Rakyat Oman bangkit protes
SOHAR: Rakyat Oman terus menguasai jalan utama di bandar Sohar bagi menuntut kerajaan menangani masalah pengangguran dan melaksanakan reformasi di negara itu.
Bantahan terbuka itu diadakan sehari selepas enam penunjuk perasaan terbunuh gara-gara terkena peluru getah polis.
Protes itu - kebanyakannya disertai penganggur - menghalang laluan di bandar perindustrian penting Oman walaupun kerajaan mengumumkan bantuan baru untuk mereka.
Kerajaan juga memberikan lebih kuasa kepada majlis penasihat yang dilantik.
Protes diadakan di Bulatan Bumi - kawasan persimpangan penting untuk ke Muscat selama tiga hari berturut-turut walaupun polis cuba menyuraikan mereka.
Pihak berkuasa tidak kelihatan semalam selepas sehari sebelum itu berlaku pertembungan berdarah di antara polis dan penunjuk perasaan.
Jurucakap kerajaan mendakwa, hanya seorang terbunuh dalam konfrontasi itu.
Mangsa kedua, katanya, terselamat walaupun peluru getah itu terkena perutnya.
Bagaimanapun, di pihak penunjuk perasaan, mereka mendakwa sekurang-kurangnya enam terbunuh.
Agensi berita ONA melaporkan, protes bermula pada subuh Sabtu dan berlanjutan sehingga semalam.
Beberapa kenderaan kerajaan dan persendirian turut dibakar.
“Polis antirusuhan bertindak bagi melindungi orang ramai dan harta-benda mereka,” lapor ONA.
Selain rumah gabenor di Sohar, penunjuk perasaan turut membakar pusat membeli-belah. - AFP
AS tawar bantuan
LEPAS GERAM...orang ramai mengoyakkan poster Gaddafi ketika membantah kekejaman pemimpin Libya itu di Zawiyah, semalam. Bandar itu kini dikuasai penentang kerajaan.
WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan kesediaannya menawarkan ‘sebarang bantuan’ kepada rakyat Libya yang kini gigih menumbangkan rejim Muammar Gaddafi.
Ketika penentang kerajaan menguasai beberapa bandar di barat Libya, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, menyertai desakan pemimpin lain dunia, termasuk Barack Obama, menggesa Gaddafi berundur.
“Kita baru saja memulakan proses menyingkirkan Gaddafi.
“Mula-mula, kita perlu melihat rejimnya berakhir dan tiada lagi pertumpahan darah,” katanya Menurut Hillary, Washington tidak sabar melihat Gaddafi disingkirkan daripada kedudukannya sebagai pemimpin Libya secepat mungkin.
Kenyataan itu dibuat ketika Hillary bersedia menghadiri mesyuarat peringkat menteri di Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.
Pada pertemuan itu, dia dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatnya dari negara lain mengenai Libya.
Sementara itu, akhbar The New York Times melaporkan, pegawai AS dan Eropah membincangkan pelan menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya bagi menghalang pembunuhan ke atas rakyat negara itu oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.
Memetik sumber, akhbar itu melaporkan, setakat ini keputusan muktamad belum dicapai.
Menteri Luar Itali, Franco Frattini, pula berkata perjanjian persahabatan di antara negara itu dengan Libya yang dimeterai pada 2008 kini dianggap digantung. Pegawai kanan AS juga mengaku mereka membincangkan kemungkinan mengganggu siaran komunikasi di Libya bagi menghalang Gaddafi menyebarkan ucapan atau kenyataan kepada orang ramai.
Akhbar itu turut menyatakan, AS memberi pertimbangan sama ada tentera negara itu boleh membina kemudahan di Tunisia atau Mesir bagi membantu pelarian Libya. - AFP
Jet tentera Libya ditembak jatuh
ALGIERS: Penentang kerajaan menembak jatuh sebuah jet tentera yang menyerang orang awam berhampiran bandar Misrata, kata saksi semalam.
Misrata terletak kira-kira 200 kilometer di timur ibu negara Libya, Tripoli.
Saksi berkata, sebuah pesawat pejuang terhempas ketika juruterbangnya melepaskan tembakan ke arah sebuah stesen radio tempatan.
“Penunjuk perasaan kemudian menawan juruterbang terbabit,” katanya.
Saksi itu berkata, tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi bertempur dengan penentang kerajaan sejak malam kelmarin bagi menguasai pangkalan udara berhampiran Misrata.
Katanya, tentera kerajaan hanya menguasai sebahagian kecil pangkalan itu, manakala selebihnya dikuasai penunjuk perasaan.
Sementara itu, harga barangan keperluan harian di Tripoli meningkat dengan drastik Seorang penduduk Tripoli berkata, harga beras meningkat 500 peratus menjadi RM122 bagi kampit seberat lima kilogram.
Keadaan itu memaksa orang ramai berbaris membeli roti, tetapi keadaan tetap sukar apabila penyokong Gaddafi berkawal di Tripoli.
Pekedai pula hanya dibenarkan menjual lima buku roti untuk sesebuah keluarga. - Reuters
EU segerakan sekatan senjata, perjalanan kepada Gaddafi
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menandatangani sekatan senjata dan perjalanan ke atas Muammar Gaddafi dan kerajaannya, kata diplomat, semalam.
Tindakan itu dijangka hanya diambil hujung minggu ini, tetapi EU menyegerakannya bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Kata sumber, EU juga dijangka membekukan semua aset Gaddafi, keluarga dan kerajaan Libya.
Libya turut berdepan masalah apabila EU melarang anggotanya menjual gas pemedih mata kepada rejim Gaddafi. Negara Eropah terus mendesak Gaddafi - berkuasa sejak lebih empat dekad lalu - supaya berundur selepas protes rakyat terhadapnya terus memuncak.
Diplomat EU berkata, menteri dari 27 negara kesatuan itu bertemu di Brussels dan memberi sokongan rasmi terhadap sekatan Majlis Keselamatan PBB ke atas rejim Gaddafi.
Sehingga semalam, tentera yang setia kepada Gaddafi masih gagal menguasai semula wilayah yang ditawan penunjuk perasaan. - Reuters
Pemberontak tunggu serangan
|
|
TRIPOLI 28 Feb. – Pemberontak Libya sedang menunggu serangan balas daripada pasukan keselamatan Muammar Gaddafi, selepas pemimpin negara ini enggan memenuhi kehendak penunjuk perasaan untuk mengundurkan diri.
Pemberontak yang merampas Zawiyah, kira-kira 50 kilometer (km) dari barat Tripoli berkata, kira-kira 2,000 askar yang setia kepada Gaddafi kini mengepung bandar itu.
‘‘Kami akan melakukan yang terbaik dalam mempertahankan bandar ini. Mereka akan serang tidak lama lagi. Jika kami bertempur kerana mahukan kebebasan, kami bersedia untuk mati,’’ kata bekas anggota polis berpangkat mejar yang menyertai pemberontakan.
Gaddafi kini menggempur pemberontakan yang merebak di seluruh Libya selepas demonstrasi besar-besaran menggulingkan pemimpin negara jiran, Tunisia dan Mesir.
Tindakan keras Gaddafi dalam menggempur pemberontakan menyebabkan kematian beratus-ratus orang di Libya.
Penduduk di beberapa bahagian di Tripoli juga telah membina sekatan terhadap pasukan keselamatan kerajaan.
Seorang jeneral di sebuah bandar di timur negara itu yang berjaya dirampas oleh tentera berkata kepada Reuters bahawa pasukannya kini bersedia membantu pemberontak di barat negara ini.
‘‘Saudara kami di Tripoli menyatakan mereka masih berada dalam keadaan baik, mereka tidak memerlukan pertolongan. Jika mereka memintanya, kami bersedia untuk bergerak,’’ kata Jeneral Ahmed el-Gatrani, pegawai kanan tentera di Benghazi.
Para penganalisis menjangka pasukan pemberontak akhirnya akan mengambil alih ibu negara dan membunuh atau menangkap Gaddafi.
Bagaimanapun, kata para penganalisis, Gaddafi mempunyai kekuatan untuk menimbulkan huru-hara atau perang saudara, prospek yang diberi amaran oleh pemimpin Libya itu dan anaknya. – REUTERS
Industri minyak Libya kucar-kacir
MADRID 28 Feb. - Industri minyak Libya kini berada dalam keadaan kucar-kacir dan tiada siapa tahu bilakah ia akan berakhir.
Lelaki bersenjata mencuri kelengkapan dari kilang pemprosesan minyak. Komando Britain dan Jerman menjalankan serbuan rahsia di kawasan padang pasir Libya bagi menyelamatkan pekerja minyak yang terkandas ketika keselamatan di kem-kem minyak terpencil semakin berkurangan.
Pekerja pelabuhan Libya yang takut ditangkap dalam tindakan keras yang diarahkan Presiden Muammar Gaddafi, tidak hadir ke tempat kerja, menyebabkan kapal-kapal tangki gagal diisi dengan minyak dan hanya terapung di Laut Mediterranean.
Syarikat-syarikat minyak Eropah yang mengekstrak emas hitam itu kini beroperasi dalam keadaan krisis ketika usaha membawa keluar pekerja mereka dengan selamat dilakukan, di tengah-tengah maklumat bercanggah tentang jumlah minyak yang masih dipam dan di mana ia disimpan.
Situasi itu dijangka berlanjutan dan tidak akan kembali pulih dalam masa terdekat.
Buat masa ini, tiada siapa tahu sama ada Gaddafi atau penunjuk perasaan yang mahu menyingkirkannya akan mengakhiri krisis Libya dengan mengawal simpanan minyak terbesar Afrika itu.
Terbaru, syarikat pengeluar minyak dan gas asli terbesar China, China National Petroleum Corp (CNPC) hari ini menghentikan pengeluarannya di Libya dan membawa keluar semua pekerjanya dari negara itu.
CNPC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghentikan operasi pengeluaran dan menutup kilang memproses minyak di negara Afrika itu selepas kem-kem minyak dan tapak operasinya diserang.
Minggu lalu, syarikat minyak seperti Total, Repsol, Eni, BASF serta OMV dari Australia menyatakan mereka akan menurun atau menghentikan pengeluaran di Libya. - AFP
Muammar Gaddafi anggap sekatan PBB sebagai tidak sah
BELGRADE 28 Feb. - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menolak sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak sah dan mendakwa keadaan sudah kembali tenang di Libya kerana wilayah yang dikuasai oleh penentang rejimnya kini dikepung.
Gaddafi dalam kenyataan kepada media asing yang disiarkan di televisyen Serbia juga mengulangi dakwaannya puak pelampau al-Qaeda mendalangi pertumpahan darah sejak protes antirejim bermula pada sekitar 15 Februari lalu.
"Majlis Keselamatan meluluskan resolusi yang tidak sah mengikut Piagam PBB, usul itu terbatal," kata Gaddafi kepada Serbian Pink Television dalam kenyataan 10 minit dalam bahasa Arab dan dialih kepada bahasa Serbia.
Beliau mempertikaikan bagaimana mungkin Majlis Keselamatan meluluskan resolusi berdasarkan laporan media semata-mata.
"Tindakan itu tidak boleh diterima dan bercanggah dengan akal yang waras," katanya.
Majlis Keselamatan kelmarin memutuskan untuk mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap Gaddafi serta ahli keluarga dan sekutunya, dan sekatan senjata ke atas Libya.
Dalam kenyataan menerusi telefon kepada televisyen Serbia itu, Gaddafi mendakwa situasi di negara di Afrika Utara ini tenang.
"Tidak ada insiden buat masa ini dan Libya tenang sama sekali, tiada perkara luar biasa yang berlaku dan tiada kekacauan," dakwanya, dengan menambah hanya sebilangan kecil yang terbunuh di kedua-dua pihak.
Mengenai wilayah yang dikuasai oleh penentang rejim, Gaddafi berkata, terdapat sekumpulan kecil penentang yang dikepung dan pihak berkuasa akan membereskan masalah itu.
Di Geneva, Menteri-menteri Luar dari negara kuasa besar dijadual bersidang hari ini untuk membincangkan langkah-langkah berikutnya bagi menghentikan pertumpahan darah di Libya.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan rakan sejawatan mereka dari Britain, Perancis, Jerman, Kesatuan Eropah (EU) dan Itali dijadual berucap pada sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB di bandar raya di Switzerland itu.
Menteri dari beberapa negara yang mengalami pemberontakan atau protes termasuk Mesir, Jordan dan Tunisia juga dijadual berucap kepada badan 47 anggota itu selepas sidangnya selama empat minggu dibuka pada 10 pagi (5 petang ini waktu Malaysia). - AFP
Negara Barat mahu serang Libya
2011/03/01
PARIS: Negara Barat dikatakan menimbangkan untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya berikutan ancaman pembunuhan beramai-ramai dan prospek ratusan ribu rakyat negara Arab utara itu menjadi pelarian di Eropah.
Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak akan dilancar tanpa kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami sedang menimbang semua pilihan agar Kolonel Gaddafi benar-benar faham apa yang mungkin dihadapinya. Saya tahu ada yang menyebut penyelesaian ketenteraan dan penyelesaian ini memang sedang diteliti kerajaan Perancis,” kata Fillon.
Bagaimanapun, Fillon berkata Perancis tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penyertaan sekutu NATOnya dan tanpa kebenaran PBB.
NATO pula berkata ia menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB itu.
“Kami juga menyedari resolusi itu tidak menyebut keperluan zon larangan terbang,” kata jurucakap NATO Oana Lungescu .
Timbalan Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa dan Strategik di Paris, Jean-Pierre Maulny berkata jika pembunuhan beramai-ramai berlaku di Libya, masyarakat antarabangsa tidak akan boleh berdiam diri.
NATO, katanya, adalah badan paling sesuai untuk menguatkuasakan zon larangan terbang itu tetapi langkah ketenteraan lain perlu kebenaran PBB.
Sementara itu di BENGHAZI, seorang sukarelawan kesihatan berkata wilayah timur Libya yang sudah dikuasai pemberontak akan mula mengalami masalah kekurangan makanan dan perubatan serius dalam masa tiga minggu.
Timur Libya jatuh ke tangan penunjuk perasaan yang menentang Gaddafi yang enggan meletak jawatan walaupun berhadapan dengan bantahan yang berterusan.
Pergolakan yang tercetus sebaik saja rakyat Mesir berhasil menjatuhkan pemimpin mereka Hosni Mubarak 11 Februari lalu, menjejaskan import dan bekalan makanan segar tempatan dengan kebanyakan kedai dan kilang masih lagi ditutup sejak bandar raya itu berhadapan dengan tunjuk perasaan seminggu lalu.
“Kita akan mengalami kekurangan makanan, minuman, perubatan dan peralatan perubatan serius dalam masa dua hingga tiga minggu. Kita perlukan bantuan luar,” kata Khalifa el-Faituri, seorang sukarelawan yang berkelayakan dalam kesihatan umum dan farmakologi. – AFP/AP
Mubarak dilarang keluar negara
2011/03/01
KAHERAH: Mesir semalam mengenakan larangan keluar negara terhadap Hosni Mubarak dan keluarganya, selain membekukan aset bekas presiden itu yang meletak jawatan berikutan bantahan rakyat 11 Februari lalu.Selain Mubarak larangan itu turut dikenakan ke atas isterinya Suzanne, dua anak lelaki mereka Ala dan Gamal, dan isteri masing-masing, kata seorang sumber jabatan kehakiman semalam.
Pada 21 Februari lalu, pendakwa raya Mesir, Abdel Magid Mahmud memohon kerajaan asing membekukan aset luar negara bekas presiden itu dan keluarganya.
Pendakwa raya itu memberi arahan kepada menteri luar Ahmed Abul Gheit menghubungi kerajaan asing terbabit bagi melaksanakan pembekuan berkenaan.
Sumber kehakiman berkata ketika itu pejabat pendakwa raya menerima beberapa aduan berhubung kekayaan Mubarak dan keluarga di luar negara yang menyebabkannya melancarkan siasatan.
Mubarak didakwa menghimpun kekayaan yang besar ketika berkuasa tetapi penasihat undang-undangnya berkata dakwaan berkenaan hanyalah khabar angin.
Perancis berkata minggu lalu ia akan memenuhi permintaan Mesir itu.
“Kami sedang berbincang dengan negara Eropah lain bagaimana untuk memenuhi permintaan pihak berkuasa Mesir ini,” kata jurucakap kementerian luar Perancis, Bernard Valero.
Switzerland yang membekukan aset Mubarak beberapa jam selepas pemimpin itu digulingkan berkata bekas presiden itu memiliki ‘berpuluh juta francs’ disimpan dalam institusi kewangan Switzerland. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan