Selasa, 30 Ogos 2011

BILA ISLAM BAKA@KETURUNAN..TIADA PULA BELAJAR ISLAM...KELUARGA PUN TAK MENGAMAL ISLAM...JAUH DARI MASJID DAN SURAU...ISLAMNYA KABUR...CINTA PULA DUNIA

Nabi pun dianggap pengkhianat
Khairul Azlam Mohamad

MARANG, 29 Ogos: Dunia hari ini akan menghukum bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pengkhianat kepada bangsa dan tanahair, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya kerana Nabi s.a.w. menyerang bangsa dan tanahairnya sendiri di Mekah dan kaum Arab yang dipimpin oleh bapa mertuanya, Abu Suffian.

“Tidak, tidak sekali-kali kerana bangsanya menganut ajaran jahiliah, ajaran syaitan dengan meninggalkan syariat Allah SWT,” tegasnya semasa berkhutbah Idulfitri di Masjid Rusila, hari ini.

Pada ketika itu, jelasnya di bahagian timur Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Parsi dan baratnya oleh Rom.

“Mekah dibebaskan, Mekah dimerdekakan. Dimerdekakan daripada siapa? Dimerdekakan daripada jahiliah, bukan jahiliah Parsi, bukan jahiliah Inggeris, jahiliah Perancis, jahiliah Cina dan India. Mekah dibebaskan dari jahiliah Arab, sebangsa dengan Nabi s.a.w.,” jelasnya di hadapan lebih 3,000 jemaah.

Katanya, Mekah dijajah oleh jahiliah Arab, dengan itu Nabi s.a.w. memimpin para sahabat untuk membebaskan Mekah daripada jahiliah bangsanya sendiri.

Tegasnya, Mekah dibebaskan daripada jahiliah kerana kemerdekaan yang sebenar ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Beliau yang juga ahli parlimen marang berkata, tidak ada kemerdekaan selagi tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT.

“Selagi sembahyangnya tidak mengadap Allah, selagi syariat dan hukum-hakamnya tidak mengikut syariat dan hukum-hakam Allah, tidak dinamakan merdeka dalam erti kata yang sebenar,” jelasnya.

Tegasnya, perjuangan memerdekakan manusia dengan hanya mengabdikan diri kepada Allah.

“Ketahuilah, umat Islam belum merdeka daripada penjajah Inggeris, penjajah Perancis, penjajah Itali, penjajah Komunis, penjajah Cina, Rusia dan lain-lain selagi mereka tidak melaksanakan Islam di tanahair mereka.

“Selagi hukum Islam tidak berdaulat, syariat Allah tidak diamalkan semuanya, menandakan perjuangan kita belum selesai, perjuangan untuk menyambung risalah yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w. belum selesai,” ujarnya lagi.


Madrasah Ramadhan menafikan tunduk pada makhluk
Anwar Ibrahim

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (2:185)

Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Pada ayat 185, Surah Al Baqarah itu termaktub perintah untuk umat Islam menunaikan ibadah puasa dan ayat tersebut juga mengsiyaratkan keutamaan bulan Ramadhan, antaranya ialah yang padanya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk. Al Quran atau gelar lainnya iaitu Al Furqan menjadi keterangan buat umat manusia membedakan antara yang hak dan batil, antara kebaikan dengan keburukan, dan antara cahaya dan fasad.

Merenungi pesan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sepertimana yang terkandung dalam ayat tersebut pasti mengetuk nurani kita betapa dikaitkan perintah untuk berpuasa dan keutamaan Al Quran sebagai pedoman menunjuki jalan yang lurus. Ternyata terkandung dalam ayat tersebut bukanlah Allah SWT mahukan suatu kesukaran buat hambanya dengan mewajibkan ibadah puasa bahkan juga ianya keterangan bagi Rahmah Nya, Kasih Sayang Nya yang melimpah ruah dan seperti yang ditunjuki dalam ayat sebelumnya, ayat 183 Surah Al Baqarah, agar kita menjadi umat yang bertakwa.

Menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan merupakan suatu ujian kepada umat Islam, ujian melawan nafsu, menundukkan musuh utama dan sekiranya menang, dianugerahi Alllah SWT dengan petunjuk serta ampunan dari Nya. Maka tidak hairanlah kita mengapa perintah melaksanakan ibadah puasa dipintal bersama dengan keutamaan Al Quran. Kedua-duanya menjadi suatu kesempatan buat umat untuk menghayati, merenungi serta untuk dimaanfaatkan, dengan tujuan dilimpahi petunjuk untuk membedakan antara yang benar dengan yang batil, menafikan ketundukan kepada makhluk dan bersaksi bahawa kekuasaan hanya milik Dzul Jalal Wal Ikram (Yang Maha Memilki Kebesaran dan Kemuliaan).

Kini Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya. Sepanjang kita menjalani ibadah puasa ianya umpama sebuah madrasah yang mendidik erti kerendahan hati, erti sabar menanggung ujian, senantiasa membesarkan Allah SWT dan bersyukur kepada Nya. Tibanya satu Syawal semestinya disambut dengan rasa gembira dan bersyukur. Apatah lagi sekiranya bersama sahabat handai serta sanak saudara. Moga kesempatan memperkukuh hubungan antara kita dengan Sang Pencipta sepanjang bulan Ramadhan itu berterusan. Izinkan saya, Azizah dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Eid ul-Fitr kepada seluruh muslimin dan muslimat dengan lafaz Minal Eidin Walfaizin wal Maqbulin.

ANWAR IBRAHIM


Rayakan rakyat buat perubahan PRU 13
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: “Marilah bersama-sama kita mengubah apa yang berlaku sekarang supaya kita dapat menghayati suasana ‘raya’ dengan lebih bermakna lagi.

“Rayakan rakyat dengan membuat perubahan di dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang,” kata Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS), Mohd Firdaus Jaafar.

Beliau berkata, sambutlah tetamu yang berkunjung bukan sekadar dengan juadah tapi juga dengan maklumat terkini dan isu-isu yang tidak dimainkan di media arus perdana.

Tambahnya, jadikan minda rakyat bebas daripada penipuan Umno BN, juga ‘rayakan’ rakyat dengan menolak kebatilan.

Beliau juga mengajak umat Islam bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada semua sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga dapat mengisinya dengan agenda-agenda yang membawa kepada ketaqwaan yang sejati.

“Setelah kita berjaya menyempurnakan latihan Ramadhan selama sebulan, dan kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebagai satu tanda kesyukuran kita terhadap nikmat-nikmat Allah SWT,” ujarnya dalam perutusan Idulfitri 1432H yang disambut hari ini.

Katanya, Ramadhan diharap dapat membentuk diri mengenali sifat kehambaan kepada Allah SWT dengan lebih mendalam supaya selepas ini akan senantiasa mematuhi setiap suruhan-Nya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, dengan latihan ubudiyah selama sebulan insya Allah telah dapat memenuhi KPI berpuasa iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT.

Bagi mereka yang akan pulang ke kampung, LaPAS ingin menasihati agar sentiasa berhati-hati ketika memandu.

Katanya, banyakkan bersabar memandangkan jumlah kenderaan yang banyak dan keadaan jalan raya yang sesak sudah pastinya menimbulkan suasana yang tidak selesa namun sekiranya patuh pada undang-undang yang ada, sekurang-kurangnya dapat melancarkan perjalanan.

LaPAS juga, ujarnya ingin berpesan kepada semua pengguna agar lebih bijak dalam berbelanja bagi menghadapi musim raya.

Serunya, gunakanlah sepenuhnya hak sebagai pengguna supaya tidak diambil kesempatan oleh para peniaga dengan sewenang-wenangnya.

“Berhemahlah dalam berbelanja kerana umumnya pasti mengetahui bahawa janji ‘pak menteri’ yang harga barang tidak akan naik menjelang musim perayaan hanyalah ‘omong kosong’ demi untuk ‘menyelerakan’ halwa telinga rakyat yang mana pada hakikatnya sudah pasti berlaku kenaikan harga barang yang mendadak dek kerana kelemahan kerajaan yang ada,” ujarnya.

Dan yang pastinya, kata beliau alasan serupa yang akan di’recycle’ oleh pihak berkuasa ialah kerajaan tidak mampu mengawal kenaikan harga.

Oleh itu, ujarnya lagi LaPAS menyeru kepada semua agar sesuatu dapat dilakukan untuk mengubah kembali suasana yang ada kepada yang lebih baik lagi.

Menurutnya, Malaysia sebuah negara yang kaya dengan hasil mahsul namun dek kerana dimonopoli oleh hanya segelintir golongan, maka natijah kenaikan harga barang yang cukup membebankan rakyat tidak dapat dielakkan.

Katanya, dan yang paling menyedihkan lagi apabila yang terpaksa menanggung kesannya adalah rakyat marhaen.

“Sebulan kita membina keimanan, Ramadhan menjadi pembersih hati umat Islam. Selamat Hari Raya Idul Fitri 1432H. Maaf zahir dan batin,” ujarnya.


Akhbar Tamil sahkan spekulasi Najib dalam bahaya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Anak mantan Presiden MIC Samy Vellu, Vell Paari dan sebuah akhbar berbahasa Tamil telah secara tidak langsung mengesahkan bahawa spekulasi bahawa ada kuasa dalaman Umno yang sedang giat cuba menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada tampuk kekuasaan sememangnya wujud dan tengah berlaku.

Berdasarkan laporan Free Malaysia Today (FMT), akhbar Tamil Nesan memetik Vell Paari sebagai berkata MIC perlu menimbangkan semula kedudukannya dalam Barisan Nasional sekiranya Najib disingkirkan daripada tampuk kuasa oleh kumpulan tertentu di dalam Umno.

Vell Paari turut berkata ‘terdapat spekulasi hangat bahawa Najib sedang menghadapi cabaran di dalam Umno.

Sekiranya spekulasi itu benar, Vell Paari menggesa MIC untuk mempertahankan Najib.

“Beliau ialah perdana menteri terbaik dari sudut menjaga keperluan komuniti India, jadi kita harus sokong beliau.

Kita tidak pasti sama ada laporan itu benar, tapi MIC mesti mempertahankan Najib daripada mereka yang bekerja melawan perdana menteri,” kata Vell Paari sebagaimana yang dilaporkan FMT.

Vell Paari dilaporkan membangkitkan isu tersebut dalam satu mesyuarat jawatankuasa kerja MIC baru-baru ini, dan menegaskan bahawa ini adalah pandangan peribadi beliau.

“Ini pandangan peribadi saya. Terpulangkan kepada kepimpinan parti dan ahli jawatankuasa untuk menerima pandangan saya ataupun tidak,” tambah.

Walaupun dinafikan sekeras-kerasnya, banyak sumber maklumat dari dalam Umno telah menyatakan sememangnya wujud pertembungan ketara antara dua pasukan dalam Umno, satu daripadanya didakwa diketuai oleh timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ada sumber dari MCA turut menyatakan bahawa parti komponen Barisan Nasional yang bukan Melayu mesti memastikan Najib kekal sebagai perdana menteri, sekiranya tidak masa depan mereka akan hangus.

Terdapat juga ura-ura bahawa Muhyiddin mendapat sokongan daripada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk menjaga kerjaya politik anaknya Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, yang tewas memalukan di tangan orang yang paling dibenci ayahnya, Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno yang lepas.

Dr Mahathir, bagaimanapun telah menafikan spekulasi ini, dan berkata ini hanyalah usaha untuk merosakkan Umno dengan membuatkan para pemimpin mereka bersyak-wasangka terhadap diri sendiri.


Titik-tolak keyakinan
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang mengizinkan kita untuk terus bernafas sehingga ke hari ini dan diberikan peluang untuk menyambut Hari Raya Idul Fitri 1432H.

Setelah kita menjalani tarbiyah Ramadhan selama sebulan dengan ibadat seperti puasa, qiam, bacaan al-Quran dan sebagainya, kita diperintahkan untuk menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan menewaskan hawa nafsu. Semoga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmah puasa itu sendiri.

Taqwa ertinya pelindung. Apa yang dimaksudkan dengan pelindung ialah pelindung daripada api neraka. Justeru, apabila masyarakat yang bertaqwa berjaya diwujudkan hasil daripada tarbiyah di bulan Ramadhan, Insya Allah tidak akan berlaku kes-kes rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya. Ini kerana punca kepada semua jenayah ini ialah kerana manusia tidak bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala.

Begitu juga dengan jenayah aqidah seperti murtad juga berpunca daripada ketaqwaan yang tidak dipupuk dalam diri masyarakat.

Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar marilah kita menjadikan taqwa sebagai asas dalam setiap sudut kehidupan kita.

Alhamdulillah, tahun ini Hari Raya disambut hampir serentak dengan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2011. Saya berharap biarlah sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dihayati dengan makna kemerdekaan yang sebenar iaitu merdeka daripada penjajahan hawa nafsu dan seterusnya melaksanakan setiap perintah Allah Subhanahu Wataala.

Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan “Idul Mubarak” kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa fahaman mereka. Demikan juga kepada ahli parti dan para pejuang Islam sekalian, tingkatkan pengorbanan demi mencapai keberkatan Allah Subhanahu Wataala.

Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik-tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. adalah panduan kita yang hakiki dalam semua segi kehidupan kita.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Al-Mursyidul Am PAS.

Pejabat Menteri Besar Kelantan
Kota Darulnaim
KOTA BHARU.


Bekas tentera jangan termakan dakyah Umno
Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 29 Ogos: Sambutan Merdeka sudah menjadi perayaan Umno tidak lagi dirayakan sebagai sambutan terulung negara ekoran banyak fakta mengenainya diselewengkan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Ini, katanya dengan menafikan golongan yang bersama menentang penjajah sebaliknya hanya mengagungkan kepimpinan Perikatan dan Umno yang diiktiraf oleh penjajah.

Beliau ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Taman Kuala Bekah, Penaga semalam juga menafikan apa yang ditulis dalam media pro kerajaan kononnya beliau menghina pejuang negara dengan menyokong penganas dalam kopeni pasukan ke 4 Parti Komunis Malaya (PKM).

Baginya, sejarah sebenar tentang serangan terhadap tragedi Bukit Kepong telah diselewengkan apabila mengambarkan serangan dilakukan oleh PKM padahal ia diketuai oleh Muhamad Indera yang menentang polis yang dianggap bersekongkol dengan penjajah.

"Banyak fakta sejarah telah diselewengkan terhadap serangan Bukit Kepong sedangkan serangan sebenar diketuai oleh Mohamad Indera dengan puaknya yang tidak menyenangi penjajah atau polis yang menjadi alat penjajah," jelasnya yang hadir bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan rombongan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan daif.

Menurutnya, akibat fakta yang tidak kena pada filem 'Bukit Kepong' arahan Jins Shamsuddin membuatkan ramai orang terkeliru apabila cerita sebenar diceritakan semula di khalayak ramai.

Apa yang diperkatakan memang betul sambungnya, sebab waktu itu negara bukan lagi merdeka, polis yang bertugas adalah polis yang bersekongkol dengan penjajah.

Golongan yang menyerang penjajah pukul ratanya dianggap komunis walhal ramai anak muda Melayu ketika itu tidak menyenangi golongan yang bersubahat dengan British.

Untuk menyokong komunis nyata tidak sama sekali kerana komunis itu sendiri telah hancur dan hanya menjadi pameran di muzium.

"Contohnya pandangan Imam Khomeini sendiri jelas tentang Komunis. Semasa hayatnya dia sendiri mengatakan blok komunis bakal tinggal kenangan dalam muzium. Hari ini benar-benar berlaku," katanya.

Sepatutnya nama seperti Pak Sako, Tok Janggut, Mak Kilau, Dato' Bahaman, Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam dan orang yang seangkatan denganya diberikan penghormatan bukan sahaja nama-nama besar Umno sahaja.

Kepada bekas anggota tentera pula terangnya, usah termakan dakyah Umno yang cuba memburukkan namanya dengan menyifatkan beliau menghina pejuang negara.

"Saya tetap puji tentera selepas negara mencapai kemerdekaan kerana perjuangan mereka untuk mempertahankan maruah negara berbanding di era sebelum merdeka sebab polis ketika itu bekerja dengan penjajah," tegasnya.


PPSMI: PAS mahu jumpa Page
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Ogos: PAS sama sekali tidak dapat menerima kenyataan The Parent Action Group For Education (Page) supaya kerajaan mengembalikan semula Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Kita sebenarnya tidak sama sekali dapat menerima kenyataan ini, dan saya minta untuk kita mengadakan pertemuan dengan pihak Page ini, kita mahu dengar daripada mereka apa alasan daripada mereka sebab kita mewakili majoriti rakyat yang tidak mahu kepada PPSMI,” kata Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Datuk Ustaz Abu Bakar Chik (gambar) kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada kenyataan yang telah dibuat oleh Page yang meminta untuk bertemu dengan kabinet supaya dapat diadakan pertemuan dan seterusnya kabinet didesak mengambil langkah untuk mengembalikan semula PPSMI.

Baginya, kenyataan Presiden Page, Datuk Noor Azimah yang dikatakan mempunyai bukti dan mendapat sokongan lebih 90% ibu bapa berhubung perkara itu dianggap satu perkara yang luarbiasa, satu perkara yang baru yang mendatang.

“Bagaimana beliau boleh mendakwa bahawa beliau ada bukti dan mendapat sokongan sedangkan rata-rata kajian yang dibuat PPSMI gagal untuk memajukan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak terutama di luar bandar bagi mendepani pendidikan Sains dan Matematik. Apatah lagi kita boleh mengatakan bahawa, keciciran (di kalangan pelajar) telah begitu banyak dan begitu meluas sekali kerana akibat daripada PPSMI ini.

“Jadi saya harap kita akan dapat mengadakan pertemuan segera mereka (dan) kita mahu mendengar alasan mereka (namun begitu) dari segi untuk mendesak kabinet supaya membolehkan (PPSMI dikembalikan) kita menentang sama sekali dalam apa bentuk sekali pun. Tetapi dengan Page kita mahu mendengar daripada mereka apa alasan yang mereka hendak bawa (kepada kabinet) tentang perkara ini,” ujarnya.

Seingat beliau, tidak kurang daripada 80 NGO yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan PPSMI dan sekurang- kurangnya lebih 30 NGO yang besar yang asas telah menentang PPSMI.

Kata beliau, antaranya Jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu sendiri yang terdiri daripada profesor-profesor dalam pelbagai lapangan termasuk Pak Samad Said sebagai Sasterawan Negara, Professor Abdullah Hassan, Professor Sahril yang pakar dalam bidang Sains dan Matematik dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) yang dianggap sebagai badan yang boleh mewakili masyarakat Melayu, badan-badan seperti ABIM, JIM, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Selain itu, katanya Persatuan Penerbit, (Pengerusinya) Puan Ainon, mereka mempersoalkan dan mereka memang menentang PPSMI termasuk Professor Linguistik, Professor Awang Sariyan dan Dr Nik Safiah Karim.

Tambahnya, mereka semua adalah tokoh-tokoh yang dikenali dalam masyarakat yang berpengalaman.

“Mungkin ada alasan daripada Page dengan alasan-alasan baru itu yang kita mahu dengar dari mereka, sebab kita anggap ini bukan suatu percubaan (tetapi) ini adalah suatu perkara yang serius,” ujarnya.

PAS, tegasnya telah mengambil perjalanan berdasarkan kepada gabungan 80 NGO dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang PAS telah bersama-sama dengan mereka (GMP) membuat desakan di dalam satu demonstrasi yang besar.

Tambahnya, dan ekoran dari itu kerajaan telah membuat peraturan (keputusan) untuk mengembalikan semula kepada dasar asal, di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Kemudiannya, katanya kerajaan membuat pengubahsuaian dalam erti kata memperteguhkan dan memantapkan Bahasa Inggeris dan memperkasakan (memartabatkan) Bahasa Melayu.

“Walaupun PAS berpandangan, ia suatu keputusan yang kurang jelas, pada umumnya kita menganggap bahawa ia adalah sesuatu ubah suai di atas keperluan yang dihajatkan oleh rakyat bagi membasmi PPSMI dan PPSMI tidak akan diteruskan sama sekali, walaupun ada keinginan untuk pembaikkan di dalam Bahasa Inggeris dalam konteks yang lain,” katanya.


Lewat: Jambatan Sultan Yahya Petra ke SPRM
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) akan membawa isu kelewatan menyiapkan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua di Kota Bharu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Projek kerajaan Persekutuan yang bernilai RM157 juta itu sepatutnya dijadual siap pada Disember 2009 namun sehingga kini masih belum menampakkan akan siap dalam masa terdekat.

Beliau berkata, apa yang dibimbangi adalah wujud faktor lain khususnya rasuah dan salah guna kuasa yang menyebabkan projek itu gagal disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

"Saya akan bawa perkara ini kepada SPRM secepat mungkin.

"Selain itu saya juga akan mencari ruang untuk membangkitkan isu ini pada persidangan perlimen Oktober nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua sepanjang 800 meter tersebut terpaksa dilanjutkan dan dijangka siap pertengahan 2012 berikutan mengalami masalah teknikal.

Antara masalah utama menurut Mustapha adalah berkaitan pengambilan tanah seluas 1.3 kilometer persegi di sini yang masih belum selesai hingga melewatkan permulaan projek dan pemasangan paip air, paip Tenaga Nasional Berhad dan Telekom pada jambatan ini.

Projek Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua diuruskan Syarikat Konsortium Is-Ris Resources Sdn. Bhd., Jabatan Kerja Raya serta beberapa kontraktor lain.

Sehingga kini rakyat Kelantan terpaksa menunggu hampir tahun dan bersesak-sesak setiap kali melalui jalan tersebut.

Tiada ulasan: