Khamis, 10 Februari 2011

SUSAH JUGA JIKA ORANG YANG TAK BOLEH DIKRITIK...RASA DIRI HEBAT ATAU SEMPURNA...MACAMLAH ORANG TAK KENAL DIA..YANG PERNAH MEMENUHI MUKA DEPAN KHABAR


Selangor naikkan elaun guru Kafa RM300
Harakahdaily

SHAH ALAM, 9 Feb: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan tambahan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang bertugas di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di seluruh negeri.

Dengan tambahan elaun RM300 itu menjadikan elaun bulanan guru-guru Kafa di SRA dan SRAI Selangor sebanyak RM1,300 sebulan berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Kelulusan untuk kenaikan elaun itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.

Tambahan elaun ini melibatkan 3,935 guru Kafa yang mengajar di 208 SRA dan 11 buah SRAI seluruh negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco berkata, kenaikan elaun bulanan itu akan melibatkan peruntukan tambahan kerajaan negeri lebih RM14 juta setahun.

Pada masa ini, guru Kafa di SRA dan SRAI di Selangor menerima elaun sepenuhnya dari kerajaan negeri dan Baitulmal sebanyak RM1,000 sebulan atau RM61 juta setahun.

“Kerajaan negeri berharap kenaikan elaun bulanan ini akan mendorong guru Kafa di SRA dan SRAI berusaha meningkatkan kualiti kerja seharian,” kata Khalid.



Tubuh JK Parlimen pantau beli kelengkapan pertahanan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta satu jawatankuasa khas di peringkat parlimen ditubuhkan bagi memantau dan meluluskan sebarang pembelian peralatan kelengkapan ketenteraan melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan harus mewujudkan mekanisme baru dalam proses pembelian kelengkapan ketenteraan bagi memastikan pembeliannya benar-benar mengikut keperluan negara dengan menubuhkan jawatankuasa berkenaan yang melibatkan ahli parlimen dari pelbagai parti politik.

"Oleh kerana pembelian kelengkapan pertahanan ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar jadi perlu dirujuk kepada satu jawatankuasa di peringkat parlimen seperti mana yang wujud dalam parlimen di United Kingdom," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Kementerian Pertahanan yang sedia membayar RM6 bilion bagi enam kapal tentera laut, 870 peratus lebih mahal daripada bayaran negara lain untuk kapal yang sama.

Jawatankuasa ini juga, katanya dapat memastikan wang negara tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya selain mengelakkan ketirisan dalam perbelanjaan wang rakyat.

"Pembelian kelengkapan pertahanan mesti ditujuk kepada jawatankausa khas parlimen untuk pastikan pembelian itu benar-benar memenuhi keperluan dan tidak berlaku kebocoran dalam perbelanjaan sebab pembelian ini memakan belanja yang besar," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Sementara itu, beliau turut mempersoal penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang disifatkan sebagai retorik politik Umno BN.

"Apakah motif kepada penubuhan Teraju ini? Pelbagai institusi ditubuhkan untuk membantu masyarakat bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) Permodalan Nasional Berhad (PNB), institusi ini telah wujud sekian lama tiba-tiba hari ini timbul satu lagi yang saya anggap satu retorik untuk menunjukkan kerajaan begitu prihatin terhadap bumiputera," katanya.

Mahfuz turut mengecam tindakan kerajaan membubarkan kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2009 sedangkan ianya lebih berkesan berbanding mewujudkan unit-unit kecil.

"Kementerian Pembangunan Usahawan yang lebih tepat sebagai satu kementerian yang mempunyai fungsi yang lebih kuat untuk membuat pemantauan dan meneliti pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan dihapuskan.

"Kita menghapuskan satu kementerian yang mempunyai seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap kementeriannya dan institusi berkaitan kepentingan Melayu berada di bawah kementerian dan sekarang ini kita lihat institusi-institusi ini berkecamuk dan berada di merata-rata," katanya lagi.

Ujarnya juga, kerajaan tidak menunjukkan keseragaman dan tindakan tersusun dalam membantu bumiputera sebaliknya menemui kegagalan demi kegagalan.

"Kita sudah ada dasar ekonomi baru (DEB), wawasan 2020 tapi semuanya tidak memperlihatkan keseragaman langkah kerajaan dalam membantu bumiputera. Wujudnya institusi ini masyarakat bumiputera terus ketinggalan," katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Teraju yang dikatakan untuk memperkukuhkan lagi agenda pembangunan golongan bumiputera.



DPMM: Beri tanah, bantu Melayu, ekuiti hanya 6-7%
Salhan K Ahmad
Feb 9, 11
6:53pm

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Syed Ali Alattas berkata beliau yakin golongan Melayu dan bumiputera akan berjaya mencapai sasaran kadar ekuiti sebanyak 30 peratus menjelang 2015.

Jelasnya, kadar berkenaan dapat dicapai sekiranya masalah membabitkan golongan itu dapat diselesaikan di peringkat pelaksana – khususnya pihak berkuasa tempatan.

mustafa mohamed and malay chamber of commerce president syed ali ali-attasKatanya, berdasarkan kajian DPMM, kadar ekuiti golongan itu pada masa kini hanyalah sekitar enam hingga tujuh peratus sahaja.

"Tapi kita tidak seharusnya beri angka sahaja. Semua orang boleh bercakap tapi kita perlukan tindakan yang konkrit untuk membantu bumiputera," kata Syed Ali (atas, kanan) dalam satu sidang media di pejabatnya di Bukit Damansara hari ini.

Tambahnya, isu melibatkan undang-undang kecil, termasuk melibatkan pelesenan dan dasar pemilikan tanah perlu diperbaiki memandangkan pihak berkuasa tempatan merupakan pihak yang paling dekat dengan golongan peniaga bumiputera.

bumiputera malaysia people market chartMasalah melibatkan pembiayaan golongan peniaga itu juga perlu diselesaikan, termasuk bagi menyelesaikan soal pemilikan kedai dan memperbaiki sistem pengedaran runcit.

"Semua hutang kedai-kedai ini selesaikan dengan satu kaedah pembiayaan. Jika tidak, jika kedai mereka dilelong (timbul masalah).

"Teruslah beri tanah kepada (peniaga bumiputera). Kalau kita boleh beri tanah kepada orang berekar-ekar, ini orang yang (minta cuma seluas) sepuluh (kaki persegi) pun tak boleh kasi?

"Jadi perlu diselesaikan sekaligus. (Ini memerlukan) satu badan pembiayaan dan sistem baru yang komprehensif," katanya lagi.

NONEIsu berkenaan merupakan antara yang akan diketengahkan dalam Makmal Sosioekonomi Melayu yang diterajui DPMM, kata Syed Ali lagi.

Makmal berkenaan merupakan salah satu inisiatif bawah TERAJU yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Isu berhubung kuota ekuiti bumiputera itu timbul ekoran bantahan anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) ke atas pelupusan kuota berkenaan melalui Model Baru Ekonomi (MBE), seperti didedahkan seorang anggota majlis itu semalam.


Ops Lalang: Kenyataan Mahathir amat memalukan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Penjelasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersalahkan polis atas Operasi Lalang yang menyebabkan 106 ditangkap di bawah ISA pada tahun 1987 lalu, jelas merupakan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Selain itu, kenyataan itu juga boleh dilihat sama ada Mahathir telah lupa dengan apa yang telah dilakukan atau mahu menutup imejnya yang buruk semasa menjadi Perdana Menteri dahulu yang amat banyak melakukan tangkapan di bawah ISA.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, selaku eksekutif atau Perdana Menteri di negara ini ketika beliau menjadi Perdana Menteri dulu, mustahil Mahathir tidak tahu dengan tangkapan ISA dan membiarkan pihak polis yang bertindak sendirian dalam hal itu.

Menurut beliau, pada hal, penggunaan ISA ke atas seseorang itu bukan berada di bawah kuasa polis, tetapi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala Menteri Dalam Negeri pula ketika itu adalah Mahathir sendiri.

"Untuk menahan seseorang itu di bawah ISA, ia mestilah ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri ketika itu iaitu Mahathir sendiri. Jadi macam mana Mahathir boleh kata dia tak tahu menahu perkara itu dan polis telah bertindak di luar perancangannya atau lain dari yang ingin dilakukannya?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jadi, menurut beliau, kenyataan Mahathir itu tentunya tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja yang berakal waras kerana semua tindakan yang dilakukan itu adalah di bawah tanggugjawab beliau sendiri selaku Perdana Menteri, apatah lagi dalam masa yang sama turut menjadi Menteri Dalam Negeri.

"Malah jika benar apa yang dikatakan oleh Mahathir itu, ia jelas merupakan sesuatu yang ganjil, memalukan dan kegagalan Mahathir sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya selaku Perdana Menteri ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang mempersalahkan polis atas Ops Lalang yang menyaksikan 106 orang termasuk seteru politiknya ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987.

Dalam buku terbaru mengenai Mahathir yang berjudul 'Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad', bekas perdana menteri yang meneraju Malaysia selama 22 tahun itu mengakui bahawa beliau berang dengan tindakan polis itu.

"Ya, saya akan tangani secara berbeza, tetapi polis ingin melakukan hal-hal ini (tangkapan ISA) kerana mereka menyatakan ia perlu.

"Saya sebenarnya berjumpa dengan semua ahli pembangkang (terlebih dahulu) dan menyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dan awak tahu apa yang polis lakukan? Polis menangkap mereka. Kredibiliti saya hilang," kata Mahatahir.

Tom Plate yang mewawancara Mahathir dan mengarang buku itu kemudiannya bertanya kepada Mahathir dengan lebih lanjut sama ada beliau marah atau tidak dengan tindakan polis itu.

"Yeah, tapi apa yang boleh saya lakukan? Saya perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah orang-orang yang membuat keputusan. Saya memberikan kuasa umum kepada mereka untuk bertindak," jawab Mahathir.

Semasa penangkapan besar-besaran pada 27 Oktober 1987, lebih seratus orang ditangkap. Sebahagian besar daripada mereka yang ditangkap itu terdiri daripada pemimpin pembangkang dan segelintir ahli politik dari Umno dan MCA. Selain itu, permit penerbitan untuk akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan telah ditarik balik.

Kerajaan kemudian menawarkan penjelasan bahawa tangkapan ISA yang kedua terbesar sejak rusuhan perkauman 13 Mei itu adalah 'perlu' bagi membendung 'ketegangan perkauman' yang semakin memuncak, akibat protes besar-besaran berhubung pelantikan pengetua bukan berpendidikan Cina di sekolah-sekolah vernakular Cina.

Umno pula kemudiannya membalas dengan mengadakan protes besar-besaran juga yang diketuai oleh ketua pemudanya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Baru, beberapa hari sebelum tangkapan beramai-ramai dibuat.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Dr Mujahid menegaskan, kenyataan Mahathir itu bukan sekadar membuktikan kegagalannya dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, tetapi juga amat mengejutkan.

"Mahathir tidak sepatutnya menyalahkan pihak polis atau pihak lain dalam hal itu kerana dialah sebenarnya yang bertanggungjawab dengan semua itu.

"Semasa menjadi Perdana Menteri dulu, Mahathir sememangnya banyak melakukan tindakan yang bercanggah dengan demokrasi termasuk penggunaan ISA, menarik balik permit akhbar, menyekat kebebasan rakyat memberikan pandangan, menyekat kebebasan bersuara dan menyekat kebebasan akhbar," katanya.

Kini setelah sekian lama bersara, menurut beliau, barulah Mahathir sedar kesalahannya itu dan mahu menutup kesalahannya dengan membuat kenyataan seperti itu, walaupun ia lebih memalukan dirinya sendiri.



Isa: Hebat sangat ke orang yang buat kritikan?
Feb 9, 11 7:14pm


Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad mengambil pendirian tidak menghiraukan kenyataan pihak tertentu yang mempersoalkan pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana tidak mahu menjejaskan fokus beliau untuk memajukan Felda.

isa samad interview 150509Beliau berkata, sekiranya diambil serius perkara itu, ia akan menghalang fokusnya untuk membangunkan Felda dan memberikan taraf kehidupan lebih bermakna kepada peneroka di seluruh negara.

Sambil berjanji untuk komited dalam menjayakan agenda yang sudah dirancang untuk membangunkan Felda, beliau berkata: "Bila kita dilantik, biasalah ada yang tak suka, orang tak suka saya dari dulu. Apa sahaja jawatan yang saya pegang...ada sahaja yang tidak suka. Biarlah, saya tetap akan terus majukan Felda."

Mohamed Isa berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini sebagai mengulas dakwaan Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof, semalam bahawa pelantikannya menerajui Felda adalah suatu yang sedih dan mengakibatkan kebimbangan pasaran.

NONEBeliau mendakwa ini berpunca daripada Mohamed Isa yang terpalit dengan gejala rasuah dan didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu dan digantung jawatannya oleh lembaga disipin Umno pada 2005.

Mohamed Isa berkata, latar belakang individu yang membuat kenyataan juga perlu dilihat sama ada mereka hebat di dalam bidang yang mereka ceburi sehingga boleh membuat kenyataan itu.

"Mereka yang cakap begini biasanya mestilah hebat tapi kita kena tengok rekod mereka, hebat sangat ke sehingga boleh sesuka hati mendakwa itu dan ini... apapun biarlah," katanya.

Mengenai pencapaian Felda, beliau berkata tahun lalu mereka mencapai kutipan jualan keseluruhan tertinggi oleh peneroka sejak 2006 iaitu sebanyak RM1.06 bilion berbanding hanya RM911 juta tahun sebelumnya.

isa samad and felda 031204Beliau berkata, Felda pada tahun ini mensasarkan hasil daripada jualan keseluruhan bernilai RM2 bilion.

"Kita juga bangga, daripada 36,000 usahawan yang menghasilkan produk untuk Felda, 33 orang mencatatkan jualan lebih RM1 juta setahun," katanya.

Terdahulu, Mohamed Isa melancarkan program Promosi Produk Usahawan Satu Wilayah Satu Industri Felda di Aeon Jusco di AU2, Setiawangsa, yang bermula semalam hingga Ahad.

Sebanyak 150 produk makanan dan kraftangan hasil daripada usahawan Felda dipamerkan di ruang legar pusat membeli-belah itu sebagai langkah meletakkan produk Felda dalam pasaran pasaraya besar tempatan.

- Bernama

Ops Piramid, Rais dan keajaiban media
Ahmad Lutfi Othman
Siaran berita televisyen jam 8 malam, Jumaat lalu, dipenuhi dengan laporan pemindahan warga Malaysia dari Kaherah ke Jeddah ekoran konflik politik yang makin meruncing di Mesir. Bagi keluarga pelajar yang terlibat, tentulah mengharapkan tindakan segera dan efisyen bagi menerbangkan anak-anak mereka ke tanahair dengan selamat.

Cuma, yang kurang menyenangkan, tumpuan berita malam itu lebih kepada sanggahan pemimpin kerajaan -- daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar dan timbalannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sehinggalah Setiausaha Politik Perdana Menteri -- terhadap apa yang disebut tohmahan pihak tertentu yang mempolitikkan langkah evakuasi berkenaan.

Saya kira, dalam saat-saat sulit dan getir ini, semua pihak mahu segala perancangan Operasi Piramid itu berjalan lancar dan tidak tergendala. Jika ada rungutan atau kritikan, sama ada yang melihat operasi itu tidak secekap yang diharapkan atau menggesa agar ia dikendalikan secara lebih profesional, maka apakah teguran seumpama itu terlalu sukar diterima pemerintah?

Dalam pada itu, saya tidak pula mendengar atau membaca kenyataan pemimpin PAS atau KeADILan, yang "mempolitikkan" operasi pemindahan itu. (Sebenarnya apa makna "mempolitikkan" itu? Apakah hanya kerana teguran atau peringatan datang daripada pemimpin politik bukan BN, maka ia dianggap "mempolitikkan", tetapi jika membabitkan pemerintah, biarpun nampak sarat-sendat dengan imej politik, ia dikira tiada kaitan langsung dengan usaha "mempolitikkan?)

Memang ada gesaan agar ia dipercepatkan dan ingatan di peringkat awal supaya semua pelajar, sama ada tajaan kerajaan mahupun persendirian, dilayan sama rata. Apakah nasihat seumpama itu pun sukar untuk diterima? Dan jika benar ada salahfaham yang timbul, maka perjelaskanlah secara berhikmah dan terbuka. Ia bukan isu besar yang mesti digembar-gemburkan.

Atau, apakah sebenarnya pemerintah itu sendiri yang menyimpan hasrat-tekad menjadikan Ops Piramid (juga seperti misi bantuan banjir di dalam negara) sebagai laba politiknya? Bagi saya, "biasalah tu", asalkan kebajikan dan keselamatan warga kita tidak dipertaruhkan. Rakyat sudah matang untuk menghakimi sendiri tanggungjawab dan bebanan tugas sebuah kerajaan. Ada yang bertanya, kalau tidak mahu Ops Piramid itu dipolitikkan, mengapa pula terbentang sepanduk Umno mengalu-alukan kepulangan pelajar dari Jeddah, di KLIA tempoh hari?

Pihak kerajaan hendaknya janganlah terlalu "manja" sehingga mudah berang (sehingga melafazkan "kata-kata amaran" seperti disebut Timbalan Menteri Luar melalui interbiu dari Kaherah yang disiarkan tv) apabila mendengar luahan rasa tidak puas hati rakyat, sebaliknya perlu bersikap terbuka, menerima pandangan berbeda, apatah lagi kritikan membina. Ia bukan semata-mata khusus mengenai Ops Piramid tetapi meliputi apa jua langkah membabitkan kepentingan rakyat dan negara. Rasa tidak puas hati rakyat biarlah diluahkan walaupun mungkin persepsi mereka agak tersasar.

Usah melihat pandangan kedua yang tidak selari dengan pendirian rasmi pemerintah, terutama apabila datang dari parti-parti pembangkang, daripada kacamata negatif semata-mata. Lebih buruk lagi apabila kritikan itu sering dianggap "bermotif politik" dan dinilai daripada persepsi persaingan kuasa dengan oposisi. Sepatutnya, bukan sahaja pandangan konstruktif yang harus dihargai, malah kecaman dan cemuhan pun perlu diambil kira.

Jangan dihakimi daripada sudut "bersopan atau tidaknya" cadangan itu dikemukakan, tetapi hendaklah berdasarkan kebenaran di dalamnya, walaupun hanya terselit secebis!
Bukankah seperti kata Perdana Menteri, Najib Razak sendiri, bahawa zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudahpun berlalu? Penyertaan rakyat bukan hanya terhad kepada turun mengundi pada hari pilihan raya, lima tahun sekali dan kemudiannya memberikan "cek kosong" kepada pemerintah! Ia adalah proses tanpa henti. Semakan ke atas langkah kerajaan harus berterusan.

Lagi pun, bukankah baik pihak kerajaan sentiasa terdedah dengan respons langsung rakyat. Mana-mana yang kurang sempurna boleh diperbaiki segera, dan tidaklah "terkejut beruk" nanti apabila rakyat memendam rasa dan hanya memberikan tindak balas dalam peti undi!

Menteri paling lama berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri, yang kini menerajui portfolio mencakupi pelbagai bidang, di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim semakin kerap menonjolkan dirinya sebagai pembela Najib dan pencemuh Pakatan Rakyat. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak terlepas daripada sindiran dan sasarannya walaupun dia sendiri pernah "membakar jambatan" semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas kebangkitan rakyat di Timur Tengah, Rais yang pernah mengetuai Wisma Putera, menegaskan: "Apa yang berlaku di Mesir ketika ini langsung tidak berkaitan dengan nilai perjuangan rakyat di Malaysia."

"Tidak ada seorang pun (Perdana Menteri di Malaysia) perintah sampai 30 tahun atau 25 tahun tanpa proses demokrasi," tambahnya. "Tapi yang saya lihat di sana, Hosni Mubarak adalah orang yang menggunakan sistem itu untuk menafikan hak-hak rakyatnya tetapi di sini kita bebas. Kebebasan kita telah dikecapi oleh pembangkang. Jadi barang siapa yang mengatakan bahawa kononnya bahang Mesir akan berlaku di Malaysia, ia adalah buta dan tuli."

Selain mempertahankan pemerintahan demokratik di Malaysia yang dikatakan menjamin kebebasan bersuara rakyatnya berbanding Mesir yang bersifat kuku besi, Rais turut mengkritik sistem pendidikan di sana. Beliau mahu pelajar Malaysia melihat kembali keilmuan yang diperoleh daripada universiti di negara berkenaan kerana "kebanyakan ideologi yang diajar adalah untuk memberontak, berkasar dan bersifat Talibanisme".

Memang tidak dinafikan revolusi rakyat yang bermula di Tunisia dan kini dalam "pembikinan" di Mesir, menakutkan semua pemerintahan autoritarian, yang membelakangkan suara dan kehendak rakyat. Walaupun realiti Malaysia tidaklah seburuk amalan kongkongan dan penindasan di Timur Tengah, namun sarjana politik antarabangsa tetap menamakan jenis demokrasi di Malaysia sebagai "Quasi-Democracy" atau "Pseudo-Democracy" iaitu "Separa Demokrasi" atau "Demokrasi Palsu".

Pelbagai peraturan dan akta mengikat kebebasan rakyat, sehingga segalanya memerlukan permit atau kebenaran pemerintah, dengan syarat yang begitu ketat. Daripada kebebasan untuk berhimpun, berucap, berpersatuan, menerbitkan akhbar dan lain-lain aktiviti normal. Pelajar dan pensyarah di menara gading turut dikongkong, termasuk menghalang mereka membuat kenyataan kepada media walaupun menyentuh bidang pengajian masing-masing.

Saya tidak berhasrat untuk menyangkal pandangan dangkal Rais itu. Rakyat negara ini, khususnya selepas era "politik baru" tentu dapat menilai sejauhmana ruang demokrasi dan penyertaan rakyat secara matang dalam iklim politik di Malaysia. Apa pun, merujuk situasi yang berkembang mekar di Timur Tengah itu, proses pendemokrasian, seperti analisis sarjana terkemuka, Samuel P Huntington, dalam bukunya, The Third Wave: Democracy in the Late Twentieth Century, boleh merebak dan membentuk suatu trend global di kalangan masyarakat antarabangsa.

(Huntington membahagikan gelombang pendemokrasian kepada beberapa fasa. Gelombang pertama (1828-1926), bermula kesan revolusi Perancis sehingga kemenangan Sekutu Barat dalam Perang Dunia Pertama dan runtuhnya sejumlah empayar akibat perang tersebut. Ia diikuti oleh gelombang balik pertama (1922-1942), apabila pemerintahan demokrasi kembali kepada bentuk autoritarian, misalnya di Rom selepas Mussolini memerintah Itali (1922) dan Hitler berkuasa di Jerman (1933). Gelombang kedua pendemokrasian (1943-1962), yang menyaksikan sistem demokrasi dipraktikkan secara paksa di negara-negara yang kalah perang seperti Jerman Barat, Itali dan Jepun, manakala Turki, Brazil, Argentina, Peru, Ekuador, Venezuela dan Colombia menuju ke arah demokrasi kesan kemenangan Sekutu Barat.)

(Malangnya gelombang balik kedua berlaku pada 1958-1975. Perubahan paling ketara terjadi di Amerika Latin. Pergeseran dimulakan di Peru pada tahun 1962 ketika pihak militer campur tangan untuk mengubah keputusan sebuah pemilihan umum. Kemudian, tahun 1964 menyaksikan kudeta menjatuhkan pemerintah sivil di Brazil dan Bolivia. Argentina melakukan hal yang sama pada tahun 1966 dan diikuti Ekuador pada tahun 1972. Di Asia, pihak militer Pakistan telah memaksakan satu regim berdasarkan hukum darurat perang tahun 1958. Di Indonesia, pada 1957, Sukarno menggantikan demokrasi parlimen kepada demokrasi terpimpin dan pada tahun 1965, tentera Indonesia mengakhiri demokrasi terpimpin dan mengambil alih kekuasaan negara. Selain itu, 33 negara Afrika yang telah mencapai kemerdekaan (1956-1970) telah menjadi negara autoritarian sewaktu merdeka atau tidak lama selepas itu.)

(Gelombang pendemokrasian dan gelombang balik merupakan manifestasi dari suatu fenomena politik yang lebih umum yang mana dalam sejarah, peristiwa-peristiwa yang serupa kadang-kadang berlaku secara serentak kepada negara-negara atau sistem-sistem politik yang berbeza. Bagi menjelaskan gelombang pendemokrasian ketiga, Huntington telah membahaskan perkembangan politik global pada akhir abad ke-20 iaitu transisi yang dialami sekitar 30 negeri dari sistem politik non-democratik kepada sistem politik demokratik. Selain faktor-faktor yang sama berlaku di negara berbeda, perkembangan teknologi maklumat, institusi agama (termasuk gereja) dan krisis atau kemajuan ekonomi juga membantu proses pendemokrasian di peringkat global. Ia saling berjangkit.)

Di samping mengharapkan Rais dapat menasihati Najib tentang keperluan segera mengadakan pembaharuan atau reformasi dalam sistem politik, sosial dan ekonomi kita (juga mengingatkan Perdana Menteri tentang nasib Wanita Pertama di Tunisia, Mesir, dan lama sebelumnya di Iran,) agar wabak dari Asia Barat itu tidak berjangkit ke Malaysia, tuduhannya bahawa pelajar Malaysia di Mesir "diajar untuk memberontak, berkasar dan bersifat Talibanisme" adalah cukup serius dan berbahaya.

Ia mengingatkan saya tentang label pelampau, ekstrim dan militan, yang begitu lama ditujukan kepada Ikhwanul Muslimin, pertubuhan paling tersusun, berdisiplin dan berakhlak di Mesir. Tuduhan bermotif jahat itu, sejak 1940-an lagi, menyebabkan pemimpinnya yang berkaliber dan ikhlas berjuang telah ditahan, disiksa, dibuang negeri dan ramai yang dibunuh di tali gantung.

Ikhwan juga sering dikhianati. Walaupun bersama-sama Kolonel Jamal Abdul Nasser menjatuhkan regim monarki Raja Farouk dalam Revolusi Julai 1952, tetapi tidak sampai dua tahun selepas itu, pada 13 Januari 1954, Ikhwan diharamkan, manakala para pemimpinnya ditangkap bersama ribuan anggotanya. Tuduhannya -- yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah -- Ikhwan merancang menggulingkan kerajaan. Sepuluh tahun kemudian, Ikhwan juga dituduh merancang rampasan kuasa, di samping dakwaan mahu menghapuskan para intelek dan golongan seniman-seniwati Mesir, termasuk penyanyi.

Rupanya ramai yang terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas itu, termasuk mereka yang berpengajian agama di negara ini. Saya pernah mendengar seorang ustaz yang lama menetap di Makkah menyifatkan Ikhwan sebagai pertubuhan pengganas yang menyusahkan rakyat Mesir! Sejarah Ikhwan memang cukup perit dan menyedihkan. Sebuah gerakan Islam yang paling hebat menyuntik inspirasi kebangkitan buat umat sejagat di zaman moden ini tidak pernah sunyi daripada rantaian tribulasi yang cukup menakutkan. Diharapkan bekas pelajar Mesir dapat menyanggah tuduhan Rais itu.

Saya kira kini begitu ramai mendoakan agar Ikhwan berjaya merentasi ujian getir bersama rakyat Mesir menumbangkan regim Hosni, bagi membentuk pemerintahan baru yang lebih demokratik, telus, bertanggungjawab, antirasuah dan menjaga kepentingan rakyat. Kesediaan pemimpinnya untuk saling bahu-membahu dengan siapa jua terbabit dalam kebangkitan rakyat itu, khususnya bersama Dr Mohamed El-Baradei, melambangkan keikhlasan Ikhwan untuk tidak mengambil kesempatan di waktu genting ini. Ikhwan tetap bertegas dengan konsensus awal yang tidak pernah berubah, iaitu Hosni mesti berundur.

Mereka langsung tidak berhasrat untuk merebut jawatan Presiden Mesir. Aktivis Ikhwan turut terbabit dalam kerja-kerja kebajikan membantu mangsa kezaliman Hosni dan Parti Nasional Demokratik. Mungkin pengalaman dan kejayaan rakan-rakan gerakan Islam di Turki, berdepan real politik yang cukup mencabar, di bawah Recep Tayyip Erdogan boleh menjadi teladan dan panduan, termasuk dalam krisis di Mesir.

Cuba anda bayangkan gerakan reformasi 1998, yang disusuli perubahan besar terhadap lanskap politik tanahair terutama pada 2008, sekiranya tidak disokong kuasa siber atau media baru. Andaikan tiada laman-laman web dalam internet yang memperincikan tragedi pemecatan Anwar Ibrahim. Lebih penting lagi, tiada hebahan demonstrasi atau perhimpunan yang dapat disalurkan dengan cepat dan mudah melalui dunia maya tanpa batas itu.

Memang sukar untuk kita mengaitkan kejayaan pergerakan reformasi atau idea politik baru tanpa sokongan ledakan ICT. Namun, tidaklah semudah itu untuk kita menetapkan bahawa faktor kemudahan internet dan dasar langit terbuka sebagai satu-satunya penyebab kebangkitan rakyat menuntut hak. Gerakan reformasi memang telah merangsang pertumbuhan penggunaan internet pada akhir 1990a-an; kebetulan pelancaran Koridor Raya Multimedia (MS) dilancarkan Dr Mahathir Mohamad setahun sebelum itu.

Justeru, saya agak pelik mendengar ura-ura kerajaan akan mengenakan sekatan terhadap apa juga dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook, Twitter dan perisian. Walaupun faktor media baru itu, termasuk kemudahan telefon bimbit, emel dan sebagainya menjadi pemangkin revolusi rakyat di Tunisia dan Mesir, namun jika suasana sosio-politik kita diakui jauh berbeza, seperti dakwaan Rais, apa yang perlu dibimbangkan dengan kemajuan teknologi maklumat itu, 'kan?

Rumusan pensyarah media USM, Mustafa K Anuar mengungkapkan kaitan media baru dan pergolakan di Mesir menarik untuk diperhatikan: "Sesungguhnya rakyat jelata Mesir selama lebih kurang tiga dekad yang lalu tidak mempunyai peluang dan ruang (kalau adapun, kurang) untuk melafazkan secara terbuka perasaan tidak puas hati, kegelisahan, kekecewaan, kemarahan, keinginan dan impian mereka melalui media massa arus perdana yang ada di negara itu. Seperti di kebanyakan negara yang mengalami kebebasan media yang tersekat, internet dilihat atau diangkat sebagai satu "cahaya" yang boleh menerangi bumi Mesir pada tahap dan keadaan sosial tertentu.

"Ini bukanlah untuk mencadangkan bahawa tercetusnya satu gelombang "reformasi" di Mesir adalah disebabkan rangkaian internet dan aktiviti blog, Facebook dan Twitter semata-mata. Keadaan sosio-ekonomi dan politik di Mesir dan ruang komunikasi yang "dibuka" oleh internet saling "mencuit" hati dan memperkasakan rakyat Mesir untuk memberontak dan meluahkan perasaan pemberontakan ini.

"Dengan kata lain, kemiskinan, pengangguran, harga barang keperluan yang melambung tinggi, rasuah, dan juga ketiadaan (atau kekurangan) akauntabiliti dan ketelusan serta penyalahgunaan kuasa bagi diri pihak pemerintah, antara lain, merupakan beberapa faktor utama yang menggerakkan hati rakyat untuk bangkit menuntut keadilan dan kesaksamaan. Dan dalam konteks ini media baru dan media sosial saling membantu meningkatkan kesedaran politik rakyat."

Khususnya buat aktivis media baru di negara ini, termasuk pemimpin Pakatan yang dilaporkan semakin berjinak-jinak dengan komuniti dunia siber, masih banyak yang perlu dilakukan bagi menggerakkan kebangkitan rakyat untuk membawa perubahan dalam PRU13 nanti. Pengisian harus lebih sofistikated dan kemaskini. Media secara umumnya lebih kepada fungsi melaporkan dan membuat analisis, selain membongkar apa yang disembunyikan media tradisi yang dikontrol elit penguasa.

Lama sebelum ini saya mengingatkan, tiada apa-apa kuasa sakti atau "mukjizat" yang ada pada media, termasuk media baru, sekiranya aktivis politik hanya sekadar mengharapkan dan menanti...



Panel S'jaya Diraja jumpa adik dan peguam Teoh
S Pathmawathy
Feb 9, 11
5:48pm


Adik Teoh Beng Hock - Lee Lan dan peguam Gobind Singh Deo, Malik Imtiaz Sarwar dan Karpal Singh - menghadiri mesyuarat terakhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini, sebelum ia memulakan prosidingnya Isnin ini.

NONELee Lan, dengan ditemani Gobind (foto), tiba jam 3 petang, manakala
anggota panel tersebut tiba 15 minit kemudiannya di kompleks mahkamah Jalan Duta.

Kira-kira jam 4.40 petang, Lee Lan dan para peguam beredar selepas mengadakan perbincangan selama 15 minit dengan panel tersebut.

Ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah, Karpal memberitahu wartawan bahawa pihaknya memandang berat tarikh siasatan bermula, dan telah menyatakan pandangan mereka mengenainya kepada RCI.

"Ada banyak kes pada (14 Februari)... dan ada semakan (penghakiman terbuka inkues kematian Teoh) di Mahkamah Tinggi," kata Karpal.

Beliau menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah lebih kuat daripada RCI.

Gobind berkata, para peguam belum lagi menyemak senarai saksi, tetapi ia akan diselesaikan pada hari Isnin.

Lee Lan sebelum ini telah meminta RCI, yang ditubuhkan pada 26 Januari, supaya menjalankan siasatan secara adil, profesional dan telus.

Beliau juga menyuarakan kekecewaannya kerana kerajaan berdiam diri terhadap tuntutan keluarganya supaya melantik empat lagi individu yang disyorkan oleh badan sivil, sebagai anggota RCI.

Laporan mengenai prosedur SPRM

Mesyuarat hari ini dijangka menerima laporan dari pegawai penyiasat mengenai prosedur Suruhanjaya Pencegahan Siasatan Malaysia (SPRM) dan agensi yang sama, untuk tujuan perbandingan.

Selain menyiasat punca kematian Teoh, RCI akan menilai sama ada SPRM mematuhi prosedur ketika menyoalsiasat Teoh sebagai saksi, berhubung kes dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan Selangor.

NONETeoh yang merupakan pembantu kepada exco kerajaan Selangor,
ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas disoalsiasat semalaman di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut.

RCI yang diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong, dijangka menyelesaikan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April.

Siasatan RCI akan dijalankan dari hari Isnin hingga Jumaat setiap minggu.



Rakyat faktor kejayaan Pulau Pinang bukan BN
Muhayat Jasmin

GEORGETOWN, 9 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan Bekas Ketua Menteri, Tan Sr. Dr.Koh Tsu Koon, kononnya kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Pulau Pinang sekarang adalah hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Lim berkata, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh rakyat negeri ini kepada kerajaan negeri adalah faktor utama kepada kejayaan yang berjaya dicapai.

"Dr. Koh berkata pengurusan kewangan terbaik mereka pada tahun 2007 apabila berjaya memperolehi lebihan bajet sebanyak RM43 juta. Namun begitu pada hakikatnya setelah kerajaan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR), lebihan bajet kita adalah sekali ganda.

"Sebagai bukti pada tahun 2008, kerajaan negeri berjaya mencapai lebihan bajet sebanyak RM88 juta. Manakala pada tahun 2009 pula lebihannya adalah lebih dari RM77 juta. Ini adalah hasil dari amalan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan, " kata Limi.

Lim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri adalah antara penyumbang kepada kejayaan ini jika dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini yang banyak mengamalkan ketidaktelusan dalam pentadbiran mereka.

"Kita harus berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang telah memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap kepimpinan kerajaan negeri sehinggakan mereka sanggup untuk memberi komitmen dengan bekerjasama dengan kerajaan negeri sedia ada, " ujar beliau.



Tiada ulasan: