Saat cemas tinggalkan Tripoli
SEPANG – “Pengalaman melihat mayat bergelimpangan di atas jalan raya merupakan kenangan ngeri yang tidak dapat dilupakan seumur hidup saya.”
Demikian cerita seorang rakyat Malaysia, Navin Patmanathan ketika menceritakan detik cemas dan menakutkan yang ditempuhinya ketika tercetus pertempuran antara pihak berkuasa dengan penunjuk perasaan di Tripoli, Libya.
“Saya lihat mayat-mayat, pelbagai senjata di tangan orang awam dan berlaku kejadian tembak-menembak. Ia amat menakutkan dan tak pernah saya fikir Libya boleh bertukar macam ini.
“Kejadian itu sangat dahsyat dan menakutkan,” katanya yang merupakan seorang kakitangan Ranhill Berhad yang bertugas di Libya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Navin merupakan salah seorang daripada 98 orang rakyat Malaysia termasuk dua pelajar di Libya yang dibawa pulang oleh Kementerian Luar menerusi pesawat komersial Malaysia Airlines (MAS) melalui Rom, Itali.
Mereka tiba di tanah air pada pukul 6.25 pagi semalam dan kepulangan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot bersama kakitangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Oman semakin bergolak
MUSCAT - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi di Oman menyekat beberapa jalan menuju ke sebuah kawasan industri utama semalam walaupun mereka berdepan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.
Tindakan nekad itu dilakukan sehari selepas beberapa pertempuran dengan tentera telah menyebabkan enam orang terbunuh.
Kumpulan penunjuk perasaan itu menyekat jalan-jalan menuju ke kawasan perindustrian Sohar, utara Oman, yang menempatkan sebuah kilang aluminium dan pelabuhan memproses minyak.
Beberapa saksi berkata, pasukan keselamatan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah sekitar 2,000 penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka.
Para penunjuk perasaan tersebut berarak untuk menuntut lebih banyak peluang pekerjaan dan reformasi politik dilaksanakan di Oman.
Sebuah pasar raya utama di Soha turut terbakar semalam selepas penduduk memecah masuk dan melarikan pelbagai barangan di dalamnya.
Seorang jurucakap pelabuhan Sohar memberitahu, penghantaran minyak mentah dari pelabuhan tersebut masih berjalan lancar setakat ini.
Pelabuhan Sohar mengeksport 160,000 tong minyak mentah sehari.
Tunjuk perasaan di Oman itu didorong kebangkitan di dunia Arab yang tercetus sejak beberapa bulan lalu.
Pada Sabtu lepas iaitu seminggu selepas demontrasi tercetus di ibu kota Oman, di sini, pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said telah melakukan rombakan Kabinet.
Beliau memegang kuasa sejak empat dekad lalu selepas melakukan rampasan kuasa ke atas bapanya sendiri pada 1970.
Kelmarin, pemerintah Oman itu berjanji akan mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan baru dan memberikan insentif wang kepada golongan penganggur. - Agensi
Semua aset Hosni Mubarak dirampas
|
|
KAHERAH - Pihak pendakwa raya Mesir merampas semua aset bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dan keluarganya semalam.
Keluarga bekas pemimpin itu juga dilarang untuk pergi ke luar negara.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.
Beberapa laporan yang tidak disahkan menyatakan bahawa Hosni dan keluarganya mungkin mempunyai aset berjumlah berbilion-bilion dolar.
Pada 20 Februari lalu, peguam negara Mesir sudah membekukan semua aset milik Hosni, isteri, dua anak mereka dan isteri masing-masing.
Mesir kini diperintah sebuah majlis ketenteraan.
Hampir 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan memperoleh pendapatan di bawah AS$2 sehari (RM6.10).
Hosni didakwa cuba untuk menutup matanya berhubung gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan keluarganya.
Beliau memimpin Mesir hampir 29 tahun selepas Anwar Sadat mati ditembak oleh militan Islam. - Agensi
Gaddafi tak lagi kawal minyak
BRUSSELS - Rejim pimpinan pemerintah Libya, Muammar Gaddafi tidak lagi mengawal kebanyakan kemudahan minyak dan gas di negara itu, kata Pesuruhjaya Tenaga Kesatuan Eropah (EU), Gunther Oettinger
"Terdapat maklumat bahawa majoriti kawasan minyak dan gas di Libya kini tidak lagi dikawal oleh Gaddafi," kata Oettinge dalam satu sidang media selepas mesyuarat menteri-menteri tenaga EU di sini semalam.
Pada sidang media tersebut, beliau menolak cadangan menguatkuasakan sekatan ke atas eksport minyak Libya kerana kemudahan-kemudahan minyak negara itu telah jatuh ke tangan pihak penentang.
EU sebelum ini bersetuju melaksanakan pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap Gaddafi dan 25 anggota keluarganya serta orang-orang kanannya selain menyekat bekalan senjata, peluru dan bahan berkaitan ke Tripoli.
Langkah tersebut dilaksanakan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada minggu lalu, bersetuju menguatkuasakan sekatan ke atas rejim Gaddafi dalam usaha menghalang pemimpin itu daripada terus bertindak zalim terhadap penentang-penentangnya. - AFP
AS rayu dunia hukum Gaddafi
GENEVA - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton merayu masyarakat dunia supaya menghukum pemerintah Libya, Muammar Gaddafi dan rejimnya kerana kekejaman yang dilakukan oleh mereka.
Hillary berkata, antara tindakan yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan Gaddafi ialah membunuh askar-askar yang enggan menembak saudara sebangsa mereka.
Dia membuat rayuan tersebut ketika bercakap dalam sidang Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam.
Tegasnya, Gaddafi perlu meletak jawatan serta-merta tanpa penangguhan atau keganasan lanjut.
Hillary menyatakan demikian selepas menggesa sekutu-sekutu AS di Eropah supaya melaksanakan sekatan keras terhadap pentadbiran Libya.
Gesaan beliau dipersetujui EU yang melaksanakan larangan perjalanan, sekatan senjata dan pembekuan aset ke atas Libya semalam.
Jerman bagaimanapun mengemukakan usul lebih serius dengan mencadangkan sekatan ekonomi 60 hari terhadap rejim Gaddafi.
Sekatan itu bertujuan menghalang Gaddafi daripada menggunakan hasil jualan minyak negara dan pendapatan lain untuk terus menindas rakyatnya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan