Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya Iman dan Islam.
Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian.
Bahagian yang pertama:
(1) I'tiqad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, I'tiqad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selama-lamanya.
(2) I'tiqad bahawa pencipta alam ini baharu, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, atau pun mempunyai anak isteri, atau berbilang-bilang atau menerima mati.
(3) I'tiqad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., atau i'tiqad bahawa Nabi Muhammad yang sebenar ialah yang disebutnya Muhammad yang batin bukan Muhammad yang zahir, atau i!tiqad bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau i'tiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman, atau i'tiqad mengingkari mana-mana Rasul Tuhan, atau i'tiqad bahawa ada lagi Nabi dan Rasul yang lain yang diutus oleh Allah membawa syariat sesudah Nabi Muhammad s.a.w., Khatam an-Nabiyyin.
(4) - I'tiqad bahawa tidak ada dosa dan pahala, tidak ada Syurga dan Neraka, tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati, tidak ada hari qiamat dan segala perkara yang berlaku padanya.
(5) I'tiqad bahawa roh orang-orang mati berpindah-pindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain.
(6) I'tiqad agama kafir lebih baik dari agama Islam.
(7) Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu dari perkara-perkara yang tersebut di atas.
(8) Berbalik-balik hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak, atau bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.
Bahagian yang kedua:
Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, Malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Ayat-ayat-Nya dan Hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh Rasul-Nya.
Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama menthabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.
Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:
(1) "Hukum apa ini?"
(2) "Hukum ini sudah lapuk."
(3) "Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan."
(4) "Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus."
(5) "Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?"
(6) "Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?"
(7) "Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?"
(8) "Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai qiamat kita tak maju. "
(9) Berkata: "Perbuatan yang demikian tidak beradab" - apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w., selepas makan: Menjilat sisa makanan di jarinya.
(10) Berkata: "Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat" - apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
(11) Berkata: "Si anu dah mula menyalak" - semasa ia mendengar azannya.
(12) Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
(13) Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.
(14) Kata-kata menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan.
Misalnya
(a) Seseorang dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: "Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir", sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduhkan kepadanya itu, maka jadilah ia kafir, kecuali kata-kata itu dituturkan dengan tujuan hanya hendak melepaskan diri dari tuduhan itu sahaja, bukan dengan tujuan redhanya menjadi kafir.
Sungguhpun demikian ia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata yang tersebut, dan sekiranya ia benar, yakni ia tidak melakukan perkara yang dituduh orang kepadanya, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa kerana perkatannya itu memberi erti ketiadaan tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.
(b) Seseorang diingatkan supaya jangan ia berzina umpamanya, lalu ia berkata: "Kalau aku berzina kafirlah aku", sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan zina seperti tidak redhanya menjerumuskan dirinya menjadi kafir, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa dengan menggunakan perkataannya itu dengan alasan yang tersebut; dan sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan redha menjadi kafir kalau ia lakukan perbuatan zina maka jadilah ia kafir dengan kata-katanya yang tersebut, kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur, menjadilah ia kafir (Murtad), Wal Iyazubillah. Hukum yang tersebut terkandung dalam hadis Thabit bin al-Dhahak, yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibn Majah.
Bahagian yang ketiga:
Perbuatan, iaitu:
(1) Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walau pun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperti Tuhan, atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai had sekurang-kurangnya ruku' sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah; kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu murtad, tetapi hukumannya tetap haram.
(2) Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.
(3) Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah Azza wa Jalla.
(4) Meletakkan ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi, nama-nama Tuhan, Rasul-rasul-Nya, Malaikat-Nya dan Ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya; kalau tidak dengan tujuan yang tersebut maka hukumannya tetap haram. Demikian juga haramnya menggunakan kertas-kertas yang tertulis padanya Ayat-ayat suci, Hadis-hadis Nabi dan Nama-nama Allah serta ilmu agama untuk membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu; tetapi kalau perbuatan yang dilakukan itu dengan tujuan menghina atau mempersenda-sendakannya maka orang yang melakukan itu menjadi murtad.
(5) Meninggalkan sembahyang.
Orang yang meninggalkan sembahyang fardu, jika ia ingkarkan wajibnya, jadilah ia kafir murtad keluar dari agama Islam, kerana ia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orang Islam, selama akalnya sihat.
Kalau ditinggalkan dengan sebab malas sahaja, pada hal ia i'tiqadkan wajibnya, maka mengenai orang ini alim ulama berselisih kepada tiga pendapat:
Pertama - Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi ia menjadi fasik yang wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya berbuat kembali mengerjakan sembahyang, dan sekiranya ia tidak mahu bertaubat maka kenalah dilakukan ke atasnya "Hukuman Had" iaitu dibunuh dengan pedang.
Kedua - Orang itu jadi kafir juga, sama dengan keadaan orang yang mengingkari wajibnya.
Ketiga - Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tapi di "Ta'zir" dengan dipenjarakan sehingga ia mengerjakan sembahyang.
Ketiga-tiga pendapat yang tersebut serta alasan-alasannya diterangkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim, mengenai hadis Jabir yang menyatakan keburukan orang yang meninggalkan sembahyang yang termaklum.
Perkara-perkara yang diterangkan satu-persatu di atas itu adalah sebahagian dari misal-misal yang disebutkan oleh alim ulama bahawa orang yang melakukannya menjadi murtad. Mereka menetapkan hukuman yang tersebut dengan berdasarkan: Ayat 40 Surah Yusuf, ayat 65 Surah al-Taubah, Ayat 37 Surah Fussilat dan ayat-ayat Surah al-Kafirun serta hadis Mu'az bin Jabal yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, dan hadis Qais bin Sa'ad yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Maksud kedua-dua hadis itu: Bahawa Rasulullah s.a.w., melarang mereka sujud kepada Baginda s.a.w., serta menerangkan bahawa tidak harus seseorang sujud kepada yang lain dari Allah.
Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingat bahawa seseorang yang cintakan keselamatan dirinya dan agamanya, jangan sekali-kali mendekati, apa lagi melakukan, sebarang perkara yang hukumnya berkisar di antara jadi murtad dan berdosa besar. Semoga Allah selamatkan kita dengan taufik dan hidayat-Nya.
Cara-cara masuk Islam:
Mana-mana orang yang hendak masuk Islam, sama ada orang murtad atau orang kafir asli, hendaklah ia menyempurnakan perkara-perkara yang berikut:
(1) Melafazkan dua kalimah syahadat:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Memadai juga menyebut erti "dua kalimah syahadat" itu dengan bahasa sendiri serta mengakui maksud kandungannya.
Memadai menyebut yang demikian bukan sahaja kepada orang yang tidak mengetahui Bahasa Arab bahkan juga kepada orang yang mengetahui bahasa itu.
Juga memadai dengan menyatakan pengakuan hatinya bahawa: Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa dan Nabi Muhammad s.a.w., ialah utusan Allah.
(2) Kepada orang kafir yang berfahaman bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., itu hanya kepada bangsa Arab sahaja - hendaklah ditambah pengakuannya bahawa: Kerasulan Baginda s.a.w., umum kepada umat manusia seluruhnya.
(3) Kepada orang yang menjadi murtad dengan mana-mana satu sebab yang diterangkan dahulu, hendaklah ditambah pengakuannya:Bahawa ia bertaubat daripada melakukan perkara yang dengan sebabnya dia telah menjadi murtad.
Semoga Allah menjauhkan kita dari segala apa jua yang merosakkan iman dan Islam, dengan mengurniakan kita taufik dan hidayat ke jalan keselamatan dan kebahagiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan