Selasa, 16 Ogos 2011

SUKA FITNAH BUKAN2...NAK KUTUK DAN JATUHKAN KAWAN DENGAN FITNAH...MACAM TAK BERTAMADUN DAN TAK SEKOLAH TINGGI BETUL...LAWAN SECARA MATANG@JANTAN...

Gereja minta tangguh jumpa PAS
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) menangguhkan pertemuan dengan PAS yang sepatutnya berlangsung petang ini.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS menerima surat daripada pihak GMDU semalam meminta pertemuan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Menurut Mustafa, GMDU dalam suratnya menyatakan ianya terpaksa ditangguhkan kerana isu ini sudah menjadi terlalu umum dan mendapat pelbagai tafsiran daripada pelbagai pihak.

"Saya dapat surat semalam, GMDU minta tangguh dulu, bukan batal.

"Sebab yang diberikan isu ini sudah menjadi terlalu umum dan ditafsirkan macam-macam," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Mustafa juga berkata, GMDU juga pada asalnya tidak mahu sebarang liputan media diadakan sewaktu pertemuan tersebut.

"Dalam surat pertama dahulu pun, GMDU memang tidak mahu sebarang liputan media. Jadi PAS cadangkan pertemuan diadakan di tempat lain.

"Tapi mungkin GMDU lihat terlalu banyak komen, jadi mereka minta tangguh dahulu. Lagipun media selalu tanya pasal pertemuan ini," katanya.

Ditanya harapan PAS terhadap pertemuan tersebut, Mustafa berkata ianya bagi mendengar penjelasan daripada semua pihak.

"Oleh kerana tidak bertemu lagi, jadi tidak ada kesimpulan lagilah," katanya.

Pertemuan yang sepatutnya berlangsung di GMDU 4 petang ini melibatkan sembilan pimpinan PAS termasuk beliau.

Mereka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.

Pertemuan dengan Jais yang sepatutnya berlangsung semalam juga dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.

PAS bagaimanapun berharap Jais mahu menemui mereka selepas selesai mengeluarkan hasil laporan siasatan.


Laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Perak
Harakahdaily

IPOH, 16 Ogos: Adun Pakatan Rakyat Perak menggesa Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof menarik balik kenyataan terhadap mereka dan memohon maaf kepada rakyat.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakil semua Adun Pakatan Rakyat di dalam laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.

“Maka dengan ini, saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataannya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN.

“Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kaca mata rakyat!” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat dalam laporan polis itu.

Berikut adalah laporan polis tersebut.

Adalah dengan ini satu laporan polis dibuat di IPD Ipoh, Perak pada 16 Ogos 2011 (Selasa) terhadap Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengenai kenyataan beliau terhadap kami Adun sebagaimana terpapar di muka depan di dalam akhbar Sinar Harian, semalam.

Dengan tajuk “JAGA ADAB” beliau menyatakan “saya harap ahli-ahli dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.

Saya dengan ini bertegas menyatakan bahawa kenyataan ini melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124. Kenyataan melampau dan keterlaluan ini juga membuat saya berasa terguris, marah, terhina, takut, cemas, bimbang, malu, dan dukacita. Sekaligus beliau mengenepikan Undang-undang tubuh Kerajaan Perak (Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dun yang mana saya dan semua Adun telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya.

Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung didalam Peraturan Tetap dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami. Dewan mempunyai Tuan Speaker dan pengawalnya tersendiri. Doktrin pengasingan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen menjadi ikutan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan Datuk Zakaria di dalam laporan akhbar tersebut juga mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh Umno BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan Dun Perak telah dicerobohi oleh PDRM dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis. Saya ingin mengingatkan bahawa PDRMlah yang telah masuk dan menceroboh Dun Perak pada 7 Mei 2009, sedang Speaker YB Sivakumar mengendalikan persidangan dan YB Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang dewan.

Sementara kami Adun Pakatan Rakyat dibelasah dan dikasari oleh polis didalam dewan dan ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, Pengarah-pengarah kerajaan Negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga Adab”?

Kenyataan ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat. Sedarlah bahawa tahap kejadian mungkar, jenayah, rasuah, pembunuhan, kemalangan, salah guna kuasa, pecah amanah di Perak yang menjadi-jadi kini, memerlukan PDRM melaksanakan tugas mereka bagi menjaga keselamatan rakyat dan negeri. Jangan sibuk menjaga persidangan Dun Perak dan berlagak seperti Perdana Menteri. Sebagai eksekutif, PDRM ada tugasan mereka yang mesti dilaksanakan. Laporan polis yang dibuat oleh rakyat masih bertimbun yang belum disiasat!

Kenyataan Datuk Zakaria yang tidak bertanggungjawab, niat buruk, berbau ugutan serta mencerminkan sikap diperalatkan oleh UMNO BN amat menyedihkan kami. Lihat saja kekejaman yang dibuat Polis terhadap rakyat semasa himpunan aman Bersih 2.0 di KL pada 9 Julai 2011! Bilik hotel saya diceroboh oleh polis dari IPD KL pada jam 12.45 tengah malam pada 9 Julai 2011!

Persidangan yang sepatutnya berjalan selama 2 hari telah ditamatkan oleh Speaker haram pada jam 1 tengah hari pada 15 Ogos 2011. Banyak soalan lisan dan bertulis kami tidak dijawab. Pembesar suara/microphone kami selalunya ditutup. Peraturan Tetap tidak dipatuhi oleh Speaker haram! Bagaimana kami boleh “menimbulkan banyak perkara” dalam persidangan yang tak sampai 3 jam? Speaker haram telah tidak upaya mengendalikan dewan serta hilang kawalan dan akhirnya Dun Perak gagal sebagai badan Legislatif yang dimuliakan!

Maka dengan ini saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataanya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN. Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kacamata rakyat!


Zaman tipu lembu berkaca mata hijau sudah berlalu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Zaman untuk BN hendak menipu rakyat seperti pengembala lembu yang memakai cermin mata hijau supaya lembu memakan rumput kering sudah berlalu.

Justeru, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, kerajaan BN mesti mengikut peredaran zaman dengan membenarkan semua parti pembangkang dapat akses dalam media perdana seperti tuntutan Bersih 2.0.

“Biarkan rakyat yang menjadi hakim setelah mendapat maklumat sebenar.

“Hentikan laporan berita yang berat sebelah, sedangkan pembangkang tidak dibenarkan untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini ekoran kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan mengkaji semula tapisan terhadap media, setelah tindakan kerajaan ke atas The Economist mengenai perhimpunan Bersih 2.0 telah memberi kesan buruk kepada imej negara.

Najib menyatakan perkara tersebut ketika majlis berbuka puasa bersama media di bangunan Bernama.

Menurut Idris, sekarang baru beliau sedar zaman hari ini segala maklumat tidak boleh disembunyikan lagi.

“BN berada di dalam situasi yang berbeza ketika ini. PRU 13 BN akan menghadapi cabaran media baru seperti blog, twitter, face book semua ini menghantui BN,” katanya lagi


Keluar senarai terkini produk tidak halal
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar mengeluarkan senarai terkini produk tidak halal sebagai panduan orang ramai.

Sehubungan itu, pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) mengucapkan tahniah kepada Jakim yang berhasil menemui produk makanan tidak halal baru-baru ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons dengan kenyataan Jakim semalam mengesahkan mentega jenama 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ekoran itu, pihaknya mendesak kerajaan agar menarik balik produk itu di pasaran atau menghadkannya hanya di premis yang tidak halal sahaja.

Ini, ujarnya bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai agar tidak membeli produk itu di pasaraya-pasaraya tempatan.

“Ini sebagai suatu kempen kepada pengusaha agar mereka berusaha menjadikan produk mereka halal untuk orang Islam. Ia juga sebagai suatu amaran kepada pengusaha agar mengutamakan produk halal memandangkan majoriti rakyat di negara ini adalah beragama Islam,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Selain itu, tambah beliau Jakim perlu mengawal ketat pengeluaran sijil halal ke atas mana-mana produk dan juga premis.

Katanya, kawalan ketat termasuk pemeriksaan mengejut ke atas produk, kilang dan juga premis amat penting bagi mengelakkan unsur haram pada makanan.

Beliau berkata, antara isu penting terhadap produk halal adalah isu kebersihan premis.

Tambahnya, ia juga perlu diambil perhatian dalam pengeluaran sijil halal.

Menurutnya, hasil tinjauan pihaknya di beberapa buah premis makanan mendapati banyak restoran tidak mementingkan kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Amaran keras perlu diberikan termasuk menarik balik lesen logo halal pada produk makanan serta premis mereka agar pengusaha produk makanan ini lebih berhati-hati dalam menjaga kebersihan,” ujarnya.

Katanya, sebagai sebuah badan yang menjaga urusan umat Islam di negara ini, ketegasan Jakim amat dituntut agar akidah, syariat dan akhlak umat Islam di negara ini terpelihara.

Justeru, kata beliau, pihaknya sedia bekerjasama dengan Jakim bagi memastikan umat Islam sentiasa berada dalam keadaan selamat daripada sebarang unsur yang haram.

Sita gereja: Blogger Umno tipu
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menafikan tuduhan blogger Umno, Papa Gomo kononnya beliau dan beberapa Adun Selangor mengarahkan pembatalan sita Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU).

Menurut Khalid, Papa Gomo dalam blognya menyiarkan surat palsu dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkaitan kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja tersebut baru-baru ini.

Ia kononnya mengandungi bukti campur tangan Khalid, Nik Nazmi, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Elizabeth Wong dalam operasi sita tersebut.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan pemalsuan yang dilakukan Papa Gomo itu hanyalah untuk beri gambaran buruk kepada Pakatan Rakyat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau juga berkata, Papa Gomo jelas tidak melakukan persediaan sebelum melakukan penipuan apabila menyatakan lokasi GMDU terletak di Damansara Utama sedangkan lokasi sebenar rumah ibadat itu adalah di Seksyen 13, Petaling Jaya.

"Papa Gomo kata MBPJ menerima aduan daripada seorang penduduk Damansara Utama tapi yang sebenarnya gereja itu di Seksyen 13 Pataling Jaya. Nampak sangat tak study betul-betul," katanya.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama MBPJ membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya petang ini meminta satu siasatan dijalankan terhadap Papa Gomo.


Pakatan mahu sidang khas PR, bukan JK Parlimen
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Perdana Menteri yang tergesa-gesa menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk melarikan diri daripada desakan asasnya berhubung isu warganegara asing dijadikan warganegara ini.

Tindakan menjadikan warganegara asing sebagai warganegara merupakan satu pengkhianatan amat jelas terhadap negara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN dan ia perlu dibincangkan dengan meluas di Parlimen, bagi menyelesaikannya demi kepentingan negara.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, namun tindakan Najib menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen amat meragukan Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi penubuhannya langsung tidak dirundingkan dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa itu adalah susulan dari tindakan pemimpin Pakatan Rakyat yang turut melibatkan beliau yang menghantar surat rasmi ke Parlimen untuk mendesak kerajaan memanggil persidangan khas Parlimen pada 8 Ogos lalu.

Katanya, surat itu telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri untuk diberikan respon segera dalam tempoh seminggu.

"Semalam, 15 Ogos, tempoh seminggu yang kami berikan itu dah berakhir. Perdana Menteri akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Fokusnya adalah mengenai perubahan pilihanraya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Penubuhan jawatankuasa itu, menurut beliau, penuh dengan keraguan dan tanda tanya kerana ia tidak didahulukan dengan cadangan penubuhannya pada persidangan Parlimen oleh seorang menteri seperti yang lazim dilakukan, bagi membolehkan ia dibincangkan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

"Sepatutnya, untuk menubuhkan jawatankuasa itu, Perdana Menteri mestilah memanggil persidangan Parlimen untuk membincangkannya. Bukan ambil tindakan terus menubuhkannya seperti yang dilakukan sekarang.

"Saya tahu tentang penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu pun setelah membaca lawam web Bernama. Esok Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai penubuhan jawatankuasa itu.

"Kita (Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat) tak pun dihubungi, tak dipanggil untuk membincangkannya. Jadi, kami sendiri pun tak tahu apa maknanya penubuhan jawatankuasa itu? Apa bentuk jawatankuasa yang hendak ditubuhkan dan siapakah yang akan menjadi ketuanya?" katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menasihatkan Perdana Menteri agar tidak lari dari perkara asas yang menjadi desakan Pakatan Rakyat yang jelas untuk membincangkan masalah penyelewengan dalam pentadbiran pendaftaran warganegara asing di negara ini.

"Akibat penyelewengan itu, ribuan warganegara asing yang menjadi penduduk tetap dengan pemilikan kad pengenalan merah telah menjadi warganegara ini dengan diberikan kad pengenalan biru dalam masa amat pendek sekitar beberapa jam sahaja.

"Ini merupakan satu pengkhianatan dan ancaman amat jelas terhadap negara. Perkara ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri. Sebab itulah kami mendesak kerajaan memanggil persidangan Parlimen khas bagi membincangkannya," katanya.

Penyelewengan tersebut, katanya dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan ia amat perlu dijawab oleh Perdana Menteri demi kepentingan negara.

Selain terdapat warganegara asing yang berjaya menjadi warganegara ini hanya dalam masa beberapa jam sahaja, beliau turut kesal dengan tindakan SPR dan JPN apabila terdapat warganegara asing yang mempunyai kad pengenalan merah turut tersenarai nama-nama mereka dalam daftar pemilih.

Demi kepentingan negara, Pakatan Rakyat turut mendesak kerajaan agar membuat siasatan awam untuk membolehkan rakyat tampil memberi bukti berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dan pemalsuan dalam isu pemberian taraf kerakyatan kepada warganegara asing.

Jika desakan tersebut tidak dipenuhi, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar, Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Cheras (DAP), Tan Kok Wai.


'Ajak' tuntut RM10 juta dari Berita Minggu
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 16 Ogos: Seorang Pemuda Unit Amal yang pernah digambarkan oleh akhbar Berita Minggu sebagai 'perusuh yang membawa pisau' dalam himpunan Bersih 9 Julai lalu, menghantar notis tuntutan fitnah terhadap akhbar berkenaan.

Abdul Razak Endot, 33, dalam notis yang difailkan melalui syarikat guaman Sazali & Lim dan ditujukan kepada Ketua Pengarang Berita Minggu serta penerbit dan pencetak syarikat The New Strait Times Press (M) Bhd., meminta pihak berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta.

[Gambar: Ajak (berdiri, kiri) bersama pekerja di kedainya.]

Dalam notisnya, pihak berkenaan juga diminta memberhentikan penyebaran fitnah dan menerbitkan permintaan maaf tanpa syarat.

“Tindakan ini perlu bagi membersihkan imej saya yang tercemar teruk akibat penyiaran gambar dan ulasan akhbar berkenaan,” katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Julai iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur di halaman muka depannya telah menyiarkan gambar seorang pemuda bertubuh sasa dan bertopeng sambil memegang pisau.

Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak, berkata tangannya memegang bendera jalur gemilang bukannya pisau sebagaimana kapsyen di bawah gambar akhbar berkenaan tetapi gambar tersebut telah diubah suai.

Bercerita lanjut, Abdul Razak berkata beliau turun ke Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut sebagai anggota Unit Amal PAS yang diajar dengan disiplin tinggi. Beliau diarahkan mengawal keselamatan puluhan ribu rakyat di hadapan menara Maybank.

Katanya, pada masa itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata. Bagi mengawal pemimpin, beliau sempat mengutip kelongsong gas yang masih berasap itu lalu membalingnya ke atas rumput bukannya ke arah polis,” ujarnya.

Tambahnya lagi, gambar yang disiarkan akhbar berkenaan seolah-olah memegang pisau dan membaling batu sedangkan beliau memegang bendera jalur gemilang dan membaling kelongsong gas ke tepi.

Serentak dengan itu, beliau menganggap akhbar kawalan Umno itu berniat jahat dan fitnah sehingga merosakkan nama baik serta reputasinya serta dipandang rendah oleh masyarakat.

“Saya merupakan seorang peniaga dan imej yang dipaparkan oleh akhbar berkenaan amat negatif menyebabkan saya boleh dipandang serong oleh masyarakat dan pelanggan. Sebab itu saya mahukan keadilan dan imej saya dibersihkan.

“Saya juga sering terlibat dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Jadi jika gambaran ganas itu tidak ditarik akan terus merosakkan imej saya di mata masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu notis yang telah dihantarnya itu memberi tempoh 21 hari kepada pihak akhbar berkenaan untuk dipatuhi. Jika tidak, tindakan undang-undang seterusnya akan diambil

Tiada ulasan: