HATI JADI MATI JIKA 40 HARI TIDAK MENUNTUT ILMU ISLAM DAN 3 HARI HATI JADI SAKIT...KERANA IA MAKANAN HATI...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُلاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم.... وَالـــــسَّلاَمُ عَلَيْكُـــمْ وَرَحْمَـــة ُاللهِ وَبَرَكَاتُـــهُ
Khamis, 10 Mac 2011
PILIHANRAYA BIAR TELUS SERTA JUJUR...JIKA TIDAK...AKHIRAT DIDAKWA...SAMPAI BILA KITA BUAT TEKTIK YANG TAK BERMORAL NI...ALLAH MAHA BERKUASA...YAKINLAH
Pengecut: Jika kempen lama, BN kalah teruk
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS menganggap desakan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB-BN) Sarawak, Datuk Fadillah Yusof yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen pilihan raya di Sarawak dikurangkan kepada sekurang-kurangnya tujuh hari sebagai tindakan pengecut.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad juga menganggap respon Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof yang mendakwa tempoh kempen terlalu lama boleh mengundang amalan politik tidak sihat dengan mengaitkannya dengan pergolakan politik Timur Tengah sebagai tidak releven.
“Pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau berlalu dengan aman,” ujarnya.
Begitu juga, katanya jika diimbas kembali senario Pilihan raya Umum 2008 yang berlangsung selama dua minggu, berjalan dengan aman.
Katanya, ketakutan pihak SPR sengaja diperbesarkan, malah dianggap mempersendakan peranan polis dan pasukan keselamatan yang bertugas siang malam menjaga ketenteraman awam.
Hakikatnya, ujar beliau tempoh kempen pilihan raya singkat sengaja dituntut berikutan rekod kekalahan teruk BN bila mana kempen pilihan raya diadakan dalam tempoh yang panjang.
Beliau berkata, BN Sarawak ternyata tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk mengekalkan majoriti besar dalam Dun sekiranya kempen pilihan raya diadakan selama dua minggu atau lebih.
Justeru, tambah beliau SPR seharusnya menilai tempoh pilihan raya secara realistik kerana tempoh yang pendek menyukarkan calon-calon berkempen untuk menemui semua pengundi-pengundinya.
Tambahnya lagi, tempoh masa yang singkat juga menyukarkan rakyat untuk menerima maklumat yang betul.
“Hal ini juga harus dilihat dalam keadaan negeri Sarawak itu sendiri yang begitu banyak kawasan pendalaman yang mengambil masa panjang untuk calon berkempen begitu juga dengan jentera SPR yang mahu membuat persiapan,” ujarnya.
Jelasnya, pilihan raya Dun dan umum di negara ini adalah hak semua rakyat, maka setiap rakyat harus diberikan peluang untuk menyertainya dalam keadaan yang selesa dan tidak tergesa-gesa.
Katanya, SPR adalah badan pengurus pilihan raya negara bukannya organisasi Pengurus Pilihanraya Kampus yang skopnya amat terhad.
Justeru, ujarnya PAS berharap agar SPR tidak membuat keputusan mengikut telunjuk BN.
“Soal keselamatan dan ketenteraman awam adalah tanggungjawab pihak polis, dan tugas SPR adalah untuk memastikan semua rakyat mendapat hak mereka untuk menerima maklumat dan menyertai proses pilihan raya,” ujarnya lagi.
Enggan jelas, isu 'undi PAS masuk syurga' celaru
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria enggan membuat penjelasan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung tulisan responsnya menyentuh isu 'undi PAS masuk syurga', Ahad lalu.
Menurutnya, tindakan itu tidak perlu kerana beralasan bahawa Menteri Besar Kelantan itu akan tetap dengan sikapnya menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.
“Saya tak perlu untuk buat penjelasan terhadap beliau (Nik Aziz), kalau saya jelaskan nanti sama juga apa yang akan beliau katakan.
“Saya tegaskan masalah Nik Aziz kerana mengaitkan hukum agama dalam politik, saya tahu dalam Islam politik dan agama memang tak boleh lari tapi masalahnya apabila ada pemimpin yang gunakan hukum Islam untuk raih undi,” katanya seperti lapor The Malaysian Insider.
Tuan Guru Nik Aziz semalam telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan Harussani ekoran kenyataan “undi PAS masuk syurga”.
Mengulas isu itu, Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim menyifatkan jawapan mufti itu sebagai bercelaru.
Beliau yang juga antara yang 'berperang' kenyataan dengan Harussani dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak berkata, mufti itu juga cuba menunjukkan belangnya.
"Harussani semakin bercelaru dan menampakkan belangnya yang sebenar bila menolak mentah-mentah hasrat Tuan Guru Nik Aziz bertemu dengannya," katanya.
Manakala pengendali Facebook Tuan Guru Nik Aziz pula dalam posting terbaru di laman itu melahirkan kekesalan dengan jawapan mufti itu.
"Adakah begini caranya seorang Mufti menjawab pertanyaan yang diberikan kepadanya? Relevankah?" tulisnya.
Bagaimanapun, Harussani tidak menolak bertemu sesiapa termasuk Tuan Guru Nik Aziz yang mahu bertemu dengannya.
Katanya, untuk pertemuan itu juga tidak perlu kepada orang tengah yang mengaturkannya.
55, 0, 0); font-weight: bold;">Judi: Kedah tidak lulus premis baru
Fakhri Ali
ALOR SETAR, 9 Mac: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah di bawah teraju Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, tidak pernah meluluskan mana-mana lesen premis judi yang baru sejak memegang tampuk pemerintahan pada 2008 yang lalu.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi mengulas mengenai perkara tersebut berkata, sejak memerintah Kedah, tiada satu lesen premis pun yang diluluskan.
Menurutnya lagi, premis yang sedia ada beroperasi adalah premis yang telah menjalankan operasi mereka semasa Kerajaan BN memerintah Kedah sebelum ini.
"Sejak pemerintahan bertukar tangan, PR masih lagi mengekalkan dasar bahawa lesen premis judi yang baru tidak dibenarkan untuk dikeluarkan lagi. Tindakan ini adalah bagi mengelakkan masyarakat mengamalkan budaya berjudi.
"Premis sedia ada setakat ini adalah mencukupi bagi masyarakat bukan Islam. Pemantauan juga sedang dilakukan terhadap premis judi haram yang semakin berleluasa tumbuh kebelakangan ini," ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Adun Pangkalan Kundor menyatakan lesen judi sebenarnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. Sementara itu kelulusan untuk membuka premis dan lesen perniagaan adalah di bawah kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Ini zaman suara raya rakyat
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mengajak semua ahli Dewan Rakyat supaya mengambil pedoman dari kebangkitan suara raya rakyat yang berlaku di seluruh dunia Islam.
Ini, katanya kerana dunia pada hari ini sudah berubah di mana zaman penguasa memberi amaran kepada rakyat supaya mengikut telunjuknya sudah berakhir.
Katanya, zaman kerajaan menjadi penguasa sudah berakhir dalam dunia Islam.
“Ini zaman suara raya rakyat. Kita perlu hadam bahawa dalam arus ini, rakyat yang memberi amaran kepada penguasa, bukannya penguasa menakut-nakutkan rakyat dengan ugutan dipenjara, dihadapkan ke mahkamah atau digantung dari Parlimen,” ujarnya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat petang semalam.
Justeru itu, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua badan yang bertanggungjawab perlu mengambil pedoman dari kebangkitan rakyat di Timur Tengah.
Tambahnya, jangan sampai pilihanraya umum hanya memuncakkan kemarahan rakyat dan kerajaan yang dipilih di saluran peti undi ditumbangkan oleh rakyat tidak sampai dua bulan selepas pilihan raya, kerana kerajaan yang dipilih dengan cara manipulasi undi adalah kerajaan yang tidak sah di mata rakyat.
Beliau menambah, dalam masa tiga tahun Parlimen Kedua Belas berlangsung, dengan kehadiran wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat satu persatu tindakan Barisan Nasional yang membelakangkan rakyat dihentikan.
Katanya, bermula dengan desakan supaya pengenalan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ditangguhkan sehinggalah beberapa syarat yang membela rakyat dicapai dahulu, sehinggalah pemansuhan judi bola yang cuba dilaksanakan secara senyap-senyap oleh Barisan Nasional.
Menurutnya, kematangan rakyat Malaysia yang dizahirkan di peti undi pilihanraya tiga tahun lalu membuka lembaran baru dalam sejarah negara kita.
“Dewan Rakyat pada hari ini adalah dewan yang diperkasakan dengan suara rakyat. Kehadiran wakil-wakil dari Pakatan Rakyat memberi makna kepada fungsi dan perjalanan Dewan Rakyat, bukannya dewan kosong yang jarang dikunjungi wakil-wakil Barisan Nasional sebelumnya,” ujarnya.
Pun begitu, katanya Barisan Nasional tetap mengintai ruang untuk menggunakan Dewan Rakyat pada hari ini bagi menutup suara rakyat.
Menurutnya, apabila wakil-wakil rakyat mempersoalkan kewajaran membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membayar syarikat asing yang ada kaitan dengan perisikan Yahudi bagi menjalankan kempen-kempen kerajaan, Ketua Pembangkang dan tiga wakil rakyat digantung.
“Dalam suasana itu, kita kembali bersidang dengan hikmah yang jelas untuk dihayati. Suara rakyat yang dilambangkan oleh 8 Mac akan terus berkumandang di Dewan Rakyat tidak kira apa helah yang akan digunakan Barisan Nasional selepas ini,” ujarnya.
Beliau menambah, tempoh dua bulan sejak dewan ditangguhkan akhir tahun lalu menyaksikan perubahan mendadak dunia.
Katanya, penggal ketiga ditangguhkan dalam suasana dunia Islam di Timur Tengah masih di bawah telunjuk diktator-diktator yang telah berkuasa berdekad-dekad lamanya.
“Sewaktu dewan ditangguhkan dulu, tidak ada seorang pun yang berada di dalam dan di luar dewan ini, hatta mereka yang sering melawat ibu kota-ibu kota Timur Tengah pun akhir-akhir ini, yang dapat menduga bahawa diktator-diktator ini boleh ditumpaskan oleh rakyat mereka dalam masa sesingkat dua bulan,” katanya.
Beliau berkata, Hosni Mobarak ada segala-galanya di mana seluruh sistem negara dan kerajaan berada dalam genggamannya, semua bentuk tentangan yang boleh mencabarnya telah dicantas dan aktivis politik yang tidak disukainya dipenjarakan sewenang-wenangnya.
Tambahnya, corong-corong televisyen secara berterusan menyiarkan saban hari imej-imej seorang diktator yang harus ditakuti dan diikuti rakyatnya.
Mesir, katanya diperintah dibawah undang-undang darurat sejak tahun 1967 di mana dalam pilihanraya parlimen 2010 yang berlangsung serentak dengan sidang dewan ini Disember lalu, partinya menang 95% dari semua kerusi parlimen yang dipertandingkan.
“Makanya, tidak ada sesiapa pun yang boleh menyangka sebulan selepas itu Hosni Mobarak hilang tampuk pemerintahan dan dalam sekelip mata, Mesir yang ada hari ini adalah Mesir yang cukup berbeza,” katanya.
Beliau menambah, Hosni Mobarak, isterinya dan keluarga terus menghilangkan diri seperti mana Ben Ali dan isterinya dan keluarga; pada waktu rakyat Mesir bangkit menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban.
Katanya, diktator-diktator yang sekian lama berkuasa ini tenggelam dalam sekelip mata di tengah-tengah gelombang suara rakyat yang tidak boleh dihentikan oleh sesiapa pun.
“Apakah Hosni Mobarak tidak menguasai setiap aparatus kerajaan, tentera dan polis? Apakah pengendalian pilihanraya tidak dipesongkan supaya partinya menang besar dalam pilihanraya terbaru?
“Apakah Hosni Mobarak membenarkan sekelumit ruang pun bagi media melaporkan secara adil dan terbuka?” soalnya.
Namun, ujarnya apabila suara rakyat sudah menjadi suararaya, semuanya akan tenggelam.
Katanya, keputusan pilihan raya yang diadu-domba akan hanyut bersama-sama pimpinan bobrok yang tidak pernah serik mencari manipulasi untuk menghalalkan penipuan di peti undi.
“Sebab itu, penggal Dewan Rakyat kali ini perlu memandang serius perkembangan tidak sihat bersabit manipulasi pilihanraya dan ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang semakin dipersoalkan.
"Selepas tsunami 8 Mac, kegilaan untuk memanipulasi perjalanan pilihanraya demi menjamin kemenangan Barisan Nasional semakin menjadi-jadi,” katanya.
Saifuddin akui Buku Jingga baik untuk negara
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencipta beberapa kejutan apabila secara jujur mengakui pelbagai perkara yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat baik bagi kepentingan negara.
Selain menyokong diadakan forum yang melibatkan wakil-wakil pelbagai parti di universiti bagi menghidupkan roh demokrasi di pusat-pusat pengajian tinggi, beliau juga mengakui pertembungan Buku Jingga dan Buku Biru merupakan sesuatu yang baik kerana boleh menyegarkan demokrasi di tanah air.
Menurut beliau, dalam negara yang mengamalkan demokrasi, program (forum) yang mempertemukan wakil-wakil pelbagai parti seperti itu merupakan sesuatu yang mustahak dan tidak seharusnya dipandang dari sudut negatif oleh pelbagai pihak.
Manakala dasar yang diperjuangkan oleh PKR, DAP dan PAS yang menolak politik perkauman, sememangnya baik bagi melahirkan perubahan politik di tanah air.
"Tetapi dalam usaha melahirkan perubahan politik, Barisan Nasional (BN) juga sebenarnya turut melakukannya. Itu semua boleh dilihat dari Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri," katanya.
Berucap pada forum Persidangan Kebangsaan, Demokrasi dan Pilihanraya; Prospek dan Cabaran Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 di Universiti Malaya (UM), semalam, beliau berkata, sesuatu yang baik dalam hal ini, ia bergantung kepada pendekatan yang digunakan antara Pakatan Rakyat dan BN yang boleh dinilai oleh rakyat sendiri.
"Penentu survival sesebuah parti bergantung kepada sejauh mana parti itu boleh membawa sesuatu yang baru dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Jadi siapa yang servis baik adalah yang boleh mempertahankan bukunya," tegasnya.
Politik perkauman, katanya, Perdana Menteri juga mengatakan bahawa ia hanya untuk sesuatu tempat. Politik baru pula sudah dilakukan oleh Barisan Nasional kerana yang dilihat oleh orang ramai bukan sahaja parti, tetapi juga calon, manifesto dan budaya parti. Manakala politik pembangunan sudah diakui oleh BN hanya relevan pada sesetengah tempat.
Namun beliau mengakui pengundi-pengundi kini terutama pengundi-pengundi muda ternyata lebih cerdik sehingga mampu melihat segalanya itu dengan lebih jauh dalam kerangka yang lebih luas.
"Perkembangan ini sememangnya menarik. Inilah juga yang menyebabkan Pakatan Rakyat turut mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum yang lalu sehingga mampu menjadi pembangkang yang baik," katanya.
Beliau juga kesal apabila politik dan agama sebagai sesuatu yang tidak boleh dipisahkan seperti yang diperjuangkan oleh PAS masih menjadi pertikaian pihak tertentu, pada hal ia tidak sepatutnya berlaku, kerana perkara itu sememangnya sudah jelas dalam ajaran Islam yang menegaskan politik adalah sebahagian dari Islam.
Selain itu, beliau turut mengakui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai personaliti yang hebat dan mempunyai pandangan jauh dalam pelbagai perkara, sehingga turut diakui dunia.
"Dalam hal ini, bergantung kepada perspeksi masing-masing. Bagi BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bahaya besar, tetapi bagi Pakatan Rakyat, untung besar. Tetapi yang itu bukanlah politik segar yang rakyat nak tengok," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Mengenai kebebasan media, beliau juga bersetuju jika dilaksanakan di negara ini dengan dihapuskan akta-akta tertentu yang menyekatnya bagi membolehkan ia dilihat secara adil.
Beliau turut menyifatkan sesuatu yang amat malang jika pihak pemerintah menghalang rakyat mengkritik sesuatu yang tidak baik yang dilakukan, memandangkan mengkritik itu merupakan sesuatu yang baik bagi parti kerana di dalamnya mengandungi unsur-unsur yang membina.
"Jadi dalam hal ini, tentunya tidak kena jika dikatakan kritikan positif dan negatif kerana setiap kritikan adalah baik. Sebaliknya yang tidak baik adalah menghentam," ujar beliau.
Forum tersebut dianjurkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Universiti Malaya (UM). Ia diadakan di Dewan Kuliah C, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM dan menampilkan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai moderatornya.
Manakala ahli-ahli panelnya terdiri daripada Datuk Saifudin, Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nasir Zakaria dan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Judi: PAS gesa Muhyiddin bertaubat
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS menyeru rakyat Malaysia membuka mata dan menilai sendiri sikap kepimpinan Umno yang ditunjukkan melalui kenyataan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang mempertikaikan tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengharamkan judi loteri di negeri Serambi Mekah itu.
“Baru sahaja menang di Merlimau dan Kerdau, Umno terus kembali menegakkan kemungkaran sebagai tanda kesyukuran,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Katanya, sebagai seorang pemimpin Islam dan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin sewajarnya menyokong tindakan itu kerana jelas ianya diterima oleh semua agama di negara ini yang mengharamkan judi.
PAS juga, katanya kesal kerana Umno terlalu suka mengaitkan aktiviti perjudian sebagai aktiviti kesukaan mereka yang bukan Islam.
Menurutnya, mereka yang mempunyai moral yang tinggi memandang judi dalam perspektif yang amat buruk, hanya mereka yang bermoral rendah sahaja menjadikan judi sebagai hiburan mereka yang akhirnya menghabiskan duit poket mereka.
Tambahnya, PAS juga yakin kenyataan Muhyiddin itu dibuat ekoran desakan taikun-taikun perjudian di negara ini yang banyak membantu memberikan sokongan kepada Umno Barisan Nasional untuk menghadapi PAS dalam mana-mana pilihan raya.
Katanya, beberapa pemimpin Umno juga dikenal pasti pernah atau masih mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat judi berkenaan.
“Maka jelaslah bahawa kenyataan Muhyiddin itu sengaja dilontarkan bagi membela periuk nasi kroni mereka yang telah lama bergelumang dalam industri judi,” ujarnya.
Sehubungan itu, ujarnya PAS menyeru Muhyiddin serta pemimpin Umno lainnya bertaubat kepada Allah kerana berjuang dan menghalalkan judi di negara ini dan meminta maaf kepada penganut bukan Islam yang difitnahkannya sebagai kaki judi.
PAS juga, tambahnya memperingatkan Muhyiddin dan Kerajaan Persekutuan supaya menghormati hak perundangan Kerajaan Kelantan dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka.
“Jika tidak ada modal untuk bercakap, baik diam diri sahaja,” ujarnya.
PAS, tegasnya menyokong penuh hasrat kerajaan Kelantan dan akan terus berkempen memerangi judi di negara ini.
“Semoga rakyat terus membuka mata dan menolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang,” katanya.
BN menang p'raya kerana demokrasi tempang
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Politik Malaysia tidak sewajarnya dikongkong untuk terus berada dalam kerangka lama seperti sekarang oleh parti memerintah, tetapi sepatutnya diwarnai dengan nafas baru bagi membolehkannya menuju kematangan.
Dalam sistem demokrasi, semua parti-parti politik yang berada di dalam sesebuah negara itu sepatutnya turut dibela oleh parti memerintah kerana jika tidak, demokrasi dalam negara terbabit akan menjadi tempang.
Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria menegaskan, Kerajaan BN yang didominasi Umno selaku tulang belakangnya tidak pula mengambil pendekatan itu dalam pentadbiran negara ini, sehingga menjadikan setiap kemenangan BN dalam sesuatu pilihanraya dilihat terhasil dari perjalanan demokrasi tempang.
Menurut beliau, bukti paling nyata boleh dilihat dari cara Umno BN bertindak dalam pilihanraya sehingga para pemimpinnya sanggup mempergunakan segala jentera kerajaan untuk melaksanakan kempennya, pada hal semua jentera kerajaan bukan kepunyaan parti memerintah, tetapi milik rakyat.
Katanya, selain itu, Umno dan BN masih terus memperbodohkan rakyat dengan pelbagai pendekatan termasuk dengan menyekat kebebasan akhbar dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara.
"Dengan pendekatan seperti itu, demokrasi di Malaysia pasti menjadi tempang dan ia tentunya amat merugikan rakyat. Dengan itu juga demokrasi di Malaysia bukannya memberi ruang kepada rakyat menikmati erti demokrasi sebenarnya, tetapi menuju demokrasi jalan raya (dengan mengadakan demonstrasi)," katanya.
Berucap selaku ahli panel forum Persidangan Kebangsaan, Demokrasi dan Pilihanraya; Prospek dan Cabaran Menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 di Universiti Malaya (UM), di sini, semalam, beliau turut mengimbas beberapa demonstrasi yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini.
Antaranya termasuklah demonstrasi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diadakan oleh parti-parti politik dengan kerjasama beberapa NGO, sebagai saluran untuk rakyat bersuara dan menyampaikan pandangan, akibat rasa tidak puas hati rakyat setelah pelbagai saluran disekat oleh pihak pemerintah.
"Jadi dengan itu, himpunan Bersih yang akan diadakan Jun nanti pasti tidak dapat dielakkan dan penyertaan rakyat pasti akan bertambah," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat menasihati Umno BN agar melihat kembali segala tindakan yang telah dilakukan terhadap rakyat selama ini bagi membolehkan sistem demokrasi di negara ini menjadi segar sejajar dengan kehendak rakyat.
Beliau juga turut mengingatkan parti memerintah agar turut mengambil iktibar dari kebangkitan rakyat di Mesir dan Libya, akibat kealpaan kerajaan dalam menghidupkan demokrasi di negara terbabit, sehingga menyebabkan rakyat sudah tidak tertahan lagi untuk keluar beramai-ramai di jalan raya lalu mengguling kerajaan yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
Menjawab pertanyaan beberapa orang peserta yang antara lain turut menyentuh tentang kaitan politik dan agama, beliau menjelaskan, peranan PAS dalam mewarnai politik negara ke arah perubahan yang diingini rakyat sejajar dengan kehendak Islam sepatutnya turut dilihat dari sudut yang positif oleh parti memerintah dan pelbagai pihak.
Begitu juga dengan kemunculan dan peranan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR dan DAP yang sepatutnya turut dipandang sebagai penyumbang penting ke arah perubahan dan kesegaran politik negara, bagi membolehkan rakyat negara ini menjadi lebih matang dalam politik seperti di negara-negara maju.
Namun, akibat keengganan kerajaan menerima hakikat itu, rakyat terus diperbodohkan dari segala segi termasuk berkaitan pinjaman PTPTN untuk para pelajar yang turut dikenakan interest.
"Dulu interest yang dikenakan sehingga 4 peratus dan kemudian dikatakan dihapuskan, tetapi sebenarnya hanya dikurangkan sahaja menjadi 1 peratus, sehingga menjadikan rakyat berhutang kepada kerajaan sebanyak tidak kurang RM40,000 juta," jelasnya.
Dalam hal ini, menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya mengenakan interest, tetapi memberikan biasiswa kepada pelajar dan itulah antara perkara yang akan dilakukan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jika diberikan mandat oleh rakyat memerintah negara ini menerusi PRU Ke-13 nanti.
Forum tersebut dianjurkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL). Ia diadakan di Dewan Kuliah C, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM dan turut melibatkan dua ahli panel lain yang terdiri daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah.
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman yang bertindak selaku moderatornya ternyata mempunyai kemampuan tersendiri menghidupkan forum tersebut, sehingga memaksa ratusan peserta yang memenuhi dewan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehingga berakhirnya forum.
Kerajaan tak tahu beza notis dengan saman
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Kegagalan pihak kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membezakan di antara notis dan saman dianggap sebagai memalukan.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan juga gagal mematuhi tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D).
"Kita agak terkejut bagaimana pihak kerajaan sendiri khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh memahami persoalan pokok yang terdapat dalam Akta Pengangkutan Jalan itu sendiri dan mereka tidak boleh membezakan antara saman dengan notis.
"Kalau kerajaan tidak boleh membezakan antara notis dan saman satu perkara yang sangat memalukan apabila dia menganggap notis itu sebagai saman.
"Kerajaan sendiri tak boleh akur kepada tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D)," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuching mentafsirkan Akta Undang-Undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1)(D) merupakan perkara yang dianggap perkara belum selesai, merujuk kepada perkara yang belum diselesaikan di peringkat mahkamah.
Mahfuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) sebelum itu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mempunyai kaedah tertentu atau mencari jalan penyelesaian secara pantas semasa berurusan di kaunter Pembaharuan Cukai Jalan dan Pembaharuan Lesen Memandu dalam kes-kes saman Polis atau JPJ di mana berlakunya pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan - kesalahan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penasihat Undang- Undang Kase, Zulhilmi Shariff dalam sidang media sama berkata, rakyat perlu faham kuasa menghukum semua pesalah tertakluk pada mahkamah dan bukannya pihak kerajaan.
"Persoalan yang paling besar ditimbulkan dalam isu saman ekor ini, Ketua Trafik Bukit Aman atau Timbalan Menteri menyebut, kita beri peluang untuk rakyat membayar saman sehingga 10 Mac. Persoalannya di sini, siapa yang suruh bayar? Itu yang paling penting," katanya.
Anak tetap anggap Felda Plantation haram
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsan (Anak) mengulangi dakwaan bahawa Felda Plantation ialah organisasi haram dan terbatal kerana bertentangan dengan Akta GSA 1960 iaitu status pemilikan hanya individu (seksyen 7 (2) dan koperasi (seksyen 11(1).
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa Felda Plantation tidak tertakluk di bawah GSA adalah alasan semata-mata untuk tindakan kerajaan yang bertentangan dengan matlamat asal menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah menipu dan mengkhianati Kerajaan Negeri kerana mewujudkan penempatan tanpa peneroka.
"Dasar yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun 1992, bercanggah dengan hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak ketika beliau membentangkan Akta GSA dibentang dan digubal untuk memberikan panduan dan keseragaman kepada semua negeri-negeri di tanah Melayu bagi mencapai hasrat kerajaan untuk membangunkan taraf kehidupan penduduk luar bandar.
"Keluasan 367,710 hektar tanah Felda Plantation adalah datangnya dari kerajaan negeri. Jik tidak tertakluk di bawah GSA, ia bernaung melalui peruntukan apa?" soalnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dakwaan Anak berhubung perkara ini sebelum ini dinafikan Ahmad yang mengatakan ianya tidak berasas kerana syarikat itu memiliki surat hak milik ladang berkenaan.
Menurut Mazlan lagi, tanah ialah aset yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan kesediaan kerajaan negeri memberikan sejumlah tanah yang luas kepada Kerajaan Pusat menerusi Felda adalah bertujuan memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah.
Semak semula pemberian tanah untuk Felda Plantation
Beliau turut mendedahkan bahawa pengambilan tanah untuk tujuan Felda Plantation dibuat secara paksaan dari kerajaan negeri yang tidak difahami secara jelas maksudnya.
"Hujah Perdana Menteri yang mengatakan bahawa 51 peratus kepentingan Koperasi Permodalan Peneroka Berhad ada dalam Felda Plantation dan memberi dividen 14 peratus setiap tahun kepada peneroka adalah lari dari realiti sebenar ayahanda beliau, Tun Abdul Razak," katanya.
Sehubungan itu, Anak mencadangkan semua kerajaan negeri meyemak semula pemberian tanah untuk Felda Plantation degan dimulai Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Selangor dan Kedah dan boleh dirujuk melaui seksyen 44(GSA) iaitu kuasa menamatkan GSA.
"Tidakkah kita berasa bangga jika tanah Felda Plantation dikurniakan kepada generasi kedua dan ketiga Felda ia memberi manfaat kepada 79,000 orang dan merangsang sosioekonomi rakyat khususnya bangsa Melayu?" soalnya lagi.
Katanya juga, nasib 45,000 pekerja Felda Plantation ketika ini sedang menderita dengan gaji rendah, diperlaku seperti hamba dan kebajikan mereka yang diabaikan.
Malah peserta Felda Plantation Sagu 4, Kuantan mengadakan mogok dan membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan tekanan melampau pihak pentadbiran Felda Plantation.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan