Rabu, 9 Februari 2011

SAMANLAH KEDUA2 PIHAK...JIKA BERSIH DUNIA....BERSIH DIAKHIRAT TAPI SYARAT MEMANG TAK BUAT...JIKA SEBALIKNYA...TUNGGU AJE HUKUMAN ALLAH...NAK LARI MANA


Mengapa tidak saman Migrant Care - blogger Amizudin
Nazli Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat yang sedang menghadapi saman oleh Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) hari ini mempersoalkan tindakan menteri itu yang tidak melakukan tindakkan yang sama terhadap NGO Migrant Care.

Menurutnya, walaupun WikiLeaks merupakan sumber permulaan yang mendedahkan isu yang dikatakan kejadian rogol terhadap seorang amah warga Indonesia, keengganan Rais menyaman pihak terbabit telah menimbulkan tanda tanya.

Selain WikiLeaks, tindakkan Rais yang tidak menyaman Migrant Care yang mempertahankan kenyataan mereka di media sebelum ini bahawa pernah menemubual amah tersebut di kampung halamannya turut menimbulkan persoalan.

"Kenapa saya yang disaman bukan WikiLeaks atau Migrant Care, padahal WikiLeaks lah yang mula-mula mendedahkan isu ini dan Migrant Care pula telah mempertahankan kenyataan mereka bahawa pernah menemuramah amah itu.

"Adakah ada sesuatu yang dibimbangkan oleh Rais seperti kemungkinan lebih banyak lagi pendedahahan dibuat oleh Migrant Care di mahkamah?," kata Amizudin baru-baru ini.

"Begitu juga dengan blog Rocky Bru yang mula-mula sekali menaikkan story ini dalam blognya. Adakah kerana blogger ini pro-Umno?," kata Amizudin baru-baru ini.

Beliau juga meberitahu beliau hanya mengetahui tindakan saman terhadap beliau melalui media dan sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat perintah dari mahkamah atau peguam yang mewakili Dr Rais.

"Saya cuma tahu perkara ini melalui berita. Sampai sekarang saya masih belum terima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam pihak satu lagi itu.

"Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Sekali melangkah pantang undur," kata Amizudin ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang enggan mengulas panjang berhubung isu ini ketika dihubungi bagaimanapun telah sempat mengucapkan terima kasih kepada Dr Rais yang telah menyebabkan jumlah pengunjung blog beliau mengalami peningkatan yang ketara.

"Maaflah, setakat ini, itu sahaja yang dapat saya katakan, tak boleh nak ulas panjang tentang isu ini, cuma terima kasih kepada Dr Rais kerana tindakan (saman) dia, pengunjung blog sharp shooter meningkat dengan ketara," katanya dengan nada berseluroh.

Sementara itu menurut satu sumber rapat beliau, beberapa peguam termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin telah menyatakan kesediaan untuk mewakili Amizudin sekiranya beliau dipanggil ke mahkamah.

"Setakat ini beberapa peguam telah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Amizudin termasuklah Ketua AMK, Shamsul Iskandar," kata sumber itu.

Menurut sumber itu yang menyamakan kes tersebut dengan kisah Raja Namrud dan nyamuk yang pernah berlaku pada zaman Nabi Ibrahim juga mempertikaikan keengganan Dr Rais menyaman pihak lain yang turut memainkan peranan untuk mendedahkan isu ini.

"Kes Rais lawan Amizudin ni ibarat kisah nyamuk dan Raja Namrud sebab (Dr) Rais adalah seorang menteri dan Amizudin pula cuma 'penulis kecil'.

"Tetapi walaupun Raja Namrud seorang yang mempunyai kuasa pada masa itu, akhirnya kecundang hanya disebabkan nyamuk sahaja.

Pada masa yang sama beberapa, beberapa pengendali blog lain juga turut mempertikaikan tindakan Dr Rais menyaman Amizudin dan bukannya punca isu tersebut meletus serta pihak yang turut memberi liputan isu ini dengan lebih besar.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan semula kes dan afidavit difailkan oleh kedua-dua pihak sebelum kes itu didengar pada 22 Februari.

Mahkamah yang sama juga turut membenarkan injunksi kepada Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi menghalang blogger Amizudin Ahmat daripada terus menerbitkan dakwaan bahawa menteri itu telah merogol seorang pembantu rumahnya dari Indonesia.

Hakim Zabariah Mohd Yusof juga membenarkan permohonan ex-parte untuk menghalang Amizudin daripada menerbitkan perkataan-perkataan berunsur fitnah terhadap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menerusi blognya.

Terdahulu, nama Amizudin Ahmat dan blog yang dikendalikannya itu menjadi terkenal apabila mendedahkan apa yang dianggap sebagai penyelewengan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin berhubung isu kuari sehingga membawa perletakkan jawatan Mohd Fairus.


Namakan siapa pemimpin pembangkang itu - Lim Kit Siang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan pemimpin pembangkang yang ditemuinya dan dijanjikan tidak akan ditangkap dalam Operasi Lalang 1987.

"Biar Mahathir namakan pemimpin pembangkang yang beliau temui dan berjanji tidak akan menangkap mereka tetapi telah dilanggar oleh polis dalam tangkapan Operasi Lalang," kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Cabaran ini dibuat beliau dalam kenyataannya berikutan kenyataan Mahathir dalam buku "Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad” oleh Tom Plate.

Dalam buku itu, Mahathir berkata dalam wawancaranya dengan penulis buku itu, dia telah menemui semua pemimpin pembangkang dan yakinkan mereka tidak akan ditangkap menjelang Operasi Lalang tahun 1987.

"Dan awak tahu apa yang polis buat? Polis menangkap mereka. Habis kredibiliti saya," kata Mahathir dalam wawancara itu.

Bagi Lim Kit Siang, Mahathir bukan sahaja menghidap penyakit ingatan terpilih dan salah ingatan tetapi juga memutarbelitkan kebenaran sepanjang 22 tahun sebagai perdana menteri.

"Saya tidak pernah bertemu Mahathir dan dia tidak pernah memberikan jaminan kepada saya bahawa saya tidak akan ditangkap sebelum Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, walaupun sehari sebelum itu saya telah bercakap di Parlimen bagi membahaskan bajet 1988," kata Lim Kit Siang.

Bagi beliau, adalah tidak wajar bagi Mahathir untuk melepaskan bebanan Operasi Lalang itu kepada polis.

Ini kerana, dia bukan sahaja telah mempertahankan tindakan polis menangkap 106 orang di bawah Seksyen 73 ISA itu bahkan juga telah menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk memerintahkan 49 dari mereka ditahan selama dua tahun di Kemunting.

Lim Kit Siang juga mendakwa Mahathir membuat dakwaan palsu terhadap anggota Parlimen DAP dengan berkata mereka ditangkap bukan kerana mereka anggota Parlimen atau fahaman politik mereka tetapi kerana 'cuba mencetuskan ketegangan kaum'.

Misalnya, Mahathir telah memberitahu Asiaweek 11 November 1988, "Segelintir mereka masih ditahan kerana mereka enggan berhenti dari mencetuskan ketegangan kaum.

"(Lim) telah ditangkap bukan kerana dia pemimpin pembangkang tetapi kerana dia mencetuskan ketegangan kaum di negara ini. Mereka akan terus ditahan sehinggalah mereka berubah fikiran untuk membuat perkara yang betul.."

"Mahathir tidak boleh mengelakkan diri dari bertanggung jawab dan meletakkannya di bahu polis tetapi perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah menjadi peneraju dalam Operasi Lalang, satu peristiwa gelap dalam sejarah hak asasi manusia di Malaysia," kata Lim Kit Siang.



Mahkamah tentukan saman Dr Hatta terhdap polis
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Mahkamah Tinggi Kuantan akan menetukan jumlah tuntutan saman yang dimenangi Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli dan dua rakannya terhadap polis, sebelum 15 Mac ini.

Menurut Dr Hatta yang dihubungi Harakahdaily, hari ini berlangsung perbincangan dengan peguam kedua-dua pihak namun jumlah sebenar tuntutan belum boleh diputuskan.

Dr Hatta, Timbalan YDP PAS Rompin Mazlan Mohamed Yasin dan Ketua Pemuda Rompin Nazri Ahmad menang dalam saman terhadap bekas Ketua Polis Daerah Rompin di Mahkamah Tinggi Kuantan berkaitan kes penangkapan semasa berceramah di premis sendiri pada 2004 lalu.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya pada 26 Ogos lalu memutuskan Hanapi Daud (pihak polis) telah secara salah menangkap Dr. Mohd Hatta Ramli, Mazlan Mohamed Yasin dan Nazri Ahmad.

Hakim dalam keputusannya berkata, pihak polis telah gagal menyatakan sebab penangkapan di samping ternyata bersalah menceroboh kediaman persendirian semasa penangkapan itu.

Berikutan itu, hakim memutuskan Hanapi selaku defendan dikehendaki membayar ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi tauladan dan ganti rugi melampau kepada tiga aktivis PAS terbabit.

Menurut fakta kes, pada jam 9.15 malam 10 Jun 2004 satu majlis ceramah penerangan telah diadakan di Markas Pas Kawasan Rompin, di nombor 42 Desa Teratai, Muadzam Shah. Ketua Polis Daerah yang mengetuai sekumpulan anggota polis dari Ibupejabat Polis Rompin telah mengeluarkan arahan supaya majlis tersebut dihentikan diatas alasan tiada permit perhimpunan dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah juga telah mengarahkan anggota-anggota polis melakukan serbuan keatas premis ceramah tersebut dan telah menangkap plaintif kedua, ketiga dan keempat tanpa menunjukkan sebarang waran tangkapan.

Anggota-anggota polis yang melakukan serbuan dan tangkapan keatas premis tersebut telah merampas segala peralatan sistem bunyi (P.A. System) dan secara kasar yang telah mengakibatkan kecederaan pada plaintif keempat.

Berikutan itu, mereka bertiga telah ditahan, digari dan dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Rompin untuk disoal-siasat sehingga keesokan harinya.

Kes tersebut difailkan oleh ketiga-tiga ahli PAS itu pada 1 Disember 2004 di Mahkamah Tinggi Malaya Kuantan melalui firma guaman Mohamad Hanipa & Associate.

Plaintif memohon deklarasi bahawa penangkapan dan penahanan mereka pada masa ceramah tersebut tidak sah, terbatal, tidak berpelembagaan dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa majlis ceramah yang diadakan di markas PAS Kawasan Rompin (pada 10 Jun 2004) tidak memerlukan permit polis di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Selain itu, plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah bertindak melampaui batas kuasainya di bawah Akta Polis 1967 dan tindakan defendan tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa (abuse of power).

Plaintif turut memohon deklarasi bahawa defendan telah melakukan pencerobohan ke atas markas PAS Kawasan Rompin dan menuntut ganti rugi serta lain-lain relif difikirkan sesuai oleh mahkamah.




Merlimau: Umno BN jangan guna harta awam
Ahmad Danial

JASIN, 9 Feb: Setiausaha Jabatan Pilihanraya Negeri Melaka, Bahiki Ismail (gambar) kesal dengan sikap Umno BN yang terus menerus menggunakan kemudahan awam untuk program politik kepartian.

Terbaru Umno BN menggunakan Dewan Politeknik Merlimau untuk program suaikenal bapa angkat dengan jawatankuasa peti undi Dun Merlimau.

Program tersebut melibatkan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Program telah berlangsung Isnin lalu melibat semua ketua-ketua peti undi di Dun Merlimau.

Bahiki menggesa tindakan menggunakan harta awam untuk program parti dihentikan serta merta kerana ianya jelas mengheret institusi awam ke kancah politik.

"Umno BN sering menuduh PAS berpolitik di masjid dan surau tanpa bukti tetapi sebaliknya merekalah yang sering menggunakan surau, masjid, sekolah dan institusi masyarakat yag lain untuk program politik mereka.

"Kita tidak kisah jika program itu adalah program kerajaan dan agensi-agensinya tetapi yang kita kesalkan ialah mereka secara terang-terang menggunakan harta rakyat yang dibiayai dengan duit rakyat untuk program politik mereka," tambahnya.

Beliau juga mengingatkan semua pengarah, pengetua, guru besar dan pegawai kerajaan supaya tidak tunduk dengan tekanan politik kepartian sehingga membenarkan institusi di bawah tanggungjawab mereka digunakan sewenang-wenangnya ialah Umno BN untuk program parti.

"Tuan-tuan dan puan-puan diberi amanah untuk menjaga harta dan kemudahan awam janganlah kerana tekanan politik kita sanggup mengabaikan amanah yang dipikul oleh kita.

"Penggunaan harta dan kemudahan awam sudah berlaku dari dulu, kini dan mungkin selamanya namun kita kesal kerana pihak berwajib seperti Polis, SPRM, SPR dan sebagainya tidak berani mengambil tindakan walaupun sudah acapkali kita membuat laporan agar tindakan di ambil ke atas pihak terbabit," tambah Bahiki.

Menurutnya, pihak beliau mengingatkan Umno BN supaya tidak mengulanginya pada kempen PRK Dun Merlimau kerana ianya jelas merugikan duit rakyat.

"Umno BN wajar mencontohi PAS yang menjalankan program di premis parti kerana PAS tahu etika dan undang-undang.

"Jika perkara ini berulang, PAS juga sepatutnya dibenarkan untuk mengadakan program di semua institusi awam kerana PAS juga parti berdaftar," ujarnya dengan nada sinis.



Anggota Palapes berhak tanding p’raya kampus
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Pro Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (Pro-M UPM) mengecam tindakan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) kampus berkenaan menghalang anggotanya daripada terlibat dalam pilihan raya kampus.

Pengerusinya, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, larangan itu sangat tidak wajar kerana setiap mahasiswa termasuk anggota Palapes berhak menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya kampus.

"Pihak kami pagi tadi dikejutkan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UPM yang menghalang mahasiswa daripada menjadi calon, pencadang serta penyokong pencadang dalam pilihan raya kampus yang dijadualkan berlangsung pada 21 Februari nanti," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Syed Syafiq, larangan berkenaan merupakan satu lagi usaha pihak universiti menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dalam demokrasi kampus.

"Pihak kami mendapati, larangan ini merupakan satu usaha bagi menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dengan proses demokrasi di kampus," katanya.

Notis pengumuman pilihan raya kampus dikeluarkan pada cuti pertengahan semester yang lalu.

Ekoran itu, semua pihak daripada Pro-Mahasiswa serta Pro-Aspirasi yang ditaja Bahagian Hal Ehwal Pelajar semakin sibuk memperkemaskan jentera masing-masing.

Sementara itu, tarikh pilihan raya kampus bagi kampus lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) ialah pada 21 Februari, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Pahang pada 22 Februari.




Lantik Noor Deris jadi menteri sebelum debat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPNK) mahu Umno melantik Mohd Noor Deris sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebelum boleh berdebat dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata Tuan Guru selaku Menteri Besar dan pimpinan tertinggi PAS hanya sepadan jika dipertemukan dengan individu yang mempunyai jawatan dan kuasa di dalam parti atau kerajaan.

Ianya termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh para ulama atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri.

"Justeru, sekiranya Umno melihat hanya Mohd Nor Deris layak berdepan dengan Tuan Guru Nik Aziz, DPPNK mencadangkan agar Mohd Nor Deris dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan diberikan tugas menjaga hal ehwal agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Beliau amat berkelayakan menjawat jawatan tersebut memandangkan taraf ilmunya yang tinggi termasuklah mendakwa memiliki kasyaf untuk melihat tangan Nik Aziz menjadi tangan syaitan sewaktu kempen pilihanraya kecil Dun Galas baru-baru ini," tambahnya sebagai mempertahan kemahuan debat Tuan Guru Nik Aziz dengan individu yang mempunyai kedudukan dan tauliah.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Khir seperti yang tersiar di dalam akhbar yang meminta Nik Aziz agar tidak perlu mengheret pihak lain, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menegakkan kebenaran memadai berhadapan dengan Mohd Noor.

Beliau juga mendakwa soal agama 'bukan kira setaraf, layak atau tidak”.

Membidas dakwaan Menteri di JPM itu, Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang turut mencabar agar Jamil Khir sudi menerima apa-apa tawaran debat dengan pepimpin PAS di peringkat cawangan dan kawasan jika dicabar.

”Jika benarlah Jamil Khir berpegang di atas prinsip ini, sudilah kirnya beliau menyatakan kesanggupan jika DPPNK menghantar mana-mana pimpinan Pemuda PAS cawangan atau kawasan untuk berdialog dengan beliau atas mana-mana isu agama khususnya yang melibatkan pertentangan di antara Umno dengan PAS," pintanya.

Kelmarin, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mempersoalkan kedudukan dan kredibiliti Mohd Noor Deris yang ingin berdebat dengan beliau berhubung kenyataannya ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS adalah jahiliah



Tiada ulasan: