Isu konflik JAIS dan Gereja Metodis Damansara Utama (GMDU) telah membuka ruang kepada berbagai permasalahan lain, antaranya melibatkan persoalan instituisi penguatkuasa Islam dari sudut perundangannya dan arahtuju pendekatannya dalam menjalankan tugas-tugasnya. Begitu juga persoalan yang timbul dari sudut usaha Pemerintah dalam menangani persoalan murtad yang menjadi topik panas mendasari konflik JAIS vs GMDU. Topik yang mendapat liputan besar selepas perhimpunan aman Bersih ini turut mengheret persoalan instituisi zakat yang dikatakan gagal menangani permasalahan kemiskinan yang diambil kesempatannya oleh pihak Gereja untuk ‘memurtadkan’ umat Islam. Saya tertarik untuk menyentuh persoalan zakat walaupun kegagalan inistituisi ini bukanlah segala-segalanya punca kepada berlaku pemurtadan dan tidak adil pula untuk kita sekadar melontarkan sesuatu alasan tanpa memberi penilaian yang objektif kepada apa sebenarnya yang berlaku di sebalik ‘kegagalan’ ini. Al Fadhil bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr Mohamad Asri Zainal Abidin (Maza) lantang mengheret permasalahan disebalik konflik JAIS vs GMDU kepada instituisi zakat di mana Dr Maza mempersoalkan ke mana pergi duit-duit zakat yang seharusnya membela umat Islam yang miskin dan susah sekaligus menghalang mereka daripada menjadi mangsa pihak gereja yang mengambil kesempatan di sebalik kemiskinan di kalangan orang Melayu Islam.Dr Maza juga memberikan buah fikirannya secara umum mengapakah kegagalan ini berlaku namun tidak menyentuh secara spesifik instituisi zakat negeri manakah yang dimaksudkan. Sebelum saya membuat sedikit komen kepada heretan Dr Maza ini, saya ingin menyinggung beberapa perkara yang membabitkan permasalahan murtad yang dikaitkan dengan soal kemisikinan. Isu penglibatan pihak Gereja yang mengambil kesempatan ‘menolong’ orang susah di kalangan umat Islam bukan sahaja berlaku di Malaysia malah perdebatan ini mendapat perhatian oleh ulamak dan umarak di seluruh dunia Islam khususnya di negara-negara Islam yang miskin. Perdebatannya bukanlah tentang bantuan yang dihulurkan tetapi persoalannya ialah ‘mengambil kesempatan’ dari bantuan tersebut untuk memurtadkan umat Islam. Setiap bantuan yang dihulurkan mestilah ikhlas dan tidak boleh berselindung di sebalik bantuan niat untuk menukar agama seseorang. Alasannya mudah, agama mana-manapun, baik Islam seharusnya mempamerkan kekuatan agamanya melalui hujjah intipati agamanya untuk meyakinkan orang ramai dan bukan melalui ‘paksaan’. Mengambil kesempatan atas kemiskinan untuk seseorang menganut sesuatu agama adalah bentuk ‘paksaan’ yang lembut dan semestinya ditolak cara ini. Di atas dasar ini, apa juga cara yang tidak lahir dari keyakinan kepada intipati agama tertentu tetapi melalui kaedah lain untuk memeluk sesuatu agama seperti secara sihir atau atas dasar percintaan semata-mata antara pasangan yang berlainan agama boleh dianggap sebagai merobek ruang kebebasan beragama dan telah mencemarkan erti pemelukan agama yang sebenarnya. Ya kita tidak menghalang pihak Gereja untuk membuat kebajikan, yang semestinya ditentang ialah berselindung di sebalik bantuan dan kemiskinan orang lain untuk memurtadkan orang yang sudah beragama. Dalam Islam peruntukan zakat kepada ‘mualaffatu qulubihim’ (muallaf) walaupun diperuntukan dalam bentuk wang ringgit mesti difahami di atas premis bahawa seseorang itu sudahpun jinak hatinya dengan Islam (walaupun belum Islam lagi) melalui dakwah intipati Islam yang telah dijalankan dan peruntukkan itu bukan kerana kemiskinannya tetapi kerana menghargai hatinya yang sudah berjinak dengan Islam. Pada zaman Umar Ibnu Khattab r.a, definisi muallafatu qulubuhim diberi makna baru apabila mengikut ijtihad beliau, hanya yang baru memeluk Islam diberikan peruntukan zakat dan bukan yang belum Islam tetapi jinak hatinya dengan Islam. Hari ini pengagihan zakat secara resmi kepada muallaf adalah mengikut pendefinisian Umar r.a. Sebab itulah, adalah satu kesilapan untuk kita menganggap zakat asnaf muallaf adalah kerana kemiskinan dan sebab itulah para mualaf juga harus memahami bahawa mereka tidak boleh selamanya mengharapkan peruntukan zakat atas asnaf ini kerana dikhuatiri bahawa mereka memeluk Islam semata-mata kerana kepentingan duit ringgit dan bukan kerana keyakinan kepada intipati agama Islam. Berbalik kepada persoalan ‘kegagalan’ instituisi zakat, kita seharusnya menilai permasahan ini secara ‘attributive’ demi mencari jawapan yang objektif dan bukan emotif. Saya bersetuju bahawa instituisi zakat tidak memaksimakan keberkesanan peranannya, tetapi ada beberapa persoalan yang harus dibereskan terlebih dahulu untuk insitituisi ini menjadi berkesan. Saya yakin Dr. Maza sebagai bekas Mufti Perlis lebih arif mengapa ini berlaku kerana saya mengandaikan beliau berada dalam jawatankuasa urusan zakat di Perlis satu ketika dahulu dan tahu bagaimanakah pengurusan zakat di sana. Ataupun mungkin pembaca artikel beliau boleh berkongsi pengalaman bagaimana usaha yang telah beliau jalankan untuk memaksimakan keberkesanan pengagihan zakat di Perlis satu ketika dahulu supaya negeri lain dapat mempelajarinya. Bagi memahami instituisi zakat, kita seharusnya memahami keabsahan kerangka institusi ini wujud dan apakah undang-undang yang melindungi kewujudannya selaku instituisi serta bagaimanakah struktur insitituisi zakat ini berfungsi dan apakah cabaran-cabaran yang dihadapinya dalam menjalankan tugas secara berkesan. Dari sudut keabsahan wujudnya zakat sebagai instituisi, pada awalnya ia berada kepada kuasa majlis agama masing-masing dan bagi negeri-negeri Melayu, Sultan atau Raja-raja Melayu adalah pemegang amanah kepada kutipan dan pengagihan zakat. Pulau Pinang yang tidak mempunyai Raja Melayu contohnya, adanya Peraturan Fitrah Pulau Pinang 1962 dan kemudian Peraturan Pungutan Zakat dan Fitrah Pulau Pinang dalam tahun 1979. Penubuhan PUZ (Pusat Urus Zakat) di negeri-negeri lain pula adalah sebahagian daripada usaha menswastakan institusi zakat bagi mempertingkatkan keberkesanannya. Setiap negeri mempunyai keabsahan undang-undang zakat sendiri kerana ia berada pada kuasa kerajaan negeri masing-masing. Malangnya di sebalik instituisi zakat dianggap sebagai mempunyai peranan besar dalam masyarakat ia masih ‘menumpang’ sistem yang sedia ada. Dengan kata lain ia bukan berada pada arus perdana yang memimpin usaha-usaha membasmi kemiskinan tetapi ia hanya menumpang satu sistem lain yang menganggap instituisi zakat hanya satu bentuk instituisi keagamaan untuk umat Islam menjalankan tugasnya. Walaupun ada peruntukan enakmen penguatkuasaan namun ia longgar apatah lagi dengan kekurangan tenaga kerja pihak yang mengendalikan zakat. Jadi untuk kita membuat andaian kegagalan tanpa melihat kerangkar besar kewujudan institusi zakat itu dan kengkangan yang ada kepadanya adalah sesuatu yang tidak adil. Struktur zakat sebagai sebuah entiti organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftaran Syarikat turut memainkan peranan dari sudut keberkesanan. PUZ Pulau Pinang contohnya dipimpin oleh Pengerusi bersama dengan 10 lembaga pengarah. Seorang CEO dilantik sebagai Pengurus Besar PUZ yang mengendalikan pentadbiran eksekutif PUZ. PUZ dari sudut Jabatanya terdiri daripada Jabatan Kutipan dan Pemasaran, Jabatan Pengurus Besar, Jabatan Agihan an Pembangunan Masyarakat. (rujuk http://www.zakatpenang.com). Masalah yang dihadapi antaranya ialah Lembaga Pengarah tidak berperanan menentukan halatuju PUZ secara strategik, ini adalah kerana perlantikan Lembaga Pengarah adalah perlantikan politik dan kurangnya tumpuan untuk memimpin halatuju insitituisi zakat. Selain itu saya setuju bahawa budaya institusi zakat ini terperap dengan perintah-perintah dari orang politik atau pihak tertentu dan kerana itu pihak pengurusan lebih tertumpu untuk menyedapkan orang-orang politik dan pihak tertentu daripada memainkan peranannya secara berkesan. Apa yang berlaku ialah sesuatu bantuan itu hanya tertumpu di DUN tertentu kerana digunakan untuk meraih sokongan politik, akhirnya sasaran bantuan sebenarnya tersasar atau bantuan hanya di tempat-tempat tertentu sahaja. Kewujudan PUZ dan pengaruh politik negatif akan senantiasa menggagalkan keberkesanan PUZ di mana sahaja mereka berada dan siapa sahaja yang menguasai kerajaan-kerajaan negeri. Saya mencadangkan supaya hubungan PUZ di mana-mana dengan politik mestilah atas dasar rakan bijak yang boleh membantu halatuju PUZ, bukan ‘tuan’ yang menguasai halatuju PUZ. Kalaupun ada input daripada ahli politik mestilah bersesuaian dengan halatuju PUZ dan bukan PUZ tunduk kepada selera ahli politik. Secara hubungannya, organisasi PUZ hanya berhubung dengan Jawatankuasa Qaryah dari sudut maklumat dan data tentang orang-orang miskin dan yang memerlukan pembelaan. Tidak dinafikan Pusat-pusat khidmat DUN dan Parlimen pun mempunyai senarai, jikalau itu boleh membantu maka penyelarasan yang baik akan melahirkan rakan kepada PUZ untuk memaksimumkan pengagihan zakat kepada yang layak. Dengan cara itu PUZ mempunyai rakan lain selain dari saluran biasa yang mungkin tidak mampu membekalkan data yang menyeluruh. Dari sudut cabaran-cabaran yang dihadapi, masalah paling besar pengagihan ialah data yang tidak lengkap dan sistem pungutan data yang konvensional, dengan kata lain tidak ada data yang terkumpul secara statistic dan tersusun. Dalam hal ini PUZ Pulau Pinang memulakan langkah awal dengan menubuhkan Jabatan Statistik dan bekerjasama dengan amil-amil dengan membekalkan mereka maklumat yang mereka perlu untuk mencari data fakir miskin. Amil-amil yang hanya dianggap pengutip zakat seharusnya ditingkatkan perananya menjadi ejen-ejen yang dibimbing untuk mengutip dan memantau data-data yang dikumpulkan. Selain itu cabaran sumber manusia yang tidak mencukupi untuk mengendalikan organisasi zakat turut menjejaskan keberkesanan fungsinya. Bagi instiuisi zakat yang diswastakan seperti Pulau Pinang, organsiasi ini bergantung kepada sumber kewangan dari bahagian Amil dan kerana itu ia perlu berhati-hati membelanjakan bahagiannya. Kerajaan negeri seharusnya memperuntukkan geran untuk pengurusan PUZ negeri supaya mereka dapat menguruskan keperluan sumber manusia dengan lebih berkesan. Perbelanjaan sesetengah PUZ yang mewah dalam perjalanan-perjalanan ke luar negara turut menjejaskan perbelanjaan yang berhemah. PUZ Pulau Pinang baru-baru ini mengorak langkah berhemah apabila mengurangkan bilangan peserta ke luar negara dalam lawatan resmi Lembaga Pengarah dan pentadbiran ke Timur Tengah. Paling besar cabaran ialah membuat perubahan kepada aspek budaya organisasi PUZ yang seharusnya bersikap professional. Cabaran trek budaya dalam mana-mana organsiasi memang sukar tetapi kita tidak ada pilihan. PUZ Pulau Pinang telah mengorak langkah dengan kertas yang dibentangkan untuk melakukan pembudayaan semula dalam satu pemukiman 3hari untuk menilai semula dan memperkasakan peranan. Trek pembudayaan akan memberi kesan kepada satu lagi aspek penting untuk PUZ melonjak ke arah reformasi iaitu meningkatkan Kepercayaan kepada instituisi zakat. Ini termasuk membudayakan ketelusan pengagihan dan perbelanjaan serta menjadi pilihan umat Islam untuk menyumbang zakat mereka. Maksud saya , kerana kurang kepercayaan ada di kalangan masyarakat Islam yang lebih selesa membayar zakat kepada pihak lain. Saya amat bersetuju instituisi zakat dipertingkatkan mutu profesionalisma , saya bersetuju instituisi zakat direformasikan dan saya setuju orang politik membantu halatuju zakat dan bukan menggunakan zakat untuk kepentingan politik mereka dan yang utama ahli lembaga pengarah zakat semestinya membekalkan kepimpinan dan dasar strategik bagi melicinkan perjalanan pentadbiran zakat. Saya cuma tidak bersetuju apabila kenyataan yang umum tidak membantu peningkatan instituisi zakat dan lebih buruk ia akan terus menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap insititusi penting untuk umat Islam hari ini. Negeri-negeri yang sedar peranan yang sepatutnya dimainkan oleh instituisi zakat seharusnya membebaskan zakat dari cengkaman pengaruh politik mahupun individu tertentu, zakat bukan milik pihak tertentu tetapi milik umat Islam yang diamanahkan untuk dikendalikan pengurusannya dan pentadbirannya kepada pihak tertentu. YB Dr Mujahid Yusof Rawa Ahli Parlimen Malaysia Ahli Lembaga Pengarah PUZ Pulau Pinang Pengerusi Promosi dan Pemasaran PUZ Pulau Pinang
Menjawab pelbagai isu pengagihan zakat Hamizul Abdul Hamid | Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (an-Nahl: 43)
Mutakhir ini, rata-rata amil yang berkerja di institusi zakat tidak nyaman tidur dan lenanya. Masakan tidak, lantaran isu-isu berkaitan agihan zakat boleh dikatakan menjadi bualan orang di mana-mana. Bahkan, ia dicetuskan secara leluasa di media massa. Biasalah, isu yang ‘panas’ dan bersifat ‘menyalahkan’ sesuatu pihak, memang mudah mendapat tempat di hati pembaca.
Secara sinikal, institusi zakat dipersalahkan dalam pelbagai hal. Kononnya, ada pemohon yang diherdik, dinafikan haknya, diarahkan pulang begitu sahaja dan tidak diberi peluang menerima bantuan zakat. Saya percaya, kes-kes di atas mungkin pernah berlaku, namun ia adalah kes-kes terpencil.
Bahkan saya yakin, institusi zakat yang berkaitan juga sudah mengambil inisiatif tertentu bagi mengatasinya. Misalnya, pegawai yang bersalah sudah dikenakan tindakan tata tertib. Namun, adilkah jika hanya kesalahan yang terpencil seperti itu; namun ada pihak menganggap semua institusi zakat sering bersifat lepas tangan dan sambil lewa menjaga kebajikan para asnaf yang tujuh, khususnya fakir, miskin dan muallaf?
Amanah Zakat
Zakat adalah instrumen penting menjaga kepentingan ummah. Bagi kami para amil, itulah yang dipasakkan ke dalam hati dan pemikiran kami. Kami juga sedar, berkerja sebagai amil, dibayar gaji dengan wang zakat, maka kami berusaha memastikan setiap sen wang zakat sampai kepada asnaf yang berhak. Adalah haram bagi amil yang mensesiakan walau sesen wang zakat, menyeleweng dan menafikan hak asnaf.
Anas bin Malik r.a. pernah melaporkan, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah SAW menjawab: “Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang bertanggung jawab menguruskannya),”(Hadis Riwayat Ahmad).
Hadis di atas jelas meletakkan, tanggungjawab menjaga amanah dan mengelola wang atau harta zakat adalah di bahu para amil zakat. Amil yang menyeleweng, mereka dikira berdosa. Sebab itulah, para amil zakat berusaha menjaga amanah wang zakat dengan sebaiknya. Bahkan amalan cara kerja di institusi zakat juga, amat menekankan aspek amanah ini. Amil yang terbukti menyeleweng, tindakan akan diambil, sama ada dibuang kerja atau dirujuk kepada pihak berkuasa, seperti pihak polis dan pencegahan rasuah.
Benarkah susah mendapatkan bantuan?
Benarkah susah sangat mendapatkan bantuan zakat? Jika susah, masakan jumlah penerima zakat ada puluhan ribu bahkan mungkin ratusan ribu orang. Sebagai contoh, di Selangor sahaja bagi tahun 2011, hampir 20 ribu keluarga diberikan bantuan zakat sebagai asnaf fakir dan miskin. Itu belum dicampurkan dengan semua negeri lain di Malaysia. Jika benar susah memohon, kenapa ada begitu ramai yang mendapat bantuan zakat?
Jika ditinjau lebih teliti, bukan sedikit penerima bantuan zakat sudah mengecapi hidup yang lebih selesa berbanding sebelum mereka disantuni dengan wang zakat. Untuk menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal pada tahun 2011 misalnya, sesebuah keluarga menerima minimum RM550 dan maksimumnya RM1,000.00. Ia umpama bonus kepada fakir dan miskin, malah jauh lebih tinggi berbanding bonus kepada pesara kerajaan atau penjawat posisi tertentu yang hanya berjumlah RM500.00.
Begitu juga, kita boleh melihat kepada pelbagai aspek lain. Rumah atau perlindungan misalnya, ribuan asnaf fakir dan miskin serta muallaf, yang tidak mempunyai rumah telah diberikan rumah oleh pihak zakat. Mereka boleh duduk secara percuma, di rumah yang selesa. Tujuannya hanya satu, dengan rumah yang sempurna itu dapat memudahkan mereka merencanakan perubahan diri mereka seterusnya. Mereka tidak perlu memikirkan tempat tinggal lagi.
Rumah atau tempat berlindung ini, turut melibatkan rumah perlindungan bagi golongan yang khusus, seperti warga emas, wanita bermasalah, pesakit Aids dan sebagainya. Pendek kata, wang zakat dilaburkan secara berhemah dan sistematik, agar ia dapat menampung keperluan umat Islam secara lebih berkesan. Jika ada yang tidak mempercayai perkara ini, silalah merujuk kepada institusi zakat di negeri masing-masing bagi melihat sendiri bentuk agihan yang telah dilakukan.
Jadi, benarkah asnaf fakir dan miskin sukar mendapatkan bantuan? Ini kerana, ramai dalam kalangan mereka yang diberikan bantuan modal perniagaan. Bukan sedikit yang menceburinya, membuka restoran, membuka kedai runcit, membuka perusahaan membuat kuih tradisional, membuka bengkel membaiki kenderaan, mengecat kereta, membuka pusat kecantikan, urutan dan SPA, kedai dobi, membuka taska, menjalankan projek ternakan ikan, menternak ayam, lembu, kambing, menanam sayur dan sebagainya lagi.
Sekali lagi, benarkah asnaf fakir dan miskin diabaikan? Ini kerana, keperluan mereka dijaga penuh perhatian. Keperluan pendidikan misalnya, anak-anak mereka dibiayai dari sekolah rendah hingga ke universiti, bahkan hingga ke luar negeri. Anak-anak asnaf yang cemerlang, diberikan insentif tambahan, biasiswa, wang saku, komputer riba dan ganjaran akademik yang relevan dengan pencapaian. Maka, ramai anak asnaf yang berjaya dan ini membuktikan keberkesanan agihan zakat.
Akhirnya, benarkah susah mendapatkan bantuan zakat? Ini kerana, ribuan pesakit menerima habuan. Misalnya pesakit buah pinggang yang mesti melalui proses dialisis tiga kali seminggu, institusi zakat tampil membantu. Anak yang perlu dirawat, isteri yang terlantar di hospital, suami yang uzur dan sebagainya, diberikan bantuan zakat untuk menerima rawatan. Bukan kecil jumlahnya bahkan mencecah puluhan ribu seorang dan jutaan ringgit setiap tahun.
Hakikatnya, terlalu banyak jika mahu disenaraikan di sini. Namun, jika kita mahu menelitinya dengan hati yang tenang dan kepala yang tenteram, tidak sekadar mahu mencari kesalahan orang, maka kita pasti mengakui bahawa institusi zakat telah banyak meringankan bebanan ummah.
Pengalaman sebenar
Oleh itu, kenapakah ada perkhabaran kononnya masih ada segelintir umat Islam yang dinafikan hak mereka oleh pihak institusi zakat? Lalu, mereka akhirnya terjebak dalam kemelut akidah apabila tampil pihak-pihak lain, misalnya gereja, yang perduli dan ambil kisah keperluan mereka.
Suka dijelaskan, pemohon zakat adalah terdiri daripada 1001 ragam manusia. Ada yang jujur memohon bantuan atas keperluan diri dan keluarga, ada juga yang mahu mengambil kesempatan dengan alasan yang direka-reka. Sudah pasti, pihak institusi zakat perlu mengawalnya, sesuai dengan kehendak agama bahawa wang zakat adalah amanah yang kelak akan dipersoalkan di hadapan Allah. Dalam proses kawalan ini, pelbagai pengalaman menarik boleh dikongsi.
Ada kes, pemohon zakat yang datang dengan sekeping laporan polis. Dompet dan segala dokumennya telah hilang. Maka, dia datang mahu mendapatkan bantuan. Lebih menarik, adakalanya dengan jelas mereka mahu memohon atas asnaf ibn sabil, yakni pemusafir yang terlantar dek kehabisan belanja. Maknanya, sedari awal mereka sudah menetapkan di minda apakah bentuk zakat yang boleh mereka minta.
Demi mematuhi prosedur permohonan, mereka akan disiasat. Pernah berlaku, orang yang sama memohon berkali-kali di kaunter-kaunter zakat berhampiran. Ada juga yang nampak sangat ‘temberangnya’ apabila jawapannya jelas direka-reka. Misalnya, dia dari Johor mahu pulang ke Kedah, namun singgah di Selayang lalu di situlah dompetnya hilang. Bila ditanya, kenapa singgah di Selayang, jawapan yang diberikan mencurigakan. Bila ditanya berapa ringgit yang perlu untuk sampai ke destinasi, dia meminta jumlah yang tinggi. Adakalanya, diberikan RM100 diminta tambah lagi.
Dalam kes yang lain, ada yang datang ke pejabat zakat marah-marah melenting. Tanpa perduli maruah kakitangan atau amil di hadapan orang, mereka merungut kononnya wang bantuan bulanan lambat dimasukkan ke dalam akaun. Tidakkah pelik apabila mereka ini meletakkan punca rezeki hanya kepada wang zakat, sedangkan zakat hanyalah bantuan yang memenuhi kecukupan. Mereka mesti berkerja, kemudian zakat akan menampung bahagian yang tidak cukup. Zakat bukanlah pendapatan.
Ada juga yang lebih berani, wang zakat yang diberi digunakan ke tempat yang salah. Membeli rokok perkara biasa; malah ada yang sanggup berjudi pula. Bila tertangkap, terus-terang mereka mengaku mereka berjudi dengan wang zakat. Betapa remuk hati para amil apatah lagi pembayar zakat mendengar kes ini. Pihak amil terpaksa bertegas, maka adakalanya bantuan akan ditapis, diberikan sesuai dengan keperluan semasa demi memastikan ia tidak disalah guna. Mungkin ada orang bertanya, kenapa pihak institusi zakat tidak mendidik para asnaf? Jawapannya, memang institusi zakat cuba mendidik mereka. Kelas pengajian dianjurkan, diberikan secara percuma, dicarikan guru yang berpengalaman, diajarkan membaca al-Quran, memperbetulkan solat, diberikan kursus keibubapaan dan sebagainya lagi.
Namun, jika mereka sendiri enggan merubah diri, misalnya dengan sengaja melarikan diri daripada kelas, bersikap sambil lewa menimba ilmu, apakah tindakan yang boleh dilakukan? Jika institusi zakat berkeras, nanti mereka mengadu kepada pihak lain dan silap haribulan, cerita yang tersebar ialah kerasnya pihak institusi zakat mendidik asnaf.
Nah! Ini baru lima peratus agaknya daripada pelbagai kisah yang boleh dikongsi. Apa yang penting, janganlah hanya mendengar sebelah pihak semata-mata langsung menerimanya tanpa banyak bertanya. Jika di dalam mahkamah, orang yang bersalah akan mencari 1001 alasan menafikan kesalahannya; manakala pendakwa akan mencari 1001 alasan membuktikan kesalahan. Hakim akan mendengar dengan saksama, bahkan kadang-kadang para juri juga mengambil peranan. Setelah didengar daripada kedua-dua pihak, barulah melontar keputusan. Baharulah adil namanya.
Kesimpulan
Apabila isu zakat digembar-gemburkan secara tidak adil, maka ia akan memberikan imej negatif kepada para amil dan isntitusi zakat. Kononnya peruntukan amil melebihi asnaf yang lain, bergaji besar, membeli bangunan dan kenderaan dan sebagainya. Ingin sekali saya ulas isu ini, tetapi biarlah dahulu. Bagi saya, berpeganglah kepada peringatan Allah SWT di dalam ayat 43, surah an-Nahl, jika tidak tahu atau kurang pasti, datanglah bertamu ke institusi zakat dan dapatkan jawapan yang pasti.
Seperkara lagi, isu kemiskinan dan kekufuran, bukan sekadar isu zakat. Ia adalah isu ummah. Ingin rasanya kita bertanya kepada semua pihak – kerajaan, badan dakwah, institusi masjid dan sebagainya lagi - sejauh manakah usaha yang telah dilakukan agar umat Islam bukan sekadar ditangani kemiskinan fizikal mereka; bahkan dibasmi kemiskinan jiwa mereka. Ini kerana, jika alasan kemiskinan fizikal semata-mata dijadikan penyebab kekufuran, yakinlah pada zaman dahulu ada dalam kalangan sahabat nabi lebih miskin harta tetapi iman tetap kukuh tertancap di dada.
Cubalah buka lembaran sejarah, kenalilah siapa Abu Hurairah, Salman al-Farisi, Bilal bin Rabah, Ummu Sulaim dan ramai lagi. Mereka ini miskin harta; tetapi kaya jiwa. Dalam kemiskinan itu mereka masih mencari jalan bersedekah, tidak senang meminta-minta. Iman mereka membugar dan dakwah mereka tersebar. Rahsianya, rangkaian sosial dan pihak berwajib umat Islam kala itu saling membahu menyuburkan Islam, tidak suka menyalahkan orang lain dan lebih penting, melakukan dahulu kerja-kerja pembaikan agar saudara seagamanya terselamat daripada kekufuran. Soalnya kini, dalam isu ini, apakah yang sudah kita lakukan? Wallahua’lam.
Nota: Hamizul Abdul Hamid, adalah seorang pendakwah dan tulisan ini tidak mewakili mana-mana institusi zakat, ia adalah minda penulis sendiri tanpa ada apa-apa kaitan dengan mana-mana pihak.
PAS Melaka tetap dakwa wang zakat diseleweng Harakahdaily | MELAKA, 29 Ogos: PAS Melaka tetap mendakwa isu yang berkait dengan pembinaan bangunan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menggunakan wang zakat adalah suatu penyelewengan kerajaan negeri. Ekoran itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Adly Zahari (gambar) telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di Alai, baru-baru ini berhubung laporan yang dibuat sebelum ini. “Isunya tentang laporan penggunaan wang zakat sebanyak RM13.5 juta bagi membina bangunan Maim,” ujarnya kepada Harakahdaily. Persoalannya, kata beliau kenapa wang zakat digunakan sedangkan kontrak sudah diberikan kepada kontraktor untuk membina bangunan tersebut dengan tukaran tanah milik Maim. Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah mendakwa, ekoran itu bukan sahaja wang zakat habis tetapi tanah milik Maim juga ‘hilang’. Mengenai laporan kepada SPRM pada 28 Februari lalu, beliau melahirkan rasa kecewa apabila suruhanjaya itu menganggap ia hanya kesalahan teknikal dan tidak terdapat perbuatan rasuah. Menurutnya, pihak SPRM menganggap ia hanya Maim berhutang dengan pusat zakat dan akan membayarnya nanti. Beliau juga dimaklumkan bahawa duit zakat yang digunakan Maim itu adalah duit ‘lebihan’ sedangkan masih ramai golongan miskin tidak tidak mendapat pembelaan melalui agihan wang zakat. Katanya, lebih mengecewakan lagi apabila pada pertemuan dengan SPRM baru-baru ini menjadi panas sehingga pihak suruhanjaya itu menutup perbincangan dengan menyatakan "PAS siasatlah sendiri". “Tak mengapa, nanti kita akan siasat dan akan dedahkan perkara ini kepada rakyat bahawa ia merupakan penyelewengan pihak berkenaan terhadap wang zakat yang sepatutnya diberikan kepada golongan yang berhal menerimanya,” ujarnya. Menurutnya, banyak lagi perkara yang berkait dengan penyelewengan dan pembaziran wang rakyat oleh kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang tidak diketahui oleh rakyat. Beliau menambah, PAS negeri akan mendedahkan perkara itu agar rakyat dapat mengetahuinya dan menilai kerajaan negeri yang ada sekarang sejauh mana berusaha untuk membantu mereka atau menyalahgunakan kuasa. | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan