Ahad, 6 Februari 2011

INGAT! ADA RAKYAT BARU ADA PEMIMPIN...INGAT! HATI MANUSIA SEMUA DALAM KUASA ALLAH...AWAS BAGI REJIM2 MENINDAS...ALLAH BOLEH APA SAJA

Krisis beri kesan harga minyak, makanan



TUNAI KEWAJIPAN...seorang pemuda melaungkan azan sambil dikawal penunjuk perasaan di atas sebuah bangunan di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.
TUNAI KEWAJIPAN...seorang pemuda melaungkan azan sambil dikawal penunjuk perasaan di atas sebuah bangunan di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam.
BERJAGA-JAGA...kumpulan antikerajaan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak kepala mereka terkena batu dilontar penyokong Hosni.
BERJAGA-JAGA...kumpulan antikerajaan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak kepala mereka terkena batu dilontar penyokong Hosni.

WASHINGTON: Konflik berpanjangan di Mesir dan masa depan yang tidak menentu turut memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Menurut penganalisis, protes massa ke atas rejim Presiden Hosni Mubarak kini mendorong kenaikan harga minyak dan makanan.


Lebih membimbangkan sesetengah pihak adalah kesan daripada kebangkitan itu yang mungkin mempengaruhi negara di rantau Arab ketika negara terbabit adalah pengeluar utama minyak dunia.

Pakar ekonomi Moody’s Analytics, Mark zandi, berkata jika konflik itu mampu dikekang supaya berlaku di Mesir saja, kesan terhadap harga petroleum adalah minimum.


“Tetapi sekarang adalah jelas kesan protes itu merebak ke sekitar Timur Tengah dan ada asas untuk bimbang ia akan menjadi semakin buruk,” katanya.


Selepas lebih 10 hari, ketegangan di Mesir masih belum menampakkan sebarang tanda kendur ketika ratusan ribu warga Mesir turun ke jalan raya setiap hari.

Protes seumpama itu berjaya menumbangkan kerajaan Tunisia sebelum ini dan ia mungkin turut membawa kesan sama kepada Yaman dan Jordan.


Penyelidik Brookings Institution’s di Doha, Qatar, Shadi Hamid, berkata dia amat bimbang jika protes berkenaan berterusan untuk tempoh lebih lama.

“Kita akan melihat penyusutan ekonomi berterusan di Timur Tengah dan pasti ia memberi kesan kepada AS,” katanya. AP



Cedera tak halang protes



KAHERAH: Walaupun cedera dan masih berbalut, ribuan penunjuk perasaan tetap berarak dan berkumpul di Dataran Tahrir (Kemerdekaan) dua hari selepas bertempur dengan kumpulan penyokong Presiden Hosni Mubarak, semalam.

Seorang budak lelaki, misalnya, menunjukkan isyarat ‘V’ dengan tangannya yang berbalut sambil memandang ke depan.


Sebahagian lagi pula membaca ayat al-Quran untuk dihadiahkan kepada penunjuk perasaan yang terbunuh dalam protes terbesar dalam sejarah Mesir itu.

Sambil meraikan mangsa yang terkorban sebagai syahid, mereka turut berikrar meneruskan perjuangan menggulingkan Hosni sebagai Presiden Mesir.


Ketika malam menjelang, masih ada kira-kira 100,000 orang berkeliaran di kawasan lapang berkenaan dan seorang pemuda mula mengagih-agihkan makanan untuk mengalas perut penunjuk perasaan dengan bersemangat, seolah-olah dia membakar bara perjuangan rakannya yang lain.


Mereka yakin, jika protes kali ini gagal, kehidupan akan menjadi lebih buruk di bawah rejim Hosni. - AP


Paip gas untuk Israel diletup



KAHERAH: Saluran paip yang membekalkan bahan bakar dari Mesir ke Israel diletupkan berhampiran Gaza, semalam, dan seperti dijangka, kerajaan menyalahkan ‘pihak asing’ bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Menurut sumber, penyerang menggunakan bahan letupan bagi merosakkan saluran berkenaan di bandar Lihfen.


Katanya, tentera kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak kejadian sama daripada merebak ke kawasan lain.

Bomba pula berjaya memadamkan api akibat letupan itu.


Sementara itu, radio Israel memetik pegawai Mesir sebagai berkata, serangan itu dilakukan pada waktu subuh menggunakan sedikit bahan letupan.


Justeru, kerosakan daripada letupan itu adalah kecil.


Kata sumber, kebakaran berlaku selama tiga jam sebelum dapat dipadamkan, tetapi bekalan ke Israel dan Jordan terpaksa dihentikan.


“Tidak dapat dipastikan sama ada kejadian itu ada kaitan dengan protes rakyat Mesir ke atas Presiden Hosni Mubarak,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan Badwi bersenjata pernah mengancam menyerang saluran paip itu dan memaksa pihak berkuasa meningkatkan pengawasan di sekitar kawasan berkenaan.


Bantahan itu dibuat kerana masyarakat Badwi mendakwa mereka sentiasa diketepikan daripada pembangunan.


Dakwaan itu turut disokong aktivis hak asasi manusia.


Mereka juga bimbang terhadap kemungkinan polis mengambil kesempatan daripada keadaan semasa untuk melakukan tekanan ke atas masyarakat Badwi.


Mesir membekalkan kira-kira 40 peratus daripada keperluan gas asli Israel dan pada Disember lalu, empat pegawai Tel Aviv menandatangani kontrak 20 tahun mengimport bahan itu dari Mesir.


Kontrak itu dianggarkan bernilai sehingga AS$10 bilion (RM30.4 bilion) - AFP




PM Iraq potong 50 peratus gaji



BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq berjanji memotong separuh daripada gajinya dalam usaha meredakan rasa tidak puas hati rakyat negara itu terhadap isu ekonomi dan sosial dalam negara.

Ikrar Nouri al-Maliki itu dibuat dalam kenyataan pada kelmarin menjelang perdebatan bajet Iraq di parlimen.


Kata Nouri, dia akan mengurangkan 50 peratus gaji dan mengembalikannya kepada perbendaharaan negara mulai bulan ini.

Sebelum ini, beberapa ulama memberi amaran, Iraq juga tidak terkecuali daripada menghadapi protes besar-besaran seperti di Tunisia, Mesir dan Yaman kerana ia adalah amalan dibenarkan dalam demokrasi. Kata Nouri, langkah itu dibuat bagi mengurangkan jurang perbezaan di antara kakitangan kerajaan dengan orang awam.


Setakat ini tidak diketahui berapa nilai sebenar gaji bulanan Nouri, tetapi dia dipercayai menerima kira-kira RM1 juta setahun. - AFP


DUNIA

Harta Presiden Mesir AS$70 bilion?


SEBUAH rumah Presiden Hosni Mubarak berhampiran Terusan Suez di Mesir.


KAHERAH - Lebih kaya daripada pengasas bersama Microsoft, bilionair Bill Gates, malah manusia terkaya di dunia, Carlos Slim Helu pun tidak setanding dengannya.

Ketika Mesir terus dilanda konflik politik, Presiden negara itu, Hosni Mubarak dan keluarganya dilapor memiliki anggaran kekayaan mencecah AS$70 bilion (RM213 bilion) sepanjang tiga dekad era pemerintahannya.

Jumlah harta Presiden Mesir itu melebihi kekayaan Gates dari Amerika Syarikat (AS) dan Slim Helu dari Mexico, yang masing-masing memiliki aset AS$53 bilion (RM161 bilion) dan AS$54 bilion (RM163 bilion) pada tahun 2010, menurut senarai majalah Forbes.

Anggaran kekayaan Hosni juga hampir setanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar Guatemala, negara rantau Amerika Tengah yang bersempadan dengan Mexico.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beberapa pakar kewangan Asia Barat berkata, sebahagian besar kekayaan Hosni, 82, disimpan di bank-bank Britain dan Switzerland.

Sebahagian lagi kata mereka, telah dilaburkan dalam sektor hartanah di London, New York, Los Angeles serta kawasan peranginan pesisir Laut Merah termasuk hotel-hotel di Sharm El Sheikh.


KEDIAMAN mewah enam tingkat berharga AS$13.6 juta (RM41.6 juta) milik anak Hosni, Gamal Mubarak di barat London.


Rangkaian berita ABC menyatakan, kebanyakan harta Hosni diperoleh menerusi kontrak usaha sama ketenteraan, yang bermula semasa beliau berkhidmat sebagai seorang pegawai Tentera Udara Mesir.

Semasa beliau memerintah Mesir, Hosni terus memperoleh pendapatan besar dipercayai melalui amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat di samping keuntungan pelaburan yang mencecah ratusan juta dolar.

Namun, kebanyakan harta itu didepositkan ke dalam beberapa akaun bank asing termasuk bank UBS dan Bank of Scotland atau dilabur dalam dalam sektor pembinaan seperti hotel.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Arab, Al Khabar pada tahun lalu, Hosni memiliki hartanah di Manhattan, New York dan di Beverly Hills, Los Angeles, AS.


ANAK kedua Hosni, Gamal Mubarak dan isterinya, Khadija El-Gamal.


Dua anak lelaki presiden berkenaan, Gamal dan Alaa, bertaraf bilionair dengan anggaran kekayaan kedua-duanya melebihi AS$25 juta (RM76 bilion).

Gamal turut memiliki dua kapal pesiaran mewah berharga sekitar AS$81 juta (RM248 juta).

Seorang profesor sains politik Universiti Princeton, AS, Amaney Jamal berkata, anggaran kekayaan Hosni adalah munasabah kerana rata-rata pemimpin rantau Teluk memiliki kekayaan mencecah AS$40 (RM122 bilion) atau lebih besar.

"Usaha sama perniagaan semasa beliau (Hosni) berkhidmat dalam tentera dan pentadbiran negara melonjakkan kekayaan peribadinya," kata profesor berkenaan.

Seorang lagi pakar politik Asia Barat, Christopher Davidson dari Universiti Durham, Britain, memberitahu, Hosni dan isterinya, Suzanne mengumpul harta menerusi usaha sama dengan para pelabur dan firma asing sejak beliau memegang jawatan tinggi dalam tentera Mesir.

Menurutnya, kebanyakan negara Teluk mewajibkan warga tempatan memiliki sehingga 51 peratus kepentingan dalam sesuatu projek usaha sama. - Agensi



Najib Guna Aset Kerajaan Dan Hubungan Peribadi Demi Keselamatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menggunakan aset kerajaan dan hubungan peribadinya dengan Raja Arab Saudi,Raja Abdullah Raja Abdul Aziz demi kepentingan rakyat Malaysia.

Katanya, hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara membolehkan Malaysia menggunakan ruang udara Mesir tanpa halangan.

"Raja Abdullah kata ruang udara mereka terbuka luas untuk Malaysia.

"Baginda kata buatlah seberapa banyak penerbangan pun dan bawa baliklah seramai mana rakyat Malaysia yang kita mahu. Inilah guna hubungan akrab dengan negara lain," katanya, Sabtu.

Najib turut mengumumkan bahawa anakanda Raja Abdullah, Putera Turki telah bersetuju memberi sumbangan untuk membiayai penerbangan Jumbo 247 dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas akibat pergolakan di Mesir.

Najib berkata sehingga kini seramai 6,800 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan ke Jeddah.

"Seramai 3,580 lagi kita akan pindahkan ke Jeddah sebelum dibawa balik ke Malaysia," katanya.

Dalam pada itu Najib turut menyifatkan operasi menyelamat rakyat Malaysia sebagai operasi besar kerajaan dengan kerjasama pihak swasta.

Agensi swasta yang terlibat termasuklah Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan syarikat penerbangan Air Asia.

"Kita gabung aset kerajaan dan aset swasta dalam misi selamatkan negara," katanya.

Najib berkata dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia kerajaan tidak pernah mempolitikkan isu itu.

Beliau juga sedang berunding untuk menanggung semua perbelanjaan mereka yang dibawa pulang ke Malaysia kelak.

"Kerajaan tak pilih ideologi. Asalkan warganegara Malaysia kita doakan boleh bawa balik mereka dengan selamat," katanya.



Najib Jamin Perbelanjaan Pulang Pelajar Mesir Ditanggung Kerajaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa perbelanjaan pulang kesemua pelajar Malaysia dari Mesir ke tanah air ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Perdana Menteri berkata beliau akan merujuk dan berurusan dengan pihak terbabit iaitu Lembaga Tabung Haji, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia mengenai perkara berkenaan.

"Ini supaya ibu bapa tak perlu menanggung belanja anak-anak mereka balik ke negara kita, melainkan mereka sudah tempah tiket sendiri... Itu tak dapat kita bayar balik, itu urusan masing masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Ziarah Masjid di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, Sabtu.

Najib berkata kerajaan mempunyai jumlah kasar kos terbabit tetapi beliau mahu berbincang dengan pihak berkenaan sebelum mengumumkannya.

"Saya tahu (kos) tetapi tidak mahu menyatakannya...lagipun hari ini ada sumbangan dari Putera Raja Arab Saudi (untuk menyediakan penerbangan pulang)jadi itu akan mengurangkan perbelanjaan kita, " katanya.

Najib juga memaklumkan bahawa urusan perpindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir berjalan lancar dengan setakat ini 6,800 pelajar sudah berada di Jeddah, Arab Saudi.

Pada hari ini sahaja, sebanyak 14 penerbangan dilakukan dengan membabitkan 3,500 pelajar, katanya.

"Saya menjangkakan bahawa urusan ini hampir selesai... selepas hari ini dan esok, ada sedikit lagi (pelajar) tapi kita akan teruskan sehingga semua rakyat Malaysia tak kira pelajar, mereka yang bermaustautin, yang berniaga dan juga pelawat dapat keluar dari Mesir," katanya.

Najib berkata usaha itu merupakan kejayaan kerajaan dalam melaksanakan konsep 'Hanruh' iaitu pertahanan menyeluruh dengan mengemblengkan peranan aktif semua pihak.

"Di mana apabila ada sesuatu ancaman kepada rakyat Malaysia yang membabitkan penugasan yang besar seperti ini, kerajaan perlu menggunakan aset sesiapapun, tidak mengira kerajaan atau swasta dalam operasi menyelamat," jelasnya.

"Asalkan aset itu boleh digunakan untuk tujuan operasi ini. Aset operasi ini (membabitkan) MAS, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), AirAsia dan Tabung Haji, jadi ini satu gerak kerja terbesar yang pernah dilakukan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata dalam perancangan membawa keluar rakyat Malaysia itu, mereka harus keluar dari Mesir ke Jeddah terlebih dahulu supaya berlaku keadilan. "Kalau kita bawa mereka (terus) ke Kuala Lumpur maknanya (pesawat perlu membuat) penerbangan jauh dan memakan masa. Jadi tak adil kepada yang (masih)ketinggalan di Mesir.

"Dan tentu sekali mereka tak puas hati kenapa ada setengah balik dan ada sesetengah (nasibnya masih) tak menentu di Mesir," jelas beliau.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Turki Abdullah Al Saud, kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, kerana membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan pesawat Malaysia di Jeddah.

Perdana Menteri berkata Raja Abdullah memaklumkan kepadanya bahawa ruang udara Arab Saudi terbuka luas dan boleh digunakan sebanyak mana mungkin untuk penerbangan bagi tujuan pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir.

"Ini satu penghargaan kepada Malaysia berdasarkan hubungan mesra antara kedua-dua kerajaan. Kita tak tahu mana masa kita perlukan bantuan kita perlukan bantuan dari negara luar," katanya.

Merujuk kepada dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk membawa pelajar terbabit keluar, beliau berkata ia satu lagi pembohongan dan fitnah yang besar.

"Apa yang saya umum hari ini jelas menafikan apa yang didakwa mereka," katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata parti pembangkang sepatutnya turut memberi bantuan kepada kerajaan kerana ini bukan soal politik tetapi keselamatan rakyat semuanya.

"Tak perlu politikkan soal ini. Orang hijau ke orang biru ke, bulan ke bintang ke semua kita bantu bawa balik mereka dengan selamat. Tak payah politikkan dan (tak perlu) sebar cerita yang tidak betul," katanya.-BERNAMA

Tiada ulasan: