah gagal menyelesaikan masalah itu ketika Selangor di bawah pentadbiran mereka tetapi sekarang cuba berlagak seperti wira yang akan membantu rakyat.

Penggunaan nama SMM sekarang sudah dikhianati

Mohd Yusof Hadhari Saidon,03 Feb 2012
Kebelakangan ini, setelah berlalu beberapa demonstrasi, dan cara pergerakan mahasiswa, ramai pihak mula menganalisis berkenaan corak pergerakan mahasiswa ini. Sehingga ramai pihak, rakyat mahupun mahasiswa sendiri menjadi muak dan memandang buruk serta sebahagian yang lain menanti-nanti bagaimana corak dan perjuangan mahasiswa seterusnya.


Kita imbas kembali sejarah penubuhan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang kini dianggap gerakan yang mula mendapat kritikan langsung dari rakyat dan aktivis mahasiswa sendiri. Pada hujung era 90-an, Gamis melihat bahawasanya perlu kepada mahasiswa ini bergerak untuk memastikan bukan hanya isu-isu Islam tetapi bergerak juga dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan hak asasi secara universal.

Pada tahun 2001 dengan isu ISA, Gamis bergabung menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) kemudian pada tahun 2002 apabila Amerika menyerang Afghanistan, Gamis sekali lagi bergabung menubuhkan Gerakan Mahasiswa Anti Perang (Gempar). Tetapi gerakan-gerakan ini ianya hanya bersifat isu dan hanya sementara ataupun bergabung atas sebab isu-isu tertentu sahaja.

Pada akhir tahun 2002, Gamis mencari kesimpulan yang lebih baik, bagaimana hendak memastikan gerakan bukan hanya terhenti dengan isu tetapi pergi kepada suatu benda yang lebih besar iaitu satu solidariti di antara gerakan-gerakan mahasiswa ini baik mahasiswa Islam mahupun bukan Islam.

Pimpinan Gamis berbincang untuk mewujudkan satu pakatan dan Gamis bersama dengan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Persatuan untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Mahasiswi (JKMI), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP) dan banyak lagi. Bahkan pada waktu itu ada 14 front mahasiswa dan anak muda termasuk Food Not Bomb (FNB), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan lainya. Hasil daripada perhimpunan gerakan-gerakan mahasiswa ini, diakhiri dengan satu kesimpulan untuk tubuhkan satu solidariti yang namanya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Itu secara ringkas sejarahnya.

SMM ditubuhkan pada tahun 2002 dan pengerusi pertamanya ialah Mohd Khairol Anwar Mat Zuki juga merupakan Presiden Gamis pada masa itu. SMM hanya bergerak atas muafakat bersama, bukan bergerak atas identiti sendiri dan bagi saya sepatutnya presiden Gamis merupakan pengerusi SMM ataupun bersepakat antara front-front ini bagi memutuskan mana-mana presiden lain sama ada presiden Dema, presiden Kami atau presiden PKPIM. Bagi memastikan SMM ini bergerak atas permuafakatan bersama bukannya satu identiti yang lain atau pertubuhan yang berbeza seperti mana yang terjadi pada ketika ini.

Saya melihat penggunaan nama SMM sekarang ini sudah dikhianati oleh individu dan kumpulan tertentu. Sepatutnya tidak boleh menggunakan nama SMM jika salah satu front gabungan tidak setuju. Sebagai contoh, jika Dema setuju dengan hak kebebasan beragama tetapi front gabungan lainnya tidak bersetuju lalu itu atas nama Dema sahaja. SMM ianya tidak mengikat. Saya bagi contoh, Pakatan Rakyat (PR) yang mempunyai tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Walaupun ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak terikat dengan sebarang keputusan Anwar Ibrahim kecuali permuafakatan bersama dan keterikatan itu bukan bersifat mutlak. PR berjanji ingin mansuhkan Auku jika berjaya memerintah Malaysia pada masa akan datang, atas permuafakatan bersama PAS, PR dan DAP mesti melaksanakannya.

SMM dalam satu-satu keputusan dan gerakan yang ingin dibuat, mesti disepakati oleh semua front gabungan. Jika satu sahaja front tidak bersetuju, kita tidak boleh namakan statement kita, gerakan kita atas nama SMM, tetapi hanya nama individu. Saya berpandangan, keadaan ini perlu dipandang serius oleh semua aktivis dan gerakan mahasiswa. Saya cadangkan setiap kenyataan media yang dibuat SMM, memorandum dan sebagainya, mesti lampirkan persetujuan bersama Gamis, Karisma, Dema dan PKPIM. Jika tidak dilampirkan atau salah satu nama front tidak ada, jangan sesuka hati menggunakan nama SMM. Bagi saya, Gamis, Karisma, Dema dan PKPIM perlu bertegas soal ini, kerana mahasiswa dan rakyat melihat setiap tindakan SMM atas kebersamaan front-front yang ada dalam gabungannya.

Saya berharap, Gamis, Karisma, Dema dan PKPIM perlu nyatakan pendirian tegas, supaya gerakan yang dibuat tidak disalah tafsir oleh rakyat mahupun mahasiswa. Akhirnya, semoga gerakan mahasiswa dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap gerakan mahasiswa dan terus menjadi ikon masyarakat dan pandangan mahasiswa terus dihormati.

Penulis adalah aktivis mahasiswa dan mantan Ketua Penerangan Gamis 2010/2011

Tiada ulasan: