Ahad, 6 Februari 2011

BILA TV LEBIH AULA DARI KESELAMATAN DIRI..BEGITU KUATNYA...KAN ELOK JIKA IBADAH..BEGINI

Tamatnya sokongan Melayu pada pemimpin India
Feb 6, 11 1:14pm


Lebih 100 NGO yang bergabung dalam Majlis Perundingan Melayu (MPM) berikrar tidak akan lagi sesekali memberikan sokongan kepada pemimpin India daripada pelbagai parti dalam mana-mana mana pilihan raya selepas ini.

Ini kerana, gabungan itu berpendapat, pemimpin dan aktivis kaum India telah memutarbelit dan berjaya mempengaruhi kerajaan untuk tunduk kepada ugutan dan tekanan dalam menangani isu novel kontroversi Interlok.

"Langkah kami yang pertama dalam usaha ini ialah menyebarkan gerakan bahawa orang Melayu tidak akan sekali-kali memberikan apa jua sokongan kepada mana-mana pemimpin India, baik dalam BN mahupun pembangkang, bermula dari mana-mana pilihan raya akan datang," demikian ikrar itu, seperti dipetik daripada memorandum mereka kepada Perdana Menteri Najib Razak semalam.

Semalam, MPM dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) menyerahkan dua memorandum berasingan pada tangan Najib sendiri di ibu negara bagi membantah tindakan kerajaan mahu meminda novel Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain selepas didesak berterusan pemimpin MIC dan NGO India.

Antara yang hadir semalam Presiden PENA Mohamad Saleeh Rahamad dan dua ahli jawatankuasa pemandu MPM Datuk Kamaruddin Kachar dan Datuk Seri Helmi Ismail.

Dalam memorandum itu, gabungan 138 NGO - sebilangan besarnya kelompok karyawan, cendekiawan, aktivis, usahawan, pelajar dan pendidik Melayu - itu juga berpendapat, akibat desakan demi desakan, kerajaan kini berjaya dipengaruhi untuk tunduk kepada ugutan dan tekanan yang diberikan.

"Dengan penjelasan ini ia akan menampakkan betapa lemahnya kerajaan yang terlalu berkerompomi dengan mereka ini sehingga sanggup mengenepikan apa jua analisis rasional yang dihasilkan bagi menangkis ugutan dan tuntutan mereka itu," memorandum tujuh halaman itu dipetik.

Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan, tindakan mereka bukan bermakna mahu menimbulkan sentimen hasutan untuk membenci kaum india tetapi bagi menyatakan kekesalan terhadap kelemahan kerajaan yang tunduk dengan mudah kepada ugutan dan tekanan.

Malah, tiada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan yang membakar novel Interlok dan gambar poster penulis novel berkenaan - yang dianggap berbaur hasutan - juga dikesalkan, menurut memorandum itu.

Sementara itu, Mohamad Saleeh pula dilporkan berkata, permintaan mereka perlu difahami sebagai "suara Melayu keseluruhannya" dan tidak sama sekali berniat jahat atau menggugat kerajaan.

“Kami hanya menjaga kepentingan dan maruah Melayu sebagai pemilik ketuanan dan negara dan tanah air kami,” katanya dalam memorandum itu, seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.



NGO: Bagaimana dengan pelajar di negara Arab lain?
Feb 6, 11 11:55am


Kerajaan diminta menyediakan pelan khas untuk menyelamatkan pelajar Malaysia di beberapa negara Arab, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya tempias daripada krisis demokrasi di Mesir.

NONE"Faktor desakan ini adalah memandangkan berlandaskan kajian dan teori politik di Timur Tengah, pergolakan politik ini tidak akan berakhir di Mesir sebaliknya akan merebak ke rantau negara Arab yang lain," kata Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz (kiri).

Dalam satu kenyataan, Muhammad Faisal berkata, negara Arab lain yang perlu diberi perhatian antaranya Syria, Jordan, Yaman dan Arab Saudi.

Katanya, pendapat itu disokong oleh beberapa ahli akademik, seperti Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Dr Redzuan Osman yang menyatakan Yaman antara negara Arab terawal yang berkemungkinan besar akan berlaku pergolakan “besar-besaran” selepas Mesir dan Tunisia.

Sementara itu, PKPIM juga menyifatkan pergolakan di Mesir merupakan kebangkitan rakyat Arab Timur Tengah ke arah pemulihan demokrasi setelah sekian lama rantau itu "dikongkong pemimpin diktator pro-Amerika Syarikat".




Arab Saudi pinjamkan 2 pesawat pada M'sia
Feb 6, 11 11:29am


Kerajaan Arab Saudi turut membantu dalam proses penghantaran pulang penuntut Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir dan kini sedang ditempatkan di pusat transit Madinatul Hujaj di Jeddah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan Arab Saudi telah bersetuju membenarkan dua pesawat milik Saudi Airlines digunakan bagi membantu mempercepatkan proses membawa pelajar pulang ke tanah air.

"Kerajaan Arab Saudi telah bermurah hati memberi kita penerbangan ihsan menggunakan dua buah pesawatnya jenis 747 iaitu jumbo jet Saudi Airlines," katanya kepada Bernama di Jeddah.

Sementara itu, beliau berkata penerbangan sulung dari Jeddah menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 747 yang membawa kumpulan pertama 450 pelajar dijangka berlepas petang ini dan dijangka tiba di KLIA, Isnin.

Beliau berkata sehingga kini seramai 3,615 orang pelajar telahpun berada di Madinatul Hujaj dan akan dihantar pulang secara berperingkat-peringkat.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail memuji sikap penuntut Malaysia yang sentiasa bersabar dan penuh disiplin dalam operasi memindahkan mereka daripada Kaherah ke Jeddah.

Katanya, sememangnya perkara membawa keluar baki 9,000 penuntut Malaysia di Mesir ke Jeddah bukanlah satu perkara mudah dan ia memerlukan perancangan yang teliti.

"Saya juga melihat pelajar kita berani dan dengan kebijaksanaan, mereka berjaya melepasi sekatan yang dibuat bukan oleh tentera atau polis tetapi orang awam (untuk ke lapangan terbang Kaherah).

"Ada juga makanan yang kita bawa untuk pelajar kita di lapangan terbang dirampas sebanyak tiga kali. Tetapi akhirnya, kita mencari jalan-jalan lain yang dapat melepasi sekatan dan kita berjaya. Sebenarnya inilah cabaran kita kerana ia bukan berada di bawah kawalan kita," katanya.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata 64 daripada 129 penuntut negeri itu yang sedang menuntut di Mesir telah dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi, Khamis lepas.

Beliau berharap ibu bapa penuntut terbabit supaya sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak mereka melalui stesen Radio Perlisfm yang melaporkan perkembangan terkini di Mesir melalui temu bual dengan Yang Dipertua Persatuan Pelajar Perlis di Mesir Syed Aisam Syed Idris yang masih berada di Kaherah.

--Bernama

Lagi mangsa lemas Sg Perak ditemui
Feb 6, 11 11:38am


Seorang lagi mangsa lemas yang dihanyutkan arus deras ketika mandi manda di Sungai Perak petang semalam ditemui hari ini kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa Mohamad Imran Rosli, 10, ditemui terapung pada pukul 7.10 pagi tadi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

Seorang lagi mangsa berumur lapan tahun yang dikhuatiri hilang di sungai berkenaan dalam kejadian pada pukul 4 petang, semalam masih belum ditemui dan operasi mencari sedang dijalankan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Ghaffar berkata, dalam kejadian semalam tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter daripada rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong.

Semalam, Suhairi Nizam Baharudin, 12, yang berjaya diselamatkan, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 30 anggota Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung menyambung semula operasi mencari sejak awal pagi ini.

--Bernama




Wanita cam polis didakwa tampar, rompak dirinya
Hazlan Zakaria
Feb 5, 11
4:03pm


Seorang pemilik kedai yang mendakwa ditampar dan dirompak oleh anggota polis berpakaian preman minggu lalu hari ini mengecam lima orang anggota pasukan itu yang didakwa melakukan perbuatan itu ke atasnya.

Chow Soo Meng, 36, mengenalpasti anggota polis lelaki itu dalam satu kawad cam di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya pagi ini.

Ibu kepada dua orang anak itu ditemani ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng. Polis turut merakam kenyataan wanita berkenaan dan juga kenyataan Lim.

Lim ketika dihubungi berkata, Chow telah mengenalpasti lima anggota berkenaan yang didakwa memecah masuk ke dalam kedainya tanpa mengemukakan waran.

Chow turut mengenalpasti pengawai polis yang didakwa menampar beliau dan juga seorang pegawai polis wanita, kata ahli parlimen DAP itu lagi.

Anggota polis berkenaan sebelum ini didakwa mencuri kira-kira RM20,000 wang tunai dan beberapa barangan lain dari wanita tersebut.

Dalam laporan polisnya, anggota polis berkenaan didakwa telah mengambil beberapa jenis rokok, enam botol minuman keras, oren mandarin dan tiga kartun minuman tin.Polis telah menafikan dakwaan merompak Chow ketika wanita itu ditahan di kedainya di Sungai buloh pada malam Isnin lalu.

Satu kenyataan polis sebelum ini menyebut, anggota berkenaan merampas wang sebanyak RM15,900 untuk siasatan.

Polis mengesyaki wang berkenaan diperolehi daripada sumber haram.





Risalah 'hina Melayu': Lim mahu ADUN minta maaf
Feb 5, 11 12:36pm


Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menuntut ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad agar memohon maaf atas tuduhan bahawa kerajaan negeri itu bertanggungjawab ke atas satu risalah yang didakwa "menghina orang Melayu."

Lim berkata, ADUN berkenaan perlu menarik balik kenyataan berkenaan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada hari Khamis lalu.

"ADUN Umno Pulau Betong didesak menarik balik dan meminta maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri (Pulau Pinang) atas fitnah jahat ini. Sekiranya beliau gagal pada minggu depan maka tindakan tegas akan diambil," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menjelaskan, risalah 'My Balik Pulau' itu sebenarnya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan dan bukannya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Sekiranya betul 'My Balik Pulau' lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu tidak lain tidak bukan adalah Umno dan kerajaan persekutuan sendiri," kata Lim lagi.

Lim berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar harian tersebut pada Khamis lalu yang menyebut risalah berkenaan "mengandungi fakta sejarah tidak tepat" dan "disifatkan sebagai berbahaya kerana boleh mengundang perbalahan kaum."

Muhammad Farid dipetik dalam laporan tersebut sebagai berkata, "meskipun tidak diketahui niat sebenar risalah tersebut diedarkan, dipercayai ia merupakan cubaan pihak tertentu untuk mengaburi rakyat tentang sejarah kawasan yang dihuni majoriti orang Melayu itu."

ADUN berkenaan turut mendakwa, risalah berkenaan "seolah-olah mahu menggambarkan bahawa Balik Pulau bukan dibuka oleh orang Melayu."

Dalam laporan sama, Muhammad Farid turut mendakwa, bahan dalam risalah berkenaan turut "menghina orang Melayu."

Sehubungan itu, Lim Guan Eng berkata, Muhammad Farid bertindak "meludah ke langit" dengan mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai satu "pembohongan dan fitnah" itu.

"ADUN Umno ini telah menggembar-gemburkan risalah 'My Balik Pulau' dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk 'Lupa sejarah, hina Melayu'.

"ADUN Umno ini telah membuat tuduhan melulu dan dakwaan palsu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bertanggungjawab atas isi kandungan (risalah ini).

"Sebenarnya ADUN UMNO ini meludah ke langit kerana yang mengeluarkan risalah 'My Balik Pulau' bukanlah kerajaan negeri PR Pulau Pinang tetapi adalah dari Umno dan kerajaan persekutuan.

Lim turut mendakwa, risalah berkenaan turut mencatatkan nama penyumbangnya iaitu kementerian pelancongan serta pemimpin Umno Balik Pulau "termasuk pusat sumber Muhammad Farid sendiri."

"Akan tetapi semua jentera media massa Umno dan blog serta Utusan Malaysia terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan negeri (Pulau Pinang) kerana terus pinggirkan orang Melayu," katanya lagi.

Anwar: Abdul Taib jangan jadi seperti Mubarak
Feb 5, 11 5:47pm

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud seperti presiden Mesir Hosni Mubarak yang mahu terus berkuasa walau diminta berundur.

Bercakap di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran cabang PKR Stampin hari ini, Anwar berkata penduduk Sarawak perlu menuntut supaya Abdul Taib segera berundur melalui proses demokratik.

Abdul Taib dan Mubarak kedua-duanya telah berkuasa sejak 30 tahun lalu.

Berjuta-juta rakyat Mesir kini melancarkan protes di seluruh negara bagi menuntut Mubarak supaya segera berundur.

Anwar berkata, perubahan boleh dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di negeri itu dan Abdul Taib tidak lagi menjadi ketua menteri.

Katanya, Pakatan akan menurunkan harga minyak dan harga barangan keperluan sekiranya ia dapat membentuk kerajaan di Sarawak.

Pelajar: Harga melambung, makanan kurang di Mesir
Feb 5, 11 10:46am

Tunjuk perasaan oleh rakyat Mesir bukan saja mencetuskan rasa takut pada kalangan pelajar Malaysia di negara itu, malah mereka juga berdepan dengan kekurangan bekalan makanan selain harga yang melambung tinggi.

Beberapa pelajar Malaysia yang berjaya dibawa keluar memberitahu Bernama di Jeddah, keadaan di Kaherah agak mendesak kerana mereka juga berdepan dengan perintah berkurung yang bermula pukul 1 petang sehingga 8 pagi keesokannya.

"Oleh kerana telah dikenakan perintah berkurung bermula pukul 1 tengah hari hingga 8 pagi esoknya, maka kami terpaksa menggunakan masa yang diperuntukkan bergegas ke kedai berhampiran kawasan tempat tinggal untuk membeli barangan keperluan asas seperti roti dan gula.

"Kami juga terpaksa berebut dengan wanita Arab untuk membeli makanan kerana barangan keperluan kini semakin mendesak," kata Haslisah Khalil, pelajar jurusan perubatan di Universiti Ainshams pada Sabtu.

Khairuizzah Helmi, 20, pula memberitahu harga barangan yang naik mendadak serta stok yang semakin berkurangan menyebabkan beliau terpaksa membeli barangan keperluan asas dengan kuantiti yang banyak.

"Saya bimbang nanti kalau keadaan semakin buruk, kami tidak lagi mendapat bekalan makanan," kata pelajar tahun satu jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar itu.

Mohd Amin Azmanshah, 20, pula berkata harga bahan mentah seperti ayam naik berkali ganda selain sukar untuk diperolehi.

Pelajar tahun satu jurusan Usuluddin, Universiti Al-Azhar itu berkata sebelum demonstrasi berlaku, harga ayam ialah RM16 sekilo namun selepas tunjuk perasaan harganya mencecah RM27 sekilogram.

"Barangan seperti sayuran dan buah-buahan tidaklah menjadi masalah. Tetapi harga gula juga telah naik daripada RM3.50 kepada RM4 sepaket," katanya.

Sejak seminggu lalu, berpuluh ribu rakyat keluar ke jalan-jalan raya di Mesir mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah negara itu selama 30 tahun, agar segera berundur.

Tunjuk perasaan berlaku di bandar-bandar besar termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.

- Bernama




Polis bebas tujuh peserta demo anti-Mubarak
Feb 5, 11 2:46pm


Polis Kuala Lumpur hari ini membebaskan tujuh lelaki yang ditahan semalam dalam satu perhimpunan di Kedutaan Amerika Syarikat.

Bernama melaporkan, kesemua lelaki berkenaan dibebaskan setelah selesai proses dokumentasi.

Kesemua tujuh lelaki berkenaan sebelumnya ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967, menurut laporan itu lagi.

Laporan itu juga memetik Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman sebagai berkata, lelaki berkenaan ditahan kerana bertindak agresif dengan membaling botol dan pelbagai lagi benda keras.

Lelaki berkenaan juga enggan bersurai apabila diminta berbuat demikian oleh polis, menurut laporan itu lagi.

Hampir 3,000 orang menyertai perhimpunan tersebut yang bertujuan menyerahkan memorandum membantah campur tangan Amerika Syarikat dalam urusan kerajaan Mesir kepada kedutaan negara itu.


FOMCA: Awas penipuan jurujual kereta
Feb 5, 11 5:00pm


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membeli kereta kerana banyak kes penipuan membabitkan jurujual syarikat pengedar kenderaan dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata orang ramai tidak menyedari bahawa mereka telah tertipu oleh jurujual kereta sehinggalah kereta tempahan mereka tidak diterima pada masa yang ditetapkan.

"Banyak kes membabitkan penipuan penjualan kereta berlaku akibat kesilapan oleh pembeli sendiri seperti tidak menyiasat latar belakang syarikat pengedar kenderaan, berapa lama jurujual itu telah bekerja dengan syarikat berkenaan, adakah syarikat itu mempunyai rekod penipuan oleh jurujualnya dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah laporan akhbar semalam mengenai hasrat seorang pesara tentera, Anuar Ariffin, 45, untuk memiliki sebuah kereta baru tidak kesampaian setelah wang deposit RM23,550 yang dibayar lesap didakwa dibawa lari seorang jurujual syarikat pengedar kenderaan pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Anuar, beliau membayar wang deposit itu dengan cara membuat pertukaran kereta Perodua Myvi miliknya dan menambah wang tunai RM2,616 bagi menggenapkan baki deposit sebanyak RM23,550 yang perlu dibayarnya.

Bagaimanapun jurujual tersebut gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kereta barunya selepas tiga bulan menunggu malah pihak syarikat pengedar kenderaan juga memberitahu bahawa jurujual itu telah berhenti kerja dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jurujualnya.

Anuar membuat laporan polis dan turut mengemukakan masalah itu kepada Tuntutan Tribunal Pengguna dan kesnya masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Muhammad Shaani menasihati orang ramai agar melakukan penyelidikan dahulu sebelum membeli kereta dengan tidak menumpukan terhadap satu kedai sahaja dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang mahir dalam urusan jual beli kereta.

Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa seperti polis dan agensi penguatkuasa yang berkaitan agar memastikan kes-kes penipuan penjualan kereta itu tidak berulang kerana ia memberi bebanan kepada pengguna.

Sekiranya pembeli itu mempunyai wang yang mencukupi mereka boleh melantik seorang peguam untuk mengendalikan kes tersebut tetapi kos guaman lazimnya tinggi dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, katanya.

Beliau berkata Fomca mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani kes penipuan penjualan kereta kerana wujud individu yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan dalam masa yang pantas.

- Bernama



Mangsa banjir enggan pindah, mahu tengok TV
Feb 5, 11 1:06pm


Sikap acuh tak acuh serta mengambil mudah ancaman bahaya adalah antara kekangan yang dihadapi pasukan menyelamat ketika cuba memindahkan mangsa banjir di sini baru-baru ini.

ADUN Kemelah Datuk Ayub Rahmat berkata keadaan itu menyebabkan ada mangsa banjir yang lambat dipindahkan selain ada yang langsung enggan dibawa ke pusat pemindahan sementara.

"Ada di antara mereka tidak mahu keluar rumah kerana hendak menonton televisyen. Ada pula yang enggan keluar apabila kami tiba di rumah mereka.

"Mereka tidak sedar air telah naik sampai paras pinggang dan beranggapan masih selamat dan tidak perlu pindah," katanya yang ditemui Bernama baru-baru ini.

Selain itu katanya, ada juga yang enggan memberikan kerjasama seperti memberikan butiran diri menyebabkan pihak berkuasa sukar memberikan bantuan sewajarnya.

Ayub berkata pemikiran sedemikian harus diubah khususnya ketika berhadapan dengan bencana bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Bagaimanapun kata beliau, masih ada di antara mereka yang bukan saja mengalu-alukan bantuan pihak berkuasa, tetapi turut membantu mangsa banjir lain.

"Ada mangsa dari sebuah rumah di Taman Indah, Bukit Siput sangat gembira dengan kedatangan kami kerana hendak pergi ke pusat pemindahan bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Sikap itu harus dicontohi demi kepentingan bersama, kata beliau.

- Bernama

Tiada ulasan: