Sabtu, 6 Ogos 2011

MAHUKAH GUNA DAKWAT KEKAL...CUMA ORANG JUJUR SERTA BERMARUAH DAN SANGGUP KALAH...MAHU GUNAKAN DAKWAT KEKAL INI...

Guna sahaja dakwat kekal, batalkan biometrik
Nazri Abdullah

PETALING JAYA, 6 Ogos: Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan membatalkan sahaja hasrat menggunakan sistem biometrik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang kerana dilihat banyak mengundang masalah berbanding manfaat yang diperoleh.

Bercakap pada sidang media di pejabat pakatan rakyat hari ini, ahli parlimen Pakatan Rakyat berkata sejak sistem itu digunakan untuk program pemutihan pendatang asing tanpa izin, pelbagai laporan tentang kepincangan sistem itu dikemukakan.

Bukan itu sahaja, beberapa pendedahan terbaru juga jelas mereka menunjukkan sistem itu tidak mampu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan berhubung undian berganda pada pilihan raya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, sewajarnya kerajaan kembali semula kepada tuntutan Bersih iaitu menggunakan dakwat kekal yang setakat ini diyakini penyelesaian terbaik untuk mengatasi pengundian berganda.

"Sementara tidak ada teknologi canggih selesaikan masalah ini, maka kembalilah kepada tuntutan Bersih untuk guna dakwat kekal.

"Kita dah buat eksperimen di Pulau Ketam untuk pilih ketua kampung. Pegawai Daerah guna inai sahaja. Semua berjalan lancar dan tiada sebarang kekeliruan berlaku," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Liew Chin Tong (Bukit Bendera).

Selain itu, turut dipersoalkan kos yang terlalu tinggi dibelanjakan untuk sistem biometrik yang manfaatnya masih 'meragukan' itu.

"Kita nak tahu siapa dapat projek pemutihan warga asing tanpa izin ini.

"Kita harap kerajaan telus dalam hal ini," kata Tian lagi.

Mengulas lanjut isu pengundian berganda, Tian berkata sistem biometrik hanya boleh mengesahkan pengundi itu mempunyai kad pengenalan sah namun tidak mampu mengesan mereka yang mempunyai lebih dari satu kad pengenalan.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan seharusnya bersedia sepenuhnya terlebih dahulu dan tidak "over confident" dengan sistem baru yang mahu digunakan.

Ia bukan sahaja mengundang keraguan, malah turut membazirkan wang rakyat.

Maka ujarnya, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menggunakan dakwat kekal sahaja seperti yang dituntut rakyat.

Sementara itu Liew Chin Tong turut mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa perdana menteri itu masih ada tiga hari lagi untuk memanggil sidang tergempar parlimen dari tempoh seminggu yang diberikan pakatan rakyat.

Sidang itu khas bagi membincangkan pendedahan banyak pihak berhubung isu pertukaran status penduduk tetap PR kepada warganegara dalam masa beberapa jam sahaja dan didaftar sebagai pengundi.

PAS Perak lancar facebook pengundi luar
Harakahdaily

TAIPING, 6 Ogos: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melalui Jabatan Pilihanraya PAS Negeri telah melancarkan laman peminat facebook khas buat pengundi luar Perak dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussien bersempana majlis Liqa Fikri di Dewan Tuan Guru Abdul Samad Noh, Markaz Tarbiyyah PAS Perak, Air Kuning. Turut hadir bersama adalah pimpinan tertinggi PAS Perak.

Abu Bakar dalam ucapan ringkasnya mengharapkan usaha pelancaran ini akan membantu PAS dan Pakatan Rakyat kembali memenangi semula kerajaan negeri Perak yang telah dirampas oleh Umno BN pada 2008 dahulu.

Jabatan Pilihanraya PAS Perak melalui portfolio Urusan Pengundi Luar bertanggungjawab memastikan fungsi facebook ini dimaksimakan.

Dalam masa yang sama Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Perak, Asmuni Awi berharap agar facebook ini akan menjadi pentas bagi semua pengundi luar yang menyokong PAS dan Pakatan Rakyat untuk dimanfaat sebaik mungkin bagi membantu dalam pilihanraya nanti.

Mereka mensasarkan 50,000 peminat menyertai facebook tersebut.

Bagi semua pengundi Perak yang berada di Lembah Klang agar dapat bersama dengan Facebook ini kerana ianya akan menjadi saluran utama maklumat dari PAS dan Pakatan Rakyat negeri itu.

Gaza: Misi Muslim Care berjaya sampaikan bantuan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Walaupun pelbagai rintangan dihadapai untuk sampai ke sempadan Rafah, pasukan Misi ke Gaza anjuran Muslim Care Malaysia berjaya memasuki Gaza bagi menghantar bantuan sempena Ramadhan pada 28 Ogos 2011.

Zulkefli Mohd Nani, Ketua Misi ke Gaza merangkap Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia memaklumkan bahawa Muslim Care juga menyediakan prasarana dan peralatan bagi menubuhkan sebuah kilang roti bagi membangunkan ekonomi muslimah di Gaza sewaktu misi tersebut.

Misi itu turut disertal Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Presiden Muslim Care Mat Arifin Ismail, anggotanya Zakaria Abdul Latif, Hj Zulkifli Wahijan, Ust Reduan Md Nor, Halim Redzuan, Ahmad Safuan Ujar, kesemuanya dari Muslim Care, wakil PAS Selangor Izham Hashim, Zahari dari Cakna Palestin.

Mereka bertolak ke gaza bermula 27 Julai lalu dan selamat pulang ke tanah air 2 Ogos lalu.

Sewaktu di Gaza, misi turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan bertemu dengan 11 ahli parlimen Gaza.

Di samping itu, misi ini turut menyediakan sebuah makmal komputer untuk sebuah sekolah menengah di Khan Younis yg tidak pernah mempunyai makmal komputer di sekolah tersebut sebelum ini.

Disamping itu anggota misi juga telah berjumpa sendiri anggota keluarga yang ada dikalangan ahli keluarga mereka sedang dipenjarakan di penjara Israel.

(Gambar: Anggota misi bergambar selepas menyediakan makmal komputer di sebuah sekolah menengah di Khan Younis)

Menurut Zulkefli Nani, mereka dimaklumkan bahawa ada diantara tahanan tersebut yang telah 34 tahun dipenjarakan di Israel, lebih lama dari Neson Mandela yang dipenjarakan selama 29 tahun.

Selain itu pasukan misi ini juga turut memberikan bantuan kewangan dan makanan kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tinggal serta warga miskin di Gaza di mana misi ini telah pergi terus ke rumah-rumah warga miskin bagi menyampaikan bantuan tersebut.

Dengan sumbangan yang telah diberikan oleh penderma melalui Muslim Care, mereka juga mengadakan majlis berbuka puasa selama 7 hari dianjurkan di masjid-masjid di sekitar Gaza dengan sumbangan tersebut.

Selain itu juga masyarakat dan kanak-kanak yg kurang berkemampuan juga akan diberikan pakain baru sebelum Aidil Fitri nanti melalui sumbangan yang dihulurkan Muslim care.

Menurut Zulkefli lagi, walaupun sempadan Rafah dikatakan telah dibuka oleh Kerajaan Mesir, hakikatnya sekatan ke atas Gaza masih berterusan dan umat Islam masih terus dihimpit kemiskinan di Gaza.

Beliau menegaskan bahawa bantuan kepada umat Islam di Gaza mesti diteruskan kerana "humanitarian aide" dari NGO luar ini adalah penghubung nyawa bagi ramai warga miskin.

Di Gaza, Muslim Care telah menandatangani perjanjian dengan Emaar Association sebuah NGO kebajikan yg akan melaksanakan beberapa program bagi pihak Muslim Care di Gaza kelak.

Untuk perancangan seterusnya, Muslim Care berhasrat membina sebuah Masjid di sebuah kawasan penduduk miskin berdasarkan permintaan umat Islam di sana dan juga mencari dana bagi membaiki rumah keluarga-keluarga dhoif di Gaza, Palestin.

Sebanyak USD180,000 diperlukan bagi menjayakan bantuan seterusnya.

Kepada mereka yang mahu memberi sumbangan kepada rakyat palestin, bolehlah berbuat demikian melalui Tabung Muslim Care melalui Akaun Maybank Muslim Care (Viva Palestina) 5644-902-111-59.


Gaza: Bernaung di bawah langit Ramadahan
Riduan Mohamad Nor

SIRI 1

“Wah ! terlalu banyak yang berubah Gaza berbanding dua setahun setengah yang lepas” ujar Zulkifli Wahijan apabila van Muslim Care membelah aspal yang kelihatan baru diperbaiki di Rafah sehinggalah ke jantung kota Gaza. Gaza selepas perang adalah sebuah wajah yang berbeza dengan kunjungan kami sewaktu peperangan Cast Lead pada Januari 2009. Di saat itu ketakutan muncul di segenap sudut kerana Israel yang sedang mengganas tidak mempedulikan langsung nyawa dan kesakitan umat Islam Gaza. Kami sewaktu itu hanya mengumam ayat-ayat Allah kerana melintasi zon peperangan Gaza yang menyimbah darah umat Islam.

Ledakan bom dan pembantaian berskala besar telah mengambus keceriaan wajah warga bumi Isra’ yang diserkap semenjak tahun 1948. Operasi serangan Cast Lead telah memusnahkan 22,000 bangunan di seluruh Gaza, membunuh ribuan manusia dan mencederakan ribuan yang lain, maka terpampang wajah Gaza ketika kunjungan pertama kami adalah kesakitan dan kepedihan. Luka itu sangat mendalam dan menghiris.

“Selamat datang ke Gaza, penjara terbesar di dunia” kata Dr Ahmad An Najjar, yang menyambut kedatangan kami dengan sambutan hangat dan penuh protokol kerajaan. HAMAS yang membentuk kerajaan di Gaza mempunyai hubungan yang baik dengan PAS, yang membela Palestin semenjak zaman Dr Burhanuddin al Helmi lagi. Pegawai-pegawai kerajaan menyambut kami di sempadan Rafah dengan sejambak bunga sebagai simbolik menghargai kedatangan kami yang melangkaui ribuan kilometer dan sejuta halangan daripada pihak Mesir yang sebelum ini telah menggagalkan misi kedua Muslim Care pada Jun tahun 2009 (misi menghantar ambulan).

Dalam misi kali ini, Muslim Care telah mewujudkan sebuah makmal komputer yang dilengkapi dengan 10 unit computer, sebuah projektor LCD serta lain-lain peralatan, menziarahi penduduk termiskin serta keluarga yang mana ahli keluarga telah dipenjara sejak sekian lama, memberi sumbangan rumah ke rumah, membina kilang roti, membaiki masjid, menyantuni anak yatim, membantu pusat trauma peperangan, menyumbang 10 kerusi roda kepada Persatuan Orang cacat dan juga membantu ibu tunggal.

Perjalanan kami kali ini membawa 10 orang anggota misi yang terdiri daripada Haji Arifin Ismail, Zulkifli Nani, YB Hj Khalid Samad, Zulkifli Wahijan, Zakaria Latif, Abdul Halim Redhuan, Ahmad Safuan, Ir Izham Hashim , Zahari (Cakna Palestin). Perjalanan kami telah dirancang dengan penuh teliti dengan bantuan Encik Kamal El Samy, Pengerusi Kesatuan Sekerja di Mesir yang sangat berpengaruh. Perjalanan panjang ini terasa amat menjerihkan tetapi kepenatan sedikit demi sedikit terurai apabila kami diizinkan untuk memijak bumi Palestin yang menjadi kiblat pertama umat Islam. Apatah lagi karenah birokrasi kerajaan Mesir yang sering menggagalkan kehadiran NGO-NGO asing yang ingin membantu Gaza.

Pusat Sempadan Rafah kembali ceria terutama kerana Ramadhan yang menjengah, bulan rahmat ini disambut dengan besar-besaran oleh umat Islam Palestin. Amat menguja akal ialah apabila kenderaan serbaguna sumbangan Muslim Care kepada rakyat Palestin digunakan untuk mengambil kami.

Kenderaan sumbangan rakyat Malaysia melalui Muslim Care itu telah dua tahun sebulan beroperasi di Gaza yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. Ia kelihatan terjaga dengan baik dan agak mewah jika dibandingkan dengan kenderaan lain di wilayah yang masih terkepung ini.

Di pintu sempadan Rafah, keadaan begitu meriah, kenderaan berdesakan dengan suara riuh rendah buruh-buruh pemunggah barang yang meraih rezeki dengan kehadiran ramai orang di pintu masuk. ini berkemungkinan kerana apabila Ramadhan menjelang, bumi Isra’ ini begitu sebagaimana lazimnya di negara Arab yang lain. Gaza kali ini menyembulkan senyumannya yang luar biasa, saya terpanar melihat di hamparan Pantai Gaza yang terhampar luas itu dipadati dengan kunjungan ribuan pengunjung.

Ada yang bermandi manda, berkejaran, bermain bolasepak, menaiki bot santai, bercanda santai namun diawasi dengan ketat oleh kapal-kapal peronda Israel. Regim tolol itu tidak teragak-agak melepas tembakan. Seminggu sebelumnya, beberapa orang telah terkorban dalam serangan ke atas Khan Yunis. Chalet dan hotel mula dibina dan dipulihkan kembali di sepanjang pantai menandakan keazaman dan kemampuan untuk membangunkan kembali ekonomi mereka yang terjejas akibat peperangan serta kepungan yang berterusan.

Matahari petang di Gaza memantulkan cahaya keperakan di atas lautan Mediteranean yang terkenal sarat dengan sejarah pelayaran bahkan pertembungan. Angin sepoi-sepoi bahasa sangat menyamankan perasaan tentang indahnya setiap inci tanah Palestin. Anak-anak gadis Palestin yang turut mandi bersama keluarga tetapi masih menjaga pakaian sopan mereka. Petang hari di jajaran pantai ini dengan puluhan ribu warga Gaza mengambil peluang menghirup udara bersih dan menghiburkan hati walaupun dikepung sejak lima tahun lepas.

“Issk, tak macam perang….kalau tengok gambar-gambar Gaza kita terbayang dengan perang dan darah” kata Ahmad Safwan yang kelihatan agak terkejut dengan pengalaman pertama menjejaki bumi Palestin. Beliau antara anak muda yang kerap turun ke lapangan kerja menggerakkan ekspedisi dakwah di Borneo dan juga di perkampungan orang Asli..

Suasana meriah di jajaran pantai yang bersih itu melambangkan rakyat Palestin yang menzahirkan kecintaan mereka kepada kemerdekaan tanahair mereka yang telah 63 tahun terjajah bangsa terlaknat.

AKTIVITI MISI RAMADHAN

Dalam misi kali ini Muslim Care telah berjaya mengadakan program yang telah dijadualkan dengan sejumlah RM650,000 dibawa hasil sumbangan rakyat Malaysia. Antara projek besar yang dibawa kali ini ialah menyediakan kilang roti berskala sederhana untuk penduduk Gaza di mana kerjasama telah diadakan dengan sebuah NGO Palestin iaitu El Emaar.

Muslim Care juga telah menubuhkan sebuah makmal komputer di sebuah sekolah yang terpilih dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Apa yang sangat ketara ialah sikap penduduk Gaza yang sangat mengutamakan pendidikan dan menghargai ilmu. Di celah kemiskinan dan kemelaratan hidup, mereka bangkit untuk membebaskan tanahair yang terjajah dengan ilmu. Menurut Ahmad An Najjar, Pengarah Hubungan Luar Kementerian Pendidikan, banyak sekolah yang terjejas sosok fizikal akibat serangan Israel tidak mampu dibangunkan semula kerana ketidakcukupan dana. Banyak negara Muslim yang berjanji tetapi tidak mengotakan janji mereka untuk membangunkan kembali Gaza yang dirempuh Israel. Walaupun dengan kekuatan petrol gas, Negara Arab begitu takut untuk dilihat bersahabat dengan Gaza kerana bimbangkan tekanan Amerika Syarikat dan juga Israel.

“Yang mengambil peranan membantu kebanyakannya ialah NGO-NGO Islam termasuk NGO bukan Islam dari Eropah” rungut seorang teman Palestin tentang sikap dingin negara Arab dalam membantu Palestin yang terpuruk.

Pihak berkuasa Gaza menyusun dengan padat jadual kami, antaranya kami dibawa melawat Universiti Islam Gaza yang mempunyai seramai 21,000 orang pelajar.Universiti ini telah dibom dalam serangan Cast Lead, di mana dua makmal Fakulti Perubatan dan Kejuruteraan diranap serangan udara. Sehingga kini kesan serangan masih kekal dan tak mampu dipulihkan kembali. Rombongan juga turut melawat dan memberi sumbangan kepada Pusat Pemulihan Trauma Peperangan di Khan Yunis di mana mangsa-mangsa peperangan mendapatkan khidmat kaunseling dan rawatan secara percuma.

Di antara aktiviti lain yang diadakan ialah memberikan bantuan secara terus kepada mangsa peperangan yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Kami telah dibawa melihat kejerihan hidup rakyat. Mereka tinggal di kawasan penempatan padat penduduk dan biasanya mendiami bilik sempit dengan ahli keluarga yang ramai.Tak tergambar bagaimana manusia boleh hidup begitu melarat seperti gelandangan kota dalam keadaan manusia Arab di negara lain hidup berselimut dengan kemewahan. Bekalan eletrik yang sangat daif turut menyempurnakan kejerihan hidup mereka, dengan bekalan yang sering terputus dan tak terbayang bagaimana keadaan mereka di musim sejuk.

Muslim Care turut mengadakan program memberikan bantuan kepada keluarga syuhada dan ahli keluarga yang berada di penjara regim Israel. Terpahat kukuh dalam ingatan bagaimana keluarga syuhada ini membawa foto besar ahli keluarga mereka yang telah gugur sebagai syuhada atau yang berada di penjara pengap regim Israel. Ada tahanan yang paling lama ditahan selama 34 tahun, mengatasi rekod Nelson Mandela, pejuang apartheid di selatan Afrika. Berada di penjara Israel bermakna dipakejkan sekali dengan penderaan dan penyiksaan.

Pelbagai program yang telah disertai sangat memberikan kesan ke atas rombongan, apatah lagi dengan sambutan hangat rakyat dan juga pimpinan kerajaan Palestin yang dipilih secara demokratik. Kami dijemput untuk menjadi tetamu Dr. Ismail Haniyeh, Perdana menteri yang sangat berwibawa, juga berkesempatan menunaikan solat terawih berimamkan Ismail Haniyyeh yang mempunyai suara yang unik. Pihak Parlimen Palestin juga mengadakan sambutan khas kepada rombongan, di mana ketua sambutan ialah Dr Muhamad Bahar. Beliau merakamkan penghargaan terhadap rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan perhatian terhadap nasib umat Islam di Palestin.

RAMADHAN YANG MERIAH

Palestin , bumi suci umat Islam ini menyaksikan betapa hebat dan ghairahnya mereka memasuki bulan yang penuh keberkatan ini. Beberapa hari menjelang Ramadhan, warganya kelihatan begitu sibuk membuat persiapan seperti memasang bendera, memasang pemidang dan poster yang menunjukkan kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadhan. Pasar-pasar begitu sekali rancak dengan jual beli barang-barang keperluan Ramadhan, kaum muslimat begitu teruja memilih barang dapur. Buah-buahan seperti tomato, tembikai, limau dan mangga kelihatan begitu segar walaupun disengat cuaca panas dan berdebu.

“Masyaallah…suburnya tanah Palestin ini” ungkap Haji Izham Hashim dengan mata tidak puas mendakap tanah Gaza yang subur dengan tanaman.
“ Ramadhan di sini terasa sangat luarbiasa sambutannya dengan masjid-masjid yang penuh dan mungkin akan terus padat sehingga akhir Ramadhan” ujar seorang teman yang begitu asyik menikmati pemandangan Gaza di malam Ramadhan. Dentuman mercun juga sekali sekala membelah kesunyian malam di sini, dengan anak-anak berlari riang di celah-celah lorong yang padat penduduk. Masing-masing sibuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan terpancar guratan wajah ceria.

“Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, bulan pengampunan yang menawarkan pintu kebaikan” syarah Sheikh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri dalam tazkirahnya usai solat terawih lapan rakaat di masjid berhampiran kediamannya yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan. Sang pemimpin itu walaupun sibuk dengan urusan memimpin di siang hari, namun meluangkan masa dengan rakyat di masjid. Wajahnya begitu berseri, dengan senyuman khas menyambut kami dan menyalami rakyat. Beliau menyantuni kami usai solat witir sebelum bergerak ke lokasi rahsia dengan kawalan anggota-anggota unit khas yang berbadan tegap.

Saya cukup berbahagia melihat kerlipan-kerlipan neon mula menjadi latar kepada bandaraya Gaza yang padat penduduk, lantunan ayat-ayat suci Al Quran begitu meriah daripada masjid di mana pembesar suara digunakan. Masjid juga memasang khemah khas bagi menampung kehadiran tetamu dengan jumlah yang luarbiasa berbanding bulan-bulan biasa. Kehadiran rombongan kami begitu sekali dihargai dan diberi sambutan hangat di mana-mana kami muncul terutama media perdana di bumi terkepung ini. Anak-anak melambai-lambai tangan apabila berpapasan, apatah lagi dengan sedikit ole-ole yang kami sumbangkan kepada mereka. Guratan wajah bersih walaupun dengan pakaian kumuh yang tersarung itu amat memerlukan bantuan umat Islam seluruh dunia. Derita mereka adalah tusukan duri luka di hati kita, panggilan Al Aqsa adalah panggilan untuk semua umat Muhammad SAW, apatah lagi pengucilan terhadap mereka telah memasuki tempoh yang sangat panjang oleh zionis dan sekutu-sekutunya.

**Riduan Mohamad Nor adalah Ketua Penerangan Dan Dakwah DPPP, juga Perunding Motivasi dan Pendakwah

Tiada ulasan: