Rabu, 1 Februari 2012

BABI DAN ANJING SATU HAL...HUKUM ALLAH BAGAIMANA...ZINA MERATA2 BAGAIMANA...RASUAH DAN RIBA MACAM BUDAYA...TAK SOLAT..JUDI..BUKA AURAT DI TV2...SELAMBA AJE...MANA TUKANG CEGAHNYA...MANA PIHAK BERWAJIBNYA...NAK JADI SYAITAN BISUKE...GAJI BESAR2..KERUSI EMPUK..BILIK HAWA DINGIN...KERETA MEWAH MENJALAR2..HINGGA MULUT TERKATUP RAPAT...

DAP kecam hebat letak babi di masjid

Harakahdaily, 01 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 1 Feb: DAP mengecam hebat pihak yang terbabit dalam meletakkan kepala babi di sebuah Masjid Nurul Iman, Rawang semalam.

Bagi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, tindakan ini satu tindakan pengecut dan provokasi yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama di ambang pilihan raya umum.

"DAP mengecam hebat insiden ini dan berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti ini yang bertentangan dengan sifat masyarakat kita yang aman dan berbilang budaya," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.

(Gambar: Polis membawa keluar kepala babi yang diletak atas alas kaki masjid Nurul Iman, Rawang)

Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Pihak polis sehingga kini belum menemui sebarang petunjuk untuk mengenalpasti siapa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.

Timbalan Ketua Polis Gombak, Superitendan Rosly Hassan ketika bertemu dengan pemimpin PAS Selangor berkata, tiada sebarang bantuan teknikal mereka perolehi untuk membantu mengenalpasti siapa bertanggungjawab di sebalik tindakan ini.

DAP menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat.

Namun demikian, mereka tidak akan mencapai objektif jahat mereka kerana rakyat Malaysia bukan sahaja sudah biasa hidup bersama malah suka meraikan kepelbagaian budaya dan agama di negara ini, katanya.

"Keamanan masyarakat kita tidak akan hancur dek tindakan-tindakan pengecut oleh puak pelampau," katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyeru agar semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat beribadat, biarpun masjid atau gereja atau kuil, dan berharap agar pihak Kerajaan akan serta merta menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.



Nasib stadium sudah jatuh ditimpa tangga

Khairul Azlam Mohamad, 01 Feb 2012
KUALA TERENGGANU, 1 Feb: PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri segera mengumumkan kepada rakyat sama ada Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) masih boleh diperbaiki atau wajar dirobohkan sahaja.

Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata kejadian malang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta dan bumbungnya runtuh amat memalukan seluruh rakyat Terengganu.

(Gambar fail: Stadium SSMZA yang berharga RM292 juta runtuh bumbungnya dan kini kecurian peralatan RM50 juta.)

Malah, katanya lebih malang lagi setelah dua tahun ‘terbiar’ sepi pelbagai peralatan pendawaian elektrik, sistem elektronik, dua set jana kuasa serta kelengkapan lain dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Inilah kata orang, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ nasib yang dialami oleh stadium (SSMZA) kita. Bila dah dua tahun terbiar sepi berlaku pula kecurian kepada peralatan dan harta benda stadium.

“Buat (SSMZA) mahal, kos RM292 juta tidak lebih setahun guna runtuh bumbung dan ini memalukan rakyat dan Tuanku (Sultan) sendiri.

“Kita (PAS) minta pihak kerajaan negeri jelaskan (umum) sama ada stadium ini masih boleh diperbaiki atau perlu dirobohkan sahaja dan buat yang lain (baru),” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa isu di pejabat PAS Terengganu, semalam.

Menurutnya, kecurian peralatan stadium tersebut dilaporkan bernilai RM50 juta berlaku sejak tahun 2010 lagi selepas sebahagian bumbung runtuh.

Katanya, pihak berkuasa sebelum ini telah membiarkan keadaan struktur bumbung stadium yang runtuh itu selama lebih dua tahun.

Dr Alias menyifatkan ‘kelembapan’ pentadbiran kerajaan negeri dengan membiarkan lebih dua tahun bumbung stadium runtuh akhirnya merugikan rakyat.

“Dua tahun tidak diusik keadaan bumbung stadium runtuh, ‘dok soh ke nok’ baiki, barang (peralatan) pun kena curi. Akhirnya rakyat juga yang rugi.

“Saya pun pelik, macam mana dengan ada pengawal keselamatan barang boleh kena curi termasuk dua set jana kuasa yang bernilai RM70,000 seunit,” ujarnya.
Katanya, PAS melahirkan rasa dukacita dan mahukan siasatan segera dilakukan serta mendakwa mana-mana pihak yang bertanggungjawab mencuri harta rakyat.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah sebahagian dari Kompleks Sukan Gong Badak yang bernilai RM500 juta mula dibina pada Mei 2006 dan siap tahun 2008 serta pernah dijadikan lokasi pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12.

(Gambar fail: YDP PAS Kemaman, Ismail Harun meninjau keadaan bumbung Masjid Baru Batu Putih Kertih yang runtuh.)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata isu stadium tersebut sering kali dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu oleh PAS.

“Kita (PAS) acap kali bawa isu stadium ini di Dewan Undangan Negeri. Kita bukan menentang pembangunan (stadium) tetapi menentang penyelewengan dan rasuah yang boleh menyebabkan runtuhnya pembangunan itu,” jelasnya.

Bahkan, katanya jawapan lisan Exco kerajaan negeri ketika itu Dato’ Yahya Khatib Mohamad mengatakan banyaknya berlaku ‘keruntuhan’ di Terengganu kerana banyaknya pembangunan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepanjang tempoh dua penggal kerajaan BN Terengganu memerintah negeri pelbagai kejadian berlaku termasuk bumbung masjid runtuh di Kertih, bumbung terminal bas runtuh di Kuala Berang, menara telekomunikasi tumbang di Hulu Besut, Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai di Ajil runtuh dan banyak lagi.

Kaji semula operasi Muzium Pengangkutan Melaka

Ahmad Danial, 01 Feb 2012
JASIN, 1 Feb: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Yuhaizad Abdullah mencadangkan kerajaan negeri supaya mengkaji semula sama ada ingin meneruskan operasi Muzium Pengangkutan Melaka atau menutupnya bagi mengelakkan duit rakyat terus dibazirkan.

Yuhaizad berkata, sehingga sekarang muzium tersebut gagal menarik pelancong untuk melawatnya disebabkan tidak ada sesuatu yang menarik minat mereka untuk berbuat demikian.

"Apa yang hendak mereka tengok kalau tak ada yang menarik dan unik di muzium tersebut, lagipun kereta-kereta yang dipamerkan di muzium itu biasa-biasa sahaja," ujar beliau.

Menurutnya, kos penubuhan muzium itu adalah RM198,900 manakala kos operasinya melibatkan ribuan ringgit sebulan.

"Sebagai contoh emolumen bagi bulan April hingga Jun 2010 adalah RM3,840.59 iaitu RM986.53 bagi bulan April, Mei (RM986.53) dan Jun (RM1,444.03).

“Perbelanjaan bagi utiliti pula dari April - Jun 2010 adalah berjumlah RM784.23 manakala kos kawalan keselamatan pada Jun 2010 adalah berjumlah RM1,946.67," ujar Yuhaizad.

Yuhaizad yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin juga  berkata jumlah pelawat yang datang ke muzium tersebut amat sedikit hingga sekarang dan ianya tidak dapat menampung kos operasi muzium tersebut.

"Maka sudah tentu lenbih banyak duit rakyat akan dibazirkan jika muzium ini terus beroperasi dan kita tidak nampak ianya dapat dipopularkan dalam masa terdekat.

"Ternyata ini satu lagi bukti kelemahan kerajaan negeri kerana tidak membuat kajian terperinci sebelum memulakan sesuatu projek dan program sehingga akhirnya duit rakyat hangus begitu sahaja," ujar beliau.

Menurutnya, akibat kegagalan kerajaan negeri membuat kajian dan analisis yang terperinci dan tepat terhadap sesuatu projek maka hutang kerajaan negeri melonjak tinggi kerana banyak projek tidak memberikan manfaat dan keuntungan kepada kerajaan negeri dan rakyat.

Pihak berkepentingan letak kepala babi di masjid

Harakahdaily, 01 Feb 2012
SELAYANG, 1 Feb: PAS yakin pihak yang terlibat dalam kejadian meletakkan kepala babi di pintu masuk Masjid Nurul Iman, Rawang pagi semalam adalah pihak yang berkepentingan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, hanya pihak berkepentingan saja yang akan membuat kerja seperti itu.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu. (Gambar bawah)

Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Khalid meminta pihak polis siasat terperinci kes ini kerana selama ini kawasan Rawang ini aman dan tenang.

Permintaan itu dikemukakan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam kepada Timbalan OCPD Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan dan pegawai penyiasat kes itu dalam pertemuan mereka di IPD Gombak, pagi ini.


"Pakatan Rakyat tak untung apa-apa dengan kes sebegini bahkan akan rugi...jadi kita harap ia diselesaikan dengan segera," beritahu Khalid kepada wartawan selepas pertemuan itu.
Khalid berkata, pihak polis sehingga ini masih belum mendapat apa-apa klu pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini.

Ini kerana tiada sebarang bantuan teknikal yang diperolehi bagi membantu polis mengenalpasti siapa bertanggungjawab kerana tiada cctv dan seumpamanya di sini.

"Namun polis percaya ia bukan dicampak tetapi diletakkan dengan baik di atas tempat alas kaki plastik masjid itu," beritahu Khalid kepada media selepas pertemuan itu.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah Zaidy Talib (YDP PAS Selayang), Fauzan Mazlan (Ketua Pemuda PAS Selayang) dan beberapa pimpinan PAS tempatan lagi.

Dalam pertemuan itu, Zaidy melahirkan kebimbangan kalau-kalau pihak berkepentingan cuba melaga-lagakan penduduk tempatan yang berada dalam harmoni sekarang.

Fauzan Mazlan pula bimbang kalau-kalau kejadian di Kampung Medan, Petaling Jaya sebelum ini berulang di sini.

"Sampai sekarang Kampung Medan masih belum reda dan kita bimbang ia merebak ke sini," kata Fauzan.

Kepala babi: PAS Selangor lawat Masjid Nurul Iman

Harakahdaily, 01 Feb 2012
SELAYANG, 1 Feb: PAS Selangor mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Masjid Nurul Iman di Batu 18, Rawang, pagi ini ekoran satu kepala babi ditemui di pintu masuk masjid itu, pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Khalid Samad mengetuai lawatan itu dan mengadakan perbincangan dengan pihak masjid yang disertai nazir masjid, Ilham Akhbar Harun. Yang Dipertua PAS Selayang, Zaidi Talib turut serta dalam pertemuan itu.

Selepas mengadakan perbincangan, mereka pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi mendapat maklumat berhubung kejadian pagi semalam itu.

Khalid meminta pihak polis menjalankan siasatan rapi dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap perbuatan keji itu serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.


Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.

Mereka kemudiannya telah meninggalkan masjid itu setelah mengambil bahan bukti serta menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, manakala kes itu pula akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.
Dalam pada itu, nazir masjid telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.

PAS Pahang sokong bantah korporat JBA

Khairil Abdul Rahim, 01 Feb 2012
TEMERLOH, 1 Feb: PAS Pahang menyokong tindakan 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang membantah pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari atau ditangguhkan.
Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang, Hassanuddin Salim (gambar) berkata, malah PAS menyokong jika mereka mahu mengadakan bantahan terbuka kerana tiada langsung rundingan rasmi melibatkan wakil kesatuan sehingga menimbulkan tanda tanya sesama mereka.

“PAS menganggap kerajaan negeri tidak sepatutnya membelakangkan kakitangan JBA untuk mengkorporatkan agensi itu kerana ia melibatkan masa depan mereka,” katanya.

Hassanuddin berkata demikian mengulas tindakan kakitangan jabatan tersebut yang mengisytiharkan akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka ditangguhkan pengkorporatan dan penswastaan agensi itu tidak dipedulikan.

Menurut perancangan, JBA akan diswastakan dengan nama Perbadanan Air Pahang (Paip) berkuatkuasa pada 1 Februari ini.

Pada masa ini kutipan hasil air merupakan pendapatan kerajaan negeri yang ketiga selepas tanah dan balak.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mewakili kakitangan JBA berkata, penangguhan pengkorporotan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional tersebut.

Omar menambah, Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

“Bayangkan, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

“Ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya,” sebagaimana dipetik media.

Beliau turut merayu Menteri Besar Pahang menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan tersebut sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak.

Sementara itu Hassanuddin berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar sehinggalah rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

"Sepatutnya, selesaikan dahulu isu SBPA sebelum meneruskan agenda mengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa banyak menimbulkan tanda tanya kakitangannya sendiri pekerja bertaraf kontrak selepas ini.

“Walau sebaik manapun yang dirasakan pihak kerajaan melalui pengkorporatan ini, jika tidak berunding secara mendalam dengan kakitangan itu tidak betul kerana ia membabitkan masa depan mereka.

“Satu hal lagi, selepas pengkorporatan kemungkinan rakyat akan dibebankan pula dengan bil yang tinggi. Jadi ini nampak kerajaan mahu melepaskan tanggungjawab ini kepada swasta," katanya.

Tambah Hassanuddin, isu yang sebenar ialah Kerajaan Negeri Pahang mesti menyelesaikan masalah air yang begitu kritikal di sesetengah tempat walaupun negeri ini mewah dengan sumber air mentah.

Jenazah Shafri selamat disemadi malam tadi

Harakahdaily, 01 Feb 2012
GOMBAK, 1 Feb: Jenazah wartawan Harakah, Mohamad Shafri Shamsudin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu di sini kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi.

Sebaik jenazah selesai dikebumikan, Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom menyampaikan tazkirah.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid As-Syarif, Simpang 3 di sini.

Hampir 100 orang terdiri daripada kalangan ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan serta pimpinan Pakatan Rakyat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sebelum itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, Datuk Mustafa Ali turut menziarah jenazah Allahyarham di kediaman ibunya di Kampung Batu 6, Gombak. (Gambar)

Selain Mustafa yang juga Setiausaha Agung PAS, turut meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir adalah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor.

Antara pimpinan PKR pula adalah presiden dan naib, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tian Chua serta ketua wanita, Zuraida Kamaruddin.

Safri, 42, meninggal dunia kira-kira jam 5.37 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat mengidap barah hati.

Beliau dimasukkan ke HKL dan menerima rawatan sejak 24 Januari lalu.

Keadaannya mula koma sejak pagi semalam sebelum menghembuskan nafas terakhir di hadapan keluarga terdekatnya di samping rakan-rakan dari Harakah, petang semalam.

Beliau meninggalkan lima anak yang berumur antara lapan hingga 16 tahun dan isteri, Puan Sharifah Nurhayati Al Yahya.

Antara pemimpin PAS terakhir yang sempat melawatnya di hospital sebelum ini termasuklah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, dan Salahudin Ayub.

Tuhan, agenda-Mu sangat pasti, Shafri sudah tiada

Harakahdaily, 01 Feb 2012
Bagi pihak pimpinan dan seluruh ahli PAS, saya mengucapkan takziah terhadap keluarga allahyarham Shafri yang telah kembali ke rahmatullah. Kembalinya seorang wartawan yang dedikasi dan petugas sepenuh masa parti merupakan satu kehilangan besar yang pastinya terkesan kepada jiwa-jiwa yang mengenali secara dekat dan jauh.

Beliau pergi menuruti Allahyarham Pak Syed Muhammad yang juga petugas sepenuh masa parti, dan terlibat sama dalam organisasi Harakah di awal pembentukan Harakah di bulan yang sama ini, pastinya sukar dicari ganti.

Walaubagaimanapun, PAS mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga beliau, yang sepanjang hayatnya diserahkan sepenuhnya tenaga bagi menggerakkan jentera penerangan dan dakwah parti melalui akhbar Harakah dengan mengorbankan masa bersama keluarga. Semoga amalan yang baik ini, berpanjangan pahalanya dan semoga Allah memberi kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai beliau. Al-Fatihah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Saudara  Mohamad Shafri Shamsudin, staf Harakah yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.37 petang di wad 26 Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Pemergian beliau satu kehilangan buat rakan media khususnya rakan Harakah yang banyak membantu perjuangan melalui tulisan dan buah tangan reka bentuknya. Pemergian beliau adalah akibat penyakit kanser hati yang dihidapi beliau.
Semoga Allah mencucuri rahmat, mengampuni dosa dan menerima perjuangan beliau untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini.
Ya Allah, cucuri rahmat-Mu, dan tempatkan beliau bersama para solehin. Amin.
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: