Rabu, 17 Ogos 2011

JANGAN DEMI MENJAGA PERIUK NASI DAN KUASA KITA SANGGUP BUAT APA SAJA...HINGGA MELAKUKAN PERKARA ALLAH LARANG DA MURKA..INGATLAH AKAN MATI..

Tugu: Mengapa JK Fatwa Melaka membisu
Ahmad Danial

MELAKA, 17 Ogos: Tugu 1Malaysia yang dibina di Pantai Klebang dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak lama dahulu dibimbangi mempunyai unsur pemujaan selain ianya jelas suatu pembaziran.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka, Ustaz Mohd Nor Omar berkata jika Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tugu seumpama itu mempunyai unsur pemujaan mengapa Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka membiarkan sahaja ianya dibina tanpa membuat teguran kepada kerajaan negeri.

"Kita bimbang tugu tersebut mempunyai persamaan dengan pemujaan terhadap berhala seperti yang berlaku pada zaman jahiliyyah," katanya.

PAS, ujarnya mahu kerajaan negeri Melaka nyatakan pendirian berhubung isu itu jangan mendiamkan diri sahaja kerana akidah umat Islam mesti dijaga"

"Selain itu ia jelas suatu pembaziran yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat dengan kos pembinaan mencecah RM352,000 sedangkan kosnya tidak sampai RM100,000," tambahnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada bulan April lalu berpendapat tindakan kerajaan membina tugu “1Malaysia” adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala).

Menurut fatwa itu, tegahan itu dibuat berdasarkan ayat 90 dalam surah al-Maidah yang menyebut bahawa arak, judi dan menyembah berhala adalah amalan syaitan dan mestilah ditegah.

Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, sebagaimana larangan Nabi Muhammad terhadap tindakan sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul.


Adun DAP sertai agih bubur lambok
Ahmad Danial

AYER KEROH, 17 Ogos: Ahli Dewan Undangan Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong bersama-sama bergotong royong dengan ahli-ahli PAS Cawangan Sungai Putat memasak bubur lambok dan mengagihkannya kepada penduduk setempat.

Program yang berlangsung kelmarin mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan di kalangan penduduk setempat.

Program memasak bubur lambok dan mengagihkannya kepada penduduk setempat merupakan program tahunan PAS Cawangan Sungai Putat.

Adun Ayer Keroh itu juga turut memberikan sumbangan peribadi bagi menjayakan program tersebut.

Khoo melahirkan rasa gembira dengan sambutan rakyat terhadap program seumpama ini dan mengharapkan ianya dapat diteruskan pada masa hadapan.

"Saya sangat gembira kerana dengan bantuan PAS, saya dapat turut sama berkongsi pengalaman di bulan puasa yang suci ini.

"Harapan saya agar perjuangan PR akan berjaya dengan semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh semua lapisan masyarakat," tambah Khoo.

Sebaik sahaja bubur lambok itu masak, petugas-petugas DAP, PAS Cawangan Sungai Putat dan Majlis Tindakan Dun Bukit Baru bersama-sama mengagihkan bubur tersebut kepada penduduk di sekitar Kampung Sungai Putat, Tun Razak dan Taman Saujana.

Sementara itu Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab berkata penduduk setempat ternyata senang hati dan gembira dengan kesediaan Adun DAP untuk turut sama dalam program pengagihan bubur lambok ini.

"Selama ini orang Melayu melihat DAP tidak suka kepada Islam tetapi perkara itu semakin hilang dan apa yang dilihat pada program tersebut amat baik, penduduk gembira dan mengucapkan terima kasih kepada YB Khoo.

"Orang Melayu sudah tidak takut kepada DAP dan orang Cina juga tidak takut kepada PAS, ini suatu perkembangan yang baik kepada masa depan politik Pakatan Rakyat di negeri Melaka," katanya.

Semua pihak perlu hormati sensitiviti umat Islam
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama seharusnya memahami dan menjaga sensitiviti yang sedia wujud di antara untuk mengelakkan sebarang polemik yang tidak diingini daripada berlaku.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Selangor, Khairuddin Abas berkata, ini terutama sekali dengan menghormati kedudukan Islam sepertimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada polemik Gereja Methodist Damancara Utama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada ketika ini, katanya Abim Selangor ingin menegaskan pendirian bahawa pihak-pihak bukan Islam seharusnya menghormati sensitiviti serta batasan umat Islam dalam beberapa aspek.

“Penegasan ini dibuat merujuk kepada beberapa aktiviti yang berlaku dalam gereja tersebut seperti berbuka puasa, menyanyikan lagu Allahu Akhbar, Alhamdullilah, di samping kuiz soal jawab yang mengelirukan mengenai Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya sekaligus mencetuskan pelbagai persoalan di sebalik niat dan objektif yang ingin dipenuhi oleh pihak penganjur program tersebut.

Abim Selangor juga, tambahnya ingin melahirkan rasa kesal terhadap penggunaan kalimah Allah yang terdapat dalam perkataan Allahu Akhbar dan Alhamdullilah yang dikumandangkan oleh pihak terbabit, kerana ia seakan tidak merujuk kepada status penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam yang masih lagi menjalani proses perundangan di mahkamah.

“Dalam hal ini, Abim Selangor ingin mengetengahkan kekhuatiran terhadap gerakan Kristianisasi yang dijalankan oleh gereja-gereja tertentu di seluruh negara, khususnya di bandar-bandar besar serta memandang berat laporan jemputan-jemputan yang dibuat oleh pihak terbabit di kalangan golongan remaja,” katanya lagi.

Beliau menambah, aktiviti digerakkan menerusi pengedaran Bible secara percuma, risalah, komik yang disasarkan khusus kepada remaja Melayu yang dikhuatiri berniat untuk menimbulkan keraguan serta kekeliruan di kalangan mereka terhadap ajaran Islam itu sendiri di samping kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan atas nama kebebasan beragama.


Umno dalang: Mustafa pertahan kenyataan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mempertahan kenyataannya bahawa isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) adalah 'perangkap' Umno.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak terutama Umno yang memohon beliau memohon maaf kerana mengaitkan isu pemeriksaan itu dengan parti mereka.

"Saya tetap mempertahan apa yang saya kata sebelum ini. Tidak timbul soal mintak maaf ni," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan setiausaha badan perhubungan Umno Selangor Datuk Mohd Zin Mohamed yang menuntut beliu memohon maaf secara terbuka kerana mengaitkan mereka sebagai dalang pemeriksaan terhadap DUMC pada 3 Ogos lalu.

Mohd Zin semalam juga berkata, Umno bersedia mengambil tindakan undang-undang jika beliau gagal berbuat demikian.

Pada sidang media semalam, Mustafa menyeru pemimpin dan ahli PAS supaya tidak terperangkap atau terjebak dengan ‘perangkap’ Umno dalam isu Jais dan gereja itu.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat bahawa Umno berperanan disebalik tindakan Jais itu.

“Saya dapat maklumat ‘dalaman’ Jais semalam (14 Ogos), berkait dengan operasi Jais pada 3 Ogos 2011 lalu bahawa ada eleman dan peranan Umno dalam operasi Jais terhadap majlis yang diadakan di kawasan Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya itu,” ujarnya pada sidang media di pejabat PAS Terengganu Selasa lalu.

Beliau berkata, oleh kerana maklumat ‘dalaman’ itu tersangat boleh dipercayai, maka mendedahkannya ekoran timbul pelbagai tafsiran tentang operasi yang dilakukan Jais itu.

Mustafa bersedia mendedahkan maklumat itu kepada Pengarah Jais dalam pertemuan yang akan diadakan nanti.

Demi politik, Umno sanggup pertikai fatwa

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Umno dilihat begitu terdesak apabila sanggup mempolitikkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara sebelum subuh demi kelangsungan mereka kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lebih mendukacitakan menurut Mursyidul Am PAS itu, Umno juga sanggup "mencari balah" dengan mufti yang telah mengeluarkan fatwa tersebut, semata-mata kerana mahu menghentam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

"Bagi saya, tidak munasabah Umno mahu ‘mencari balah’ dengan mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. Umno yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

"Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?" soal Menteri Besar Kelantan itu lagi.

Beliau juga membidas tindakan Umno yang seolah-olah mahu menjadi juara memperjuangkan isu agama, padahal pada masa yang sama merekalah yang meruntuhkan agama.

"Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak.

"Apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno," ujarnya lagi.

Ianya juga termasuk isu judi yang benar-benar dilarang oleh Islam namun Umno katanya seperti tidak mengendahkan larangan itu.

"Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional?," soalnya lagi.

Cara Umno persembahkan Islam salah

Mengulas lanjut, beliau berkata cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, salah sehingga menggerunkan masyarakat bukan Islam sedangkan Islam itu indah dan rahmat kepada seluruh manusia.

Ia termasuklah isu bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh yang bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam.

Menurutnya, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan.

Berbeza di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim, perkara tersebut mungkin tidak timbul sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza.

Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan dan ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

"Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi.

"Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana.

"Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam," katanya.

[Baca tulisan penuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz]

Tiada ulasan: