Ahad, 7 Ogos 2011

SESUATU NAK DIBUAT KENA BERHIKMAH...MUAFAKAT...JANGAN TERBURU2.....PIHAK ZAKAT PERLU IKUT PERATURAN QURAN DAN HADIS....JANGAN BANYAK BIROKRASI...

Bukan haram umat Islam terima bantuan agama lain...


Asri berkata semua pihak tidak patut menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan “bukan sesuatu haram” jika umat Islam menerima bantuan daripada mana-mana penganut agama lain termasuk Kristian sekiranya terpaksa berbuat demikian.

Bekas mufti Perlis berkata sikap umat Islam yang enggan menghulurkan bantuan sesama mereka menyebabkan ramai golongan miskin terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam.


“Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak Muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.


“Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu,” kata beliau sambil menambah, mana-mana bantuan dibenarkan selagi mengikut peraturan dan undang-undang.


Tegas Asri, beliau difahamkan umat Islam yang hadir dalam satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu adalah untuk mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui pemberian zakat.


Jelas beliau, kemungkinan umat Islam yang hadir itu “terpengaruh” dengan agama Kristan disebabkan sikap baik penganutnya membantu mereka.


“Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin.


“Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’,” katanya.


Asri berkata demikian sebagai respons terhadap laporan dua akhbar berbahasa Malaysia hari ini yang mengatakan pihak gereja menawarkan wang tunai, makanan dan tempat tinggal kepada umat Islam.


Akhbar Berita Harian edisi semalam di bawah tajuk “Sogok wang gadai akidah” melaporkan ada pihak yang berselindung disebalik pertubuhan amal dengan menawarkan pelbagai bantuan kepada umat Islam seterusnya meminta mereka keluar daripada agama itu.


Selain itu, akhbar tabloid Harian Metro juga mengatakan perkara sama di bawah tajuk di muka depan “Kami diberi Bible versi Melayu.”


Akhbar itu mendakwa penganut Kristian menggunakan “pendekatan lembut” untuk menarik umat Islam.


Kontroversi ini berlaku selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tambah Asri, semua pihak tidak sepatutnya menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan, sebaliknya persoalan itu ditanya kepada diri sendiri.

Jelas beliau, sekiranya wang zakat digunakan secara telus mustahil umat Islam perlu meminta bantuan daripada penganut agama lain.

“Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain? Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100 hingga RM200 pun, begitu banyak kerenahnya.

“Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak? Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan mualaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan daripada umat Islam khususnya zakat?” soalnya.

Justeru Asri meminta supaya tidak bersangka buruk kepada pihak yang bersedia menghulurkan bantuan kepada umat Islam.

“Janganlah jika kita gagal membantu sedangkan kita mampu tapi kita menyalahkan orang lain yang membantu. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik.

“Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?,” katanya.


Khairi mesti letak jawatan jika mahu berpolitik
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung aduan salah laku Pegawai Atase Pendidikan Malaysia, Khairi Jalalluddin.

Keputusan itu dibuat setelah delegasi DPPM meneliti dari dekat mengenai aduan mahasiswa Malaysia di Mesir sewaktu ke sana 2 Ogos lalu.

Malah banyak salah laku beliau telah didedahkan di laman sosial facebook "KJ Bocor Fan Club".

Antara contoh salah laku beliau yang dilapor dan didedahkan adalah berusaha untuk memecahkan kesatuan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRM).

Khairi yang merupakan ahli Lembaga Kelab Umno Mesir juga merancang untuk mengheret pelajar perubatan Mesir menyertai kelab tersebut serta berkempen di hadapan mahasiswa supaya mahasiswa menyertai kelab Umno Mesir.

Selain itu Khairi juga mengadu domba agar pihak duta bertembung dengan mahasiswa.

Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam kenyataannya berkata, DPPM memandang serius perkara ini dan memohon pihak KPT menyiasat segala pendedahan yang dibuat oleh KJ Bocor Fan Club.

"Jika Khairi bertindak seperti yang didedah, DPPM mendesak dan menggesa Khairi segera dipanggil pulang dan dikenakan tindakan wajar.

"Jika beliau mahu berpolitik dan mempolitikkan mahasiswa, sila letak jawatan sebagai pegawai atase pendidikan dan beliau boleh kembali ke Mesir atas nama ahli kelab Umno Mesir tanpa perlu berselindung di sebalik jawatan kerajaan," katanya dalam kenyataan yang dibacakan pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Tambahnya juga, Khairi ternyata melakukan tindakan yang bertentangan dengan etika kerja dan bercanggah dengan profesionalisme tugasnya.

"Beliau sepatutnya berperanan memberi khidmat dan membantu peningkatan akademik mahasiswa di Mesir tapi malangnya beliau pergi untuk berpolitik, mengganggu mahasiswa dan mencetus perbalahan di antara pihak mahasiswa dengan pihak kerajaan khasnya kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir," katanya.


Pakatan rangka bajet 'Kesejahteraan Untuk Semua'
Nazri Abdullah

PETALING JAYA, 6 Ogos: Pakatan Rakyat akan membentangkan belanjawan mereka sebagai alternatif kepada Bajet 2012 yang akan diumumkan perdana menteri Oktober ini.

Malah ianya akan dibentang lebih awal berbanding yang akan dibentang Datuk Seri Najib Razak, kata anggota jawatankuasa Pakatan Rakyat, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Selain Dzulkefly, wakil PAS dalam jawatankuasa merangka belanjawan Pakatan Rakyat itu adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakob.

PKR pula diwakili Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua manakala DAP diwakili Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Selain mereka, pakar dalam pelbagai bidang dari pelbagai latar belakang turut dijemput memberi pandangan kepada jawatankuasa ini.

Bercakap pada sidang media di pejabat seketariat Pakatan Rakyat di sini tengah hari ini, Dr Dzulkefly berkata tema bajet pakatan itu adalah "Kesejahteraan untuk Semua".

Tiga terasnya pula adalah bagi meningkatkan pendapatan rakyat, pembangunan ekonomi mampan dan keadilan sosial serta keadilan dari sudut pengagihan wang negara kepada rakyat.

"Meningkat pendapatan rakyat ini bermaksud rakyat boleh berbelanja dan ada duit dalam poket," katanya.

Antara penumpuan juga katanya adalah kepada 60 peratus isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan.

Tambahnya lagi, bajet Pakatan juga mahu melihat kaedah yang dapat mengeluarkan rakyat negara ini dari perangkap kepada golongan berpendapatan sederhana atau Middle Income Trap.

Bagaimanapun, belanjawan ini katanya bukanlah bayangan belanjawan sepenuhnya tetapi lebih kepada pendekatan strategik, seperti dikeluarkan Pakatan pada 2008.

Menurutnya lagi, bajet Pakatan Rakyat menampilkan pendekatan merakyat, berbeza dari kerajaan yang dilihat lebih menumpukan kepada projek berskala besar seperti diumum Najib pada belanjawan 2011 lalu.

Beliau merujuk kepada peruntukan besar kerajaan untuk projek Menara Warisan serta projek My Rapid Transit (MRT) dan beberapa projek berskala besar lain.

Selain itu, bajet kali ini juga jelas ahli parlimen Kuala Selangor itu, akan turut mengambil kira faktor kemelut ekonomi global akibat krisis ekonomi Amerika dan Eropah.


Pilih tuntutan Bersih atau 'kerajaan Mismah'
Abd Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi, tidak hairan jika Umno begitu yakin merampas kembali pentadbiran Selangor, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Jika diambil kira trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu, kita yakin Pakatan Rakyat (PR) dapat mengekalkan pentadbirannya di Selangor.

"Tetapi dengan beberapa perkembangan selepas itu termasuk pertambahan pengundi dengan kadar yang mencurigakan ditambah pula dengan pelbagai perkara lain yang juga mencurigakan termasuk Mismahgate, apa hendak dihairankan jika Umno begitu luar biasa keyakinannya untuk merampas kembali pentadbiran Selangor," katanya.

'Mismah gate' merujuk kepada kebanjiran mereka yang mempunyai status penduduk tetap dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah seorang dari mereka bernama Mismah yang ditukar statusnya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari seorang penduduk tetap kepada seorang warga negara hanya beberapa jam selepas dihebohkan bahawa beliau didaftarkan sebagai pengundi walaupun hanya berstatus penduduk tetap.

Lebih mencurigakan, SPR juga dengan begitu segera tiba-tiba menukar nama Mismah kepada kategori 'dalam proses pengesahan daftar pemilih' selepas pendedahan itu sedangkan sebelum itu namanya berada dalam kategori 'sedang dalam pameran rang'.

"Dengan apa yang terjadi itu, kalau Umno dan BN menang di Selangor malah di mana-mana pun dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan tidak bermaruah selepas itu hakikatnya adalah 'kerajaan Mismah' yang menang dengan menggadai kedaulatan dan keselamatan negara kepada orang asing dan bukan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.

"Sebab itulah, rakyat Malaysia yang bermaruah hanya ada dua pilihan sahaja iaitu menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan atau meringkuk di bawah pemerintahan 'kerajaan Mismah' yang akan menjerumuskan lagi negara ini ke dalam kehancuran," kata Mohamad.

Beliau mengulangi keazamann untuk berusaha menggerakkan lagi kebangkitan rakyat menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan.

"Pihak yang berdolak-dalik itu tidak akan melaksanakan tuntutan tersebut melainkan dengan kebangkitan kuasa rakyat yang lebih besar dari apa yang berlaku 9 Julai lalu.

"Mereka tidak memberikan pilihan yang lain kepada rakyat," tegas beliau.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malaysian Insider semalam melaporkan Umno yakin akan menang di Selangor pada pilihan raya akan datang dengan majoriti sehingga 20 kerusi.

PAS akan jumpa Jais, gereja
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan pihak gereja bagi mendapatkan penjelasan mengenai serbuan Jais ke atas Gereja Methodist, Damansara Utama, minggu lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak sebelum mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara ini.

"PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh.

"PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

Puas hati penjelasan Hassan Ali

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Jais itu.

Ditanya pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan penjelasannya.

"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat ajk, bukan kerana dipanggil," jelas beliau.

Beliau turut mendakwa isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR) diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap.

"Tapi PAS akan terus turun ke medan bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu Ustaz Hadi memberitahu mesyuarat hari ini tertumpu kepada persiapan PRU ke-13 khususnya mengenai isu pembersihan dalam sistem pilihan raya.

"PAS bincang tentang PRU walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki.

"Daftar pemilih masih tidak bersih dan kita mahu daftar pemilih dibersihkan segera," katanya.


Fomca akui juadah berbuka lebih mahal
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Ogos: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (Pelindung) mengakui berlaku peningkatan harga makanan pada Ramadan ini.

Timbalan Presiden Fomca, Ahmad Othman berkata, kenaikan harga makanan berlaku berikutan harga bahan mentah meningkat sekarang.

“Oleh itu saya berharap kerajaan memantau harga makanan yang dijual sebagai juadah berbuka puasa. Harga kuih muih contohnya akok yang sebelum ini boleh dibeli tiga biji RM1, namun sekarang hanya dua biji RM1.

“Begitu juga kerabu kaki ayam hanya sekadar empat sudu berharga RM5. Ini membebankan pengguna jika tidak pandai berjimat cermat,” katanya yang juga Pengerusi Pelindung.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu memantau gerai-gerai jualan di Bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mengenakan harga yang berpatutan.

Selain itu pihak berkuasa tempatan juga perlu memantau dengan memastikan premis menjual juadah Ramadan menjaga kebersihan dan beroperasi secara sah.

Ahmad juga menasihatkan orang ramai memasak sendiri juadah berbuka bagi mengurangkan bebanan kewangan keluarga.

Bagaimanapun beliau berkata, berdasar kepada pemerhatian didapati bazar-bazar Ramadan di Kelantan tetap meriah biar pun harga juadah berbuka terasa mahal berbanding tahun lepas.

”Masyarakat di Kelantan yang gemar berbelanja kadang-kadang tidak kisah sangat harga yang dibayar sehingga ada peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih,” katanya di sini.

Beliau juga menasihatkan umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berjimat-cermat.


Jais: Isma persoal media cuba beri imej negatif

Harakahdaily

BANGI, 6 Ogos: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berpendapat Jais perlu meneruskan siasatan jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang dilaporkan dalam satu kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.

Isma juga meminta supaya pihak-pihak lain tidak mempolitikkan perkara ini yang boleh mengganggu siasatan Jais.

“Isma mahu Jais meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas Jais dan undang-undang. Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini.

Isma juga, katanya mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal lagi cuba memberi imej negatif seolah-olah Jais telah menceroboh kesucian rumah ibadat telah melakukan sesuatu yang tidak beretika dan keluar daripada lunas undang-undang.

Sehubungan itu, tambahnya Isma menyeru agar pemimpin-pemimpin umat Islam lebih prihatin terhadap apa-apa bentuk pencabulan terhadap kehormatan agama mereka.

“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap sikap toleransi yang berlebihan sama ada kerana faktor politik atau faktor lain kerana ia akan membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam sehingga tidak bertindak apa-apa walaupun kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata.

Katanya, gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.

Sebagai umat Islam, jelasnya perbuatan itu sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam.

Tambahnya, Isma mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara yang berbilang bangsa ini tetapi bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan maruah bangsa.



Tiada ulasan: