Rabu, 9 Februari 2011

BUKAN VALENTINE DAY SAJA TAPI PERKARA HIBURAN2 YANG BERTENTANG DENGAN SYARAK...JANGAN KEPUTERAAN DISAMBUT DILAIN HARI BUAT MAKSIAT...

Hayati perjuangan Rasulullah, buang Valentine Day
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) selaku badan mahasiswa yang sentiasa menggerakkan isu-isu kemahasiswaan ingin mengajak seluruh mahasiswa, pemuda-pemudi dan umat Islam sekalian untuk tidak membudayakan sambutan Valentine Day.

Presiden Karisma, Khairul Fadhli Ismail berkata, mahasiswa sepatutnya bukan setakat tidak membudayakan sambutan itu bahkan perlu turun padang memberikan penerangan kepada masyarakat tentang fakta-fakta yang sebenar.

Menurutnya, 14 Februari menjadi tarikh keramat buat pemuda-pemudi tidak kurang juga yang sudah bergelar suami mahupun isteri untuk meraikan dek publisiti dan promosi yang menguntumkan kemanisan.

Katanya, fakta menunjukkah salah satu kewujudan Hari Valentine ini adalah kerana kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tarikh tersebut manakala orang yang menjadi dalang kepada kekalahanan itu adalah seorang paderi Kristian, Saint Valentine.

Lalu 14 Februari 1492 dinamakan Hari Valentine dan dianggap sebagai hari kasih sayang kerana Islam dianggap sebagai agama yang zalim.

“Bukankah dengan menyambutnya kita sendiri menghina agama kita yang suci?

“Kejinya jika begitu, lagi parah jika mahasiswa yang merupakan golongan intelektual turut terjebak dalam kehinaan ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada umat Islam sehingga mengikuti agama mereka membuktikan serangan dan doktrin itu akan berterusan.

Malah, ujarnya racun-racun hedonisme sudah berjaya menembusi umat Islam dan akibatnya turut menyebabkan kepada gejala sosial, percampuran lelaki perempuan, zina, pembuangan bayi dan lain-lainnya.

Tambahnya lagi, tanggal 14 Februari dicanang sehingga dijadikan kemestian untuk disambut dan diraikan menjerumuskan anak-anak muda ke jurang kebinasaan.

Jelasnya, seperti yang semua sedia maklum, antara sejarah lain menyebut sebelum abad ke-17 Masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine setiap 14 Februari sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka.

Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau sebagai seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi agama kristian.

Walau apapun sejarahnya, tegasnya tetap tiada kepentingan dan bukan ciri-ciri orang beriman mencontohi budaya negatif orang musyrik.

“Malah dengan kehadiran Hari Maulidurrasul yang disambut di negara kita pada 15 Februari (12 Rabiul Awal) adalah jauh lebih bagus kita bersama-sama menghayati pengorbanan junjungan besar Rasulullah s.a.w serta para sahabat dalam mengubah ketamadunan dunia yang memberikan kemanisan sehingga ke detik ini.

“Malah keimanan kepada Nabi ini merupakan antara teras sebagai Muslim,” ujarnya.

Justeru, katanya Karisma juga mengambil inisiatif kesedaran dengan mengadakan kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ), pengedaran risalah, task force, perkhemahan dan sebagainya sebagai alternatif aktiviti bermanfaat kepada mahasiswa dan remaja pada tarikh-tarikh sebegitu.

Malah, ujarnya Karisma juga bersedia untuk membantu dan keterhadapan bersama mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan IIKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM) dan lain-lain dalam menganjurkan program-program kesedaran Islamik dan bercorak motivasi.

“Maka marilah sama-sama kita buang istilah valentine ini daripada memori setiap daripada kita dan kita lebihkan penghayatan kepada perjuangan dan misi agung menegakkan Islam yang diwariskan oleh insan agung Muhammad bin Abdullah s.a.w. Nabi dan Rasul yang terakhir,” ujarnya.



PAS Kelantan sedia berdepan Gelombang Merah
Rizal Tahir
KOTA BAHRU, 9 Feb: Pemuda PAS Kelantan tidak gusar dengan pelancaran Gelombang Merah, Gelombang Rakyat oleh Umno negeri itu malah menyifatkan ianya hanya projek cari makan pemimpin Umno BN.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pelancaran itu hanya gimik politik untuk menakutkan PAS sebagai parti yang mentadbir negeri ini.

“Ia juga bertujuan untuk menunjukkan pada rakyat bahawa mereka kini telah kehadapan dalam membela isu-isu rakyat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily bagi mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed, yang telah melancarkan gelombang itu baru-baru ini.

Gelombang itu dilancarkan bagi menarik sokongan anak muda negeri Cik Siti Wan Kembang itu untuk merampas semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Pemilihan warna merah dikatakan mempunyai kaitan dengan pasukan bola sepak negeri Kelantan yang kini sedang mencipta nama da mendapat sokongan padu belia negeri ini.

Bagaimanapun menurut Abdul Latif, pemuda PAS Kelantan juga sudah bersedia dengan perancangan mereka untuk menarik anak muda negeri itu.

Pada masa yang sama beliau berkata, Pemuda PAS sendiri sudah lama memiliki tentera merah (Unit Amal) untuk berbakti pada masyarakat dalam gerakerja kebajikan khususnya sewaktu banjir dan bencana.

Menurutnya, pelancaran itu juga menunjukkan Umno sebenarnya lemah dan terpaksa menumpang populariti penyokong pasukan bola sepak Kelantan.

“Sepatutnya BN melancarkan gelombang biru bukan merah kerana lambang mereka adalah biru atau ciptalah gelombang sendiri yang lain seperti oren, hitam, kelabu.

“Tindakan ini juga seumpama lembu punya susu, sapi dapat nama kerana Tan Sri Anuar Musa lebih berhak untuk mendepani gelombang merah sekiranya gelombang itu bertitik tolak dari pasukan bola sepak Kelantan,”ujarnya lagi.



Mujahid Yusof: Petunjuk dari kebangkitan di Mesir
Mujahid Yusof

Saya tidak berapa perasan mulanya berlaku kebangkitan rakyat di Tunisia. Ketika saya berada di Melaka pada 15 January lalu saya bertemu dengan seorang guru lelaki dari Mesir yang mengajar di Sekolah Islam Ar Rahmah Solok Gaung. Isterinya orang Malaysia dari Terengganu.

Sebenarnya pagi itu setelah kuliah Subuh di Bukit Katil saya diajak oleh Hj Mat Diah pengasas sekolah untuk meninjau-ninjau perkembangan pembangunan sekolah sambil mempelawa sarapan pagi di rumahnya. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan sekolah Ar Rahmah kerana anak-anak saya adalah bekas penuntut di situ dari sekolah rendah lagi.

Semasa bertemu dengan lelaki Arab dari Mesir itu beliau kelihatan gembira kerana saya boleh bertutor Bahasa Arab , antara respon awal pertemuan tersebut ialah dia menceritakan dengan penuh semangat tentang kebangkita rakyat di Tunisia hanya kerana seorang penganggur yang berijazah telah membakar dirinya kerana kecewa dengan sistem korup pemerintahan Ben Ali di Tunis.

Katanya lagi dalam bahasa arab pekatnya, Mesir sedang menanti saat kebangkitan dalam masa beberapa hari menurut apa yang didapatinya dari jaringan Internet. Sememangnya pagi itu dalam dada akhbar terpampang berita kejatuhan Ben Ali yang bersiap sedia untuk meninggalkan Tunisia.

Selang beberapa hari berita tentang kebangkitan Mesir pula menyusul dan hari ini, kebangkitan dua negara Arab di benua Afrika Utara itu menguasai ruang pemberitaan seluruh dunia.
Tidak kurang peristiwa kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia membawa mesej berambus kepada pemimpin kuku besi lain di negara Arab sehingga isyaratnya menggetarkan pemimpin-pemimpin diktator sampai ke tulang sum-sum mereka.

DEMOKRASI UNTUK SIAPA?


Pengamatan saya kepada perkembangan negara Arab Afrika Utara bukanlah hari ini sahaja, seblum itu saya mengikutinya sejak 80an apabila usaha untuk membawa demokrasi bermula di Algeria dan Tunisia. Malangnya usaha mengadakan pilihanraya bebas peringkat perbandaran dan parlimen bukan membuka demokrasi tetapi menjadi alasan untuk menutup pintu kebebasan.

Alasannya cukup tidak munasabah, iaitu kerana FIS (Front Islamic Salvation) dan Parti An Nahdah (Awakening Party) menang besar dalam pilihanraya tersebut!

Sepatutnya kemenangan secara demokratik yang belum pernah dirasai sebelum ini diraikan dengan bunga dan tarian kemenangan, namun pada ketika itu kemenangan disambut dengan kereta kebal dan muncung M16 dihalakan kepada pemenangnya. Rakyat menjadi keliru, apakah ini yang mereka mahu ataukah kekal dalam keadaan tiada kebebasan.

Algeria dan Tunisia menjadi huru-hara. demokrasi dirompak semula oleh bandit penguasa demi ‘memelihara keamanan.’ Hasilnya amatlah memilukan kepada siapa sahaja yang rindukan kebebasan kerana pertumpahan darah berlaku sebagai reaksi pencabulan demokrasi dan pemimpin besar seperti Dr Abbas Madani, Dr Mahfuz Nahnah dipenjara manakala di Tunisia Dr Rashid Al Ghanoushi di buang negeri dan menjadi pelarian selama 22 tahun di UK.

Apakah semua ini harga kebebasan? Barat menjadi bisu dengan kemenangan puak Islam secara demokratik malah Perancis yang menjadi kiblat Tunisia dan Aljeria membiarkan bandit-bandit pemerintah menyiksa rakyat yang mahukan kebebasan. Akhirnya keganasan puak menjadi norma kehidupan dan puak Islam selagi lagi disalahkan. Memang sukar untuk Gerakan Islam bergerak dalam permainan Barat, kerana akan berada dalam dilema.



Khusrin angkat sumpah minggu depan
Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Feb: Setiuasaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi akan mengangkat sumpah minggu depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ekoran dari itu, beliau akan dibenarkan hadir pada mesyuarat di mana pegawai ex-officio diperlukan.

Sebelum ini, Kusrin telah menemui Tan Sri Khalid (gambar) namun menurut kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan Selangor dan menteri besar seharusnya berperanan dalam pelantikan SUK.

"...pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam pertemuan tersebut, Khalid juga mengarahkan Khusrin memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor.

"Seterusnya, menteri besar mengarahkan Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah," kata kenyataan itu.

Arahan lain Khalid kepada Khusrin:

* Menteri besar memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

* Khalid menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

* Khusrin diminta meneruskan usaha-usaha Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh menggangu pendapatan kerajaan negeri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut langsung sama ada Khalid membenarkan Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK yang dilantik secara kontroversi itu menghadiri meyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Bantu Adun Sri Muda


Sementara itu, Khalid juga memberitahu, bantuan guaman diberi akan diberikan kepada Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei untuk menyokong Adun yang dalam tugas.

"Dua adalah wakil kerajaan negeri dan wakil rakyat yang berani menyuarakan hasrat rakyat," kata Khalid dalam Twitter beliau.

Selepas kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan tidak akan membiarkan Shuhaimi berseorangan dan akan membantu membiayai kos perundangan untuk "menyokong usahanya menegakkan keadilan" pada 4 Februari lalu, pelbagai pihak tampil menentang hasrat itu.

Semalam Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang (kiri) berkata, Selangor harus menarik balik hasrat menggunakan duit rakyat bagi tujuan itu supaya amalan itu tidak mempengaruhi negeri Pakatan Rakyat lain.

Tan dilaporkan berkata, jika mahu, Pakatan sebaliknya boleh membiayai kos itu menggunakan duit dan sumber mereka sendiri.

Sehari sebelum itu, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) menjadi NGO pertama bangkit menyifatkan tindakan kerajaan Selangor itu sebagai "pembaziran dan penyelewengan wang rakyat".


Tiada ulasan: