Selasa, 5 Julai 2011

ANGKUH MEMANG DILARANG....YANG ELOK SAKSAMA...ADIL SERTA TELUS SERTA KERJA DENGA JUJUR...DAN TAK PILIH BULU....

Anak Nuridah meninggal di Cape Town
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Julai: PAS mengucapkan takziah kepada bekas Ketua Muslimatnya, Ustazah Nuridah Salleh (gambar) di atas kematian anaknya, Abdul Aziz Mohd Azmi, 13 tahun, yang kembali kerahmatullah pada 12.00 tengah malam semalam.

Abdul Aziz yang mula belajar di Cape Town, Afrika Selatan tahun lepas meninggal dunia selepas kira-kira sebulan menjalani pembedahan kerana ketumbohan pada tulang belakangnya.

Sebelum itu, beliau demam tetapi tidak dapat bangun dan menggerakkan badannya. Beliau menjalani pembedahan dengan ditemani ibu dan bapanya, Haji Azmi.

Jenazah beliau dijangka akan tiba di rumahnya di Taman Melewar, Kuala Lumpur pagi esok, 5 Julai.

Namun begitu, Nuridah yang kini dalam misi dakwah ke Australia masih berada di sana dan dijangka akan tiba lebih lewat dari jenazah anaknya sendiri. Nuridah kini adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan selepas gagal mempertahankan kerusi ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dalam muktamar lepas.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bagi pihak PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Nuridah, kata Nurul Islam Bin Mohamed Yusoff , Setiausaha DPPWP dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Marilah kita sama-sama mendoakan agar arwah Abdul Aziz ditempatkan dikalangan hambaNYA yang soleh," kata kenyataan itu.


Penjual baju T Bersih disambung reman
Salmah Mat Husain

TUMPAT, 4 Julai: Pemilik D’Halal Shope Zakaria Wail, yang ditahan sewaktu menjual kemeja T di Dataran Ilmu 1 Julai lalu, ditahan reman lagi di IPD Tumpat semalam selepas ditahan reman dua hari di situ.

Zakaria sekali lagi ditahan reman di IPD Tumpat bermula hari ini sebaik sahaja dibebaskan tengah hari semalam selepas diikat jamin atas kesalahan yang sama, Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Rashid Yah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas apa yang berlaku memandangkan tiada bukti Zakaria menghasut.

“Setakat menjual kemeja T Bersih belum boleh dikategorikan sebagai penghasut. Tiada langsung bukti yang boleh disabitkan dia seorang penghasut,”ujarnya.

Tambah Rashid lagi, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk keamanan di negara ini, masaalah social, rasuah dan lain-lain perkara buruk berlaku tetapi tidak diambil tindakan.

Beliau juga turut memberitahu, pada hari pertama tangkapan dibuat, kemeja T Bersih dan sebuah van telah dirampas.

“Namun semalam kereta dan kemeja T Bersih yang ada di rumah di Wakaf Bharu juga turut dirampas,” ujarnya.

Ketika ditanya berhubung perkembangan Zakaria, Rashid memberitahu beliau sentiasa tenang dan biasa sahaja.

Beliau turut menyokong kenyataan anggota exco kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad, yang berkata setiap tangkapan merupakan satu paku keranda BN.

Menurutnya, ini kerana tangkapan yang dibuat akan membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang bakal menggulingkannya sendiri.


Kerajaan, polis dan SPR jangan angkuh
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merafak sembah merakamkan ucapan terima kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta supaya pihak kerajaan menangani setiap permasalahan yang membabitkan kepentingan rakyat secara berhemah dengan berunding dan tidak mengikut perasaan sepertimana masyarakat yang bertamadun.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu menjurus kepada cadangan himpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini di Kuala Lumpur.

"Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya pihak kerajaan, pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mematuhi saranan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar membuka semula pintu rundingan bersama Sekretariat Bersih 2.0 bagi mempastikan perjalanan program tersebut berjalan lancar dan teratur.

"Janganlah pihak kerajaan, polis dan SPR dianggap sebagai orang yang tidak bertamadun hanya kerana ingin mempertahankan keangkuhan dan keserakahan nafsu mereka semata-mata," katanya Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, menurut beliau, sekali lagi mempertegaskan bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan aman rakyat menuntut pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia dan himpunan itu akan berlangsung dan berakhir dalam keadaan yang tenang dan baik.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjungi keamanan dan keharmonian dan menolak sebarang usaha provokasi untuk melakukan huru-hara ataupun kekacauan," tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia kerana secara tidak bertanggungjawab telah menyiarkan secara berleluasa iklan-iklan fitnah dan berbaur hasutan.

Tujuan iklan-iklan itu disiarkan sememangnya jelas untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Himpunan Aman Bersih 2.0 di dalam media elektronik terutamanya RTM1 dan RTM 2.

Di dalam iklan-iklan tersebut, Himpunan Bersih 2.0 telah dimomokkan sebagai himpunan haram yang akan menyebabkan kerosakan harta benda, pertumpahan darah, huru hara, kacau bilau dan boleh menyebabkan para peniaga mengalami kerugian.

Menurut Hasbullah, sepatutnya pihak Kementerian mengeluarkan iklan yang memperjelaskan hak-hak rakyat di dalam negara yang berdaulat mengikut Perlembagaan Negara bukannya memperbodohkan rakyat dengan menyiarkan iklan-iklan “sampah” untuk mempertahankan kuasa pemimpin Umno BN.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bertegas bahawa semua gambaran yang ditunjukkan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan rakyat jelata yang cintakan keamanan dan keharmonian yang menuntut supaya sistem pilihanraya di Malaysia ini dibersihkan daripada sebarang kekotoran, penipuan dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak yang “gila” untuk mempertahankan kuasa mereka," katanya.

Sekretariat Bersih 2.0, tegas beliau, telah meminta supaya setiap rakyat yang akan hadir ke himpunan tersebut tidak melakukan sebarang provokasi, ancaman , ugutan, vandalisme ataupun melakukan kekasaran terhadap mana-mana pihak.

"Sekretariat Bersih 2.0 juga terbuka untuk berunding dengan pihak-pihak tertentu seperti polis untuk memastikan program tersebut berjalan lancar dan teratur, bahkan meminta supaya pihak polis sendiri yang menentukan jalan yang sesuai untuk perarakan himpunan tersebut.

"Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya Kementerian Penerangan Malaysia menarik balik iklan-iklan fitnah tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kebiadapan mereka menyiarkan iklan-iklan tersebut," katanya.

Sesungguhnya wang rakyat Malaysia, katanya, sebagai pembayar cukai telah disalahgunakan oleh pemimpin Umno BN untuk kepentingan diri mereka dan membelakangkan kepentingan rakyat.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendesak Menteri Penerangan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau orang yang bermaruah dan berintegriti," ujar beliau.


Hormati titah Agong, polis perlu henti tangkapan
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Pihak polis perlu menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan menghentikan tangkapan ke atas orang ramai berhubung rancangan Bersih untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Sehingga kini pihak polis telah menangkap 100 orang hanya disebabkan mereka memakai baju kuning Himpunan Bersih 2.0, manakala tindakan itu pula jelas bertentangan dengan undang-undang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, Ahad lalu, 3 Julai, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah khas yang antara lain menyebut yang Baginda Tuanku sedang mengikuti dengan teliti perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Baginda Tuanku.

Menurut beliau, Baginda Tuanku turut menyebut bahawa Baginda Tuanku sendiri turut mengikuti perkembangan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Katanya, Baginda Tuanku menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana kerana Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

"Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu ternyata tidak memihak kepada mana-mana pihak. Ia adalah hasil keperihatinan dan perhatian Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulatnya negara kita ini.

"Jadi kepada pihak Umno, Kerajaan BN, pihak polis, jika mereka menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mereka mestilah menghentikan segala provokasi dan tangkapan ke atas orang ramai. Jika tidak, bermakna mereka tidak menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui di Pejabat Agong PAS, di sini, hari ini.

Selain itu, Baginda Tuanku bertitah, setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena amat kesal kerana pihak Umno BN kini terlalu banyak melakukan provokasi mengenai rancangan Bersih untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, sehingga menimbulkan kekeliruan hasil liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman itu.

"Antaranya, pihak polis sendiri awal-awal lagi telah menutup pintu rundingan dengan Bersih. Ini jelas merupakan satu tindakan provokasi. Sedangkan polis sepatutnya berkerjasama dengan Bersih dengan mengadakan rundingan bagi membolehkan perhimpunan itu berjalan dengan sempurna.

"Kini setelah pintu rundingan ditutup dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri pula mahukan rundingan diadakan, apakah pihak polis akan membuka pintu rundingan kembali dengan Bersih?

"Jika polis menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, polis mestilah mengadakan rundingan dengan Bersih, bukannya menjadi alat Umno BN," tegasnya.

Terdahulu dari itu, pada sidang media yang diadakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di tempat yang sama yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Salahuddin Ayub, beliau berkata, dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Baginda Tuanku tidak langsung menyebut tentang Himpunan Bersih 2.0 yang patut dihalang.

"Baginda Tuanku hanyalah bertitah, "Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik".

"Titah Yang di-Pertuan Agong itu juga merupakan satu pengiktirafan terhadap Bersih kerana baginda "tidak kata apa-apa yang negatif terhadap Bersih. Malah, Baginda menyeru kerajaan supaya bertindak secara adil. Ini satu pengiktirafan kepada Bersih," katanya.

Jadi titah Baginda Tuanku itu, katanya, perlu difahami dengan jelas oleh pihak Umno BN dan polis. Ia tidak dirujuk kepada Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti. Selain itu, tidak dinafikan niatnya baik. Jadi jika niat baik, ia tentunya menjadi baik.

"Ini samalah juga dengan himpunan-himpunan aman lain yang pernah diadakan oleh PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO sebelum ini.

"Semuanya baik kerana niatnya sememangnya baik. Ia menjadi buruk disebabkan pihak polis yang mencetuskan provokasi. Jika tidak kerana polis yang memburukkannya, ia tetap menjadi baik kerana niatnya memang baik," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kesemua pihak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu kerana titah Baginda Tuanku itu adalah untuk kesemua pihak.


9 Julai titik mula perjuangan rakyat - Peguam
Aslani

KOTA BHARU, 4 Julai: Episod pertama perjuangan Bersih 2.0 dianggap berjaya apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa menggunakan intitusi raja bagi memastikan perhimpunan 9 Julai tidak menjadi kenyataan.

Namun apa yang jelas suara dan tuntutan lapan perkara diutara Bersih 2.0 sudah didengari di seluruh negara sehingga melewati pagar Istana Negara.

Ternyata kemunculan Bersih 2.0 yang digerakkan 60 badan bukan kerajaan berjaya meletakkan kerajaan BN dalam suasana cemas dan panik.

Sama seperti cabaran debat PAS terhadap pemimpin Umno suatu ketika dahulu akhirnya diarah dibatal menggunakan kuasa tertinggi negara.

Hari ini episod lama itu diulang kembali sebagai langkah terakhir bagi menyelamatkan kerajaan BN.

Namun bagi peguam hak asasi, Faizal Che Yusoff, 9 Julai perlu dijadikan titik mula mendesak secara berterusan terhadap kerajaan yang mengawal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Himpunan bagi menunjukkan rakyat bersama perjuangan demokrasi yang adil perlulah diadakan secara berkala di segenap tempat sehingga ke ceruk kampung.

“Program penerangan terhadap tuntutan Bersih 2.0 perlulah diadakan selama mana lapan perkara tidak ditunaikan pemerintah,” katanya di sini.

Hari ini kesemua akhbar menyiarkan titah khas Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan,” titah baginda.

Ekoran titah tersebut Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga dilapor berkata, perhimpunan Bersih yang dijadualkan 9 Julai ini bergantung kepada keputusan pertemuan mereka dengan Yang di-Pertuan Agong.

Gabungan NGO di bawah Bersih hari ini menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka.

Faizal juga berkata, ekoran pelbagai kecelaruan dilakukan pasukan polis menghalang Bersih 2.0, cadangan Suruhanjaya Diraja bagi penambahbaikan perkhidmatan polis perlu dinyaringkan semula.

Tiada ulasan: