Khamis, 2 Februari 2012

BUBAR SEMUA PARTI DAN NGO YANG KONON MEMPERJUANGKAN ISLAM...MASUK SATU PARTI YANG BENAR2 IKUT QURAN DAN HADIS..HABIS CERITA...ISLAM JADI KUAT..ORANG NON MUSLIM DILINDUNGI...AMAN DAN SEJAHTERA...ITU JANJI ALLAH...TAK KAN TAK PERCAYA JANJI ALLAH...

Kepala babi: Selangor prihatin tawar RM10,000

Harakahdaily, 02 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan tahniah di atas keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menyumbang sebanyak RM10,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya menjejaki dalang kepada insiden meletakkan kepala babi di hadapan pintu utama Masjid Nurul Iman di Rawang.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan mengharapkan semoga dengan sumbangan berbentuk wang tunai itu akan dapat menyelesaikan isu terbabit dengan kadar segera dan seterusnya akan mententeramkan kembali perasaan masyarakat setempat.

“Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam insiden tersebut dan menyifatkan tindakan ini adalah tindakan orang yang ‘singkat akal’ dan tidak bertamadun,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tawaran Kerajaan Selangor mengenai ganjaran wang tunai RM10,000 kepada individu yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkapnya pihak yang melakukan tindakan keji itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail ketika memberitahu media selepas mesyuarat mingguan Exco semalam berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi menerusi pusat khidmat pelanggan di talian 1800-888-2824 bagi menyalurkan maklumat.

Hasbullah berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengharapkan semoga seluruh rakyat bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokasi itu.

Justeru, beliau meminta rakyat untuk terus bermunajat dan berdoa semoga tindakan provokasi itu akan dapat dihentikan dan pesalah-pesalah tersebut akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Suruhanjaya selamatkan warisan Melayu P Pinang

Dr. A Murad Merican, 02 Feb 2012
Kesedaran dan tindakan menyelamat Batu Uban bukan hanya bertumpu kepada isu penjualan tanah bertujuan merobah landskap setempat. Ia bukan hanya isu menghapuskan ‘kecacatan’ ruang ‘kekampungan’ demi membina bangunan-bangunan konkrit moden bagi menampung jumlah penduduk dan objektif-objektif komersial yang lain.

Isunya bukan hanya ke atas kawasan yang dikenalpasti sebagai Kampung Batu Uban sahaja. Malah, Batu Uban adalah simbol kepada sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang/Kedah.

Ia bukan sekadar Batu Uban, tetapi kepada semua penempatan Melayu di Pulau Pinang. Ini bukan soal menafikan hak kepada kaum lain. Ini soal menutut hak sendiri. Ini bukan hak ekonomi atau politik. Ini hak sejarah dan warisan.

Sejak berpuluh tahun lamanya, tanah-tanah Melayu tergadai di Pulau Pinang. Nama-nama Melayu pun kian terhakis. Apakah kita sanggup menggadaikan nama, sejarah dan warisan? Warisan adalah sama pentingnya dengan dimensi ekonomi dan politik.

Politik dan ekonomi Melayu Pulau Pinang sentiasa tenggelam dalam arus pasca kolonial. wacana kehidupan pun tidak dapat diwajahkan dengan sewajarnya. Melayu telah tewas dalam wacana Pulau Pinang, sedangkan jumlah penduduk Melayu di negeri itu bukanlah sedikit.

Kita telah lupa bahawa pada satu masa dulu, Pulau Pinang adalah pusat persuratan, kewartawanan dan penerbitan Melayu di Nusantara. Pulau Pinang merupakan pusat pemikiran dan penerbitan wacana Melayu-Islam sebelum Perang Dunia kedua.

Apakah kita sanggup melenyapkan keupayaan dan genius Melayu di Pulau Pinang? Apakah  tewas dan tiada lagi khudrat dan iltizam menyelamatkan sejarah dan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang?

Pulau Pinang bukan hanya geografi yang merangkumi pulau dan  Seberang Perai. Ia ada sejarah, ia ada identiti, ia ada personaliti. Ia ada pengalaman dan asal usul. Sejarah dan warisan sama pentingnya dengan makan dan minuman.

Jika satu lapisan sejarah terhakis, maka nama-nama tempat pun akan terhakis.  Apakah kita sanggup membiarkan nama-nama asal dan awal di Pulau Pinang juga dipinggirkan dan seterusnya lenyap dari pendengaran dan ingatan?

Apakah kita hendak sebuah Singapura bermaharajalela di utara semenanjung Tanah Melayu?

Di sini saya cadangkan beberapa langkah bagi mengatasi masalah kehilangan sejarah ini. Ia bukan sekadar satu inisiatif,  tetapi juga satu tindakan yang mesti dipenuhi oleh semua pihak berwajib.

(1)    Satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan khusus mengatasi masalah warisan Melayu di Pulau Pinang. Suruhanjaya ini hendaklah mengkaji dan meneliti apa yang telah berlaku dan bagaimana peminggiran dan penghakisan warisan Melayu telah terjadi.

(2)    Pihak berwajib mesti menubuhkan satu bank tanah. Bank tanah itu hendaklah sebuah institusi dan organisasi rasmi yang dikendalikan oleh satu satu atau kedua-dua pihak negeri dan persekutuan. Institusi ini berfungsi untuk jangka panjang dalam mengendali jual beli tanah milik Melayu, termasuk membeli balik tanah-tanah Melayu yang terjual.

(3)    Seorang Pesuruhjaya Warisan Melayu khusus untuk Pulau Pinang di wujudkan. Fungsi  Pesuruhjaya itu ialah mengenalpasti, menilai  kawasan-kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan warisan, dan memulihara kawasan-kawasan itu.

(4)    Institusi pendidikan dan perdagangan dan GLC Melayu mesti menggembeling tenaga mengekalkan ruang-ruang warisan yang ada di Pulau dan di Sebarang Perai. Sebagai contoh, pendudukan di kawasan Lebuh Acheh-Armenian.

(5)    Pihak berwajib yang sedia ada dan boleh ditubuhkan mengkaji semua penamaan ruang, jalan dan tempat di Pulau Pinang. Nama ruang, jalan dan tempat janganlah diluluskan dengan sewenangnya-wenangnya. Apakah nama dan penamaan tidak penting?  Apakah nama ‘Tanjung Pinang’ itu, bersebalahan Tanjong To’kong, bertujuan menghakiskan nama asal tempat itu. Kita perlu ingat, nama tempat berupaya mentakrif dan mempengaruhi sejarah masa depan.

(6)    Wartakan Batu Uban dengan mewujudkan zon warisan. Susun semula penempatan di Batu Uban.  Jangan bina apa-apa muzium di situ. Apakah orang Melayu di Pulau Pinang mesti dimuziumkan seperti begitu?  Sebaliknya, wujudkan rumah tersusun, kompleks sejarah dan warisan bagi menandakan penempatan Melayu pertama di Pulau tersebut – 1700an. Rujuk kepada lakaran peta Inggeris 1763.

(7)    Jadikan Batu Uban sebagai pusat maklumat sejarah dan warisan hidup Pulau Pinang dan hubungannya dengan pelabuhan Batu Bara di Sumatera Utara. Batu Uban mempunyai perhubungan yang akrab dengan Batu Bara bermula awal 1700an lagi.  Jadikan Batu Uban itu bandar kembar Batu Bara. Salah satu tindakan lanjut ialah wujudkan berhubungan feri antara Batu Uban dan Batu Bara. Batu Uban juga mempunyai hubungan dengan Kampung Bodi (Buadi) di Payakumbuh, Sumatera Barat.  Haji Muhammad Salleh@Nakhoda nan Intan dan Dato’ Jenaton berangkat dari Payakumbuh, ke Batu Bara dan kemudian ke Batu Uban.

(8)    Dengan itu perancangan Batu Uban dan juga tempat seperti Tanjung To’kong, dan beberapa buah kawasan lagi di Tanjung dan Air Itam hendaklah mengambil kira isu pemuliharaan tempat dan penduduk. Jika Melaka dapat lakukannya, mengapa tidak Pulau Pinang? Dan sekali lagi, wujudkan institusi dan bidang kuasa yang relevan dan berkesan.

(9)    Apakah wujudnya senibina dan landskap Melayu Pulau Pinang?  Ciri-ciri dan bentuk rumah-rumah Melayu Pulau Pinang/Kedah yang wujud hendaklah diperkasakan.  Ruang penempatan Melayu dalam sejarah mesti dirancangkan dengan sewajarnya pada zaman ini. Apa yang selalu terserlah ialah senibina Melayu-kolonial rumah-rumah Jawi Peranakan di Tanjung. Akan tetapi terdapat juga keaslian senibina rumah-rumah Melayu di kawasan-kawasan seperti di Air Itam, Gelugor, Bayan Lepas dan Balik Pulau. Dan kita mesti ingat, Pualu Pinang adalah satu wilayah Kesultanan Kedah. Sumbernya di Kedah. Mengapa ini tidak ditonjolkan oleh para perancang tempatan?

(10)    Salah satu fungsi kritikal pejabat Pesuruhanjaya Warisan Melayu Pulau Pinang ialah menukar nama-nama yang penting lalu berusaha mewartawakannya, seperti Tanjung (mengganti Georgetown) dan Seberang Perai (mengganti Province Wellesley), serta juga nama Butterworth.  Jika kita serius dalam mengekalkan dan memperkasakan sejarah, nama-nama jalan/ruang/tempat pada masa depan di Pulau Pinang mesti mewajahkan ciri-ciri sejarah dan warisan. Melayu.

(11)    Pameran dan penceritaan sejarah dan warisan Pulau Pinang di Muzium Negeri Pulau Pinang hendaklah dirombak dan di wajahkan dengan sewajarnya.

(12)    Mengkaji semula dokumen yang diserahkan kepada UNSECO bagi mendapat status tapak warisan. Budaya dan sejarah Pulau Pinang telah disalah tafsir dan tidak diwajahkan dengan sewajarnya. Apa yang diceritakan adalah satu penganiayaan penafian hak warisan, kewujudan dan sejarah.

Saya menggesa Kementerian Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan warisan dan sejarah negeri Pulau Pinang dan Kedah dalam hal ini dengan inisiatif dan tindakan konkrit jangka panjang dengan telus, tulus dan ikhlas.
Ini bukan hanya masalah warisan dan sejarah Pulau Pinang, tetapi masa depan warisan dan sejarah negara. Apakah kita mahu menggadai  ‘permata mutiara’ di depan mata kita – yang bukan sekadar pulau dan tempat, tetapi pengalaman warisan dan identiti?

Ketidakadilan dimensi warisan adalah sama beratnya dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah, kerana ia menafikan hak dan menindas identiti.

Jika langkah-langkah seperti diatas tidak dilakukan, maka Melayu dan wajah Melayu Pulau Pinang akan menjadi satu mitos, yang anihnya lahir dari peneroka awal dan keturunan yang wujud asal-usulnya, roh dan jasadnya, identiti dan personalitinya.

Jamil Khir salah guna wang Yayasan Taqwa pula?

Aziz Muda, 02 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengecam keras tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa menggunakan wang Yayasan Taqwa untuk  melaksanakan beberapa program di kawasan Jerai, Kedah.

Tindakan tersebut ternyata amat aneh kerana Yayasan Taqwa adalah sebuah agensi yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dananya adalah dari peruntukan MAIWP.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, disebabkan yayasan tersebut berada di bawah MAIWP, wang tersebut sepatutnya digunakan untuk kepentingan penduduk di Wilayah Persekutuan.

Beliau mendakwa, namun Jamil ternyata telah melakukan tindakan aneh apabila telah membawa dana dari MAIWP ke kawasan Jerai dengan mengadakan beberapa majlis untuk memberikan bantuan kepada penduduk di kawasan itu.

Katanya, pada hal bantuan dari MAIWP amat susah untuk diperolehi oleh penduduk di kawasan Wilayah Persekutuan sendiri, tetapi kini Jamil tergamak membawa keluar dana yayasan tersebut ke luar kawasan MAIWP khususnya ke Jerai.

"Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, sehingga sekarang sudah lima majlis bantuan kepada penduduk di kawasan Jerai yang menggunakan wang dari Yayasan Taqwa yang diadakan oleh Datuk Seri Jamil Khir.

"Dari majlis-majlis yang diadakan itu bermakna sudah cukup banyak wang dari peruntukkan MAIWP yang sepatutnya digunakan di Wilayah Persekutuan dibawa ke Jerai," dakwanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Dana dari Yayasan Taqwa, menurutnya, diyakini datangnya dari wang zakat dan peruntukan MAIWP dan tindakan Jamil itu dibimbangi turut membabitkan penyalahgunaan wang zakat.

"Datuk Seri Jamil Khir tidak sepatutnya bertindak seperti itu. Beliau sepatutnya menggunakan wang tersebut dengan betul dengan menyalurkannya kepada mereka yang lebih berhak menerimanya di Wilayah Persekutuan sendiri," tegasnya.

Sebelum ini, Jamil juga turut dikaitkan dengan penyalahgunaan wang zakat dengan menggunakannya bagi kepentingan peribadinya untuk pembiayaan kes mahkamah yang melibatkannya.

Dengan tindakannya yang menggunakan wang yayasan tersebut bagi memberikan bantuan kepada penduduk Jerai, tindakan-tindakannya kini semakin diragui banyak pihak.

Lebih diragui lagi, dakwa Nasie, apabila bantuan-bantuan yang diberikan oleh beliau kepada penduduk Jerai itu diyakini mempunyai kaitan dengan kepentingan peribadinya sendiri.

Bubar KITA: Pakatan sambut baik langkah Zaid

Harakahdaily, 02 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Langkah Datuk Zaid Ibrahim mahu membubarkan parti KITA pimpinannya mendapat sambutan hangat para pimpinan Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan ini satu yang bijak untuk melahirkan Malaysia yang bersatu dan adil.

PAS pula melalui Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, ia bakal mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat.

Zaid dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, KITA akan dibubarkan.

Beliau akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa bagi membincangkan cadangan agar KITA dibubarkan.

KITA dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari 2011 oleh Datuk Zaid di Kuala Lumpur.

Zaid menganggap kes ini sebagai “jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ka pangkal jalan.”

"Bagi saya, tindakan Datuk Zaid itu sangat membantu Pakatan Rakyat.

"Dengan tindakan ini, ia akan membolehkan Pakatan bergerak tanpa gangguan lagi di tengah jalan," kata Salahudin Ayub kepada Harakahdaily.

KITA akan bubar, kembali ke pangkal jalan

Harakahdaily, 02 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim akan dibubarkan tidak lama lagi melalui satu mesyuarat agung luar biasa.

Keputusan ini perlu dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa parti itu tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

"Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan," kata satu kenyataan yang dibuat melalui laman web partikita.com hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat oleh Datuk Zaid sendiri namun tidak ada sebarang nama diletak pada kenyataan itu.
Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) ialah parti politik yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

KITA ditubuh secara rasmi dibawah pimpinan Datuk Zaid pada 15 Disember 2010 apabila beliau dilantik sebagai presiden baru parti ini dalam sebuah mesyuarat agung.

KITA dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari 2011 oleh Datuk Zaid di Kuala Lumpur.
(Gambar fail: Datuk Zaid ketika melancarkan parti KITA dengan penuh gilang gemilang di Kuala Lumpur)
Kenyataan yang dikeluarkan hari ini memetik, peribahasa Melayu ada menyebut, “jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ka pangkal jalan”.

"Saya sedar sekarang bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan. Saya berhasrat untuk memberi idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian bakat yang lebih luas kepada kepimpinan pembangkang," katanya.

Menurut kenyataan itu, idea beliau untuk menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

"Saya tidak berjaya membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai awam.

"Saya juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti, dan teman-teman yang telah berjanji untuk membantu telah akhirnya memutuskan untuk menarik balik," katanya.

Kecenderungan media yang mendalam dalam melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada kami, katanya.

"Cukup ramai orang di luar sana yang hanya berminat dalam mengkritik kepimpinan saya di dalam KITA, dan yang menggemburkan cerita-cerita dengan tujuan untuk mencemuh saya," katanya lagi.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, dia tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mempercayai bahawa kenikmatan dalam memberi perkhidmatan kepada awam, dan boleh menjalankan perkhidmatan ini dengan kehormatan dan maruah.

"Kepada anggota-anggota parti yang setia yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini, saya memohon ampun.

"Saya menghargai sokongan mereka dan saya berharap mereka akan menerima keputusan ini, kerana ia adalah untuk kebaikan yang lebih besar kepada pihak pembangkang," katanya.

NFC: SPRM perlu jelaskan e-mel 'unsur rasuah'

Muhammad Faizal, 02 Feb 2012
PUTRAJAYA, 2 Feb: Jingga 13 hari ini mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penjelasan dengan segera berhubung perkembangan laporan isu e-mel yang dihantar oleh Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmudin Megat Khas.

Kata Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa sewaktu menyerahkan memorandum kepada SPRM, laporan telah dibuat pada 12 Januari lepas berkaitan bukti e-mel bertarikh 31 Disember tahun lepas yang bertajuk "sekarang NFC adalah mangsa penipuan" sehingga sekarang tidak ada sebarang perkembangan.
Memorandum tersebut telah diterima oleh Penolong Kanan Penguasa SPRM, Azlin Mohd Ali pada jam 11.30 pagi di Ibu Pejabat SPRM di sini.
"Sehingga sekarang kami tidak mendapat apa-apa perkembangan dari laporan yang telah dibuat. Apa yang pasti jelas e-mel yang ditulis oleh Megat Najmuddin menunjukkan wujudnya unsur rasuah yang melibatkan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

"Arahan rasuah itu jelas apabila Mohamad Salleh mengarahkan Datuk Samsulbahrin sebagai orang tengah bagi merasuah pihak polis sebanyak RM1.755 juta agar perkara itu ditutup," dakwa Fariz.

Tambahnya lagi, SPRM masih bersikap diam diri serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi laporan tersebut dan ia seolah-olah wujud sikap pilih kasih dalam kes yang dikendalikan oleh SPRM.

"Kita melihat Samsulbahrin ditangkap dan sekarang berada di Penjara Sungai Buloh tetapi malangnya pelaku rasuah Mohamad Salleh masih bebas serta tidak didakwa langsung," dakwanya lagi.

Katanya, email yang dihantar oleh Megat Najmuddin perlu dipandang serius.
Ini, ujarnya memandangkan Najmuddin merupakan Ahli Lembaga Penasihat SPRM serta selari dengan laporan polis oleh Samsulbahrin pada 27 Januari lalu.
"Beliau mengaku bahawa terdapat arahan dari Mohamad Salleh agar beliau (Samsulbahrin) membayar pihak polis bagi menutup siasatan skandal NFC," katanya lagi di hadapan bangunan SPRM.

Fariz juga menyebut laporan SPRM juga telah dibuat oleh Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pada 31 Januari yang lepas mengenai perkara itu.
"Jingga 13 meneruskan tekad untuk terus menjadi pendesak dalam isu NFC yang tampak begitu bersungguh-sungguh cuba diselindungi oleh pihak-pihak tertentu.

"Justeru, Jingga 13 ingin mendapatkan kepastian tentang status siasatan yang sedang dilakukan oleh SPRM. Rakyat perlu tahu apakah perkembangannya kerana sudah diketahui umum ini semua adalah melibatkan wang rakyat.

"Jika Ketua Persuruhjaya SPRM tidak mampu dan tiada kredibiliti adalah lebih baik meletakkan jawatan agar dapat dilantik pengganti yang baru yang lebih tegas serta telus dalam melakukan siasatan tanpa takut tekanan pihak lain" sambungnya lagi.

Azizan: Saya tak boleh campur tangan isu Kuin

Harakahdaily, 02 Feb 2012
ALOR SETAR, 2 Jan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) berkata pihaknya tidak boleh campurtangan dalam pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berhubung penggantungan lima pelajarnya.

Menurutnya, pengurusan Kuin adalah satu badan bebas dan tidak wajar untuknya mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat kolej itu.

"(Pengurusan Kuin) sebagai satu badan bebas, apa keputusan dibuat selagi tak bercanggah dengan prinsip nyata biar mereka putuskan. Saya tak boleh campur tangan. Saya pun tak boleh cakap banyak kerana perkara ini telahpun dibawa ke mahkamah...bukan kami tetapi pelajar tu yang bawa ke mahkamah," katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Kuin turut menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap pelajar tersebut bukan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 kerana Auku adalah bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sedangkan Kuin adalah IPT Swasta (IPTS).

"Mereka yang tak faham...tembak tak betul menyebabkan semua orang keliru dan pening kepala. Saya dah beri jawapan (undang-undang) IPTS lain daripada IPTA," katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata beliau telah menerangkan perkara itu kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan telah mengarahkan setiausaha politiknya supaya ke Kuala Lumpur bersama dokumen berkenaan untuk menerangkannya lagi.

Lima pelajar universiti itu digantung pada April lalu kerana memprotes tindakan universiti mengosongkan asrama mereka di kediaman Ar-Razi, di sini.

Bagaimanapun, empat daripada pelajar terbabit sudah dibenarkan menyambung semula pengajian baru-baru ini, manakala seorang lagi masih dalam penggantungan.

Tiada ulasan: