Sabtu, 13 Ogos 2011

BILA AKAL...TINDAK TANDUK SERTA AMAL TIDAK BERTUNJANG AKIDAH ISLAM ...HUKUM HAKAM ISLAM..TAK FIKIR TENTANG SYURGA NERAKA...MAIN BALUN DAN BELASAH AJER

Bila Amanah mahu tunjuk belangnya?
Subky Latif
SUDAH dua minggu Tengku Razaleigh melancarkan penubuhan Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, namun belum diketahui apa kegiatan dan rancangannya.

Ia hanya diketahui dengan apa yang diumumkan pada hari pelancarannya iaitu, ia mahu jadi NGO yang menghidupkan legasi kemerdekaan yang diamanah oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan fokas awalnya adalah tentang kepincangan pimpinan Perdana Menteri Najib dan halatujunya.

Oleh kerana ia didukung oleh bekas menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional serta bekas menteri negeri dan exco, maka tentulah NGO orang-orang politik yang kurang aktif atau sudah tidak aktif itu menarik perhatian.

Tetapi selepas pelancarannya ia seperti tenggelam dalam gelombang Tengku Razaleigh dikatakan dilamar kerabat Pakatan Rakyat bagi menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim kiranya politiknya tersekat oleh keputusan mahkamah nanti.

Sepatutnya Tengku Razaleigh dan Amanahnya yang boleh meributkan suasana kerana dipercaya akan menjadi pengkritik terbuka dari dalam Barisan Nasional.

Apakah ia hanya sekadar menjadi pengkritik bebas atau ia menjadi medan pemberontak penyokong BN yang tidak selesa dengan pimpinan Najib dan kerajaan sekarang?

Kemunculan pemberontak dalaman parti dan penyokong kerajaan selalunya mengancam pimpinan ketua kerajaan. Inilah menyebabkan pimpinan Perdana Menteri Margret Thatcher mengakhiri pemerintahan Parti Konservatifnya selama 17 tahun di Britian dan demikian juga yang terjadi kepada Perdana Menteri Tony Blair yang pernah berjaya mengetuai Parti Buruh memenangi tiga kali pilihan raya Britain.

Apakah Ku Li dengan Amanahnya akan memulakan gerakan bagi menggantikan pimpinan Perdana Menteri Najib yang dirasakan sebagai ketua kerajaan dan kerajaan Malaysia yang paling bermasalah dan lemah sejak merdeka? Itulah yang ditunggu dan hendak diperhatikannya.

Tetapi Amanah seolah-olah telah ditampar oleh bom asap yang di bawa Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang dikira agen Najib yang belum diumumkan menjadi Umno semula. Bom asap itu datang dari penyokong Najib dalam Umno tetapi cetusannya adalah bagi menjaga Umno dari menerima kesan atas politik Ku Li itu.

Ku Li lalu ditempelak pernah dirisik oleh kerabat Pakatan Rakyat bagi menjadi penyambung kepada kepimpinan Anwar mara menuju ke Putrajaya kiranya ia berdepan dengan halangan. Apakah ada asas tempelak itu dan adakah Ku Li adalah orang yang berminat untuk mengambil tempat itu adalah menjadi perkara kedua.

Tetapi sudah bergelombang atmosfera politik negara gara-gara bom asap bebas Bayan Baru itu. Kerabat Pakatan Rakyat terpaksa bersilat menangkis gas bom asap itu hingga ia mengurangkan sementara kelancarannya bergerak ke Putrajaya.

Dengan bom asap itu Ku Li dan Amanahnya tenggelam dalam asapnya hingga menyebabkan orang tidak teringatkan Amanah. Dan Ku Li sendiri senyap seribu bahasa. Dia tidak membuat sebarang respons terhadap bom asap itu dan membiarkan Pakatan Rakyat bersilat menangkisnya.

Dan Ku Li dan Amanah juga diam hingga tidak diketahui apa yang hendak dibuatnya bagi memanas jentera programnya.

Demam pilihan raya sudah rancak. Bila pilihan raya tidak diketahui. Tetapi ia sudah tidak lama. Dan Amanah tidak boleh lama menunggu untuk membangkit program dan kegiatannya.

Mungkin ia belum dibenarkan bergerak selagi tidak didaftarkan. Tetapi Amanah adalah NGO politik yang tidak terikat banyak dengan pantang larang pendaftaran pertubuhan. Dan tempoh bekerja Amanah pun tidak banyak sangat bagi meraih faedah dari suasana dan perkembangan politik kita.

Masa yang ada pada Amanah ialah tempoh menjelang pembubaran Parlimen dan sebelum pilihan raya. Apa yang Amanah hendak buat dan hendak capai adalah dari kegawatan yang melanda kerajaan, Umno dan Najib sekarang. Itulah tempoh kesempatan terbaik bagi Ku Li dan Amanah untuk merebut sesuatu.

Apabila Parlimen dibubarkan, tidak banyak lagi yang Ku Li dapat buat kerana kedudukannya sendiri pun akan ditentukan oleh keadaan itu. Ku Li tidak boleh banyak kerja lain melainkan menumpukan penuh masa dan tenaga di Gua Musang.

Sama ada dia dicalonkan semula oleh BN atau digugurkan, dia terpaksa mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang itu atas apa calon sekali pun. Kalau Ku Li digugurkan, Ku Li terpaksa menumpukan usaha bagi mendapatkan persetujuan Pakatan Rakyat memberi laluan kepadanya. Pakatan Rakyat tidak akan memberi laluan kiranya Ku Li sekadar hendak mempertahankan kerusinya.

Apakah PAS pada keadaan demikian memberi konsesi sama seperti yang diberi kepada Ibrahim Ali pada PRU 2008 dulu? Mungkin Ku Li bukan Ibrahim Ali tetapi PAS ada pengalaman yang baik.

Masa itu tiada lagi peluang bagi Ku Li bagi mewarwarkan Amanah di luar Gua Musang. Masa bagi Amanah menunjukkan belangnya adalah sekarang. Inilah masa untuk mendedahkan belang Najib dan kerajaannya. Barulah ada erti dan sengatnya pelancaran Amanah itu.

A Kadir Jasin: Menteri Palanivel dan macam-macam cerita
A Kadir Jasin
KALAU menambahkan bilangan, menaikkan KPI, maka KPI Perdana Menteri naik se takuk lagi. Beliau baru sajamenambah bilangan anggota kabinetnya kepada 30 dengan melantik seorang ahli politik kecundang.

Sebenarnya saya pun tak tahu kedudukan KPI menteri, pegawai dan jabatan. Yang saya baca, Idris Jala kata, kadar jenayah menurun dan matlamat NKRA sedang dicapai.

Tapi yang saya baca setiap hari orang kena bunuh, mayat reput ditemui, orang kena ragut sampai mati dan macam-macam lagi jenayah ngeri. Yang saya tengok, tak ada kawasan perumahan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang tak dikepung dan dikawal siang malam.

Perdana Menteri melantik presiden MIC, Palanivel a/l Govindasamy aka G. Palanivel menjadi seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menaikkan bilangan mereka kepada lima.

Seperti Koh Tsu Koon dan Shahrizat Abdul Jalil, Palanivel juga kalah pilihan raya umum. Dia kalah kepada calon PKR di Hulu Selangor dan tidak dicalonkan untuk bertanding pilihan raya kecil kawasan yang sama tahun lalu. Dalam PRU akan datang, dia dikatakan akan bertanding di Sungai Siput, Perak, kawasan bekas bosnya S Samy Vellu yang kalah kepada DAP.

Memang kabinet kita besar. UK dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri, Perancis 66 juta ada 23 menteri, Amerika 312 juta ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta ada tujuh menteri. Kita ada 28 juta penduduk dan 30 menteri. Tidak hairanlah susah nak jumpa menteri sebab tak tahu yang mana satu.

Seorang pegawai media Perdana Menteri berkata, PM ada 11 pegawai media yang terdiri daripada bekas pengarang, wartawan kanan dan eksekutif TV. Paling ramai Dr Mahathir ada sepanjang jadi PM adalah tiga.

Malaysia Boleh Di Mana-Mana

Dilaporkan yang pasangan lesbian Menteri Kewangan Australia peranakan Malaysia, Penny Wong, yang dikenali sebagai Sophie Allouache mengandung. Perempuan dengan perempuan bersekedudukan boleh mengandung?

Sehebat mana pun orang Malaysia atau kelahiran Malaysia, perempuan dengan perempuan dan jantan dengan jantan tak menjadi. Hukum Allah macam itu. Pasangan lesbian Penny Wong mengandung secara in vitro dengan ihsan seorang penderma sperma – air mani lah tu.

Kerana pasangan lesbian Penny Wong bunting, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata dia gembira. Gillard bukan lesbian, tapi tak kahwin. Dia ada pasangan tetap bernama Tim Mathieson.

Tukar-Menukar Harap Berjaya


MAS dan AirAsia bertukar-tukar saham. Sebab saham AirAsia mahal dan saham MAS murah, Tune Air, iaitu syarikat induk AirAsia, mendapat 20.5 peratus saham MAS dan Khazanah, induk MAS, dapat 10 peratus saja saham AirAsia.

Pertukaran saham itu bernilai hampir RM2 bilion berdasarkan harga AirAsia RM3.95 seunit Jumaat lalu dan saham MAS RM1.60 seunit. Khazanah masih pegang 49 peratus saham MAS.

Pengarah Urusan MAS, Tengku Azmil Zahruddin letak jawatan. Tony Fernandez dan rakan kongsinya Kamaruddin Meranun sertai Lembaga Pengarah MAS.

Yang menarik ialah majoriti eksekutif kanan Tune Air/AirAsia adalah Melayu. Jelas syarikat-syarikat milik usahawan India Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia cenderung memberi jawatan bermakna kepada eksekutif Melayu yang berkemampuan, tidak seperti syarikat milik kaum-kaum bukan Bumiputera lain yang ambil Melayu jadi pengarah hiasan, kerani, pemandu, penghantar surat, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi. GRO Melayu pun ramai mereka ambil.

Salah seorang ahli lembaga pengarah baru MAS adalah Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Rohana Rozhan. Astro adalah sebahagian daripada empayar korporat Ananda Krishnan.

Kalau ikut Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Khazanah akan jual banyak lagi saham GLC. Khazanah akan kurangkan pegangan saham dalam lebih 30 GLC atau menjualnya terus. Harap-harap janganlah hanyut pengurus dan eksekutif Bumiputera dalam GLC.

Tak Sangka Bawa Angkara


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop, memberitahu wartawan Jumaat lalu yang krisis kewangan Eropah dan kemerosotan ekonomi Amerika tidak akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Alhamdulillah kalau betul, Isyak-Allah akan terbukti.

Tak tahulah saya kalau menteri itu anggap kejatuhan harga saham di Bursa Malaysia, kemerosotan import oleh Amerika, kejatuhan pengeluaran perindustrian dan kenaikan harga barang pengguna tidak jejas ekonomi negara.

Yang kita tahu, bila ekonomi negara menguncup pada tahun 2009, Nor Mohamed Yakcop kata dia tak sangka. Tak tahulah saya kalau pengurusan ekonomi dan persediaan menghadapi krisis ekonomi global boleh diasaskan kepada sangka dan tak sangka. Wallahualam.

Source: http://kadirjasin.blogspot.com/2011/08/menteri-palanivel-dan-macam-macam.html

Bonus: Isu ranting beri perhatian, akar pejam mata
Mahyudin Ahmad

Kerajaan akhirnya bersetuju meng'hadiah'kan bonus kepada 1.27 juta kakitangan awam yang bakal menikmati bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, manakala setiap pesara kerajaan pula mendapat RM500 yang akan dibayar pertengahan bulan ini. Jumlah pembayaran bonus tahun dianggarkan sebanyak RM2 billion.

Maka kerajaan pun dilihat begitu prihatin dengan beban ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan, lantaran Perdana Menteri sendiri menyebut pemberian bonus ini tidak lain adalah untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat di musim perayaan ini.

Namun, dalam jangka pendek di mana kadar produktiviti pengeluaran adalah malar, maka kesan langsung dari lebihan wang dalam kitaran ekonomi ialah kenaikan harga barang yang berkali ganda mengikut hukum MV=PT dari teori Irving Fisher. Apatah lagi kes ketidakcukupan barang-barang keperluan untuk sambutan perayaan seringkali kita dengar yang sudah pasti mengakibatkan tingkat harga semakin melambung.

Jadi pemberian bonus yg diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan kakitangan awam itu sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat jika harga barang melambung tinggi dari kadar biasa. Logiknya, peningkatan nominal pendapatan kakitangan awam sebanyak 50% pada bulan ini tidak bermakna apa-apa apabila harga barang naik mendadak lebih dari kadar berkenaan hasil dari penguncupan kuasa beli mereka.

Kita juga ingin tahu dari sumber manakah kerajaan memperolehi dana berjumlah RM2 billion untuk pembayaran bonus berkenaan? Saya tidak fikir kerajaan sanggup mencetak wang semata-mata untuk tujuan ini. Jadi saya beranggapan ia hasil dari pinjaman kerajaan. Sudah tentu pemberian bonus ini bakal mengakibatkan jumlah pinjaman kerajaan meningkat sekaligus defisit kerajaan yang lebih tinggi.

Untuk tahun 2009 dan 2010, hutang kerajaan naik mendadak pada kadar lebih 50% dari KDNK (2009-55% dan 2010-54%), paling tinggi sejak krisis kewangan 1998. Malah melebihi purata pinjaman kerajaan sejak 1990 hingga 2010 iaitu pada 47%.

Bajet kerajaan juga masih terbelenggu masalah defisit sejak lebih sedekad lalu. Sejak dari krisis kewangan 1998 purata defisit kerajaan adalah 4-5% dari KDNK negara. Paling kritikal pada 2009 iaitu pada kadar lebih 7%. Walaupun tahun 2010 dapat dikurangkan ke 5.6%, namun pada 2011 ia dianggarkan dalam jajaran 5% juga. Tambah buruk lagi, peningkatan defisit adalah kerana bertambahnya perbelanjan pengurusan, bukannya perbelanjaan pembangunan.

Jika dana RM2 billion ini hasil pinjaman kerajaan, maka keputusan kerajaan memberikan bonus ini seolah-olah cuba menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan penguncupan kuasa beli rakyat sekadar melepaskan batuk di tangga, isu ranting yang diberi perhatian, akar permasalahannya dipejamkan mata. Yang nyata, kita berdepan dengan keadaan kewangan kerajaan yang cacamarba pengurusannya. Kita punya kerajaan yang tidak serius menangani kebajikan ekonomi rakyat.

Jika kerajaan benar-benar mahu mengurangkan beban rakyat, maka tunjukkan keseriusan dalam menangani maslah pembaziran, ketirisan, dan perbelanjaan melampau. Ingatkah anda lagi pada kos RM50 juta untuk melaksanakan program email 1Malaysia? Manakala RM1.8 juta pula disia-siakan untuk membayar kos penyelenggaraan laman Facebook Kementerian Pelancungan Malaysia oleh syarikat yang langsung tiada laman web! Jika anda teliti Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat, anda sudah pasti berjumpa dengan pelbagai senarai ketirisan dan salah urus harta Negara hingga mengakibatkan ketirisan lebih RM28 billion. Ini bukan cerita rekaan, semua maklumat ini juga boleh didapati dari Laporan Audit Negara untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Rakyat sebenarnya berhak mendapat kualiti gaji yang memungkinkan kuasa beli yg lebih tinggi. Pemberian bonus secara one-off begini tidak membantu rakyat mencapai tahap itu. Kita perlukan pengurusan yang benar-benar berhemah, yang mahu meletakkan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama. Peningkatan ekonomi tidak sekadar pada peratus kenaikan KDNK semata, namun kebajikan dan taraf hidup rakyat patut turut meningkat.

Kalau kita teliti pemberian bonus ini pun, sepatutnya ia berbentuk piramid di mana untuk kakitangan awam di peringkat tertinggi seperti JUSA patut tiada bonus diberikan, bagi kumpulan professional dan kumpulan A mendapat setengah atau sebulan gaji, dan bagi kumpulan sokongan dan pentadbiran sekurang-kurangnya 2 bulan gaji. Ini baru dilihat benar-benar prihatin dengan kebajikan rakyat.

Tidak hairanlah ada pembaca akhbar yang meminta CUEPACS menolak pemberian bonus setengah bulan ini dan mengharap badan penjawat awam itu terus mendesak kerajaan memberikan sekurang-kurangnya bonus dua bulan gaji dan juga menyemak kembali tangga gaji mereka. Atau adakah ini langkah kerajaan mengabui mata penjawat awam memandangkan ura-ura pilihanraya umum yang makin dekat?

Leicester UK


Pengemis dan zakat salah siapa
Dr Rajiee Hadi

DALAM nota pendek ini saya mahu merujuk bicara tentang aspek wang zakat.Dan saya hanya menumpukan sumber zakat fitrah sahaja sebagai sumber ekonomi bagi membantu golongan lslam daif.

Walaupun kita ketahui pendapatan daripada zakat terus mengalir saban waktu bagi meningkatkan ekonomi ummah banyak daripada pelbagai termasuk dana bersumberkan zakat pendapatan, zakat perniagaan,haiwan,wang,harta,barangan kemas dan lain-lain namun ini belum lagi termasuk sumbangan dana dan peruntukan kerajaan, derma dan sedekah daripada orang ramai,NGO dan organisasi tertentu.

Hasil pendapatan ini biasanya akan diamanahkan atau diwakafkan ataupun diselenggarakan oleh jabatan-jabatan agama negeri masing-masing sama ada di bawah pengurusan Majlis Agama lslam negeri dan juga Baitulmal.

Sekilas pandang betapa cantiknya susun atur carta organisasi aliran pendapatan dan dana untuk membantu umat lslam agar tidak hidup merempat yang mana boleh menghampiri atau menjurus ke arah kekufuran.

Soalnya, jika di Malaysia kita ambil contoh titik tolak bermulanya pada hari kemerdekaan negara, 31 0gos 1957 hingga kini; anehnya masih kita 'dihebahhebohkan' dengan sang pengemis yang berkeliaran di sana sini, sang fakir yang merempat 'Bersamamu' hidup dalam kemiskinan, keluarga daif,dan orang kurang upaya (OKU),saudara baru dan seumpamanya yang miskin lara, mengemis dan mendamba berjurai air mata hiba hinggakan ironisnya mengharapkan bantuan di pihak gereja katolik atau mana-mana badan bagi menagih simpati.Apa sudah jadi wang zakat itu?

Kepada para pemegang amanah yang alim warak di jabatan atau majlis-majlis agama atau baitulmal apakah sudah jadi dengan wang zakat? Adakah membina kolej universiti,premis dan wisma yang didirikan atas logo lslam boleh mengeringkan derita air mata sang peminta?

Amat memalukan jika yang menjadi keutamaan dikebelakangkan manakala yang tidak wajib dimercukan.Biarlah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri yang telah sedia ada peruntukan untuk agama lslam selaras dengan Perlembagaan Negara membangunkan masjid,sekolah,kolej dan sebagainya melaksanakan tanggung jawabnya. Dalam erti kata lain usah diusik wang zakat selagi ada kemiskinan dan kelaparan umat lslam.

Bayangkan andainya pada tahun 1957 zakat fitrah yang dikenakan setiap individu lslam sekitar seringgit. Sekiranya umat lslam ketika itu 12 juta anggarannya kita mengumpulkan RM12 juta! Masakan sang fakir miskin papa kedana berjumlah 10-15 juta ketika itu/ Tidak mungkin.

Rasa-rasanya sekitar 10% penduduk lslam yang dalam kategori fakir dalam lingkungan 1.2 juta pada masa itu. Kerana semiskin-miskin orang Melayu pada zaman itu ada punya rumah sendiri,tanah dan dusun warisan sendiri yang boleh diusahakan untuk bercucuk tanam.Saya percaya wang zakat fitrah yang terkumpul dalam satu tahun sahaja,RM12juta PADA TAHUN 1957 boleh menyelesaikan isu sang fakir dalam negara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. lngat ini hanya anggaran kasar sahaja.

Justeru bagaimana pada era kini wang zakat fitrah RM6-7 setiap individu manakala penduduk lslam berjumlah hampir 20 juta? Dengan kiraan yang mudah anda boleh gambarkan berapakah wang yang terkumpul. ltu belum lagi merangkumi hasil mahsul zakat dan sumber-sumber yang lain.

Alangkah beruntung dan bertuahnya umat lslam.Nota ini cuma mahu mencetuskan minda kritis pembaca secara permukaan dan dasarnya sahaja. Dan alangkah indahnya umat lslam daripada semua lapisan masyarakat,latar kepakaran dan kemahiran berganding usaha dan memfokuskan kebajikan ummah tanpa tertipu dek kebendaan semasa.Dan masa inilah kita memikirkan sebuah negara impian yang berkebajikan untuk kesejahteraan rakyatnya!

Presiden Persatuan Pengamal Pendikan, Kuala Lumpur.

Eloknya bonus sempena buka sekolah
Mohd 'Adlan Mohd Shariffuddin

Sekali lagi, Datuk Omar Osman selaku Presiden CUEPACS meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini. Kali ini, beliau meminta agar pemberian bonus tersebut diberikan sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan penjawat awam.

Norma manusia, tiada siapa yang akan menolak pemberian bonus ini, malah hampir semua kakitangan awam mengharapkan sesuatu imbuhan daripada kerajaan. Namun, permintaan ini haruslah dikaji dari beberapa aspek, antaranya bilakah tarikh bonus itu dikehendaki.

Datuk Omar memohon bonus diberikan sebelum hari Raya, dan ini satu petunjuk bahawa Datuk Omar memohon bonus tersebut untuk dihabiskan oleh kakitangan pada hari Raya, iaitu untuk perbelanjaan Raya.

Saya memandang ini sebagai sesuatu yang tidak sihat, kerana seolah-olah Datuk mahukan penjawat awam ini beraya sakan dan menghabiskan bonus tersebut sekelip mata, sedangkan dalam keadaan inflasi yang sedang meningkat, dengan harga barang makanan yang melambung tinggi, penjawat awam haruslah merancang untuk hari Raya yang lebih sederhana.

Pepatah Melayu menyebut, “Ukur baju di badan sendiri”. Tidakkah konsep berbelanja berpada-pada menjelang hari lebaran yang harus dicanangkan oleh Datuk? Saya belum pernah terbaca sebarang laporan akhbar di mana Presiden CUEPACS menggesa penjawat awam supaya berbelanja dengan berhemah menjelang perayaan atau supaya mereka tidak membazir.

Berapa ramai penjawat awam yang menghabiskan gaji mereka – malah mungkin berhutang atau membuat pinjaman – untuk perbelanjaan Raya yang sebenarnya boleh dikurangkan? Contohnya pemberian duit raya, ia patut dielakkan oleh mereka yang kurang mampu. Ini disebabkan konsep duit raya itu sendiri tidak berasal daripada agama Islam, dan kalaupun ia dianggap sebagai sedekah, mereka harus tahu bahawa sedekah hendaklah dikeluarkan oleh mereka yang mampu, dan bukan kerana terpaksa.

Contoh lain ialah perjalanan untuk balik raya. Ramai yang mengadu harga petrol yang tinggi ditambah dengan tol menyebabkan kos perjalanan mereka meningkat menjelang perayaan. Tidakkah rakyat dapat menjimatkan perbelanjaan mereka jika mereka mengurangkan perbelanjaan pergi beraya ini?

Begitu juga dengan konsep rumah terbuka yang semakin subur menjadi budaya 1Malaysia. Ramai penjawat awam menghabiskan wang yang bukan sedikit semata-mata untuk membuat rumah terbuka. Ini juga harus dinilai semula bagi mereka yang kurang mampu, kerana rumah terbuka bukanlah amalan mereka yang berpoket kecil.

Saya bukanlah anti kepada bonus yang diminta, bahkan saya juga akan bersyukur jika mendapat bonus. Tetapi, alangkah baiknya jika Datuk Omar meminta bonus itu sempena buka sekolah. Jadi, wang bonus itu akan mengalir kepada pendidikan anak-anak sepenuhnya iaitu untuk perbelanjaan sekolah mereka.

Alangkah baiknya jika bonus dua bulan itu digunakan untuk membeli buku-buku sekolah anak-anak, pakaian mereka, termasuklah membayar yuran sekolah. Jadi tidaklah timbul lagi isu yuran sekolah tertangguh sampai ke hujung tahun lagi.

Dan saya suka mencadangkan kepada Presiden CUEPACS, di samping memperjuangkan bonus saban tahun, perjuangkanlah juga kualiti perkhidmatan penjawat awam agar rungutan masyarakat terhadap kakitangan awam berkurangan.

Laporan akhbar bahawa 8,196 kakitangan awam tidak hadir bertugas dikenakan hukuman pada 1 Julai baru-baru ini seharusnya mendapat perhatian tertinggi Datuk Omar.

Presiden CUEPACS juga wajar meminta penjawat awam agar menepati masa kerja mereka, memberikan khidmat dengan senyuman, tidak berehat melebihi masa, menyiapkan segala tugasan, tidak balik awal, tidak menyalahgunakan khidmat Internet di pejabat, malah tidak menggunakan masa kerja untuk berniaga. Belum pernah saya dengar seorang Presiden CUEPACS memperjuangkan hal-hal sebegini.

Mudahnya status warganegara dilacurkan

Mohd Rizal

Menjadi warga kepada sebuah negara berdaulat dan amat istimewa seperti Malaysia sememangnya adalah suatu anugerah yang tidak ternilai. Ia tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit, atau dengan satu pangkah undi mahupun dengan maruah peribadi. Hasrat menjadi warganegara Malaysia menuntut pengorbanan yang sangat tinggi.

Malaysia yang kita diami ini tercetus hasil perjuangan pejuang dan pahlawan silam yang hebat-hebat belaka. Jika kita berkorban harta, mereka berkorban nyawa. Kemerdekaan yang diperjuangkan bukan baru 54 tahun lalu, tetapi telah berterusan zaman berzaman ratusan tahun lamanya. Memang diakui sudah hampir pupus bangsa Melayu yang asli, memang payah dibezakan antara warganegara yang dijemput masuk dengan warganegara yang lahir di bumi bertuah ini. Namun semuanya itu sudah tidak penting lagi dalam konteks negara bangsa Malaysia pada hari ini. Bangsa Malaysia moden menuntut taat setia yang tidak berbelah bahagi daripada setiap warganegaranya tidak kira dari rumpun mana sekalipun.

Rakyat Malaysia umumnya risau dengan perkembangan mutakhir yang telah melihat betapa mudahnya status warganegara Malaysia ini dijualbeli, dilacur dan dirasuahkan. Atas nama keselamatan yang sebenarnya masih samar dan kelihatan seperti sengaja diperbesar-besarkan, rakyat yang prihatin sudah tentulah bimbang dengan natijah yang bakal menimpa sekiranya isu kewarganeraan ini diambil mudah.

Saya sendiri agak kurang yakin dengan tindakan memutihkan pendatang tanpa izin yang sudah berada di Malaysia ini. Saya bimbang sekiranya ada usaha-usaha terancang untuk menganugerahkan taraf warganegara segera kepada sebahagian daripada mereka dengan tujuan dan matlamat yang songsang dan dajal.

Saya ingin bertanya, “apakah nilai kewarganegaraan Malaysia?”. Jika anda seorang warganegara tulen ataupun seorang yang benar-benar ikhlas untuk menjadi rakyat Malaysia, maka soalan-soalan berikut sepatutnya mudah untuk anda jawab:

1. Jika anda layak mengundi, apakah yang akan mempengaruhi undi anda?
2. Sekiranya Malaysia berhadapan situasi tegang, ke manakah haluan anda?
3. Di samping meningkatkan taraf hidup anda, adakah anda akan turut sama membantu meningkatkan tahap ekonomi setempat dan negara Malaysia?
4. Adakah anda hanya akan bergaul bersama rakyat tempatan? Atau anda akan mencipta komuniti baru di kalangan kaum dan bangsa anda sahaja?
5. Adakah bahasa Malaysia akan dipelajari dan digunakan sepenuhnya?
6. Adakah anda faham sejarah pembentukan Negara Malaysia?
7. Adakah anda faham dan menghormati pula hubungan antara kaum serta hak-hak mereka?
8. Adakah anak-anak serta ahli keluarga anda akan dididik dengan nilai keMalaysiaan atau sebaliknya?
9. Adakah anda sanggup bergadai nyawa mempertahankan Malaysia?
10. Fahamkah anda akan peranan institusi beraja di Negara ini? Adakah anda akan bersumpah taat setia dengaannya?
11. Adakah anda faham kedudukan agama Islam di negara ini?
12. Mampukah anda memahami, menghayati dan turut bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat setiap kali lagu keramat tersebut berkumandang?
13. Sekiranya anda mampu, adakah anda akan kekal di Malaysia atau pulang ke negara asal anda?

Rakyat Malaysia yang pernah tinggal di luar negara sudah tentu faham perasaannya menjadi pendatang di negara orang. Jiwa Malaysia tidak mungkin hilang dalam tempoh yang singkat. Justeru bagaimana mungkin dapat kita mengharap kesetiaan, kepercayaan daripada pendatang asing yang hanya baru setahun jagung berada di Malaysia?

Tanah Tumpah Darahku bukanlah kalimah biasa yang boleh dibuat main. Ia bukan sekadar nyanyian biasa atau lolongan seronok setiap kali kita menonton bolasepak tempatan. Tanah Tumpah Darahku sangat sinonim dengan perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan korban nyawa yang tidak terhitung banyaknya. Jalur Gemilang juga bukanlah sekadar rekaan bendera biasa yang dibuat sambil lewa. Setiap warna, barisan, jumlah bucu dan lentuk bulannya membawa makna yang simbolik dan unik. Saya kurang yakin warganegara segera akan faham semua ini.

Jadi apakah nilai menjadi rakyat Malaysia yang sebenar-benarnya? Pada keturunan, warna kulit? Agama? Status ekonomi?

Nilai sebenar terletak pada jiwa. Jika anda berjiwa Malaysia teruskan menjadi pejuang yang hebat. Jika soalan-soalan di atas boleh anda jawab dengan mudah dan tenang; maka silakan sertai kami menjadi rakyat Malaysia yang patuh dan taat. Namun jika sebaliknya, lupakan hasrat anda buat masa ini, kembalilah berbakti kepada negara asal anda dan jadilah rakyat yang berjasa kepada ibu pertiwi anda. Jangan kacau bilaukan kami, jangan rosakkan kemerdekaan kami, jangan hancurkan cita-cita kami dan jangan sekali-kali khianati kepercayaan kami.

Ingatlah, keris bersarung jauh lebih berbahaya daripada keris terhunus!


Tiada ulasan: