Selasa, 8 Februari 2011

NAMA PUN PAKATAN....JADI PAKAT2LAH...JAGA KONGSI NI....AGAR PENGKONSIAN INI BERJAYA@MENANG...BUKAN KEPENTINGAN PARTI MASING2...

PAS tanding PRK Dun Merlimau
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Feb: PKR dan DAP hari ini bersetuju untuk PAS meletakkan calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau pada 6 Mac nanti.

Persetujuan itu dicapai kesemua komponen parti dalam Pakatan Rakyat itu selepas mesyuarat Majlis Pimpinan mereka di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di ibu negara petang tadi.

Keputusan itu diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media mereka sekaligus menafikan desas-desus beberapa pihak bahawa PAS berkemungkinan tidak bertanding di PRK Dun itu.

“(Pilihan raya kecil) Merlimau, kita sudah bincang dan bersetuju sebulat suara supaya menyokong PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat.

“Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang meminta supaya seluruh jentera Pakatan Rakyat dikerahkan dan kita bersetuju,” kata Anwar.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa kepimpinan ketiga-tiga parti yang lain.

Mengenai calonnya, Tuan Guru Abdul Hadi berkata keputusan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat kepimpinan parti itu 13 Februari ini.

“Kami akan menyenarai pendek nama kemudian.

“Kita baru buat keputusan di peringkat Pakatan Rakyat. Calon itu nanti kita dapat maklumat daripada negeri,” kata Hadi.

Katanya, berdasarkan amalan biasa calonnya adalah warga tempatan dan kepimpinan pusat akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS Melaka sebelum menamakan calon mereka.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat memilih calon akan diadakan pada 13 Februari nanti.

“Senarai pendek calon mungkin 13 Februari. Insya Allah kita akan mesyuarat 13 Februari, tapi calon perlu disahkan Pakatan Rakyat dahulu” kata Mustafa.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.



Merlimau: Najib dicabar letak Rosmah calon BN
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Adalah amat dikesali bila mana isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang cuba mengambil kesempatan publisiti atas misi murni menyelamat rakyat Malaysia di Mesir baru-baru ini.

“Peranan beliau dalam misi ini nampaknya sudah melebihi tugasan seorang Menteri. Saya melihat keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Rosmah sebenarnya mahukan pengiktirafan dalam kerja kuatnya di Oman, Bahrain dan kini di Mesir,” kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Maka, katanya adalah sesuai sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada Rosmah untuk bertanding di PRK Merlimau yang akan datang.

Tambahnya, cabaran itu juga sesuai buat BN sebagai pujukan kepada hasrat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah gagal meletakkan calon wanita pada PRK Tenang lalu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang melihat pemilihan Rosmah amat penting bagi menyelamatkan berjuta-juta wang rakyat Malaysia daripada terus dibazirkan dalam siri jelajah dunia dan pelbagai persidangan mengarut di bawah rancangan ‘Wanita Pertama’ Malaysia ini.

“Andai benar PM Najib mahu buktikan perubahan, saya mencabar beliau untuk menerima cabaran ini,” ujarnya.



Khusrin diarah jaga hartanah Selangor
Harakahdaily

SHAH ALAM, 7 Feb: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Mohamad Khusrin Munawi di pejabatnya di Tingkat 21, pada jam 5.00 petang tadi.

Walaupun kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan dan Menteri Besar seharusnya berperanan dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, pertemuan itu diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar.

Kenyataan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar memaklumkan, dalam pertemuan tersebut, Menteri Besar mengarahkan Mohamad Khusrin untuk memberi keutamaan kepada hartanah milik Kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

Menteri Besar telah memberitahu Mohamad Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

Abdul Khalid juga menyarankan supaya Mohamad Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Seterusnya, Menteri Besar mengarahkan Mohamad Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik Kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah.

Mohamad Khusrin juga diminta meneruskan usaha-usaha Kerajaan Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh mengganggu pendapatan kerajaan negeri yang mana Kumpulan Semesta Sdn Bhd telah menunjukkan kejayaan cemerlang menerusi peningkatan pembayaran royalti yang berlipat kali ganda sejak 2008.



Selangor batalkan projek Canal City
Harakahdaily

SHAH ALAM, 7 Feb: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu, kerajaan negeri telah membatalkan projek Canal City yang menghubungkan Sungai Klang hingga Sungai Langat kerana tidak memberi banyak manfaat kepada rakyat Selangor.

Sebelum ini, IJM Land Berhad rakan ekuti projek ini menegaskan hanya komponen projek ini sahaja dihentikan untuk membolehkan rundingan seterusnya diadakan dengan kerajaan negeri.

"Hanya kerja untuk komponen projek ini sahaja diberhentikan," kata Pengarah Urusan IJM Land Datuk Soam Heng Choon.

Namun hari ini, Khalid mengumumkan projek ini telah dibatalkan.

Khalid berkata demikian di majlis makan tengahari di ibu pejabat Pusat pelaburan Negeri Selangor (SSIC) di I-City, Seksyen 7 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SSIC, Datuk Mohd Jabar Ahmad Kembali.

Projek Canal City yang bermula hujung 2007 lalu melibatkan tanah seluas 1,960 hektar . Ia termasuklah projek tebatan banjir sepanjang 18 km terowong yang menghubungkan Sungai Klang dan Sungai Langat.

Projek ini bernilai RM745 juta. Sebagai balasannya, kerajaan negeri terdahulu memberikan pemajunya, K-Euro, tanah.

Dalam majlis itu, Khalid juga memaklumkan, kerajaan negeri mengambil semula tanah-tanah seluas lebih 4,000 ekar yang telah diberikan kerajaan negeri terdahulu kepada syarikat pemaju, Talam Corporation Berhad termasuk hutang-hutang tertunggak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menghadiri majlis makan tengahari bersama Datuk Bandar, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan dan syarikat perunding yang terlibat secara langsung dengan pelabur-pelabur asing dan tempatan di Selangor.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut mengadakan sesi dialog dengan wakil syarikat perunding selain memaklumkan usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk memastikan Selangor terus berdaya saing dalam menarik pelaburan asing dan tempatan.

Menteri Besar menasihatkan supaya syarikat perunding tempatan bekerjasama dan produktif untuk mendapatkan tender dari pelabur asing yang berminat membuka kilang atau pusat operasi di negeri Selangor.

Beliau juga menasihatkan syarikat perunding mematuhi semua peraturan dan prosedur yang ditetapkan untuk mengelak timbul sebarang masalah dengan pihak berkuasa tempatan yang mungkin boleh menganggu kelulusan bagi sesuatu perancangan.

Katanya, syarikat perunding perlu membayar premium tanah, setiap pembangunan pula perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta syarat-syarat lain yang ditetapkan.

“Misi Kerajaan Negeri adalah mempermudahkan urusan dan mesra pelabur tetapi syarikat perunding yang dilantik pelabur asing atau tempatan perlu mematuhi semua peraturan dan prosedur,” kata Menteri Besar.

Syarikat perunding yang menghadiri pertemuan ini turut memuji keberkesanan peranan yang dimainkan SSIC dalam membantu mereka sekiranya berdepan dengan masalah dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang lain.

Menteri Besar berkata, pihak yang berurusan dengan kerajaan negeri dianggap sebagai pelanggan dan rakan kongsi untuk memajukan lagi ekonomi Selangor dan seharusnya berhak mendapat layanan yang baik.



Siapa tanggung pelajar pergi semula ke Mesir
Harakahdaily

IPOH, 7 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta jaminan kerajaan negeri berhubung kos tambang pemergian kembali pelajar-pelajar negeri ini yang kini dalam proses pulang ke tanah air akibat pergolakan di Mesir.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata dalam masa yang sama tidak menafikan usaha membawa semua pelajar tersebut kembali ke tanah air sebagai usaha yang terbaik.

Katanya, perkara tersebut seperti terlepas pandang kerajaan negeri walaupun Kerajaan Pusat kini sedang berusaha membawa pulang semua rakyat Malaysia.

“Tetapi selepas ini akan timbul pula persoalan tentang kos tambang pelajar yang ingin kembali semula ke Mesir di atas tanggungan siapa?

“Apakah pendirian Kerajaan Negeri Perak bagi menjaga kebajikan pelajar Perak yang masih belum menamatkan pengajian mereka di sana?” soalnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, DPPN Pk inginkan jaminan, bahawa Kerajaan Negeri Perak akan membayai kos tambang pergi semula mereka ke sana setelah kemelut Mesir berakhir.

DPPN Pk, ujarnya amat bimbang dengan ketidak prihatinan kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan semua pelajar Perak yang masih tertangguh pengajian mereka akan terabai akibat menanggung kos tambang di luar jangkaan mereka.

“DPPN Pk berharap Kerajaan Negeri Perak dapat menjelaskan kedudukan sebenar, agar semua ibu bapa lega dengan jaminan bahawa kerajaan negeri akan menanggung kos perbelanjaan kecemasan ini untuk semua pelajar Perak pulang semula menyambung pengajian mereka selepas berakhirnya kemelut di Mesir jika Kerajaan Pusat tidak menguruskan pemergian kembali mereka ke sana,” katanya.


Mesir: Mengapa wakil Kelantan disisih
Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 7 Feb: Benarkah operasi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir menerusi Ops Piramid, merupakan misi untuk kepentingan negara dan tiada unsur politik?

Kalau betul, mengapa wakil Kelantan yang ditawarkan pada awalnya menyertai misi menghantar bantuan ke Kaherah 2 Febuari lalu diketepikan?

Bekas Presiden Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Zulkapli Yaacob berkata, pada awalnya beliau ditawarkan menyertai misi Mercy bagi menghantar bantuan ke Mesir.

“Saya telah serahkan passport kepada pihak penganjur biar pun tahu di belakangnya ada Kelab Putera Malaysia.

“Ketika taklimat diadakan di Kuala Lumpur setiap peserta yang akan menyertai misi berkenaan diberi t-shirt berlambang 1Malaysia.

“Saya kata saiz badan saya XL tetapi mereka beri saiz L jadi saya kata tidak padan, kalau pakai akan jadi macam pembalut nangka. Namun mereka minta ambil juga,” katanya sambil mempamerkan baju itu pada ceramah solidariti kebangkitan di Timur Tengah di Putik malam tadi.

Sebelum itu diadakan solat hajat yang disertai ribuan rakyat Kelantan diimamkan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Mohamad Mustafa.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata misi bantuan ke Mesir untuk kepentingan negara dan tidak ada pertimbangan politik sama sekali.

Zulkapli berkata, selepas pihak penganjur tahu beliau membawa sejumlah wang untuk diberi kepada pelajar Kelantan di Mesir, ada sahaja helah dilakukan bagi menghalangnya.

Katanya, duit sejumlah RM120,000 diberi kerajaan negeri untuk dibawa ke Kaherah bagi membantu pelajar Kelantan di sana. Ini kerana mereka menghadapi masalah kewangan berikutan bank tidak beroperasi.

”Pihak penganjur memberitahu saya tidak boleh terbang bersama kumpulan pertama kerana kapal terbang penuh dengan barangan bantuan.

”Saya pun hairan barangan bukan diletak di tempat duduk penumpang sebaliknya dalam perut kapal terbang. Mereka minta saya tunggu penerbangan keesokan harinya.

”Dan selepas berjam-jam menunggu dan tidak mendapat sebarang respons saya mendapatkan sendiri tiket menggunakan penerbangan SIA yang mengambil masa 25 jam untuk sampai ke Kaherah,” katanya.

Beliau bersyukur dapat sampai juga ke Mesir biar pun diketepikan dalam rombongan misi tajaan kerajaan Malaysia.

Katanya, ketika sampai di sana beliau disambut pelajar dan diagihkan wang untuk mereka membeli bekalan makanan.

”Saya hairan Perdana Menteri kata misi bantuan tidak ada unsur politik, sedangkan usaha wakil kerajaan Kelantan menyertai sama misi bantuan disisihkan,” katanya.

Hadir sama pada ceramah itu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Selain itu Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid serta wakil Palestin.

Ribuan penduduk tempatan mengikuti ceramah tersebut. Difahamkan Kelantan satu-satunya negeri yang menghantar bantuan kewangan kepada pelajar di Mesir. Zulkapli kembali dari Kaherah pagi semalam.



Hapus Akta Hasutan peninggalan penjajah

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 7 Feb: Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.

Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.

Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.

Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.

Hakim Latifah Mohd Tahar berkata, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama namun membenarkan Shuhaimi diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Shuhaimi melantik tujuh peguam terdiri daripada Latheefa Koya, Yusmadi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir diketuai peguam hak asasi manusia terkenal, Edmund Bon.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof dan mahkamah menetapkan kes itu akan disebut semula 28 Mac depan.

Ramai pimpinan Pakatan Rakyat Selangor hadir termasuk Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Shuhaimi dalam kenyataan kepada Harakahdaily ketika menanti wang jaminan disiapkan menyatakan, rupanya akta ciptaan penjajah British masih 'mulia' walaupun negara merdeka sudah 53 tahun.



Diskusi Ilmiah perkembangan di Mesir esok

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Feb: Harakahdaily dengan kerjasama Lajnah Antarabangsa PAS akan menganjurkan Diskusi Ilmiah apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia jam 11 pagi esok.

Diskusi yang akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut ini akan membincangkan secara ilmiah apakah sebenarnya yang sedang berlaku di Mesir dan Tunisia sekarang.

Beberapa ahli penal berpengalaman dalam pergolakan antarabangsa dijangka akan membentangkan pandangan mereka dalam diskusi ini.

Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menyertainya sila hantarkan nama, no kad pengenalan dan no telefon anda melalui email editorharakahdaily@gmail.com untuk penempahan tempat.

Hanya 50 peserta terpilih sahaja akan menyertai diskusi ini. Penyertaan adalah percuma.


Mesir: Selangor pastikan pelajar tidak tergendala
Nazri Abdullah

SEPANG, 7 Feb: Kerajaan negeri Selangor akan berbincang dengan semua pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan Kedutaan Malaysia di Mesir bagi memastikan pengajian pelajar Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air tidak tergendala.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr. Halimah Ali berkata, usaha tersebut antara sedang dilakukan kerajaan negeri bagi membantu pelajar Malaysia khususnya anak-anak Selangor.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan semua pelajar terlibat dalam masa terdekat.

"Kita akan kumpulkan mereka, kita nak tahu cerita sebenarnya dari mereka, tapi kita beri peluang kepada mereka berehat dan bersama keluarga dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada anak-anak Selangor ketika menyambut kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia, yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia itu mendarat kira-kira pukul 10 pagi dan turut disambut isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet lain.

Katanya, kerajaan negeri juga turut menyediakan khidmat kaunseling kepada pelajar yang mengkin mengalami trauma kesan pergolakan di negara teluk tersebut sehingga menyebabkan mereka hilang semangat untuk meneruskan pelajaran.

Kerajaan Selangor seblum ini melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukan RM100 ribu bagi membantu rakyat negeri itu yang terperangkap dalam pergolakan politik di Mesir.

Selain LZS, Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga telah menubuhkan Bilik Operasi yang yang beroperasi 24 jam untuk membolehkan ibubapa dan sanak saudara terutamanya mengetahui kedudukan mutakhir pelajar di Mesir.

"Hari ini Alhamdulillah mereka sudah sampai dengan selamat. Kita sedang melihat keperluan mereka untuk selepas ini," katanya lagi.

Selain ahli keluarga masing-masing, kepulangan pertama itu turut disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri.

Ketibaan mereka disambut penuh syukur ahli keluarga masing-masing yang sebelum ini risau keselamatan mereka ekoran bantahan besar-besaran rakyat Mesir yang mahu Presiden negara itu, Hosni Mubarak meletak jawatan.

Bantahan tersebut juga telah mengakibatkan beberapa tempat Mesir diisytihar darurat dan sistem pentadbiran negara itu hampir lumpuh.



Al-Baradi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir
Subky Latif

AHMED Al-Barradi, bekas Pengerusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB pulang ke Mesir sebaik saja tercetus demonstrasi umum rakyat terhadap regim Presiden Hosni Mumarak.

Dia pulang untuk menyertai tunjuk perasaan bersama rakyat bagi menggulingkan diktator 30 tahun Mubarak dan sekali gus untuk memimpin Mesir selepas itu.

Albarradi adalah diplomat terkemuka, satu-satunya orang Mesir yang dikenali di dunia selepas Mubarak. Kepulangannya itu menjadikan penentangan kepada regim Mubarak tambah bertenaga.

Kebangkitan rakyat itu sudah dikira satu revolusi oleh masyarakat dunia, tercetus tanpa pemimpin, tidak didorong oleh mana-mana parti politik, tetapi oleh kesedaran rakyat umum yang mendapat semangat dari kejayaan rakyat Tunisia mengenyahkan presidennya.

Kepulangan Albarradi menjadikannya pemimpin kepada kebangkitan rakyat itu. Masyarakat dunia yang ingin melihat Mesir berubah memang mengharapkan untuk memimpin rakyat. Bahkan dia telah merancang untuk balik menentang Hosni Mubarak dalam pilihan raya Presiden nanti.

Amerika dan barat memang mencari orang bagi menggantikan Mubarak baik dia digulingkan atau mati mengejut. Tidak ada yang terkenal selain dari Albarradi tetapi tidak dapat dipastikan dia dapat jadi seperti Mubarak yang menjadi hamba kepada Amerika dan Israel.

Albarradi memang sudah berpolitik. Kalaupun dia tidak jadi budak suruhan Washington, tetapi dia lebih baik dari Mesir jatuh ke tangan penyokong Ikhwanul Muslimun, parti pembangkang yang sangat berpengaruh di kalangan akar umbi Mesir.

Justeru itu namanya sudah ditonjolkan sebagai pencabar utama Mubarak. Kepulangannya dikehendaki oleh banyak pihak. Jika Mubarak tidak dapat dipertahankan, harapan semua adalah kepadanya. Dia saja yang boleh menyaingi pengaruh Ikhwanul Muslimun.

Sebaik dia pulang Ikhwanul Muslimun menggesa di tengah kebangkitan rakyat itu agar semua pembangkang bersatu bagi menghadapi sisa-sisa kekuatan Mubarak bagi membina Mesir baru. Ikhwan nampak risiko jika ia tampil sebagai pencabar utama Mubarak. Pengalaman FIS, pimpinan Abbasi Madani yang memenangi pilihan raya Algeria hampir 20 tahun lalu akan berulang di Mesir jika Ikhwan di depan. Ia akan dikhianati oleh barat dengan memperalatkan talibarat oporcunis sekular Mesir bagi mematahkan kemenangannya.

Ikhwan lalu mengambil strategi menjadikan Albarradi sebagai pemimpin revolusi bagi menggantikan regim Mubarak sekarang. Dia minta Hosni berundur sekarang juga, memberi peluang kepadanya menjadi pemimpin sementara, bekerjasama dengan tentera bagi memulihkan ketenteraman awam dan membuat persiapan mengadakan pilihan raya Parlimen dan pemilihan Presiden baru.

Penentang regim Mubarak sudah ada tokoh bagi menjadi pemimpin yang dipercayai mendapat sokongan rakyat, tetapi Mubarak belum ada tokoh yang boleh menjadi penggantinya. Sekalipun Mubarak sudah melantik Naib Presiden, yang pertama sejak jadi Presiden 30 tahun dulu, Umar Sulaiman seorang ketua agensi perisik Mesir, tetapi dia belum ada hubungan dengan masyarakat umum.

Ketua perisik sekalipun terkenal di kalangan pembesar rantau itu, tetapi Mesir yang sejak tahun 1951 dipimpin oleh tentera memerlukan pimpinan dari kalangan awam dan jarang ada negara di dunia mengambil ketua perisik bagi menjadi pemimpin negara kecuali dalam keadaan darurat.

Albarradi adalah tokoh awam yang boleh diketengahkan. Dunia demokrasi umumnya wajar dipimpin oleh orang awam, bukan tentera dan pegawai perisik. Yang mengganggu barat untuk menerima Albarradi sekarang, bukan tentang keupayaannya untuk menjadi pemimpin awam yang baik, tetapi yang mengangkatnya menjadi ketua ialah Ikhwanul Muslimun.

Amerika berjaya menghalang pengaruh Ikhwan menguasai Mesar sejak tahun 1951, dan bimbang pengaruhnya berperanan di bawah pimpinan Albarradi kerana di belakang Albarradi sekarang ada Ikhwan.

Amerika juga menjuarai penentangan terhadap komunis. Ia berjaya meruntuhkan empayar komunis dan melumpuhkan pengaruh komunis di mana-mana. Ia membantu tentera Arab memerangi pengaruh Ikhwanul Muslimin di benua Arab tetapi ia tidak dapat mematikan pengaruh Islam itu di Mesir.

Sejak zaman Gamal Abdul Nasser dan era Anwar Sadat serta disambung oleh regim Mubarak selama enam puluh tahun terus menerus memerangi Ikhwanul Muslimin dengan segala macam kezaliman tetapi ia terus subur di tengah rakyat Mesir.

Bagi menangani saki baki pengaruh regim Mubarak Albarradi memerlukan kerjasama dan sokongan Ikhwan yang diasaskan oleh Almarhum Imam Hassan al-Banna.

Tiada ulasan: