Selasa, 5 Julai 2011

SIASAT SEMUA PERKARA DENGAN ADIL2NYA...BUKAN BERPILIH2...ADIL DAN SAKSAMA...TELUS BUKAN MELINDUNG SAPE2....

Polis siasat Ambiga, dakwaan guna bank terima dana asing
Jul 4, 11 5:28pm

Polis akan menyiasat dakwaan mengenai sebuah bank tempatan yang dikesan digunakan oleh penganjur perhimpunan pada 9 Julai, Datuk S Ambiga untuk menerima dana dari beberapa NGO asing.

NONEKetua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (kiri) berkata polis akan bekerjasama dengan Bank Negara bagi menyiasat perkara itu.

"Kita akan menyiasat sesiapa juga yang ada elemen-elemen yang saya katakan boleh menunjukkan ada perkara-perkara yang telah berlaku, sedang berlaku atau pun dirancang berlaku yang boleh menjuruskan kepada ketidaktenteraman awam," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas Majlis pelancaran Command Post Exercise (CPX) PDRM -ATM.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu hari ini melaporkan bahawa akaun bank tersebut yang sudah menerima ratusan ribu dana asing dan merupakan satu daripada lima akaun yang dimiliki pengerusi demonstrasi haram itu yang dirancang pada 9 Julai ini.

Menurut laporan itu lagi bank berkenaan menjadi pilihan Ambiga (bawah) dan NGO asing kerana sebahagian saham bank itu dimiliki seorang pemimpin pembangkang.

NONEMengenai titah Yang di-Pertuan Agong semalam yang mengingatkan rakyat supaya memastikan tuntutan demokrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara, Ismail berkata rakyat sepatutnya menuruti titah tersebut

"Saya rasa sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa, kita kenalah mengambil perhatian titah Seri Paduka Baginda sebagai satu titah yang perlu diikuti untuk keamanan dan kesejahteraan negara," katanya.

Ismail berkata pihaknya akan mengambil apa sahaja tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menyalahi undang-undang negara ini terutamanya berkaitan perhimpunan haram yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata sehingga kini pihak polis menerima 4,000 laporan polis berkaitan perhimpunan haram itu.

Beliau berkata jumlah tangkapan pula seramai 220 orang, dan daripada jumlah itu 170 orang telah dibebaskan manakala selebihnya masih direman untuk siasatan.

- Bernama


Enam ditahan di Alor Setar cetak baju T Bersih
Jul 4, 11 9:07pm

Polis menahan tiga lelaki dua daripadanya warga Bangladesh serta tiga wanita kerana dipercayai mencetak baju T Bersih di sebuah rumah kedai di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar petang tadi.

Turut ditemui di situ ialah 150 helai baju T yang bercetak dengan perkataan Bersih.

"Kita rampas semua T-shirt tersebut sebelum ia diedarkan kepada masyarakat. Kita juga turut merampas tiga blok pencetak yang digunakan untuk mencetak T-shirt tersebut," kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim kepada pemberita di premis berkenaan.

Beliau berkata rakyat Bangaldesh itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Polis masih mengesan pemilik premis berkenaan.

Ahmad berkata rampasan itu merupakan yang pertama di Kedah yang melibatkan premis mencetak baju T Bersih.

Premis itu merupakan tempat mencetak baju T dan baju korporat.

- Bernama


Suami isteri ditahan miliki baju-T BERSIH
Jul 4, 11 4:56pm

Seorang lelaki dan seorang wanita berumur 51 dan 48 tahun, yang dipercayai suami isteri, ditahan polis kerana memiliki lima helai kemeja-t Bersih dalam sekatan jalan raya di Jalan Kubang Rotan-Kuala Kedah dekat Alor Setar.

bersih 2 shirt demandsKetua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata ketika ditahan polis pada kira-kira pukul 9.05 malam Sabtu lepas, kedua-dua suspek menaiki kereta jenis Proton Wira dan semasa pemeriksaan, polis menjumpai lima helai kemeja-T Bersih dalam kereta berkenaan.

"Saya difahamkan mereka adalah pasangan suami isteri. Mereka ditahan mengikut Akta Pertubuhan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sabtu lepas, seramai 14 orang yang dipercayai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan kerana cuba menghasut orang ramai untuk menyertai perhimpunan haram itu Sabtu ini.

- Bernama

Presiden Mahkamah Rayuan bersara awal mulai 6 Ogos
Jul 4, 11 6:16pm

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff akan bersara awal mulai 6 Ogos depan, setahun lebih awal dari tarikh persaraan wajib.

Alauddin, yang akan mencapai usia 65 tahun pada 7 Ogos, bagaimanapun akan mula bercuti esok.

Jabatan Kehakiman mengadakan majlis jamuan meraikan persaraan beliau hari ini di Dewan Bankuet di Istana Kehakiman yang dihadiri Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dan staf.

Alauddin dilantik ke jawatan nombor dua dalam kehakiman itu pada 18 Oktober, 2008 mengambil tempat Zaki yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Beliau dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 1 Feb 1992 dan dinaikkan pangkat kepada hakim Mahkamah Tinggi enam bulan kemudian.

Beliau menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada April 2001 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 12 Julai 2004. Beliau kemudian dilantik sebagai hakim besar Malaya pada 5 September 2007.

Dilahirkan di Kulim, Kedah, Alauddin mengikuti pengajian undang-undang di Inner Temple, London.

Beliau berkhidmat sebagai majistret dan presiden Mahkamah Sesyen di Bukit Mertajam, Kangar, Sungai Petani, Kuantan dan Taiping antara 1971 dan 1976.

Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara dari 1977 hingga 1980, selain berkhidmat sebaga penasihat undang-undang negeri di Johor dan Negeri Sembilan dan dipinjamkan ke Petronas Carigali sebagai setiausaha dan penasihat undang-undang.

Pada Jun 1989, beliau dilantik pengerusi lembaga penasihat di Jabatan Perdana Menteri.

Alauddin berkahwin dengan Puan Sri Munirah Hj Abd Rahman dan mereka dikurniakan tiga orang anak.

- Bernama


Pendakwa akan bukti tertuduh laku pembunuhan
Jul 4, 11 5:21pm

Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berdasarkan penemuan DNA milik mangsa pada barang-barang kes.

Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank Noorhisham Mohamad pada kayu kriket dan DNA peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir di Shah Alam hari ini.

Saksi juga akan memberikan keterangan mengenai penemuan sebilah pisau berkarat hulu besi, gelung dawai, serpihan tulang dipercayai tulang manusia, dua buah telefon bimbit jenama Blackberry, seutas jam tangan dan sebatang anak kunci tertulis BMW, katanya.

Selain itu, Ishak berkata dua pekerja ladang, U.Suresh dan T.Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R.Kathavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa serta peranan yang dimainkan oleh setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T.Thilaiyagan membunuh setiap mangsa.

Suresh dan Sarawanan sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

"Saksi-saksi juga akan mengesahkan bahawa Sosilawati ada urusan jual beli tanah di Pulau Pinang dengan tertuduh pertama (Pathmanabhan), urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh tertuduh pertama dan tertuduh pertama yang uruskan pembelian tanah dari Southern Symphony kepada Ample Quality di mana sebanyak RM2.9 juta telah dibayar sebagai 10 peratus harga belian tanah tersebut iaitu RM29 juta," kata Ishak.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ishak yang mengetuai pihak pendakwaan berkata pihaknya juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi di tempat kejadian yang melihat api marak dari rumah mereka.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang mengesahkan jam tangan jenis Bell & Ross dan telefon bimbit Blackberry Bold warna putih milik Ahmad Kamil, jam tangan Seiko milik Kamaruddin serta penerimaan jam tangan 'Longines' daripada Suresh.

Ishak berkata keterangan bekas suami Sosilawati, Buhari Mohamed adalah berkisar mengenai urusan jual beli tanah di Pulau Pinang di mana beliau ada menghubungi Pathmanabhan bertanyakan sama ada Sosilawati ada berjumpa dengannya pada 30 Ogos 2010 dan Pathmanabhan menjawab bahawa Sosilawati ada menghubunginya pada hari tersebut untuk berjumpa tetapi tertuduh pertama itu tidak kelapangan serta meminta Sosilawati berjumpanya pada 2 Sept 2010.

Beliau berkata anak perempuan Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya di Balai Polis Dang Wangi pada 31 Ogos 2010 dan pada 2 Sept 2010, Erni sekali lagi membuat laporan polis setelah mengesyaki Sosilawati telah diugut, diculik dan dikurung oleh individu berkaitan.

Ishak berkata pada 3 Sept 2010, isteri Ahmad Kamil bernama Sabrina Adnan membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur, manakala isteri Noorhisham bernama Suzana Radin Pangit membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Dang Wangi pada hari yang sama.

"Kakak kepada Kamaruddin, Zaidah Shamsuddin juga telah membuat laporan polis di balai polis Kuantan, Pahang, mengenai kehilangan adiknya pada 6 Sept 2010," katanya.

Seterusnya, Ishak berkata, seorang jurujual akan memberi keterangan untuk mengesahkan bahawa Sosilawati dan seorang lelaki Melayu yang dipanggil Kamal oleh Sosilawati ada datang ke gerainya pada 30 Ogos 2010 untuk membeli kerepek serta kuih raya bernilai lebih RM200 dan mereka dilihat beredar pada pukul 5.20 petang dengan menaiki kereta BMW X5 berwarna hitam.

Mahkamah juga dimaklumkan, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 76 saksi pada perbicaraan kes ini.

Selain Ishak, pihak pendakwaan turut diwakili dua lagi Timbalan Pendakwa Raya iiatu Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Kathavarayan diwakili peguam Ravi Nekoo dan Datuk Ng See Teong.

Sementara itu, seramai empat jurugambar polis memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama di mana sebanyak 618 keping gambar yang diambil di beberapa lokasi berbeza termasuk tempat kejadian dan Sungai Panchau di Jalan Morib, Banting, yang dikatakan menjadi tempat melupuskan mayat mangsa dikemukakan di mahkamah sebagai eksibit.

Mereka ialah Detektif Koperal Mokhtar Hussain dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Lans Koperal Abdul Aziz Ahmad dan Detektif Sarjan Mhd Rasdi Mhd Safien kedua-duanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dam Detektif Koperal K.Velamal dari Bahagian Bantuan Teknik,
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

PM diminta berdialog dengan BERSIH
Jimadie Shah Othman
Jul 4, 11
12:51pm

Ekoran titah Yang di-Pertuan Agong semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta mengadakan dialog dengan BERSIH 2.0.

Senator Dr Syed Husin Ali berkata, titah Yang di-Pertuan Agong semalam bermaksud bahawa Seri Paduka berharap terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak.

NONE"Saya hendak tengok sama ada PM akan ikut nasihat Agong. SPR (Surujanjaya Pilihan Raya) sudah tutup pintu. Sekarang antara BERSIH dan perdana menteri," katanya.

Bercakap dalam sidang media di lobi Dewan Negara, Syed Husin bagaimanapun tidak dapat menjawab sama ada perhimpunan 9 Julai akan diteruskan atau tidak.

"(Untuk dialog) setahu saya pada 8 hari bulan, perdana menteri dan isteri ke lapangan terbang. Sama ada perhimpunan 9 Julai diteruskan atau tidak, saya tidak dapat menjawabnya," katanya.

Bekas timbalan presiden PKR juga berkata, keputusan lanjut berhubung perhimpunan itu terletak pada BERSIH 2.0 sebagai penganjurnya.

"Keputusannya sudah tentu akan dibuat berdasarkan respons daripada rakyat sendiri," katanya.Dewan tolak usul

Turut hadir dalam sidang media itu Senator S Ramakhrisnan daripada DAP dan Senator Mumtaz Md Nawi daripada PAS.

Kesemua mereka, kecuali perempuan, memakai tali leher kuning tanda sokongan pada BERSIH. Malah, Syed Husin sendiri memulakan sidang medianya dengan ucapan "selamat tengah hari bersih".

NONESementara itu, mengulas tangkapan terhadap aktivis parti politik dan NGO, termasuk bawah Ordinan Darurat yang membenarkan penahanan suspek sehingga 60 hari, Syed Husin berkata perkara itu tidak boleh dilakukan kerana belum digazet.

"(tindakan itu) seolah-olah mengharamkan warna kuning. Ia sebenarnya tidak boleh berlaku kerana belum digazetkan," katanya.

Menganggap tindakan itu "keterlaluan sangat", Syed Husin mengingatkan bahawa undang-undang negara tidak boleh diletakkan di atas perlembangan yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman.

Sementara itu, Ramakhrisnan pula memberitahu, speaker Dewan Negara telah menolak usulnya untuk membincangkan tentang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini.

"Parlimen merupakan saluran terbaik untuk membincangkan perkara ini. Mereka cakap sila guna saluran yang betul. Parlimen tolak, Dewan Negara tolak, jadi tiada tempat untuk disalurkan," katanya.

Senator mahu polis siasat kematian remaja
Norsyafinas Ahmad Sukri
Jul 4, 11
7:12pm

Pihak polis diminta menyiasat punca kematian seorang remaja 15 tahun yang dijumpai mati dekat rumahnya di Jasin selepas disaman polis kelmarin.

Senator S Ramakhrisnan daripada DAP mengesyaki kematian M Rajathurai antaranya disebabkan pelajar itu tidak tahu cara menyelesaikan masalahnya.

NONE"Budak itu miskin. Dia keliru tidak tahu apa nak buat. Akhirnya (dia) buat keputusan sendiri dan punca dia gantung diri disebabkan polis kerana dia tidak tahu untuk selesaikan masalahnya," katanya.

Rajathurai dilaporkan disaman polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak bertopi keledar.

Ibunya S Chinammah dilaporkan berkata Rajathurai dibawa ke balai berhampiran, kira-kira dua kilometer dari rumah dan saman dikeluarkan kepada anaknya di situ.

Polis: Mati mengejut

Sepanjang perjalanan pulang, ibunya menegur kesalahannya dan Rajathurai kelihatan seperti ketakutan dan hanya diam sehingga sampai di rumah.

Selepas makan nasi dan masuk untuk tidur kira-kira jam 3 petang anaknya ditemui tergantung di siling dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bercakap dalam sidang media di lobi dewan negara hari ini, Ramakhrisnan berkata keluarga mendiang membuat laporan polis di balai polis Bemban Melaka semalam.

Mengulas saman terhadap Rajathurai, Ramakhrisnan menegaskan polis sepatutnya memaklumkan dulu hasrat mereka itu kepada ibu bapa atau penjaga remaja tingkatan tiga itu.

"Perkara yang membabitkan budak dibawah umur sepatutnya perlu dilibatkan bersama ibu bapa, sebarang apa kesilapan yang dilakukan oleh mereka mesti dengan ibu bapa untuk diselesaikan," katanya.

17 ahli, pemimpin PAS direman di Melaka
Elissa Helmy
Jul 4, 11
1:15pm

Mahkamah Majistret Jasin hari ini membenarkan perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap 17 ahli PAS termasuk seorang pemimpin yang ditangkap dipercayai terbabit mempromosi perhimpunan BERSIH 2.0, di Simpang Kemendor, semalam.

Perintah reman yang dikeluarkan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin itu dipohon oleh pegawai Penyiasat, Inspektor Mudzaffar Shah Zulkefli bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.

Bagaimanapun, sebelum itu, peguam yang mewakili 17 ahli PAS terbabit, Damian Yeo memohon mahkamah membatalkan permohonan reman tersebut dengan alasan mereka telah memberi kerjasama penuh dalam siasatan percakapan rekod di Balai Polis Jasin.

"Selain itu, tangkapan oleh pihak polis dilakukan secara rambang dan kesemua yang ditahan kebanyakannya mempunyai penyakit darah tinggi dan asma," katanya.

Bagaimanapun Mudzaffar Shah memberitahu mahkamah bahawa kesemua yang ditahan berada dalam satu kawasan mempunyai barang-barang yang berkaitan perhimpunan BERSIH.

Selepas meneliti hujah kedua-dua belah pihak, Erry Shahriman kemudian membenarkan permohonan perintah reman selama tiga hari sehingga 6 Julai depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Suprintendan Che Suza Che Hitam berkata, serbuan dibuat di Dataran Hamas, Markaz PAS Jasin, kira-kira jam 1.25 petang.

Katanya, ketika mereka terbabit ditahan, terdapat 113 Kameja-T tanpa kolar berwarna kuning di atas sebuah meja dengan tertulis perkataan BERSIH telah dirampas manakala orang yang berada di sekeliling meja ditahan.

"Turut ditemui 303 risalah promosi dan mempelawa ahli untuk menyertai perhimpunan haram bersih pada 9 Julai ini serta sebuah buku resit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 25 hingga 70 tahun termasuk seorang kakitangan kerajaan dan bekas calon pilihan raya Kecil Merlimau yang lalu.

"Siasatan terhadap mereka masih diteruskan malah akan dilakukan sehingga ke akar umbi bagi mengetahui siapa pencetak dan pengedar baju-T tersebut dan tindakan tegas serta jelas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana mengedar peralatan atau apa-apa risalah mengenai pertubuhan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana menghasut.

Tiada ulasan: