Isnin, 15 Ogos 2011

ROSAK JUAL MARUAH DLL DEMI KUASA...SERAHLAH PADA ALLAH...MENANG..ALHAMDULLILLAH...KALAH TERIMA SAJA...MUNGKIN DAH BANYAK BUAT SILAP DAN ZALIM...

Berhenti belajar sara 11 beradik
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 15 Ogos: Diikutkan hati, sememangnya beliau mahu meneruskan pelajaran sehingga ke universiti supaya senang kemudian hari.

Namun apakan daya, terpaksa berhenti belajar demi menyara hidup 10 adik-beradiknya yang lain.

Inilah nasib yang menimpa pelajar Politeknik Muadzam Shah, Mohd Khairul Mat Amin, 22, yang kehilangan ayah tercinta pada 4 Ramadan lalu yang pergi buat selama-lamanya ketika mereka masih terasa pemergian ibu tercinta enam tahun lalu.

(Gambar: Mohd Khairul (tiga dari kanan) menerima sumbangan barang daripada Nor Azmi. Paling kanan ialah kakaknya, Norfadilah.)

Mohd Khairul yang merupakan anak kedua daripada 11 beradik malang dari Kampung Paya Keladan di sini, berkata kini mereka betul-betul mengharapkan bantuan dan sumbangan ramai selepas bapa mereka Mat Amin Jusoh, 55, meninggal dunia akibat sakit jantung.

Menurutnya, ibunya meninggal dunia pada 2005 dan sejak itu mereka tinggal bersama ayah yang terpaksa membanting tulang dengan bekerja kampung semata-mata mahu menyara adik beradiknya yang ramai itu.

“Minggu lepas, satu lagi dugaan menimpa kami adik beradik apabila ayah pergi buat selama-lamanya akibat sakit jantung sehinggalah kami hilang tempat mengadu dan bergantung segala-galanya selama ini.

“Tidak mahu adik-adik kebuluran, saya terpaksa melupakan hasrat dan cita-cita dengan menggantikan tempat ayah bagi menyara kehidupan adik beradik yang semuanya masih belajar,” katanya ketika ditemui semasa mengiringi Muslimat PAS Temerloh menyampaikan sumbangan Ramadan hari ini.

Turut serta Pengarah PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab, Nor Azmi Abdul Majid.

Mohd Khairul berkata, lima adiknya masih bersekolah menengah, tiga di sekolah rendah, kakak sulungnya Norfadilah, 23, masih menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan seorang lagi adiknya belajar di Kolej Shahputra.

Namun tambahnya, beliau bertekad dan berazam walau sesukar mana sekalipun akan berusaha memastikan adik-adiknya mendapat makan dan terus belajar.

“Kini sebagai lelaki tertua dalam keluarga saya sudah ganti ayah, macam mana susah sekalipun saya akan usahakan keperluan untuk mereka dan kami sekali-kali tidak mahu terpisah.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk belanja dapur setiap bulan dan RM150 belanja bagi setiap adik bersekolah setiap bulan,” katanya.

Namun begitu, Mohd Khairul masih mengharapkan simpati dan ehsan banyak pihak dalam memastikan kebajikan adik-adiknya terbela.

Kepada mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada 11 beradik ini bolehlah berhubung dengan Mohd Khairul Mat Amin di talian 013-2360455 atau terus melalui akaun BSN 06400-29-00005700-2.


De Palma terus perkasa hotel pematuhan syariah
Mohd Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Rangkaian Hotel De Palma terus mengorak langkah dengan kini memasuki tahun keempatnya mengamalkan konsep pematuhan syariah.

Keempat-empat rangkaiannya iaitu di Ampang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Sepang kini terus menjulang nama antara menjadi pilihan masyarakat bukan sahaja rakyat tempatan malah mereka dari luar negara.

(Datuk Ilyas...Pengurusan Besar kumpulan hotel De Palma)

Ini kerana hotel milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ini mempunyai keunikannya tersendiri iaitu sebagai peneraju kepada konsep pematuhan syariah dan menerapkan konsep dakwah kepada pengunjung mereka.

Kejayaan mereka menempa nama setanding dengan hotel konvensional terkemuka negara yang lain sudah tentu dipacu pasukan pengurusannya yang diketuai Pengurus Besar Kumpulan, Datuk Ilyas Zainol Abidin (gambar) yang komited memastikan setiap aspek di hotel ini mematuhi perinsip syariah sepenuhnya.

"Syariah ini bukan setakat memberi salam, berpakaian tutup aurat dan makanan halal sahaja.

"Kita di De Palma ini menerapkan konsep syariah ini melalui program tazkirah, solat jemaah setiap waktu dan qiamullail," ujarnya.

Bukan sahaja pengurusan tertinggi, malah pekerjanya di setiap peringkat juga turut diberi kefahaman agama secukupnya sebelum diberi amanah berkerja di sini.

Mengakui memulakan sesuatu yang baru bukan kecil resikonya, beliau bagaimanapun yakin usaha dakwah yang dilakukan akan diganjar sebaiknya oleh Allah SWT.

"Pada mulanya takut juga, tapi rezeki Allah yang tentukan. Saya buat hotel syariah ni atas dasar kesedaran, bukan perniagaan semata-mata.

"Iltizam saya mahu pengunjung yang datang bukan sahaja dapat menginap di sini malah boleh mengikuti program ibadah yang kita tawarkan. Ini beza kita dengan hotel-hotel lain.

(Berterawih secara berjamaah menjadi tradisi di De Palma Ampang.)

"Kita ada imam tetap di surau, kita susun ustaz-ustaz beri tazkirah selepas solat dan bulan Ramadhan ini kita jemput imam dari dalam dan luar negara imamkan solat tarawih," ujarnya menjelaskan bahawa surau nadi utama kepada rangkaian hotel ini.

Menurutnya lagi, selain menyedari pematuhan syariah itu satu kewajipan, beliau juga mahu menawarkan pilihan lain kepada masyarakat khususnya orang Islam yang selama ini hanya mempunyai satu pilihan iaitu hotel dengan konsep konvensional yang lebih kepada gaya hidup barat.

Dengan adanya De Palma, masyarakat Islam kini ujarnya tidak perlu lagi ragu-ragu untuk menginap di hotel malah mereka di sini dirangsang untuk menunaikan ibadah kepada Allah.

Menyediakan perkhidmatan mematuhi syariah tersebut sekaligus menyempurnakan satu tuntutan fardu kifayah ke atas umat Islam.

"Usaha saya adalah untuk memberi pilihan kepada masyarakat.

"Apa maknanya jika kita menginap ditempat yang hebat, makan di tempat yang hebat, tapi akhirnya dipersoal oleh Allah SWT kelak.

"Jangan pandang jenama sahaja. Di mata Allah tidak ada perbezaan jenama besar atau kecil, yang ada kita ikut hukum atau tidak," katanya lagi.

Kejayaan De Palma ini sekaligus telah membuka mata pengusaha hotel seluruh dunia bahawa konsep pematuhan syariah merupakan satu lagi produk yang boleh dikomersialkan.

Apatah lagi mereka menyedari bahawa masyarakat beragama Islam sangat ramai di mana-mana negara.

(Menjadi tradisi De Palma memberikan bubur lambuk percuma di bulan Ramadhan kepada orang ramai.)

"Saya sendiri yakin dengan apa yang kita sudah lakukan dan kita akan terus memperkukuhkan konsep ini.

"Yang kita mahu, kewajipan kita jaga, keuntungan pun kita jana,"katanya.

Tawaran istimewa


Sempena Ramadhan tahun ini pula, seperti biasa program dakwah di hotel ini disusun padat demi memastikan pengunjung tidak terlepas untuk menghidupkan ibadah sepanjang masa di bulan penuh barakah ini.

Bermula qiamullail jam 4 pagi diikuti sahur dan kemudiannya solat Subuh berjemaah.

Begitu juga setiap waktu solat fardu yang lain yang akan disusuli tazkirah ringkas sejurus selesai solat.

Selain tarawih, Ramadhan di De Palma turut diisi dengan tadarus al-Quran, ceramah, zikir munajat dan program kerohanian yang lain.

Bagi kemudahan pengunjung juga, pihak hotel turut menyediakan kaunter pembayaran zakat fitrah.

Kesemua kemudahan yang disediakan ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh penginap hotel ini, malah masyarakat di sekeliling juga.

Sebagai menunaikan tanggungjawab sosial mereka pula, amalan tradisi mengagihkan bubur lambuk percuma kepada orang ramai diteruskan.

Sekurang-kurangnya tiga periuk besar bubur lambuk disediakan setiap hari.

Selain itu, mereka juga turut meraikan gologan kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim yang diundang berbuka di sini.

Bagi mereka yang berhasrat mahu berbuka sambil beribadah sempena Ramadhan ini, bolehlah berkunjung ke mana-mana rangkaian hotel ini.

Dengan pakej berbuka serendah RM68 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak, anda boleh menikmati pelbagai menu citarasa warisan di sini.

Lebih istimewa, pengunjung yang berbuka di sini turut akan dihiburkan oleh persembahan ghazal Sri Kencana.

(Cetak iklan di bawah dan dapatkan potongan khas harga bilik apabila berkunjung ke rangkaian hotel De Palma)



Azizan dijangka keluar IJN esok
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Setelah hampir tiga minggu berada di Institut Jantung Negara (IJN), Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak (gambar) dijangka akan keluar esok.

Menurut setiausaha akhbarnya, Helmi Khalid, Azizan dijangka dibenarkan keluar esok selepas mendapatkan rawatan dan berehat kira-kira tiga mingggu bermula 27 Julai lalu.

Azizan ke IJN untuk pemeriksaan rutin biasa namun ditahan apabila didapati ada bahagian saluran jantungnya yang tersumbat.

Ekoran itu, beliau telah membuat prosedur angioplasti untuk membuka saluran yang tersumbat itu di samping berehat untuk menurunkan tekanan darahnya yang agak tinggi.

Setiausaha politiknya Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Azizan yang sebelum ini berjaga sehingga jam 1 hingga 2 pagi, kini terpaksa tidur sejam atau sejam setengah selepas Maghrib.

"Kebelakangan ini dia tidur selepas Maghrib, hingga jam 9.30 atau 10.00 (malam), selepas itu baru dia memanggil saya ke rumah.

"Kalau tak panggil saya, dia akan maklumkan dia nak jumpa si polan si polan di rumah, semuanya berkaitan kerja.

"Keletihannya nampak sangat-sangat. Jam 12 baru selesai," kata Sanusi sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Isu terakhir yang dihadapi Azizan adalah cadangan penutupan pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan di Kedah, namun ia dibantah oleh orang bukan Islam kerana ia akan menjejaskan kehidupan mereka.

Ekoran itu, persetujuan dicapai agar hanya umat Islam dilarang dari memasuki premis hiburan sepanjang bulan Ramadhan ini manakala pemilik premis akan memastikan ianya dilaksanakan.

Ekoran itu, baru-baru ini Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah memaklumkan peraturan itu berjalan dengan baik dengan tidak ada laporan orang Islam memasukinya sepanjang bulan ini.


Pertandingan kad raya ditutup jam 5 petang ini
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Pertandingan merekacipta kad hari raya anjuran Jabatan Pilihan raya PAS Pusat (JPP) berakhir jam 5 petang ini apabila pihak penganjur akan membuat penilaian selepas waktu itu.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 itu bertujuan untuk memilih kad raya terbaik untuk digunakan PAS untuk dihantar kepada rakyat negara ini.

Sehingga kini, hampir 50 rekabentuk kad raya diterima oleh pihak penganjur yang menawarkan hadiah RM3,000 untuk hadiah pertama, RM2,000 untuk hadiah kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga.

"Kita akan buka penyertaan itu jam 5 petang ini dan akan memilih pemenangnya. Malam ini juga kita akan maklumkan pemenang itu," kata Dr Hatta Ramli, Pengarah JPP kepada Harakahdaily.

Pertandingan ini bertujuan untuk mengajak seramai mungkin artis bagi memberikan sumbangan untuk menghasilkan kad raya terbaik, kata Dr Hatta.

"Kita akan mencetak rekaan terbaik dan dihantar kepada orang ramai sebagai tanda ucap selamat dari PAS kepada rakyat negara ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, PAS dikatakan akan mengedarkan 200,000 buku dan vcd Bersih menjelang hari raya kali ini.

Jika projek kad raya ini juga mempunyai kaitan dengannya, sebanyak 200,000 kad akan dicetak.

Umno hilang patriotik mudah beri kerakyatan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pemimpin Umno BN sudah hilang patriotik apabila dengan sewenang-wenangnya memberikan kerakyatan kepada warga asing.

Beliau berkata, sikap tidak patriotik tersebut turut berjangkit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendaftarkan pemastautin tetap (PR) yang mendapat warganegara sebagai pemilih.

Justeru tegasnya, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar harus dipecat dan seluruh organisasi SPR dirombak sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Perbuatan memberikan kerakyatan kepada warga asing jelas menunjukkan sikap tidak patriotik pemimpin Umno BN dengan disokong SPR.

"Anggota SPR harus ditamatkan perkhidmatan sebelum PRU ke 13 dan badan bebas perlu ditubuhkan di bawah Parlimen untuk melantik individu yang benar-benar mempunyai kredibiliti untuk menguruskan sistem pilihan raya di nagara ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Sambil melahirkan ras kecewa dengan kenyataan Abdul Aziz bahawa “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih, beliau berkata jelas terbukti terdapat pihak yang cuba 'mengotorkan' daftar pemilih.

"Kenyataan demikian tidak wajar dikeluarkan oleh seorang pengerusi badan bbas yang ditugaskan untuk memastikan ketelusan sisitem pilihan raya.

"Kita sedar berlakunya proses mengotorkan daftar pemilih dengan emmbawa warga asing untuk mengundi," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya lagi, sistem pilihan raya di Eropah tidak pernah dipertikaikan apatah lagi dicadangkan untuk menggunakan dakwat kekal untuk mengelakkan pengulangan proses membuang undi.

"Di negara maju seperti Eropah mereka tak guna biometrik, tak guna dakwat kekal kerana integriti mereka tidak pernah dipertikai.

"Di Malaysia rakyat minta guna dakwat kekal sebab tak percaya dengan SPR," katanya.

Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Abdul Aziz sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.

SPR sebelum ini hanya menyalahkan menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.


Mujahid: Di sebalik fatwa larang baca Al Quran
Mujahid Yusof
Pulau Pinang memang mendapat perhatian yang cukup meluas sejak 2008 tapi malangnya tumpuan media ke Pulau Pinang lebih berniat malafide dan kadang-kadang berbaur fithan dan pembohongan. Paling menarik isu Pulau Pinang ialah berligar di sekitar isu Melayu dan Islam di Pulau Pinang dengan mesej perkauman yang rumusannya ialah tentang penindasan kerajaan Dap ke atas orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.

Terkini ialah isu larangan membaca Al Quran dengan menggunakann pembesar suara dari corong mesjid dan surau. Sememangnya telah diduga keputusan dari Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang tentang isu ini akan mengundang kontraversial dan pastinya menjadi bola tanggung bagi Umno dan sekutunya untuk membidas dan melibas kerajaan negeri mengikut tema serangan media
yang sudah ditetapkan oleh sutradara-sutradara di Putrajaya.

Tidak sukar untuk mengenali modus operandi media perdana yang bertaraf longkang di Malaysia ini kerana gaya pemikiran mereka mendatar dan mudah dibaca, apatah lagi latarbelakang perundangan yang mencengkam pengamal media perdana hari ini menyebabkan media di Malaysi tidak berada pada tahap kebebsan yang sepatutnya.

Apapun isu ‘larangan membaca Al Quran dari corong pembesar suara mesjid dari pejabat Mufti Pulau Pinang sekali lagi akan menjadi mangsa media yang bagai harimau lapar menanti sahaja peluang yang ada untuk menyerang mangsanya.

Saya memulakan penulisan ini dengan menyentuh pihak media kerana merekalah yang bertanggungjawab untuk mengkaburkan keadaan dan mengeksploitasikan keadaan untuk melaksanakan agenda menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang. Saya kesal kerana isu pokok
pandangan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dalam kes ini telah dikaburkan manakala tambahan ‘rempah ratus’ menyedapkan golongan pemfitnah terus digembar-gemburkan sehingga asal permasalahan diabaikan. Ini sesuatu yang tidak adil kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipesongkan niat asal keputusan itu dibuat.

Saya melihat isu ini dalm perspektif yang objektif kerana asas keputusan itu dibuat jauh dari sebarang kepentingan politik atau campurtangan politik. Kedua, keputusan itu dibuat mengikut kerangka dan proses kerja Jabatan Mufti dan bukan dalam kerangka Exco Agama Pulau Pinang dan jauh sekali Pejabat Ketua Menteri.

Dari awal lagi asas keputusan dibuat tiada unsur kepentingan pentadbiran kerajaan negeri. Jabatan Mufti bertindak di atas kes aduan yang dibuat dan Jawatankuasa Fatwa akan berbincang dengan bantuan unit penyelidikan di Jabatan Mufti dengan merujuk kepada kes yang diadukan.
Dalam hal ini kes yang diadukan ialah hukum penggunaan pembesar suara yang memperdengarkan ayat-ayat Al Quran dari corong mesjid dan surau. Aduan ini juga beralasankan bahawa perbuatan itu ‘mengganggu’ suasana sekeliling. Jawatankuasa Fatwa bersidang bagi menjawab persoalan ini. Dorongan keputusan di sini jelas datang dari proses biasa apabila sesuatu kes diadukan untuk mendapatkan hukum Islam dalam hal ini.

Kerakusan media ‘membelasah’ pandangan ini melalui kenyataan-kenyataan yang provokatif telah memburukkan institusi pembuat keputusan dalam Islam dan kedudukan Mufti sendiri sebagai Penasihat Raja-Raja Melayu. Apakah kerana kenyataan keputusan ini datang dari Pejabat Mufti Pulau Pinang maka ia tidak perlu dihormati? Apa bezanya institusi Mufti Pulau Pinang dengan yang lain?

Mengapa Perlis yang sudahpun membuat keputusan larangan ini tidak kecoh dan heboh? Mengapakah Perlis tidak dilabel sebagai negeri yang mahu ‘meminggirkan Islam’ dengan larangan ini, sedangkan Pulau Pinang dicop demikian. Apa beza larangan yang dibuat oleh Pejabat Mufti Perlis dengan yang di Pulau Pinang?

Adapun beberapa pihak yang mendakwa bahawa YDP Agung tidak dirujuk, mereka jahil tentang proses sesuatu keputusan dibuat. Apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang hanyalah pendapat tentang hukum kes yang dirujukkan, ia belum menjadi fatwa selagi tidak dipersembahkan kepada Agung dan selalunya Agung akan menghormati keputusan Mufti yang lebih arif tentang hukum hakam Islam.

Jawatankuasa Fatwa yang meneliti kes yang dirujuk tidak perlu berbincang dengan YDP Agung, hanya setelah hendak diwartakan barulah perlu mendapat perkenan Agung. Sehingga kini status keputusan hanyalah di peringkat Jawatankuasa dan tidak boleh dikuatkuasakan walaupun tanggungjawab pihak yang terlibat ialah mengormati keputusan.

Merujuk kepada soalan mengapa Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan, ia adalah satu lagi kejahilan pihak tertentu tentang proses dan hubungan dengan Fatwa Kebangsaan. Sama kesnya dengan Isu “Pengharaman Poco-Poco” Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan awal tentang keputusan itu, hanya setelah dibincangkan Fatwa Kebangsaan menolak tetapi menghormati keputusan Mufti Perak.

Maknanya penerimaan atau penolakan Majlis Fatwa Kebangsaan terpulang kepada Muzakarah yang dibuat dan jika ditolak ia hanya di peringkat kebangsaan sahaja dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan negeri masing-masing. Mengapa peraturan ini tidak dipakai untuk kes keputusan Mufti Pulau Pinang?

Saya belum sempat lagi menulis tentang dalil keputusan larangan yang bagi saya cukup syar’ie dan ada dalil yang kukoh dan perlu dihormati. Janganlah kita kerana tenggelam dengan garis politik sempit dan dendam sanggup membutakan mata kita dengan perkiraan syari’e yang menjadi asas kepada setiap perkara dalam tindak tanduk kita. Malangnya orang Melayu sendiri yang memperbodohkan diri mereka dalam isu ini sehingga tersingkaplah wajah mereka sebenarnya yang kononya menjadi pembela Islam tetapi untuk Pulau Pinang mereka membelasah institusi Islam semahu-mahunya! Saya amat menyokong pandangan Mufti dan syabas kerana berani berkata benar walaupun pahit.

Mujahid Yusof Rawa
MP Parit Buntar
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional

Umno terus tabur fitnah di bulan Ramadhan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Sikap para pemimpin Umno amat dikesali apabila mereka seperti tidak tahu menghormati ketibaan bulan Ramadan, sehingga tergamak membuat fitnah terhadap para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Lebih dikesali apabila fitnah yang dibuat oleh mereka itu bukannya berkurangan, malah makin bertambah dalam bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berkata, setiap rakyat negara ini boleh memerhatikan dengan jelas perlakuan buruk para pemimpin Umno itu dengan mengikuti sessi fitnah yang dicipta oleh mereka ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, fitnah yang dibuat oleh pemimpin Umno terhadap Anwar khususnya membabitkan kes liwat siri pertama diperhebatkan oleh mereka pada bulan Ramadhan.

Katanya, akibatnya, Datuk Seri Anwar terpaksa menerima kesan buruknya sehingga merengkuk dalam penjara beberapa tahun.

"Kini fitnah yang dibuat oleh mereka terhadap Anwar dilanjutkan pula unttuk kes liwat siri kedua dan semakin menjadi-jadi tanpa mempedulikan ketibaan bulan Ramadhan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam masa yang sama, menurutnya, mereka turut mencipta fitnah terhadap PAS walaupun kesemua fitnah yang dibuat oleh mereka itu amat jelas kepada pelbagai pihak sebagai tidak berasas.

Katanya, antara fitnah terbaru mereka terhadap PAS termasuk dengan mengatakan para pemimpin PAS berbalah sesama sendiri berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengadakan pemeriksaan ke Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) di Petaling Jaya, Selangor pada 3 Ogos lalu.

Selain itu, katanya, mereka juga turut menuduh PAS tunduk kepada DAP dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal agama dan dalam kes itu, sehingga dikatakan takut mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan aqidah umat Islam sendiri.

"Kesemua tuduhan itu adalah tuduhan dan fitnah amat berat dan amat jahat yang sememangnya tidak benar sama sekali.

"Sebaliknya, dasar perjuangan PAS untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen dan menegakkan kebenaran tidak pernah berubah dan PAS juga tidak pernah tunduk kepada sebarang pihak berhubung dasar perjuangannya.

"Bezanya, PAS tidak seperti Umno yang sanggup memperkudakan parti-parti lain dalam komponen BN terutama MCA dan MIC untuk kepentingannya sendiri.

"Selain itu, PAS juga tidak seperti Umno yang begitu mudah mengeluarkan kenyataan tidak berasas. Jadi untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu,PAS perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan keterangan dari GMDU dan Jais terlebih dahulu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pemimpin Umno agar memahami realiti itu dan tidak terus menabur fitnah yang bukan-bukan terhadap para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

"Sekiranya mereka tidak berubah sikap dengan terus membuat fitnah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan, fitnah tersebut pasti akan berbalik kepada mereka sendiri," ujar beliau.


Jawapan SPR macam Pak Pandir
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS kesal dengan sikap lepas tangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini yang menyatakan “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara.

“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak.

"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada,” bidas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.

Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Abdul Aziz sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.

“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.

"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang,” jelasnya sebagai reaksi balas kepada bukti-bukti yang dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat mengenai isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu yang terdiri daripada ahli Umno sendiri dan nama pengundi yang tidak wujud di sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi “Noraini binti Abdullah” berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.

“Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

"Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan Bersih 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walaupun SPR dan pihak berkuasa yang di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan nada yang sangat negatif, Tuan Ibrahim berkata dari segi positif perkara ini turut menyebabkan rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.

“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal Tuan Ibrahim.

SPR, katanya perlu melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

“Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.

"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” kata beliau.


Warga asing: Jual kerakyatan untuk kekal kuasa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa pihak kerajaan meneliti semula prosedur mengeluarkan sijil kerakyatan kepada warga asing yang kini mereka berada di Malaysia sudah mencecah jutaan orang.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, maklumat yang dikeluarkan amat mengejutkan iaitu seramai lebih 29,000 orang warga asing telah dilulus kerakyatan dalam tempoh 3 tahun yang lalu.

“Sementara bagi mereka yang telah didapati layak untuk mendapat kad warga negara di Malaysia, kami berpendapat sangat perlu proses melulus permohonan diteliti agar ia memberi manfaat kepada negara dari segi sosioekonomi dan pembangunan dalam jangka pendek mahupun jangka panjang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, adalah dikhuatiri jika sijil kerakyatan dikeluarkan dengan cara yang terlalu mudah, Malaysia mungkin bakal menjadi syurga pelbagai kelompok yang mungkin tidak memberi keuntungan kepada negara dan akhirnya membeban dan merugikan negara.

Justeru, ujarnya Teras memberi perhatian kepada sungutan wujudnya penganugerahan kerakyatan dikaitkan dengan politik.

Katanya, kelulusan kerakyatan akan pincang jika berlaku pertimbangan politik menjadi kriteria untuk pihak tertentu mahu memastikan pengundi memihak kepada mereka.

“Tindakan ini sama dengan kegiatan menjual kerakyatan hanya untuk mengekalkan kuasa. Teras percaya bahawa ujudnya kesangsian ramai pihak mengenai isu ini adalah berasas,” ujarnya.

Menurutnya, ada yang berpendapat bahawa suatu kecenderungan pihak tertentu pada masa ini mengeluarkan kad pengenalan adalah disyaki berkait dengan PRU 13.

Kesangsian ini, kata beliau akan bertambah meluas bila mana terdapat mereka yang memperolehi kad pengenalan dalam masa yang sangat singkat membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi.

Pihak Jabatan Pendaftaran Negara, ujarnya perlu menjelaskan apakah proses pengeluaran sijil kerakyatan dan pemberian kad pengenalan untuk warga asing benar-benar ditapis berdasarkan kelayakan dan syarat-syarat yang ketat.

Tambahnya, Teras turut mempersoalkan kualiti warga asing yang diambil sebagai warga negara Malaysia selain kerana faktor perkahwinan dan kelahiran.

“Kami berpendirian pihak kerajaan hendaklah meneliti dengan rapi proses pemberian kad pengenalan dan sijil kerakyatan kerana dalam jangka panjang Malaysia akan dibanjiri pelbagai warga asing yang tidak menentu akan membebankan negara,” katanya.

Tiada ulasan: