Tak berniat sakitkan sesiapa
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak berniat menyakitkan hati mana-mana pihak ketika menulis buku memoir pertamanya, sebaliknya menyifatkan apa yang tercatat di setiap halaman buku itu cerita benar.
Katanya, walaupun sedar ada pihak kurang senang dengan tulisannya dalam buku setebal lebih 800 muka surat itu, tidak dapat berbuat apa-apa jika pihak berkenaan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman.
“Ketika menulis, saya cuba mengelak daripada menyakitkan hati orang, tetapi saya terpaksa menulis apa yang benar dan berpendapat akan ada yang tidak senang hati, tambahan dalam masyarakat kita sekarang ini ada budaya menyaman.
“Saman sampai seratus, dua ratus juta ringgit.....nak cuba bankrap saya lah kot....jadi saya terima kalau nak saman, samanlah. Asalkan penerbit dapat menjual buku ini, kira eloklah,” katanya dengan nada berseloroh pada sidang media selepas majlis pelancaran buku itu, di sini semalam.
Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Marina Mahathir, selain Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Datuk Ng Tieh Chuan.
Buku ‘A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad’ terbitan Kumpulan MPH itu dijual pada harga RM100 menghimpunkan cerita Mahathir sejak 85 tahun lalu termasuk zaman pemerintahannya.
Bekas Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia juga harus bersedia untuk melawan dengan bersebab, untuk diri sendiri dan keluarga mereka serta tidak harus dikalahkan dengan mudah.
Ia adalah prinsip hidupnya iaitu apa sahaja yang berlaku, "Kita mesti lawan, menang dan berupaya untuk bangkit semula," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku biografinya, 'A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad' di Kuala Lumpur, petang semalam.
Dr Mahathir berkata berdasarkan pengalamannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau menghadapi banyak cabaran, bukan sahaja dari dalam tetapi juga di luar Malaysia.
Terdapat ahli politik yang menentangnya, pemimpin antarabangsa dan tindakan antarabangsa terhadap negara, katanya dan menambah: "Kita mungkin telah jatuh dan menanggung kesengsaraan tetapi kita bertekad apa sahaja yang berlaku kita mesti lawan, menang dan harus bangkit semula."
Apabila ditanya sama ada ia adalah prinsip yang sama beliau gunakan semasa Asia menghadapi krisis kewangan pada 1990, Mahathir berkata ia adalah sukar apabila semua orang menasihati beliau untuk memohon dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tetapi beliau berpegang teguh pada prinsipnya.
Mengulas mengenai buku memoir beliau setebal 800 muka surat, yang dikarangnya sejak 8 tahun yang lalu selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir berkata ia adalah mengenai kisah hidupnya selama 80 tahun.
"Ada yang boleh dijadikan panduan, (dan) ada yang perlu dielakkan oleh semua orang.
"Saya mengambil masa lapan tahun untuk menulis buku ini, saya mahu orang ramai membaca buku ini dan berharap orang ramai akan membacanya."
Ditanya adakah beliau bersedia terhadap kemungkinan tindakan saman diambil terhadap tulisannya itu, Dr Mahathir berkata: "Semasa saya menulis, saya cuba mengelak daripada menyakitkan hati orang namun demikian saya terpaksa menulis apa yang benar."
"Saya berpendapat akan ada orang rasa tidak senang hati dengan penulisan saya dalam buku ini....Jadi saya terimalah...nak saman, samanlah," katanya.
Katanya beliau tidak dapat melakukan apa-apa sekiranya ada pihak menjadi musuhnya hasil daripada tulisannya itu kerana bagi sesetengah orang buku ini akan menjadi pengajaran, mungkin ada yang berpendapat buku ini tidak berguna, terpulanglah kepada orang ramai untuk menilainya.
"Saya telah mencuba yang terbaik walaupun saya tidak boleh menjadi hakim untuk menilai buku saya sendiri, terpulanglah kepada orang ramai pada hari ini dan masa depan untuk menghakimi buku ini," katanya.
Buku biografi itu turut memuatkan kisah ibu bapa dan masa kecilnya, pengajian beliau di universiti, percintaan beliau dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, juga meliputi topik yang luas termasuk Ops Lalang, badan kehakiman dan hubungan beliau dengan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Bernama
“Sebenarnya apa yang saya lihat ialah ketakutan dia (Mahathir) terhadap perubahan kerana kezaliman yang berlaku semasa pemerintahannya seperti yang didedahkan dalam buku Barry Wain: Malaysia Maverick. Beliau menghabiskan RM100 bilion lebih (duit rakyat), kata Anwar.
"Mahathir juga mahu menjamin masa depan anaknya seperti yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap anaknya Gamal. Dia mahu menjamin anaknya dalam golongan terulung di negara. Ini yang menjadi pertimbangan dia," kata Anwar kepada TVSelangor.
Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar.
Katanya, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar oleh Mahathir dan menegaskan bahawa masyarakat celik terhadap motif Mahathir untuk terus menyerang beliau.
Ketuan umum PKR itu berkata pembohongan Mahathir terserlah dalam buku Doktor Dalam Rumah, khususnya apabila mendakwa beliau (Anwar) tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya apabila perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum dia di pecat dari parti.
"Nyata satu lagi pembohongan jahat ialah Mahathir mendakwa kononnya saya mengaku (tuduhan) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Saya tidak akan terkejut sekiranya kuncu-kuncu Umno akan mengesahkan (demikian),” kata Anwar.
"Tetapi kita ada rakaman mesyuarat itu. Sepertimana yang saya ingat, perjalanan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu telah bocor dan tidak ada sama sekali pengakuan saya kononnya mengesahkan tuduhan.” kata Anwar.
Meskipun sering mendakwa Anwar kononnya mengamalkan seks liar, Mahathir tidak sekali pun menghadirkan diri di mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar pada tahun 1998, walaupun atas desakan peguambela mantan timbalan perdana menteri itu.
Sebaliknya Mahathir memilih untuk terus melontarkan tuduhan-tuduhan itu di luar mahkamah, dan di atas kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu.
Selepas berundur dari jawatan itu, Mahathir meneruskan serangan ke atas Anwar dengan sokongan pemimpin-pemimpin Umno yang melihat ketua pembangkang itu sebagai musuh utama parti mereka yang harus ditumpaskan.
Mahathir memuatkan 20 halaman dalam memoirnya mengenai bagaimana beliau mendapat tahu tentang dakwaan kisah seks Anwar dengan lelaki dan wanita, yang membawa kepada pemecatannya pada 1998.
Ia diceritakan di bawah bab bertajuk 'Anwar's Challenge' dalam memoir setebal 800 halaman itu.
Antaranya, Mahathir menceritakan bagaimana beliau menemubual empat gadis yang memberitahunya bagaimana mereka dipujuk untuk bertemu seorang yang sangat berpengaruh, oleh seorang lelaki India yang mereka kenali sebagai Nalla.
Katanya, lelaki itu telah membawa setiap gadis itu secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di situ mereka bertemu seorang yang mereka dikenalpasti sebagai timbalan perdana menteri. Mereka diminta menanggalkan pakaian untuk mengadakan hubungan seks.
Kedua-dua mereka, tulisnya lagi, enggan berbuat demikian tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka bersedia bercakap dengan polis dan dengan beliau, tetapi berkeras tidak mahu memberi keterangan di mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan