Khamis, 10 Mac 2011

SEORANG NAK DIJATUHKAN...RAMAI TERKORBAN...RUGIKE ATAU SALAHKE KALAU BERALAH...MENGUNDUR DIRI...BANYAK NYAWA DAPAT DISELAMATKAN

Pemberontak terkepung



TRIPOLI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi mengepung pemberontak di bandar Zawiyah, semalam, dengan menempatkan kereta kebal dan penembak tempat di kawasan penting.

Saksi berkata, mereka boleh melihat kereta kebal itu di mana-mana sambil dibantu penembak tepat yang berkawal di kawasan lapang menjadi lokasi utama pembangkang berkumpul.


“Terlalu ramai penembak tepat dan kami ketakutan,” katanya.

Ketika komuniti antarabangsa masih teragak-agak mencari cara terbaik menangani krisis Libya, serangan balas penyokong Gaddafi menyebabkan kemaraan pemberontak dari timur negara itu terhenti.


Kemaraan pemberontak di bahagian barat Libya pula terkandas di Zawiyah dan Misrata. - Reuters


Perutusan bawa mesej Tripoli tiba di Kaherah



KAHERAH: Sebuah kapal terbang membawa pegawai kanan Pihak Berkuasa Bekalan dan Logistik Libya mendarat bersama mesej daripada Muammar Gaddafi di Kaherah, semalam.

Pegawai lapangan terbang Mesir berkata, ketua agensi itu, Abdel Rahman Ben Ali al-Sayyid al-Zawy, berada dalam pesawat berlepas dari Tripoli.


Katanya, Abdel Rahman membawa pesanan Gaddafi untuk junta tentera yang kini mentadbir Mesir selepas kebangkitan rakyat berjaya menggulingkan Hosni Mubarak.

Sumber junta tentera pula berkata, Kabinet menunda mesyuaratnya untuk mengadakan sidang tergempar bersama Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.


Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan sumber itu. - Reuters


Gaddafi desak penyokongnya berjuang


IMEJ televisyen yang disiarkan di Libya semalam menunjukkan Muammar Gaddafi meraikan seorang kanak-kanak di satu lokasi yang tidak didedahkan.


TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam mendesak penduduk Libya di timur negara itu berjuang bagi menguasai semula bandar-bandar yang dikuasai oleh para penentangnya.

Beliau membuat permintaan itu semasa berucap kepada golongan muda di bandar Zintan, 120 kilometer ke barat daya Tripoli.

Gaddafi sekali lagi menyalahkan kumpulan Al-Qaeda dari Mesir, Algeria, Afghanistan dan wilayah Palestin kerana menjadi punca pergolakan di dalam negaranya.

Stesen televisyen menyiarkan ucapan itu semalam tetapi tidak menyatakan lokasi beliau berucap.

Gaddafi yang berkuasa sejak 1969 menerusi rampasan kuasa terhadap pemerintah Libya ketika itu, Raja Idris berdepan dengan tentangan rakyat yang mahu beliau berundur sejak 15 Februari lalu.

Kebangkitan rakyat Libya itu didorong oleh kejayaan penunjuk perasaan di Kaherah yang berjaya menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir pada 11 Februari lalu.

Sementara itu, Gaddafi dalam satu temu ramah dengan stesen televisyen TRT dari Turki menyatakan penduduk negaranya akan bertindak balas jika Barat mengenakan zon larangan terbang di Libya.

Zon larangan itu mahu dikuatkuasakan di Libya bagi mengelak rejim Gaddafi membedil penduduk tempatan.

Temu ramah itu dibuat apabila Gaddafi melakukan kemunculan mengejut di sebuah hotel yang menjadi tempat penginapan wartawan asing di Tripoli. - Agensi


Rejim ‘gembira’ jika Barat kuat kuasa zon larangan terbang


ISTANBUL: Warga Libya akan bangkit menentang Barat jika kuasa besar itu cuba menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu, kata Muammar Gaddafi, semalam.

“Jika mereka melakukannya, ia baik untuk Libya kerana rakyat dapat melihat sendiri kebenaran bahawa negara asing memang berniat menguasai negara ini dan mencuri minyaknya,” katanya dalam siaran televisyen milik kerajaan Turki, TRT.


Kata Gaddafi, apabila kebenaran terserlah, rakyat Libya pasti mengangkat senjata bagi menentang kuasa luar itu.

Ketika ini, Britain dan Amerika Syarikat membincangkan secara serius rancangan menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya jika Gaddafi terus berdegil menentang tuntutan rakyat negara itu.


Usul zon larangan terbang itu turut mendapat sokongan meluas dari komuniti antarabangsa. - Reuters


Kata dua bagi Gaddafi


TETAP LAWAN...pejuang revolusi cedera ketika bertempur dengan tentera Gaddafi di antara Ras Lanuf dan Bin Jiwad, semalam.
TETAP LAWAN...pejuang revolusi cedera ketika bertempur dengan tentera Gaddafi di antara Ras Lanuf dan Bin Jiwad, semalam.

TRIPOLI: Kumpulan revolusi memberi tempoh 72 jam kepada Muammar Gaddafi (gambar) melepaskan jawatan sebagai pemimpin Libya dan meninggalkan negara itu, semalam.

Wakil Press TV melaporkan, kata dua itu diberi Majlis Kebangsaan Libya yang ditubuhkan kumpulan antikerajaan bagi mentadbir beberapa kawasan yang dikuasai mereka.


Ia diketuai bekas Menteri Kehakiman, Mustafa Abdel Jalil.

Menurut Press TV, Mustafa menuntut Gaddafi dan kroninya meninggalkan negara di utara Afrika itu, sekali gus menamatkan serta-merta pengeboman ke atas orang awam.


“Jika Gaddafi setuju, warga Libya akan berhenti memburunya atas perbuatan jenayah,” katanya.


Pada masa sama penyokong Gaddafi menggunakan senjata berat, termasuk kereta kebal, roket dan jet pejuang untuk terus menggempur revolusi rakyat Libya, kebanyakannya bertumpu di timur negara itu.

Menjawab amaran Majlis Kebangsaan Libya, Gaddafi berkata, dia tidak akan mengalah kepada desakan ‘pengkhianat’ negaranya.


Gaddafi berkata, revolusi yang berlaku kini didalangi negara asing yang mempengaruhi anak muda Libya supaya menentang kerajaan.

Katanya, kumpulan antikerajaan itu adalah anggota al-Qaeda yang datang dari luar.


“Elemen ini tidak akan berjaya.


“Mereka adalah kumpulan kecil yang datang dari Afghanistan, Algeria, Mesir dan Palestin yang memasuki bandar Zintan, Zawiyah dan Benghazi,” katanya.


Sementara itu, penyokong Gaddafi meningkatkan serangan di Zawiyah - terletak kira-kira 48 kilometer dari Tripoli dengan mengebom bandar berkenaan dan membunuh orang awam. - AP


Libya tingkatkan serangan


AHLI keluarga anggota pemberontak menangisi kematiannya yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera setia kepada Muammar Gaddafi di Ras Lanuf, semasa jenazahnya dibawa ke rumah di Benghazi, Libya, semalam. - REUTERS


RAS LANOUF 9 Mac - Tentera Muammar Gaddafi yang menggunakan kereta kebal, roket dan pesawat perang memperhebatkan kempen untuk menghancurkan pemberontak, sementara Amerika Syarikat (AS) mahu zon larangan terbang di ruang udara Libya dikuatkuasakan dengan sokongan penuh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden AS, Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, mereka akan merancang 'segala bentuk tindakan' yang boleh diambil terhadap Gaddafi manakala para pegawai AS menemui pemimpin pembangkang yang mahu menggulingkan pemimpin veteran Libya itu.

Ketika pertempuran bertambah sengit, seorang jurucakap pemberontak mendakwa seorang perantara Gaddafi menawarkan rundingan tetapi ditolak bulat-bulat oleh kem pemberontak.

Dakwaan tersebut disifatkan sebagai 'karut' oleh seorang pegawai kerajaan di Tripoli, di mana Gaddafi muncul lewat malam tadi di sebuah hotel yang popular di kalangan wartawan asing di ibu negara Libya itu.

Bunyi bedilan bertalu-talu kedengaran di barisan hadapan dengan bahagian timur Libya yang dikuasai pemberontak.

Askar kerajaan melancarkan bedilan roket dan meriam tidak putus-putus ke atas bandar minyak Ras Lanouf yang dikuasai pemberontak, dan berpuluh-puluh pejuang anti-Gaddafi kelihatan bergerak mengikut jalan padang pasir.

Pemberontak yang menguasai kebanyakan kawasan di timur Libya mendapati kemaraan mereka ke Tripoli disekat sejak hujung minggu lalu apabila tentera rejim menawan semula pekan Bin Jawad, 15 kilometer ke barat Ras Lanouf.

Seeorang bekas pegawai rejim berkata, tentera Gaddafi telah melancarkan serangan habis-habisan ke atas Zawiyah, bandar pemberontak yang paling dekat dengan Tripoli, dan menggambarkan situasi di sana sebagai 'sangat kritikal'.

"Di setiap sudut ada orang melepaskan tembakan. Dia (Gaddafi) mahu menawannya hari ini dan masyarakat antarabangsa perlu melakukan sesuatu," kata Murad Hemayma mengenai bandar strategik yang dibedil oleh kereta kebal dan askar Gaddafi sejak beberapa hari lalu.

Jika Zawiyah yang boleh dikatakan kawasan sempadan antara bahagian barat dan timur, jatuh kembali ke tangan Gaddafi, satu keadaan buntu akan berlaku dengan Libya berpecah kepada sebelah barat yang setia kepada rejim dan bahagian timur yang dikuasai pemberontak.

Zawiyah yang mempunyai 200,000 penduduk dikepung untuk hari kelima dengan laporan berbeza berhubung siapa yang kini mengawal bandar itu.

Satu pasukan tentera dipimpin seorang daripada anak Gaddafi, Khamis dipercayai melancarkan serangan tersebut dibantu dengan kereta kebal untuk memaksa pemberontak berundur dari pusat kawalan mereka di Dataran Syahid.

Hospital di bandar itu dipenuhi dengan mayat dan mereka yang cedera manakala banyak rumah di sana rosak, menurut penduduk yang melarikan diri sejak dua hari lalu. - AFP/AP



3 bandar Libya medan perang


2011/03/10

SEBAHAGIAN penentang kerajaan Libya menaiki trak selepas bertempur dengan askar yang setia kepada Muammar Gaddafi di pelabuhan Ras Lanuf, timur Libya, semalam.
SEBAHAGIAN penentang kerajaan Libya menaiki trak selepas bertempur dengan askar yang setia kepada Muammar Gaddafi di pelabuhan Ras Lanuf, timur Libya, semalam.
Tentera kerajaan serang serta lepaskan tembakan meriam ke arah penentang

RAS LANUF: Pertempuran sengit serta serangan dari udara dan darat antara pemberontak dengan pasukan yang setia dengan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, berlaku sekurang-kurangnya di tiga buah bandar di negara itu ketika penentangan ke atas rejim pemerintahan beliau memasuki minggu keempat.
Wartawan AFP yang berada di bandar Ras Lanuf, melaporkan tentera kerajaan melancarkan serangan dari udara dan melepaskan tembakan meriam di bandar itu, manakala kumpulan penentang dilihat bergerak ke arah jalan raya di kawasan gurun.

“Tembakan bertalu-talu kedengaran dan sekurang-kurangnya 10 letupan kedengaran dalam setiap dua minit.

“Pemberontak yang menguasai kebanyakan kawasan di timur Libya mendapati mereka ditentang pasukan kerajaan dan matlamat mereka untuk bergerak menuju ke Tripoli tersekat, selepas pasukan tentera rejim menawan semula bandar Bin Jawad,” katanya.

Laporan menyatakan pemberontak bagaimanapun dilihat meneruskan pergerakan, kebanyakannya membawa senapang AK-47.

“Kami datang ke sini dengan Kalashnikov. Kami tidak mempunyai kereta kebal, tetapi mereka menembak kami dengan bom dan roket,” kata seorang pemberontak Ayman Bursi.
Sementara itu kereta kebal tentera kerajaan dilaporkan semakin menghampiri bandaraya Zawiyah semalam, manakala pasukan penembak curi mereka, menembak apa saja yang bergerak, lapor penduduk.

Saksi melaporkan, mayat masih bergelimpangan di kawasan runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan dari udara awal minggu ini manakala jalan raya di bandar dengan 290,000 penduduk ini kosong.

“Kami melihat kereta kebal dan ia berada hampir di mana saja,” kata pejuang kepada wartawan Reuters melalui telefon di Zawiyah.

Beliau berkata medan utama Zawiyah masih dikuasai pemberontak, tetapi pasukan kerajaan hanya kira-kira 1,500 meter dari kedudukan mereka.

Di bandar pelabuhan minyak Es Sider pula, pasukan pemberontak melaporkan mereka berada diserang hebat dengan kereta kebal oleh tentera kerajaan yang dibalas dengan serangan menggunakan pelancar roket.

“Serangan sungguh sengit, sehingga menyebabkan pemberontak terpaksa meninggalkan Es Sider.

“Bagaimanapun mereka berjaya menawan bandar itu semula tidak lama kemudian,” kata saksi. – Reuters/AFP


Penduduk Kristian, Islam bertempur di Kaherah


2011/03/10

KAHERAH: Beribu-ribu penduduk Kristian dan Islam bertempur di ibu negara Mesir selepas seorang lelaki Kristian dilaporkan mati manakala berpuluh-puluh yang lain cedera berikutan kemarahan membabitkan kejadian pembakaran sebuah gereja di kejiranan berhampiran.

Keganasan sejak kelmarin adalah yang kedua membabitkan pertempuran kaum dalam tempoh beberapa hari dan yang terkini dalam siri bantahan ganas selepas hampir sebulan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.
Keganasan tercetus selepas penganut Kristian Koptik mengadakan bantahan di beberapa lokasi di Kaherah menentang dakwaan oleh majoriti penduduk beragama Islam di negara itu.

Penduduk Kristian marah dengan kejadian pembakaran gereja oleh perusuh Islam di Kaherah. Pemerintah tentera Mesir berikrar untuk membina semula gereja terbabit manakala perdana menteri Essam Sharaf bertemu dengan penunjuk perasaan di luar bangunan sebuah stesen televisyen tempatan.

Penunjuk perasaan bagaimanapun berkata mereka mahukan lebih banyak langkah untuk meningkatkan status penduduk Kristian.

Kira-kira 2,000 daripada mereka menghalang jalan raya utama di kawasan timur bandaraya itu dan melempar batu ke arah pemandu kenderaan.

Satu lagi kumoulan seramai 1,000 orang lagi berkumpul di luar bangunan televisyen di pinggir Kaherah.
Kumpulan termasuk pemungut sampah beragama Kristian yang menuntut hak yang sama dan kehidupan lebih baik. Pertempuran tercetus apabila mereka berhadapan dengan penduduk Islam, kata saksi.

Sekurang-kurangnya seorang penduduk Kristian maut dan 100 yang lain cedera dalam pertempuran, kata seorang pegawai hospital Mesir yang enggan mendedahkan namanya. – AP

37 maut serangan bom di Pakistan


2011/03/10

PENYELAMAT dan penduduk melihat longgokan kesan daripada serangan bom pada upacara pengebumian di perkampungan Adezai dekat Peshawar, semalam.
PENYELAMAT dan penduduk melihat longgokan kesan daripada serangan bom pada upacara pengebumian di perkampungan Adezai dekat Peshawar, semalam.
Penyerang disyaki sasar militia anti-Taliban

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dan 45 lagi cedera, dalam satu serangan bom, disyaki disasarkan ke atas kumpulan militia anti-Taliban pada satu upacara pengebumian di barat laut Pakistan, semalam. Polis dan saksi berkata pengebom menyelinap ke dalam perhimpunan lebih 200 orang yang menghadiri solat jenazah untuk isteri seorang anggota militia anti-Taliban terkenal di perkampungan Adezai, berhampiran bandar ini.

Rakaman televisyen menunjukkan lelaki tua berjambang memakai pakaian dipenuhi darah bergegas dari tempat kejadian dalam keadaan panik. Kopiah dan selipar berselerak bersebelahan anggota mayat bergelimpangan di kawasan bersolat, yang bermandi darah.

“Kami menerima 34 mayat dan 45 mangsa cedera. Sebelas yang cedera dalam keadaan amat parah. Sesetengah yang maut tubuhnya berkecai,” kata Abdul Hameed Afridi, ketua hospital utama di bandar ini kepada AFP.

Pegawai polis Mohammad Ijaz Khan mengesahkan sasaran pengebom.
“Sasaran pengebom adalah anggota militia anti-Taliban,” kata Khan.

“Kami menghantar pasukan untuk mengeluarkan mayat dan memindahkan mereka yang cedera ke hospital,” beliau menambah.

Seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian berkata penduduk kampung membawa kereta sorong kayu untuk memindahkan mangsa yang maut dan cedera.

Perkampungan Adezai dikenali kerana pertembungan antara Taliban Pakistan dan anggota militia pro-kerajaan, kata pegawai polis tempatan Siraj Ahmed kepada AFP.

Saksi Gul Akbar, 22, memberitahu AFP letupan itu berlaku kepada mereka yang menghadiri upacara pengebumian berbaris untuk bersolat.

“Pengebom bunuh diri dengan mudah datang ke sini dan menyertai tetamu yang hadir. Tiada anggota polis untuk memeriksanya,” adu Akbar.

Akbar berkata perkampungan itu yang hampir dengan kawasan puak tanpa undang-undang di Darra Adam Khel, sudah diserang beberapa kali.

“Banyak kali kami berperang dengan mereka (militan) namun kami tidak dapat menahan serangan bunuh diri. Kami perlu bantuan kerajaan untuk menghentikan serangan sebegitu,” katanya.

Hamyun Khan, seorang anggota militia pro-kerajaan perkampungan itu, mengadu bahawa kerajaan tidak menyediakan bekalan senjata api dan polis mencukupi untuk menangani ancaman militan.

“Saya sedang berdiri di barisan terakhir. Letupan berlaku ketika pertengahan pengebumian. Ia amat dahsyat dan besar sehingga saya merasa pekak,” katanya.

“Kerajaan dan polis bertanggungjawab untuk insiden sebegitu.”

Perdana Menteri Syed Yousuf Raza Gilani mengeluarkan satu kenyataan mengutuk serangan dan mengulangi janji kerajaan untuk menyingkirkan kanser keganasan dari setiap pelusuk negara itu.”

Bandar ini terletak di pintu masuk rantau terpencil dan puak dipenuhi militan negara itu.

Amerika Syarikat berulang kali menggesa sekutu utama anti-militannya Pakistan untuk melancarkan tentangan tentera bagi menyekat pelampau di rantau sempadan, yang berkata ia didiami pemimpin utama Taliban.

Namun Islamabad berkata sumbernya sudah terlebih regang akibat ancaman militan di seluruh negara.

Lebih 4,000 penduduk maut dalam serangan bunuh diri dan bom di seluruh Pakistan sejak tentera kerajaan melancarkan satu tentangan ke atas militan di sebuah masjid di Islamabad pada 2007. – AFP

Tiada ulasan: