Isnin, 8 Ogos 2011

BIASA APA SAJA KESILAPAN KITA...MUSUH2 AKAN AMBIK KESEMPATAN...MAKA MASA NI LAH HENDAK HENTAM MUSUH...

Jais: Jangan bergeser sesama sendiri
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan anggota parti supaya tidak ‘bergeser’ sesama sendiri kerana ianya akan memberi ruang pada pihak lawan.

Menurutnya, segala masaalah seharusnya diselesaikan dengan baik dan jangan sekali-kali memberi ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku kerana ianya akan memberi keuntungan pada mereka.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist di Damansara utama, baru-baru ini selepas menyampaikan sumbangan cek kepada tiga bekas pemain bola sepak Kelantan termasuk Inderaputera Mahayuddin.

“Saya sebenarnya tidak mahu ulas perkara ini dan saya serahkan ianya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan kerajaan Selangor sendiri,” ujarnya.

Namun tambahnya, apa yang penting bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya memperbanyakkan amalan mulia serta membersihkan jiwa.


Sidang tergempar: PAS serah surat pada PM esok
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Perdana Menteri esok meminta sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu keselamatan negara.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, ianya ekoran pendedahan media minggu lalu mengenai pendaftaran pemegang kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari.

"Esok jam 12 tengahari di bangunan Parlimen saya bersama ahli Parlimen Pakatan yang lain akan menghantar surat kepada Perdana Menteri meminta sidang khas Parlimen ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, isu ini perlu dibincangkan secara serius kerana ia merupakan pengkhianatan kepada negara.

Beliau juga tidak menafikan ianya merupakan satu konspirasi pihak tertentu untuk mendapatkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita yakin wujud konspirasi dalam perkara ini," katanya.

Minggu lalu, media mula mendedahkan berkaitan PR yang memegang kad pengenalan merah bertukar status kepada warganegara dan mendapat kad pengenalan biru serta didaftarkan sebagai pengundi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata isu ini telah lama berlaku dan pernah terbukti di mahkamah di Sabah bahawa penduduk Myanmar didaftarkan sebagai warganegara.

"Isu daftar pemilih ini pernah dibuktikan di mahkamah dan nampaknya sehingga kini kerajaan tidak pernah berhenti mendaftarkan warga asing untuk mengundi," katanya.


Pemuda PAS optimis kes pelajar Mesir dipecat selesai
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) optimis menemui jalan penyelesaian terbaik berhubung kes mahasiswa Malaysia di Mesir yang dibuang universiti kerana menganjurkan himpunan Bersih 2.0 di sana.

Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) DPPM, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pertemuan dengan pihak kedutaan Malaysia di Mesir menampakkan kejayaan awal.

Beliau bersama ketua DPPM, Nasrudin Hassan ke Mesir 2 Ogos lalu bertemu dengan Duta Malaysia di Mesir, Profesor Madya Dr Fakhruddin Abdul Mukhti dan pegawai pendidikan Malaysia di sana bagi membincangkan kes tersebut.

"Hasil pertemuan kita berjaya menyelesaikan banyak perkara dan pihak kedutaan sendiri berjanji akan menyelesaikan kes ini dengan pihak universiti Al-Azhar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Selain Firdaus, kira-kira 40 pelajar universiti tersebut turut diambil tindakan ditarik biasiswa kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0.

Zamri berkata, perkara tersebut amat dikesali kerana seperti diketahui umum, perhimpunan Bersih 2.0 adalah 'halal' di luar negara.

Mereka hanya berhimpun secara aman secara aman kira-kira 15 minit dengan mengutip tandatangan pelajar menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0.

"Firdaus dibuang dari universiti tanpa notis dan hanya mengetahui dia dibuang apabila tidak dibenarkan mengambil peperiksaan akhir.

Tambahnya DPPM tidak menolak kemungkinan tindakan ini dilakukan pihak universiti kerana dipengaruhi pihak yang pro Umno BN di sana.

"Ini sangat tidak wajar kerana pelajar di sana tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tetapi tiba-tida dibuang hanya kerana menganjurkan himpunan.

"Kita syak ada unsur hasutan pihak yang diarahkan kerajaan Malaysia untuk memantau tindak tanduk pelajar di sana," katanya.

Jelasnya lagi, pihak kedutaan mencadangkan kesemua pelajar tersebut membuat surat rayuan kepada pihak unversiti dan kedutaan akan mengambil tindakan lanjut.

"Mereka berjanji akan cuba menyelesaikan perkara ini dalam masa dua minggu," katanya.

Selain itu beliau turut memberitahu, DPPM akan mencadangkan kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRM) agar menubuhkan Lajnah Guaman bagi menyeleaikan masalah pelajar Malaysia yang melibatkan undang-undang.

"Juham akan bantu lajnah ini dalam menyelesaikan kes-kes perundangan contohnya seperti kes inilah," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah timbalan ketua DPPM, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan setiausaha Khairul Faizi Ahmad Kamil.


Jais: Isma persoal media cuba beri imej negatif
Harakahdaily

BANGI, 6 Ogos: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berpendapat Jais perlu meneruskan siasatan jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang dilaporkan dalam satu kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.

Isma juga meminta supaya pihak-pihak lain tidak mempolitikkan perkara ini yang boleh mengganggu siasatan Jais.

“Isma mahu Jais meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas Jais dan undang-undang. Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini.

Isma juga, katanya mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal lagi cuba memberi imej negatif seolah-olah Jais telah menceroboh kesucian rumah ibadat telah melakukan sesuatu yang tidak beretika dan keluar daripada lunas undang-undang.

Sehubungan itu, tambahnya Isma menyeru agar pemimpin-pemimpin umat Islam lebih prihatin terhadap apa-apa bentuk pencabulan terhadap kehormatan agama mereka.

“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap sikap toleransi yang berlebihan sama ada kerana faktor politik atau faktor lain kerana ia akan membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam sehingga tidak bertindak apa-apa walaupun kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata.

Katanya, gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.

Sebagai umat Islam, jelasnya perbuatan itu sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam.

Tambahnya, Isma mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara yang berbilang bangsa ini tetapi bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan maruah bangsa.

Tiada ulasan: