Rabu, 17 Ogos 2011

ADAKAH KITA JAGA DAN PASTI BENDA TU HALAL ATAU HARAM...BAGUSLAH DAN TAHNIAH...BAGAIMANA ACARA DAN PERSEMBAHAN ...DLL..YANG BERCAMPUR GAUL...BUKA AURAT....INI BAGAIMANA...MUNGKIN MAKHLUK DIBUMI TAK TANYA...AKHIRAT KELAK ALLAH AKAN TANYA...SUDAH ADA JAWAPAN KE...JAGA PERIUK NASI...ATAU REZEKI ITU SEMUA DATANG DARI ALLAH SWT...

99 bas raya belum diperiksa

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menegaskan hanya bas ekspres yang melalui proses pemeriksaan di depoh dan mempunyai pelekat khas yang dikeluarkan dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing menjelang musim perayaan ini.
Pengarahnya, Mohd Nadzri Osman, berkata sekiranya didapati ada di antara syarikat bas gagal mematuhi arahan terbaru itu, pihaknya tidak teragak-agak menggantung operasi bas terbabit serta-merta dan tidak dibenarkan meninggalkan terminal bas masing-masing.

Katanya, semua pengusaha bas dikehendaki memastikan bas ekspres dan bas tambahan yang akan digunakan menjelang Aidilfitri ini menjalani pemeriksaan menyeluruh termasuk sistem brek, tayar manakala pemandu bas yang bertugas dipastikan bebas daripada dadah. “Jumlah keseluruhan bas yang perlu menjalani pemeriksaan di depoh semuanya sebanyak 134, namun setakat ini hanya 35 yang hadir.
“Jika mereka masih gagal menghadirkan diri, pemeriksaan seterusnya akan dibuat di terminal, tetapi sekiranya pengusaha gagal mematuhi peraturan ditetapkan waktu itu, kami (JPJ) tidak teragak-agak menggantung operasi bas mereka,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama tujuh pengusaha syarikat bas dan beberapa pemandu di pejabatnya, di sini, semalam.

Antara pengusaha yang hadir adalah Pancaran Matahari, Darul Naim Ekspres, Mara Liner, Elta Bina, Bulan Restu, Mahligai dan Handal Ekspres.

Selain itu, katanya, JPJ menempatkan 145 anggota penguat kuasa yang akan bertugas di setiap depoh dan empat terminal bas di ibu kota iaitu di Hentian Putra, Hentian Bas Jalan Duta, Puduraya dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bermula Ahad lalu.

“Selain memeriksa kenderaan, kami bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan ujian air kencing,” katanya.

Henti minum kopi luwak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kasdi Ali
am@hmetro.com.my

IPOH: Orang ramai dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti meminum ‘kopi tahi musang’ atau kopi luwak sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan sama ada produk berasal dari Indonesia itu halal diminum.
Difahamkan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim sebelum ini pernah mengadakan kajian kopi luwak di Jakarta, Indonesia pada 8 hingga 11 Jun lalu, namun fatwa berhubung kopi berkenaan belum diputuskan hingga kini.

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, rombongan kajian itu diketuai Mufti Pulau Pinang merangkap pengerusi Panel Kajian Syariah (PKS), Datuk Hassan Ahmad, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Mahamad Arifin, Timbalan Mufti Kedah, Datuk Fadhil Awang dan beberapa kakitangan Jakim.
“Tujuan kajian itu dijalankan merujuk kepada keputusan PKS kali ke-73 supaya mengadakan kajian lanjut mengenai status kopi luwak dengan mendapatkan sampel biji kopi yang keluar bersama najis musang serta melihat secara lebih dekat proses penghasilan kopi itu.

“Difahamkan rombongan Malaysia itu dibawa ke pusat pemprosesan kopi luwak di Cileungsi, Bogor bagi melihat sendiri kaedah pemprosesan kopi berkenaan,” katanya. Ahli rombongan turut dibawa menemui Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk bertukar maklumat selain pandangan berhubung kopi berkenaan yang difatwa halal oleh majlis ulama republik berkenaan.

Sumber Jakim itu berkata, hasil kajian itu dibawa ke Mesyuarat Panel Kajian Syariah, Jakim dan seterusnya diangkat ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan berhubung sama ada ia halal diminum atau sebaliknya.

“Berdasarkan lawatan itu, pihak rombongan turut mendapatkan sampel biji kopi itu membolehkan kajian terperinci dilakukan. Difahamkan pihak MUI menghalalkan kopi itu diminum dengan alasan biji kopi itu tidak menyerap kotoran najis musang serta boleh disemai dan menjadi pokok sekiranya ditanam,” katanya.

Lelaki digigit anjing di kawasan hospital



BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki tidak menyangka menjadi mangsa gigitan anjing dalam kawasan Hospital Bukit Mertajam (HBM).
Mangsa, Mohd Sayuti Selaiman, 26, dari Permatang Janggus, Permatang Pauh, di sini, berkata kejadian pada 7 Ogos lalu apabila dia ke hospital itu untuk bertemu rakannya.

Menurutnya, dia berjalan bersama seorang rakan sebelum muncul seekor anjing menyalak ke arahnya dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang. “Mulanya saya tidak mempedulikan anjing berkenaan tetapi ia terus menyalak. Tiba-tiba ia menerpa ke arah saya dan terus gigit paha kiri hingga seluar dipakai terkoyak,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, anjing berkenaan hanya sempat menggigitnya beberapa saat sebelum seorang lelaki dipercayai pemilik anjing itu menenangkannya.

Katanya, lelaki berkenaan dilihat membawa anjingnya ke arah kuarters hospital.

“Saya bertanya rakan mengenai kewujudan anjing dalam kawasan hospital dan diberitahu haiwan itu dipelihara seorang kakitangan hospital berkenaan.

“Saya kesal dengan kejadian yang berlaku dan hospital sepatutnya menjadi kawasan selamat untuk orang ramai dan bukannya mendapat sakit,” katanya.

Duit pelabur RM1.6j lebur

Oleh Isma Ismail dan Mohamad Danial Mohamad Saad
am@hmetro.com.my

NIBONG TEBAL: Sekumpulan suri rumah dan warga emas berputih mata apabila penganjur pelaburan sebuah pusat penjagaan kesihatan menghilangkan diri bersama nilai pelaburan keseluruhan RM1.6 juta.
Lebih 30 mangsa kini buntu kerana keuntungan pelaburan itu hangus begitu saja apabila syarikat itu ditutup selepas mereka melaburkan wang dalam syarikat itu sejak tiga tahun lalu, manakala penganjurnya yang juga seorang wanita menghilangkan diri sejak akhir bulan lalu.

Mangsa, Zaiton Kamaruddin, 36, berkata, dia mengenali penganjur yang dikenali sebagai Shima, 36, sejak 2002.
Menurutnya, dia dipelawa wanita itu melabur modal perniagaan terhadap pusat penjagaan kesihatan miliknya dengan nilai RM36,000 dan dia dijanjikan mendapat pulangan RM1,000 pada bulan pertama dan RM200 pada bulan seterusnya.

Katanya, pusat penjagaan kesihatan itu didakwa beroperasi di Simpang Ampat, dekat sini, dan dijanjikan pulangan keuntungan lima hingga 10 peratus sebulan bergantung nilai pelaburan. “Saya tertarik dengan tawaran pelaburan itu kerana tiada masalah untuk menerima pulangan dengan surat perjanjian yang ditandatangani bersama.

“Selepas melihat pelaburan itu tiada masalah, saya mengajak ahli keluarga dan rakan melabur dengan wanita terbabit dengan nilai pelaburan mengikut pakej antara RM5,000 hingga RM50,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara Teratai, di sini, semalam.

Menurut Zaiton, dia menjadi ketua kepada lebih 30 ahli pelaburan baru dengan dia sendiri mengutip pulangan keuntungan setiap bulan untuk diagihkan.

Katanya, masalah mula timbul pada awal tahun ini kerana ada antara ahlinya tidak mendapat pulangan keuntungan dengan alasan penganjur mengemaskini akaun.
“Saya dijanjikan pada 26 Julai lalu untuk berjumpa semula dengannya (penganjur) dan mendapatkan pulangan modal untuk saya dan ahli lain.

“Pada hari ditetapkan, saya terkejut apabila pusat penjagaan kesihatan terbabit sudah ditutup dan telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.

“Selepas itu saya ke rumahnya dan berjumpa suaminya, tetapi lelaki berkenaan mendakwa isterinya sudah menghilangkan diri,” katanya.

Zaiton berkata, dia berasakan sesuatu tidak kena dan membuat laporan polis pada 1 Ogos lalu kerana berasa tertipu.

Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan polis Shima juga ada membuat laporan dan mendakwanya menjadi mangsa penipuan pelaburan.

Katanya, dia kini buntu kerana semua ahli yang berada di bawahnya dengan nilai pelaburan RM520,000 termasuk nilai barangan kemas RM250,000, setiap hari menghubunginya bertanyakan mengenai duit yang dilaburkan sedangkan dia turut mengalami kerugian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa pelaburan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya kini mengesan wanita yang didakwa sebagai penganjur pelaburan itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan mendorong supaya harta diserahkan.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Harian Metro difahamkan, suami suspek juga ada membuat laporan polis mengenai kehilangan wanita itu.

Wajah penyamun guna asid



KUALA LUMPUR: Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.
Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

“Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. “Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999,” katanya.


‘Nak sambung belajar’

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Terdetik di hati saya memeluk Islam selepas setahun melakukan kajian mengenai ini dan jelas agama Islam agama yang betul dan sempurna,” kata mualaf, Eh Jun Guang, 22, atau dikenali sebagai Adam.
Menurut Adam, selepas memeluk Islam pada usia 18 tahun, dia disisihkan keluarga yang tidak dapat menerima dirinya sebagai seorang mualaf.

Katanya, akibat kesusahan hidup seorang diri, dia terpaksa berhenti belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam jurusan pentadbiran.
Mengetahui kepentingan pelajaran dalam hidupnya, anak muda berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini bercita-cita menyambung kembali pelajarannya.

“Saya terpaksa berhenti belajar dan bekerja untuk menanggung kos sara hidup. Saya bekerja sebagai ahli silap mata dan pembantu di kedai buku, namun pendapatan itu belum cukup untuk saya menyambung kembali pelajaran.

“Saya terpaksa menyewa bilik di Wangsa Maju dengan bayaran RM250 selain makan dan minum terpaksa ditanggung sendiri tanpa kasih sayang daripada keluarga.

“Memang mencabar hidup seorang diri, namun saya cekalkan hati saya dan yakin Allah sentiasa akan membantu hamba-Nya di dalam kesusahan,” katanya.

Bukan itu saja dugaan dihadapi Adam, malahan dia turut menghidapi penyakit tulang belakang bengkok dan terpaksa melakukan pembedahan sebelum ini.
“Saya berharap ada pihak yang dapat membantu saya untuk kembali menyambung pelajaran kerana saya memang tidak mampu untuk menanggung kos yuran pengajian lebih RM10,000 seorang diri dengan pendapatan saya yang tidak tetap,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi Adam di talian 013-3850588.

Pen terpacak pada leher

Oleh Ahmad Othman dan Mohd Fahmi Mohd Yusof
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Saya panik sebab doktor kata boleh mati jika pen yang terbenam di leher itu terkena salur darah utama,” kata pekerja stesen minyak, Low Yoke On, 54, yang menunggu hampir empat jam sebelum pen yang terpacak pada lehernya akibat ditikam seorang kenalan, malam kelmarin, berjaya dikeluarkan.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Low berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam di stesen minyak dekat Jalan Tun Seri Lanang, dia cedera di kiri leher akibat tikaman pen berkenaan yang terbenam lima sentimeter pada lehernya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila dia yang bekerja mengawasi pam di stesen terbabit didatangi kenalannya sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

“Ketika menikam, lelaki itu ada cakap mahu tengok saya mati. Nasib baik beberapa pelanggan mengisi minyak serta rakan pekerja lain membantu menyebabkan lelaki itu lari,” katanya.


Mangsa menjerit kesakitan sebelum berlari mendapatkan bantuan majikannya dan di hantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT). Dia menjalani pemeriksaan sinar-x sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Tebrau di sini untuk menjalani pembedahan mengeluarkan pen itu.

Permohonan bekas isteri Roslin ditolak



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menetapkan 13 Oktober depan perbicaraan tuntutan ganti rugi perkahwinan RM53,460 yang difailkan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim terhadap bekas isteri pertamanya.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan selepas menolak permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) yang difailkan Faizah Mohamad, 34, mengetepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan mereka.

Dalam prosiding semalam, Roslin hadir ditemani penerbit filem ...Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, dan suaminya, bekas pemain badminton kebangsaan, Jalani Sidek, 48.
Bagaimanapun, Faizah tidak hadir dan diwakili peguamnya, Mohammad Amir Nazli Hussin.

Abdul Walid berkata, mahkamah menerima ketidakhadiran peguam, Roslizam Rahim yang mewakili Roslin pada 23 dan 24 Mac lalu atas alasan yang munasabah serta berpendapat ia tidak menimbulkan prejudis terhadap defendan (Roslin) “Isu yang dibangkitkan plaintif adalah defendan tidak hadir ke mahkamah pada 23 Mac kerana uzur, walhal pada 24 Mac, dia didapati hadir pada prosiding kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (kes kazaf di Mahkamah Jalan Duta).

“Namun, ketidakhadiran mereka diterima atas alasan yang munasabah,” katanya.

Pada 21 Oktober 2009, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan ketika merisik antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915). Bagi perbelanjaan ketika perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11, 465), baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Cemburu akibat teman wanita

Oleh Md Sah Muda
am@hmetro.com.my

MERSING: Cemburu akibat merebut teman wanita dikatakan menjadi punca seorang pelajar tingkatan tiga dipukul pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemuk dekat Rompin, menyebabkan dia koma kira-kira dua bulan sejak Mei lalu, dan kini berkemungkinan lumpuh.
Mangsa, Mohamad Amirul Abdul Rahim, 15, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada 22 Mei lalu, dalam bilik tidur asrama sekolah berkenaan.

“Saya agak rapat dengan teman sebaya bernama Farah yang tidak disenangi seorang pelajar senior tingkatan lima dipercayai menyimpan perasaan terhadapnya.

“Pada hari kejadian, tiga pelajar senior tingkatan lima menyerang saya dari belakang. Mereka memukul kiri dan kanan kepala dengan objek keras. Serangan itu turut disaksikan beberapa pelajar lain.


“Mereka kemudian mengugut supaya saya tidak menghebohkan perbuatan itu kepada sesiapa termasuk guru. Meskipun kesakitan akibat pukulan itu, saya cuba bertahan hadir ke sekolah dan menduduki ujian keesokan harinya,” katanya.


Amah larikan barang kemas RM300,000



GOMBAK: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian kira-kira RM300,000 selepas wang tunai, barang kemas dan jam tangan berjenama miliknya dilarikan pembantu rumah warga Indonesia di Taman Mutiara Gombak 2, di sini, Sabtu lalu.
Kejadian itu disedari isteri mangsa selepas berbuka puasa kira-kira jam 8 malam apabila melihat semua barangan berharga dan wang tunai lesap daripada simpanan.

Sebelum kejadian, kira-kira jam 6 petang, seorang pengawal keselamatan melihat seorang pembantu rumah tergesa-gesa meninggalkan rumah majikan dengan menaiki sebuah teksi selepas memberi alasan untuk membuang sampah.
Menceritakan kejadian itu, pembantu peribadi mangsa yang hanya dikenali sebagai Zamri berkata, pembantu rumah berusia 20-an itu baru dua bulan bekerja di rumah majikannya.

“Segala perbuatan pembantu rumah itu dapat dilihat menerusi CCTV yang terdapat di rumah majikan,” katanya di sini, semalam.

Susulan kejadian itu, ahli perniagaan berkenaan membuat laporan di Balai Polis Gombak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Warga emas lebam di pipi ditumbuk penunggang motosikal



KEPALA BATAS: Hanya kerana keretanya bergesel dengan sebuah motosikal, seorang warga emas menjadi mangsa samseng jalan raya apabila dibelasah dalam kejadian Sabtu lalu.
Berikutan kejadian itu, bahagian pipi warga emas terbabit, Ismail Jusoh, 67, bengkak dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani di Kedah. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Sabtu lalu itu, Ismail memandu kereta menghala pekan Sungai Petani, Kedah kerana mempunyai urusan.

Menurut Ismail, sebaik melepasi lampu isyarat Jalan Kuala Ketil, tiba-tiba muncul motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama isteri dan anaknya dari arah belakang.
“Kebetulan motosikal lelaki itu bergesel di bahagian kiri kereta saya, tetapi saya meneruskan perjalanan kerana menyangka tiada apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit terus mengekori sambil membunyikan hon motosikalnya meminta saya berhenti,” katanya.

Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, Ismail memberhentikan keretanya sebelum berlaku pertengkaran dengan lelaki terbabit yang berusia lingkungan 30-an.

“Lelaki terbabit yang berbadan besar menuduh saya melanggarnya sedangkan motosikalnya dari arah belakang. Ketika pertengkaran, lelaki terbabit tiba-tiba melepaskan tumbukan ke pipi kiri menyebabkan saya terjatuh dan mengalami kesakitan,” katanya.

Terlelap sejurus memandu

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

PASIR MAS: Seorang peniaga kerepek berdepan detik mencemaskan apabila kereta Proton Saga dinaiki terbabas sebelum menjunam di tepi sungai dan melanggar pokok kelapa dalam kejadian di tepi Sungai Meranti, dekat sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika Mohd Zaid Mohd Zain, 40, yang baru selesai berniaga di Pasar Minggu Meranti gagal mengawal keretanya akibat tertidur.

Mohd Zaid berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Talak, Cabang Empat, dekat sini tertidur kerana keletihan.
“Tidak sampai beberapa ratus meter bergerak, saya tertidur. “Sebaik terjaga, saya dapati keadaan kereta sudah terjunam di tepi sungai.

“Keadaan ketika itu amat mencemaskan, namun saya masih bernasib baik kerana tidak menghadapi kecederaan parah walaupun melanggar pokok kelapa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurut bapa kepada enam anak itu, dia diselamatkan orang ramai yang datang mengeluarkannya selepas terperangkap di bahagian tempat duduk pemandu.

“Ketika itu, orang ramai datang membantu dan disebabkan tempat duduk pemandu sukar dibuka, saya terpaksa bergerak ke pintu kiri. “Mujur saya hanya luka kecil di tangan.

“Saya tidak tahu apa akan jadi kepada diri saya jika tidak melanggar pokok kelapa itu kerana besar kemungkinan saya akan terjatuh ke dalam Sungai Meranti dan lemas,” katanya.
Mohd Zaid berkata, dengan bantuan orang ramai dan sebuah trak penunda, keretanya dapat dinaikkan semula.

“Saya bersyukur kerana terselamat. Walaupun terpaksa membayar upah untuk menaikkan kereta, tetapi saya masih boleh mencari rezeki serta melihat keluarga termasuk isteri dan anak-anak.

“Sudah menjadi kelaziman kepada saya untuk memandu ke Pasar Minggu Meranti yang dibuka pada setiap Selasa dan kejadian seperti ini menjadi pengalaman berharga, meskipun pertama kali berlaku sejak berniaga tujuh tahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: