Jumaat, 26 Ogos 2011

JANGAN DAKWAT KEKAL ACAH-ACAH AJE...JIKA NI TAK JADI JUGA...LIHATLAH CARA BERFIKIRANNYA..NAMPAK SANGAT PEMBELIT DAN PENIPU TEGAR...

Status nama 'jarang didengar' berubah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Dewan Pemuda PAS hari ini membongkar lagi keraguan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terbaru, Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi, Mohd Adram Musa terdapat perubahan status terhadap nama 'jarang didengar' yang ada dalam senarai SPR tetapi tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didedahkan mereka sebelum ini.

Individu tersebut adalah Jumaayah Binti Alus yang kini namanya sudah ada dalam rekod JPN.

Pada 22 Ogos lalu, pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi, Suhaizan Kaiat mendedahkan lima nama unik yang jarang didengar dan mempunyai dua nombor kad pengenalan berbeza.

Nama-nama tersebut seperti berikut:

1. Jumaayah Bin Alus. Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 511122105834 dan 511122105754. Kedua-duanya dibezakan pada digit ke-10 dan ke-11.

2. Sainam Binti Tukisan: Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 500307105490 dan 500307105474. Kedua-duanya di bezakan pada digit ke 11 dan 12 sahaja.

3. Katimah Binti Kadni: Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 500808015282 dan 500808015290. Kedua-duanya dibezakan oleh digit ke-11 dan ke-12

4. Nesam Banu Bt Mohammad Fahmi: Identiti ini adalah pengundi pos. Nombor tenteranya adalah T373594 dan T375594. Kedua-dua nombor tentera ini dibezakan pada digit ke-4 sahaja.

5. Lanuddin Bin Ngah Mat Nasir: Identiti ini adalah undi pos dan memiliki dua nombor keanggotaan polis iaitu RF107781 dan RF107881. Kedua-dua nombor keanggotaan ini dibezakan pada digit ke-6.

Selain itu, ada di antara mereka termasuk nama Jumaayah Binti Alus hanya ada dalam senarai SPR dan tiada dalam rekod JPN.

Bagaimanapun statusnya hari ini telah bertukar dan kini MyKadnya wujud dalam rekod JPN apabila disemak menggunakan salah satu nombor kad pengenalannya iaitu 511122105834.

"SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didesak membersihkan Daftar pemilih terlebih dahulu sebelum menunding jari kepada pihak lain.

"Apa yang jelas SPR hanya cuba melepaskan diri dengan menyalahkan JPN ,dari siri pendedahan yang telah dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia," ujar Adram.

Selain itu, beliau juga turut mendedahkan enam lagi nombor kad pengenalan yang didakwa ada dalam senarai SPR tetapi tiada dalam rekod JPN.

Nombor kad pengenalan tersebut adalah seperti berikut:

1. 790924145621

2. 750612105026

3. 620826086291

4. 850709146543

5. 850706145967

6. 651105105087

Sehubungan itu, beliau mendesak SPR membersihkan senarai daftar mereka terdahulu sebelum menyalahkan pihak lain yang mendedahkan perkara tersebut.

"Saya tidak tahu berapa lama data ini boleh bertahan sebelum ditukar statusnya. Tidak salah jika rakyat membuat pelbagai tafsiran dengan keadaan seperti ini," katanya.


TNB didesak dedahkan SOP
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Tenaga Nasional Berhad (TNB) didesak supaya mendedahkan Standard Operating Procedure (SOP) mereka kepada orang ramai bagi menghentikan semua salah faham yang sedang meningkat sekarang.

Pendedahan tersebut perlu dilakukan sekarang jika benar TNB mempunyai SOP yang tersendiri seperti yang dinyatakan ketika menjawab kemusykilan orang ramai terutama berhubung dakwaan kecurian elekterik.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, baru-baru ini TNB telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa mereka mempunyai SOP dan ‘formula’ untuk mengira ganti rugi kes kecurian elektrik dengan mengganggu meter.

Menurut beliau, selain itu, TNB juga menyatakan bahawa mereka telah ‘mengikut proses dan prosedur’ yang telah ditetapkan oleh SOP itu.

Katanya, kenyataan TNB itu adalah berita baik untuk seluruh rakyat Malaysia dan dengan itu TNB tidak perlu membuat dakwaan kosong, sebaliknya mestilah mendedahkan segera perkara itu kepada semua rakyat negara ini selaku para pengguna elektrik yang dibekalkannya.

"TNB perlu memuatnaikkan dokumen-dokumen itu untuk makluman umum dalam tempoh masa 1 hingga 2 hari dalam laman web mereka dengan kadar segera.

"Ini akan membantu semua pihak memahami hak mereka dan juga menggunakan formula pengiraan ganti rugi yang sama untuk mengesahkan bayaran ganti rugi yang dikenakan kepada ‘yang tertuduh’," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Dengan bertindak seperti itu, menurut beliau, barulah TNB boleh dikatakan telah melakukan suatu langkah dan kaedah yang betul dalam menyelesaikan perselisihan untuk mana-mana perlindungan pengguna.

Katanya, terdapat empat manfaat kepada orang ramai jika TNB memuatnaikkan SOP dan kaedah pengiraan ganti rugi untuk makluman umum.

"Pertama, akan menghapuskan segala perselisihan faham. Kedua, akan memberikan peluang kepada pengguna untuk mengetahui langkah-langkah yang diambil oleh TNB untuk menguji dan mengesahkan situasi mencuri elektrik dengan mengganggu meter.

"Ketiga, akan memberikan peluang kepada penguna-pengguna yang dituduh mencuri elektrik untuk mengira menggunakan kaedah yang sama sebagai satu proses pengesahan.

"Keempat, akan menegakkan ketelusan dan kredibiliti semua pihak serta menegakkan prinsip-prinsip perlindungan pengguna yang digariskan oleh Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Selain daripada itu, berdasarkan statistik yang diberikan oleh TNB dalam kenyataan mereka, menurutnya, 15 daripada 19 kes adalah kes kecurian yang sahih.

"Ini bermakna terdapat 20 peratus julat kesilapan dalam SOP yang diguna pakai oleh TNB. Setiap pengguna mempunyai hak untuk mengetahui tujuan mereka membayar serta mengapa mereka dituduh telah melakukan sesuatu kesalahan," ujar beliau.


Dakwat kekal: Jangan peristiwa 2008 berulang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengalukan hasrat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Bagaimanapun, timbalan ketuanya, Suhaimi Abdul Aziz berkata, hasrat itu jangan hanya sebagai menyedapkan hati rakyat sahaja seperti berlaku pada PRU ke-12 pada tahun 2008 dahulu.

"DPPWP mengingatkan SPR agar jangan peristiwa tahun 2008 dahulu berulang di mana penggunaan dakwat kekal gagal dilaksanakan meskipun ianya telah diwar-warkan akan digunakan pada PRU ke 12.

"Pelbagai helah dan alasan digunakan bagi menutup kelemahan mereka dalam melaksanakan sistem ini. Hakikatnya, dakwat kekal masih gagal dilaksanakan dan sistem pilihanraya di Malaysia menjadi perbualan rakyat Malaysia ketika ini,' katanya.

Beliau mengulas pengakuan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof bahawa sistem biometrik yang dipersetujui kerajaan untuk digunakan pada PRU akan datang lebih banyak masalah berbanding jika menggunakan dakwat kekal.

Sambil menyokong kajian penggunaan dakwat kekal yang dibuat dengan terperinci oleh SPR, biliau berkata tindakan itu walaupun dilihat tradisional dan tidak menggunakan teknologi canggih, tetapi ia mampu menyelesaikan segala persoalan pengundi bertindih atau pengundi yang mengundi berulang.

Menyifatkan ianya sesuai di semua tempat sama ada di bandar atau di ceruk kampung, kos penggunaan dakwat kekal juga jauh lebih murah dari sistem biometrik.

"Bagaimana jika ianya digunakan di kawasan pedalaman yang tidak ada akses internet, sudah pasti biometrik tidak boleh digunakan kerana tidak boleh online dengan sistem." katanya lagi.

Lebih dari itu ujarnya, sistem biometrik tidak mampu menyelesaikan masalah pengundi klon atau bertindih kerana mereka ini masih valid dalam sistem walaupun mengundi berkali-kali.

"Setidak-tidaknya, penggunaan dakwat kekal boleh selesaikan satu daripada beberapa isu terhadap sistem pilihanraya di Malaysia dan boleh meredekan seketika suhu kemarahan rakyat.

Selebihnya, SPR perlu berusaha keras memenuhi semua tuntutan BERSIH bagi memastikan pilihanraya umum ke 13 nanti benar-benar adil dan bersih dari sebarang penipuan," tegasnya.


Doa Azizi makbul mahu mati dulu
Subky Abdul Latif

HARAPAN sasterawan Azizi Haji Abdullah mahu mati dulu dari saya terkabul pada pagi 21 Ogos, 2011 bersamaan 21 Ramadhan 2011 lalu.

Dalam mingguan SIASAH keluaran 8 – 14 Februari 2009 menulis rencana bertanjuk Subky, janganlah engkau mati dulu.

Tulisannya itu memberi saya pahala kerana ia mengigatkan saya tentang kematian saya. Seseorang itu akan dapat pahala apabila dia ingat akan matinya. Saya syukur kepadanya kerana menulis rencana itu yang menyebabkan saya dapat pahala.

Dan benar dia telah mati dulu dari saya. Sekali lagi saya ingat akan kematian saya. Moga-moga dapat lagi pahala. Apabila betul dia mati dulu, saya teringat pula lepas ini saya pun akan mati juga. Tidak tahulah segerakah atau lambat. Maka ingat lagi saya tentang mati.

Dengan tulisan Azizi itu menyebabkan beberapa kali saya dapat pahala. Sayugia saya bersyukur kepadanya kerana dia dapat menumbangkan pahala itu dan kerana dia telah menyebabkan saya dapat pahala, saya percaya dia pun dapat juga pahala setiap kali saya dapat pahala bersabit dengan pahalanya.

Dalam tulisannya itu dia menyebut tentang dia tidak banyak tua dari saya. Dia mati dalam usia 69 tahun. Saya baru 71 tahun. Dua tahun dulu daripadanya.

Dia mahu saya mati kemudian daripadanya kerana mahu saya terus menulis tentang cerita-cerita politik dulu yang saya pengetahuan sedikit sebanyak. Terutama tentang liku-liku PAS yang saya tahu.

Memang saya banyak menulis kenangan lama yang saya ingat. Orang lain pun banyak juga kenangan-kenangannya tetapi kerana saya dijadikan Allah untuk banyak menulis, maka dapatlah saya rakamkan apa yang saya ingat.

Baginya apa yang saya tulis itu amat berguna kepada semua orang. Maka dia seperti berwasiat kepada parti kerabat Pakatan Rakyat supaya memberi meja kepada saya untuk menulis apa yang saya ingat tentang parti-parti itu dan tentang apa yang dibuat oleh orang-orangnya.

Dia kata yang saya tulis itu adalah memoir saya. Dia mahu terus membaca apa yang dianggapnya memoir itu.

Sebenarnya pun sudah pun menyiapkan dua jilid memoir seperti yang Azizi kehendaki itu. Jilid yang pertama telah siapa sebelum Azizi membuat rencana itu. Yang kedua baru saja siapa. Yang ketiga baru saja dimulakan, jika lambat lagi mati sempatlah ia siap. Itu pun jika dia sebarang keuzuran.

Saya amat terkilan kerana Azizi tidak sempat membacanya kerana ia belum diterbitkan. Jilid yang pertama lama disimpan oleh satu penerbit. Ia hendak mencitaknya tetapi skrip itu dipulangkan balik kepada saya. Kalau ia diterbitkannya dulu tentu dapat Azizi membacanya.

Oleh kerana Azizi itu amat tinggi minatnya pada tulisan saya, tidak mengapalah kalau orang lain tidak bercadang membacanya, asal saya dapat memuaskan selera Azizi saya berasa senang. Jika dia masih hidup dan dapat membacanya, tentu dia terhibur.

Jika dengan keselesaannya ia dapat meningkatkan takwa dan jihad rakan saya itu, tentu saya akan dapat pahala.

Oleh kerana parti yang saya sertai itu menyeru kepada jihad, maka tulisan saya tentangnya adalah dengan niat jihad. Azizi pun menyertai jihad yang sama. Saya tahu Azizi yang komited di bidang kesusasteraan adalah komited juga dengan perjuangan yang saya sertai. Maka ada pahalanya atas komitmennya itu. Jika catatan saya itu dapat sedikit sebanyak menguatkan jihad Azizi, saya harap dapat menumpang kebahagiannya di akhirat nanti.

Saya senang tentang tulisannya itu. Bukan kerana saya mati kemudian daripadanya. Tetapi kerana pandangan baiknya dan ikhlas pada tulisan saya. Moga-moga ia dibuatnya kerana Allah. Kerana dia dapat menyenangkan saya tentu dia diberi pahala.

Saya pun tidak tahu apakah sumbangan saya benar-benar berharga. Tetapi kerana saya tidak tahu buat kerja lain, menulis saja yang saya tahu. Ada orang tanya saya, mengapa saya tak henti-henti menulis.

Jawab saya, itu saja kerja yang saya tahu dan boleh buat. Saya tak tahu gali parit, tak tahu menebang pokok, tak lalu membuat kerja berat seperti membacuh simen, maka saya menulis saja. Mungkin Allah mahu saya jadi penulis saja.

Saya pernah beberapa kali menyertai pilihan raya. Kalau saya menang tentu saya tidak banyak masa menulis atau berhenti menulis. Mungkin kerana Allah mahu saya kekal menulis, maka saya dikalahkan.

Apa pun Azizi adalah penulis besar baik sebagai novelis dan rencana. Saya mengikuti semua tulisannya di akhbar yang saya tulis. Dalam sama setahun ini saya tidak jumpa tulisannya. Saya tidak tahu sebabnya. Rupanya novelis dan penulisan berpena tajam itu uzur. Saya tidak tahu dia uzur. Tahu-tahu dia mati.

Kita hilang seorang berjiwa besar sepertinya. Dia mengakhiri usia sebagai pejuang ternama di bidang penulisan dan di medan jihad.


Bukan putihkan pendatang, tapi daftar pemilih
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Kerajaan Malaysia terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan agar tidak ghairah untuk memutihkan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini, sebaliknya memberikan lebih tumpuan bagi membersihkan daftar pemilih untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Namun tindakan kerajaan BN menerusi KDN yang begitu bersungguh-sungguh melaksanakan program pemutihan Pati ke negara ini sekarang amat meragukan kerana ia dilihatkan seperti mempunyai muslihat tertentu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program pemutihan Pati yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan BN sekarang dibimbangi turut dijadikan satu alat untuk kerajaan BN mendapatkan pengundi klon bagi pihak mereka.

Menurut beliau, kebimbangan beliau itu sememangnya berasas memandangkan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno kini sudah semakin keterlaluan sehingga sanggup memberikan taraf kerakyatan yang begitu mudah kepada warganegara luar.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab Kerajaan BN itu ternyata semakin keterlaluan kini sehingga ia di luar kotak pemikiran warganegara yang prihatin.

"Kita sendiri pun menjadi hairan apabila warganegara asing terlalu mudah dapat taraf warganegara ini. Jadi kita bimbang program pemutihan Pati itu juga turut memudahkan lagi usaha Kerajaan BN mendapat pengundi klon yang sekarang sudah begitu besar jumlahnya," katanya pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, semalam.

Pendatang asing di negara ini, menurut beliau, sememangnya lebih banyak yang masuk tanpa izin atau secara gelap berbanding yang masuk dengan izin.

Katanya, PAS yakin Kerajaan BN dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab tahu perkara itu dan dapat mengatasinya jika benar-benar dikehendaki.

Bagaimanapun, kedatangan pendatang tanpa izin ke negara ini tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan. Sebaliknya, ia dimanfaatkan oleh Kerajaan BN bagi menambah pengundi bagi pihak mereka, apabila mereka disahkan sebagai pengundi menerusi program tertentu yang diadakan termasuk pemutihan Pati.

"Kita lihat ada mainan antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku pembekal data dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pengguna data JPN itu.

"Menteri Dalam Negeri mesti bertanggungjawab dalam hal ini. Rakyat sedang mendesak Kerajaan BN membersihkan data pemilih, bukannya pemutihan Pati.

"Jadi sebelum memutihkan Pati, Kerajaan BN mestilah membersihkan data pemilih bagi pilihanraya terlebih dahulu. Jika tidak tak payahlah Kerajaan BN nak putihkan Pati kerana ia bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah lagi," katanya.

Keraguan PAS berhubung perkara itu, katanya, samalah juga dengan keraguan dengan cadangan penggunaan sistem biometrik dalam pilihanraya yang dicadangkan oleh SPR di tengah desakan rakyat agar SPR menggunakan dakwat kekal.

Tuntutan tersebut, katanya, merupakan salah satu dari 8 tuntutan PAS dan Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan oleh SPR yang terdiri daripada bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimia 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malaysian Insider disaman RM200 juta

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli memfailkan saman RM200 juta terhadap Malaysian Insider minggu lalu atas dakwaan memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan oleh portal berita tersebut.

Malaysiakini melaporkan, Tajudin menamakan ketua eksekutif yang juga editor portal berita tersebut, Jahabar Sadiq serta wartawannya Shazwan Mustafa Kamal sebagai defenden.

Ia ekoran penyiaran satu artikel pada 31 Mei 2011 yang bertajuk 'MACC clears AG of graft allegation'.

Tarikh 19 September ditetapkan untuk pengurusan kes tersebut di hadapan Hakim Harminder Singh Dhaliwal.

Menerusi pernyataan tuntutan, Tajudin mendakwa portal berita itu menerbitkan kata-kata fitnah dalam sebuah artikel pada 31 Mei 2011.

Beliau turut mendakwa bahawa portal terbabit mengulang beberapa kata-kata fitnah menerusi artikel lain walaupun telah dipohon menerusi surat supaya tidak berbuat demikian dan pengulangan itu menunjukkan portal terbabit berniat jahat.

Tajudin berkata The Malaysian Insider membalas suratnya dengan penegasan bahawa kata-kata di dalam artikel itu bukan fitnah dan ia mempunyai pelbagai sumber maklumat.


Media perdana perlu bebas dari cengkaman politik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa kerajaan membebaskan media perdana khususnya media cetak dari kongkongan parti politik pemerintah.

Apatah lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon sebelum ini mendakwa bahawa media cetak masih lagi menjadi sumber utama berita dan sesuai dengan generasi lama

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, parti pemerintah tidak seharusnya mengambil kesempatan untuk meracuni pemikiran generasi lama dengan berita berat sebelah dan menyerang pihak pembangkang semata-mata.

Media perdana milik rakyat kini seolah-olah dimiliki parti politik tertentu sehingga laporan mereka tidak lagi bersifat merakyat.

Pergantungan generasi lama terhadap media cetak sebagai sumber berita sangat tinggi kerana akses internet masih belum mencakupi keseluruh kawasan khususnya di kampung-kampung.

Namun keadaan itu telah diambil kesempatan parti pemerintah meracuni pemikiran rakyat dengan pelbagai agenda sempit kepartian BN seolah-olah media tersebut milik penuh mereka sedangkan ia akhbar perdana negara.

"Selama ini segala bahan berita yang dimuatkan hanya menunjukkan kebaikan BN sedangkan imej Pakatan Rakyat diburukkan dengan pelbagai berita yang songsang," katanya.

Di negara maju ujarnya, media dibebaskan dari sebarang campurtangan politik parti pemerintah sehingga media bebas mengkritik mana-mana pemimpin negara yang tidak adil dan menyeleweng.

Faktor tersebutlah katanya telah mengangkat integiriti media cetak barat sebagai media yang berpengaruh dan dipercayai.

Justeru itu, bagi mengembalikan kredibiliti media cetak di negara ini, kerajaan harus membebaskan media cetak dari kongkongan politik kepartian mereka.

"Jika tidak, rakyat semakin jemu untuk membaca kempen politik parti pemerintah dan menghukum Pakatan Rakyat dalam media cetak.

"Jangan disesali apabila jualan akhbar akan merudum jatuh dan alami kerugian serta syarikat mereka ‘gulung tikar’ ekoran boikot rakyat terhadap media cetak nanti," tegasnya.

Tiada ulasan: