Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan kerajaan negeri itu ekoran satu laporan yang mendakwa Sultan Selangor tidak menerima undangan ke majlis sambutan kemerdekaan peringkat negeri pada malam 30 Ogos lalu.

"PERKASA Selangor meminta polis menyiasat sekiranya ada campur tangan pihak luar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor sehingga tidak menjemput Sultan Selangor dalam sambutan ambang kemerdekaan ke-55 peringkat negeri Selangor," laporan itu dipetik.

NONELaporan berkenaan dibuat oleh setiausaha PERKASA Selangor, Azahar Othman di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini, ekoran satu laporan akhbar Utusan Malaysia semalam berhubung dakwaan itu.

"Perkasa Selangor bimbang akan timbulnya kemarahan rakyat kerana kerajaan Selangor menyisihkan kepentingan Raja-Raja Melayu khasnya Tuanku Sultan Selangor," kata Azahar lagi dalam laporan polisnya.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk "PKR belakangkan Sultan Selangor?" semalam memetik kenyataan setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah "tidak dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri mengenai sambutan berkenaan".

Mohamad Munir dalam kenyataannya pada 30 Ogos itu juga menyebut bahawa "Sultan Sharafuddin hanya dijemput berangkat hadir pada majlis tahlil serta bacaan Yasin sempena kemerdekaan negara yang diadakan di Masjid Negeri."

Turut hadir bagi memberi sokongan ialah Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahaya dan kira-kira 50 orang penyokong pertubuhan pro-Melayu itu.

Sambutan hari kemerdekaan dan hari Malaysia peringkat negeri Selangor diadakan pada malam Khamis lalu di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Antara tetamu yang hadir pada malam itu ialah penasihat ekonomi negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merdeka: PAS kutuk kibar bukan Jalur Gemilang

Harakahdaily, 01 Sep 2012

KUALA LUMPUR: PAS tidak boleh menerima sama sekali tindakan sesetengah pihak yang menaikkan bendera bukan Jalur Gemilang pada sambutan ambang kemerdekaan malam semalam.

"PAS menuntut siasatan dijalankan serta merta untuk mencari dalang tersebut. Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai oleh rakyat Malaysia," tegas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah menafikan penglibatan Pakatan Rakyat dalam isu menaikkan bendera Sang Saka Bangsa oleh pihak tertentu pada himpunan Janji Demokrasi di sekitar Dataran Merdeka malam semalam.

Tangisan puisi seorang sasterawan

-, 01 Sep 2012



Malam Ulang Tahun Merdeka – 31 Ogos itu -  begitu indah dengan awan berarak perlahan-lahan, udara segar dan ramah menggapai rakyat berbaju kuning  yang berhimpun aman untuk ‘Janji Demokrasi’ di depan Dataran Merdeka.

Jam Besar Dewan Bandaraya berbunyi setiap sejam sekali, seperti bernostalgia mengingatkan kembali detik penting sejarah negara, ketika bendera Union Jack diturunkan dan dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbolis berakhirnya era penjajahan British di tanah air kita dan bermulanya era merdeka.

Pada masa itu – 31 Ogos lalu – Sasterawan Negara, A. Samad Said masih muda Singapura, namun bakatnya sebagai penulis sudahpun menyerlah. Beliau ikut serta dalam gelombang perjuangan Angkatan Sasterawan ‘50, sebuah badan penulis yang mengukir sejarah kerana ikut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dan keadilan sosial untuk rakyat.

Gelombang Asas ’50 itu dipelopori oleh Usman Awang,  Kris Mas, Asraf Haji Abd Wahab, A. Samad Ismail, Masuri S.N. dan lain-lain – sasterawan yang sentiasa berada di tengah rakyat.

Demikianlah perjuangan Asas ’50 yang sangat momental, yang disertai oleh A. Samad Said. Ertinya, sasterawan seperti beliau sejak sekian lama memperjuangkan kebebasan rakyat dan perjuangan itu masih diteruskannya.

Oleh itu – lebih 50 tahun - kemudian - ketika beliau mendeklamasikan puisi ‘Janji Demokrasi’ di depan Dataran Merdeka pasa malam 31Ogos lalu, di depan puluhan ribu rakyat berbaju kuning itu, adalah lanjutan dari perjuangannya masa lalu.

Malam itu, Sasterawan Negara itu membacakan puisinya dengan linangan air mata, mungkin mengingat perjuangan getir rakyat masa lalu untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan.

Namun apa yang berlaku sekarang, lebih setengah abad tanah air merdeka. Negara berdepan dengan kebejatan politik, rasuah dan penyelewengan serta semakin terhakisnya kebebasan. Inilah yang ditangisi oleh Sasterawan Negara seperti A. Samad Said.

Saya juga membayangkan malam itu, andainya tokoh pejuang kemerdekaan masa lalu – Ishak Haji Muhamad, Dr. Burhanudin, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakub dan lain-lain  - berada di Dataran Merdeka ketika itu, bagaimanakah mereka menyaksikan semuanya itu.

Berapa ramaikah mereka yang mengingat nama-nama besar pejuang kemerdekaan itu dalam suasana pelbagai media hanya menonjolkan nama-nama pemimpin politik yang berkuasa.

Mengikuti perjuangan sasterawan besar itu sejak setengah abad lalu, malah pernah belajar menulis dengannya, juga bekerja dibawahnya,  saya terkesan bahawa A. Samad Said telah memanfaatkan bakat alam dan intelektual  yang dianugerah Allah kepadanya untuk menjadi jurubicara rakyat, memperjuangkan hak dan kebebasan mereka.

Puisinya 'Janji Demokrasi' itu sangat mengesankan, mempunyai nilai estatika dan kemanusiaan yang tinggi dengan dilatarai pengamatan tajamnya terhadap kehidupan ini dan bagaimana ia menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan dalam suasana yang sedemikian rupa.



(A. Samad Said di tengah orang ramai)


Amatilah puisinya itu

Janji Demokrasi:

Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang
mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,
menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: “Janji Demokrasi!”
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!




Puisi ‘Janji Demokrasi’ itu mampu berdiri sendiri dengan gagahnya seperti hero filem ‘Walking Tall’, Joe Don Baker, bekas sarjan polis dengan cotanya bertindak seorang diri hendak memerangi rasuah dan kebobrokan masyarakatnya di sebuah bandaraya di Amerika. Walaupun ia tewas di tangan mafia, namun sarjan itu menjadi simbol sebuah perjuangan.

Malam Himpunan Janji Demokrasi yang dianjurkan oleh Gabungan Janji, yang merupakan gabungan kira-kira 47 NGO sekali lagi menyerlahklan A. Samad Said sebagai ikon bukan saja kepada anak muda, tetapi juga kepada civil society - masyarakat madani – pelbagai bangsa dan agama, yang sangat cintakan tanah airnya dan dalam masa yang sama sangat peka dengan hal-hal kebebasan, hak-hak rakyat dan keadilan.

Saya yakin masih tetap  wujud sejumlah penulis yang bersama-sama mendukung perjuangan ini yang menjadikan penulisan sebagai wahana perjuangan menuntut kebebasan dan keadilan.

Saya percaya A. Samad Said sebagai sasterawan tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Perjuangannya didukung oleh oleh rakyat prihatin semua generasi yang cintakan kebebasan dan keadilan.

Malam Himpunan Janji Demokrasi itu bertujuan untuk 'mengingatkan' kerajaan mengenai segala janji yang belum ditunai terhadap tuntutan BERSIH untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Namanya itu sendiri sebagai satu ingatan selaras dengan tema sambutan rasmi sambutan hari Kebangsaan, iaitu 'Janji Ditepati'.

Kini, Sambutan 31 Ogos telah berlalu, jam besar di depan Dataran Merdeka akan terus berbunyi dan ia tahu kepada siapa ia berbunyi. Sementara segala yang ada di situ akan terus menyaksikan bagaimana rakyat Malaysias meneruskan kehidupan ini.

Iran gesa NAM ambil peranan di Syria

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 01 Sep 2012


[NAM tidak dapat mencapai persetujuan mengenai krisis yang berterusan di Syria -AFP]


TEHRAN: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata bahawa negara-negara membangun mempunyai hak yang lebih besar daripada Barat atau PBB untuk membantu menyelesaikan perang sivil yang makin mengganas  di Syria.

Komen tersebut dibuat Jumaat lalu di akhir sidang kemuncak NAM di Tehran, persidangan yang melibatkan 120 negara yang tidak cenderung kepada mana-mana kuasa besar dunia semasa Perang Dingin.

Iran berharap untuk menggunakan sidang kemuncak NAM untuk menolak campur tangan asing dalam krisis Syria dan juga untuk menentang usaha Barat menggagalkan program nuklear Iran.

"Pergerakan Negara-negara Berkecuali pasti mempunyai hak politik yang lebih dari AS, NATO atau beberapa negara Eropah untuk campur tangan dalam isu Syria," kata Khamenei.

Beliau tidak mengulas lanjut mengenai  peranan yang sepatutnya dimainkan pergerakan tersebut.

Jumaat lalu, Ban Ki-moon, Setiausaha Agung PBB, memberitahu Perdana Menteri Syria, Wael al-Halaqi bahawa peperangan mesti dihentikan di Syria "dengan tanggungjawab utama adalah dari pihak kerajaan untuk berhenti menggunaan senjata berat".

Dalam satu mesyuarat di luar sidang kemuncak NAM dengan Halaqi dan Walid Muallem, Menteri Luar Syria, Ban berkata beliau membentangkan "permintaan supaya semua pihak menghentikan segala bentuk keganasan".

"Apa yang penting pada masa ini ialah semua pihak mesti menghentikan keganasan. Semua pihak yang terlibat menyediakan senjata kepada kedua-dua pihak ... mesti berhenti," ujar Ban ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen Iran.

Tiada perjanjian

Wartawan Al Jazeera, Imran Khan, melaporkan dari Tehran, berkata Menteri-Menteri Luar NAM sebelum ini telah bersetuju dengan draf kenyataan untuk menamatkan krisis di Syria, draf yang mengandungi penentangan campur tangan asing dan mengalu-alukan utusan PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi.

Bagaimanapun, Khan berkata draf kenyataan itu tidak menjadi kenyataan rasmi dan tidak disebut langsung selepas mesyuarat tertutup ketua-ketua negara yang berlangsung selepas mesyuarat Menteri-Menteri Luar NAM Jumaat lalu.

Khan menegaskan bahawa 'persidangan ini tidak sepatutnya berlegar di sekitar isu Syria ... ia adalah berkenaan resolusi untuk negara-negara membangun ".

"Walau bagaimanapun, Syria telah menjadi isu dominan sepanjang persidangan ini dengan komen dari Presiden Mesir Mohamed Morsi dan komen Ban Ki-moon," katanya.

Khamis lalu, Morsi berkata ia merupakan "kewajipan etika" untuk menyokong rakyat Syria menentang "rejim yang menindas" di Damsyik.

Komen beliau itu mencetuskan protes dari delegasi Syria, apabila mereka melangkah keluar dari dewan persidangan.

Pertempuran terus berlarutan


Pertempuran sengit terus berlarutan di utara Syria Jumaat lalu dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (International Committee of the Red Cross)  memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di sana makin merosot dengan cepat.

Pertempuran berlaku di bandar Aleppo, yang terletak 50km dari sempadan Turki. Kumpulan penentang pula menyerang pangkalan udara Abu Zohur di wilayah Idlib di mana mereka mendakwa mereka menembak jatuh sebuah kapal terbang perang MiG Khamis lalu, lapor sebuah kumpulan hak asasi.

Pertempuran itu antara pertempuran yang paling sengit, melibatkan kumpulan penentang dan askar tentera di Albu Kamal, sebuah bandar di wilayah timur Deir Ezzor, kata Rami Abdel Rahman, pengarah Badan Pemerhati Hak Asasi Syria.

"Kumpulan penentang  telah merampas beberapa pos kawalan tentera, termasuk satu pangkalan di lapangan terbang tentera Hamdan," Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP.

Konflik di Syria telah mengorbankan lebih daripada 26,000 nyawa sejak ia bermula Mac tahun lalu, menurut Badan Pemerhai Hak Asasi Manusia Syria, sebuah kumpulan aktivis yang berpusat di UK.

Iran, sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad, menuduh Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar dan Turki membekal senjata kepada Syria.

Kumpulan penentang  Syria dan pegawai-pegawai AS pula mendakwa bahawa Iran memberi bantuan ketenteraan kepada Assad.

Bas: Nik Aziz kesal, Anwar teruskan jelajah

Rizal Tahir, 01 Sep 2012


(Anwar dan Wan Azizah melihat bas yang disimbah cat dan dibaling batu)

KOTA BHARU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan meneruskan program Jelajah Merdeka walaupun bas yang dinaikinya telah diserang manakala Menteri Besar Kelantan kesal ianya berlaku di negeri itu.

Ketika memberitahu Harakahdaily, beliau berkata peringkat permulaan laporan polis dibuat, kemudian program jelajah itu akan diteruskan mengikut jadual.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu meninjau bas yang dinaikinya yang telah disimbah cat dan dilontar dengan benda keras pagi tadi.

Bas berkenaan masih berada di bandar Kota Bharu, berhampiran Masjid Al-Baroah dan Pasar Siti Khadijah.

Beliau memberitahu lagi, perkara itu telah menjadi biasa baginya memandangkan pernah diserang sebelum ini dengan kereta yang dinaiki.

“Saya dah biasa kena serang sebelum ni dibaling batu.

“Saya tidak  akan patah semangat dengan kejadian ini dan program jelajah merdeka ini akan diteruskan selepas ni ke Grik, Perak pulak,”ujarnya.

Sementara itu,  Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meninjau perkembangan bas melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu.

Tuan Guru pula berkata kejadian itu berlaku berpunca dari manusia yang hilang fikiran sehingga ‘memuja’ nafsu.

Menurutnya, nafsu pada manusia ini ada dua, ada buruk dan taqwa.

“Tetapi bila manusia memilih ajaran secular berbanding Islam, perkara sedemikian pasti akan berlaku.

“Bagaimanapun, pejuang ulama terutama para Nabi telah mendahului kita menerima ujian ini,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan perasaan ‘malu’ dan kecewa memandangkan perkara itu berlaku di Kelantan.

Tambahnya, sedangkan pertelingkahan antara PAS dan Umno telah lama reda berikutan kedua pihak tidak menghianati antara satu sama lain.

“Tiba-tiba perkara ini berlaku di Kelantan, tapi saya tahun ianya datang dari luar,”ujarnya.

Tweet #Merdeka55: Najib dimalukan lagi oleh Rais?

Harakahdaily, 01 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Nampaknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disusahkan lagi oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam sambutan Merdeka kali ini.

Bermula daripada slogan Janji Ditepati yang tidak diterima ramai kepada low class logo, kemudian lirik lagu “kini masa balas budi” dan kini kejayaan yang diwar-warkan Rais dalam mengumpul 3.6 juta tweet #merdeka55 melalui laman twitter.com dalam masa sejam bermula pukul 8.15 malam semalam.

Kejayaan yang diwar-warkan Rais disangkal oleh para pengguna Twitter, yang mengemukakan pelbagai bukti bahawa rekod 3,611,323 tweet patriotik kepada perdana menteri sempena sambutan Merdeka mungkin dihasilkan oleh bots – perisian komputer yang mengawal sejumlah akaun Twitter yang berlainan dan bukannya asli.

Sebagai contoh, tweet berbunyi “Selamatkan Malaysia. Jauhi dri segala ancaman y memudaratkan msa depan cucu kami. Salam #merdeka55. We support @NajibRazak” telah ditulis pada masa yang sama oleh berpuluh-puluh akaun.

Jika anda tidak percaya – cuba lakukan search “Selamatkan malaysia. Jauhi dri segala ancaman y memudaratkan msa dpan cucu kami” dan saksikan sendiri berapa “rakyat” Malaysia yang menaip benda yang sama pada masa yang sama.

Begitu juga tweet yang berbunyi - “Sambutan Ulang Tahun #Merdeka55 terbaik”.

Lihat juga berapa “orang” yang pada masa yang sama sedang menikmati mee kari di Queensbay Mall Pulau Pinang sambil menghantar tweet #Merdeka55 dengan melakukan search ini:

“Eating mee curry in Queensbay at the foodcourt and "Keranamu Malaysia" song being played”

Lebih kelakar lagi, apabila mesej sedemikian diulang oleh akaun Najib sendiri (lihat gambar kiri).

Bernama semalam melaporkan bahawa Rais menyatakan bahawa sejumlah 10,128 orang terlibat menghantar tweet di dalam majlis sambutan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Lebih menakjubkan, jumlah 3,611,323 juta tweet dalam tempoh sejam itu kata laman berita itu, telah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records dalam kategori tweet terbanyak dan juga perhimpunan tweet terbesar.

Ketika para pengguna Twitter menyindir penggunaan bots untuk #Merdeka55, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula seolah-olah mengaku dengan menyatakan kekesalannya terhadap berita bahawa ‘bots’ yang sedang menghantar tweet #Merdeka55.

Tulis Khairy, “Disappointing news about some of the bots' tweeting. But even without that #Merdeka55 was great. Well done to all who took part!” tulis beliau.  (Kecewa dengan berita bahawa bots yang sedang menghantar tweet. Tapi tanpa itu juga, #Merdeka55 adalah hebat. Tahniah kepada semua yang menyertai.)

Sementara itu, seorang pengguna Twitter Aisehman berkata tanpa menggunakan bots sebenarnya matlamat Najib untuk mencapai 1 juta tweet yang sahih mudah dicapai.

“Sungguh kesian. Ini idea siapa?” tanya beliau. Mungkin Rais ada jawapannya seperti logo, slogan dan lirik Merdeka yang penuh kontroversi sebelum ini.

Sementara itu, menurut Malaysiakini firma kajian Twitter Politweet.org berkata sebanyak 38 peratus daripada tulisan dengan label hashtag #Merdeka55 di Twitter itu mungkin dihasilkan oleh bots – perisian yang mengawal sejumlah akaun Twitter yang berlainan.

Kajian itu, katanya adalah melalui sampel daripada sebanyak 107,000 tweet yang dikumpul daripada 19,000 pengguna sempena sambutan Merdeka semalam.

Sebanyak 38 peratus daripada tweet berkenaan dihasilkan daripada 14 peratus pengguna yang kesemuanya menggunakan perisian TweetDeck, yang membolehkan seseorang mentadbir pelbagai akaun dalam satu masa.

"Ia bermakna 41,000 tweet (diterima) daripada 2,761 pengguna," tambahnya.

Iklan Teks

Gelombang Sabah beri harapan besar kepada rakyat – TG Hadi

Harakahdaily, 01 Sep 2012


(Ustaz Hadi berucap dalam majlis sambutan Aidil Fitri, Pakatan Rakyat Sabah)

BEAUFORT: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata gelombang baru Sabah di mana wakil rakyat mula meninggalkan BN telah memberi harapan besar kepada rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan.

Berucap di Xpresi Anak Muda Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Negeri Sabah pagi tadi, Abdul Hadi juga menyentuh soal komitmen Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat dan membina masa depan negara yang adil dan telus.


(Nasrudin memberikan ucapan)


“Ini sesuai dengan (keperluan) masyarakat majmuk. Sabah dengan gelombang baru apabila seorang demi seorang meninggalkan BN seperti Datuk Panglima Lajim memberi harapan besar kepada rakyat Sabah untuk bangkit melakukan perubahan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan betapa perlunya untuk rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan dalam pilihanraya ke 13.

Perkara itu, tegas Nasrudin, penting untuk mengembalikan hak rakyat yang sering dinafikan oleh BN melalui amalan rasuah dan kronisme.

“Jadikan semangat Aidilfitri sebagai simbol mencari kemenangan ke arah membina negara baru yang sejahtera dari korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” saran beliau.


(Ustaz Hadi bersama Datuk Seri Panglima Lajim dan lain-lain pimpinan Sabah)



(Pimpinan Pemuda PAS yang datang ke Sabah bergambar di lapangan terbang)




(Gambar kenangan di tapak program)