Sabtu, 13 Ogos 2011

PERKARA NI BERLAKU ADA HIKMAHNYA..RAKYAT TAHU MEMANG SUSAH UNTUK MENDAPAT ZAKAT.MACAM NAK BERHUTANG..DAPAT BERJUTA2..KELUARNYA BERAPA..ALLAH SAJA TAHU

Bekas komando TUDM pula dedah penipuan undi pos
Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 12 Ogos: "Saya berani tanggung risiko kerana menegakan kebenaran. Buat apa takut untuk berhadapan dengan penipuan sebab merekalah yang sebenarnya patut malu kerana bertindak sebagai pengkhianat memangkah undi pos tanpa pengetahuan si pengundi," ujar pesara komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Kamel Haji Omar (gambar) yang berpangkalan di Butterworth.

Beliau ketika menceritakan detik-detik yang berlaku pada pilihan raya umum ke-10 iaitu tahun tsunami politik Malaysia 1999 menjelaskan, undi pos memang talian hayat Umno dan Barisan Nasional (BN) seandainya rakyat berpaling tadah tidak menyokong parti pemerintah.

Jelasnya, semua itu berlaku di hadapan matanya sendiri ketika diberikan amanah menjaga uncang undi pos sebelum dibawa ke tempat pengiraan.

Menurut beliau, tidak dinafikan memang tiada penipuan ketika dihari pengundian secara pos kerana ada wakil parti yang bertanding tetapi ianya berlaku setelah uncang berkenaan dikumpul untuk dibawa di hari pengundian sesuatu pilihan raya sebenar.

"Di hari tersebutlah pegawai dan orang pangkat bawah bertungkus lumus buat kerja memangkah kertas undi yang tiada bertuan atau lebihan kertas undi kerana si pengundi berpindah tempat kerja atau tidak datang menunaikan amanah kepada negara," tambahnya.

Contohnya, kata beliau satu uncang itu patut diisi 1,500 pengundi pos tetapi yang datang mengundi sekitar 1,000 orang sahaja. Maka, lebihan 500 undi lagi dipangkah oleh individu lain.

Beliau terkejut apabila melihatnya sendiri setelah kembali dari tugasan mengambil uncang undi pos daripada pasukan lain seperti tentera laut dan darat di sebelah pulau untuk dikumpul di pangkalan TUDM, Butterworth.

Isu Gereja: Pengurusan Zakat yang Tempang
Riduah Mohamad Nor
ZAKAT merupakan terjemahan daripada keadilan sosial yang telah digariskan oleh Islam sehingga zakat dan solat adalah penegasan yang sentiasa berulang-ulang dalam Al Quran. Jika proses penyempurnaan zakat ini berjalan dengan tuntas maka insyaallah segala inti kemiskinan dapat dihapuskan, begitu juga kesenjangan pendapatan, kesenjangan sosial, keterbatasan mengakses kesihatan, kebodohan, kemurtadan dapat diatasi.

Di negara kita, malangnya pihak pengurusan zakat tidak menunjukkan tahap pengurusan yang cekap dalam mengagihkan zakat sehingga menimbulkan masalah yang lain pula seperti yang tercetus dalam isu murtad yang digembar gembur oleh Umno dan NGOnya mutakhir ini.

Ratusan wang zakat dikutip daripada umat Islam melalui kempen agresif oleh pihak berkuasa zakat namun agihannya secara merata agak mengecewakan, pihak penguasa zakat begitu obses untuk mengutip zakat tetapi tidak begitu mempunyai nafsu berahi untuk mengagihkannya ke akar umbi ‘mustahik’ yang wajib disantuni.

Program-program dakwah dan menyantuni golongan gelandangan sangat perlahan di negara ini. Lihatlah kes murtad yang berlaku di perkampungan-perkampungan orang asal dan juga mualaf yang kembali ke agama asal mereka akibat rasa dikucilkan serta hidup tanpa pencerahan tentang Islam, dimana sepatutnya pihak berkuasa zakat boleh menyediakan pendakwah-pendakwah sepenuh masa yang berkhidmat di kampung-kampung orang asal ini.

Dalam kelemahan inilah maka pihak agama lain mengambil kesempatan turun ke lapangan operasional membantu golongan yang sangat terdesak dan terkepung dengan kemiskinan tegar, terutama melalui NGO kebajikan mereka. DPP Malaysia melihat isu zakat adalah inti kepada akar sosial permasalahan murtad yang berlaku, juga agihan yang tidak seimbang k epada asnaf zakat sehingga menjerumuskan golongan ini kepada situasi yang tidak diingini.

Kemakmuran dan kejayaan zakat pada masa kejayaan Islam, cukup banyak fakta sejarah yang menunjukkan kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. di atas. Dr monzer kahf dalam artikelnya “The economic role of state in Islam(1999)” telah menulis, pada era kegemilangan khalifah Umar bin Khattab (13H-23H), sang khalifah pernah menyelamatkan wilayah Yaman sebagai daerah otonomi yang makmur dan sejahtera kerana tidak adanya mustahik (penerima Zakat).

Ini dibuktikan dengan fakta bahawa gabenor Yaman saat itu, Mu’adz bin jabal, mengirim sepertiga jumlah zakat dari Yaman ke ibu kota pemerintahan Islam, madinah. Yaman terus mencurah kemakmuran dan keberkatan langit, iaitu pada tahun berikutnya, zakat yang dikirimkan ke Madinah terus meningkat menjadi separuhnya. Pada tahun berikutnya, semua hasil zakat yang dikutip dari wilayah Yaman terus dikirim ke Madinah. Yaman merdeka setuntasnya daripada masalah kemiskinan dan kemelaratan, ini semua kerana tidak ada lagi warganegaranya yang layak menjadi” mustahik”.

Bukti kedua yang terakam dilangit sejarah, terjadi pada masa khalifah Umar bin Abdul Aziz (99H-101H). Meski khalifah Bani Umaiyyah ini hanya memerintah dan memimpin umah hanya selama tiga tahun beberapa bulan, tapi pada dua tahun terakhir kepimpinannya, Umar yang juga cicit Saidina Umar al Khattab telah berjaya memberdayakan dan mengoptimalkan peranan zakat. Pemerintah dalam keadaan yang sangat aman apabila zakat diuruskan dengan cekap dan berjaya menutup kegelisahan sosial.

DPP Malaysia mendesak kepada pihak berkuasa zakat dan kerajaan agar serius memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan agihan zakat dapat dialirkan dengan semaksima mungkin kepada asnaf, bukan sekadar cekap memungut kerana zakat adalah solusi terbaik untuk memastikan tanahair ini bebas daripada kemiskinan melampau, buta agama, kesenjangan sosial dan seterusnya memacu ekonomi umat Islam untuk terus berdaya saing dalam dunia global hari ini .

**Riduan Mohamad Nor ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia






Hadis Ke Tiga Puluh Lima : -


LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA


H.R. TERMIZI



Daripada Ali bin Abi Thalib ra ... Rasulullah SAW Bersabda: " Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

5. Anak derhaka terhadap ibunya.

6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya

7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".





Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah SAW ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.


Rusuhan: Hishammuddin buta hati, pekak telinga
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dapat membezakan di antara perhimpunan aman Bersih 2.0 yang bermatlamat murniberbanding rusuhan membakar dan menyamun yang berlaku di United Kingdom (UK).

Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu tidak menjurus ke situasi rusuhan di UK adalah tidak munasabah.

(Sumber: Hisham: Be thankful Bersih not like London riots http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/hisham-be-thankful-bersih-not-like-london-riots/)

Katanya, perhimpunan Bersih 2.0 yang berlaku di Kuala Lumpur (KL) langsung tidak boleh disamakan dengan rusuhan di UK.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh membuat perbandingan antara rusuhan di UK dan himpunan aman Bersih 2.0 di KL.

Di UK, rusuhan telah berlaku secara rambang tanpa sebarang agenda yang jelas atau spesifik melainkan menghasilkan suatu keadaan yang kacau-bilau.

Di KL, perhimpunan Bersih 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang. Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, PDRM, media dan orang awam dari awal-awal lagi. Penganjur Bersih 2.0 telah menegaskan bahawa perhimpunan mereka adalah perhimpunan yang aman dari awal-awal lagi.

Di UK, beratus-ratusan perniagaan dan orang awam telah disamun oleh perusuh. Kehilangan harta benda dianggarkan bernilai berjuta-juta Sterling Pound.

Di KL, tidak ada satu pun laporan kedai disamun oleh penyokong Bersih 2.0. Sebaliknya, kedai yang buka pada hari itu seperti kedai makan minum mencapai perniagaan yang menguntungkan kerana kehadiran beribuan penyokong Bersih 2.0 di KL.

Di UK, berpuluh-puluh kereta dan bangunan telah dibakar dan dirosakkan oleh perusuh menyebabkan keadaan berasap dan membahayakan keselamatan.

Di KL, asap yang wujud berpunca daripada tembakan gas pemedih api oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit atau FRU) ke atas penyokong BERSIH 2.0 yang berhimpun secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air juga ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin di mana penyokong Bersih 2.0 cuba berlindung.

Di UK, perusuh memegang senjata seperti pisau, batu dan “molotov cocktail”.

Di KL, penyokong Bersih 2.0 tidak bersenjata tetapi sekadar memakai t-shirt kuning yang diharamkan oleh Hishammuddin sendiri. Sejak bila t-shirt atau pun warna kuning dapat menggugat keselamatan dalam negeri?

Di UK, perusuh secara aktifnya cuba menyerang dan mencederakan polis.

Di KL, penyokong Bersih 2.0 mengelakkan pertembungan dengan PDRM dan FRU. Tindak balas para peserta Bersih 2.0 bersifat pasif dan tidak agresif.

“Saya ingin menggesa Hishammuddin supaya membuka hati beliau dan mengambil iktibar daripada bagaimana kerajaan dan pasukan polis United Kingdom mengawal keadaaan rusuhan yang sebenar,” kata Teresa dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Di UK, pihak polis hanya menahan 1,000 orang walaupun rusuhan telah berlanjutan selama lima hari.

Di KL, pihak polis telah menahan lebih daripada 1,600 orang dalam tempoh satu hari sahaja hanya kerana mereka cuba berhimpun di pusat bandar secara aman.

Beliau juga merasa kesal kerana Hishammuddin masih buta hati dan tidak insaf walaupun beratus-ratusan rakaman video membuktikan PDRM dan FRU telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan telah dimuat naik ke atas Internet untuk tontonan orang ramai.

“Beliau masih memekakkan telinganya terhadap kutukan keras oleh warga Malaysia dan komuniti antarabangsa dan masih menyokong tindakan PDRM dan FRU,” katanya.

Sehingga hari ini, ujarnya sebulan telahpun berlalu sejak perhimpunan Bersih 2.0 diadakan, Hishammuddin dan PDRM masih gagal membentangkan laporan keganasan PDRM dan FRU kepada orang ramai.

“Apakah ini menunjukkan ketidakcekapan dan kelalaian Kementerian Dalam Negeri dan PDRM dari segi siasatan terhadap anggotan PDRM sendiri?” soalnya.

Tiada ulasan: